Category: Semasa

  • Suri rumah kantoi ‘meniaga’ jual air ketum

    Suri rumah kantoi ‘meniaga’ jual air ketum

    POLIS menahan seorang suri rumah dipercayai menjadi pengedar air ketum menerusi satu serbuan yang dilakukan di sebuah kediaman di sekitar Jalan Tambun Tulang, Kampung Baru Arau semalam.

    Ketua Polis Daerah Arau, Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis menjumpai 150 bungkusan plastik dan sembilan botol berpenutup dipercayai mengandungi air ketum di lantai tandas di bahagian dapur rumah.

    “Hasil siasatan awal polis mendapati suspek terlibat menjual air ketum dengan harga RM4 sebungkus dan RM10 sebotol di sekitar kawasan Kampung Baru Kepala 10 Tambung Tulang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Ahmad Mohsin berkata, suspek berumur 40 tahun itu dipercayai mula aktif menjual air ketum sejak enam bulan lepas.

    Beliau berkata, suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 5 Jun.

    “Barang rampasan dibawa ke Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya. – BERNAMA

  • Suri rumah rugi RM71,100 ditipu ‘Sifuku Millennium’

    Suri rumah rugi RM71,100 ditipu ‘Sifuku Millennium’

    SEORANG suri rumah mengalami kerugian RM71,100 selepas ditipu sindiket pelaburan wang tidak wujud “Sifuku Millennium” menerusi aplikasi laman sosial yang menawarkan pulangan lumayan.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Supt Wan Aeidil Wan Abdullah berkata, mangsa berusia 54 tahun itu tertarik dengan tawaran pelaburan berkenaan selepas melihat iklan “Sifuku Millennium” menerusi laman Facebook.

    “Mangsa yang terpedaya dengan tawaran lumayan itu kemudian membuat pindahan wang permulaan berjumlah RM8,600 ke akaun bank yang diberikan oleh suspek pada 24 Mei,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, mangsa membuat beberapa pemindahan wang dalam tempoh seminggu bermula 24 sehingga 30 Mei.

    Katanya, wanita berkenaan telah membuat laporan polis pada semalam selepas suspek menyedari bahawa beliau telah diperdaya oleh suspek.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis akan mengumpul maklumat pemilik akaun bank yang digunakan suspek bagi transaksi pelaburan berkenaan,” katanya.

    Wan Aeidil berkata, mengikut statistik polis sebanyak 22 kertas berhubung kes penipuan babitkan pelaburan tidak wujud dibuka dalam tempoh Januari hingga 2 Jun melibatkan kerugian berjumlah RM211,393.16.

    “Polis menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan iklan-iklan promosi pelaburan di media sosial dan dapat melakukan semakan terlebih dahulu menerusi perkhidmatan disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman,” katanya. – BERNAMA

  • Jemaah yang masih keliru, tak sempat kursus akan terus dibimbing

    Jemaah yang masih keliru, tak sempat kursus akan terus dibimbing

    JEMAAH yang masih keliru dengan ibadah haji dan penerima tawaran saat akhir, tanpa sempat menghadiri kursus persediaan, tidak perlu gusar kerana akan tetap dibimbing dengan baik.

    Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci  (PIHTAS) Ustaz Mohd Hishamuddin Mansor berkata pihaknya akan cuba mengajar secara persendirian serta menyediakan nota sebagai rujukan jemaah haji.

    Katanya, pembimbing haji di Madinah dan Makkah bukan sahaja dalam kalangan ustaz tetapi juga ustazah kerana pelbagai persoalan tentang wanita dan ibadah akan berbangkit serta memerlukan jawapan yang tepat.

    “Ada juga yang akan datang secara persendirian…mungkin ada juga yang belum memahami sepenuhnya  cara melaksanakan ibadah haji kerana tidak menghadiri kursus haji di tanah air, itu pun kami akan bantu dari awal sampai akhir.

    Kalau mereka perlukan nota pun kami akan sediakan…biar mereka puas hati,” katanya ketika ditemui pemberita di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick, di Madinah.

    Mohd Hishamuddin berkata bagi memastikan jemaah Malaysia memperoleh haji mabrur, pihaknya turut membuat post-mortem agar tidak ada perkara wajib yang tertinggal dan jemaah tidak melakukan larangan sepertimana yang telah ditetapkan dalam ibadah itu.

    “Kalau mereka hendak balik ke Malaysia nanti pun kami akan adakan post-mortem…ada sesi menyemak senarai semak ibadat haji yang disedaikan sebelum itu untuk pastikan jemaah pulang ke tanah air dalam keadaan hati lega dapat selesaikan haji dengan sempurna,” katanya.

