Category: Semasa

  • Mansuh hukuman mati tidak jejas tugas polis – Hamzah

    Mansuh hukuman mati tidak jejas tugas polis – Hamzah

    LANGKAH kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori tidak akan memberi kesan kepada tugas polis dalam melaksanakan tugas polis dalam melaksanakan penguatkuasaan, terutama melibatkan jenayah berat.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya menyokong langkah itu dan menegaskan penguatkuasaan polis dan siasatan semua jenis jenayah berjalan seperti biasa.

    “Kita, polis sendiri pun memikirkan bahawa mungkin ada baiknya jika ada kelonggaran dari segi hukuman mati mandatori ini.

    “Kadang-kadang, kalau kita nak mengambil sesuatu tindakan itu, memang ada bukti tapi ia ‘on a thin line,” katanya dalam sidang media hari ini.

    Tegasnya, meskipun hukuman mati mandatori sudah dimansuhkan, hukuman mati masih berada dalam sistem keadilan negara namun ia berada di bawah keputusan hakim sama ada hendak menjatuhkan hukuman gantung atau hukuman penjara seumur hidup.

    Ditanya sekiranya langkah itu akan meningkatkan kadar jenayah berat di negara ini, Hamzah menyangkal andaian itu kerana hukuman mati masih ada dan penguatkuasaan polis berjalan seperti kebiasaaan.

    “Bila adanya kelonggaran ini, ia memberi ruang untuk hakim memikirkan tanggungjawab dia. Kerana dia sebagai hakim yang benar-benar tahu dan beliau yang mendengar masalah-masalah dalam mahkamah, bukti yang dikemukakan di mahkamah, jadi biarlah dia tentukan,” katanya.

    Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar dalam kenyataan menyebut bahawa kerajaan bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gentian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

    Wan Junaidi berkata keputusan itu dicapai menerusi pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh beliau semasa mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun. – Bernama

  • 2 daripada 15 rakyat Malaysia kemalangan di Arab Saudi masih di hospital

    2 daripada 15 rakyat Malaysia kemalangan di Arab Saudi masih di hospital

    DUA rakyat Malaysia yang terlibat dalam kemalangan jalan raya selepas bas dinaiki mereka terbabas di Muzdalifah, Arab Saudi pada Khamis masih dirawat di hospital manakala 13 lagi sudah pulang ke kediaman masing-masing.

    Semua 15 mangsa tersebut adalah kakitangan pakar yang membantu melakukan persediaan operasi tren jemaah haji pada tahun ini.

    Jurucakap kumpulan kakitangan terbabit, Musa Abdul Rahman berkata, dua kakitangan pakar itu sedang menerima rawatan lanjut di King Faisal Hospital dan Hospital Annur.

    “Keadaan mereka dilaporkan stabil, dengan salah seorang daripadanya dijangka dibenarkan keluar hospital pada Ahad.

    “Sahabat yang berada di Hospital Annur kemungkinan akan balik ke Malaysia dalam waktu terdekat. Jadi usaha sedang dijalankan untuk menghantarnya membuat rawatan susulan di Malaysia,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

    Katanya, mereka yang berada di Hospital Annur mengalami retak belakang tulang leher dan retak di tulang rangka.

    “Semalam saya melawatnya, dan keadaan dia Alhamdulillah, dia boleh berbual, cuma dia perlukan rehat.

    “Doktor akan membuat keputusan sama ada dia boleh keluar wad pada Ahad ini. Esok mungkin boleh discharge dan balik ke apartmen dan berehat di apartmen dan kita akan mengawal perkembangan dia, ada sahabat lain sedang jaga dia di hospital,” katanya.

    Musa menjelaskan, kejadian berlaku pada pukul 2 petang di Muzdalifah itu dalam keadaan cuaca panas yang terik.

    Ketika kejadian, sebahagian kakitangan pakar berkenaan dalam perjalanan ke tempat kerja dan sebahagian lagi baru habis syif kerja.

    Musa bagaimanapun berharap, keluarga kakitangan pakar di tanah air berkenaan agar tidak risau dan mendoakan agar kesemua mereka dapat meneruskan tugas yang diamanahkan dengan baik.

  • JKM ada asas kukuh sita, hentikan operasi Rumah Bonda-Rina

    JKM ada asas kukuh sita, hentikan operasi Rumah Bonda-Rina

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun menegaskan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai alasan yang kukuh mengeluarkan perintah sitaan dan menghentikan operasi Rumah Bonda.

