Category: Semasa

  • Budak perempuan 4 tahun lemas di taman tema air

    Budak perempuan 4 tahun lemas di taman tema air

    SEORANG kanak-kanak perempuan ditemukan lemas di sebuah taman tema air di Temerloh semalam.

    Mangsa yang berumur empat tahun itu disahkan maut selepas lemas di kolam bahagian kanak-kanak yang berkedalaman kira-kira 0.15 meter.

    Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusoff berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 8.42 malam tadi.

    “Satu laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki berumur 45 tahun berkenaan kejadian anaknya meninggal dunia disebabkan lemas bertempat di taman tema air tersebut.

    “Hasil siasatan polis mendapati pengadu telah pergi ke tempat tersebut pada pukul 5 petang bersama keluarganya.

    “Pada pukul 6 petang, anak saudara pengadu memaklumkan bahawa anak perempuannya berumur empat tahun telah lemas di kolam bahagian kanak-kanak terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan, namun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

    Katanya, satu bedah siasat telah dibuat hari ini dan didapati punca kematian adalah disebabkan lemas.

    Menurutnya, kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

  • Bekalan ikan negara masih belum stabil – LKIM

    Bekalan ikan negara masih belum stabil – LKIM

    LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengakui bekalan ikan bagi keperluan negara masih belum stabil berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

    Pengerusi LKIM Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata kebiasaannya pada bulan Mei, cuaca kembali seperti sediakala tetapi sehingga kini cuaca masih tidak menentu menyebabkan pendaratan ikan berkurangan.

    “LKIM perlu mengambil langkah awal dengan mendapatkan sebanyak mungkin ikan untuk disejukbekukan ketika musim penangkapan dan pendaratan ikan yang banyak daripada nelayan.

    “LKIM juga perlu membeli ikan daripada nelayan bagi penyimpanan sejuk beku bukan membeli daripada swasta bagi memastikan stok mencukupi apabila tiba musim tengkujuh,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan Bantuan Kasih Suri Keluarga Malaysia di Dewan Terbuka Pejabat Pusat Khidmat P059 hari ini.

    Beliau berkata LKIM memiliki kilang dan tempat penyimpanan sendiri jadi tidak timbul isu bekalan kurang sekali gus mengatasi masalah kartel.

    “Isu kartel melibatkan bekalan ikan timbul disebabkan LKIM tidak membuat persediaan awal untuk menyimpan stok ikan menyebabkan kartel mengambil kesempatan mengurangkan bekalan ikan di pasaran dan seterusnya menentukan harga,” katanya.

    Syed Abu Hussin Hafiz juga mengakui wujud masalah dalaman apabila terdapat pegawai LKIM yang memandang ringan cadangan penyimpanan stok ikan dan berharap pengurusan tertinggi badan itu mengambil langkah sewajarnya. –Bernama

  • Belum masa laksana lupus kenderaan lebih 10 tahun

    Belum masa laksana lupus kenderaan lebih 10 tahun

    CADANGAN untuk melupuskan kenderaan yang melepasi had usia lebih 10 tahun masih belum sesuai dilaksanakan di negara ini ketika ini.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, dasar sedemikian jika mahu dilaksanakan memerlukan kajian terperinci di samping kesediaan dan kemampuan rakyat negara ini.

    “Setakat ini terdapat lebih 34 juta kenderaan berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun hanya 22 juta sahaja yang aktif memperbaharui cukai jalan.

    “Kerajaan sentiasa dengar pandangan dan idea pakar, namun dasar supaya melupuskan kenderaan yang melepasi had usia lebih 10 tahun masih tidak sesuai dilaksanakan di negara kita,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelepasan perkhidmatan Tren Shuttle KTMB JB-Singapura di JB Sentral, Johor Bahru, hari ini, lapor Berita Harian.

    Katanya, penyelesaian isu kesesakan di jalan raya bukan sahaja dengan cara pelupusan kenderaan lebih 10 tahun kerana ia memerlukan pendekatan holistik dan menyeluruh.

    “Jika dasar ini mahu dilaksanakan, kita terlebih dahulu perlu ada jaringan pengangkutan sempurna termasuk di luar bandar dan kampung, namun ketika ini pun jaringan lengkap projek Transit Aliran Massa (MRT) di Lembah Klang masih belum siap dibina,” katanya.

