Category: Semasa

  • `Rakyat kata hujan saja yang turun, harga barang naik’ – Muhyiddin

    `Rakyat kata hujan saja yang turun, harga barang naik’ – Muhyiddin

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan beliau sudah mula menternak ayam penelur di kebunnya bagi kegunaan sendiri sebagai satu kaedah untuk menyelesaikan masalah bekalan telur di pasaran.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kajian empirikal yang dilakukan sekumpulan penyelidik ke atas 1,200 responden mendapati, masalah yang paling ketara dihadapi rakyat ketika ini adalah kos sara hidup.

    “Apabila ditanya kepada orang ramai, jawapan yang paling jelas adalah masalah kos sara hidup, harga makanan yang tidak berhenti-henti, bekalan makanan tak cukup, sampai telur pun tak cukup.

    “Saya sudah mula pelihara ayam telur di kebun saya, satu hari 40 biji telur. Saya nak tunjuk boleh selesai masalah kalau kita usahakan sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Negeri Sembilan, di Seremban malam tadi.

    Yang turut hadir, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad; Setiausaha Agung Ps, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan kepemimpinan tertinggi PN yang lain.

    Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagaimanapun mengakui bukan semua berkemampuan atau mempunyai kawasan yang boleh menternak 30 hingga 40 ekor ayam pada satu-satu masa.

    Katanya, ketika beliau membuat tinjauan di beberapa gerai di sekitar Taman Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini, ramai peniaga dan orang ramai merungut mengenai kenaikan harga barang.

    “Saya tanya (harga barang) bagaimana..mereka kata semuanya naik, saya tanya lagi apa yang turun, dia kata hujan yang turun.

    “Harga ayam berapa? RM10 lebih sekilogram, zaman saya jadi menteri dulu RM6.40. Dia cakap itu zaman Tan Sri dulu, ada naik (tetapi) naik sekarang RM10 sekilo,” katanya lapor Berita Harian.

  • Polis buru suspek seksa anjing dengan kayu hingga mati

    Polis buru suspek seksa anjing dengan kayu hingga mati

    POLIS Pulau Pinang sedang mengesan suspek lelaki dipercayai warga tempatan yang disyaki menyeksa seekor anjing menggunakan kayu sehingga mati di Kampung Teluk Tempoyak, Batu Maung, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, terdahulu artikel serta video tular berkenaan kejadian itu yang memaparkan dua lelaki sedang menyerang sesuatu (anjing) menggunakan kayu di kawasan semak tular di dalam media sosial.

    Jelasnya, seorang pengadu turut membuat laporan polis dan siasatan lanjut mendapati kejadian itu berlaku di Kampung Teluk Tempoyak, Batu Maung, kira-kira pukul 8.38 malam kelmarin.

    ”Menurut saksi kejadian, dia melihat dua suspek lelaki tempatan yang tidak dikenali disyaki tinggal berdekatan tempat kejadian sedang menyerang seekor anjing yang terjatuh ke dalam longkang di tepi jalan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Video yang tular di media sosial Twitter itu memaparkan dua lelaki terbabit bertindak memukul anjing tersebut menggunakan batang kayu.

    Menerusi laporan media sosial tersebut, difahamkan anjing itu dilanggar motosikal berkenaan ketika melalui jalan di kawasan tersebut yang agak gelap dan suram.

    Menurut Kamarul Rizal, saksi kejadian turut bertindak merakam perbuatan suspek menggunakan telefon bimbit miliknya dan menghantar rakaman itu kepada rakannya yang tinggal di Petaling Jaya sebelum ditularkan melalui akaun Twitter.

    ”Usaha untuk mengesan suspek terlibat masih diteruskan dan polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.

    Tambah beliau, polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang mendera atau memukul binatang tanpa alasan munasabah.

    ”Pihak polis juga ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan lagi video berkenaan,” katanya.

  • Sentuh isu 3R, polis sedang siasat Hadi Awang

    Sentuh isu 3R, polis sedang siasat Hadi Awang

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan ke atas Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya yang dipercayai menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum).

    Timbalan Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk G. S. Suresh Kumar berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Ini susulan dakwaan Abdul Hadi bahawa DAP mahu mengekalkan pengertian Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah yang menjunjung liberalisme dan kebebasan yang diamalkan negara Barat.

    “Kenyataan itu dipercayai dilakukan melalui hantaran Facebook Abdul Hadi pada Sabtu lalu dan ia turut diulas dalam artikel yang diterbitkan portal berita New Straits Times pada tarikh yang sama.