    Selain itu, beliau yang mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan emosi serta keraguan jemaah haji berkata pembimbing bukan sahaja perlu menjawap persoalan agama tetapi juga perlu bijak memujuk mereka yang mula berasa tidak selesa dengan keadaan semasa.

    Katanya, dalam tempoh lebih 40 hari di Madinah dan Makkah, jemaah haji bukan sahaja akan diuji dengan perasaan rindu pada kampung halaman, tetapi juga cabaran cuaca panas dan kepadatan yang mencecah sejuta orang dalam satu masa.

    Dilaporkan seramai 340 petugas berpengalaman TH akan bertugas sepanjang musim haji kali ini, bagi menyantuni kira-kira 14,306 jemaah.

    Sementara itu, menurut Mohd Hishamuddin, jemaah haji Malaysia yang bakal tiba esok ke Madinah akan dibawa ke Masjid Nabawi serta melawat beberapa lokasi bersejarah.

    Antaranya Masjid Quba iaitu masjid pertama yang didirikan Nabi Muhammad SAW serta Bukit Pemanah dan Bukit Uhud iaitu lokasi peperangan Uhud pada 7 Syawal Tahun 3 Hijrah yang mengorbankan 70 tentera Islam. – BERNAMA

    *Ikuti laporan Lembaga Tabung Haji melalui media sosial Facebook, Twitter,Instagram dan Tik Tok.

  • Sindiket seludup, edar dadah RM25 juta tumpas

    Sindiket seludup, edar dadah RM25 juta tumpas

    POLIS Diraja Malaysia menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dengan merampas pelbagai jenis dadah seberat 696 kilogram (kg) bernilai RM25.35 juta dalam serbuan di Selangor dan Kedah pada Khamis serta awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pada serbuan pertama di sekitar Selangor pukul 2.30 pagi Khamis, polis merampas dadah jenis syabu seberat 404.3 kg, heroin (7.7 kg) dan pil ekstasi (35.3 kg) yang dianggarkan bernilai RM16.4 juta.

    “Selain itu, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah bagi pasaran antarabangsa dan tempatan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.

    Sebahagian dadah seberat 696 kilogram yang dianggarkan bernilai RM25.35 juta yang berjaya dirampas selepas menahan beberapa suspek dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri Selangor dan Kedah pada sidang media di Bukit Aman, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Sementara itu, dalam serbuan awal pagi tadi di Kedah dan Selangor, Ayob Khan berkata, pihaknya menahan tiga lelaki dan seorang perempuan berumur lingkungan 25 hingga 39 tahun yang dipercayai terlibat aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah bagi pasaran tempatan.

    Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas 248.7 kg dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM8.95 juta.

    Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, sindiket terbabit aktif sejak hujung 2021 dan dipercayai mendapat bekalan dadah dari lokasi dikenali sebagai ‘Segi Tiga Emas’ (Thailand, Laos dan Myanmar) sebelum menjualnya untuk pasaran Indonesia.

    “Modus operasi yang digunakan sindiket adalah menjadikan premis kediaman sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diseludup ke negara jiran untuk pasaran antarabangsa dan diedar di pasaran tempatan,” katanya.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB 1952) dan suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan hari ini bagi membantu siasatan.

    “Tindakan juga diambil di bawah ADB (Pelucuthakan Harta) 1988 dan polis setakat ini menyita aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM360,000 iaitu kenderaan Toyota Fortuner, Kia Optima, Mitsubishi Triton dan Ford Ranger,” katanya.

    Ayob Khan menegaskan, pihaknya akan meneruskan siasatan bagi mengesan saki-baki ahli sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan serta berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku dalam komuniti. – BERNAMA

  • Penganggur didakwa tipu pemilik kedai emas RM560,000

    Penganggur didakwa tipu pemilik kedai emas RM560,000

    SEORANG penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu pemilik kedai emas berhubung pembelian barang kemas yang tidak wujud.

    Mohamad Faeez Amirul Mohd Fauzi, 30, didakwa menipu Nurhaya Ab Aziz, 42, dengan memperdayakannya untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM560,000 miliknya bagi pembelian barang kemas itu yang mana wanita itu tidak akan menyerahkan wang tersebut jika tidak diperdayakan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kediaman di Jalan Conlay di sini pada 20 Mei lepas, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd Apandi mencadangkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Haziq Aziz yang mewakili Mohamad Faeez Amirul memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung seorang ibu berusia 48 tahun, adik dan dua anak saudaranya.

    “Ibunya hadir ke mahkamah hari ini untuk menjadi penjamin dan hanya membawa wang jaminan RM5,000 sahaja. Saya mohon mahkamah memberikan satu jumlah jaminan yang munasabah kepada anak guam saya,” kata peguam itu.

    Kamarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta menetapkan 5 Julai untuk sebutan kes.

