Category: Semasa

  • Nelayan dikhuatiri lemas selepas candat sotong

    Nelayan dikhuatiri lemas selepas candat sotong

    SEORANG nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut di perairan Chendering, di Kuala Terengganu hari ini.

    Mangsa, T Razali Wok, 74, yang berasal dari Kampung Raja, Chendering, dipercayai terjatuh kira-kira 5.30 pagi ketika dalam perjalanan pulang selepas mencandat sotong bersama tiga rakan termasuk tekong.

    Pengarah Maritim Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata, kehilangan warga emas itu hanya disedari rakannya pada jarak empat batu nautika dari pangkalan di Chendering.

    “Sebaik menerima laporan, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat (MRSC) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat menggunakan bot Perkasa 1234.

    “Usaha mengesan mangsa sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau menasihatkan orang ramai termasuk komuniti nelayan dan maritim supaya sentiasa memakai jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut sebagai langkah keselamatan. – BERNAMA

  • Pengorbanan warga pendidik sungguh besar – Muhyiddin

    Pengorbanan warga pendidik sungguh besar – Muhyiddin

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada warga pendidik di seluruh negara yang menyambutnya hari ini.

    Berikut adalah ucapan penuh beliau yang disiarkan dalam laman Facebook hari ini:

    Assalamualaikum dan apa khabar semua? Saya harap saudara-saudari sihat walafiat.

    Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat-Nya kita dapat menyambut Hari Guru pada hari ini.

    Sempena sambutan Hari Guru, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga pendidik di negara ini atas segala jasa dan pengorbanan mereka mendidik anak bangsa menjadi warga berguna sekali gus menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.

    Saya pasti sambutan Hari Guru tahun ini terutama di peringkat sekolah lebih meriah kerana negara sudah memasuki fasa peralihan endemik dan sudah tidak ada lagi sekatan untuk mengadakan majlis atau acara sambutan termasuk Hari Guru.

    Gunakanlah peluang ini untuk mengeratkan lagi silaturahhim sesama guru atau dengan anak murid.

    Kita tidak akan sesekali melupakan pengorbanan besar para guru dan pendidik ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Ketika itu murid dan pelajar tidak dapat ke sekolah kerana semua sekolah dan institusi pendidikan terpaksa ditutup bagi mengekang penularan virus berbahaya itu.

    muhyiddin hari guru

    Bagaimanapun warga pendidik tidak berdiam diri dan meneruskan tanggungjawab sebagai seorang guru dengan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian bagi memastikan murid dan pelajar dapat belajar seperti biasa.

    Kerajaan juga telah memperkenalkan DidikTV bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran di rumah terutamanya bagi pelajar luar bandar yang mempunyai akses internet dan peranti yang terhad.

    Setelah pandemik reda dan murid sudah dapat kembali belajar semula, sebahagian besar sekolah memperkenalkan pula ’catch up programme’ kepada murid-murid yang terjejas bagi memastikan mereka tidak jauh ketinggalan atau tercicir dalam pelajaran.

    Sungguh besar pengorbananmu wahai warga pendidik dan tidak mampu dibalas dengan apa juga harta dunia. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala jasa dan khidmat bakti anda selama ini.

    Saya berdoa agar anda semua sentiasa sihat, tabah dan diberi kekuatan untuk terus memikul tanggungjawab mendidik dan memartabatkan anak bangsa.

    Selamat Hari Guru 2022. Sekolah Tunjang Negara SEJAHTERA

  • Suami isteri disyaki dera anak saudara sehingga maut direman 7 hari

    Suami isteri disyaki dera anak saudara sehingga maut direman 7 hari

    PASANGAN suami isteri yang ditahan semalam berhubung kematian kes kematian seorang kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia dipercayai didera, direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

    Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Anis Hanini Abdullah selepas menerima permohonan daripada pihak polis di Mahkamah Majistret di Ipoh.

    Pasangan suami isteri berusia 40 tahun itu yang merupakan ibu dan bapa saudara yang menjaga kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu direman bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Semalam, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata penahanan kedua-dua suspek dibuat susulan pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh pada kira-kira 3.14 pagi.

    Mior Faridalathrash berkata pegawai perubatan itu membuat laporan bahawa jabatan terbabit menerima seorang pesakit kanak-kanak yang dibawa menaiki ambulans dan disahkan meninggal dunia pada kira-kira 1.45 pagi.

