MAJLIS Syura Pas yang menapis lebih 300 nama dicadangkan sebagai calon pilihan raya negeri (PRN) telah menolak individu mempunyai masalah moral dan ‘berdosa besar’, kata Mursyidul Amnya, Datuk Hashim Jasin.
“Tapisan dibuat Jumaat lalu itu dibuat teliti untuk memastikan 126 calon yang bertanding di bawah logo bulan parti dan Perikatan Nasional (PN) di enam negeri bulan depan benar-benar layak mengikut syarat,” tegasnya.
Jelas beliau, calon ditolak kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan terutamanya berkaitan dengan akhlak dan moral.
“Antara syarat melepasi tapisan Majlis Syura ialah seseorang itu mesti mempunyai moral dan akhlak baik, tidak meninggalkan tanggungjawab fardu ain dan tidak melakukan dosa besar,” ujar beliau memetik laporan FMT.
Beliau menerangkan, dosa besar dimaksudkan itu adalah kesalahan besar daripada segi Islam.
Hashim berkata, nama melepasi tapisan itu akan diserahkan semula kepada Pas negeri untuk ditentukan kerusi bakal ditandingi.
FMT sebelum ini melaporkan Nik Mohamad Abduh, anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Nik Mat antara yang melepasi tapisan Majlis Syura untuk bertanding di Kelantan.
Perkembangan itu menolak dakwaan bahawa Pas cuba menafikan Nik Abduh peluang bertanding pilihan raya dan mematikan legasi Nik Aziz.
ADIK V. Ganabatirau mungkin dicalonkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning, kerusi yang pernah disandang Ganabatirau selama satu penggal, menurut seorang pemimpin DAP Selangor.
Ganabatirau dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning pada pilihan raya negeri (PRU) 2018, sebelum menjadi Ahli Parlimen Klang pada PRU15 November 2022.
Pemimpin DAP negeri itu yang enggan dinamakan berkata, Papparaidu yang merupakan adik Ganabatirau, melakukan kerja asas melalui libat urus dengan akar umbi.
Papparaidu, yang juga ahli Majlis Bandaraya Shah Alam terbabit dalam kerja kemasyarakatan dan pengagihan bantuan, khasnya membantu mangsa banjir.
Sumber parti itu berkata, beberapa persatuan penduduk turut menghantar surat kepada DAP untuk menyokong Papparaidu sebagai calon.
Papparaidu ketika dihubungi FMT tidak menekankan prospek pencalonannya.
Katanya, beliau pernah dengar mengenainya, ‘tetapi biarlah parti buat keputusan akhir’.
Beliau berkata, isu mendesak dihadapi penduduk Kota Kemuning ialah kesesakan lalu lintas, yang dijangkakan lebih teruk selepas perbandaran Rimbayu siap.
“Kita perlu kaji pembinaan jambatan di atas bulatan mengurangkan kesesakan lalu lintas,” kata Papparaidu yang juga pengerusi perhubungan Parlimen Kota Raja.
Pengundi di Selangor dan lima negeri lain akan memilih ADUN baharu pada 12 Ogos ini.
MAJLIS Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan telah memuktamadkan pembahagian kerusi di enam negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Perkara itu disahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut malam ini.
“(Pembahagian kerusi) telah dimuktamadkan di semua negeri, ada satu dan dua negeri sahaja (yang ada persoalan) kita akan bincang dan malam ini selesai.
“Pengumuman calon (bagi PRN) dalam dua ke tiga hari lagi kita bagi tarikh,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di Kuala Lumpur.
Turut hadir beberapa pemimpin utama Kerajaan Perpaduan iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof dan Presiden Parti Amanah Negara Datuk Seri Mohamad Sabu.
Perdana Menteri berkata ‘Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran’ adalah tema yang akan digunakan oleh parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi PRN tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata setiap negeri yang terlibat dengan PRN boleh membuat slogan tambahan manakala manifesto pilihan raya juga akan ditetapkan oleh pimpinan negeri masing-masing.
