Category: Semasa

  • Perlu ada undang-undang dakwa dan pecat PM, kata bekas menteri

    Perlu ada undang-undang dakwa dan pecat PM, kata bekas menteri

    BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggesa peruntukan undang-undang untuk mendakwa (impeachment) Perdana Menteri Malaysia jika perlu.

    “Pendakwaan terhadap perdana menteri tidak ada dalam peraturan kita. Ia harus diperkenalkan.

    “Ia dilakukan di England pada tahun 1800-an,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada forum ‘Kestabilan Politik Di Parlimen Tergantung’ hari ini, lapor Malaysiakini.

    Prosiding ‘impeachment’ merujuk pertuduhan salah laku yang dibuat terhadap pemegang jawatan awam.

    Wan Junaidi juga menggesa ketua pembangkang supaya memasukkan prosiding ini dalam pembentangan rang undang-undang persendirian.

    Pada masa sama juga menggesa akta untuk tempoh penggal tetap Parlimen bagi melengkapkan undang-undang anti-lompat sedia ada.

  • Tiada rekod wanita China punca kecoh KLIA pulang

    Tiada rekod wanita China punca kecoh KLIA pulang

    WANITA warga China dikenali sebagai Wang Xu yang dikaitkan dengan kekecohan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lalu dilaporkan masih belum pulang ke negara asal.

    Sumber berkata, berdasarkan rekod keluar dan masuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati wanita itu masih berada dalam negara ini.

    Jelasnya, rekod menunjukkan tarikh masuk adalah pada 29 Jun lalu dan pas masuk akan tamat pada 28 Julai ini.

    “Berdasarkan rekod memang didapati individu terbabit masih belum keluar dari negara ini.

    “Untuk pengetahuan, mana-mana individu bukan warganegara boleh keluar melalui mana-mana pintu sempadan di negara ini, namun sistem akan menunjukkan pintu individu terbabit keluar,” katanya, memetik laporan Harian Metro.

    Menurutnya, memandangkan notis penolakan masuk untuk individu terbabit sudah dibatalkan dan individu berkenaan dibenarkan ke negara ini.

    “Buat masa ini memang tidak ada rekod keluar, kecuali individu terbabit menggunakan laluan tikus,” katanya.

    Pada 5 Julai lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan wanita berkenaan sudah pulang ke negaranya.

    Azam memaklumkan, keterangan daripada wanita terbabit sudah diambil pihaknya dan tidak boleh melarang mereka untuk balik ke negara asal.

    Sebelum ini, tular dalam media sosial mengenai kekecohan di KLIA membabitkan seorang menteri yang didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan lapangan terbang itu bagi melepaskan seorang pelawat China yang ditahan JIM.

    Susulan itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing mengakui dirinya adalah menteri yang dikaitkan dengan kejadian tersebut dan mendakwa kehadirannya bagi membongkar kewujudan budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa kronik di pintu masuk negara.

  • Rogol pelajar madrasah: Pelajar kolej dikenakan bon berkelakuan baik

    Rogol pelajar madrasah: Pelajar kolej dikenakan bon berkelakuan baik

    MAHKAMAH Sesyen Melaka hari ini melepaskan seorang pelajar kolej dengan bon berkelakukan baik selama dua tahun selepas mengaku bersalah merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar madrasah.

    Hakim Darmafikri Abu Adam memerintahkan tertuduh, Ahmad Rasyid Ruslan,19, menjalani khidmat masyarakat bagi tempoh 240 jam dalam masa dua tahun dan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin untuk tiga tahun.

    Sinar Harian melaporkan, berdasarkan pertuduhan pertama, dia didapati merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun 20 hari di bilik hotel di Jalan Plaza Mahkota, Melaka, pada pukul 1.30 petang, 12 Jun lalu.

    Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat, jika sabit kesalahan.

    Pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didapati telah melakukan amang seksual terhadap mangsa yang sama pada waktu, lokasi dan tarikh sama dibawah kesalahan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang mana sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan juga sebat.

    Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian mangsa telah meminta tolong tertuduh untuk mendaftarkannya masuk sebuah hotel memandangkan mangsa masih di bawah umur.