    Katanya bedah siasat telah djalankan oleh pakar patologi Jabatan Forensik HRPB dan didapati punca kematian adalah akibat pelbagai kecederaan disebabkan oleh benda tumpul. – Bernama

  • Guru besar, pengetua tak boleh halang guru mohon pertukaran

    Guru besar, pengetua tak boleh halang guru mohon pertukaran

    GURU boleh membuat permohonan pertukaran sepanjang tahun susulan garis panduan baharu yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KKM).

    Menterinya, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pengumuman pertukaran guru turut diubah kepada empat kali setahun berbanding dua kali sebelum ini.

    Jelasnya, itu adalah berdasarkan garis panduan baharu bagi menggantikan garis panduan sedia ada yang dikeluarkan pada 1975.

    “Sebelum ini, permohonan pertukaran juga memerlukan kelulusan guru besar atau pengetua, tetapi kini guru atau pengetua hanya dibenarkan memberi ulasan, tidak boleh menghalang pertukaran guru-guru.

    “Justeru, perkara ini juga memberi peluang kepada semua guru, termasuk yang cemerlang untuk bergerak dari satu sekolah ke sekolah yang lain untuk menyumbang bakti,” katanya menurut Free Malaysia Today yang memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali Ke-51 yang bertemakan ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’ di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok hari ini.

    Tahun lalu katanya, 55 peratus daripada keseluruhan permohonan pertukaran guru diluluskan oleh kerajaan.

  • Kedai makan ditutup akibat keracunan makanan

    Kedai makan ditutup akibat keracunan makanan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengeluarkan tiga notis dan mengarahkan sebuah kedai makanan di Taman Sentosa, Johor Bahru,ditutup selepas dilaporkan berlaku keracunan makanan.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, berlaku keracunan makanan selepas pelanggan mereka makan sandwich di kedai tersebut dan isu berkenaan menjadi tular sejak semalam.

    “Siasatan lapangan mendapati tahap kebersihan kedai tersebut adalah tidak memuaskan.

    “Arahan penutupan premis dan sebanyak tiga (3) Notis dibawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan atas kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Siasatan di lapangan mendapati tahap kebersihan kedai tersebut adalah tidak memuaskan sebelum tiga notis dikeluarkan

    Katanya, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru masih melakukan pengesanan kes keracunan makanan secara aktif yang berkaitan kejadian itu menerusi fasiliti kesihatan swasta dan kerajaan.

    Orang ramai juga katanya, dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko keracunan makanan antaranya dengan memilih kedai makan yang mengamalkan tahap kebersihan adalah memuaskan.

    “Amalkan lihat, hidu dan rasa sebelum makan untuk elakkan keracunan makanan. Mereka yang mempunyai gejala keracunan makanan seperti sakit perut, muntah dan cirit birit hendaklah mendapatkan rawatan segera,” katanya.

  • Lapan PATI Indonesia dicekup selepas pulang beraya

    Lapan PATI Indonesia dicekup selepas pulang beraya

    LAPAN pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menyusup masuk untuk kembali bekerja di Sabah selepas pulang bercuti hari raya di negara asal gagal apabila diberkas pasukan keselamatan, semalam.

    Semua PATI itu yang menaiki sebuah bot laju di kesan mendarat di kawasan penempatan atas air di Kampung Titingan, Tawau pukul 4.15 petang.

    Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2), Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, PATI berkenaan kemudian dilihat menaiki sebuah teksi sebelum dibawa keluar dari kawasan pendaratan terbabit dan menuju ke pusat bandar.

    “Susulan itu, Tim Quick Reaction Force (QRF) mengekori teksi terbabit sehingga ke Jalan Chen Fook sebelum pemandunya bertindak melarikan diri sebaik menurunkan kesemua Pati terbabit.

    “Kesemua Pati terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 22 hingga 40 tahun bersama seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini, lapor Harian Metro.

    Abdul Karim berkata, hasil siasatan lanjut mendapati kesemua mereka memiliki pasport dan permit kerja yang sah, namun tanpa cop pengesahan kebenaran untuk masuk ke negeri Sabah.

    Katanya, kesemua mereka yang berasal dari Pulau Sebatik, Indonesia itu memaklumkan tujuan masuk ke Sabah kerana mahu kembali ke tempat kerja selepas bercuti melawat keluarga sempena hari raya.

