Category: Semasa

  • Eksport ayam 3.6 juta ekor sebulan dihenti 1 Jun – PM

    Eksport ayam 3.6 juta ekor sebulan dihenti 1 Jun – PM

    EKSPORT ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan dihentikan bermula 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Ketetapan itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet hari ini sebagai langkah jangka pendek kerajaan terhadap isu bekalan serta harga ayam.

    Ismail Sabri berkata, selain itu kerajaan turut memutuskan untuk mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi.

    Turut diputuskan adalah memansuhkan Permit Import (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan peluang penglibatan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan dan mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam.

    Sebagai langkah jangka pendek mesyuarat Kabinet hari ini juga membuat ketetapan menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam, kata Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini.

    “Kerajaan sedar terdapat laporan bahawa wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar. Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat perkara ini dan siasatan dijangka selesai pada Jun.

    “Jika didapati wujud kesepakatan kartel itu, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya.

    Perdana Menteri berkata kerajaan dalam masa sama akan mengurangkan peranan orang tengah yang memanipulasi bekalan dan harga serta akan memperkenalkan semula jihad memerangi orang tengah yang diperkenalkan pada 2014 dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diberi peranan untuk mengetuai jihad itu.

    Mengenai pandangan jemaah menteri berhubung penanaman jagung dan hampas isirung kelapa sawit (PKC) untuk menjadi alternatif kepada makanan ayam, Ismail Sabri berkata MAFI dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna diminta membentangkan pelan dalam masa terdekat bagi penanaman jagung dan sebagainya.

    Ismail Sabri berkata selain itu Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), agensi kerajaan, Pertubuhan Peladang dan Koperasi turut digalak untuk terlibat dalam penternakan ayam dan kerajaan akan mengkaji bantuan kepada mereka yang terlibat.

    Perdana Menteri berkata kerajaan kesal dan kecewa terhadap tindakan beberapa syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran.

    Beliau berkata pada masa ini harga siling ayam standard ditetapkan pada harga RM8.90 sekilogram dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Feb lepas.

    “Bagaimanapun pihak kerajaan mendapati (ada) beberapa syarikat besar yang tidak berminat untuk memohon subsidi dan mahu kerajaan membiarkan harga ayam ditentukan sendiri oleh pasaran. Setakat ini, hanya RM50 juta subsidi telah dibayar kepada penternak yang kebanyakannya adalah syarikat kecil,” katanya.

    Ismail Sabri berkata bagi membolehkan tindakan perundangan diambil, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun turut dipanggil pada mesyuarat Kabinet hari ini dan menasihati Kabinet untuk mengguna pakai Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) jika terdapat aktiviti menyorok, menyimpan atau unsur-unsur sabotaj terhadap bekalan ayam, selain lesen mereka juga boleh dibatalkan serta merta.

    Selain itu Perdana Menteri berkata MAFI dan KPDNHEP diminta melakukan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974).

    Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974) memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu dan denda sehingga RM2 juta bagi perbadanan atau syarikat.

    “Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjejaskan kehidupan rakyat.

    “Sehubungan itu, saya memohon agar Keluarga Malaysia menyokong tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan ini demi menjaga kepentingan rakyat yang terhimpit dengan peningkatan harga dan kos sara hidup serta kekurangan bekalan,” katanya. – BERNAMA

  • Ops Tapis diteruskan, buru dalang utama sindiket edar dadah antarabangsa

    Ops Tapis diteruskan, buru dalang utama sindiket edar dadah antarabangsa

    POLIS  Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan operasi dan siasatan bagi mengenal pasti dalang utama sindiket pengedaran dadah antarabangsa menerusi beberapa siri Op Tapis yang akan diteruskan lagi.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata sehingga kini terdapat ada 2,100 tokan dadah yang dianggap sebagai “tokan pertengahan” berjaya ditangkap, polis akan meneruskan siasatan bagi menahan dalang sebenar kegiatan itu.

