Category: Semasa

  • Jemaah umrah meninggal dunia di pintu pesawat sebaik tiba di KLIA

    Jemaah umrah meninggal dunia di pintu pesawat sebaik tiba di KLIA

    SEORANG jemaah umrah wanita yang baru pulang dari Makkah menghembuskan nafas terakhir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba di Sepang hari ini.

    Melalui hantaran dalam Facebook, Mutawif kumpulan jemaah berkenaan, Zakariya Abd Rasip berkata wanita berkenaan difahamkan rebah dan pengsan sebaik sahaja keluar daripada pintu pesawat.

    Katanya, mangsa  dibantu oleh kru pesawat dan pasukan perubatan namun disahkan meninggal dunia.

    “Alhamdulillah jenazah Allahyarhamah jemaah umrah kumpulan dua dari Kota Tinggi, Johor telah kembali ke Rahmatullah selepas keluar pintu pesawat. Jenazah juga telah selamat diuruskan dengan kerjasama baik dari kru Malaysia Airlines (MAS), kakitangan dan polis KLIA,” katanya lapor Berita Harian.

    Katanya, laporan juga sudah dibuat di pejabat Imigresen dan Balai Polis KLIA serta jenazah dihantar ke Hospital Serdang untuk urusan selanjutnya.

    “Semoga Allah memuliakan Almarhumah husnul khatimah dan takziah buat seluruh keluarga,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner Imran Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

  • Pejuang tak gerak solo, tapi takkan kerjasama ‘penyangak’ – Tun M

    Pejuang tak gerak solo, tapi takkan kerjasama ‘penyangak’ – Tun M

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) membuka pintu kerjasama dengan golongan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pejuang tidak bergerak secara solo, namun menegaskan tidak akan bekerjasama dengan ‘penyangak’.

    “Banyak NGO sudah kita jumpa termasuklah pesara guru dan tentera kerana kumpulan ini juga berhak mengundi. NGO ini masing-masing ada penyokong, kita tahu mereka bercakap tentang masalah orang Melayu dan mereka juga berminat menyelamatkan masa depan (orang Melayu),” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan permukiman Pejuang negeri Melaka di Ayer Keroh hari ini.

    Mengulas mengenai pemukiman berkenaan, Dr Mahathir berkata ia adalah usaha menerangkan hala tuju parti itu menerusi pertemuan dengan pemimpin di peringkat negeri.

    “Ramai yang tidak kenal apa itu Pejuang walaupun dalam kalangan ahli dan pemimpin parti ini. Mereka tak mengetahui dengan mendalam kenapa parti ini diwujudkan.

    “Jadi kita datang ke setiap negeri untuk jelaskan dan diharap permukiman ini dapat memberi semangat kepada ahli parti untuk bekerja lebih kuat pada masa akan datang,” katanya.

    – Bernama

  • 3 jemaah haji kumpulan pertama disahkan positif COVID-19

    3 jemaah haji kumpulan pertama disahkan positif COVID-19

    TIGA  daripada 298 jemaah haji kumpulan pertama ke Tanah Suci hari ini disahkan positif COVID-19.

    Memetik laporan Berita Harian, Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata individu disahkan positif itu sudah memaklumkan lebih awal keputusan ujian saringan RT-PCR COVID-19 mereka kepada TH.

    “Kerajaan Arab Saudi menetapkan jemaah yang mencatat keputusan ujian PCR negatif saja dibenar menunaikan fardu haji, begitu juga syarikat penerbangan. Bagi penerbangan pertama ini, kita mendapati tiga jemaah haji positif COVID-19. Justeru, TH menasihati mereka supaya melalui proses atau prosedur ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Mereka perlu menjalani proses kuarantin dan selepas itu apabila tiada lagi apa-apa simptom, mereka boleh mendapatkan nasihat pihak hospital atau doktor dan menjalani ujian PCR sekali lagi.Jika keputusan ujian PCR mereka itu negatif dan penerbangan masih ada, TH akan cuba sedaya upaya mendapatkan tempat untuk mereka menunaikan haji,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di Sepang  hari ini.

    Syed Saleh berkata, TH berharap bakal jemaah haji bagi penerbangan seterusnya juga teliti berhubung pengambilan ujian PCR COVID-19.