    “Justeru, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Berikutan siasatan masih dijalankan, Suresh menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses tersebut.

    Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara, lapor Astro Awani.

    Baru-baru ini, media melaporkan Abdul Hadi menyerang DAP dengan mendakwa parti itu memiliki agenda perkauman Cina dan mahu menyambung usaha penghapusan ketuanan Melayu serta Bumiputera yang dirancang penjajah British.

    Abdul Hadi turut mendakwa, DAP menggunakan jurubicara dalam kalangan orang Melayu untuk mencapai agenda parti itu, manakala parti lain yang bekerjasama dengan DAP hanya menumpang pengaruhnya untuk menang.

    Pada 3 Julai lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan semua parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi agar tidak memainkan isu-isu sensitif khususnya isu 3R sepanjang tempoh berkempen.

    Katanya, ia bagi mengelakkan wujud ketidakharmonian dalam kalangan rakyat terutamanya institusi diraja, agama dan bangsa sepanjang perjalanan PRN nanti.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga memberi peringatan sama, sambil menambah, jika ia berlaku, PDRM akan mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

  • Muhyiddin tak jangka masalah kerajaan campuran sebesar ini

    Muhyiddin tak jangka masalah kerajaan campuran sebesar ini

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akui tidak menjangka masalah kerajaan campuran yang dihadapi hari ini selepas lebih tujuh bulan BN-PH bersama begitu besar.

    Katanya, secara zahir kerajaan campuran itu kelihatan utuh namun hakikatnya ia menanti masa untuk tersungkur.

    Orang ramai menghadiri Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri Sembilan Perikatan Nasional (PN), pada Ahad malam.

    “Kita dah ada bilangan (untuk membentuk kerajaan) tapi kita tak setuju bersama kerajaan perpaduan kerana kita tahu akan ada masalah. Saya pun tak jangka (akan) ada masalah sebesar ini.

    “…Dia (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) sudah merosakkan partinya sebab berpaut pada PH yang dalamnya ada DAP. Sejak bila UMNO dan DAP sebulu? Ini (kacau bilau) sudah berlaku, sudah timbul kacau bilau dalam kerajaan.

    “Zahirnya nampak berpadu tapi tunggu masa saja akan terburai dan tersungkur jatuh. Sebab itu tiap-tiap hari perdana menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) buka mulut, saham jatuh, ringgit jatuh malahan bukan saja jatuh tapi orang tak percaya.

    “Apabila kamu seorang pemimpin, tiap kali kamu bercakap kamu kena bercakap benar. Sekarang ini beliau…bercakap bohong,” katanya lapor AgendaDaily ketika berucap pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri Sembilan Perikatan Nasional (PN), malam tadi.

    Orang ramai menghadiri Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri Sembilan Perikatan Nasional (PN), pada Ahad malam.

    Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata Zahid berpaut pada cikgunya, Anwar yang berkuasa demi menyelamatkan diri.

    “Dia ada masalah. Ada 47 pertuduhan yang kena jawab…Berat. Dia kena fikir cara selamatkan diri. Dulu dia minta tolong dengan saya, tapi bila dia ada kes mahkamah, saya cakap ‘no’…tak boleh duduk dalam Kabinet.

    “Tapi Anwar lantik jadi timbalan perdana menteri. Dia bermasalah. Mungkin nak selamatkan diri dia cari orang yang ada kuasa. Siapa ada kuasa? Cikgu dia. Siapa cikgu dia? Anwar Ibrahim. Anwar pun kata dia ada masalah. Kalau tak ada sokongan BN, dia (Anwar) tak jadi PM. ‘So I scratch ur back, you scratch my back’,” katanya.

    Menurutnya lagi, UMNO yang dulunya memperjuangkan orang Melayu kini ‘hampir tiada’ di bawah pimpinan Zahid.

    “Saya dalam UMNO lama, kami berjuang sejak dulu dalam UMNO sebab kami yakin UMNO untuk Melayu, agama tapi hari ini, UMNO hampir tiada.

    “BN terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC. Apa jadi MCA dan MIC? Tak pernah terjadi dalam sejarah MCA dan MIC tak tanding dlm pilihan raya..sebab tak ada kesepakatan dalam BN yang dipimpin Zahid,” katanya.