    “Kita tidak menafikan kegiatan pengedaran dadah di negara ini mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa seperti di Kelantan, kebanyakan dadah dibawa masuk dari negara jiran,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada kepada pemberita selepas melawat Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dan meninjau operasi pintu masuk di Malaysia-Thailand, di Pasir Mas hari ini.

    Terdahulu beliau meninjau laluan tikus di sepanjang Sungai Golok bermula di Pengkalan Kubor, Tumpat hingga Kubang Pak Hitam, Pasir Mas bersama Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun dan Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan Mohd Nasir Deraman.

    Ayob Khan berkata daripada 175 pangkalan haram di Kelantan, 135 daripadanya aktif digunakan penyeludup untuk kegiatan penyeludupan, dan sepanjang tahun lepas pihak berkuasa merampas 2,219 kilogram (kg) syabu; ganja (1,063kg); pil kuda (1.6 biji); heroin (100kg) dan ketamin (44kg) yang cuba diseludup di laluan kecil dan pangkalan haram di kawasan berkenaan.

    — BERNAMA

  • Bot tunda bawa 3 kru hilang

    Bot tunda bawa 3 kru hilang

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah bot tunda yang hilang di kawasan 35 batu nautika barat laut, Pulau Mantanani, Kota Kinabalu pada Ahad lalu.

    Bot tunda Megah Jaya 2 yang disyaki karam itu difahamkan membawa tiga kru warga tempatan, iaitu Lim Chung Siong, 24, Wilson Paul Joseph, 31 dan Yee Lih Min, 22, seperti yang dilaporkan Berita Harian.

    Menurut Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Datuk Mohd. Rosli Abdullah, laporan kehilangan bot berkenaan dibuat pemilik kapal sejurus menyedari akan kehilangannya pada pukul 9.30 pagi.

    Operasi CARILAMAT terus diaktifkan dengan mengatur gerak KM Bistari ke lokasi untuk melakukan pemantauan dan pencarian
    awal.

    “Kawasan pencarian bot tunda Megah Jaya 2 ini terbahagi kepada tiga sektor dengan keluasan keseluruhan 176 batu nautika,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambahnya, operasi pencarian itu turut membabitkan agensi berkaitan, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    Orang ramai yang mempunyai petunjuk berkaitan kes ini diminta menyalurkannya terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774.

  • Polis akan panggil Kit Siang selepas lengkap siasatan

    Polis akan panggil Kit Siang selepas lengkap siasatan

    JABATAN Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman akan melengkapkan siasatan berhubung ciapan dimuat naik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang yang didakwa mengandungi kenyataan boleh menggugat ketenteraman awam.

    Polis sedang melengkapkan siasatan dan selepas itu pihaknya akan memanggil veteran politik daripada DAP itu.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, pada masa ini Kit Siang masih belum dipanggil bagi dirakam percakapan.

    “Selepas siasatan dilengkapkan kita akan memanggil beliau,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan siasatan dijalankan JSJ Bukit Aman terhadap ciapan dimuat naik Kit Siang yang didakwa mengandungi kenyataan boleh menggugat ketenteraman awam.

    Imej tangkap layar ciapan terbabit turut tular melalui aplikasi WhatsApp sejak ia dimuat naik.

    Lim dipercayai mengeluarkan kenyataan ‘Will The Houses Of The Prime Minister and Ministers of Malaysia Be Set On Fire by Angry Protestors As Happened in Sri Lanka Last Week’ (Adakah Rumah Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Malaysia Dibakar oleh Penunjuk Perasaan Seperti Berlaku di Sri Lanka, Minggu Lepas).

  • Jumlah kes HFMD di Kedah melonjak

    Jumlah kes HFMD di Kedah melonjak

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kedah terus meningkat apabila seramai 790 individu, disahkan menghidap penyakit tersebut pada minggu epidemiologi ke-20 antara 15 hingga 21 Mei lalu.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, angka itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding minggu epidemiologi ke-19 antara 8 hingga 14 Mei yang mencatat hanya 419 kes.

