Category: Semasa

  • Lebih banyak tadika dijangka ditutup di Perak akibat HFMD

    Lebih banyak tadika dijangka ditutup di Perak akibat HFMD

    KERAJAAN negeri Perak menjangkakan lebih banyak taman didikan kanak-kanak (tadika) ditutup susulan peningkatan penularan Penyakit Tangan Kaki dan Mulut (HFMD).

    Menurut Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin, sehingga kini 42 tadika di Perak ditutup dengan daerah Kinta mencatat jumlah paling tinggi.

    Sinar Harian melaporkan, penutupan tadika tersebut katanya, dibuat secara sukarela oleh pengusaha selain terpaksa ditutup mengikut Akta Pencegahan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

    “Kita jangka akan ada lagi tadika yang ditutup berdasarkan kes yang meningkat dengan mendadak.

    “Setakat ini tiada kes kematian dicatatkan disebabkan HFMD di Perak, namun kita minta semua pihak berwaspada,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Larut Bersama Perikatan Nasional Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, Selama, hari ini.

    Mohd. Akmal semalam melaporkan, sebanyak 42 tadika di Perak ditutup berikutan wabak HFMD, sehingga minggu epidemiologi ke-19 tahun ini, yang berakhir pada 14 Mei lalu.

    Daerah Kinta mencatatkan penutupan tadika tertinggi iaitu 20 buah dan diikuti daerah Perak Tengah enam buah.

    Secara keseluruhan, jumlah kes HFMD di Perak adalah 2,638 kes, berbanding hanya 159 kes bagi tempoh sama tahun 2021.

    Daerah Kinta mencatatkan kes tertinggi iaitu 178 kes; diikuti Hilir Perak (127); Perak Tengah (71); Manjung (70); Batang Padang (63); Hulu Perak (51); Kerian (51); Muallim (47); Kampar (46); Larut, Matang; Selama (28) dan Kuala Kangsar (22).

  • Mangsa kedua yang hilang dihanyutkan kepala air ditemukan mayatnya

    Mangsa kedua yang hilang dihanyutkan kepala air ditemukan mayatnya

    OPERASI mencari dan menyelamat menemukan mayat kedua pendaki wanita yang hilang dihanyutkan kepala air ketika mendaki Gunung Suku Simpang Pulai, Ipoh, Ahad lalu ditemukan pukul 11.20 pagi tadi.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhammad Shahrizal Aris berkata, mayat yang cukup anggota badan itu ditemukan Unit Pengesan K9 di kawasan terowong berhampiran jalan besar.

    Jelasnya, mayat ditemukan di bawah timbunan tanah dan batu di lokasi Sektor C kawasan terowong berhampiran jalan besar dan seterusnya kerja-kerja mengeluarkan mangsa dijalankan di lokasi berkenaan.

    “Anggota badan mayat lengkap cuma ada kecederaan di badan dan kepala. Pada pukul 11.55 pagi mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Menurutnya, operasi pencarian hari ketujuh itu diteruskan sejak pukul 9 pagi dengan kekuatan anggota penyelamat seramai 43 orang dari pelbagai agensi.

    Muhammad Shahrizal berkata, operasi pencarian tamat sepenuhnya pada pukul 1 tengah hari tadi.

    Ahad lalu, Dua wanita dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, dihanyutkan kepala air ketika mendaki gunung berkenaan kira-kira 5 pagi.

    Dalam kejadian itu, sekumpulan 29 pendaki gunung mendengar bunyi air dan tanah runtuh dari atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.

    Namun, ketika dalam perjalanan kepala air menimpa kumpulan pendaki itu dan dua wanita itu yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai dihanyutkan arus deras.

    Sebelum ini media melaporkan, pasukan penyelamatan menemukan sebelah kaki mangsa dan kemudian turut menemukan bahagian badan dipercayai milik seorang daripada pendaki terbabit.

    Media kemudiannya turut melaporkan menemui beberapa cebisan pakaian mangsa selain turut menemukan lagi cebisan anggota badan dipercayai mangsa dua pendaki pada hari sama.