    “Kesemua Pati terbabit kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

  • Anggota polis disaman guna telefon bimbit ketika memandu

    Anggota polis disaman guna telefon bimbit ketika memandu

    TINDAKAN seorang anggota polis menggunakan telefon bimbit sambil memandu kereta Proton Preve pasukan keselamatan tersebut di Lebuhraya Persekutuan menghala Petaling Jaya, semalam, membawa padah apabila disaman.

    Sebelum itu video perbuatan anggota polis tersebut yang berdurasi 14 saat menjadi tular dalam dalam sosial.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 9 pagi semalam anggota polis yang terlibat telah dipanggil untuk siasatan.

    “Saman telah dikeluarkan terhadap pemandu tersebut di bawah Kaedah 17(A) LN 166/59,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mohamad Fakhrudin berkata, kejadian tersebut tidak melibatkan kemalangan serta kecederaan kepada pengguna jalan raya yang lain.

    “Kita tidak akan berkompromi terhadap salah laku anggota yang melakukan kesalahan ketika menjalankan tugas,” tegasnya.

  • Maritim tahan nelayan Vietnam curi dua tan hasil laut

    Maritim tahan nelayan Vietnam curi dua tan hasil laut

    SERAMAI 21 nelayan Vietnam termasuk tekong bersama-sama dua tan hasil laut yang dicuri di perairan negara ditahan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman, kelmarin.

    Maritim menahan nelayan berusia lingkungan 18 hingga 54 tahun yang menaiki sebuah bot nelayan asing itu ketika rondaan bersepadu Op Pagar Laut, Op Kuda Laut dan Op Iman di perairan Terengganu pukul 5.30 petang.

    Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati semua kru dan tekong tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Bot tidak mempunyai permit menangkap ikan di perairan negara. Kita turut merampas kira-kira 1,000 liter diesel, dua tan hasil serta peralatan menangkap ikan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.6 juta,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, bot dan hasil rampasan serta nelayan berkenaan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk menjalani saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, Maritim Malaysia memandang serius isu pencerobohan nelayan asing dan akan mempertingkatkan lagi rondaan dan kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan keselamatan perairan negara.

    Katanya, orang ramai disarankan memberi kerjasama untuk membantu menangani sebarang aktiviti jenayah maritim dengan membuat aduan melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kemaman ditalian 09-8581653.

  • 3 pelajar sekolah menengah agama cedera dibelasah senior

    3 pelajar sekolah menengah agama cedera dibelasah senior

    TIGA pelajar di sebuah sekolah menengah agama berasrama penuh di Nilai mendakwa dipukul senior mereka sehingga mendatangkan kecederaan dalam kejadian baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pihaknya menerima tiga laporan daripada pelajar tingkatan dua terbabit berhubung perkara itu semalam.

    “Mereka mendakwa dipukul pelajar dipercayai Tingkatan 4 sehingga cedera di beberapa bahagian badan. Kesemua mangsa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban sebagai pesakit luar.

    “Sehubungan itu, kita telah mengenal pasti dua pelajar senior dipercayai boleh membantu siasatan dalam kejadian yang dilaporkan ini dan siasatan lanjut masih diteruskan sama ada masih ada lagi pelajar lain terlibat,” katanya dalam kenyataan.

    Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak memanipulasi kejadian berkenaan yang boleh menyebabkan kegusaran awam sehingga siasatan dilengkapkan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan, katanya. – BERNAMA

  • Kanak-kanak lelaki 3 tahun cedera didera penjaga

    Kanak-kanak lelaki 3 tahun cedera didera penjaga

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera selepas disyaki didera penjaganya di sebuah rumah di Pandan Perdana, Kuala Lumpur, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang individu pada 1 tengah hari yang terdengar tangisan mangsa di rumah tersebut dan melihat terdapat kesan kecederaan pada muka dan badan kanak-kanak itu.

    “Mangsa kini dalam keadaan stabil dan ditempatkan di Wad Pediatrik Hospital Ampang untuk pemerhatian dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata, pihaknya kini sedang mengesan penjaga mangsa iaitu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang disyaki mendera kanak-kanak itu.

    Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek adalah penjaga sementara sejak Januari lepas kerana ibu dan bapa mangsa sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya di talian 03- 42892222 atau mana-mana Balai Polis berhampiran bagi menyalurkan sebaran maklumat untuk membantu siasatan,”katanya.

    Kes disiasat di bawah Sek 31(1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001 yang boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara maksimum 10 tahun atau kedua- duanya, jika disabitkan kesalahan. – BERNAMA