  • Saya di luar negara, Ahmad Fadhli jawab Guan Eng

    Saya di luar negara, Ahmad Fadhli jawab Guan Eng

    KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari memaklumkan kini berada di luar negara dan tidak dapat menyahut cabaran Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mahu beliau sendiri membuat laporan polis terhadapnya.

    Fadhli berkata, bukan setakatnya, malah ramai tidak berpuas hati dengan kenyataan Lim yang didakwa membuat kenyataan berkait pemusnahan ‘tokong’ dan penafian hak agama di Pulau Pinang.

    “Yang Berhormat Bagan yang saya hormati, laporan polis ini tak kisah siapa yang buat, polis tetap siasat. Tak ada beza saya atau sesiapa yang buat laporan. Ini kerajaan Madani, semua laporan akan disiasat, soal ambil tindakan dakwa atau tidak, wallahualam.

    “Lagi pun saya di luar negara sekarang dan yang tidak berpuas hati dengan kenyataan itu bukan saya seorang, biarlah polis siasat,” katanya dalam Facebook, lapor FMT.

    Difahamkan, Fadhli kini sedang menghadiri perjumpaan Pemuda Islam sedunia di Ankara, Turki.

    Fadhli mengulas cabaran Lim supaya beliau sendiri membuat laporan terhadap pengerusi DAP selepas sayap gabungan itu dikerah membuat laporan polis berkait ucapannya baru-baru ini.

    Lim berkata, Fadhli tidak patut membiarkan ‘anak-anak buahnya’ menghadapi kemungkinan melakukan jenayah dengan membuat laporan polis palsu.

    Semalam, Lim menolak dakwaan beliau menyentuh isu berkait 3R atau religion (agama), royalty (raja), dan race (kaum) dalam ucapannya pada satu program di Jelutong, Pulau Pinang, kelmarin sambil mendakwa ia diputar belit pihak media.

    Terbaharu, Bukit Aman memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap Lim berhubung ucapannya yang didakwa menyentuh isu berkait 3R.

  • Ras Adiba sertai Bersatu

    Ras Adiba sertai Bersatu

    BEKAS Senator, Datuk Ras Adiba Radzi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas menerima watikah keahlian parti berkenaan hari ini.

    Watikah berkenaan disampaikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di Seremban.

    Turut menerima watikah ialah bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

    Dua lagi individu iaitu bekas Ketua Wanita Keadilan Negeri Sembilan, Azlimah Zamli dan bekas Ketua Cabang Keadilan Jelebu merangkap bekas Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Yus Mazmi Ahmad Yusof pula menyerahkan borang keahlian Bersatu mereka, lapor Sinar Harian.

  • Khairy ingatkan Guan Eng, patung Buddha terbesar ada di Kelantan

    Khairy ingatkan Guan Eng, patung Buddha terbesar ada di Kelantan

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengingatkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng fakta kewujudan patung Buddha duduk terbesar di Asia Tenggara terletak di Kelantan.

    Menurutnya, patung Buddha berbaring kedua terbesar di Asia juga berada di Kelantan bukan negeri lain.

    “Hanya nak ingatkan Guan Eng kononnya ‘gelombang hijau’ akan merobohkan kuil di Pulau Pinang. Ini adalah patung Buddha duduk terbesar di Asia Tenggara. Teka di mana? Tumpat, Kelantan.

    “Hok ni reclining Buddha paling besar di Malaysia dan nombor dua di Asia Tenggara. Mana? Tumpat, Kelantan. Nak royak gapo lagi pasal ‘green wave‘ ni?” soalnya dalam Insta Story, semalam.

    Bekas menteri kesihatan itu turut berkongsi gambar kedua-dua patung tersebut dalam media sosialnya selepas Guan Eng dilaporkan memberi amaran rumah ibadat akan dirobohkan jika ‘gelombang hijau’ menawan Pulau Pinang.

    “Saya tidak mahu mempercayai berita ini pada mulanya. Tetapi saya semak dan ia adalah tepat. Ini menimbulkan ketakutan kaum dan hasutan.

    “Anda fikir orang Melayu akan mengundi menentang anda kerana kami semua adalah sebahagian daripada ‘gelombang hijau’ Taliban? Periksa kepala dan hati anda.

    “Pasti Pas ada menyatakan beberapa perkara yang melampau. Tetapi kenyataan ini keterlaluan dan boleh menghancurkan jalinan bangsa kita,” katanya lagi, lapor Agenda Daily.