  • Kerajaan mungkin perkenalkan mekanisme bahan api bersasar – Azmin

    Kerajaan mungkin perkenalkan mekanisme bahan api bersasar – Azmin

    KERAJAAN berkemungkinan memperkenalkan mekanisme bahan api yang disasarkan untuk mengurangkan kesan kenaikan harga minyak mentah, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Beliau berkata, kerajaan masih mengusahakan struktur yang sesuai berikutan lonjakan ketara dalam unjuran subsidi bahan api untuk 2022 kepada RM28 bilion, berbanding RM11 bilion pada 2021.

    “Kami bercakap tentang semakan itu dalam pemukiman (retreat) khas baru-baru ini.

    “Mereka yang mempunyai (kereta) BMW tidak boleh menikmati subsidi yang sama seperti mereka yang mempunyai (kereta Perodua) Kancil,” katanya ketika sidang akhbar mengenai Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Amerika Syarikat, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Bulan lalu, Petronas Dagangan Bhd memaklumkan ia sudah bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan berhubung mekanisme subsidi bahan api berikutan peningkatan harga minyak mentah di peringkat global.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed juga berkata, kerajaan masih mengusahakan struktur yang sesuai untuk mekanisme bahan api yang disasarkan, yang dijangka siap tidak lama lagi.

  • Bakal jemaah haji gagal saringan kesihatan perlu akur-Idris

    Bakal jemaah haji gagal saringan kesihatan perlu akur-Idris

    BAKAL jemaah haji yang tidak melepasi saringan kesihatan ditetapkan perlu akur dan patuh dengan keputusan tersebut.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, syarat berkenaan telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan tidak tertakluk kepada Lembaga Tabung Haji (TH).

    “Kita (TH) tidak tetapkan syarat itu, kita kena raikan pandangan (syarat) mereka (Arab Saudi) dari sudut kesihatan… Nak elakkan masalah kesihatan seperti Covid-19 dan cuaca di sana juga nanti agak panas.

    “Jemaah perlu patuh, bertanyalah pada ahli, tanyalah pada orang yang tahu kalau kamu tidak tahu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Rehlah Till Jannah Siri 1/2022 di Perkampungan Darul Barakah di Marang hari ini.

    Menurutnya, pada masa ini TH telah mengeluarkan surat tawaran bagi panggilan kedua kumpulan jemaah haji Malaysia musim 2022.

    Idris berkata, untuk panggilan pertama, lebih 1,000 jemaah terpaksa menolak tawaran disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya masalah kesihatan.

    Pada tahun ini jemaah haji yang dibenarkan adalah berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi Covid-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.

    Sementara itu, mengenai loji penyembelihan Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia yang didakwa tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia, Idris berkata, pihaknya masih menunggu maklumat rasmi berkaitan isu itu.

    “Sebaik sahaja kita dapat maklumat (awal), kita memang sudah hentikan (gantung serta merta kelulusan TFI) sampai siasatan selesai… Tapi kita nak dapatkan maklumat dalam bentuk fakta dan data, tak mahu dalam bentuk khabar angin,” katanya. – Bernama

  • Polis tahan penjawat awam terlibat kes samun

    Polis tahan penjawat awam terlibat kes samun

    POLIS menahan seorang penjawat awam kerana melakukan kegiatan samun di sebuah rumah di Taman Bandar Putri, Sungai Soi, Kuantan, semalam.

    Suspek berusia 30 tahun itu ditahan di sekitar Sungai Soi oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, pukul 9.20 malam.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, penahanan suspek sekali gus menyelesaikan satu kes samun yang dilaporkan berlaku pertengahan bulan ini.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu tidak memiliki sebarang rekod lampau berkaitan jenayah, namun positif dadah jenis methamphetamine.

    “Tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua beg tangan wanita dan beberapa dokumen pengenalan diri milik suspek dirampas.

    “Turut dirampas 14 helai pakaian dalam wanita, 15 helai baju dan seluar wanita, sepasang telekung, tiga helai tudung dan satu anak tudung yang dijadikan sebagai topeng muka oleh suspek,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Wan Mohd. Zahari menjelaskan, modus operandi digunakan dengan melakukan jenayah samun secara bersendirian dengan cara memecah masuk ke dalam rumah.

    “Selepas memasuki rumah mangsa, suspek akan menutup mulut mangsa menggunakan pita pelekat sebelum melakukan samun.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat,” katanya.

    Katanya, suspek direman bermula Sabtu hingga 27 Mei ini bagi membantu siasatan.

