Category: Semasa

  • TMJ dilantik Pemangku Raja mulai hari ini

    TMJ dilantik Pemangku Raja mulai hari ini

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan melantik anakanda sulung baginda, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Raja mulai hari ini.

    Baginda mengumumkan perkara itu ketika bertitah merasmikan mesyuarat kedua (pembukaan rasmi) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di Iskandar Puteri, hari ini.

    “Saya melantik Tunku Mahkota Johor sebagai Pemangku Raja, saya ingin berehat sekejap, terima kasih, mulai hari ini,” titahnya.

    Bagaimanapun, baginda tidak menyebut tempoh jawatan itu akan dipegang oleh Tunku Ismail.

    Kali terakhir Tunku Ismail dilaporkan memegang jawatan itu apabila baginda dilantik pada 10 Ogos 2019.

    Seminggu lepas, pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan berundur dan menyerahkan urusan harian kelab itu kepada pengurusan tertingginya.

    Menerusi hantaran di laman Facebook Johor Southern Tigers pada 9 Jun lepas, Tunku Ismail berkata keputusan itu adalah disebabkan tanggungjawab dan komitmennya yang lain. – BERNAMA

  • Pengangkutan percuma di semua perkhidmatan RapidKL selama sebulan

    Pengangkutan percuma di semua perkhidmatan RapidKL selama sebulan

    PERKHIDMATAN pengangkutan awam di bawah perkhidmatan RapidKL akan disediakan secara percuma selama sebulan bermula hari ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tambang percuma itu adalah
    sempena pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu.

    “Perkhidmatan percuma itu boleh didapati melalui perkhidmatan RapidKL termasuk MRT, LRT, BRT, Monorel dan bas,” katanya mengumumkan perkara tersebut, seperti dilaporkan MalaysiaNow hari ini.

  • SPM 2021: 9,696 calon dapat semua A, catat nilai GPN 4.86

    SPM 2021: 9,696 calon dapat semua A, catat nilai GPN 4.86

    SERAMAI 9,696 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 memperoleh keputusan cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran.

    Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 9,411 calon pada SPM 2020.

    Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid berkata, pencapaian Gred Purata Nasional (GPN) pula merekodkan nilai 4.86.

    Katanya, nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.

    Untuk rekod, nilai GPN pada SPM 2020 adalah 4.80, menurut laporan Utusan Malaysia.

    Menurut beliau, pencapaian keputusan SPM 2021 tidak wajar dibandingkan dengan tahun lalu memandangkan calon pada tahun ini merupakan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman peperiksaan SPM 2021 di Putrajaya hari ini.

  • Anak syarikat GFM Services peroleh kontrak JKR RM367.23 juta

    Anak syarikat GFM Services peroleh kontrak JKR RM367.23 juta

    ANAK syarikat milik penuh GFM Services Bhd, Global Facilities Management Sdn Bhd, menerima surat setuju-terima (LOA) daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyediakan perkhidmatan pengurusan kemudahan bernilai RM367.23 juta untuk Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur.

    Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu, penyedia perkhidmatan pengurusan kemudahan bersepadu itu menjelaskan kontrak tersebut bertempoh lima tahun mulai 15 Jun 2022 hingga 14 Jun 2027.

    Ia menambah, skop perkhidmatan meliputi antaranya perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan berkaitan pengurusan transisi, seni bina, awam dan struktur, mekanikal, elektrik, perlandskapan, sistem pengurusan penyelenggaraan berkomputer, kecekapan tenaga serta pembaikan dan penggantian.

    Naib Pengerusi Eksekutif, Ruslan Nordin berkata, pihaknya berbesar hati apabila diamanahkan untuk menyelenggarakan infrastruktur awam yang menjadi mercu tanda seperti Istana Negara.

    “Pemerolehan kontrak ini menunjukkan keyakinan JKR terhadap kemampuan GFM untuk melaksanakan perkhidmatan pengurusan kemudahan tanpa gangguan.

    “Kontrak ini menyediakan kebolehlihatan pendapatan lebih baik untuk kami selain menambah semula nilai perolehan kontrak semasa kami kepada RMI.41 bilion di samping membolehkan kami mempunyai daya tarikan dalam memperoleh lebih banyak kerja daripada sektor awam,” katanya.