    “Dalam tempoh 56 jam sebelum melapor diri di stesen berlepas, jika ada jemaah yang positif, hendaklah segera memaklumkan TH supaya kami dapat membuat perancangan seterusnya,” katanya.

    Ditanya apa yang perlu dilakukan jika salah seorang daripada pasangan jemaah positif COVID-19, beliau berkata, terpulang kepada pasangan terbabit sama ada salah seorang mahu meneruskan perjalanan atau menunggu pasangannya sembuh.

    “Sama ada pasangan yang negatif COVID-19 itu mahu meneruskan dahulu perjalanan atau menunggu penerbangan bersama apabila pasangan mereka sudah disahkan negatif nanti, adalah terpulang kepada mereka.

    “Kalau pergi berasingan, akan ditempatkan di hotel berasingan, jadi itu mungkin akan menimbulkan sedikit kerumitan ketika berada di sana,” katanya yang turut memaklumkan penerbangan terakhir jemaah ke Tanah Suci ialah pada 3 Julai depan.

    *Ikuti laporan ibadah haji 1443 oleh Lembaga Tabung Haji melalui media sosial Facebook, Twitter,Instagram dan Tik Tok.

  • Jururawat rugi lebih RM20,000 terpedaya pelaburan saham

    Jururawat rugi lebih RM20,000 terpedaya pelaburan saham

    SEORANG jururawat mendakwa kerugian lebih RM20,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham yang menjanjikan pulangan berganda, menerusi media sosial.

    Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang DSP Yap Huat Tian berkata mangsa berusia 44 tahun itu, berminat menyertai pelaburan tersebut selepas melihat tawaran menarik di aplikasi TikTok pada 20 Mei lepas.

    Beliau berkata wanita berkenaan ditawarkan empat pakej pelaburan dan memilih ‘pakej gold’ yang dikenakan bayaran RM250, dengan dijanjikan pulangan berjumlah RM7,800 dalam masa lapan hingga 12 jam.

    “Mangsa melakukan enam transaksi berjumlah RM20,130 ke dalam pelbagai akaun yang diberikan suspek dari 29 Mei hingga Khamis lepas (2 Jun).

    “Bagaimanapun, dia berasa ditipu apabila suspek memintanya membayar RM5,620 lagi, sebagai komisen staf pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Justeru, Yap berkata jururawat tersebut telah membuat laporan di Balai Polis Temerloh semalam, bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

    — BERNAMA

  • Imigresen tahan 49 warga asing dalam operasi di kondominium

    Imigresen tahan 49 warga asing dalam operasi di kondominium

    JABATAN Imigresen menahan 49 warga asing atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan dan dokumen perjalanan disyaki palsu dalam operasi di sebuah kondominium di Ampang, di sini tengah malam tadi.

    Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin berkata, dalam operasi yang berlangsung kira-kira dua jam itu, seramai 205 warga asing dari Afghanistan, Libya dan India berumur antara enam bulan dan 68 tahun telah diperiksa.

    “Operasi malam ini melibatkan seramai 31 orang pegawai Imigresen dan seramai 95 lelaki, 79 wanita dan 31 kanak-kanak diperiksa melibatkan 197 warga Afghanistan, enam warga Libya dan dua warga India,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

    Beliau berkata kebanyakan warga Afghanistan yang diperiksa merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang berlindung di negara ini susulan konflik di negara mereka.

    Menurutnya, kesemua tahanan akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 61C Akta Imigresen 1963.

    — BERNAMA

  • Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci

    Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci

    KUMPULAN pertama jemaah haji seramai  295 orang berlepas ke Tanah Suci menerusi penerbangan Saudia Airlines SV 5635 pada pukul 1.35 petang hari ini, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Perdana Menteri Datuk Seri  Ismail Sabri Yaakob turut hadir mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan pertama di Pusat Konvensyen Movenpick, Sepang.

    Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Amrin Awaluddin dan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

    Kerajaan Arab Saudi memperuntukkan kuota haji sebanyak 14,306 jemaah haji kepada Malaysia pada tahun ini. Dua tahun sejak 2020 jemaah Malaysia tidak dibenarkan mengerjakan haji ekoran pandemik Covid-19.

    *Ikuti laporan ibadah haji 1443 oleh Lembaga Tabung Haji melalui media sosial Facebook, Twitter,Instagram dan Tik Tok.

