Category: Semasa

  • Maritim tahan kapal tangki Vietnam

    Maritim tahan kapal tangki Vietnam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH kapal tangki Vietnam ditahan kerana didapati bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 22.6 batu nautika timur laut Tanjung Kelesa, Kota Tinggi, pukul 3.20 petang semalam.

    Kapan tersebut ditahan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili semasa melaksanakan operasi rutin di perairan tersebut.

    Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, kapal tangki itu berdaftar di Vietnam.

    “Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut dikendalikan 24 kru lelaki termasuk nakhoda, terdiri daripada 19 warga Vietnam dan lima warga Myanmar berumur di antara 22 hingga 55 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Pemeriksaan ke atas dokumen kapal mendapati nakhoda gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, kapal itu ditahan dan nakhoda serta seorang kru dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut.

    Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

    “Maritim Malaysia akan terus memantau dan memastikan perairannegeri Johor bebas dari sebarang cubaan bersauh tanpa kebenaran.

    Pemilik atau pengusaha perkapalan dinasihatkan untuk mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia dan mengikut peraturan atau segera beredar kerana Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

  • Harga barang naik: ‘Kerajaan seolah tidak peduli derita rakyat’

    Harga barang naik: ‘Kerajaan seolah tidak peduli derita rakyat’

    KERAJAAN Keluarga Malaysia disifatkan sebagai tidak proaktif dan mengabaikan keluhan rakyat yang kini dihimpit krisis kenaikan harga dan kekurangan bekalan makanan serta barangan keperluan harian.

    Meluahkan kehampaan mereka kepada SatuBerita dalam tinjauan di sekitar Serdang, Selangor, semalam, mereka menuntut tindakan berkesan daripada kerajaan.

    Seorang penduduk Sri Serdang, Siti Fatimah, 57 berkata, berasa amat sedih dan kecewa dengan apa yang sedang berlaku hari ini.

    “Saya rasa Malaysia ni sudah… saya tak berani juga nak cakap, tapi pemimpin-pemimpin kita agak mengecewakan termasuk Perdana Menteri kita sendiri. Mereka tak pandang keadaan rakyat, ibarat masalah rakyat ini tak diselesaikan.

    “Mereka perlu lebih banyak turun padang dan tengok keadaan rakyat. Banyak perkara yang rakyat tengah hadapi bukan setakat kenaikan harga barang. Mereka perlu lebih utamakan kita sebagai rakyat. Harga barang yang naik ni perlu dipantau, barangan itu semua keperluan harian,”katanya.

    Peniaga kedai makanan, Thana Scegaran, 56 berkata, kenaikan harga hari ini sudah mencapai tahap tidak masuk akal. Menurutnya, kenaikan mendadak harga sayur-sayuran amat membebankan dia dan keluarga yang mengamalkan pemakanan vegetarian.

    “Sayur terlalu mahal sekarang. Harga berapa helai sayur pun sudah berapa? Kami nak buat macamana?

    “Kerajaan hanya cakap saja, tapi tidak buat. Apa yang dia janji nak buat, sepatutnya dia perlu buat. Harga barangan tak nampak penurunan langsung. Makin naik ada lah… Sememangnya rasa kesal sangat.

    “Mereka hanya kawal harga gula dan tepung sahaja bila saya pergi pasar. Minyak masak pun makin naik harga,” luahnya.

    Pesara bank, Zulkifli Ismail, 59 berkata, kerajaan perlu lebih agresif dalam menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak terutamanya pembekal yang mengambil kesempatan menaikkan harga.

    “Tolong selidik apa yang sedang terjadi terutamanya pengeluar produk. Perlu stabilkan kembali harga barangan. Ini tiba-tiba sahaja naik. Malah, bekalan tiba-tiba putus. Saya bernasib baik ada kawan berniaga ayam mentah tolong carikan ayam,” ujarnya.

    Pelajar universiti awam, Chan Yao Wen, 22, berkata, kenaikan harga barang telah mengganggu perbelanjaan hariannya, lebih-lebih lagi dirinya perlu menyewa rumah menjelang semester akhir dalam masa terdekat ini.

    “Perbelanjaan saya meningkat ketara sebanyak dua hingga tiga kali ganda. Sebagai seorang pelajar, saya amat terbeban dengan perkara ini.