    Beberapa laporan polis dibuat terhadap Guan Eng susulan kenyataannya yang mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal musnahkan tokong Buddha dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

  • Polis tahan wanita warga emas simbah asid kepada tiga beranak

    Polis tahan wanita warga emas simbah asid kepada tiga beranak

    SEORANG wanita warga emas disyaki menyimbah asid ke arah tiga beranak ditahan dalam satu serbuan di sebuah taman perumahan sekitar Rawang, di Gombak, hari ini.

    Pemangku Ketua Polis Gombak, Superintendan Noor Arifin Mohamad Nasir berkata, suspek berusia lingkungan 60-an yang melakukan perbuatan itu terhadap sepasang sumai isteri dan anak mereka, ditahan pukul 4.20 petang tadi.

    “Tangkapan sudah dibuat ke atas suspek terlibat namun punca kejadian kita akan cuba dapatkan selepas permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, esok,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Terdahulu media melaporkan, seorang warga emas bersama suami dan anaknya yang juga pengusaha kedai roti naan menempuh detik cemas apabila disimbah asid semasa memasuki lif di Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves, Gombak, baru-baru ini.

    Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian itu tular di media sosial selepas dimuat naik seorang individu yang mengaku sebagai kenalan mangsa.

    Video berkenaan memaparkan seorang suspek berdiri berhampiran mangsa semasa mereka sekeluarga sedang menunggu lif sebelum menyimbah cecair dipercayai asid sejurus mereka memasuki lif.

  • Ahmad Zahid pertahan Guan Eng

    Ahmad Zahid pertahan Guan Eng

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang didakwa sengaja membangkitkan isu 3R iaitu agama, raja dan kaum ketika menyentuh berkenaan perobohan tokong Buddha atau Cina oleh ‘gelombang hijau’.

    Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan mengakui ada membaca laporan berita mengenai dakwaan itu namun menjelaskan ada pihak sengaja memainkan semula isu terbabit dan cuba memburukkan bekas Menteri Kewangan itu.

    Justeru, Ahmad Zahid menyifatkan dakwaan yang cuba memburukkan Guan Eng itu adalah satu pembunuhan karakter.

    “Tidak, saya juga membacakan laporan laporan itu. Ia berlaku sudah beberapa lama tetapi ia diulang untuk memburukkan Lim Guan Eng.

    “Saya fikir kalau kita berbeza politik sekalipun, eloklah perbezaan itu dengan akhlak politik yang baik. Jangan ikutkan character assassination (pembunuhan karakter),” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Minggu Usahawan Negara (MUN) dan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) 2023 Peringkat Kebangsaan, di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini.

    Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr. Syed Hussain Aljunid.

    Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.

    Guan Eng mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

    Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, dilaporkan meminta polis menyiasat kenyataan Guan Eng yang mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal musnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

    Akmal berkata, tindakan itu sebagai memberi amaran keras supaya tidak sesekali mempermainkan isu 3R tanpa mengira parti.

    Menerusi hantaran dalam Facebooknya semalam, Guan Eng menolak dakwaan beliau sengaja membangkitkan isu 3R ketika menyentuh berkenaan perobohan tokong Buddha atau Cina dalam ucapan pada satu program di Jelutong, Pulau Pinang.

    Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menegaskan, ucapannya yang itu sudah diputar belit, seolah-olah ada pihak ingin merobohkan tokong Buddha atau Cina.

  • Sentuh isu 3R:Polis siasat Guan Eng

    Sentuh isu 3R:Polis siasat Guan Eng

    TIMBALAN Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk G. S. Suresh Kumar hari ini mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

    Menurutnya, siasatan tersebut berhubung kenyataannya yang menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum).

    Beliau berkata, siasatan dijalankan selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima beberapa laporan polis berkait perkara itu.

    “Laporan polis yang diterima itu berkaitan kenyataan Guan Eng yang dipercayai menyentuh isu 3R dengan mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

    “Kenyataan itu dipercayai diucapkan beliau semasa berucap dalam program ‘Tian Fu Gong Bai Long Wang Singapore – Malaysia Tour 2023’ di Tokong Batu, Jelutong, Pulau Pinang pada 7 Julai lalu.

    “Pada 8 Julai lalu (semalam), portal berita Malaysianow turut menyiarkan artikel berhubung kenyataan Pengerusi DAP itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Berikutan itu, beliau berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kini memulakan siasatan terhadap Guan Eng berhubung isu berkenaan.

    Jelasnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Siasatan masih dijalankan, justeru orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Suresh Kumar menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

    Terdahulu, sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.

    Guan Eng mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.