TUJUH lelaki yang sedang leka melakukan pemindahan minyak diesel bersubsidi dari lori ke dalam bot terkejut apabila diserbu di kawasan tepi jalan berhampiran hutan Kampung Belungkor, Kota Tinggi malam tadi.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, kesemua mereka tidak sempat melarikan diri semasa diserbu dalam Op Kontraban pada pukul 8.30 malam.
“Kita menahan tujuh lelaki warga tempatan termasuk empat warga asing berusia dalam lingkungan umur 30 hingga 55 tahun ketika mereka melakukan kegiatan permindahan minyak tersebut.
“PPM Wilayah Dua merampas 200,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai kira-kira RM430,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, hasil soal siasat mendapati minyak diesel itu akan dijual keluar negara dengan harga yang lebih tinggi dari pasaran tempatan.
Kesemua yang ditahan katanya, gagal mengemukakan sebarang dokumen sama ada memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan tersebut.
Tujuh lelaki warga tempatan termasuk empat warga asing ditahan ketika melakukan kegiatan permindahan minyak tersebut
Menurutnya, PPM Wilayah Dua turut merampas sebuah bot yang telah diubah suai, tiga buah lori, lima tangki dan lima unit pam dengan nilai keseluruhan rampasan bernilai berjumlah RM5.505 juta.
Tambahnya, semua barang rampasan dan suspek diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
PPM Wilayah Dua menyeru orang ramai terutama masyarakat maritim agar menyalurkan maklumat perlanggaran undang-undang khususnya jenayah kepada PPM Wilayah Dua menerusi talian 07-2372221 atau 07-2372222
TIGA lelaki warganegara asing berdepan hukuman mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada dua warga Yaman, Hussein Mohamed Ali, 30, dan Ahmed Mohamed Qasem, 23, yang juga penuntut kolej swasta serta penganggur, Reda Hassan Ameen Mohamed, 30, dari Sudan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.
Harian Metro melaporkan, tidak pengakuan direkodkan berikutan kes itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati yang mana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 205 gram di sebuah unit kondominium di Jalan Persiaran Surian, Petaling Jaya pukul 8.30 malam pada 22 Mei lalu.
Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39b(2) dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat.
Tertuduh Hussein dan Ahmed Mohamed diwakili peguam Mohd. Ruzaini Zulkifli, manakala Reda Hassan diwakili peguam Shahrul Amali Shafie.
Mahkamah menetapkan 10 Ogos nanti untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.
Pada 23 Mei lalu, media melaporkan polis menahan lima lelaki warga asing kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah kondominium di Sri Hartamas, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor dilaporkan berkata, serbuan pertama dijalankan pukul 6.15 petang di kawasan tempat letak kereta kondominium terbabit.
Katanya, serbuan kedua pula dilakukan di sebuah kondominium sekitar Petaling Jaya pukul 8.30 malam yang membawa kepada penahanan tiga lelaki warga asing.
Dalam serbuan itu, pihak polis menemui 10 ketulan daun kering ganja dan satu bungkus ceraian daun yang sama seberat 205 gram.
SEKUMPULAN remaja yang menjadi ahli kongsi gelap memukul seorang pelajar tingkatan tiga di hadapan sebuah sekolah menengah di Iskandar Puteri, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, suspek berumur antara 17 hingga 18 tahun itu mengajak mangsa menyertai kumpulan kongsi gelap tetapi pelajar berkenaan enggan.
“Polis menerima laporan kes itu pukul 2 petang kelmarin. Semasa berada di hadapan sekolah, mangsa didatangi enam suspek yang tidak dikenali.
“Suspek berumur antara 17 hingga 18 tahun itu mengajak mangsa menyertai kumpulan kongsi gelap.
“Mangsa bagaimanapun dipukul menggunakan tangan oleh enam suspek kerana menolak menyertai kumpulan itu. Mangsa mengalami kecederaan di bibir, pipi dan dahi,” katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Katanya, susulan itu polis menahan seorang suspek yang juga penganggur berusia 18 tahun pada pukul 12.15 malam tadi di kediamannya di Iskandar Puteri.
