Category: Semasa

  • Penganggur dipenjara 2 tahun, sebat, hanya kerana telefon bimbit

    Penganggur dipenjara 2 tahun, sebat, hanya kerana telefon bimbit

    SEORANG penganggur dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan satu sebatan selepas merompak seorang wanita.

    Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Ali Zainal, 36, selepas lelaki itu mengaku salah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di Mahkamah Majistret di Kuala Pilah, lapor Harian Metro hari ini.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu pukul 5.30 petang pada 23 Mei lalu di kaunter sebuah syarikat insuran di Bahau dengan merompak sebuah telefon bimbit jenama iPhone 12 pro.

    Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan seorang wanita berusia 42 tahun dalam ketakutan dan kecederaan boleh berlaku serta merta.

    Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat.

    Mengikut fakta kes, tertuduh meluru masuk dan menuju ke kaunter dalam keadaan tergesa-gesa sambil memasukkan tangan ke dalam beg sandang yang dibawanya sebelum diminta keluar oleh staf lain namun tertuduh enggan dan berlaku pertengkaran mulut.

    Ini menyebabkan staf di premis berkenaan ketakutan dan terus berlari ke belakang sebelum seorang wanita terlihat tertuduh mengambil telefon bimbitnya yang diletakkan di atas meja kaunter.

  • Peniaga pakaian didakwa tipu berhubung bayaran kerja cerucuk

    Peniaga pakaian didakwa tipu berhubung bayaran kerja cerucuk

    SEORANG peniaga pakaian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Ipoh hari ini atas pertuduhan menipu seorang individu berhubung pemulangan semula wang pembayaran kerja-kerja cerucuk bernilai RM1.5 juta, dua tahun lepas.

    Ooi Yee Ling, 46, didakwa menipu Wong Kam Poh dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dia akan memulangkan semula wang pembayaran kerja-kerja cerucuk bernilai RM1.5 juta itu yang mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM900,000 ke dalam akaun RHB Bank syarikat milik tertuduh.

    Wanita itu dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah premis di 276A, Jalan Sultan Nazrin Shah, Gunung Rapat, di Ipoh antara 10 hingga 27 Okt 2020.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus membenarkan Ooi diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 15 haribulan selain pasport diserah kepada mahkamah.

    Mahkamah menetapkan 25 Julai ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh diwakili peguam Kenzaly Goik. – Bernama

  • Polis tahan lelaki ugut pecahkan kepala ibu

    Polis tahan lelaki ugut pecahkan kepala ibu

    POLIS menahan seorang lelaki di Kampung Husaja Jana, Miri, pada 12.25 tengah hari, semalam kerana mengugut mahu pecahkan kepala ibunya.

    Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, tangkapan terhadap suspek yang berusia 28 tahun dibuat susulan laporan diterima memaklumkan lelaki itu mengamuk dan mengugut hendak memecahkan kepala ibunya.

    “Suspek juga merosakkan motosikal milik mangsa (ibu) yang berusia 55 tahun.

    “Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Sementara itu, dalam dalam kes berasingan, Alexson berkata, pihaknya menahan seorang lelaki pada petang semalam kerana disyaki membuat laporan palsu bagi mendapatkan tuntutan insuran, dengan mendakwa motosikal yang baru saja didaftar atas namanya hilang.

    Katanya, soal siasat terhadap suspek mendapati keterangannya mencurigakan.

    “Selepas selesai disoal siasat, suspek mengaku membuat laporan palsu dan tujuan laporan adalah untuk tuntutan insuran,” katanya.

    Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang laporan palsu dan mereka cerita yang tidak betul.

  • Koperal didakwa terima rasuah RM16,000

    Koperal didakwa terima rasuah RM16,000

    SEORANG anggota polis berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dua tuduhan utama dan pilihan menerima rasuah berjumlah RM16,000 Februari lalu.

    Tertuduh, Azrol Khalil, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara rasuah menerima wang berjumlah RM16,000 daripada seorang lelaki berusia 50 tahun.