    Khamis lalu, sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilaporkan menyarankan beberapa mekanisme bagi menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di ibu kota.

    Kumpulan pakar diketuai oleh Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya UKM, Profesor Dr. Rozmi Ismail dilaporkan mencadangkan supaya kenderaan di Malaysia mempunyai had usia tidak lebih 10 tahun dilupuskan supaya tidak berada di jalan sekali gus bertujuan menyeimbangkan jumlah antara kenderaan baharu dan lama di atas jalan raya.

    Ka Siong berkata, hasil penelitian dilakukan pihaknya mendapati majoriti daripada 12 juta kenderaan tidak aktif di atas jalan raya dan tidak memperbaharui cukai jalan kerana kenderaan lama, terdapat pemilik atau pewaris yang hendak menyimpan nombor pendaftaran kenderaan lama di samping hanya menggunakan kenderaan itu di kampung.

    “Kita ada data, siapa tidak bayar cukai jalan tetapi sistem yang lebih menyeluruh diperlukan bagi mengenal pasti kenderaan aktif dan tidak aktif ini. Kemudian bila sudah ada sistem yang lengkap, kita akan lihat secara terperinci punca sebenar kenderaan tidak aktif ini.

    “Banyak lagi perkara perlu diteliti jika mahu melaksanakan sebarang dasar besar termasuk pelupusan kenderaan melebihi 10 tahun kerana isu berkenaan cukup kompleks meskipun terdapat banyak negara yang sudah membuat dasar itu termasuk Singapura.

    “Jika hendak dilaksanakan, dasar automotif negara perlu dilihat semula kerana dasar itu menggalakkan pemilikan kenderaan buatan Malaysia,” katanya.

  • Kerajaan beri keutamaan peruntukan penyelenggaraan aset dalam penyediaan bajet 2023

    Kerajaan beri keutamaan peruntukan penyelenggaraan aset dalam penyediaan bajet 2023

    UNIT Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU) dan Kementerian Kewangan (MOF) telah diminta supaya memberi keutamaan terhadap peruntukan penyelenggaraan aset bagi semua kementerian dalam penyediaan Bajet 2023.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pada April lepas EPU membentangkan kertas Jemaah Menteri mengenai keperluan menyediakan peruntukan lebih besar untuk menyelenggara aset-aset kerajaan termasuk peralatan, bangunan dan jalan raya.

    “Peruntukan penyelenggaraan bagi kementerian yang mempunyai prestasi perbelanjaan rendah dicadang diagih semula bagi menampung keperluan perbelanjaan penyelenggaraan kepada kementerian yang memerlukan.

    “Budaya penyelenggaraan perlu dititik berat bagi memastikan aset dan kemudahan kerajaan sentiasa dalam keadaan baik,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa melakukan lawatan kerja ke Laluan Persekutan FT004 di sempadan Gerik, Perak dan Jeli, hari ini, yang turut disertai Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail.

    Mustapa berkata kerajaan juga akan mengambil langkah proaktif pada tahun ini untuk menyediakan peruntukan bagi kerja-kerja penyelenggaran aset.

    Sementara itu, mengulas mengenai aduan kerosakan Lebuhraya Timur-Barat yang sering dibangkitkan oleh pengguna, beliau berkata JKR Kelantan telah mengemukan laporan terperinci mengenai isu penyelenggaraan lebuh raya tersebut terutama berkaitan kekangan peruntukan.

    “Bagi jajaran Kelantan, sebanyak RM16.6 juta telah dibelanjakan pada 2021 untuk kerja-kerja penyelenggaraan manakala sebanyak RM10.9 juta pula diperuntukan bagi penyelenggaraan di 11 lokasi jajaran pada tahun ini.

    “Secara keseluruhan, penyelenggaraan di sepanjang lebuh raya ini telah dilaksanakan secara berperingkat namun peruntukan lebih besar diperlukan untuk penyelenggaraan lebuh raya terutama bagi jajaran di Perak dan sempadan di Kelantan” katanya. – Bernama

  • Bapa tidak tahu Adibah Noor hidap kanser

    Bapa tidak tahu Adibah Noor hidap kanser

    BAPA Allahyarham penyanyi Adibah Noor  tidak mengetahui anaknya ITU menghidap penyakit kanser ovari tahap empat.

