Category: Semasa

  • Polis buka kertas siasatan berhubung Perhimpunan Kebebasan Badan Kehakiman

    Polis buka kertas siasatan berhubung Perhimpunan Kebebasan Badan Kehakiman

    POLIS sudah pun membuka satu kertas siasatan berhubung Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Badan Peguam Malaysia di Padang Merbok, ibu negara, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dalam satu kenyataan hari ini berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15 (3),Peraturan 6 dan Peraturan 7, Akta Perhimpunan Aman 2012.

    Jelasnya, hasil daripada pemerhatian yang dibuat didapati lebih 220 orang terdiri daripada Ahli Majlis Peguam dan beberapa individu yang dikenal pasti dan belum dikenal pasti telah berhimpun mengadakan perhimpunan Walk For Judicial Independence.

    “Mereka mengadakan perhimpunan sambil memegang plakad dan banner bertulis ‘Jom Jalan 4 Judicial Independence, Pertahankan Kebebasan Kehakiman’.

    “Dalam perkara ini, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 15 (3) Akta Perhimpunan Aman 2012, Peraturan 6 Peraturan 7, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawal Penyakit berjangkit (Langkah-Langkah dalam kawasan tempatan jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Fasa Peralihan ke Endemik) 2022,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Tambah Noor Dellhan, pihaknya akan memanggil kesemua individu yang terlibat dalam perhimpunan tersebut untuk membantu siasatan.

    Katanya, semua individu yang terlibat dalam perhimpunan tersebut akan dipanggil ke Ibu Pejabat polis Daerah Dang Wangi untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.

    “Pihak Polis menasihati agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang dan tindakan tegas akan diambil dibawah peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa,” katanya.

    Terdahulu, ratusan peguam berhimpun menyertai Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Badan Peguam Malaysia pada Jumaat.
    Perhimpunan itu bermula pukul 9 pagi di Padang Merbok bagi memberi isyarat jelas menuntut agar Badan Kehakiman terus bebas daripada mana-mana pihak.

  • Muhyiddin nafi terima RM1.3 juta daripada UKSB, sedia disiasat SPRM

    Muhyiddin nafi terima RM1.3 juta daripada UKSB, sedia disiasat SPRM

    TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan dengan tegas kenyataan seorang saksi dalam kes perbicaraan rasuah Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi yang menyatakan beliau menerima RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd.

    Sambil menyifatkan ia sebagai penyataan palsu, Muhyiddin turut menegaskan, tarikh yang dinyatakan oleh saksi berkenaan David Tan iaitu antara Jun dan Ogos 2018 juga tidak berasas.

    ”Pada tarikh tertentu yang dinyatakan oleh saksi kononnya saya telah menerima sogokon wang tunai, saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara,” katanya yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

    Berikut adalah kenyataan penuh Muhyiddin:

    Saya dimaklumkan tentang keterangan mahkamah yang diberikan seorang pengurus pentadbiran syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang terlibat dalam kes sogokan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi

    Kononnya, syarikat tersebut telah memberikan wang tunai sebanyak RM1.3 juta kepada saya di antara bulan Jun dan Ogos 2018. Ini memberikan gambaran saya juga menerima sogokan. Pernyataan ini adalah palsu. Saya dengan tegasnya menafikan pernyataan tersebut.

    Pada masa itu, saya menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut. Tugasan saya sebagai Menteri Dalam Negeri telah diambil alih oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu. Hal ini tersebar luas dalam media massa (lihat pautan: https://www.malaysiakini.com/news/433930)

    Malahan pada tarikh tertentu yang dinyatakan oleh saksi kononnya saya telah menerima sogokon wang tunai, saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara. Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu. Dakwaan tersebut ternyata tidak berasas.

    Saya dengan ini menyatakan bahawa saya tidak pernah menerima, secara langsung atau tidak langsung, sebarang wang daripada David Tan, saksi dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, pengarahnya ataupun pemegang sahamnya.

    Saya juga tidak pernah disoal atau disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan dengan tomahan ini.

    Adalah diharapkan pihak pendakwaan akan menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah buruk terhadap saya sedangkan saya tegas menentang rasuah. Saya juga bersedia untuk disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan ini.

  • Pekerja warung mengaku tidak bersalah guna wang palsu

    Pekerja warung mengaku tidak bersalah guna wang palsu

    SEORANG pekerja warung mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menggunakan wang palsu awal bulan ini.

    Sekh Ali Subuhal, 54, didakwa menggunakan mata wang palsu sebagai tulen iaitu 100 keping mata wang AS$100 dengan pelbagai nombor siri di sebuah pusat tukaran mata wang asing di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur pada 4.30 petang, 7 Jun lepas.