    Beliau turut menasihati semua masyarakat di Kuantan agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada kerana penjenayah sentiasa mencari ruang serta peluang untuk melakukan kegiatan jenayah.

    “Lapor kepada pihak polis sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan di kawasan anda.

    “Masyarakat diingatkan supaya mendapatkan maklumat tepat daripada pihak berkuasa bagi mengelakkan keadaan panik dan mengurangkan kegusaran tentang sesuatu kejadian jenayah,” katanya.

  • Cuba seludup 17 kg dadah, tiga rakyat Malaysia dicekup di Singapura

    Cuba seludup 17 kg dadah, tiga rakyat Malaysia dicekup di Singapura

    TIGA rakyat Malaysia ditahan susulan cubaan menyeludup kira-kira 17,704 gram heroin, 261g ‘Ice’ dan 2g pil ‘Ecstasy’ di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada Rabu (18 Mei) digagalkan Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA).

    Penemuan itu mendorong operasi penguatkuasaan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB), di mana sejumlah tiga lelaki warga Malaysia berumur antara 23 dan 28 tahun, termasuk pemandu kereta, telah ditahan di lokasi berbeza di Singapura dalam tempoh dua hari.

    “Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai hampir S$1,295,000 dan mencukupi bagi menampung penggunaan kira-kira 8,430 penagih heroin dan 150 penagih ‘Ice’ untuk seminggu,” menurut ICA dan CNB dalam satu kenyataan bersama.

    Pada petang 18 Mei, kereta yang didaftarkan di Malaysia memasuki lorong pemeriksaan imigresen di Zon Ketibaan dan menjalani pemeriksaan rutin.

    “Bungkusan dipercayai dadah ditemui dalam bonet kereta. Pemandu warga Malaysia berusia 28 tahun segera ditahan dan dirujuk kepada CNB untuk siasatan,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, dalam operasi susulan dijalankan pada awal pagi 19 Mei, CNB berjaya menahan dua lelaki warga Malaysia disyaki penerima bungkusan itu di sekitar Bedok North Street 1.

    Siasatan berhubung kejadian sedang dijalankan, kata pihak berkuasa. –Bernama

  • Malaysia tarik pelaburan baharu bernilai RM16.52 bilion dari AS

    Malaysia tarik pelaburan baharu bernilai RM16.52 bilion dari AS

    MALAYSIA berjaya menarik pelaburan baharu bernilai RM16.52 bilion dari Amerika Syarikat (AS) melalui Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) yang diketuai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini.

    Mohamed Azmin berharap bahawa kesemua komitmen projek pelaburan baharu yang terlibat dapat dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini.

    “Kita berharap pada suku ketiga tahun ini, kesemua komitmen ini akan dapat dimuktamadkan dan ia dapat mencipta peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan,” kata beliau ketika dalam sidang akhbar mengenai Hasil Misi Galakan Perdagangan dan Pelaburan ke Amerika Syarikat pada Sabtu.

    Antara projek pelaburan baharu adalah daripada syarikat Insulet, Ferrotec, Amazon Web Services Inc (AWS) dan Cue Health serta projek pengembangan pelaburan oleh Texas Instruments dan Boston Scientific.

    TIM yang bermula pada 9 hingga 18 Mei ini menumpukan pada sektor baharu yang berinovatif dan bernilai tambah tinggi khususnya industri semikonduktor, ekonomi digital dan sektor peranti perubatan selari dengan Aspirasi Pelaburan Nasional yang memfokuskan pelaburan berkualiti tinggi dan melibatkan teknologi terkini. – Bernama

  • Sasaran lima tahun sektor pelancongan pulih terlalu lama-MPN

    Sasaran lima tahun sektor pelancongan pulih terlalu lama-MPN

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) berpendapat tempoh lima tahun yang disasarkan oleh Tourism Malaysia untuk sektor pelancongan negara kembali pulih adalah terlalu lama.

    Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata  jika ia tempoh masa yang diambil untuk memulihkan sektor tersebut, akan berlaku lebih banyak isu dan permasalahan lain.

    “Baru-baru ini saya mempengerusikan satu mesyuarat MPN dan Tourism  Malaysia membentangkan laporan untuk memulihkan sektor pelancongan di negara kita.