    Jelas beliau, ini kerana rumah kebajikan tersebut tidak pernah berdaftar dengan mana-mana agensi kerajaan semenjak mula beroperasi.

    “Rumah Bonda bukan sahaja tidak berdaftar dengan JKM, tetapi juga dengan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

    “Ini merupakan asas yang kukuh untuk JKM berbuat demikian. Jadi kita tidak mempunyai masalah dengan tindakan saman dikemukakan pengasas rumah berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Rumah Kanak-Kanak Mini Ulu Tiram, di Johor Bahru, hari ini.

    Semalam, Rumah Bonda memfailkan saman terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM WPKL) bagi memohon perintah supaya rumah perlindungan itu dibuka semula.

    Saman pemula itu difailkan Rumah Bonda melalui pengerusinya, Siti Bainun Ahd Razali selaku plaintif, melalui Tetuan Asiah Abd Jalil Law

    Chambers di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur pada 7 Jun lalu, dengan menamakan Pengarah JKM WPKL sebagai defendan.

    Katanya, seperti sudah diketahui umum, rumah kebajikan tersebut sudah disita sejak tahun lalu kerana tidak berdaftar, malah peringatan sudah diberikan tetapi tetap tidak dihiraukan.

    Menurut beliau, tindakan undang-undang diamil pihak berkenaan adalah hak mereka dan pihaknya sedia untuk mengikuti proses mahkamah.

    Rina berkata, apabila melakukan sitaan JKM sebenarnya memberikan rumah kebajikan tersebut peluang untuk kemukakan pendaftaran dan perkara berkaitan lain.

    Peluang itu ujarnya, diberikan untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan penghuni terjamin kerana pendaftaran rumah kebajikan perlu mematuhi syarat-syarat dan terma yang ditetapkan kerajaan.

    Dalam perkembangan lain, Rina mendedahkan JKM telah mengenal pasti sebanyak 1,028 pusat jagaan di seluruh negara yang tidak berdaftar dengan agensi berkenaan menerusi satu operasi pemutihan yang dijalankan pada Februari dan Mac tahun ini.

    Bermula Januari tahun ini kata beliau, kementerian telah mengeluarkan arahan untuk dilakukan pemutihan terhadap premis jagaan di negara ini dan dalam tempoh Februari hingga Mac, 1,028 pusat jagaan didapati tidak berdaftar manakala 1,910 pula berdaftar.

    “Daripada jumlah berkenaan (1,028), 38 daripadanya telah diperakukan pendaftarannya, 57 telah menghentikan terus operasi, lapan disita, 35 dikenakan kompaun manakala satu telah didakwa.

    “Ini adalah pusat jagaan yang bukan dikendalikan JKM sendiri sebaliknya premis yang dioperasikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun secara swasta,” ujarnya.

  • Isteri, adik ipar bersubahat tetak, pukul bunuh suami sendiri hingga mati

    Isteri, adik ipar bersubahat tetak, pukul bunuh suami sendiri hingga mati

    POLIS menahan dua individu kerana terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki di Seksyen 25, Shah Alam, pada tengah malam semalam.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, dua suspek berkenaan ialah isteri serta adik kandung kepada mangsa bunuh berkenaan.

    “Siasatan awal mendapati mangsa dibunuh selepas kedua-dua suspek berang kerana mangsa sering mabuk.

    “Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah malam itu, mangsa yang berusia 42 tahun mati di tempat kejadian dengan lima tetakan di belakang kepala, satu kesan lebam di badan, koyakan di bibir dan bengkak di pipi disyaki akibat dipukul senjata tumpul.

    “Difahamkan, isteri mangsa turut memukul mangsa yang mabuk hingga rebah kerana berang dengan sikap mangsa yang kaki mabuk,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Katanya, kedua-dua suspek iaitu wanita berusia 40 tahun dan lelaki berusia 29 tahun itu ditahan pada pukul 3 petang semalam iaitu dalam tempoh 24 jam selepas mangsa dibunuh.

    Beliau berkata, siasatan ketika ini mendapati kedua suspek dipercayai bersubahat kerana marah dengan sikap mangsa serta tidak mempunyai sebarang hubungan sulit.