    Pertuduhan ke atas Sekh Ali dilakukan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jufri tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin namun peguam Keshreena Sidhu yang mewakili Sekh Ali memohon budi bicara mahkamah untuk membenarkan anak guamnya diikat jamin.

    Keshreena berkata tertuduh hanya berpendapatan RM1,000 sebulan dan menanggung isteri serta tujuh anak selain menghidap kencing manis dan darah tinggi.

    Nurliyana kemudian mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

    Hakim Ahmad Kamar Jamaludin membenarkan Sekh Ali diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Julai untuk sebutan semula kes.

  • Rogol pelajar 13 tahun, tiga sahabat masuk penjara

    Rogol pelajar 13 tahun, tiga sahabat masuk penjara

    Tiga sahabat dihantar ke penjara selepas mereka gagal dalam rayuan terakhir di Mahkamah Rayuan hari ini untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara kerana merogol pelajar perempuan berusia 13 tahun pada 2018.

    Ahmad Moslem Haqqani Rosli, 23; dan Muhamad Amyrul Nazmy Rusdi, 25; masing-masing diperintah oleh Mahkamah Rayuan menjalani hukuman penjara 20 tahun manakala seorang lagi rakan mereka berusia 20 tahun (ketika kesalahan itu dilakukan berusia 17 tahun), diarah menjalani hukuman penjara 12 tahun.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Nordin Hassan menolak rayuan mereka selepas mendapati rayuan mereka tidak mempunyai merit.

    Pemuda itu masing-masing diikat jamin RM30,000 sementara menunggu rayuan mereka di Mahkamah Rayuan.

    Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa melakukan rogol berkumpulan ke atas seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun berhampiran pantai Bachok, Kelantan pada 3 pagi, 27 Mei 2018.

    Mereka didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen pada 14 Mei 2019 dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Feb, tahun lepas.

    Dalam keputusan mahkamah untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi, Hakim Hadhariah berkata kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen tidak melakukan kekhilafan dalam keputusannya.

    Peguam Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Asmadi Husin mewakili pemuda itu manakala Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud dan Aida Khairuleen Azli hadir bagi pihak pendakwaan. – BERNAMA

  • SPRM siasat dakwaan Exco Kedah seleweng dana

    SPRM siasat dakwaan Exco Kedah seleweng dana

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah sedang menyiasat dakwaan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang dikaitkan dengan seorang Exco Kedah.

    Pihak SPRM Kedah mengambil inisiatif menjalankan siasatan awal bagi mengesahkan sama ada terdapat isu pelanggaran undang-undang berkaitan bawah bidang kuasa SPRM.

    Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap berkata, siasatan masih di peringkat awal dan akan dilakukan sekiranya didapati wujud unsur kesalahan bawah undang-undang berkaitan.

    “Hal-hal berkaitan tidak dapat didedahkan kerana masih dalam peringkat awal siasatan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau turut mengesahkan sehingga kini tiada laporan atau aduan rasmi dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kes berkenaan, termasuk daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris yang mendedahkan isu terbabit dalam Facebook miliknya.

    Bagaimanapun, Shaharom Nizam enggan mengulas lanjut sama ada SPRM Kedah akan membuka kertas siasatan terhadap Exco berkenaan yang dikaitkan dengan salah laku tersebut.

    Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, kerajaan negeri menyerahkan kepada SPRM bagi menyiasat dakwaan yang dikaitkan dengan seorang Exco Kedah.

    Muhammad Sanusi berkata, isu berkenaan perlu dirujuk kepada Asmirul yang menulis tentang perkara itu di Facebook miliknya dan menolak cabaran Asmirul supaya beliau dedahkan nama individu terlibat dalam penyelewengan dana bantuan terbabit.

    Pada Khamis lepas, Asmirul yang juga bekas Exco Belia dan Sukan Kedah telah memuat naik satu kenyataan dalam Facebook miliknya dengan mencabar Muhammad Sanusi supaya membuat kenyataan akhbar menafikan wujudnya sebarang salah laku Exco Kedah.

    Sebelum ini, SPRM dilaporkan sedang menyiasat satu kes melibatkan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi di Kedah yang didakwa membabitkan seorang Exco Kedah.

    Dalam pada itu, sumber memaklumkan siasatan awal berhubung kes terbabit dilakukan lebih awal sebelum Asmirul mendedahkan secara terbuka mengenai perkara itu.

    “Pihak SPRM telah melakukan siasatan lebih awal sekitar dua atau tiga bulan lepas, bukan berdasarkan maklumat yang didedahkan oleh Asmirul,” kata sumber terbabit.