  • ‘’Mungkin bahasa Malaysia ada masalah’’ – Anthony bidas pemimpin UMNO

    ‘’Mungkin bahasa Malaysia ada masalah’’ – Anthony bidas pemimpin UMNO

    DAP meminta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri memberi penjelasan lebih terperini berhubung memorandum persefahaman antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) kepada pemimpin UMNO.

    Ketika membuat gesaan itu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, penjelasan itu perlu dilakukan kerana ada pemimpin UMNO seakan-akan keliru dan tidak faham dengan MoU berkenaan dan saling mengeluarkan kenyataan bercanggah antara mereka.

    “Mereka menyalahkan sesama sendiri sebab tidak faham dengan MoU itu, malah ada satu berita menarik yang saya baca pagi tadi, seorang pemimpin BN (Barisan Nasional) Selangor, menyalahkan seorang pemimpin UMNO kerana kononnya ulangi apa yang DAP dan saya cakap.

    “Seperti biasa mereka mengatakan DAP sangat berkuasa kerana menentukan apa yang pemimpin UMNOcakap, sekali lagi (mereka mengatakan) semuanya salah DAP. Yang jelas MoU mengatakan sebelum tarikh 31 Julai, tiada pilihan raya akan diadakan.

    “Mungkin bahasa Malaysia (bahasa Melayu) mereka (pemimpin UMNO) ada masalah. Jadi, saya sarankan kepada Perdana Menteri yang sekarang ini ‘juara’ bahasa Malaysia supaya mendidik dan menjelaskan kepada pemimpin UMNO berkenaan MoU ini,” katanya lapor portal FMT.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan ibu pejabat DAP Sabah, di di Kota Kinabalu, hari ini.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa sebelum ini berkata, tiada tarikh tamat bagi memorandum persefahaman (MoU) kerajaan PH.

    Bagaimanapun, Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil mempersoalkan mengapa Annuar kelihatan seolah-olah mengulangi DAP dalam komennya mengenai MoU berkenaan.

    Dalam perkembangan lain, Loke berkata, DAP kini bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.

    “Bagi Sabah, sasaran minimum kita ialah mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi sebelum ini iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Tenom.

    “Soal pertambahan kerusi, itu kita akan putuskan selepas berbincang dengan rakan-rakan dalam PH dan juga parti-parti lain yang ingin menjalinkan kerjasama, kita terbuka untuk bekerjasama dengan semua,” katanya.

  • Pelajar MRSM maut, ibu cedera parah dalam kemalangan

    Pelajar MRSM maut, ibu cedera parah dalam kemalangan

    SEORANG pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah, Pahang maut manakala ibunya cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 40 Jalan Seremban-Tampin berhampiran Rumah Rakyat Kendong, Rembau semalam.

    Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata dalam kejadian pada 9.20 malam itu, mangsa  Shazman Sabarudin, 16, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

    Beliau berkata ibu mangsa, Husnirazulia Mohd Yudin, 47, yang juga mengalami kecederaan parah kini menerima rawatan di zon merah, Hospital Tampin.

    “Kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 24 tahun yang dinaiki kedua-dua mangsa tersebut dan kereta Proton Saga dinaiki lima individu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Menurutnya berdasarkan siasatan awal terdapat kerja-kerja penurapan jalan dari arah Tampin menghala ke Rembau di lokasi kejadian dan keadaan jalan lurus tetapi tidak rata, tidak berturap, berbatu halus serta mempunyai satu lorong sehala.

    Hazri berkata kereta Perodua Axia yang dipandu dari arah Tampin menghala ke Rembau itu dipercayai hilang kawalan disebabkan permukaan jalan tidak berturap serta tidak rata, sebelum berpusing dan masuk ke laluan Proton Saga yang datang dari arah bertentangan.

    “Akibat kejadian itu juga, pemandu kereta Perodua Axia serta lima individu menaiki Proton Saga mengalami kecederaan termasuk patah kaki dan dirawat di zon kuning hospital sama,” katanya.

    Katanya mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat pada pagi tadi dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    — BERNAMA

  • MCA persoal agenda Ketua UMNO Alor Setar

    MCA persoal agenda Ketua UMNO Alor Setar

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MCA Alor Setar mempersoalkan agenda sebenar Ketua Bahagian UMNO Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail yang sering bercakap mengenai perlunya kerusi Parlimen tersebut ditandingi UMNO berikutan peratusan pengundi kaum Melayu yang lebih tinggi di kawasan tersebut.