    Beliau berkata, syarikat mempunyai rekod prestasi kukuh dalam menyelenggarakan kemudahan awam, termasuk premis Bank Negara Malaysia; Pusat Pentadbiran Negeri Sabah serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar di Johor.

    Dalam melangkah maju, syarikat akan terus meningkatkan kompetensi untuk memperkukuh saranan nilai kepada pelanggan, katanya.

    “Kami mahu menguruskan Istana Negara berlandaskan kecemerlangan perkhidmatan sebagai penyedia perkhidmatan pengurusan kemudahan ulung,” katanya,

    Selain penyediaan perkhidmatan pengurusan kemudahan, GFM juga merupakan pemilik syarikat konsesi aset universiti, KP Mukah Development Sdn Bhd, untuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Mukah di Sarawak.

    Istana Negara yang merupakan tempat bersemayam rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong terletak di kawasan seluas 97.65 hektar dan dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu Komponen Formal, Komponen Diraja dan Komponen Pentadbiran. – BERNAMA

  • 4 mayat terapung ditemukan nelayan, pemancing dalam masa 48 jam

    4 mayat terapung ditemukan nelayan, pemancing dalam masa 48 jam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    EMPAT mayat lelaki ditemukan terapung oleh nelayan dan pemancing di lokasi berbeza sekitar perairan Kota Tinggi, sejak kelmarin melibatkan tiga lokasi berbeza dalam tempoh masa 48 jam.

    Penemuan berkenaan dilaporkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor sebelum operasi mengambil mayat tersebut dilakukan.

    Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan dua mayat terapung oleh nelayan tempatan di perairan Pulau Lima, masing-masing pada 12.50 tengah hari dan 1.10 tengah hari kelmarin.

    “Dua mayat itu dinaikkan di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Musoh pada pukul 4.30 petang kelmarin.

    “Pada pagi semalam, jam 10.30 pagi, maklumat pertama diterima daripada pemancing yang menemui satu mayat terapung di kedudukan 8.6 batu nautika timur laut Tanjung Balau, aset digerakkan ke lokasi bagi proses mengambil mayat.

    “Seterusnya, pada 12.40 tengah hari, satu lagi mayat ditemukan oleh nelayan tempatan di kedudukan 16 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Besar.

    “Kemungkinan ada berlaku bot karam namun sehingga hari ini, MRSC JB atau mana-mana balai polis belum menerima sebarang aduan orang hilang di laut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    APMM juga merujuk kepada pihak berkuasa Indonesia tetapi dimaklumkan bahawa tiada laporan orang hilang setakat in

    Menurut Mohd. Najib, kesemua mayat yang ditemui disyaki warga asing.

    “Empat mayat itu telah diserahkan kepada polis dan seterusnya dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkan terus kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199401 yang beroperasi 24 jam,” katanya.

  • Tiada feri terbakar di perairan Langkawi semalam 

    Tiada feri terbakar di perairan Langkawi semalam 

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya terdapat feri penumpang yang terbakar di perairan Langkawi, semalam.

    Menurut Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, klip video memaparkan kejadian itu yang dimuat naik seorang pengguna Facebook bersama dakwaan tersebut sebenarnya adalah insiden yang berlaku pada 2019.

    Malah katanya, syarikat pengendali perkhidmatan feri yang terbakar itu juga sudah tidak lagi beroperasi.

    “Video tersebut dipercayai sengaja ditularkan semula oleh pihak tidak bertanggungjawab tanpa memikirkan kesan terhadap indusrti pelancongan Langkawi.

    “Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan gambar dan video lama itu bagi mengelakkan kekeliruan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau maklumat mengenai kecemasan di perairan boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau talian kecemasan 999.

  • SPRM tahan anggota penguatkuasa minta rasuah urusan kad pengenalan

    SPRM tahan anggota penguatkuasa minta rasuah urusan kad pengenalan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sandakan menahan seorang anggota penguat kuasa bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima suapan bernilai kira-kira RM5,000 dalam urusan pengeluaran kad pengenalan Malaysia.

    Menurut sumber, suspek berumur 42 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Sandakan kira-kira pukul 9.30 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan.

    Suspek dipercayai telah meminta dan menerima suapan daripada seorang individu sebagai upah untuk menguruskan pengeluaran kad pengenalan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Karunanithy berkata suspek bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan SPRM dan dijangka dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan pada hujung bulan ini.