“Kita berbincang soal gerak kerja dan strategi dalam menghadapi PRN di enam negeri dan kita berpuas hati. Nampak semangat pendukung setia dapat dilonjakkan dan saya percaya berdasarkan laporan, kita bukan saja boleh bertahan di tiga negeri tapi nampak satu keyakinan untuk menawan beberapa negeri lain,” katanya.
Anwar berkata mesyuarat juga bersetuju keutuhan Kerajaan Perpaduan terus diperkukuh supaya dapat memacu pertumbuhan ekonomi selain menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.
“Saya sangat terharu dan bangga dengan kenyataan daripada pimpinan menyatakan kesediaan mereka untuk terus memperkukuh dan mengelak desas-desus daripada golongan terdesak menggunakan sentimen perkauman yang sempit atau agama secara melulu serta jumud dan kemudian memberikan gambaran seolah-olah akan ada perubahan (kerajaan).
“Apa yang disebut di sini yang mewakili majoriti besar Ahli-Ahli Parlimen ialah tetap dengan pengukuhan Kerajaan Perpaduan sehingga selesai dan tamat selama lima tahun,” katanya.
Perdana Menteri juga berkata Jelajah Perpaduan MADANI dan pelancaran jentera perpaduan akan diteruskan di Kedah pada 15 Julai diikuti Pulau Pinang (16 Julai), Kelantan (23 Julai), Negeri Sembilan (27 Julai) dan Terengganu (28 Julai).
Mesyuarat malam tadi turut disertai Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup dan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
WALAUPUN Pas mentadbir Kedah, penjualan arak tidak diharamkan di Langkawi kerana ada peraturan perlu dipatuhi individu minum alkohol, kata Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Untuk orang Islam, katanya, ia sudah terang lagi bersuluh bahawa minum arak haram di sisi agama.
“Saya rasa isu pengharaman jualan arak di Langkawi belum timbul lagi. Ia masih dijual di Kedah secara bebas cukai dan restoran yang dapat lesen daripada MOF (Kementerian Kewangan) juga boleh jual. Mereka minumlah dalam itu (premis berkenaan).
“Yang kita bimbang ia dijual di kedai tak ada lesen dan bebas dibeli sesiapa saja. Itu semua orang mengadu. Jadi, sesiapa yang nak minum, hang nak minum berapa baldi sekali pun, hang pi minum. Tak ada siapa larang.
“Tetapi kalau hang Muslim, tak bolehlah. Kalau pelancong (bukan Islam) pergilah minum,” katanya menurut Berita Harian dalam program bual bicara Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan yang disiarkan dalam talian malam tadi.
Mengenai pelancong ke Langkawi yang dilabel permata Kedah semata-mata untuk minum arak, Sanusi berkata, Langkawi memiliki pelbagai tarikan dan pelancong ke pulau terbabit bukan atas sebab itu.
“Saya rasa tarikan ke Langkawi bukan pasal itu (arak). Tarikan ke Langkawi kerana kepelbagaian, bukan satu-satunya (arak).
“Sekarang ini, bila rokok ditarik balik bebas cukai, tak ada siapa pun mengadu. Curut pun sama, tidak ada yang mengadu. Arak di Langkawi pun belum jadi isu.
“Arak boleh dibeli di kedai ada lesen bebas cukai (diberi kelulusan) oleh MOF. Jadi, siapa nak beli, pergilah beli, tetapi yang beragama Islam tak payahlah.”
PAS, selain masuk politik, juga merupakan parti tarbiyah, mendidik orang, kata Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor.
Beliau berkata, parti itu sejak dari dahulu menggerakkan usaha untuk rakyat Malaysia faham politik Islam.
“Selagi rakyat tidak faham politik Islam, mereka akan bergantung kepada hal duniawi seperti prestasi Ringgit Malaysia, ekonomi dan kos sara hidup.
“Itu semua bila mati, semua habis…tutup setakat mati. Kita (Pas) nak bawa selepas itu, selepas mati lagi. Dalam kubur, ada soalan, di Padang Mahsyar ada soalan dan timbangan.
“Nak lalu Titian Sirat, ada persoalan…masuk syurga, neraka. Pas pergi jauh. Sebab itu nak baca Pas daripada pemahaman politik Shahril dan KJ, tak sampai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Keluar Sekejap pada Selasa yang menampilkan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan Sufian sebagai hos.