    Mangsa ke hotel berkenaan kerana dipercayai tidak mahu meneruskan pengajian di sebuah madrasah sebelum mangsa dibawa pulang ke rumah oleh kakaknya.

    Bapa mangsa kemudian membawa mangsa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dan hasil soal siasat polis mangsa mengaku telah melakukan hubungan seks dengan tertuduh.

    Tertuduh diwakili Peguam Zulkifli Awang merayu hukuman diringankan dengan alasan tertuduh telah insaf dengan kesalahan pertama yang dilakukan dan mahu meneruskan pengajiannya selain membantu menjaga dua adik yang merupakan orang kurang upaya (OKU) terlantar sakit.

    Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin bagaimanapun memohon tertuduh dikenakan hukuman berat mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan seksual merupakan jenayah yang serius.

  • Dr. Mahathir bidas Tengku Zafrul ‘over excited’ ulas laporan tidak tepat

    Dr. Mahathir bidas Tengku Zafrul ‘over excited’ ulas laporan tidak tepat

    TUN Dr Mahathir Mohamad membidas Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang “over-excited” dengan laporan tidak tepat mengatakan beliau bertemu pelabur yang ingin melabur sehingga RM500 bilion.

    Bekas Perdana Menteri berkata, laporan itu diperbetulkan sendiri oleh penerbit akhbar tersebut tanpa permintaan daripadanya, dan kenyataan sebenar ialah pelaburan dinyatakan beliau adalah sebanyak RM500 juta dimuat naik menggantikan laporan asal.

    Berikut kenyataan penuh Dr.Mahathir yang disiarkan dalam media sosial beliau:

    TENGKU Zafrul (Tengku Abdul Aziz) kelihatan agak over-excited dengan laporan yang tidak tepat yang mengatakan bahawa saya bertemu pelabur yang ingin melabur sehingga RM500 billion.

    Laporan itu telah diperbetulkan sendiri oleh penerbit akhbar tersebut tanpa permintaan daripada saya, dan kenyataan saya yang sebenar ialah pelaburan yang saya nyatakan adalah sebanyak RM500 million (juta) telah dimuatnaik mengganti laporan asal.

    Agaknya sebelum sempat akhbar itu lakukan pembetulan, Tengku Zafrul tanpa berlengah telah memuat naik di video di media sosialnya dengan memberi perincian bahawa RM309 bilion ialah pelaburan tertinggi setahun yang pernah didapati oleh Malaysia, dan di zaman saya jadi PM pun tak pernah dapat pelaburan mencecah RM500 billion.

    Jika sifat over-excited Tengku Zafrul terhadap laporan yang tidak tepat itu terdapat juga di dalam dirinya ketika mencari dan mendapatkan pelabur ke Malaysia, saya yakin keadaan ekonomi Negara yang kelam dan muram ini dapat diatasi. Kalau setakat buat pengumuman ada pelbagai cadangan dan tandatangan puluhan MOU berkait pelaburan tanpa keputusan yang muktamad tidak akan membangun ekonomi Negara. Saya ingin meminta Tengku Zafrul perincikan pelaburan yang telah masuk dan dimuktamadkan di Malaysia sejak dia jadi Menteri di bawah pentadbiran ini.

    Ada orang yang tanya jika saya kenal siapa Tengku Zafrul. Saya bagi tau tak begitu kenal secara peribadi tetapi saya dengar cerita pasal dia termasuk dia menyanyi dalam kugiran sebelum pilihanraya ke-14 sokong kerajaan kleptokrasi. Selepas saya jadi PM ada pegawai saya minta supaya jangan ambil tindakan terhadap Tengku Zafrul walaupun ada usaha untuk buang dari CIMB. Saya kata Kerajaan pimpinan saya tidak akan aniaya sesiapa kecuali jika dapat bukti kesalahan.

    Dia dilantik Tan Sri Muhyiddin jadi Menteri Kewangan dan dia dikecam Datuk Seri Anwar sebagai Menteri yang jaga bank dan bukan jaga rakyat. Walau kalah dalam pilihanraya umum ke-15 atas tiket UMNO, Datuk Seri Anwar, yang sebelum itu kecam Tengku Zafrul lantik dia jadi Menteri sekali lagi. Kalau ikut Datuk Seri Anwar, Tengku Zafrul ni memang tak layak jadi Menteri.