    – BERNAMA

  • Mahkamah tolak permohonan MAIPs tukar perintah hak penjagaan anak Loh

    Mahkamah tolak permohonan MAIPs tukar perintah hak penjagaan anak Loh

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk mendapatkan kebenaran menukar perintah hak penjagaan tiga anak yang diperoleh ibu tunggal Loh Siew Hong.

    Bekas suami Loh, Muhammad Nagahswaran Muniandy telah menukarkan agama ketiga-tiga anak mereka kepada Islam di Perlis.

    Hakim Evrol Mariette Peters membuat keputusan itu selepas mendapati MAIPs gagal menunjukkan mereka adalah pihak berkepentingan dalam hidup kanak-kanak terbabit dan memerintahkan MAIPs agar membayar kos RM8,000 kepada Loh.

    “Mereka bukan yatim piatu. Mereka juga bukan milik komuniti di Perlis. Mereka menetap di Selangor dan hanya ke Perlis untuk menukar agama,” katanya.

    Beliau berkata, MAIPs juga gagal mendapatkan pandangan bekas suami Loh berhubung permohonan yang difailkan pada 7 Mac lalu untuk mencelah dalam petisyen perceraian pasangan itu bagi membolehkan ia memiliki locus standi bagi memohon kebenaran menukar perintah hak penjagaan yang diperoleh wanita itu. – Bernama

  • Ibu tunggal mengaku salah buat laporan palsu disamun

    Ibu tunggal mengaku salah buat laporan palsu disamun

    SEORANG ibu tunggal didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini selepas mengaku salah membuat laporan palsu kononnya disamun di sebuah stesen minyak di Petaling Jaya.

    Pekerja kedai makan, Lim Zhi Yin, 25, dikenakan hukuman berkenaan selepas membuat pengakuan tersebut yang dibaca di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

    Sinar Harian melaporkan, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama sebulan jika gagal membayar denda tersebut.

    Mengikut pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu didakwa memberikan maklumat secara bertulis yang diketahui palsu kepada seorang anggota polis berpangkat Konstabel, di Balai Polis Serdang pada pukul 11.45 pagi, 10 Jun lalu.

    Tertuduh menyedari bahawa ia akan menyebabkan siasatan dijalankan, di mana penjawat awam tersebut tidak perlu melakukan siasatan sekiranya keadaan sebenar diketahui.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Mengikut fakta kes, tertuduh membuat laporan polis menyatakan telah disamun oleh dua lelaki menggunakan pisau, di tandas sebuah stesen minyak di sini.

    Setelah disiasat, pihak polis mendapati tiada kejadian samun berlaku dan tertuduh kemudiannya mengakui membuat laporan palsu.

    Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan perlu menjaga tiga anak.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md. Kamal mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

  • Tujuh pegawai ditahan, Imigresen akan beri kerjasama kepada SPRM

    Tujuh pegawai ditahan, Imigresen akan beri kerjasama kepada SPRM

    JABATAN Imigresen akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melengkapkan siasatan terhadap tujuh pegawai jabatan itu yang ditahan suruhanjaya tersebut, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

    Beliau berkata penahanan tujuh pegawai disyaki terlibat dalam aktiviti pengeluaran pas dan dokumen imigresen secara tidak teratur serta didakwa melindungi warga asing itu adalah hasil kerjasama Jabatan Imigresen dan SPRM khususnya dari segi perkongsian maklumat.

    “Kerjasama sepenuhnya akan diberikan kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan mereka yang akan dilaksanakan secara penuh profesional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada Isnin lepas, SPRM dilaporkan menahan tujuh pegawai penguat kuasa dan dua individu termasuk warga asing bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM500,000.

    Enam pegawai penguat kuasa termasuk pegawai kanan itu ditahan di Sarawak manakala seorang lagi di Selangor.

    Khairul Dzaimee menegaskan Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan pegawai atau kakitangan yang didapati menyalahgunakan kuasa bagi tujuan kepentingan peribadi serta memperoleh wang secara mudah.

    “Kesemua yang terlibat akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk dipenjara dan ditamatkan perkhidmatan jika didapati bersalah,” katanya.

    — BERNAMA