    Sementara itu, Mohamad Faeez Amirul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Amirul atas pertuduhan menipu Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 34, dengan memperdayakannya untuk mempercayai dalam urusan pakej penginapan hotel tidak wujud yang dikendalikan tertuduh sehingga mangsa menyerahkan wang RM14,950.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kafe di Wangsa Maju di sini pada 5 Ogos 2020, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaaan.

    Mohamad Faeez Amirul turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan memperdayakan wanita sama berhubung perkara serupa, pada tarikh dan lokasi sama, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nur Diana Mohamad Saad menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, namun Haziq yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya telah dituduh di Mahkamah Sesyen dan diberikan jaminan RM50,000.

    Majistret Mohamad Fared Abdul Latif membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Pemain bola sepak suspek rogol remaja bebas dengan jaminan polis

    Pemain bola sepak suspek rogol remaja bebas dengan jaminan polis

    PEMAIN bola sepak sebuah pasukan liga tempatan yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja berusia 18 tahun, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ia susulan tempoh tahanan reman ke atas lelaki berusia 28 tahun itu berakhir hari ini.

    “Polis dalam tindakan melengkapkan kertas siasatan, insya-Allah akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam masa terdekat,” katanya.

    Sebelum ini, media melaporkan pemain tersebut ditahan di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini, selepas mangsa membuat laporan polis, Ahad lalu.

    Pemain itu kemudian direman empat hari bermula Isnin hingga semalam, sebelum direman sehari lagi dan berakhir hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Presiden PKBM berdepan dua tuduhan salah guna jawatan

    Presiden PKBM berdepan dua tuduhan salah guna jawatan

    PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, atas dua pertuduhan salah guna jawatan.

    Abu Samah, 81, didakwa menggunakan jawatannya sebagai Presiden PKBM sebagai dorongan mendapatkan suapan, apabila memilih syarikat miliknya dan anak-anaknya iaitu Syarikat Harapan Baiduri Sdn Bhd, untuk menyediakan sewaan kenderaan logistik dengan harga sewaan RM12,750 melalui 13 baucar bayaran mulai 2013 hingga 2018.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa atas perbuatan sama melibatkan syarikat miliknya dan adik- beradiknya, iaitu Syarikat Keluarga Haji Wahab Hassan Sdn Bhd untuk membuat sewaan inap desa (homestay) bagi kegunaan atlet berbasikal dengan sewaan RM36,061.85 melalui 32 baucar bayaran dari 2013 hingga 2018.

    Dia dituduh melakukan kedua-dua perbuatan itu pejabat PKBM, di Melaka Tengah antara 2013 dan 2019.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

    Jika sabit kesalahan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, beserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

    Abu Samah yang tidak diwakili peguam merayu, agar jaminan dikurangkan kepada RM5,000 atas alasan faktor usia serta telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang siasatan.

    Tertuduh juga memohon agar pasport antarabangsanya tidak diserahkan kepada mahkamah atas alasan dia perlu menghadiri mesyuarat di luar negara atas kapasitinya sebagai Presiden PKBM, dalam masa terdekat.

    Hakim Nariman Badruddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah, namun tertuduh boleh memohon secara rasmi apabila mempunyai keperluan menggunakannya.

    Mahkamah menetapkan 14 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam. – BERNAMA

  • Ras Adiba kahwin semula bekas suami

    Ras Adiba kahwin semula bekas suami

    BEKAS  personaliti televisyen (TV), Senator Datuk Ras Adiba Radzi, 54, berkahwin semula dengan bekas suami, Mohamed Azam Ali dalam majlis pernikahan ringkas di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Kuala Lumpur, semalam.

    Ras Adiba berkata, tiada lain jodoh mereka masih kuat meskipun pernah bercerai sebelum ini.

    Baginya, perkahwinan umpama satu persahabatan dan perlu saling toleransi, lapor Harian Metro Online.

    “Kami kenal sangat satu sama lain. Banyak persamaan sungguh pun berbeza dari beberapa sudut Tidak ada orang yang sempurna, justeru, kami sependapat untuk menghormati kekurangan dan saling bertoleransi. Perkahwinan seperti persahabatan, mesti beri ruang untuk satu sama lain menjadi diri masing-masing,” katanya.

    Ras Adiba berkata, beliau perlu menghargai setiap saat yang dilalui sekarang ini dan harus bijak sesuaikan diri dengan pasangan dalam sesebuah perkahwinan.

    “Kita tidak boleh ubah sifat seseorang, kita sesuaikan diri dengan pasangan, sambil pastikan kita tidak hilang keunikan diri kita sendiri,” katanya.