    Menurut Mohd. Omar Zainal Abidin, 89, ketika ditemui selepas selesai pengurusan jenazah berkata, perkara itu disembunyikan anaknya itu.

    “Saya tak tahu. Dia tidak beritahu walaupun saya ayahnya. Saya pergi hospital pun dia tidak beritahu. Tapi kalau Tuhan nak ambil, Dia ambil juga.

    “Itu anak saya nombor tiga. Dia seorang yang taat dan pemurah. Kalau orang lain nak kata dia kedekut, terpulanglah. Bagi saya dia okay, semuanya okay.

    “Saya tiada apa nak cerita, tiada apa yang nak dipanjangkan. Mohon doakan yang baik-baik buat anak saya,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Menurutnya, Allahyarham juga bukan jenis yang suka menyusahkan walaupun ahli keluarga sendiri.

    “Ramai tak tahu dia sakit. Saya pun lambat juga diberitahu. Anak-anak saya semua macam tu. Dia hanya cakap sakit bahagian perut.

    “Dia masuk hospital pun dia tak cakap. Dia memang jenis tak nak menyusahkan orang,” katanya.

    Terdahulu, jenazah arwah dimandi dan disembahyangkan di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat, Kuala Lumpur pukul 9 pagi.

    Bapa arwah juga berkesempatan masuk ke bilik pengurusan jenazah untuk menatap wajah anaknya buat kali terakhir. Malah dia turut ke tanah perkuburan untuk mengebumikan anaknya dan memberikan penghormatan terakhir.

    Selain itu kelihatan lebih 100 orang termasuk rakan artis dan penggiat seni hiburan tanah air hadir memberi penghormatan terakhir.

    Antaranya seperti Datuk Afdlin Shauki, Nikki Palikat, Suki, Remy Ishak, Nadiya Nissa, Ruzana Ibrahim, Liza Abdullah, Anuar Zain, Ziana Zain, Nadiya Nissa, Ruzana Ibrahim, Sharifah Amani, Saiful Apek, Linda Onn dan ramai lagi.

    Adibah atau nama sebenarnya, Adibah Noor Mohd. Omar, 52, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat, semalam.

  • Polis berkas suspek rogol remaja tingkatan satu

    Polis berkas suspek rogol remaja tingkatan satu

    LELAKI yang disyaki melarikan dan merogol remaja perempuan bawah umur sudah diberkas polis di Kuala Lumpur, semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, tangkapan dibuat susulan siasatan polis berhubung laporan kehilangan remaja itu oleh keluarganya.

    “Pada pukul 9.30 malam tadi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menangkap suspek yang berumur 39 tahun di Kuala Lumpur.

    “Sewaktu tangkapan dibuat, polis turut merampas telefon bimbit dan kenderaan yang digunakan oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini seperti dilaporkan Harian Metro.

    Hoong Fong berkata, ibu bapa remaja perempuan berumur 13 tahun itu membuat laporan polis pada pukul 8 malam Khamis lalu.

    “Ibu remaja itu memaklumkan pemandu van memberitahu anaknya tiada di kawasan sekolah selepas selesai waktu sekolah.

    “Pengadu bersama suami pergi ke sekolah dan mendapat tahu daripada rakan sekolah bahawa mangsa menaiki sebuah kereta jenis tidak pasti dengan seorang lelaki selepas tamat waktu sekolah,” katanya.

    Beliau berkata, siasatan mendapati anak mangsa adalah pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di bawah pentadbiran IPD Klang Selatan berkenalan dengan seorang lelaki melalui aplikasi Zaky pada 14 Jun lalu.

    “Selepas berkenalan selama dua hari, mangsa dipercayai membuat temujanji bersama suspek di hadapan sekolah untuk melarikan diri ke Melaka.

    “Pada pukul 6.40 petang Khamis lalu, suspek mengambil mangsa di hadapan sekolah menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Viva warna perak dan membawa mangsa ke Melaka.

    “Mangsa dibawa ke sebuah bangunan rumah kedai dan suspek dipercayai melakukan perhubungan seks bersama mangsa,” katanya.

