Category: Semasa

  • Kemalangan : Suami isteri maut di Gopeng, warga emas terbunuh di Jerantut

    Kemalangan : Suami isteri maut di Gopeng, warga emas terbunuh di Jerantut

    SUAMI isteri maut, manakala dua lagi termasuk kanak-kanak parah apabila kereta dinaiki mereka terbabas di Jalan Kota Bharu dekat Gopeng, Ipoh.

    Pengarah Jabatan Bomba Perak Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 4 petang oleh orang awam.

    Beliau berkata mangsa yang maut Mohd Ramddan Abd Rahim, 44 dan isterinya, Kisdalliana Saad, 43. Dia dilaporkan tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dikeluarkan anggota bomba, manakala tiga lagi dikeluarkan orang ramai.

    “Dua mangsa yang cedera parah adalah wanita warga emas berusia 63 tahun serta kanak-kanak berusia tujuh tahun, telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya lapor Bernama.

    Menurutnya, kedua-dua mangsa yang maut telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    DI JERANTUT, seorang warga emas maut, manakala empat termasuk bayi lima bulan yang dipercayai sekeluarga parah dalam nahas di KM12, Jalan Jerantut-Maran, berdekatan Sungai Salan.

    Nahas melibatkan sebuah pelbagai guna (MPV) Proton Exora itu dikatakan gagal memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan lori lalu terbakar. Akibat pertembungan berkenaan, mangsa berusia 83 tahun dilaporkan maut di lokasi kejadian.

    Ketua Polis Jerantut Mazlan Hassan, berkata hasil siasatan mendapati kenderaan MPV yang dipandu suri rumah berusia 25 tahun bersama empat penumpang dipercayai sekeluarga beralamat di Felda Gelanggi Satu, Jerantut.

    “Pemandu kenderaan MPV dipercayai gagal memotong sebuah kenderaan di hadapannya menyebabkan bertembung dengan lori jenis Isuzu. Akibat kemalangan itu, MPV terbabit terbakar keseluruhannya selepas berlaku pelanggaran, semua mangsa dalam kenderaan itu berjaya dibawa keluar oleh orang awam,” katanya lampor  Berita Harian.

    Mazlan berkata, empat mangsa yang cedera parah termasuk bayi berusia lima bulan dirawat di Hospital Jerantut.

    “Kemalangan disiasat mengikut bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987. Mayat mangsa akan dibedah siasat,” katanya.

  • Muhyiddin anggap PRN akan jadi referendum rakyat untuk kerajaan

    Muhyiddin anggap PRN akan jadi referendum rakyat untuk kerajaan

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini sebagai referendum atau pungutan rasmi suara rakyat sama ada mahu melihat kerajaan Putrajaya kekal atau sebaliknya.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, setelah lebih tujuh bulan memerintah, rakyat boleh melihat dan menilai apa yang kerajaan campuran PH-BN lakukan untuk rakyat selain berpolitik tanpa mengira tempat dan masa.

    ‘’Kerajaan PH-BN juga sanggup berbohong kepada rakyat dengan memberi gambaran yang cantik-cantik sahaja, sedangkan realiti di bawah tidak sedemikian. Kos sara hidup terus meningkat dan mencengkam hidup rakyat, ekonomi merudum, ringgit menjunam ke paras membimbangkan tetapi kerajaan dilihat tidak berbuat apa-apa,’’ katanya dalam kenyataan dalam Facebook beliau, hari ini.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, secara jujur beliau tidak menyangka setelah lebih tujuh bulan memerintah, masalah kerajaan campuran PH-BN ini begitu besar daripada yang dijangka.

    ‘’Justeru saya menyeru seluruh rakyat agar dapat keluar mengundi dan menjadikan PRN ini sebagai satu pungutan suara rasmi rakyat menolak sebuah kerajaan ‘cakap tak serupa bikin’ yang banyak menyusahkan hidup rakyat,’’ katanya.

    Sambil menjelaskan, beliau melancarkan jentera Pilihan Raya PN Negeri Sembilan malam tadi, Presiden Bersatu berkata, pilihan raya ini bukan sekadar untuk memilih seorang wakil rakyat tetapi lebih daripada itu memilih sebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab, amanah, tidak rasuah, mendukung perlembagaan, adil dan saksama dalam sentiasa berusaha memajukan ekonomi negeri.