Rahmat berkata, siasatan awal suspek mengaku memukul mangsa bersama rakan lain.
“Polis memohon orang ramai yang berada di tempat kejadian tampil untuk membantu siasatan.
“Polis tidak akan berkompromi dengan jenayah membabitkan pelajar sekolah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
TINDAKAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilihat tidak konsisten atau fllip flop dalam membuat kenyataan berkaitan bila Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dikecam DAP.
Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke berkata, Perdana Menteri yang dipetik oleh Nikkei Asia pada Isnin berkata, PRU-15 tidak akan diadakan dalam tempoh terdekat, namun dalam ucapan di konvensyen Barisan Nasional (BN) semalam, beliau mengatakan tidak akan melengah-lengahkan pembubaran Parlimen walaupun sesaat jika gabungan itu telah bersedia.
“Namun dalam masa 48 jam sahaja, beliau telah menukar nada semasa berucap di konvensyen BN. Pokoknya perdana menteri perlu konsisten dan tegas dalam pendiriannya,” katanya melalui Facebook hari ini.
Beliau turut mengingatkan Ismail Sabri bahawa keputusan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen adalah budi bicara Perdana Menteri.
Oleh itu katanya, keputusan yang begitu penting itu tidak seharusnya dipengaruhi oleh pihak tidak berkaitan yang hanya mementingkan “survival” politik mereka.
“Sekiranya beliau benar-benar ingin menangani isu inflasi daripada memanggil pilihan raya dalam tempoh terdekat, maka sebagai Perdana Menteri beliau perlu mencari konsensus merentasi parti supaya seluruh fokus nasional menjurus kepada agenda membantu rakyat,” katanya.
Pada masa sama, Loke menegaskan bahawa DAP tidak pernah bimbang untuk menghadapi pilihan raya yang diadakan pada bila-bila masa tetapi kenyataan dan mesej “flip-flop” hanya akan menimbulkan ketidakstabilan politik yang berlanjutan dan memudaratkan lagi keadaan ekonomi negara.
“Kami telah bersedia. Isu utamanya ialah Perdana Menteri perlu lebih tegas dalam pendiriannya,” katanya.
SEPASANG warga Singapura berusia 34 dan 29 tahun polis ditahan kerana terlibat dengan kegiatan penagihan dadah ketika berkunjung ke Johor, kelmarin.
Mereka ditahan selepas polis menerima aduan berkenaan pergaduhan tersebut di sebuah pangsapuri di Mount Austin di Johor Bahru.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam kejadian berkenaan pasangan itu didakwa bertengkar sebelum suspek lelaki bertindak agresif dengan mengambil pisau dan menikam punggung sebelah kanan teman wanitanya.
“Kedua-dua mereka kemudiannya ditahan yang mana polis dapati kedua-dua mereka positif di bawah pengaruh dadah,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru, hari ini, lapor Sinar Harian.
Kamarul Zaman berkata, kedua-dua suspek kini didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau juga mengingatkan orang awam terutama pengunjung warga asing untuk sentiasa menghormati undang-undang di negara ini.
“Kita mengalu-alukan kedatangan pelancong antarabangsa ke negeri ini, tetapi kita harap semua dapat menjaga keharmoniannya dan menghormati undang-undang sedia ada.
“Sekiranya ingkar, saya ingin mengingatkan polis tidak akan berkompromi dan akan mengenakan tindakan tegas jika mereka ini melanggar undang-undang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Kamarul Zaman turut menafikan laporan berita portal media sosial Singapura yang menyenaraikan beberapa lokasi di bandar raya ini sebagai kawasan berbahaya terutama kepada pengunjung dari republik berkenaan.
“Ada media asing tidak bertanggungjawab dan menuduh Johor tidak selamat dengan menyebarkan beberapa lokasi yang didakwa berbahaya, saya menafikan tuduhan berkenaan.