Tambah beliau, Pas tidak boleh dinilai daripada pemikiran kontemporari kerana Pas keluar daripada sentimen begitu.
“Pas melangkaui kehidupan atas dunia. Pas bawa orang bagaimana jawab soalan dalam kubur, di Padang Mahsyar. Semua itu akan ditanya.
“Di kubur tanya, di Mahsyar nanti tanya lagi. Nak nilai Pas dengan pemahaman politik UMNO, Bersatu, DAP…ini politik (politik Islam) yang kami faham, yang belajar di kuliah.
“Siapa dapat apa, bila dan bagaimana politik. Pas tidak. Pas menguruskan kehidupan manusia dunia dan akhirat,” ujarnya, lapor Astro Awani.
KEPUTUSAN kerajaan melupuskan hutang peneroka Felda seperti diumumkan bekas Perdana Menteri Kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2021 telah dilaksanakan berdasarkan bukti penyata tahunan yang diterima kebanyakan peneroka.
Beberapa peneroka Felda yang ditemui SatuBerita menjelaskan, penyata tahunan yang diterima daripada agensi tanah persekutuan menunjukkan pengurangan baki hutang sehingga 80 peratus.
Ketua Peneroka Felda Lenga, Mohd Nor Suparman berkata, hampir semua 220 peneroka di kawasan itu sudah menikmati pelupusan hutang itu berdasarkan penyata rasmi yang dikeluarkan Felda.
“Saya rasa daripada penyata hutang ini telah menggambarkan bahawa Felda telah mengurangkan hutang saya daripada RM65,000 kepada RM11,000,” katanya ketika ditemui semalam.
Mohd Nor Suparman menunjukkan penyata hutang yang menyatakan hutangnya telah dihapuskan oleh Felda
Beliau diminta mengulas polemik pelupusan hutang peneroka Felda yang didakwa belum dilaksanakan meskipun telah diumumkan pada 2021.
Pada 7 Julai lalu, sempena Hari Peneroka, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa langkah melupuskan hutang peneroka tidak dibuat oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dan perkara itu berterusan sehingga beliau mengambil alih kerajaan.
Sebelum itu 2021, Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat.
Persetujuan itu mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkan harus diperbetulkan terlebih dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau Felda.
Abdul Rahman Hassan
Seorang lagi peneroka Felda Lenga, Abdul Rahman Hassan berkata, isu hutang peneroka Felda bermula sejak 1988 dan rumit, namun berjaya diselesaikan kerajaan pada 2021 selepas desakan peneroka melalui gabungan ketua peneroka kebangsaan.
“Di situ telah diumumkan pelupusan hutang peneroka yang telah kami peneroka Felda Lenga nikmati, hampir keseluruhan..ialah antara RM130,000 hingga RM140,000 hutang asal dilupuskan lebih 80 peratus, baki hutang kami antara RM30,000 hingga RM40,000 keseluruhannya.
“Jadi berlaku pengurangan atau pelupusan tersebut yang dijanjikan sebanyak 80 peratus. Memang berlaku antara peneroka dan Felda,” tegasnya.
Mahmud Malik
Peneroka Felda Sri Jaya, Mahmud Malik berkata, setiap peneroka diberi peluang menyemak penyata hutang sebelum menurunkan tanda tangan sebagai persetujuan jumlah ditetapkan.
“Memang berlaku (pelupusan hutang). Kenyataan ini (penyata) dah menyatakan awak dah tak ada hutang. Bank dah menyatakan awak tak ada hutang,” katanya.
Nor Azman Ibrahim
Seorang lagi generasi ketiga peneroka Felda Sri Jaya, Tangkak, Nor Azman Ibrahim memberitahu, kesan langsung yang dinikmati peneroka selepas pelupusan hutang tersebut ialah peneroka mempunyai lebihan wang untuk digunakan keperluan harian.
Katanya, ada antara peneroka sebelum dilupuskan hutang perlu membayar balik ansuran bulanan sehingga RM800 namun selepas dilupuskan bayaran ansuran hutang pinjaman berkurangan kepada RM300.