    Katanya, peningkatan sebanyak 371 kes atau 89 peratus itu turut disumbangkan oleh kemunculan 13 wabak baharu melibatkan sembilan Taska, dua tadika dan dua pra-sekolah.

    “Sembilan daripada premis berkenaan telah diarah untuk ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 manakala empat yang lain menutup operasi mereka secara sukarela.

    “Semua kes yang dilaporkan menunjukkan gejala ringan dan pesakit hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

    “Tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Hayati menambah, secara keseluruhannya kes HFMD di Kedah pada tahun ini setakat 21 Mei lalu sudah pun mencecah 2225 kes.

    “Jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 1,437 kes atau 196 peratus jika dibandingkan dalam tempoh sama, sewaktu sebelum kedatangan pandemik Covid-19 pada 2019,” katanya.

    Katanya, daerah Kuala Muda mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 509 kes atau 22.9 peratus diikuti Kubang Pasu yang mencatatkan sebanyak 361 kes atau 16.2 peratus.

    “Di Kota Setar pula sebanyak 299 kes atau 13.4 peratus dicatatkan dan di Kulim pula ada sebanyak 207 atau 9.3 peratus kes,” ujarnya.

    Beliau turut memaklumkan, sebanyak 40 wabak HFMD telah dilaporkan di negeri ini dengan 39 daripadanya melibatkan pusat pendidikan seperti Taska, Tadika dan Pra sekolah.

    “Kesemua 39 premis berkenaan telah diarahkan tutup sementara atau ditutup secara sukarela bagi tujuan sanitasi serta pencegahan jangkitan,” katanya.

  • 6 sekeluarga termasuk suami isteri warga emas aktif edar syabu dicekup polis

    6 sekeluarga termasuk suami isteri warga emas aktif edar syabu dicekup polis

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEBUAH keluarga terdiri daripada ibu dan bapa berusia 64 dan 62 tahun serta tiga anak dan seorang menantu mereka masing-masing berusia antara 36 hingga 38 tahun ditahan polis dipercayai menjadi sindiket pengedaran dadah jenis syabu di Pulau Pinang.

    Kesemua mereka ditahan dalam operasi bersepadu bermula pukul 6 petang hingga 9.50 malam pada 18 Mei lalu di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) yang mana polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 8.28 kilogram bernilai RM298,332 daripada sindiket terbabit.

    Sindiket itu didalangi salah seorang anak lelaki pasangan warga emas berkenaan berusia 38 tahun yang ditahan bersama dua lagi adik beradiknya yang lain termasuk sepasang suami isteri.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komissioner Mohd. Shukhairy Abd. Sabhe berkata, serbuan pertama dilakukan di tepi jalan di Sungai Bakap yang mana polis berjaya menahan ketua sindiket berkenaan.

    Katanya, lelaki itu yang bekerja sebagai pemandu van ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 6.2 kilogram bernilai RM223,596.

    Tambah beliau, susulan tangkapan pertama itu, polis menyerbu pula sebuah rumah di Bukit Tengah dan menahan empat suspek iaitu ibu bapa lelaki tersebut serta adiknya bersama isteri dan merampas dadah jenis syabu seberat 2.07 kilogram bernilai RM74,736.

    “Serbuan kemudian dilakukan di sebuah lagi rumah di Taman Bagan, Butterworth yang mana kita menahan seorang wanita berusia 38 tahun bagi membantu siasatan.

    “Wanita berkenaan dipercayai ahli sindiket tersebut namun tiada rampasan dadah dibuat ketika serbuan dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mohd. Shukhairy, keluarga berkenaan dipercayai mula aktif dalam kegiatan pengedaran dadah itu sejak Mei tahun lalu untuk pasaran tempatan.

    Tambah beliau, hasil saringan air kencing ke atas kesemua suspek didapati negatif dadah namun semakan rekod mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

    Ujarnya, selain rampasan dadah pihaknya turut menyita sebanyak empat buat kereta dan barang kemas berjumlah RM119,204 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dalam operasi itu sebanyak RM417,536.