    Ini sebagai dorongan untuknya selaku anggota polis menutup kes jenayah komersil terhadap individu yang sedang disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

    Dia yang kini bertugas di bahagian pentadbiran didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Taman Prima, Sri Gombak di Shah Alam pada 7 Februari lalu.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), dan boleh di hukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Sementara pertuduhan pilihan, Azrol didakwa sebagai penjawat awam menerima suatu barang berharga atau wang tunai dengan jumlah yang sama pada tarikh dan lokasi sama tanpa sebarang balasan.

    Bagi pertuduhan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noryusriza Zulkifli mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri ke pejabat SPRM serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Bagaimanapun peguam P. G. Cyril yang mewakili tertuduh, memohon agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan perlu menanggung isteri serta tiga anak tirinya.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan melaporkan diri ke Pejabat SPRM Selangor setiap bulan.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Jun depan untuk sebutan semula kes.

  • Mahkamah tolak rayuan Rosmah, keputusan tetap 7 Julai

    Mahkamah tolak rayuan Rosmah, keputusan tetap 7 Julai

    KEPUTUSAN kes rasuah Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan tetap disampaikan pada 7 Julai depan.

    Ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuannya untuk membatalkan kes yang melibatkan projek solar untuk sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak itu.

    Panel hakim diketuai oleh Mohd Zawawi Salleh  sebulat suara menafikan permohonan isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu, hari ini.

    Dua lagi hakim ialah Vernon Ong Lam Kiat dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

    Pada 6 Disember lalu, Mahkamah Rayuan menafikan permohonan kedua Rosmah untuk membatalkan kes itu.

    Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd ketika itu, Saidi Abang Samsuddin.

    Rasuah itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

  • Pengarah syarikat sarung tangan dituduh pengubahan wang haram lebih RM1 juta

    Pengarah syarikat sarung tangan dituduh pengubahan wang haram lebih RM1 juta

    SEORANG pengarah syarikat jual beli sarung tangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas 14 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM1 juta, dua tahun lepas.

    Mazne Che Mohd Amin, 32, didakwa telah memindahkan RM1.33 juta daripada akaun bank syarikatnya, NMOQ Trade Sdn Bhd, menerusi 14 transaksi yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, kepada sembilan akaun bank milik syarikat lain serta lima akaun perseorangan termasuk dua miliknya.

    Wanita itu dituduh melakukan semua perbuatan tersebut di cawangan sebuah bank di Sungai Besi antara 9 Sept hingga 17 Okt 2020.

    Pertuduhan mengikut perenggan 4(1)(b)Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan dibaca bersama subseksyen 87 (1), yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4 (1) akta sama dan dibaca bersama perenggan 87 (1) (a) akta serupa.

    Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya Noor Zalizan Lazarous menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

    Beliau turut memohon kesemua pertuduhan itu dibicarakan bersama dengan satu kes menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen 11 di sini.

    Peguam Luqman Mazlan yang mewakili Mazne memohon jaminan dikurangkan kepada RM20,000 dan anak guamnya akan akur dengan syarat-syarat jaminan lain.

    Hakim Helina Sulaiman menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah dan mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

    Helina membenarkan kes pengubahan wang haram itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 11 dan menetapkan 13 Jun untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Perahu layar warga Perancis ditahan masuki perairan negara

    Perahu layar warga Perancis ditahan masuki perairan negara

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan seorang lelaki warga Perancis yang memasuki perairan negara dengan menggunakan perahu layar pada kedudukan 1.6 batu nautika timur dari muara Sungai Mersing, semalam.

    Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, perahu layar yang sedang bersauh itu ditahan dalam rondaan OP Jaksa pada pukul 12.45 tengah hari.

    “Perahu layar itu dikendalikan seorang nakhoda lelaki warga Perancis berumur 44 tahun dan didapati telah memasuki negara secara haram serta mengemukakan dokumen perjalanan tanpa cap kemasukan ke Malaysia.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda tersebut juga gagal melaporkan ketibaan memasuki perairan Malaysia.

