Category: Semasa

  • RM118,691 minuman keras tidak bercukai dirampas

    RM118,691 minuman keras tidak bercukai dirampas

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang merampas sebanyak 554 liter minuman keras disyaki tidak bercukai bernilai RM118,691 dalam dua serbuan di Butterworth, semalam.

    Komander PPM Wilayah Satu Pulau Pinang, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, serbuan di bawah Op Kontraban itu dibuat di Taman Nagasari, Perai, Butterworth kira-kira pukul 11 pagi hasil maklumat awam.

    Dalam serbuan itu juga jelas beliau, dua warga asing berumur antara 30 hingga 40 tahun turut ditahan.

    “Tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk tindakan lanjut.

    Serbuan di bawah Op Kontraban itu dibuat di Taman Nagasari, Perai kira-kira pukul 11 pagi

    “Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah termasuk penyeludupan rokok, dadah, PATI (pendatang asing tanpa izin) dan sebagainya kepada PPM Wilayah Satu Pulau Pinang supaya tindakan segera dapat diambil.

    “Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan terus melalui talian telefon 04-6558222,” ujar beliau.

  • Bekalan pasport mencukupi – KP Imigresen

    Bekalan pasport mencukupi – KP Imigresen

    KESESAKAN yang dilaporkan berlaku di pejabat Imigresen terutama di kawasan Lembah Klang bukan disebabkan kekurangan bekalan pasport tetapi ekoran peningkatan mendadak permohonan dan memperbaharui Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).

    Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, permohonan dan pembaharuan PMA meningkat mendadak sebanyak 65 peratus ketika ini hingga berlaku kesesakan luar biasa di pejabat Imigresen terutama di Lembah Klang.

    Beliau bagaimanapun memberi jaminan Jabatan Imigresen mempunyai bekalan pasport lebih 1.2 juta yang mampu menampung peningkatan mendadak permohonan serta pembaharuan PMA.

    “Bekalan pasport mencukupi, kami ada lebih 1.2 juta (pasport) dalam stor dan kalau habis, pembekal akan tambah lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini bagi mengulas situasi kesesakan di kaunter Imigresen.

    Khairul Dzaimee berkata, antara faktor berlaku kesesakan di pejabat Imigresen adalah kerana orang ramai hadir serentak pada sebelah pagi untuk urusan membuat PMA.

    “Contohnya di pejabat Imigresen di Shah Alam, pejabat memang sempit dan ramai datang pada waktu pagi untuk urusan buat pasport… mereka boleh datang sebelah petang,” katanya.

    Waktu pengoperasian di enam pejabat pengeluar pasport dan kaunter Jabatan Imigresen dipanjangkan hingga 10 malam, manakala enam lagi dilanjutkan hingga 6 petang sejak 11 Mei lepas.

    Enam premis yang dipanjangkan waktu operasi hingga 10 malam ialah Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, manakala Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Perlis dilanjutkan hingga 6 petang.

    Khairul Dzaimee menasihatkan orang ramai untuk mengambil peluang cuti persekolahan ketika ini bagi memohon dan memperbaharui PMA di pejabat Imigresen di luar kawasan Lembah Klang.

    “Kita ada pejabat Imigresen yang menguruskan pasport dan tidak sibuk seperti di Putrajaya atau Shah Alam. Negeri seperti Perlis, Kedah, Kuantan dan Terengganu ini antara pejabat yang tidak sibuk dan permohonan pasport kurang,” katanya.

    Khairul Dzaimee turut menasihati orang ramai agar memastikan mereka benar-benar mempunyai keperluan seperti urusan rasmi kerja dan melancong bagi memohon atau memperbaharui PMA.

    “Jika tidak ada keperluan, tidak perlu buat pasport lagi… kadang-kadang saya tanya 10 orang yang buat pasport, enam beri jawapan tidak tahu lagi,” katanya. – Bernama

  • 700 karton bir tanpa cukai dirampas

    700 karton bir tanpa cukai dirampas

    PASUKAN Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Bintulu merampas sejumlah 700 karton bir pelbagai jenama tanpa cukai kastam di sebuah kafe muzik di Jalan Orang Kaya Setia Raja, Sarawak, petang Rabu.

    Komander PPMW5 Sarawak, Asisten Komisioner Zulfikar Mohd. Ghazali dalam kenyataan hari ini berkata, hasil risikan dijalankan, Unit Risikan Marin (URM) PPMW5 Bintulu melakukan serbuan dan pemeriksaan ke atas premis terbabit.