“Sejak pembukaan sempadan pada April lalu, seramai 1,600 pegawai dan anggota telah ditugaskan bagi meningkatkan kawalan di 41 lokasi tumpuan ramai di seluruh negeri,” katanya.
SERAMAI 106 nelayan asing serta tekong warga Thailand dan Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan sejak Januari hingga Mei lalu.
Menurut Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman, hasil penahanan tersebut, pihaknya berjaya merampas 13 bot, ikan dan diesel yang keseluruhannya bernilai RM14.49 juta.
Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman
Menurut beliau, kesemua bot yang dirampas membabitkan 12 bot nelayan Vietnam dan sebuah bot nelayan Thailand.
Beliau berkata, selain bot, pihaknya turut merampas 5,400 kilogram (kg) ikan bernilai RM64,800.
“Pada masa sama, rampasan juga membabitkan diesel sebanyak 13,800 liter yang bernilai RM29,670.
“Keseluruhan rampasan sepanjang Januari sehingga Mei adalah sebanyak RM14.49 juta dengan penahanan 106 orang nelayan termasuk tekong,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.,lapor Harian Metro.
Syed Nor Adli berkata, pihaknya sentiasa meningkatkan kawalan bagi mengelak sebarang pencerobohan termasuk kemasukan nelayan asing.
Antara bot yang dirampas kerana melakukan pencerobohan di perairan negara
“Alhamdulillah, setakat ini keadaan perairan negara terkawal daripada sebarang aktiviti pencerobohan termasuk nelayan asing,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada kekurangan bekalan ikan disebabkan pencerobohan nelayan asing terutama dari Vietnam, Syed Nor Adli menolak kemungkinan berkenaan kerana kawalan di laut sentiasa dipertingkatkan.
“Kita tidak nafikan memang ada berlaku pencerobohan, namun hasil kawalan ketat membawa kepada penahanan nelayan asing dan rampasan bot.
“Mungkin ada faktor lain yang menyumbang kepada kekurangan bekalan ikan, bukannya pencerobohan semata-mata,” jelas beliau.
SEORANG Pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap budak lelaki berusia 11 tahun di surau sekolah agama di Tanah Merah, Mei lalu.
Tertuduh, Ab. Rashid Abdullah, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap budak lelaki berusia 11 tahun.
Memetik laporan Harian Metro, perbuatan itu dilakukan di sebuah surau sekolah agama antara pukul 11 malam hingga 2 pagi pada 19 hingga 20 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falena Abu Bakar dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Malaysia (YBGK), Rifzan Rusli.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 8 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan.
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mengumumkan ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dimansuhkan mulai tahun ini.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin pada sidang akhbar khas di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, KPM mengambil pendekatan untuk memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) melalui Ujian Akhir Sesi Akademik.
“Biarpun kini tiada peperiksaan pentaksiran Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan PT3, penguasaan dan pencapaian murid boleh diukur melalui pentaksiran secara sumatif yang dijalankan pada akhir tahun, bermula tahun ini.
“Keputusan memansuhkan sistem penilaian akademik yang diguna pakai sejak 2014 itu bertujuan untuk membina kemenjadian dan kompetensi murid, selain memberi ruang untuk melaksana intervensi terhadap murid yang didapati ketinggalan serta tidak mendapat tahap penguasaan sepatutnya.
“Pentaksiran sumatif adalah pentaksiran yang dibuat pada akhir tempoh atau sesi akademik.
“Kita sudah biasa laksanakan di sekolah, khususnya melalui ujian akhir tahun atau pertengahan penggal,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Menegaskan keputusan itu bukan bersifat menggantikan UPSR dan PT3, Radzi berkata, ia sebaliknya membolehkan pentaksiran terhadap penguasaan murid dilakukan setiap tahun.
Kedua-dua pentaksiran UPSR dan PT3 tidak dijalankan pada 2020 dan 2021.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Seri Dr Radzi Jidin
GAMBAR: Warta Rakyat
Beliau berkata, sebelum ini, apabila tiada peperiksaan UPSR dan PT3, setiap sekolah dikatakan menyediakan soalan berbeza-beza menimbulkan rungutan bahawa ada sekolah menyediakan soalan yang kompleks manakala ada sekolah yang menyediakan soalan yang udah.