“Peneroka dapat lebihan simpanan untuk berbelanja, untuk keperluan hidup. Sebelum ini selepas potongan dibuat pekebun rasa tersepit (sebab potongan tinggi,” katanya.
‘LEMBU punya susu, sapi dapat nama’ adalah peribahasa yang tepat untuk menggambarkan pengumuman PMX dalam himpunan peneroka Felda baru-baru ini.
Pengumuman berkenaan penghapusan hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion adalah suatu yang lucu bilamana tindakan penghapusan hutang Felda ini sudah lama dihapuskan oleh kerajaan PN.
Pengesahan penghapusan hutang dinyatakan dalam satu soalan yang dikemukakan saya dalam semasa persidangan Dewan Rakyat pada 23 Februari lalu. Saya meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan untuk meneruskan lagi usaha kerajaan sebelum ini dalam menghapuskan hutang Felda.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said dengan jelas menyatakan bahawa pentadbiran kerajaan terdahulu pada Julai 2021 telah meluluskan penghapusan hutang peneroka Felda keseluruhanya bernilai RM8 bilion.
Namun begitu, katanya kerajaan kini tidak dapat meneruskan pelaksanaan penghapusan hutang peneroka Felda secara berterusan kerana penghapusan hutang pada tahun 2021 telah memberi impak yang besar terhadap aliran tunai Felda.
Oleh yang demikian, kutipan balik baki hutang ataupun pinjaman yang telah dikeluarkan sehingga kini perlu terus dilakukan sebagai sumber pendapatan Felda untuk kelangsungan organisasi dan kebajikan warga peneroka Felda. Hal itu disebabkan kutipan hutang peneroka Felda merupakan salah satu sumber pendapatan Felda yang penting bersamaan dengan 10.8 peratus jumlah pendapatan jangkaan bagi tahun 2023.
Malahan kenyataan media oleh Pengerusi Felda sebelum ini, Tan Sri Idris Jusoh pada 24 Februari lalu, membenarkan bahawa kerajaan PN telah menyelesaikan hutang peneroka pada 2021.
Maka saya tertanya-tanya sampai bila PMX mahu bercakap berbelit-belit dalam semua isu. Nampaknya PMX sangat terdesak untuk mendapatkan sokongan anak muda dan juga peneroka Felda tertumanya generasi kedua dan ketiga setelah golongan ini tidak menyokong PH. Jika dahulu Felda menjadi deposit tetap buat BN UMNO, namun sekarang hampir 90 peratus tidak lagi berpihak kepada parti kerajaan perpaduan.
Sebagai PMX jika pun mahu ambil hati peneroka dan mahu menjadi hero, saya nasihatkan beliau menunjukkan kesungguhan untuk menangani masalah yang membelenggu peneroka. Tidak keterlaluan umtuk saya cadangkan kepada PMX untuk berfikir mencari penyelesaian kepada baki hutang peneroka, meneruskan kerja baik kerajaan PN yang melupuskan hutang peneroka sebelum ini.
Selain itu selesaikan segera masalah rumah generasi kedua yang masih menghantui di sesetengah Felda.
Nasihat saya, akui dan teruskan kerja baik kerajaan PN sebelum ini. Tumpulah kepada kerja-kerja sebagai PMX dan juga Menteri Kewangan tanpa perlu cuba menjadi hero dalam setiap perkara.
*Penulis adalah Ahli Parlimen Kuala Krau. Tulisan dipetik daripada harakahdaily.net.
CADANGAN pengeluaran mandatori bulanan akan hanya melibatkan ahli-ahli baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang lahir pada atau selepas 2010, serta berdaftar dengan KWSP selepas tarikh pelaksanaan kaedah baharu ini.
Bernama melaporkan, KWSP dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa tiada pindaan dirancang untuk pengeluaran penuh umur 55 dan 60 tahun bagi ahli-ahli semasa manakala perkhidmatan pengeluaran bulanan sedia ada hanya terpakai kepada ahli yang menyertainya secara sukarela.