    “Tiba di lokasi, anggota URM dan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah memperkenalkan diri kepada seorang lelaki berusia 59 tahun yang dipercayai penjaga premis itu,” katanya, lapor Satu Berita.

    Beliau berkata, pasukan penguatkuasaan kemudiannya menjalankan pemeriksaan dan menemukan 700 karton bir dianggarkan bernilai RM114, 984 yang disimpan dalam premis berkenaan.

    Zulfikar berkata, semakan yang dijalankan turut mendapati penjaga premis terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan pemilikan minuman keras itu.

    Tangkapan serta barangan yang dirampas kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk siasatan lanjut.

  • Elaun petugas pentaksiran, pemeriksaan SPM 2021 dibayar mulai hari ini-Dr. Radzi

    Elaun petugas pentaksiran, pemeriksaan SPM 2021 dibayar mulai hari ini-Dr. Radzi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin mengarahkan pembayaran elaun kepada petugas pentaksiran dan petugas pemeriksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2021 segera diselesaikan.

    “Saya menerima makluman tentang elaun petugas pentaksiran dan elaun petugas pemeriksaan #SPM2021 masih belum diterima.

    “Saya telah mengarahkan supaya Lembaga Peperiksaan untuk meneliti perkara ini dan membuat bayaran kepada guru yang terlibat dengan segera. Kita usahakan agar bayaran berkenaan dibuat mulai esok,” katanya dalam hantaran dalam Facebook miliknya, malam tadi.

  • Pegawai kesihatan kontrak jalani khidmat wajib layak dapat kemudahan – Khairy

    Pegawai kesihatan kontrak jalani khidmat wajib layak dapat kemudahan – Khairy

    KERAJAAN  bersetuju memberi kemudahan Tambang Mengunjungi Wilayah Asal kepada pegawai perubatan, pergigian dan farmasi lantikan kontrak yang sedang menjalani khidmat wajib, demikian menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata mesyuarat Kabinet hari ini juga bersetuju, untuk memanjangkan kemudahan Cuti Tugas Khas Perubatan serta Cuti Tibi, Kusta dan Barah kepada pegawai perubatan, pergigian dan farmasi lantikan kontrak, yang sedang menjalani latihan siswazah dan/atau khidmat wajib.

    Khairy menjelaskan mesyuarat Kabinet pada 14 Julai tahun lalu bersetuju memberikan semua kemudahan tersebut hanya kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak, yang telah diluluskan pelanjutan kontrak setelah melengkapkan khidmat wajib.

    “Selaras dengan usaha berterusan dan komitmen untuk menambah baik situasi kebajikan pegawai lantikan kontrak, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mesyuarat Kabinet hari ini membentangkan satu lagi memorandum untuk pertimbangan Jemaah Menteri, agar pemberian kemudahan-kemudahan sedia ada ini ditambah baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Khairy keputusan pemanjangan kemudahan Cuti Tugas Khas Perubatan serta Cuti Tibi, Kusta dan Barah, diharap dapat menangani isu ketidaksetaraan pemberian kemudahan-kemudahan berkenaan antara pegawai lantikan kontrak yang sedang menjalani latihan siswazah dan/atau khidmat wajib dengan pegawai lantikan kontrak yang telah melengkapkan khidmat wajib.

    “Selain itu, pegawai perubatan, pergigian dan farmasi lantikan kontrak yang sedang menjalani khidmat wajib juga akan dapat menikmati kemudahan Tambang Mengunjungi Wilayah Asal sebagaimana dinikmati oleh pegawai lantikan kontrak yang telah melengkapkan khidmat wajib,” katanya.

    Khairy berkata memorandum Jemaah Menteri yang dibentangkan hari ini, adalah satu daripada usaha dan komitmen berterusan KKM dalam menambahbaik dan menyediakan persekitaran tempat kerja yang kondusif buat seluruh kakitangannya, bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi serta selamat.

    — BERNAMA

  • JAIS tidak halang penganjuran Bon Odori

    JAIS tidak halang penganjuran Bon Odori

    JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) tidak akan menghalang mana-mana individu untuk menghadiri program Bon Odori, yang dijadual pada 16 Julai depan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic), kata Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

    Mohd Shahzihan menerusi kenyataan hari ini berkata penetapan itu dibuat, susulan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak berkenan apa-apa keputusan mengenai perkara itu, disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian yang mendalam.