    Menurut Ketua Pemuda MCA Alor Setar, Phee Kuan Joo, kenyataan demi kenyataan dikeluarkan Mohd. Yusof itu hanya akan membuatkan masyarakat berbilang kaum ragu untuk memilih Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang boleh mewakili suara mereka.

    “Jika Mohd. Yusof terus meminta kerusi untuk UMNO dan membezakannya dengan pengundi Cina, bagaimana beliau boleh membuatkan rakyat percaya BN adalah pilihan sebenar setiap orang dan bukan untuk kaum tertentu saja?

    “Isu utama di Alor Setar adalah bagaimana kita boleh melakukan sesuatu untuk rakyat di sini dan bukannya soal siapa calon yang akan bertanding. Kita mesti tahu apa yang perlu difokuskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Sebelum ini Mohd. Yusof telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan mengenai perlunya UMNO diberi peluang bertanding di Parlimen itu setelah MCA didakwa ditolak pengundi di Parlimen berkenaan dalam beberapa pilihan raya umum sebelum ini.

    Terbaru dalam kenyataan dikeluarkan pada Rabu lalu, Mohd. Yusof mendakwa kegagalan parti-parti komponen BN menyumbang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan antara faktor kepada kekalahan gabungan tersebut para Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    Menurut Mohd. Yusof, keadaan itu berpunca daripada penolakan pengundi terhadap calon diketengahkan parti komponen tersebut terutamanya MCA.

    Kuan Joo menambah, jika Mohd. Yusof perlu sedar bahawa pada PRU-14, BN kehilangan semua kerusi di Parlimen Alor Setar termasuk ketiga-tiga DUN di situ.

    “Beliau patut tahun rakyat bukan tolak MCA atau UMNO saja tetapi menolak BN dalam PRU-14 yang lalu. Dalam keadaan sekarang, beliau patut bertanyakan dirinya sendiri apa yang boleh dibuat k membantu BN dan bukan apa yang boleh beliau minta dari BN.

    “Kalau nak minta pengundi sokong BN, beliau harus mula bertindak dan kurangkan bercakap kosong,” katanya.

    Mengulas lanjut katanya, sepanjang pengetahuannya Mohd. Yusof sebelum ini tidak pernah menyebut mengenai mengambil kerusi Parlimen Alor Setar dalam mesyuarat BN.

    “Tetapi beliau selalu bercakap tentang isu ini secara terbuka. Jadi saya ingin bertanya, apa sebenarnya agenda beliau?

    “Kita mengalu-alukan sebarang pendapat tetapi kami mahukan cadangan yang berfaedah,” katanya.

  • ’’Yang nak PRU segera sebab nak jadi menteri’, Timbalan Perdana Menteri – Khairy

    ’’Yang nak PRU segera sebab nak jadi menteri’, Timbalan Perdana Menteri – Khairy

    KETIKA beberapa pemimpin UMNO begitu teruja mahukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) diadakan secepat mungkin, Ahli Parlimen Rembau Khairu Jamaluddin berpendapat sebaliknya.

    Seperti dilaporkan The Straits Times Singapura, Khairy yang rangka lawatan kerja ke Singapura berkata, tiada keperluan mendesak untuk PRU-15 diadakan segera.

    Sambil tidak menafikan kepentingan kestabilan politik namun beliau berpendapat tidak ada bezanya jika PRU15 diadakan pada tahun ini atau tahun depan.

    “Mereka yang mahukan pilihan raya sekarang adalah mereka yang terdesak mahu menjadi menteri dan Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

    Pada Konvesyen BN baru-baru ini beberapa pemimpin kanan parti itu dilihat cuba memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan PRU-15 secepat mungkin.

    Malah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka meminta mereka yang berada dalam Dewan Merdeka bangun jika bersetuju PRU-15 perlu diadakan secepat mungkin manakala Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan, melewat-lewatkan PRU boleh memberi masalah kepada BN.

    Menjawba satu soalan, reaksi berkata,  “Kami hormati pandangan anda sebagai kepimpinan parti..tetapi kekal di landasan anda, tunggu giliran.”

    Khairy berada di Singapura bermula 31 Mei hingga 3 Jun sebagai Felow Pertukaran Lee Kuan Yew yang ketujuh dari Malaysia.

    Dalam rangka kerja itu, beliau turut mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Istana Presiden.