  • Bawa lari 9kg dadah dalam kereta Volkswagen Passat

    Bawa lari 9kg dadah dalam kereta Volkswagen Passat

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    TINDAKAN seorang suspek pengedar dadah yang cuba meloloskan diri daripada polis dengan memecut kereta dipandunya gagal apabila dia berjaya ditahan dalam operasi di Jalan Besar, Nibong Tebal, Pulau Pinang, Rabu lalu.

    Terdahulu, suspek lelaki berusia 36 tahun yang memandu kereta jenis Volkswagen Passat itu memecut laju kenderaannya dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang selepas menyedari diekori polis, namun terbabas ke bahu jalan selepas dikejar kira-kira 200 meter.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd. Shukhairy Abd. Sabhe berkata, pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan suspek menemukan dadah jenis heroin seberat 9.03 kilogram bernilai RM120,000 yang dipercayai untuk diedar kepada pembeli.

    Jelas beliau, hasil soal siasat ke atas suspek yang bekerja sebagai nelayan itu membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Kuala Kurau, Perak kira-kira pukul 4.45 petang yang mana seorang lelaki yang bekerja sebagai penternak ikan berusia 53 tahun berjaya ditahan.

    “Serbuan kemudian diteruskan di kawasan awam di Nibong Tebal pada 10.45 malam yang mana seorang lagi suspek yang bekerja sebagai nelayan berusia 34 tahun berjaya ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mohd. Shukhairy, sindiket itu dipercayai mula aktif mengedar dadah untuk pasaran di sekitar Pulau Pinang dan Kuala Kurau sejak awal Januari lalu.

    Ujar beliau, ujian air kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methapetamine selain turut mempunyai rekod lampau di bawah kesalahan dadah serta jenayah.

    “Selain rampasan dadah, kita turut menyita aset sindiket terdiri daripada wang tunai berjumlah RM50,000 dan sebuah kenderaan bernilai RM80,000,” katanya.

    Ujar beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek pertama direman selama tujuh hari bermula 16 Jun hingga 22 Jun manakala dua lagi suspek disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

  • SPRM berkas empat individu ‘sapu’ RM300 juta

    SPRM berkas empat individu ‘sapu’ RM300 juta

    EMPAT individu termasuk pengurus syarikat hartanah berkaitan kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menggelapkan wang berjumlah RM300 juta.

    Sumber berkata, suspek disyaki bersubahat dengan membuat tuntutan palsu berkaitan projek pembangunan di pantai timur.

    Menurutnya, tiga lagi individu ditahan SPRM adalah pengurus projek, pengarah urusan dan arkitek daripada syarikat kontraktor dan juruperunding.

    “Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 28 hingga 48 tahun. Tiga daripada mereka ditahan di Pejabat SPRM Terengganu manakala seorang lagi ditahan di rumahnya di ibu negara pada pukul 12 tengah hari semalam.

    “Suspek sudah ditahan reman selama enam hari bermula hari ini sehingga Rabu hadapan. Perintah reman dibenarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pagi tadi,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan empat individu itu namun enggan mengulas lanjut.

  • Wan Zahidi dilantik Mufti Perak baharu

    Wan Zahidi dilantik Mufti Perak baharu

    SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan melantik Datuk Wan Zahidi Wan Teh sebagai Mufti Perak yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Ogos depan.

    Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, Wan Zahidi yang kini Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan berasal dari Gerik merupakan seorang tokoh pemikir Islam yang memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.

    “Beliau memiliki pengalaman lebih 40 tahun dalam perkhidmatan awam dan bidang akademik khususnya dalam pentadbiran Islam.

    “Beliau pernah menjawat pelbagai jawatan penting seperti Pakar Perunding Yayasan Dakwah Islamiah, Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Mufti Wilayah Persekutuan dan Felo Kehormat Kanan Universiti Islam Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada 30 Mei 2021, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, 82, yang dilantik sebagai Mufti Perak sejak 1985 meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh semasa mendapatkan rawatan kerana jangkitan COVID-19. – BERNAMA

  • Paderi didakwa 17 pertuduhan cabul, rogol remaja

    Paderi didakwa 17 pertuduhan cabul, rogol remaja

    SEORANG paderi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Raub hari ini atas 17 pertuduhan mencabul dan merogol seorang remaja perempuan bermula Disember 2019 hingga Februari 2022.

    Tertuduh, Kok Chaw Fatt, 64, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

    Sinar Harian melaporkan, tertuduh yang diwakili peguam, Lee Pee Kiat kelihatan tenang ketika membuat pengakuan tersebut.

    Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa pada Disember 2019, kira-kira pukul 2 petang bertempat di sebuah gereja di Bentong telah didapati dengan niat seksual mencabul remaja perempuan berusia 17 tahun 2 bulan ketika itu.

    Untuk pertuduhan kedua, tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan sama pada mangsa sama pada Mei 2020 di sebuah rumah di Taman Anggerik Height di Bentong.

    Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa pada Jun 2020 di sebuah rumah di Taman Shahbandar Height di Bentong melakukan perbuatan sama serta oral seks terdapat mangsa.

    Chaw Fatt didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebat bagi setiap pertuduhan.

    Dalam pertuduhan seterusnya, pada Januari hingga Jun 2021 dan Januari hingga Februari 2022, tertuduh didakwa merogol mangsa sama di sebuah rumah di Taman Shahbandar Height di Bentong.

    Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Anisah Pisol memohon jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dan penjamin bercagar dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa hingga kes selesai.

    Anisah juga meminta tertuduh melaporkan diri sekali sebulan di balai polis berhampiran dengan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai.

    Namun peguam tertuduh meminta jumlah jaminan dikurangkan kerana tertuduh masih tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya selain memberitahu tertuduh tidak memiliki pendapatan tetap, telah berkahwin dan memiliki dua anak serta isterinya bekerja sebagai kerani dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

    Pee Kiat juga memberitahu mahkamah, tertuduh telah tinggal di Bentong selama hampir 40 tahun dan tidak pernah menghadapi masalah dengan pihak polis dan mahkamah.

    Ahmad Faizadh kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu mangsa hingga selesai.

    Ahmad Faizadh juga menetapkan sebutan semula kes itu pada 4 Ogos depan.

    Kelihatan keluarga tertuduh hadir di mahkamah dan ikat jamin itu dijelaskan.

  • Warganet tak puas hati cara tebus tambang percuma RapidKL

    Warganet tak puas hati cara tebus tambang percuma RapidKL

    WARGANET  tidak berpuas hati dengan cara untuk menebus tambang percuma selama sebulan bagi perkhidmatan pengangkutan awam kendalian RapidKL dan KTM di Lembah Klang yang diumumkan semalam.

    Tambang percuma membabitkan perkhidmatan MRT, LRT, BRT, Monorel serta bas RapidKL dan KTM selama sebulan yang bermula semalam itu diberikan sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

    Ia membabitkan subsidi sebanyak RM155 juta dengan matlamat untuk mengurangkan kesesakan luar biasa yang dihadapi pengguna jalan raya di ibu kota ketika ini.

    FMT melaporkan, RapidKL menerusi kenyataan di Facebook semalam berkata, pemegang pas tanpa had bulanan My50 yang masih aktif pada 16 Jun akan diberikan 30 hari percuma untuk pembelian seterusnya apabila tempoh pas tamat.

    Katanya, mereka yang membeli pas My50 pada 16 Jun mesti menebus perjalanan percuma 30 hari antara 23 hingga 25 Julai sahaja, iaitu selepas pas semasa tamat tempoh sepenuhnya.

    Namun pengendali pengangkutan awam di Lembah Klang itu meminta pengguna menyimpan resit bagi tujuan pengesahan, sekiranya ingin menebus lanjutan tempoh pas.

    “Simpan resit untuk pengesahan, tapi jangan bimbang jika resit tidak disimpan, kami akan bantu anda untuk menebus 30 hari percuma ini dengan sebaiknya,” kata RapidKL.

    Bagaimanapun ada warganet yang mempertikaikan cara tebusan yang “kabur dan menyusahkan” dengan seorang pengguna Facebook, Misasagi Yuuya mempersoalkan cara tebusan perjalanan percuma yang disifatkannya tidak masuk akal.

    “Perlu memuat turun aplikasi MyRapid Pulse untuk mengisi borang tinjauan lagi? Macam mana RapidKL tahu status kad Touch N Go saya untuk nikmati perjalanan percuma itu? Kenapa kami tidak boleh lengkapkan sentuhan masuk dan keluar kad pada setiap perjalanan tanpa tolakan kredit?” soalnya.

    Max Lim pula mempersoalkan keperluan menyimpan resit untuk pengesahan sedangkan sistem terkini RapidKL boleh mengesan mana-mana individu yang mempunyai kad aktif.

    “Mengapa masih perlu kemukakan resit sedangkan semua info telah tersedia dalam kad aktif?” soalnya.

    Warganet, Ken Liew pula hairan kenapa pengguna dikenakan bayaran tambah nilai 50 sen untuk memperbaharui pas mereka.

    “Kalau perlu lagi membayar 50 sen untuk mendapatkan pas berkenaan, adakah ia masih dikira perjalanan percuma?” katanya.