“Ini bukan untuk menggantikan UPSR dan PT3, cuma kita nak isi kekosongan, apabila kita terima banyak pandangan ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah, mengenai tidak ada satu piawaian soalan yang boleh digunakan dan dipercayai,” katanya.
Beliau berkata, ketika UPSR dan PT3 digunakan untuk mentaksir penguasaan murid, ia akan turut memasukkan apa yang dipelajari pada tahun sebelumnya.
Katanya, bermula tahun ini, sekolah rendah dan menengah akan melaksanakan Pentaksiran Sumatif melalui Ujian Akhir Sesi Akademik, dengan bank soalan akan disediakan KPM.
Radzi, berkata ujian itu akan membabitkan murid Tahun Empat, Lima dan Enam bagi sekolah rendah serta Tingkatan Satu, Dua dan Tiga bagi sekolah menengah.
Untuk tujuan itu, katanya, KPM akan menyediakan bank soalan bagi lima mata pelajaran untuk murid sekolah rendah iaitu bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah, manakala soalan mata pelajaran lain akan disediakan guru.
Bagi sekolah menengah, Radzi memaklumkan, KPM akan menyediakan bank soalan untuk semua mata pelajaran.
“Jika kita lihat, apabila bercakap UPSR dan PT3, ini adalah pentaksiran sumatif, bukan hanya pada tahun itu tapi tahun-tahun sebelumnya.
“Ia bukan hanya menilai silibus pada Tingkatan Tiga saja (bagi PT3) tapi turut menilai pembelajaran bagi Tingkatan Satu dan Dua. Jadi, murid sudah lama tinggalkan dan pada Tingkatan Tiga, mereka rasa gugup (untuk berdepan PT3).
“Justeru, dalam pendekatan baharu yang kita perkenalkan ini, kita akan laksanakan penilaian mengikut tahun dan tingkatan,” katanya.
Pada masa sama, pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PDB) yang juga antara komponen PBS akan dilaksanakan secara lebih menyeluruh.
Beliau berkata, ia akan dilaksanakan dua kali setahun iaitu bermula tahun ini untuk PBD akhir tahun manakala bagi pertengahan sesi ia akan dimulakan pada sesi 2023-2024, tahun depan.
Katanya, melalui pelaporan itu ia merangkumi diskriptor bagi tahap penguasaan lebih komprehensif dan jelas; penilaian tahap usaha murid dalam pembelajaran; ulasan guru kelas dan guru mata pelajaran serta cadangan intervensi bagi murid yang tidak mencapai tahap penguasaan minimum.
JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang merampas sebanyak 431 kilogram (kg) karkas babi yang dipercayai tidak disembelih di rumah sembelihan yang dilulus atau dilesenkan dalam dua pemeriksaan awal pagi tadi.
Pengarahnya, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, rampasan pertama iaitu sebanyak 264 kg karkas babi bernilai RM20,500 dibuat kira-kira pukul 2.35 pagi di tepi jalan selepas plaza tol Kubang Semang menghala ke Kulim di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).
Jelas beliau, rampasan kedua pula iaitu melibatkan sebanyak 167 kg karkas babi bernilai RM43,000 dilakukan di tepi jalan di Kilometer (KM) 132.6, Lebuhraya Sungai Dua (arah selatan).
“Rampasan itu dilakukan di bawah Kaedah 5 (3) Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009.
“Karkas babi yang dirampas ini akan dihantar ke makmal untuk pemeriksaan lanjut dan kita juga akan memohon perintah mahkamah untuk dilupuskan,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat JPV Pulau Pinang hari ini.
Dr. Saira Banu berkata, kedua-dua rampasan itu merupakan yang pertama di Pulau Pinang selepas kerajaan negeri menguatkuasakan perundangan itu bermula 1 Mei lalu.