    Beliau berkata,  walaupun PN berada dalam serba kekurangan, jangan sesekali mudah putus asa, terus berusaha perhebatkan jentera pilihan raya, insya-Allah kemenangan akan menjadi milik kita.

  • Polis parah ditikam dengan pisau dalam operasi dadah

    Polis parah ditikam dengan pisau dalam operasi dadah

    OLeh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG anggota polis cedera parah selepas ditikam seorang lelaki yang ditahan dalam operasi membenteras dadah di Jalan Ungku Puan di bandar raya ini pukul 2.30 pagi tadi.

    Anggota polis berpangkat konstabel dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan luka dalaman di bahagian rusuk sebelah kiri akibat ditikam dengan sebilah pisau.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menerima maklumat kejadian tersebut pada pukul 3.20 pagi.

    “Mangsa ditikam seorang lelaki semasa menjalankan tugas Ops Tapis Khas di sekitar Johor Bahru.

    “Kejadian berlaku semasa pihak polis memeriksa tiga individu di kawasan tempat letak kereta berbayar di Jalan Ungku Puan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil.

    Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa operasi itu yang disertai seorang pegawai dan lima anggota polis termasuk mangsa sedang membuat pemeriksaan terhadap tiga individu yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

    “Semasa pegawai dan anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap dua individu, suspek tiba-tiba cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan sehingga mangsa ditikam suspek. Suspek berjaya melarikan diri.

    “Pihak polis tidak sempat merekodkan sebarang maklumat suspek. Polis kini giat memburu lelaki warga tempatan berpakaian baju lengan panjang hitam, berselipar, memakai ‘snowcap’ hitam dan memakai pelitup muka warna hitam,” katanya.

    Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

    Tambahnya, kes juga disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung terus menerusi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Noor Azlinda Mohd Khalid 017-2765250.

  • ‘Saya sedih, marah bila nampak tertuduh’, kata anak penunggang Ducati

    ‘Saya sedih, marah bila nampak tertuduh’, kata anak penunggang Ducati

    ANAK sulung kepada mangsa yang maut selepas tercampak dari Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) menzahirkan perasaan sedih dan rasa marah ketika melihat sosok lelaki yang didakwa menunggang motosikal secara melawan arus sehingga menyebabkan kematian bapanya di Mahkamah Majistret Ampang Jaya, hari ini.

    Muhammad Hafidz Ahmad Fadzil, meluahkan bahawa perasaan sedih yang bercampur marah itu lebih membuak-buak apabila mengenangkan arwah bapanya.

    “Bila saya tengok orang itu (tertuduh) saya agak sedih dan teringat kepada arwah. Perasaan saya ada dua, sedih dan marah kerana disebabkan dia, saya telah kehilangan seorang ayah.

    “Semua manusia akan merasakan benda sama. Bila saya tengok dia, saya betul-betul marah kerana telah kehilangan ayah,” katanya.

    Anak sulung daripada empat beradik itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas proses pertuduhan bagi kes itu selesai, pagi tadi.

    Pemuda itu turut memberitahu bahawa kematian bapanya itu cukup memberi kesan mendalam apabila menyifatkan hubungannya bersama bapa cukup akrab.

    “Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya kerana saya rapat dengan arwah.

    “Kami selalu menunggang motosikal bersama-sama sambil minum kopi dan berbual bersama. Namun saya telah hilang itu, jadi ia memberi kesan kepada saya,” luahnya lagi.

    Bagaimanapun, Muhammad Hafidz memberitahu bahawa dia reda dengan ketentuan Illahi dan menyerahkan keadilan bagi kematian bapanya itu kepada pihak mahkamah.

    Dalam pada itu, lelaki berusia 36 tahun itu menganggap bahawa kejadian yang menimpa dirinya dan keluarganya itu agar turut menjadi iktibar kepada pengguna jalan raya lain untuk lebih berhati-hati dan lebih peka.

    Terdahulu UtusanTV melaporkan tertuduh, Mudzyadaha Mohammad, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang Jaya, hari ini atas pertuduhan menunggang motosikal secara melawan arus sehingga menyebabkan kematian Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64 tahun.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 22.2 Lebuhraya SUKE, dekat Hulu Langat sekitar pukul 1.30 petang pada 14 Jun lalu.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) yang boleh dihukum di bawah peruntukkan akta yang sama.