    Pasangan itu sudah berkenalan sejak 1986 sewaktu Ras Adiba masih bertugas di stesen TV3. Mereka kemudian berkahwin pada 16 Mac 2019 di Masjid Jamek Al Khadijah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

    Bagaimanapun, Ras Adiba memilih untuk merahsiakan mengenai perceraian mereka sebelum ini kerana menganggap ia perkara peribadi yang tidak perlu dikongsikan kepada umum.

    Beliau juga pernah berkahwin sebelum ini dan mempunyai dua cahaya mata manakala Mohamed Azam dikurniakan enam anak hasil daripada perkahwinan terdahulu. – HARIAN METRO

  • Ismail Sabri akan akur kepada tekanan BN adakan PRU-15- penganalisis

    Ismail Sabri akan akur kepada tekanan BN adakan PRU-15- penganalisis

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mungkin akan akur kepada tekanan untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) awal.

    Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, Ismail akan berasa tertekan terutamanya jika Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi kata dua.

    Fauzi berkata, Ismail Sabri akan dikekang oleh kesetiaan kepada parti dan kepentingan partisan.

    “Saya melihat bahawa Perdana Menteri akhirnya akan tunduk kepada tuntutan daripada Barisan Nasional (BN) dan rakan seperjuangan UMNO kerana beliau bergantung kepada jentera gabungan itu untuk memastikannya dipilih semula dalam PRU15,” katanya kepada portal FMT.

    Fauzi berkata, perjanjian Putrajaya dengan Pakatan Harapan (PH) akan “tamat” pada akhir bulan depan.

    Beliau berkata, Ismail Sabri juga perlu mengimbangi kepelbagaian pendapat dalam Jemaah Menteri, yang sebahagiannya merupakan ahli Bersatu dan Pas.

    “Adalah tidak wajar baginya untuk meninggalkan sekutu Perikatan Nasional (PN) sekarang sedangkan PN yang memberinya peluang untuk mempamerkan kebolehan kepimpinannya semasa tempoh wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.

    Fauzi mengulas amaran Najib baru-baru ini mengenai risiko menangguhkan PRU15. Bekas perdana menteri itu berkata, ia boleh menyebabkan satu lagi kekalahan buat BN.

    Selasa lalu, Ismail Sabri berkata, beliau akan “tunggu masa yang sesuai” untuk mengadakan pilihan raya. Beliau merujuk kepada masalah kenaikan harga barang dan kos sara hidup lain.

    Mac lalu katanya, beliau tidak akan tergesa-gesa biarpun mendapat tekanan daripada Umno berikutan kemenangan memberangsangkan BN pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

    Seorang lagi penganalisis, James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania berkata, Ismail Sabri mungkin keberatan untuk mengadakan pilihan raya awal kerana bimbang tidak terpilih menjadi perdana menteri jika Umno menang.

  • Mahathir tidak tunai janji lepas jawatan PM kepada Anwar – Saifuddin

    Mahathir tidak tunai janji lepas jawatan PM kepada Anwar – Saifuddin

    SETIUASAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata bahawa tidak timbul isu Presiden parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mencukupi sokongan untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad memegang janjinya.

    Saifuddin juga menafikan kenyataan Mahathir yang mendakwa bahawa dia masih lagi perdana menteri jika bukan kerana langkah Anwar.

    “Tidak timbul Anwar tak sokong. Perjanjian sebelum PRU14 ialah Dr Mahathir jadi Perdana Menteri ketujuh. Anwar, PKR dan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji. PH menang PRU14 dan Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri ketujuh negara.

    “Saya sendiri yang mewakili PKR di samping pimpinan DAP dan Amanah yang terlibat tahu bahawa Dr Mahathir setuju sebagai interim PM. Beliau tidak setuju menetapkan tarikh untuk berhenti tetapi setuju dua tahun untuk tidak dilihat sebagai ‘lame duck’ atau pemimpin yang akan pincang. Ternyata Dr Mahathir mungkir janji,” katanya lapor Malaysiakini.

    Saifuddin mengulas dakwaan Mahathir dalam satu wawancara bahawa beliau masih lagi Perdana menteri dan bahawa Anwar sebagai ‘tidak lurus’.

    Menjelaskan krisis politik negara pada 2020, Saifuddin yang juga Ahli Parliman Kulim Bandar-Baharu berkata Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri tanpa membuat perbincangan dengan pimpinan PH.

    “Beliau hilang jawatan akibat perbuatan sendiri yang silap. Jika beliau mengakui kesilapannya beliau akan lebih dihormati. Janji PKR dan PH untuk menjadikan Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh telah ditunaikan.

    “Mahathir sendiri tidak tunai janji untuk melepaskan jawatan PM kepada Anwar. PKR tidak pernah janji sokong Mahathir sebagai PM kelapan. Jika, Mahathir tunai janji, tidak timbul Anwar tak cukup majoriti,” katanya.