    Tapi dia tetap jadi Menteri. Mungkin ada something special yang kita tak nampak lagi.

  • Pertuduhan tak dedah kesalahan Muhyiddin:Peguam

    Pertuduhan tak dedah kesalahan Muhyiddin:Peguam

    PERTUDUHAN salah guna jawatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus diketepikan kerana tidak mendedahkan sebarang kesalahan dalam Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Peguam bela Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, tiada pendedahan kesalahan berkenaan, sekali gus mewujudkan satu penyalahgunaan proses.

    “Jelas bahawa konsep proses keadilan dilanggar oleh pihak pendakwaan kerana terlalu tergesa-gesa, yang mana peraturan asas keadilan tidak dipatuhi.

    “Empat pertuduhan mengikut seksyen itu tidak mendedahkan kesalahan yang diketahui dalam undang-undang dan akibatnya harus diketepikan.

    “Ia mesti jelas dan tepat dalam draf pertuduhan itu, pemohon (Muhyiddin) diprejudis,” katanya ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin, hari ini, lapor Berita Harian.

    Media melaporkan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu pada 18 April lalu dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

    Muhyiddin memohon dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan tersebut pada 10 Mac lalu dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

    Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika hadir bagi mendengar permohonan bagi membatalkan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Parti Bersatu ketika dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

    Muhyiddin, 75, didakwa menggunakan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri Kelapan untuk mendapat suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn. Bhd., Nepturis Sdn. Bhd. dan Mamfor Sdn. Bhd. serta Datuk Azman Yusoff bagi Bersatu.

    Presiden Bersatu itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan di Pejabat Perdana Menteri Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

    Hisyam berkata Muhyiddin dibiarkan untuk meneka dan membuat spekulasi bagaimana didakwa menyalahgunakan kedudukan jika ada, selain sama ada membuat sebarang keputusan, mengambil apa-apa tindakan dan berhubung perkara apa.

    “Pemohon tidak dapat memberi arahan tepat kepada pasukan peguam yang mengakibatkan penyediaan pembelaan menjadi cacat,” katanya.

  • Hutang peneroka: Muhyiddin tak bohong, pengurusan Felda segera beri penjelasan

    Hutang peneroka: Muhyiddin tak bohong, pengurusan Felda segera beri penjelasan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PIHAK pengurusan tertinggi Felda tidak seharusnya berdiam diri sebaliknya segera tampil memberi penjelasan berhubung isu pelupusan hutang peneroka.

    Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi menegaskan, langka tersebut perlu dilakukan bagi mengelak kekeliruan kepada rakyat khususnya peneroka.

    Tegasnya yang juga bekas Exco kerajaan negeri Johor, kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak melaksanakan pelupusan hutang peneroka Felda adalah sesuatu yang mengelirukan.

    Katanya yang merupakan peneroka Felda Taib Andak, pelupusan hutang Felda telah dilaksanakan pada 2021 dengan penghapusan lebih 70 peratus hutang peneroka.

    “Ini bukti nyata, bukti penyata pelupusan hutang yang dikeluarkan Felda dan diambil di pejabat rancangan Felda Taib Andak pada 31 Disember 2019.

    “Berdasarkan penyata pinjaman peneroka saya, hutang kebun iaitu tanam semula berjumlah RM85,313 bagi tanaman kelapa sawit 10 ekar.

    “Bagi kategori hutang sosio ekonomi (pinjaman bayaran rumah, pinjaman komputer, skim usahawan Felda), saya tiada ambil pinjaman jadi tiada jumlah dalam penyata saya.

    “Jumlah keseluruhan hutang saya bernilai RM85,313. Hapus hutang kebun ialah RM76,461.88. Jadi baki hutang saya ialah RM8,851.12.

    “Penghapusan hutang akan dilaksanakan pada tahun kewangan 2021 dan tertakluk kepada peneroka yang menandatangani perjanjian pengurusan kebun yang menjual hasil kebun terus kepada Felda. Pada November 2021, baki hutang saya telah ditolak dengan potongan RM463,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di kediamannya di Felda Taib Andak, Kulai, Johor, hari ini.

    Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelupusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion pada 7 Julai 2021, ketika menjadi Perdana Menteri.

    Menurut Tosrin, sejak menjadi peneroka pada 1979, ini adalah kali pertama peneroka Felda diberi penyata yang lengkap.

    Katanya, menerusi penghapusan hutang itu, baki hutang dan bayaran balik setiap peneroka tidak sama.

    “Sekarang kalau lihat ramai pemimpin politik yang memberi kenyataan berhubung isu pelupusan hutang Felda, sedangkan pihak pengurusan tertinggi Felda hanya mendiamkan diri.

    “Isu pelupusan hutang Felda ini benar telah dilaksanakan, sepatutnya pengurusan tertinggi Felda tampil memberikan penjelasan berhubung isu ini, supaya ia tidak mengelirukan peneroka,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pentadbir Ladang Felda Taib Andak, Hairolnizam Kusnin, 38, berkata, sebagai wakil generasi kedua isu seperti itu amat diambil berat.

    “Saya keliru dengan kenyataan pelupusan Felda baru-baru ini, kerana kami telah membayar baki hutang selepas pelupusan dibuat sebanyak kira-kira RM400 sebulan.

    “Sebelum pelupusan hutang dibuat, peneroka atau wakil perlu membayar RM800 hingga RM1,500 berdasarkan keluasan tanaman,” ujarnya.

    Justeru katanya, pihak pengurusan Felda perlu bersuara dan jika terus berdiam pasti akan menimbulkan salah faham dalam kalangan peneroka.

    Pada 7 Julai, sempena Hari Peneroka, Anwar mendakwa langkah melupuskan hutang peneroka tidak dibuat oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dan perkara itu berterusan sehingga beliau mengambil alih kerajaan.

    Sebelum itu 2021, Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat.

    Persetujuan itu mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkan harus diperbetulkan terlebih dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau Felda.

  • Keputusan rayuan Najib untuk gugur peguam wakili Tommy Thomas dalam saman RM1.9 juta pada 11 Ogos

    Keputusan rayuan Najib untuk gugur peguam wakili Tommy Thomas dalam saman RM1.9 juta pada 11 Ogos

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan 11 Ogos ini untuk memutuskan rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menggugurkan dua peguam dari Tetuan Tommy Thomas daripada mewakili bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dalam perbicaraan saman RM1.9 juta oleh bekas perdana menteri itu.

    Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Hanipah Farikullah berkata mereka memerlukan masa untuk mempertimbangkan hujah dan kes-kes yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak dalam saman itu.

    Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Azimah Omar dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.

    Dalam prosiding hari ini, mahkamah mendengar hujah peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Najib dan peguam Alan Adrian Gomez yang mewakili Thomas.

    Najib merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos tahun lepas yang menolak permohonannya untuk menggugurkan Gomez dan Mervyn Lai Wei Shiung, yang merupakan rakan kongsi Tetuan Tommy Thomas, daripada mewakili Thomas dalam samannya (Najib).

    Najib memohon pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam dan menuntut RM1.9 juta sebagai ganti rugi, termasuk yuran perundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terhadapnya.

    Beliau mendakwa tidak wajar Gomez dan Lai mewakili Thomas kerana mereka dari firma guaman yang sama dengan Thomas.

    Najib menyaman Thomas dengan mendakwa telah dituduh di mahkamah dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

    Bekas Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selari dengan perancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

    Pada 25 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman Najib yang difailkannya terhadapnya (Thomas). Rayuan Najib untuk mengembalikan semula saman akan didengar pada 4 Okt.

    Terdahulu semasa berhujah Firoz, beliau menumpukan kepada Peraturan 5 Peraturan Profesion Undang-undang (Amalan dan Etiket) 1978 yang menyatakan bahawa peguam tidak seharusnya menerima sesuatu kes sekiranya sukar untuk mengekalkan kebebasan profesional.

    Beliau mempersoalkan sama ada peguam dari Tetuan Tommy Thomas boleh mengekalkan kebebasan profesional itu dan berhujah bahawa peguam dari firma guaman yang sama tidak seharusnya mewakili rakan kongsi, perunding atau peguam lain dalam perkara yang menjadi perbalahan.