    “Tapi satu perkara yang saya tegur dalam mesyuarat itu adalah apabila disebutkan pelancongan negara akan mengambil masa lebih kurang lima tahun untuk pulih…iaitu sama dengan tempoh rancangan Malaysia lima tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Bersatu Bahagian Tangga Batu lewat malam tadi.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berkata untuk itu, MPN telah meminta kepimpinan sektor pelancongan meneliti semula dan tempoh tersebut seharusnya dipendekkan. 

    “Tiga atau empat tahun sahaja kerana di situlah (sektor pelancongan) banyak pengusaha-pengusaha kita sama ada bumiputera dan bukan bumiputera yang terkesan dalam tempoh dua tahun lepas, kerana sektor ini sudah berada dalam keadaan yang cukup tertekan sekali,” katanya.

    Terdahulu dalam mesyuarat MPN pada Selasa lepas, Muhyiddin telah mengesyorkan kerajaan untuk merangka inisiatif serta bantuan bagi memacu semula sektor pelancongan yang terjejas teruk sejak dua tahun lepas akibat pandemik COVID-19.

    Ia susulan ketibaan pelancong ke Malaysia berkurang sebanyak 99.5 peratus pada tahun lepas berbanding tahun-tahun sebelum pandemik. –Bernama

  • Murid lelaki dicabul, cuba diliwat pengawal keselamatan

    Murid lelaki dicabul, cuba diliwat pengawal keselamatan

    POLIS menahan seorang murid lelaki dipercayai dicabul dan cuba diliwat oleh seorang pegawal keselamatan semasa tidur di surau sebuah sekolah rendah agama, semalam.

    Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 12.15 pagi ketika mangsa yang berusia 12 tahu sedang tidur bersama-sama rakan di dalam surau sekolah berkenaan.

    “Kejadian itu terbongkar selepas mangsa menceritakan perlakuan suspek lelaki tersebut kepada ibu bapanya yang datang ke sekolah berkenaan.

    “Hasil siasatan awal mendapati kejadian mangsa dicabul dan cuba diliwat tersebut berlaku di surau sekolah ketika mangsa tidur bersama rakan di surau itu.

    “Pada malam tersebut juga mangsa terlibat dengan program qiamullail,” katanya memetik laporan Sinar Hariab, hari ini.

    Katanya, mangsa memberitahu kejadian cabul dan cubaan liwat itu kepada ibu bapanya ketika dijemput di sekolah tersebut pada pukul 10.15 pagi hari sama.

    “Mangsa dibawa oleh ibu bapa membuat laporan polis dan dirujuk ke Hospital Tanah Merah untuk pemeriksaan lanjut.

    “Susulan daripada itu, pengawal keselamatan yang berusia 38 tahun tersebut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

    Tambah beliau, suspek dibawa ke Mahkamah Tanah Merah pada hari ini untuk mendapatkan perintah reman.

    “Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017,” katanya.

  • Ribuan tetamu hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh

    Ribuan tetamu hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh

    RIBUAN tetamu hari ini menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh yang dianjurkan oleh Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Melalui catatan dalan Facebook beliau, Muhyiddin yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh berkata, tetamu terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan turut hadir rakan-rakan daripada parti komponen Perikatan Nasional negeri Johor seperti Pas dan Gerakan.

    ‘’Selaku Ahli Parlimen Pagoh, saya gembira melihat majlis rumah terbuka ini mendapat sambutan hangat daripada penduduk. Maklumlah sudah hampir dua tahun majlis seumpama ini tidak dapat diadakan ekoran pandemik COVID-19 yang menyebabkan hampir semua aktiviti ekonomi dan sosial dihentikan bagi mengekang penularan wabak tersebut,’’ katanya.

    Beliau berkata, para tetamu yang hadir masih menjaga dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal yang sudah menjadi sebahagian daripada budaya  baharu kehidupan kita.

    ‘’Selain menikmati pelbagai juadah yang disediakan pada majlis tersebut, saya mengambil peluang bertanya khabar dan beramah mesra  dengan para penduduk yang hadir,’’ katanya.

    Muhyiddin yang juga Bekas Perdana Menteri berkata, pada sebelah tengah hari beliau menyertai jemaah Kampung Olak Sepam menunaikan solat Jumaat di masjid kampung tersebut.