    “Baginda berpendirian, banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi tidak semestinya agama ada di dalam budaya. Baginda juga bertegas bahawa mengamalkan sesuatu perkara adalah berbeza dengan perbuatan melihat.

    “Baginda juga tidak bimbang, jika akidah umat Islam kuat dan benar, ia akan mengenepikan sebarang iktikad dan amalan yang bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

    Beliau berkata baginda turut menitahkan semua perkara yang diputuskan dibuat dengan adil dan saksama, ditambah dengan kehidupan bermasyarakat dan kepercayaan yang pelbagai di Selangor khususnya.

    “Sehubungan dengan itu, baginda telah menitahkan pegawai JAIS dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke majlis tersebut, bagi melihat sendiri apa yang berlaku di dalam program tersebut.

    “Baginda sendiri pernah hadir ke majlis tersebut beberapa tahun lalu dan tidak melihat sebarang perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam, melainkan ia satu program sosial pekerja-pekerja industri milik syarikat Jepun yang banyak di Selangor,” katanya.

    — BERNAMA

  • Haji: Jemaah Malaysia mula tiba di Makkah esok

    Haji: Jemaah Malaysia mula tiba di Makkah esok

    BUMI Makkah akan mula dikunjungi jemaah haji Malaysia secara berperingkat bermula 8 malam, waktu Arab Saudi, esok.

    Pengurus Maktab 47, Roslan Jonet berkata pihaknya akan menerima kira-kira 295 jemaah haji yang bertolak dari Madinah menerusi tujuh buah bas, sebelum dibawa ke bangunan Abraj Al-Janadriyyah, di sini.

    Katanya, mereka merupakan rombongan haji yang pertama pada 4 Jun lalu dan bakal menerima sambutan dari pihak pengurusan, sebelum jemaah haji mengerjakan umrah.

    “Esok akan ada sedikit sambutan untuk rombongan pertama…dari segi bilik penginapan juga telah disediakan dan mereka akan ditempatkan mengikut jadual penerbangan mereka serta penilaian tertentu, termasuk ikatan kekeluargaan,” katanya.

    Roslan yang juga merupakan Pengarah TH Melaka, berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerangkan tentang pelbagai persediaan yang dilakukan TH.

    Dilaporkan sehingga kini seramai 1,940 jemaah menerusi tujuh penerbangan dari tanah air telah berada di Madinah.

    Selain bangunan Abraj Al-Janadriyah yang menempatkan dua maktab (penginapan jemaah), iaitu maktab 46 dan 47, terdapat juga bangunan lain iaitu Qasr Al-Janadriah (maktab 49) serta Land Premium (maktab 48 dan 50).

    Menurut Roslan, TH menyediakan kira-kira 30 petugas maktab dengan enam petugas bagi setiap maktab, yang akan berkhidmat 24 jam, bagi memastikan kebajikan dan keselesaan jemaah.

    “Setiap bangunan penginapan mempunyai pelbagai kemudahan termasuk pejabat pengurusan, farmasi, klinik kesihatan, kedai runcit dan kaunter khidmat pelanggan,” katanya.

    Seramai 14,306 jemaah Malaysia akan menunaikan haji pada tahun ini menerusi 48 penerbangan, iaitu yang terakhir pada 2 Julai.

    SEMENTARA itu, seramai 293 orang jemaah haji termasuk Pengarah Eksekutif Haji TH Merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman bertolak dari Movenpick Hall and Convention Centre (MHCC) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9.45 pagi hari ini. Mereka berlepas ke Madinah pukul 1.10 petang. Penerbangan KT08B (SV5627) ini dijangka tiba pada jam 4:30 petang waktu Arab Saudi (10.30 malam waktu Malaysia).  – BERNAMA

    *Ikuti laporan ibadah haji 1443 oleh Lembaga Tabung Haji melalui media sosial Facebook, Twitter,Instagram dan Tik Tok.

  • Lelaki didenda RM3,500 rakam wanita buang air

    Lelaki didenda RM3,500 rakam wanita buang air

    MAHKAMAH Majistret Kuching hari ini menjatuhkan hukuman denda RM3,500 terhadap seorang lelaki atas tuduhan menyimpan gambar wanita sedang membuang air di tandas awam di syarikat tempatnya bekerja.

    Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman itu terhadap Ling How Tze, 31, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

    Harian Mentro melaporkan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki gambar seorang wanita berusia 44 tahun sedang kencing dirakamnya menggunakan kamera kecil yang dipasangnya di dalam tandas berkenaan.

    Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Taman Satria Jaya BDC, di Kuching, pada 6 September 2019, pukul 11 malam.

    Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh diwakili peguam Christopher Bada.

    Menurut fakta kes, pada 6 September 2019, pengadu yang juga pengurus syarikat tertuduh bekerja membuat laporan polis selepas mangsa yang juga pekerjanya mengesan kamera kecil dipasang dalam tandas wanita yang terletak di tingkat 7, sebuah bangunan pejabat di Pending.

    Polis berjaya menangkap tertuduh di kediamannya di Taman Satria Jaya, BDC.

    Hasil siasatan dalam tandas wanita itu, berjaya menemui dua kamera tersembunyi, cakera keras mudah alih dan kad memori terpasang di atas siling tandas.

  • Roti canai pula dijangka naik harga

    Roti canai pula dijangka naik harga

    HARGA roti canai di rangkaian gabungan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), dijangka mengalami kenaikan sebanyak 10 sen berikutan peningkatan harga bahan mentah seperti tepung, minyak masak dan marjerin.

    Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan, berkata tepung gandum 20 kilogram pada 2020 berharga RM46, tetapi kini mencecah antara RM67 hingga RM68.

    “Roti canai sudah jadi makanan ruji untuk sarapan dan disebabkan itu kami akan cuba sebaik mungkin untuk tidak menaikkan harganya. Namun, jika terpaksa dinaikkan juga, ia mungkin bermula daripada 10 sen sehingga 20 sen, namun bukan melonjak terus sebanyak 20 sen, sebaliknya secara berperingkat.

    “Persatuan akan bincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna KDNHEP) untuk meminta padangan dan juga nasihat,” katanya, lapor Berita Harian, hari ini.

    Jawhar Ali menegaskan, pihaknya akan cuba mengekalkan harga berpatutan demi kebaikan pelanggan yang rata-ratanya adalah pelanggan tetap yang mahukan khidmat terbaik, tempat yang bersih dan makanan lazat.

    Katanya, purata harga semasa roti canai di premis makanan milik ahli PRESMA adalah antara RM1.20 hingga RM 1.70.

    “Kami tidak boleh meletakkan tanda harga sama di semua restoran. Contoh, peniaga di Bangsar sewa kedai kira-kira RM35,000 sebulan dan sehari perlu bayar sekitar RM1,200 berbanding di lokasi lain. Maka, harga makanan turut dipengaruhi oleh lokasi.

    “Makanan lain seperti tosai dan capati kekal kerana bahan mentah yang digunakan tidak sama dengan roti canai,” ujarnya.

    Beliau turut menasihatkan pengguna memanfaatkan hak mereka dengan mengelak premis makanan yang menjual pada harga tidak masuk akal serta membuat aduan kepada KPDNHEP.

    “Jika rasa kedai itu jual makanan pada harga tidak munasabah, elakkan makan di situ atau terus buat aduan kepada KDNHEP,” katanya.

  • Penganggur dikhuatiri lemas terjatuh bot

    Penganggur dikhuatiri lemas terjatuh bot

    SEORANG penganggur dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh dari bot di perairan Pantai Kuala Sungai Baru, Kuala Perlis awal pagi semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Baeyah Abdul Wahab berkata, Bukhari Yusof, 45, dipercayai jatuh dari bot ketika sedang tidur manakala dua kru bot berkenaan sedang sibuk menangguk siput di kedudukan tiga batu nautika dari Pantai Kuala Sungai Baru.

    “Menurut seorang daripada kru bot itu, mereka menangguk siput kira-kira jam 1 pagi dan menyedari kehilangan mangsa tidak lama kemudian. Mereka melakukan pencarian selama dua jam namun gagal menemukan sebarang petunjuk,” katanya kepada pemberita di Pusat Kawalan Tempat Kejadian di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Baru hari ini.

    Baeyah berkata, menurut kedua-dua kru bot itu, mereka tidak mengenali Bukhari yang menumpang tidur di dalam bot dan hanya menyedari kehadirannya ketika dalam perjalanan menangguk siput.

    Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan sejak 6.30 petang semalam melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Unit Dron Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan dibantu nelayan tempatan.

    “Operasi mencari dan menyelamat Bukhari yang berasal dari Pulau Langkawi, Kedah melibatkan kawasan seluas 73.2 kilometer persegi. Polis telah memaklumkan kepada keluarganya mengenai kejadian ini,” katanya.

    Beliau berkata, kes tersebut disiasat sebagai orang hilang dan buat masa ini tidak terdapat elemen jenayah. – Bernama