    Bagaimanapun, tertuduh yang juga merupakan pemandu lori itu diarahkan untuk menjalani penilaian psikiatri selepas Majistret Amalina Basirah Md. Top membenarkan permohonan pihak pembelaan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

    Sebelum ini pada 14 Jun lalu, Ahmad Fadzil yang menunggang motosikal jenis Ducati Panigale dilaporkan maut selepas tercampak sebelum terhumban daripada jejambat lebuhraya itu ketika mengelak sebuah motosikal yang ditunggang melawan arus.

  • Dadah sintetik dijual serendah RM18 di web gelap

    Dadah sintetik dijual serendah RM18 di web gelap

    DADAH jenis sintetik kini dijual pada harga serendah RM18 melalui laman web gelap serta aplikasi Telegram dan WhatsApp, dedah Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon hari ini.

    Beliau berkata bekalan dadah sintetik seperti pil kuda, syabu dan ekstasi itu kemudiannya dihantar kepada pelanggan melalui perkhidmatan kiriman cepat atau orang persendirian.

    “Daripada pergi kepada tokan, mereka (penagih dadah) boleh order pesanan dan ia dihantar terus ke rumah,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bilangan 1 Tahun 2023 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

    Sutekno berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh AADK, penagih dadah membelanjakan RM50 bagi mendapatkan bekalan dadah setiap tiga hari dan jumlah itu meningkat mengikut tahap ketagihan.

    “Dadah ini ikut keaslian atau ketulenan, ada yang murah iaitu serendah RM18 termasuk penghantaran ada direkodkan,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata kerajaan sedang giat merangka Rang Undang-Undang Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) bagi menggantikan Akta Penagih Dadah 1984.

    Sutekno turut memaklumkan bahawa JKMD hari ini bersetuju supaya AADK melaksanakan Kempen Satu Juta Ahli Skuad Antidadah untuk menggiatkan program dan aktiviti gaya hidup sihat.

    Beliau berkata skuad tersebut berperanan sebagai agen perubahan kepada keluarga dalam penyampaian mesej “pencegahan dadah bermula di rumah”.

    Ahmad Zahid selepas mempengerusikan JKMD hari ini berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan AADK diberi tempoh tiga bulan untuk mengkoordinasi usaha merangka inisiatif atau program efektif bagi membendung masalah dadah.

  • Saingan sengit, pengundi Melayu kekal sokong PN – Akhbar Singapura

    Saingan sengit, pengundi Melayu kekal sokong PN – Akhbar Singapura

    AKHBAR  Berita Minggu Singapura melaporkan, enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan menyaksikan gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) menerima pukulan di tangan Perikatan Nasional, memetik penganalisis yang mengatakan sokongan pengundi Melayu masih belum beralih kepada PH-BN sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

    Akhbar itu memetik seorang penganalisis berpengalaman sebagai berkata terdapat petunjuk kukuh kerajaan negeri boleh tertukar di Negeri Sembilan dan Selangor, negeri ini merupakan sandaran utama kedua gabungan PH-BN dan PN dalam kempen mereka.

    Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun berpendapat PN berpeluang membentuk kerajaan di Negeri Sembilan, sambil menambah akan berlaku persaingan sengit di Selangor. 

    Beliau berkata sentimen semasa di Malaysia mencerminkan keadaan di tempat lain di dunia Islam.

    “Ini berdasarkan pemerhatian lama berkaitan politik Malaysia, kebangkitan politik Islam di negara itu serta perkembangan sejagat khususnya kebangkitan Islam bukan sahaja di Malaysia, bahkan di Turkiye dan Indonesia,” katanya rapor MalaysiaNow.

    Norshahril Saat berkata berikutan jajaran politik baharu, adalah lebih sukar untuk meramalkan keputusan pengundian kali ini, meskipun tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu dapat melihat pengukuhan pentadbiran Pas berikutan peralihan penyokong Umno ke arah PN.

    “Pulau Pinang pula adalah kubu kuat DAP, cuma bezanya adalah bagaimana rakyat negeri itu menilai kerjasama DAP dan Umno di peringkat Persekutuan. 

    “Selangor dan Negeri Sembilan pula agak sukar diramal, kerana setiap gabungan parti ada kekuatan masing-masing,” kata Norshahril yang juga felo kanan ISEAS-Institut Yusof Ishak Singapura.

    Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata walaupun beliau menjangkakan status quo dari segi parti yang menerajui enam kerajaan negeri, namun majoriti dan kerusi dikuasai PH-BN diramal berkurangan berbanding jumlah yang dimenangi PH ketika bertanding secara solo sebelum ini.