    “Pengawalan harga barang itu tanggungjawab kerajaan, bukan rakyat. Kalau harga tak dikawal, pembekal dan penjual akan naikkan harga sesuka hati sahaja. Rakyat pula mahu tak mahu, tetap kena bayar,” katanya.

    Seorang lagi mahasiswa, Aishah Sohimi, 20, berkata, dia mengakui agak terbeban apabila kini perlu membayar makanan tengah hari sehingga RM20 ekoran kenaikan harga barangan berkenaan.

    “Sebagai pelajar, ia agak membebankan. Tambahan pula saya masih belum ada pendapatan. Tapi bagi orang dewasa pasti lebih menjejaskan mereka apabila gaji yang dibayar tidak selari dengan kenaikan harga.

    “Saya juga masih belum jelas dengan strategi yang dibuat oleh kerajaan dalam menangani isu ini. Tetapi harga barangan perlu selari dengan pendapatan rakyat,” ujarnya.

  • Monyet serang kampung, gigit 8 penduduk ketika tidur

    Monyet serang kampung, gigit 8 penduduk ketika tidur

    PENDUDUK Kampung Tian dalam daerah Matu, kira-kira 115 kilometer ke barat dari Sibu, berada dalam ketakutan sejak dua minggu lepas setelah lapan daripada mereka mendakwa diserang dan digigit sekumpulan monyet ketika sedang tidur di rumah mereka.

    Penghulu kampung itu, Saleh Napi berkata, maklumat yang diperoleh daripada penduduk yang menjadi mangsa serangan menunjukkan kumpulan primat itu memasuki kediaman penduduk menerusi tingkap rumah yang tidak ditutup rapat.

    “Tidak diketahui apa punca monyet-monyet ini bertindak agresif dan menyerang penduduk kampung terlibat yang berusia dalam lingkungan 40-an hingga 80-an. Mereka mengalami luka di beberapa bahagian badan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Beliau berkata, kesemua mangsa telah mendapat rawatan di klinik kesihatan kampung itu dan setakat ini kecederaan yang dialami mereka dikatakan tidak serius.

    Menurutnya, memang terdapat monyet-monyet kelihatan berkeliaran di kawasan kampung itu sebelum kejadian, namun kumpulan haiwan itu melarikan diri dan bersembunyi apabila terserempak dengan penduduk kampung.

    Saleh berkata, ekoran insiden itu penduduk kampung mengambil langkah berjaga-jaga dengan ada dalam kalangan mereka memasang perangkap di kawasan strategik yang berhasil menangkap seekor monyet.

    Katanya, kejadian itu turut dilaporkan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) yang telah bertindak menghantar satu pasukan untuk memasang perangkap.

    “Kita juga telah melaporkan kejadian itu kepada pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi mendapatkan bantuan,” tambahnya. – Bernama

  • Muhyiddin akan kemuka nama ganti Zuraida dalam Kabinet kepada PM

    Muhyiddin akan kemuka nama ganti Zuraida dalam Kabinet kepada PM

    TAN Sri Muhyiddin Yassin akan mengemukakan nama kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk dilantik sebagai Menteri Perladangan, Perusahaan dan Komoditi bagi menggantikan Datuk Zuraida Kamarudin yang meletakkan jawatan hari ini.

    Dalam kenyataan hari ini, Muhyidddin yang juga Presiden Bersatu berkata, kedudukan Zuraida sebagai ahli parti itu telah dibincang dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu baru-baru ini.

    ‘’Terdapat laporan bahawa beliau terlibat secara langsung dalam penubuhan Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan mengambil bahagian dalam aktiviti parti tersebut. Susulan itu satu surat tunjuk sebab bertarikh 9 Mei 2022 telah dihantar kepada beliau. Beliau telah menjawab surat tunjuk sebab tersebut menerusi surat bertarikh 23 Mei 2022,’’ katanya.

    Langkah seterusnya kata Muhyiddin ialah untuk merujuk kes beliau ke Lembaga Displin parti.

    ‘’Namun demikian memandangkan beliau telah membuat pengumuman menyertai PBM melalui satu kenyataan akhbar hari ini, keahlian beliau dalam Bersatu telah gugur serta merta mengikut Fasal 1- Perlembagaan Bersatu.

    ‘’Saya mengucapkan terima kasih atas segala sumbangan beliau kepada Bersatu selama ini,’’ katanya.