    Thomas ialah pengasas firma guaman. Beliau menjadi Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020.

    Firoz berkata Thomas mempunyai kepentingan kewangan di firma guaman itu, sambil menambah bahawa dengan dua peguam daripada Tetuan Tommy Thomas bertindak untuknya (Thomas), ia akan mewujudkan konflik kepentingan.

    Sementara itu, Gomez membalas dengan mengatakan Thomas, sebagai perunding dalam firma itu, tidak mempunyai kepentingan kewangan dalam firma tersebut.

    Beliau berkata saman yang difailkan terhadap Thomas adalah kerana dakwaan melakukan misfeasans dalam jawatan awam semasa beliau menjadi Peguam Negara dan bukan sebagai rakan kongsi firma itu, sambil menambah bahawa tiada konflik kepentingan yang menghalang mereka daripada mewakili Thomas kerana mereka tidak terlibat dalam pertuduhan 1MDB, perkara utama saman Najib.

    Najib hadir dalam perbicaraan rayuannya hari ini. Isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan anaknya Datuk Mohamad Nazifuddin turut menghadiri prosiding itu.

    Peguam lain yang turut mewakili Najib dalam rayuan itu ialah Daniel Annamalai, Woo J Enn dan Melody Tham Cheng Yee manakala Lai dan Haikaldin Mahyidin juga mewakili Thomas.

  • ‘’Itu bukan banglo Sanusi, pemfitnah bekerja keras menjelang PRN’’ – Pejabat MB Kedah

    ‘’Itu bukan banglo Sanusi, pemfitnah bekerja keras menjelang PRN’’ – Pejabat MB Kedah

    PEJABAT MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial sejak semalam kononnya beliau membina sebuah banglo bernilai jutaan ringgit di Sik. 

    Setiausaha Akhbarnya Muhammad Mat Hakim berkata,  dakwaan tersebut langsung tidak benar dan semata-mata fitnah oleh golongan pendengki dalam media sosial. 

    Berikutan kenyataan penuh Pejabat Menteri Kedah berhubung tuduhan tersebut:

    Foto sebuah banglo di Sik lengkap dengan imej google map yang cuba digambarkan ada kaitan dengan Menteri Besar Kedah, YAB Dato Seri Haji Muhammad Sanusi Md. Nor hingga timbul tanggapan kononnya banglo itu milik beliau sedang ditularkan oleh para pemfitnah dan pendengki di serata media sosial.

    Ia tidak benar dan semata-mata fitnah.  Pemfitnah-pemfitnah ini bekerja keras menjelang PRN untuk mempengaruhi orang ramai percaya MB Kedah kini hidup kaya raya hingga mampu membina rumah seperti itu.

    Rumah itu bukan milik beliau. Tidak ada wang Dato Seri Sanusi diguna untuk bina rumah itu walau satu sen. Ia milik orang lain yang dibina hasil titik peluhnya sendiri setelah bekerja keras selama puluhan tahun.  Selama ini, pemilik rumah itu kumpul wang bekerja sebagai penyelam di dasar laut, terpaksa tinggalkan isteri dan anak-anak hingga tiga atau empat bulan sekali baru boleh balik ke rumah.Bukan sekali dua tetapi banyak kali ketika isterinya bertarung nyawa melahirkan anak,  si suami pula sedang bertarung dengan yu dan jerung di dasar laut. 

    Mereka suami isteri, termasuk anak-anak telah banyak berkorban selama ini.   Amat menyedihkan tatkala sampai masa untuk mereka mengecap sedikit kegembiraan dapat masuk rumah yang baru, ada pula orang yang dengki dan sakit hati hingga tergamak menjaja fitnah konon rumah itu bukan milik mereka. Apa salah mereka kepada kalian?  Kumpul duit setelah berpuluh tahun kerja mempertaruhkan nyawa dalam keadaan begitu bahaya untuk memberikan sedikit kegembiraan kepada ahli keluarga, adakah salah?

    Pemilik rumah itu bukan orang politik. Dia tidak ada kena mengena dengan politik atau pilihan raya. Mengapa jadikan dia mangsa seolah-olah rumah itu dibina dengan duit haram sedangkan dia telah lama bekerja keras mencari rezeki hasil titik peluhnya sendiri? Apa salah pemilik rumah itu kepada kalian hingga tidak berkira kira langsung menyebar fitnah sedangkan kalin tidak kenal pun siapa pemilik rumah itu?