    “Gelombang keraguan masyarakat Melayu kepada kerajaan perpaduan masih terlalu kuat.  Ini bukan sahaja berkaitan ‘gelombang agama’ (green wave), tetapi sentimen lebih umum berkaitan kegagalan kerajaan menangani isu kos kehidupan selepas tujuh bulan serta bantahan masyarakat Melayu kepada UMNO yang dilihat terlibat dengan rasuah,” katanya.

    “Gelombang hijau”, merujuk kepada warna tema Pas, ungkapan yang digunakan oleh pemimpin DAP untuk menggambarkan pencapaian PN dalam pilihan raya umum lalu, tetapi dilihat sebagai menghina dan bersifat Islamofobia oleh orang yang bersimpati terhadap parti Islam itu.

    Fauzi berkata PRN ini akan menyaksikan trend selama ini berulang, apabila Pas “secara automatik” akan menjadi parti pilihan mereka apabila ada rasa tidak puas hati terhadap UMNO.

    BN mengalami kekalahan pilihan raya paling teruk dalam PRU15 tahun lepas, dengan PN muncul sebagai pemenang di kerusi yang secara tradisinya dimenangi oleh UMNO. 

    Pemerhati dan peninjau menunjukkan bahawa trend itu akan berulang pada PRN. 

    Tinjauan terbaru yang diterbitkan oleh Institut Kajian Asia Tenggara Singapura mendapati majoriti mereka yang mengundi Umno dalam pilihan raya umum kini akan menyokong calon PN dan bukannya PH-BN.

    Menurut tinjauan tersebut, trend berkenaan dicerminkan di 39 kerusi majoriti Melayu di Selangor, dan menandakan berakhirnya pemerintahan 15 tahun PH di negeri terkaya Malaysia itu. 

    Oh, Norshahril dan Fauzi tidak menolak kesan kepada kerajaan campuran Perdana Menteri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan sekiranya PH-BN berakhir dengan teruk pada PRN ini. 

    Fauzi berkata walaupun “secara teori” kerajaan persekutuan mungkin kekal, namun terdapat tekanan daripada akar umbi Umno untuk menilai semula sokongan parti itu terhadap Anwar. 

    Beliau menambah bahawa sekiranya Umno keluar, sokongan daripada GPS Sarawak dan lain-lain parti di Sabah juga boleh terjejas, kerana mereka akan menilai “tawaran lebih baik” yang diberikan PN. 

    Bagi Oh, kerajaan Anwar berisiko sekiranya berlaku kekalahan pada PRN ini.

    “Ahli Parlimen individu yang kini menyokong Anwar akan berfikir dua kali memandangkan keputusan PRN. Mereka akan kekal dengan parti mereka sekarang supaya tidak mencetuskan undang-undang antilompat parti, tetapi boleh mengisytiharkan sokongan mereka kepada pemimpin PN untuk menjadi perdana menteri. Jika cukup bilangan mereka berbuat demikian, Anwar akan kehilangan majoriti (Parlimen),” tambah Oh.

  • Polis rampas dadah bernilai RM7.4 juta dalam dua operasi di Lembah Klang

    Polis rampas dadah bernilai RM7.4 juta dalam dua operasi di Lembah Klang

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM7.4 juta dalam dua operasi yang dilakukan di sekitar Lembah Klang.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, seorang lelaki warga tempatan berusia 44 tahun berjaya ditahan dalam serbuan pertama yang dilakukan pada 5 Julai lalu.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din (kanan) bersama Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan pelbagai jenis dadah bernilai RM7.4 juta yang dirampas selepas berjaya menahan tiga suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah sekitar lembah klang ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Jelas beliau, lelaki tersebut dipercayai terlibat dengan aktiviti dadah bagi pasaran tempatan.

    “Hasil serbuan yang dilakukan, JSJN telah merampas dadah yang dianggarkan bernilai RM1.62 juta.

    “Dadah yang dirampas itu adalah jenis methamphetamine seberat 46.4 kilogram (kg) dan ketamin seberat 1.5 kg,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Sebahagian daripada dadah bernilai RM7.4 juta yang dirampas selepas polis berjaya menahan tiga suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah sekitar lembah klang ketika Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Mengulas lanjut, Mohd. Kamarudin berkata, serbuan kedua yang dijalankan pada 6 Julai, dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 38 dan 47 tahun berjaya ditahan pihak polis.