    Menurutnya, mangsa dan isteri sudah berkahwin selama 18 tahun serta mempunyai tiga anak berusia antara 4 hingga 16 tahun manakala suspek lelaki adalah pelajar kolej swasta yang baru saja tinggal di rumah abangnya sejak enam bulan lalu.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kedua-dua saspek direman selama enam hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

    “Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan S. V. Kumar di talian 012-8377756,” katanya.

  • Polis cari saksi kes kemalangan empat maut di NKVE

    Polis cari saksi kes kemalangan empat maut di NKVE

    POLIS meminta orang awam yang mempunyai maklumat insiden kemalangan yang menyebabkan empat maut di susur keluar arah Subang menghala Kelana Jaya di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) awal pagi tadi, agar tampil membantu siasatan.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Inspektor Muhammad Hanif Sukri di talian 014-8066744.

    “Kesemua mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat. Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.

    Media pagi tadi melaporkan empat termasuk dua wanita maut manakala seorang lelaki cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di susur keluar arah Subang menghala Kelana Jaya di Lebuh NKVE, awal pagi tadi. 

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata bertindak atas panggilan yang terima pada pukul 4.11 pagi tadi, pihaknya mengenal pasti mangsa yang maut sebagai P. Puvaaneshwaran, 28; Lai Mun Fai, 28; Eng Siew Hooi, 31 dan Leong Man Yuen, 27 manakala mangsa yang parah dikenali sebagai Heng Chan Yee, 28.–Bernama

  • Jenazah dua beradik, sepupu mangsa lemas dikebumi dalam satu liang lahad

    Jenazah dua beradik, sepupu mangsa lemas dikebumi dalam satu liang lahad

    JENAZAH dua beradik bersama sepupu mereka yang lemas ketika berkelah di kawasan Air Terjun Lata Changkah, Ulu Seladang, Setiu selamat dikebumikan awal pagi tadi.

    Allahyarhamah Syariatul Nurfatihah Mohd. Dera, 28, dan adiknya, Syariatul Noor Syafiqa, 26, serta sepupu mereka, Siti Aisyah Mazalan, 19, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hilir Maras, Batu Rakit pada pukul 4.30 pagi tadi.

    Terdahulu, jenazah tiga mangsa tiba di pekarangan Surau Kampung Hilir Maras pukul 2.50 pagi sebelum disembahyangkan.

    Lebih 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara dan penduduk kampung termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir, lapor Harian Metro.

    Suasana pilu menyelubungi kawasan perkuburan ketika jenazah diturunkan ke liang lahad satu persatu.

    Sebelum itu, tiga mangsa yang lemas di kawasan perkelahan berkenaan dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut.

    Sebelum ini media melaporkan dua beradik antara tiga sekeluarga yang ditemukan lemas selepas berkelah di kawasan Air Terjun Lata Changkah, Ulu Seladang Setiu.

  • Bomba selamatkan wanita jatuh jambatan

    Bomba selamatkan wanita jatuh jambatan

    BERPANTANG maut sebelum ajal, begitulah nasib seorang wanita yang berjaya diselamatkan selepas terjatuh dari Jambatan Tanjung Lumpur Kuantan pada awal pagi ini.

    Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, mangsa diselamatkan dengan bantuan nelayan tempatan yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian.

    Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan melalui Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 pada pukul 5.08 pagi.

    Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan diarahkan ke lokasi kejadian.

    “Tindakan pantas pasukan bomba meminta bantuan nelayan berhampiran telah berjaya menyelamatkan mangsa,” katanya, lapor Sinar Harian hari ini.

    Ismail berkata, mangsa dibawa ke tebing dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk rawatan lanjut.

    “Operasi ditamatkan pada pukul 5.52 pagi,” katanya.

  • Siasat peniaga jual ayam sehingga RM13 sekilogram

    Siasat peniaga jual ayam sehingga RM13 sekilogram

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SIASATAN akan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terhadap peniaga ayam yang menjual ayam antara RM11 hingga sehingga RM13 sekilogram dan melakukannya secara terang-terangan.

    Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata,
    perbuatan tersebut melanggar peraturan iaitu tidak mematuhi harga kawalan yang ditetapkan kerajaan RM8.90.

    “Setakat ini sudah beritahu penguat kuasa supaya memantau, sebab kita ada laporan mereka yang jual ayam melebihi harga ditetapkan, bukan secara tersorok tetapi sudah berani ambil gambar dan jual RM12 atau RM13 sekilogram.