  • Disyaki minta RM15,000 urus jenazah, 2 pembantu kesihatan ditahan

    Disyaki minta RM15,000 urus jenazah, 2 pembantu kesihatan ditahan

    DUA pembantu kesihatan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima suapan kira-kira RM15,000 setiap seorang bagi urusan berkaitan pengurusan jenazah.

    Sumber berkata, dua suspek lelaki masing-masing berusia 42 dan 40 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di SPRM Selangor.

    “Kedua-dua suspek yang berkhidmat di sebuah hospital di Selangor dipercayai meminta wang suapan RM300 bagi setiap pengurusan jenazah daripada individu tertentu.

    “Difahamkan, ia sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja pengurusan jenazah bagi tempoh 2018 hingga 2021,” katanya lapor portal FMT.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Alias Salim mengesahkan penahanan berkenaan.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    “Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, esok untuk mendapatkan perintah reman,” katanya.

  • Jurulatih wushu hadapi 10 tuduhan lakukan amang seksual terhadap pelatih remaja

    Jurulatih wushu hadapi 10 tuduhan lakukan amang seksual terhadap pelatih remaja

    SEORANG jurulatih wushu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini atas 10 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun.

    Gjeblehim Bong Teck Fuu, 31, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Aima Naziha Wan Sulaiman.

    Bekas atlet negara itu sebagai orang yang mempunyai hubungan amanah iaitu jurulatih didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang merupakan pelatihnya.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu sekitar Februari lepas di sebuah rumah di Taman Kajang Mewah, Kajang, Selangor.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017  yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Julai depan untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Michelle Liu dan Vam Shir Mooi.

    Bong ditahan polis pada 11 Mei lepas, sehari selepas pengadu membuat laporan polis.

    Semalam Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Habibi Majinji pada sidang medianya berkata mangsa mungkin berdiam diri ketika kejadian dan membiarkan tindak-tanduk suspek kerana menganggapnya jurulatih mereka.

    Katanya akibat ketakutan, mangsa telah memaklumkan kepada ibu bapa dan laporan polis telah dibuat.

    — BERNAMA

  • Bangkai tikus dalam stor penyimpanan produk kopi dan teh

    Bangkai tikus dalam stor penyimpanan produk kopi dan teh

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    BANGKAI tikus yang dipercayai telah mati sejak beberapa hari lalu di dalam stor penyimpanan produk yang sudah siap dibungkus.

    Itu antara penemuan oleh anggota Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang ketika menyerbu sebuah kilang memproses kopi dan teh di Bukit Mertajam hari ini.

    Malah, kilang yang sudah beroperasi kira-kira 50 tahun lalu dan membekalkan produk kopi serta teh untuk pasaran tempatan tersebut juga didapati dipenuhi najis tikus sekali gus mengundang risiko keselamatan makanan.

    Operasi itu digerakkan Unit Penguatkuasaan BKKM bersama beberapa pegawai daripada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang serta Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

    Menurut Ketua Unit Penguatkuasaan BKKM, Mohd. Wazir Khalid, selain masalah kebersihan, kilang itu juga didapati menggunakan logo halal yang meragukan untuk produk mereka.

    Katanya, berdasarkan pemantauan dari aspek kebersihan dan sebagainya, kilang itu tidak sepatutnya mendapat kelulusan untuk menggunakan logo halal.

    “Selain itu, kilang ini juga didapati menggunakan peralatan yang tidak mematuhi standard ditetapkan seperti menggunakan peralatan yang dibuat dari kayu serta besi yang tidak tahan karat.

    “Selain itu, lantai simen kilang ini juga berlopak dan ada takungan air yang boleh menyebabkan pencemaran kepada produk minuman yang belum dibungkus,” katanya.

    Tambah Mohd. Wazir, kilang itu telah diarahkan ditutup serta-merta selama dua minggu di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 bagi kerja-kerja pembersihan.

    Selain itu kata beliau, pihaknya turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM5,000 terhadap pemilik kilang terbabit atas kesalahan menggaji pekerja tanpa suntikan tifoid serta tidak memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) yang sepatutnya.

  • 4 pemilik syarikat didakwa palsukan dokumen tender kantin

    4 pemilik syarikat didakwa palsukan dokumen tender kantin

    EMPAT pemilik syarikat dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di Tawau hari ini, atas pertuduhan memalsukan dokumen untuk mendapatkan tender menyewa dan menguruskan kantin sekolah rendah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) empat tahun lalu.