    “Kesemua suspek direman selama enam hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Lelaki OKU dipenjara 15 tahun, 10 sebatan rogol anak tiri

    Lelaki OKU dipenjara 15 tahun, 10 sebatan rogol anak tiri

    MAHKAMAH Sesyen Ayer Keroh, di Melaka hari ini menjaatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan terhadap seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam kerana merogol anak tirinya dua tahun lalu.

    Harian Metro melaporkan, Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah di akhir kes pendakwaan hari ini.

    Terdahulu, selepas menimbangkan keterangan tujuh saksi dan hujah pihak pendakwaan, Maziah Joary memutuskan ada kes prima facie dan memerintahkan tertuduh membela diri atas pertuduhan itu.

    Bagaimanapun tertuduh berusia 27 tahun dan berasal dari sebuah kampung di Bukit Katil, di sini, memberitahu mahkamah dia ingin menukar pengakuan.

    Mahkamah menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 9 Mac 2020 serta menjalani kaunseling pemulihan serta dua tahun pengawasan polis selepas selesai hukuman mengikut peruntukan Seksyen 26 (1) dan Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa merogol anak tirinya berusia 14 tahun enam bulan di dalam bilik kedua di sebuah rumah di Bukit Katil pada 19 Februari 2020, kira-kira pukul 2 pagi.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira keseriusan kesalahan dilakukannya iaitu merogol anak tiri.

    “Tertuduh juga hanya mengaku bersalah selepas perbicaraan (bermula 5 April 2021) yang mana di akhir kes pendakwaan hari ini dia diperintah membela diri selepas kes prima facie dibuktikan,” katanya.

    Peguam bela dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Chia Cheng Wee ketika merayu hukuman ringan memohon mahkamah menimbangkan tertuduh seorang OKU lembam yang hanya bekerja kampung dan menanggung isteri yang juga pesakit psikiatri dan tiga anak termasuk dua anak tiri.

  • Hentikan ‘percaturan dan permainan’ harga ayam

    Hentikan ‘percaturan dan permainan’ harga ayam

    PARA pemain industri ternakan ayam di negara ini diingatkan supaya tidak meneruskan ‘percaturan dan permainan’ harga melalui pengurangan bekalan ayam di pasaran dengan pelbagai alasan kerana tindakan itu sangat membebankan rakyat ketika ini.

    Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, masalah kekurangan bekalan ayam di pasaran ketika ini tidak sepatutnya berlaku kerana pada asasnya, bekalan untuk pasaran tempatan adalah sangat mencukupi.

    “Bila dikatakan berlaku bekalan ayam tidak mencukupi, ini bermaksud ada benda-benda tak betul yang wujud… Tidak dinafikan memang ada penyakit ayam dan beratnya tidak sesuai untuk dijual, namun situasi itu sentiasa berlaku sepanjang masa,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

    Menurut beliau, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk meneliti mengapa perkara itu berlaku dan berharap pemain dalam industri ayam di negara ini dapat bersama-sama kerajaan membantu rakyat.

    “Katakan contoh sebelum ini untung untuk seekor ayam ialah RM2, apa salahnya dalam situasi sukar ini mereka ambil untung RM1 namun konsisten untuk ternak ayam secara berpanjangan dan jangan ada percaturan harga,” katanya. – BERNAMA

  • Najib, Shafee gagal dapat kebenaran rayu gugur Sri Ram

    Najib, Shafee gagal dapat kebenaran rayu gugur Sri Ram

    DATUK Seri Najib Tun Razak dan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah gagal dalam usaha mereka untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada pasukan pendakwaan kes mereka.

    Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh sebulat suara menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan tanpa perintah berhubung kos.

    Beliau berkata, persoalan undang-undang yang Najib dan Muhammad Shafee mahu mahkamah pertimbangkan telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Pendakwa Raya melawan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2014 dan disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.