“Bayaran pertama di bawah kaedah mandatori ini akan dibuat selepas persaraan ahli yang dijangka hanya akan berlaku beberapa dekad dari sekarang. Cadangan ini masih diteliti dan KWSP memberi jaminan bahawa sebarang keputusan berhubung pengeluaran simpanan akan dibuat dengan pertimbangan yang teliti dan selari dengan komitmen KWSP demi kepentingan masa depan ahli,” menurut kenyataan itu.
Susulan itu, KWSP berkata mekanisme pengeluaran mandatori bulanan akan menyelaraskan Malaysia dengan amalan di kebanyakan negara lain kerana negara kita adalah antara minoriti kecil yang masih membenarkan pengeluaran sekali gus dan bukan berkala.
Pada Rabu lepas, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pengeluaran berkala secara bulanan dilihat mampu memberikan peluang kepada ahli untuk menguruskan wang persaraan mereka dengan lebih baik.
Beliau berkata pengeluaran berkala itu juga memberi peluang kepada ahli untuk terus menikmati dividen tahunan dengan baki simpanan yang ada.
SEBUAH beg dipercayai milik Karim Abdullah, 39, yang merupakan salah seorang mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih di sini ditemukan semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, barangan tersebut dijumpai di beting pasir sejauh dua kilometer dari lokasi kejadian kira-kira jam 12 tengah hari.
“Semasa mengetuai operasi mencari mangsa yang masih hilang, seorang Pegawai Kanan Bomba, Mohd Zailani Abdullah telah menemui satu beg sandang jenama Gregory.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu beg duit berwarna hitam yang mengandungi pelbagai dokumen peribadi barangan berharga milik mangsa. Antara barangan yang ditemui adalah wang berjumlah RM1,279 selain kad pengenalan, kad perkahwinan, jam tangan dan telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.
Hanyan menambah, barangan yang ditemui itu akan diserahkan kepada waris mangsa.
Pada 1 Julai lepas, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang dan bakal menantu keluarga tersebut dari Batu Pahat, Johor dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air.
Setakat ini, sembilan jasad mangsa tragedi itu telah ditemukan sejak enam hari operasi pencarian dijalankan bermula 2 Julai lalu.
Jasad Allahyarham Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4, ditemukan pada Ahad dan Isnin manakala Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemukan pada Selasa.
Pada Khamis lalu, mayat kesembilan mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih di sini disahkan sebagai Muhammad Fikri Saliman, 24.
Dengan penemuan mayat kesembilan itu menjadikan mangsa terakhir yang masih hilang ialah Putri Nur Fatin Karim, 14.
AHLI Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pemilikan kediaman peribadinya di Kajang, Selangor.
Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegubard mendakwa, rumah di Sungai Long yang didiami Anwar adalah milik tauke Cina yang penuh misteri.
Chegubard berkongsi dokumen yang didakwa ditandatangani oleh setiausaha sulit kepada Anwar yang mengesahkan banglo itu dimiliki oleh individu yang dikatakan ahli perniagaan.
Dalam sidang media yang diadakan selepas membuat laporan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, Badrul turut membangkitkan isu Anwar menggunakan beberapa kereta mewah yang didakwa bukan milik Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.
“Ini termasuk kereta Jaguar yang didakwa dimiliki oleh Yayasan Aman Berhad, yang Anwar adalah pengasas dan penasihatnya, dan sebuah BMW yang didakwa dimiliki oleh ahli perniagaan lain dari Selangor.
“Sudah menjadi kebiasaan bagi Anwar untuk bergerak dengan kereta mewah, walaupun sebelum menjadi perdana menteri.
“Bagaimanapun, tiada rekod mana-mana kereta dalam senarai asetnya yang diisytiharkan,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Katanya, Anwar sepatutnya berhenti bercakap mengenai ketelusan jika pada masa sama menggunakan premis dan kereta yang bukan miliknya.
“Jadi persoalannya, jangan sembang soal ketelusanlah Anwar. Kau duduk pun rumah tauke Cina yang penuh misteri,” dakwa Badrul.
Selain itu, Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan itu juga mempertikaikan sebidang tanah di Port Dickson, yang dibeli Anwar pada harga RM1 juta tahun lepas.
Malaysiakini telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan ulasan.