    Menurut beliau, siasatan mendapati, suspek menghantar mangsa ke Sentul atas permintaan mangsa pada pukul 11.30 malam Jumaat.

    “Selepas mangsa diturunkan di kawasan Sentul, mangsa meminta bantuan seorang kawan untuk bawa dan tinggal di rumah kawannya.

    “Pada keesokannya, mangsa meminta bantuan daripada rakan sekelasnya mengambilnya dari Sentul untuk pulang ke rumah. Maklumat itu dikongsi dengan pihak polis dan mangsa diselamatkan,” katanya.

    Katanya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan orang daripada penjagaan yang sah di sisi undang-undang.

    “Selain daripada itu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka juga membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol.

    “Suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut. Pihak polis ingin menasihatkan kepada orang awam agar sentiasa mengawasi pergerakan, pergaulan serta penggunaan peranti elektronik anak masing-masing terutamanya remaja agar tidak terbabit dengan aktiviti-aktiviti tidak sihat,” katanya.

  • Jagdeep Singh Deo patah pergelangan kaki diserang lelaki dipercayai mabuk

    Jagdeep Singh Deo patah pergelangan kaki diserang lelaki dipercayai mabuk

    OleH WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo patah pergelangan kaki kiri selepas diserang seorang lelaki yang dipercayai mabuk.

    Kejadian itu berlaku pukul 8.30 malam Jumaat lalu ketika Jagdeep yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang berada bersama ahli keluarganya di sebuah kedai di Jalan Sungai Kelian, Tanjung Bungah.

    Difahamkan, ketika kejadian Jagdeep secara tiba-tiba ditolak sehingga terjatuh oleh seorang lelaki warga asing yang menghampirinya dalam keadaan terhuyung-hayang dipercayai kerana mabuk.

    Ekoran kejadian itu, ahli politik berusia 51 tahun berkenaan cedera pada buku lali dan kini dirawat di sebuah hospital swasta.

    Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain ketika dihubungi media mengesahkan seorang suspek telah ditahan berhubung kes itu dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

  • Penjara baharu terbesar di Kelantan elak banduan sesak di Zon Timur

    Penjara baharu terbesar di Kelantan elak banduan sesak di Zon Timur

    PEMBINAAN penjara baharu yang mampu memuatkan seramai 3,000 penghuni di negeri ini dijangka siap sepenuhnya pada 2027.

    Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata, mengikut perancangan lokasi yang dipilih adalah di Ketereh selain bakal menjadi penjara terbesar dan moden di Kelantan.

    Katanya, proses untuk menyelesaikan isu tanah sedang dilakukan sebelum pembinaan dilaksanakan pada hujung tahun hadapan dan dijangka mengambil masa selama beberapa tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

    Beliau berkata, pelaksanaan cadangan terbabit selaras dengan keperluan pemulihan banduan dan pengkategorian penjara di samping mengurangkan kesesakan yang sedia ada di penjara Zon Timur.

    Oleh itu ujarnya, pertambahan anggota dan kakitangan di Jabatan Penjara Malaysia juga akan dilakukan bagi menampung keperluan petugas di lokasi baharu bagi memastikan pengurusan penjara sentiasa terkawal.

    “Selain di Kelantan, beberapa negeri lain turut menerima pembangunan sama dalam pembinaan penjara baharu termasuk di Lahad Datu, Sabah yang bakal siap sepenuhnya tidak lama lagi,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 Peringkat Zon Timur di Kompleks Kota Darul Naim, di Kota Bharu Kelantan, hari ini.

    Hadir sama, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pengurusan), Abd. Kadir Rais dan Pengarah Pengurusan Banduan, Ajidin Salleh.

    Mohd. Sayuthi berkata, pembinaan penjara baharu untuk memberi fasiliti lebih baik kepada kedua-dua pihak tidak kira untuk anggota atau pegawai bertugas mahupun banduan.

    “Tambahan pula, umum mengetahui banyak penjara di Malaysia yang sudah lama dan perlu penambahbaikan. Kerajaan sentiasa menaruh kepercayaan tinggi kepada Jabatan Penjara Malaysia dalam memberikan khidmat bakti mengawal serta memulihkan penghuni,” katanya.