    Tertuduh, Rogayah Ab Binang@ Abdul Binang, 42; Salamah Mohd, 30, serta Bahrin Ambo Eri @ Erek, 56, dan anak perempuannya Hasmizah Bahrin, 29, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

    Mereka didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen untuk mendapatkan tender berkenaan bagi tempoh 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2019 di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna antara 24 Oktober dan 1 November 2017, lapor Harian Metro.

    Kesemua tertuduh masing-masing berdepan dengan empat pertuduhan kecuali Salamah Mohd, yang dituduh dengan tiga pertuduhan.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan palsu, jika sabit kesalahan.

    Hakim bagaimanapun membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan namun perlu membayar deposit RM5,000 kecuali Bahrin Ambo Eri yang diperintahkan membayar deposit RM6,000.

    Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap dua bulan serta dilarang mengganggu saksi.

    Mahkamah juga menetapkan 7 Julai depan depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Saharom bersama Nordinansah Kasim manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Lebih 1,000 kekosongan jemaah haji tolak tawaran sudah penuh – Idris

    Lebih 1,000 kekosongan jemaah haji tolak tawaran sudah penuh – Idris

    LEBIH 1,000 kekosongan tempat untuk jemaah haji yang menolak tawaran disebabkan pelbagai faktor, termasuk masalah kesihatan sudah dipenuhkan setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

    Beliau berkata, kekosongan itu telah diberikan keutamaan kepada mereka yang telah disenaraikan untuk mengerjakan ibadah haji pada 2020 dan 2021.

    “Ia (kemas kini senarai jemaah haji) berjalan setiap hari, kalau ada yang kosong maknanya kita akan ikut senarai menunggu dan masukkan nama-nama jemaah mengikut urutan.

    “Bagi peringkat pertama ini 1,000 orang telah menolak, maka kita masukkanlah dan sekarang ini sudah penuh,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Pra-Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1443H/2022M di Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

    Seramai 14,306 jemaah haji Malaysia akan menunaikan rukun Islam kelima pada tahun ini dan penerbangan pertama jemaah haji Malaysia akan berlepas melalui penerbangan pertamanya pada 4 Jun ini.

    Jemaah haji yang dibenarkan pula adalah berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.

    Berhubung MTHQK yang akan berlangsung di Pusat Islam Iskandar Johor bermula 9 hingga 18 Jun ini, Idris berkata, program itu akan disertai seramai 42 peserta lelaki dan 42 peserta perempuan dari 14 negeri.

    Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan majlis pembukaan pada 12 Jun, manakala majlis penutup dan pengurniaan hadiah pada 17 Jun akan disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

    MTHQK merupakan program tahunan yang dianjurkan kerajaan Persekutuan dan diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 1979 bertujuan meninggikan syiar Islam di Malaysia. – Bernama

  • Penganggur dipenjara, didenda pandu melulu hingga menyebabkan kematian

    Penganggur dipenjara, didenda pandu melulu hingga menyebabkan kematian

    SEORANG penganggur dijatuhkan hukuman dua tahun penjara dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau hari ini kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, dua tahun lalu.

    Tertuduh Mohd. Ali Tammalun, 26, mengaku salah atas pertuduhan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1957 (Akta 333/87) dihadapan Majistret Amir Shah Amir Hassan, lapor Utusan Borneo.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 7 Februari 2020 pukul 3.35 petang di KM 55 Jalan Tawau- Semporna.

    Mohd. Ali didakwa memandu secara cuai dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Surtrisno, 25, dan Gyatri Usman, 21.

    Dalam fakta kes, tertuduh yang memandu kenderaan pacuan empat roda dari arah Semporna menuju ke Tawau bersama tiga penumpang.

    Kemalangan berlaku apabila tertuduh cuba memotong sebuah kenderaan dengan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan dinaiki dua mangsa.

    Pegawai pendakwa, Asisten Superintenden Joan Lee dalam hujahannya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal selepas mengambil kira kepentingan awam serta pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

    Amir Shah kemudiannya menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dan denda RM5,000 terhadap tertuduh.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara enam bulan jika gagal membayar denda dan lesen memandunya digantung dua tahun.