    “Ini melanggar harga kawalan kita iaitu RM8.90 sahaja. Kita akan tengok mengapa perkara ini berlaku. Ada yang kata peniaga dapat dengan harga yang mahal, macamana nak jual dengan harga tersebut (harga yang diperoleh daripada pembekal).

    “Jadi kita akan siasat sebab kita dah tentukan harga dari ladang RM5.60 dan kerajaan beri subsidi kepada ladang ayam RM1.40 sekilogram. Jadi harga ayam dari ladang mesti jual kepada pemborong RM5.60 sekilogram, campur subdisi kerajaan RM1.40 itu jumlahnya RM7. Jadi sepatutnya, tidak ada alasan untuk jual mahal,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Jelajah Franchise Bay Peringkat Negeri Johor di Angsana Mall Johor Bahru, hari ini.

    Beliau berkata, setakat ini pihak KPDNHEP sudah mengenakan kompaun RM270,000 terhadap peniaga ayam yang ingkar dengan melibatkan 1,114 kes di seluruh negara dari 5 Februari lalu hingga Jumaat.

    Selain itu, beliau berharap ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masong-masing akan menganjurkan jualan Keluarga Malaysia dengan harga yang rendah bagi membantu rakyat.

    Rosol mencadangkan pengguna supaya memuat turun aplikasi Price Catcher yang disediakan KPDNHEP bukan sahaja untuk melihat harga ayam tetapi juga membandingkan harga barang keperluan harian lain sebelum membuat pembelian.

    Menurutnya, masih ramai pengguna tidak mengetahui kewujudan aplikasi berkenaan yang amat berguna untuk melihat harga barang keperluan harian di kawasan mereka terutama di pasar raya berdekatan.

    Mengenai bekalan ayam di seluruh negara, beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memaklumkan kepada pihaknya bahawa bekalan ayam setakat ini sehingga Hari Raya Aidiladha adalah mencukupi.

    “MAFI urus semua sekali dan kita cuma pastikan bekalan ada atau tidak ada. Setakat tiada isu berkenaan bekalan ayam,” katanya.

  • Buruh maut kereta dipandu rempuh pacuan empat roda

    Buruh maut kereta dipandu rempuh pacuan empat roda

    SEORANG buruh maut selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 113, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran sempadan Dungun-Kemaman, Kemaman pukul 8.15 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata,
    Mazlan Daud, 55, dari Kampung Beladau Selat Serada, Kuala Terengganu meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

    “Nahas dipercayai berlaku ketika mangsa yang memandu Proton Saga dalam perjalanan ke arah Jabor bersama isteri, anak dan seorang penumpang lain.

    “Tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa tiba-tiba memasuki lorong kanan sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dari arah bertentangan.

    “Jarak terlalu dekat menyebabkan berlaku pelanggaran secara berdepan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurut Hanyan, kemalangan itu menyebabkan isteri mangsa patah tangan dan kaki, anak perempuannya yang berusia 12 tahun patah tangan kiri manakala seorang penumpang lain tidak cedera.

    Beliau berkata, pemandu pacuan empat roda yang merupakan kontraktor berusia 43 tahun tidak mengalami kecederaan.

    “Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut manakala anak dan isterinya dirawat di Hospital Dungun,” katanya.

  • 4 maut, seorang parah dalam kemalangan

    4 maut, seorang parah dalam kemalangan

    EMPAT maut manakala seorang parah dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di susur keluar 104, Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) menghala Kelana Jaya di Petaling Jaya, kira-kira pukul 4 pagi tadi.

    Susulan itu sebuah jentera bersama anggota dan pegawai dari Balai Bomba Kota Anggerik dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kemalangan melibatkan sebuah Proton Wira Aeroback dengan sebuah Proton Wira jenis sedan.

    “Lima mangsa terlibat, empat orang telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Mangsa yang maut adalah, Puvaaneshwaran Paranjhoti, 28, yang menaiki Wira Aeroback manakala Lai Mun Fai, 28; Eng Siew Hooi, 31; Leong Man Yuen, 27, menaiki kereta Wira Sedan,” katanya memetik laporan Sinar Harian

    Katanya, Heng Chan Yee, 28, yang turut menaiki Wira Sedan dibawa ke Hospital Sungai Buloh berikutan kecederaan parah dialaminya dalam kemalangan itu.