    Katanya, dalam serbuan tersebut, polis berjaya merampas dadah yang dianggarkan bernilai RM5.8 juta.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Jelas beliau, dadah yang dirampas adalah methamphetamine seberat 169.4 kg dan pil yaba seberat 4.8 kg.

    “Jumlah keseluruhan rampasan dadah dalam kedua-dua operasi ini adalah methamphetamine seberat 215.7 kg, ketamin seberat 1.5 kg dan pil yaba seberat 4.8 kg.

    Sebahagian daripada dadah bernilai RM7.4 juta yang dirampas selepas polis berjaya menahan tiga suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah sekitar lembah klang ketika Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Jumlah keseluruhan rampasan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai lebih sejuta orang penagih,” katanya, lapor Utusan TV.

  • Isu roboh kuil: 50 laporan polis dibuat PN, desak Guan Eng minta maaf

    Isu roboh kuil: 50 laporan polis dibuat PN, desak Guan Eng minta maaf

    PEMUDA Perikatan Nasional (PN) menuntut Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, memohon maaf secara terbuka dan membela diri dengan membuat laporan polis berhubung isu perkauman yang dilontarkan dalam media sosial baru-baru ini.

    Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kenyataan dibuat bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berhubung meroboh kuil adalah satu perbuatan yang cukup berbentuk perkauman, melampau serta prejudis terhadap kepimpinan PN terutama di Kedah.

    “Sebagai bekas Ketua Menteri, Guan Eng, pastinya tahu tugas-tugas penjawat awam termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ia bukan campur tangan politik atau arahan politik.

    “Guan Eng sewajarnya memahami garis kuasa dan bidang kuasa yang diperuntukkan dalam menguruskan negeri masing-masing.

    “Apa yang dinyatakan oleh Guan Eng dalam Bahasa Mandarin ketika majlis politik di Pulau Pinang, adalah sangat berbahaya kepada hubungan baik sesama kaum dan agama di negara ini.

    Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Lim Guang Eng atas kenyataan yang mempunyai unsur rasis dan fitnah kepada Perikatan Nasional di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Saya tidak faham kenapa Guan Eng sanggup meracuni pemikiran pengundi Cina dan menakutkan mereka dengan Gelombang Hijau dan untuk itu, kami menuntut Guan Eng memohon maaf secara terbuka kepada PN dan seluruh umat Islam berhubung kenyataan yang telah dibuat itu,” katanya.

    Beliau memberitahu demikian dalam sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

    Wan Ahmad Fayhsal berkata, sebanyak 50 laporan polis dibuat PN di seluruh negara terhadap Guan Eng berkaitan isu terbabit.

    “Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh mengambil tindakan susulan, ekoran laporan yang telah dibuat di seluruh negara.

    “Pemuda PN turut meminta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, mengotakan janjinya bahawa mana-mana pihak atau individu yang bermain dengan isu 3R iaitu kaum, agama dan raja di media sosial, dia akan menghantar kereta polis di hadapan rumah mereka,” katanya.

    Beliau yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berkata, Pemuda PN ingin melihat Guan Eng hadir ke balai polis untuk memberi keterangan dan penjelasan berhubung perkara ini.

    Diminta mengulas bahawa Guan Eng menyatakan kenyataan itu telah disalah tafsir oleh beberapa media, Wan Ahmad Fayhsal berkata, Ahli Parlimen Bagan itu boleh membuat laporan polis dan membela dirinya.

    “Sekiranya Guan Eng berasakan dia tidak bersalah dan laporan media tidak benar, dia boleh bertindak menyaman media terbabit.

    “Guan Eng perlu membuat laporan polis dan menjelaskan segalanya, sekali gus membela dirinya. Kita Pemuda PN boleh ‘tutup buku’ sekiranya dia tampil memohon maaf secara terbuka demi keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini,” katanya, lapor Berita Harian.

    Guan Eng sebelum ini menolak dakwaan beliau sengaja membangkitkan isu 3R ketika menyentuh berkenaan perobohan tokong Budha atau Cina dalam ucapan pada satu program di Jelutong, Pulau Pinang.

  • PN Perak gesa Guan Eng disiasat di bawah SOSMA

    PN Perak gesa Guan Eng disiasat di bawah SOSMA

    PERIKATAN Nasional (PN) Perak menggesa Lim Guan Eng disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berikutan kenyataan biadapnya yang menyentuh isu berkaitan agama, Raja dan kaum.