    Dalam kes sivil, pihak litigasi perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum boleh meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

    Mohd Zawawi, yang bersidang bersama Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, berkata persoalan undang-undang mengenai pelantikan peguam bela sebagai timbalan pendakwa raya telah selesai dan mahkamah tidak mempunyai sebab untuk tidak menerima keputusan itu yang disahkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Anwar.

    Dalam kes berkenaan, Anwar memohon untuk menggugurkan Muhammad Shafee daripada bertindak sebagai pendakwa ad hoc untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan pendakwaan dalam kes liwat.

    Hakim Mahkamah Persekutuan (Mohd Zawawi) berkata, Seksyen 376 (3) dan Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah berkaitan dengan dua cara pelantikan, pertama pelantikan terus oleh pendakwa raya dan Seksyen 379 adalah melalui fiat pendakwa raya.

    Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk melucutkan kelayakan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada Disember 2018.

    Muhammad Shafee, yang juga peguam bekas perdana menteri itu, turut memfailkan semakan kehakiman kerana beliau juga mahu menggugurkan Sri Ram daripada pasukan pendakwaan perbicaraan pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang dihadapinya.

    Mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan menyatakan bahawa surat pelantikan itu tidak sah.

    Najib dan Muhammad Shafee juga memohon pengisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan itu dan memohon perintah untuk melarang Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes yang dihadapi mereka, termasuk dalam kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

    Kedua-dua semakan kehakiman Najib dan Muhammad Shafee telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 2020 dan mereka gagal dalam rayuan mereka yang juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan tahun lepas.

    Semasa prosiding hari ini yang dijalankan secara maya, Muhammad Shafee yang mewakili Najib dan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee berkata terdapat persoalan undang-undang baharu dan kepentingan awam untuk dipertimbangkan oleh Mahkamah Persekutuan.

    Antara persoalan undang-undang yang dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Mahkamah Persekutuan adalah berkaitan pelantikan peguam sebagai timbalan pendakwa raya di bawah Seksyen 376 (3) dan Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah.

    Persoalan lain adalah sama ada pihak pendakwa raya boleh melantik peguam bela sebagai timbalan pendakwa raya kanan tanpa pelantikannya sebagai timbalan pendakwa raya dibuat di tempat dahulu mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah.

    Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan bertindak bagi pihak kerajaan, Peguam Negara dan Sri Ram membantah permohonan kebenaran dengan mengatakan bahawa persoalan undang-undang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Anwar. – BERNAMA

  • Polis nafi anggotanya salah guna kuasa

    Polis nafi anggotanya salah guna kuasa

    Polis hari ini menafikan anggotanya menyalah guna kuasa ketika menahan orang awam di sebuah gerai makan di Jalan Cheras Utama, Kuala Lumpur, kelmarin.

    Pihak polis sebelum itu terkesan satu hantaran menerusi aplikasi Twitter yang dimuat naik seorang pemilik akaun mendakwa anggota polis menyalah guna kuasa.

    Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, semakan mendapati anggota Balai Polis Cheras sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah mengesan seorang lelaki disyaki membeli nombor ekor haram dalam talian dengan menggunakan aplikasi WhatsApp pada pukul 2.30 petang.

    “Ketika pihak polis mahu memeriksa telefon bimbit secara terperinci, individu tersebut tidak memberi kerjasama dan beredar dari tempat tersebut dengan menaiki kereta ke rumah saudaranya.

    “Anggota polis telah maklum dan meminta bantuan Ketua Balai Polis Cheras. Pegawai polis yang hadir ke rumah tersebut telah menerangkan tujuan dan membawa individu berkenaan ke Balai Polis Cheras untuk siasatan lanjut,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Muhammad Idzam berkata, hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbit individu tersebut mendapati aplikasi WhatsApp telah dinyah pasang menyebabkan bukti berkaitan pembelian nombor ekor haram dalam talian tidak dapat diperolehi.

    “Setelah selesai proses dokumentasi, individu tersebut telah dibebaskan tanpa syarat dan satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian ini,” ujarnya.

    Pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam.

    “Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.