    Adakah salah juga dia ada pertalian darah dengan Dato’ Seri Sanusi? Adakah kerana pemilik rumah itu abang kepada MB Kedah, dia hilang hak untuk bina rumah besar walaupun ada duit dan mampu untuk bina rumah seperti itu? Mudah sungguh kalian buat persepsi sedangkan persepsi bukan realiti. Antara kalian ada yang tidak pernah  lalu malah tidak tahu pun rumah itu di mana.  Orang Sik rata ratanya tahu rumah itu rumah Budin, bukan rumah Sanusi.

    Menurut Dato’ Seri Sanusi, sebagai adik, beliau tahu abangnya seorang yang berhati cekal, kuat bekerja, berdisiplin dan mempunyai kesanggupan yang sangat tinggi untuk meningkatkan taraf hidup. Dia juga bijak menguruskan wang dan membeli harta. Dato Seri Sanusi  sendiri mengakui kagum dengan pengorbanan dan kesanggupan abangnya berusaha mencari kesenangan untuk keluarga. 

    Hentikanlah fitnah seperti ini kerana ia hanya membawa dosa. 

  • Penganggur didakwa curi duit tabung di dua masjid

    Penganggur didakwa curi duit tabung di dua masjid

    SEORANG lelaki yang sebelum ini dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas kesalahan merompak, sekali lagi didakwa atas dua pertuduhan mencuri duit tabung masjid di Mahkamah Majistret Bahau, hari ini.

    Tertuduh, Muhammad Amirul Syafiq Daud Hamzah, 22, dari Kuala Lipis, Pahang mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Norhazwani Ishak.

    Sinar Harian melaporkan, berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh telah mencuri wang tunai RM50 dalam tabung milik Masjid Jamek Pekan Bahau di masjid itu pada 11 Jun lepas, pukul 11.15 malam.

    Pertuduhan kedua pula, tertuduh juga melakukan perbuatan sama dengan mencuri wang tunai RM2,000 dalam tabung milik Masjid Jamek Batu Kikir di masjid tersebut pada 13 Jun lalu pukul 1.40 pagi.

    Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, boleh juga dikenakan denda,jika sabit kesalahan.

    Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman penjara lapan hari dan denda RM1,800 terhadap tertuduh bagi pertuduhan pertama serta penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

    Mahkamah juga menjatuhi hukuman 10 bulan penjara dari tarikh tertuduh ditangkap bagi pertuduhan kedua dan denda RM2,000, jika gagal bayar dikenakan tiga bulan penjara.

    Pendakwaan kes dikenadalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Pada hari sama, tertuduh merupakan penganggur dijatuhi tiga tahun penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah selepas mengaku bersalah merompak secara berkumpulan di Bahau bulan lalu.

  • 6 anggota polis ditahan di pusat hiburan, 1 positif dadah

    6 anggota polis ditahan di pusat hiburan, 1 positif dadah

    ENAM anggota polis yang sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Setiawan, Perak, ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, pukul 11.30 Sabtu lalu.

    Menerusi serbuan tersebut, pihak polis turut menemui sepeket serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin.

    Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, operasi dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) bagi mengesan pelanggaran dan salah laku yang dilakukan warga Polis Diraja Malaysia.

    “Siasatan lanjut akan dijalankan JIPS Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, siasatan dari sudut tatatertib sedang dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, terdapat situasi yang membenarkan anggota berada dalam premis berkenaan berdasarkan arahan dalaman.

    Katanya, siasatan akan dibuat apabila ada anggota terbabit dikesan positif dadah dan minum minuman keras.

    Sementara itu, sumber berkata, kesemua enam anggota terbabit bertugas di salah sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Perak.

    “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang anggota beragama Islam dikesan positif minum minuman keras, manakala seorang lagi anggota positif dadah jenis ganja.

    “Seorang wanita warga Indonesia turut ditahan bersama enam anggota dalam bilik karaoke di pusat hiburan berkenaan,” katanya.