    Ketua Pemuda PN Perak, Mohd. Hafez Sabri berkata, kenyataan Pengerusi DAP itu yang mendakwa gelombang hijau bakal memusnahkan tokong dan bukan Islam berdepan pelbagai sekatan merupakan satu provokasi melampau dan berunsur fitnah.

    Malah katanya, tindakan Guan Eng itu juga disifatkan sebagai terdesak bukan sahaja untuk menjatuhkan pihak lawan malah menakutkan kaum bukan Melayu terhadap Pas dan PN.

    “Kami mengecam penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Guan Eng di mana PN akan memusnahkan tokong jika berjaya memerintah Pulau Pinang.

    “Kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi DAP itu bercanggah dengan kenyataan pemimpin Kerajaan Perpaduan yang kononnya lantang dalam isu yang menyentuh agama, Raja dan kaum,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh hari ini.

    Menurut Hafez, tindakan tegas perlu diambil terhadap Ahli Parlimen Bagan itu berikutan kenyataan beliau boleh mencetuskan api perkauman dan perbalahan antara kaum.

    Katanya, ucapan Guan Eng juga tersasar jauh dan jelas merupakan satu agenda jahat untuk menakut-nakutkan orang bukan Melayu.

    “Gambaran yang diberikan juga adalah salah sedangkan negara kita ada peraturan dan undang-undang. Sebagai rakyat Malaysia, kita sangat sensitif apabila ada pihak yang cuba membangkitkan api perkauman seperti itu.

    “Siasatan segera perlu dijalankan walaupun Guan Eng cuba ‘spin’ semula kenyataanya. Guan Eng patut dikenakan tindakan SOSMA disebabkan kenyataan melampaunya itu,” katanya lapor Utusan Malaysia.

    Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan yang Guan Eng memberi amaran terhadap pengundi Pulau Pinang supaya mereka menyekat kemasukan ‘gelombang hijau’ di negeri tersebut.

    Bekas Menteri Kewangan itu dikatakan mendakwa ‘gelombang hijau’ akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

    Walau bagaimanapun, Guan Eng berkata, kenyataannya sengaja diputarbelit bagi menggambarkan sentimen perkauman.

  • Bocor draf penghakiman, cubaan jahat, ganggu proses keadilan, kata Ketua Hakim Negara

    Bocor draf penghakiman, cubaan jahat, ganggu proses keadilan, kata Ketua Hakim Negara

    TINDAKAN sesetengah pihak membocorkan ‘draf penghakiman’ dilihat sebagai cubaan jahat untuk menjatuhkan Badan Kehakiman bagi mengganggu operasi kehakiman dan pentadbiran keadilan.

    Ini kerana sejak kebelakangan ini kata Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Badan Kehakiman menjadi sasaran anggota masyarakat tertentu dalam mengejar objektif jahat mereka.

    Katanya, antara contoh cubaan jahat yang dilakukan adalah membocorkan ‘draf penghakiman’ dalam dua kes berprofil tinggi yang dibicarakan di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi

    “Selain penghakiman mereka yang menjadi wacana awam, kehidupan peribadi hakim juga tidak tidak terlepas daripada penelitian,” katanya dalam ucapan pembukaan pada Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia (MLC) di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur hari ini.

    Tengku Maimun berkata, bagaimanapun pihaknya lebih mengutamakan kritikan yang bermaklumat berbanding kritikan yang tidak berasas.

    “Harapan kami terhadap orang awam adalah supaya memanfaatkan kuasa teknologi untuk membiasakan diri dengan keputusan penghakiman kami.

    “Sesuatu penghakiman atau keputusan mesti difahami bukan sahaja untuk apa yang akan diputuskan tetapi juga alasan yang menyokongnya…Mungkin Majlis Peguam perlu melihat kepada meningkatkan kefahaman dan kemahiran awam berhubung penghakiman mahkamah,” katanya.

    Selain itu, Tengku Maimun berkata, pihaknya berdepan beberapa cabaran dalam mentransformasikan perbicaraan mahkamah dari fizikal kepada virtual.

    “Antara perkara yang menjadi kebimbangan utama adalah keselamatan siber, di mana data undang-undang yang sensitif, membabitkan keterangan peribadi hingga butiran kes perlu dilindungi,” katanya, lapor Berita Harian.