Jelas beliau, ketika ini terdapat sebanyak lima buah pusat penyembelihan babi dan tiga rumah penyembelihan ruminan yang dilesenkan selain sebuah rumah sembelih ruminan yang diluluskan.
Selain itu, katanya, terdapat seramai 11 orang pemeriksa daging telah dilantik oleh kerajaan negeri untuk memeriksa daging di kesemua rumah sembelihan itu secara bergilir-gilir.
“Kita akan melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan karkas yang dipasarkan adalah selamat untuk makanan manusia,” katanya.
PAS menjangkakan bekalan tepung gandum tidak mencukupi dalam tempoh enam bulan.
Parti itu justeru menuntut pelan mitigasi komprehensif bagi meminimumkan risiko ia menjadi ‘bom jangka’.
“Paling utama, kerajaan tidak harus merasa ‘terlalu yakin’ akan berterusan memperolehi bekalan yang diimport, sebaliknya mesti memiliki jangkaan paling ekstrem.
“Pelan mitigasi komprehensif mesti diadakan agar risiko kewujudan ‘bom jangka’ dapat diminimumkan impaknya sekecil yang mampu,” kata ketua penerangannya Khairil Nizam Khirudin.
Memetik laporan Malaysia Kini, Khairil Nizam berkata polemik bekalan dan harga tepung gandum berlarutan sejak lebih setahun dan “seperti barah” yang perlahan-lahan menjadi kritikal.
“Sungguhpun India menyatakan larangan itu hanya bersifat ‘sementara’, ramai sudah berpengalaman menyaksikan masalah seperti ini akan menjangkau satu tempoh sangat lama.
“Lalu ia menyebabkan masalah yang berantaian dan memberikan akibat buruk pihak-pihak berkeperluan,” kata senator itu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Alexander Nanta Linggi pada 17 Mei berkata kekurangan bekalan tepung gandum di pasaran tidak mempunyai kaitan besar dengan larangan eksport dari India.
Katanya, Malaysia hanya bergantung terhadap peratusan kecil import dari India, berbanding 85 peratus lagi dari Amerika Syarikat (AS), Ukraine dan India.
Dia sebaliknya berkata, bekalan kurang disebabkan permintaan tinggi terhadap sesuatu jenama tepung gandum yang popular.
India melarang eksport gandum kerana harga jualan dalam negara itu mencecah rekod tertinggi susulan hasil tanaman terjejas kerana gelombang haba panas terik.
Mengakui 80 peratus import Malaysia dari Australia, Amerika Syarikat, Kanada, Ukraine dan Rusia, Khairil Nizam bagaimanapun berkata “siren-siren amaran untuk bekalan terputus sudah semakin jelas menjerit.
“Apatah lagi pada aspek harga, Bank Dunia meramal ia akan meningkat 40 peratus tahun ini,” katanya.
Katanya hampir semua negara memerlukan gandum sama ada adalam bentuk bijirin mahupun tepung.
Malah, katanya, ia menjadi antara pengambilan makanan terbanyak selepas makanan ruji asasi di setiap benua. Di Asean pula, katanya, permintaan tepung gandum sentiasa meningkat.
Sementara itu, katanya, di Malaysia roti dan pastri pembuatan tangan sahaja dianggarkan bernilai lebih RM3 bilion, tidak termasuk yang berada di tahap industri.
Hatta aneka kuih-muih, mi hinggalah variasi ‘colek’ perlukan tepung.
“Bayangkan operasi perniagaan berkenaan terpaksa dihentikan kerana dimaklumkan bekalan sedia ada hanya mampu bertahan untuk tiga atau empat bulan sahaja lagi.
“Kekurangan bekalan dijangka berlaku enam bulan dari sekarang, itupun jika tidak berlaku pembelian panik,” katanya.
Kemungkinan terburuk, kata Khairil Nizam, boleh terjadi kesan domino seperti disaksikan dalam gangguan bekalan ayam sebelum ini.
“Apa juga bakal terjadi, kerajaan diharap konsisten prihatin menjaga kepentingan rakyat dan penyumbang industri makanan ini,” katanya.