  • Lebih 20,000 lelaki dapatkan khidmat kaunseling LPPKN – Rina

    Lebih 20,000 lelaki dapatkan khidmat kaunseling LPPKN – Rina

    SERAMAI 22,156 orang lelaki di negara ini mendapatkan khidmat kaunseling daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) atas pelbagai masalah sejak 2019 hingga Jun tahun ini.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 33 peratus berkaitan masalah dengan pasangan, 20 peratus masalah kewangan, 17 peratus masalah keluarga manakala 30 peratus lagi lain-lain masalah.

    “Kebanyakan lelaki yang telah menghadiri sesi kaunseling sama ada secara individu atau berkelompok tersebut adalah mereka yang berusia 40 tahun ke bawah dan usia perkahwinan antara setahun hingga lima tahun.

    “Khidmat kaunseling yang diberikan melalui Helpline FamilyCare@LPPKN ini adalah secara bersemuka dalam talian dan panggilan telefon,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2022 di perkarangan Klinik Nur Sejahtera (KNS) LPPKN, Dungun hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat dan Timbalan Pengerusi LPPKN Mastura Mohd Darby.

    Sehubungan itu Rina menyeru lebih ramai kaum lelaki khususnya golongan bapa supaya memanfaatkan bantuan psikososial yang disediakan LPPKN tersebut dan tidak menunggu sehingga masalah semakin kritikal, demi kesejahteraan mereka dan keluarga.

    Dalam pada itu Rina berkata bersempena dengan Hari Bapa yang disambut hari ini dengan tema Kasih Bapa Pelindung Keluarga, kementerian melalui LPPKN menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan di setiap negeri secara percuma kepada 100 peserta lelaki terawal bermula hari ini hingga 25 Jun.

    “Istimewanya sempena majlis perasmian Hari Bapa pada hari ini, LPPKN menyediakan 300 lagi tambahan saringan kesihatan kepada kaum Adam di sekitar Dungun,” katanya.

    Selain itu Rina turut mengumumkan KNS LPPKN Dungun akan menjadi projek rintis pertama peringkat negeri yang menyediakan perkhidmatan tambahan khusus untuk bantuan psikososial dan pendidikan kesihatan kepada lelaki setempat.

    Katanya ia sebagai tambahan kepada fungsi utama KNS LPPKN yang lebih menjurus kepada kesihatan reproduktif wanita.

    “Sebelum ini perkhidmatan bantuan psikososial ini hanya disediakan di KNS LPPKN di Kuala Lumpur,” katanya.

    Beliau menambah, setakat ini terdapat 49 KNS LPPKN yang beroperasi dalam premis di seluruh negara manakala terdapat 15 lagi KNS LPPKN yang beroperasi secara bergerak. –Bernama

  • 12 jahitan di kepala dipukul dengan besi paip kerana hantaran dalam FB

    12 jahitan di kepala dipukul dengan besi paip kerana hantaran dalam FB

    SEORANG lelaki cedera dipukul rakannya di sebuah restoran di Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur, kelmarin, akibat perselisihan faham berkaitan hantaran menerusi Facebook.

    Kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak polis pihaknya pada pukul 12.40 tengah malam semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd. Nasir Drahman berkata,
    siasatan mendapati kejadian berlaku pukul 10 malam kelmarin, semasa mangsa, 48, berada di restoran bersama empat lelaki dengan dua daripada mereka dikenali pengadu.

    “Pengadu dan suspek berjumpa kerana mereka bersetuju untuk menyelesaikan masalah peribadi mengenai perselisihan faham hantaran di Facebook.

    “Bagaimanapun, perbincangan itu menyebabkan suspek tidak berpuas hati dan memukul mangsa serta rakannya menggunakan batang besi paip hingga mengakibatkan mangsa cedera di kepala,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohd. Nasir berkata, pengadu mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Bandar Mahkota Cheras dan menerima 12 jahitan di kepala akibat kecederaan terbabit.

    “Suspek yang terbabit dalam kejadian itu iaitu lelaki berusia 39 tahun sudah dikenal pasti dan sedang dikesan polis bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Ahmad Faizal di talian 019-7691924 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.