    “Nakhoda bersama perahu layar seterusnya ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya salam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1952 kerana tidak ada cap kemasukan ke Malaysia secara sah serta di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana tidak melaporkan ketibaan memasuki perairan Malaysia kepada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

  • Semakan arah kiblat boleh dibuat petang esok – Mufti Selangor

    Semakan arah kiblat boleh dibuat petang esok – Mufti Selangor

    SEMAK ketetapan arah kiblat khususnya di kediaman masing-masing boleh dibuat esok, bermula pukul 5.10 petang hingga 5.35 petang susulan peristiwa Istiwa A’dzam.

    Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir berkata Istiwa A’dzam yang akan berlaku pada 5.18 petang esok merupakan satu peristiwa yang kedudukan matahari akan berada tepat di atas Kaabah, dan masyarakat di Selangor berpeluang membuat semakan arah kiblat yang tepat dengan menggunakan bayang daripada objek yang tegak.

    “Semakan boleh dibuat dengan menggunakan sebarang objek lurus dan tegak yang berada di sekitar. Tempoh masa semakan bayang bermula pukul 5.10 petang hingga 5.35 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    — BERNAMA

  • Pengasuh Taska mengaku tidak bersalah cakar, pukul bayi 11 bulan

    Pengasuh Taska mengaku tidak bersalah cakar, pukul bayi 11 bulan

    SEORANG pengasuh Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan menganiaya seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dengan cara mencakar pipi dan memukul tubuh mangsa, minggu lalu.

    Tertuduh, Nabilah Md Johan, 27, dari Kampung Tedong, Merlimau, Melaka, mengangguk faham sejurus dibacakan pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin, namun tidak mengaku tidak bersalah serta meminta dibicarakan.

    Harian Metro melaporkan, berdasarkan pertuduhan, dia sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu guru atau pengasuh didapati menganiaya bayi terbabit berusia 11 bulan ketika kejadian dengan cara mencakar pipi sebelah kiri dan memukul badan mangsa dengan tangan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Taska Ummi Ana, No 43, Jalan Sri Emas 25, Taman Seri Telok Emas pada 18 Mei lalu, kira-kira 5.30 petang hingga pukul 5.45 petang.

    Bagi kesalahan itu dia dituduh mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari yang menjalankan pendakwaan mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa.

    Peguam bela, Ab. Kadir Ismail yang mewakili tertuduh bagaimanapun membantah jumlah jaminan ditawarkan.

    “Jumlah jaminan yang ditawarkan terlalu tinggi, mohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang munasabah. Penjamin adalah ibu tertuduh sendiri,” katanya.

    Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Nariman menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dalam apa juga keadaan sehingga perbicaraan selesai.

    Mahkamah kemudian menetapkan 23 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa dean serahan dokumen.

  • Datuk, Datin terkenal paksa kerja tanpa gaji, dera, layan amah Indonesia seperti hamba

    Datuk, Datin terkenal paksa kerja tanpa gaji, dera, layan amah Indonesia seperti hamba

    SEORANG amah warga Indonesia berusia 60 tahun mendakwa ditampar, ditendang dan dipukul di kepala dengan penyapu selain dimaki hamun setiap hari oleh majikannya bergelar yang ‘Datuk’.

    Bagaimanapun penderitaan dialami warga emas tersebut berakhir apabila dia berjaya melarikan diri ke Kedutaaan Indonesia di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

    Menceritakan nasib malang yang dialaminya, mangsa, Satuni (bukan nama sebenar) mendakwa turut diterajang dan dipaksa bekerja oleh Datuk berkenaan walaupun tidak bermaya kerana menghidap Covid-19.

    “Tenaga saya tak ada, jadi saya baring (di luar tandas), (kemudian) saya ditendang, (Datuk menjerit) bangun, jangan buat drama. Dua kali ditendang,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), hari ini.

    Satuni kini berlindung di Kedutaan Indonesia dan menunggu masa pulang ke kampung halaman, namun penderaan di tangan ‘Datuk’ berkenaan tidak mungkin dilupainya.

    Selain penderaan fizikal, Satuni tidak dibayar walau sesen selama empat bulan bekerja di banglo milik Datuk itu di Shah Alam.

    Menurutnya, majikannya adalah ‘wanita glamour’ yang mengurus sebuah yayasan kebajikan dan pernah menghiasi muka depan pelbagai majalah gaya hidup.

    Mengimbau pengalaman peritnya, Satuni berkata, dia dipukul atas alasan-alasan remeh seperti habuk dinding jatuh ke lantai dan tidak dibersihkan.

    “Ambil penyapu, splass (pukul) kepala saya tiga kali.” Kata saya, “Datuk, selama saya punya majikan, tak ada garang seperti kamu,” ceritanya.

    Satuni yang berasal dari Indramayu, Jawa Barat menjadi mangsa agensi pembantu rumah yang mempengaruhinya bekerja di rumah Datuk berkenaan tanpa perjanjian atau kontrak.

    Dia melarikan diri ke Kedutaan Indonesia dengan rakan pembantu rumah, Yati (nama samaran) yang diambil bekerja di rumah banglo itu beberapa bulan kemudian.

    “Pukul 5 atau 6 pagi sudah bangun (untuk bekerja) sampai pukul 1 malam baru masuk (kembali) bilik. Sampai lupa mahu makan, mahu sarapan…nangis saya hari-hari,” kata Satuni lagi.

    Dia berkata, majikannya mempunyai tiga anak, termasuk anak angkat bernama V (bukan nama sebenar) yang sering menghinanya.

    Satuni berkata, V akan sentiasa mengingatkan dia bahawa “saya orang miskin, menumpang, merempat di sini (Malaysia).”

    Warga emas itu mendakwa pernah ditampar oleh emak V kerana menegur anaknya itu.

    “Saya, kalau tak ada kawan-kawan, tak tahulah (apa nasib). Siang malam saya menangis. Kalau tengah malam pun saya menangis, terfikir-fikir anak saya,” ujar Satuni.

    Seperti Satuni, Yati turut didera dan dimarahi menyebabkan kedua-dua mereka nekad untuk melepaskan diri daripada penganiayaan itu.

    “Hari-hari selalu dimarahi. Setiap detik setiap jam. Kalau Datuk mahu keluar, (saya kena) pakaikan kasut di kaki. Kalau salah sedikit, itu langsung ditendang. Pakai sepatu (kasut) enggak cepatan, langsung dilempar,” kata Yati.

    Yati dan Satuni bernasib baik apabila mendapat bantuan jiran yang prihatin dengan nasib mereka.

    Jiran itu menawar membawa dua wanita itu keluar daripada kawasan perumahan itu untuk dihantar terus ke Kedutaan Indonesia.

    Mereka merebut tawaran itu apabila Datuk berkenaan berangkat ke Mekah mengerjakan umrah sebelum Aidilfitri, 2 Mei lalu.

    Setelah tinggal di kedutaan beberapa hari, Yati dan Satuni mendapat tahu pemandu, pengawal banglo dan seorang lagi pembantu rumah, semuanya warga Indonesia, turut melarikan diri dari banglo Datuk itu.

    Masalah amah didera majikan dan ditipu agensi berkemungkinan dapat dibendung bermula minggu depan apabila semua pembantu rumah Indonesia dan majikan tempatan terikat kepada terma baharu kontrak yang dipersetujui Malaysia-Indonesia.

    Antara lain amah warga Indonesia akan menerima gaji minimum RM1,500, waktu rehat secukupnya dan senarai tugasan ditetapkan.

    Satuni dan ramai lagi pembantu rumah dinafikan segala kemudahan itu sebelum ini. Sebaliknya mereka menjadi mangsa penderaan fizikal, mental dan ada kalanya seksual.

    Wakil Kedutaan Indonesia memberitahu FMT, pihaknya sedang berusaha mengambil tindakan mahkamah terhadap Datuk berkenaan untuk memberi keadilan kepada semua pekerja itu termasuk Satuni dan Yati.

    Beliau berkata, terdapat 33 pekerja domestik sedang mendapatkan perlindungan di kedutaan itu susulan didera atau tidak dibayar gaji oleh majikan masing-masing.