Category: Semasa

  • Tiada jemaah haji disekat perjalanan ke Makkah – Imigresen

    Tiada jemaah haji disekat perjalanan ke Makkah – Imigresen

    SEHINGGA kini, tiada jemaah haji Malaysia dikenakan sekatan perjalanan ke Tanah Suci, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

    Beliau berkata semakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati semua jemaah haji mempunyai rekod bersih tanpa sebarang halangan sama ada dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia atau Polis Diraja Malaysia.

    “Urusan perjalanan antarabangsa mereka berjalan lancar, ” katanya pada sidang media selepas meninjau operasi ‘Makkah Route’ jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

    Setakat ini, seramai 7,507 jemaah haji Malaysia telah tiba di Tanah Suci Makkah menerusi 27 penerbangan. Kuota haji Malaysia bagi tahun ini adalah 14,306.

    Mengenai program ‘Makkah Route’,  Khairul Dzaimee berkata JIM menempatkan 30 anggotanya di kaunter prapelepasan di KLIA yang bertugas secara syif dengan mereka bukan sahaja menguruskan dokumen perjalanan jemaah haji malah jemaah umrah.

    Beliau berkata terdapat 11 kaunter imigresen Arab Saudi termasuk satu kaunter khas untuk jemaah haji orang kelainan upaya (OKU) yang dikendalikan 18 anggota yang didatangkan khas dari negara terbabit.

    “Anggota imigresen Arab Saudi yang berada di kaunter di KLIA bagi program ‘Makkah Route’ ini akan memeriksa pasport jemaah haji, jadi apabila tiba di lapangan terbang Madinah atau Jeddah mereka (jemaah haji) tidak perlu lagi menunggu proses imigresen dan kastam di sana,” katanya.

    Pelaksanaan ‘Makkah Route’ memudahkan proses kemasukan bakal jemaah haji Malaysia ke Makkah tanpa perlu melalui prosedur yang memakan masa setibanya di lapangan terbang negara itu.

    Tahun ini, Malaysia terpilih menyertai program Makkah Route bersama empat negara lain iaitu Maghribi, Pakistan, Indonesia dan Bangladesh selepas terpilih menjadi negara tunggal untuk projek rintis program itu pada 2017.

    — BERNAMA

  • Rahman Shaari dinobat Sasterawan Negara ke-15

    Rahman Shaari dinobat Sasterawan Negara ke-15

    PRESIDEN Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR), Datuk Rahman Shaari dinobatkan sebagai Sasterawan Negara ke-15, umum Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin hari ini.

    Radzi dalam sidang media mengenai Sasterawan Negara ke-15 di Putrajaya berkata, seramai sembilan panel terlibat dalam pemilihan Sasterawan Negara ke-15 yang bermesyuarat sejak September 2021 bagi menilai 12 pencalonan dengan tiga daripadanya telah disenarai pendek.

    Radzi berkata, Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-15 akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

    Anugerah Sastera Negara diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan memberikan sumbangan cemerlang secara berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.

    Radzi berkata, Rahman akan menerima Warkah Penghormatan Negara dan wang tunai sebanyak RM60,000, selain menerima penerbitan sebanyak 50,000 naskhah buku atau nilai harga buku berjumlah maksimum RM500,000 untuk dibeli kerajaan dan disebar luas ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

    Beliau juga akan menerima kemudahan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan kegiatan mencipta karya sastera dan penerbitan karya, penterjemahan karya yang sesuai dalam bahasa asing, selain elaun sara hidup RM5,000 sebulan.

    Rahman yang kini seorang penulis bebas dilahirkan di Kampung Gial, Mata Ayer, Perlis pada 5 Sept 1949 dan pernah bertugas sebagai seorang guru, pegawai bahasa dan pensyarah di institut pengajian tinggi awam.

    Beliau juga pernah menerbitkan 16 buku akademik, 10 novel, terlibat dalam penghasilan kamus, penyusunan buku selain penulisan skrip drama pentas dan televisyen.

    Rahman pernah memenangi tempat pertama sayembara menulis esei dan kritikan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1977, Hadiah Sastera Malaysia kategori puisi pada 1976, 1982 dan 1986 dan Anugerah Penyair Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) pada 2013. – BERNAMA

  • Tiada lagi subsidi minyak masak berbotol mulai 1 Julai

    Tiada lagi subsidi minyak masak berbotol mulai 1 Julai

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan membuat keputusan mulai 1 Julai 2022 untuk tidak lagi menyambung subsidi untuk minyak masak berbotol.

    Menurut beliau, objektif awal program tersebut adalah untuk membantu golongan terkesan pandemik.

    Walau bagaimanapun, kata Ismail Sabri, kerajaan mendapati minyak masak berbotol yang disubsidi banyak diselewengkan oleh pihak industri, komersial dan aktiviti penyeludupan.

    “Untuk itu, subsidi minyak masak kampit sahaja yang akan diteruskan dan kerajaan yakin subsidi sebanyak 60 ribu tan metrik sebulan adalah mencukupi untuk kegunaan Keluarga Malaysia,” katanya dalam sidang media khas yang disiarkan secara langsung petang ini.

    Naib Presiden UMNO itu menjelaskan, sewaktu pandemik COVID-19, kerajaan telah memperkenalkan program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol bagi 1 kilogram (kg), 2 kg, 3 kg dan 5 kg, pada Ogos 2021.

    Beliau menambah, usaha itu adalah bagi membantu Keluarga Malaysia yang ketika itu terkesan akibat pandemik COVID-19.

    “Program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol ini hanyalah untuk tempoh tiga bulan sahaja dengan kos RM55 juta sebulan,” jelasnya.

    Ismail Sabri turut menjelaskan mengenai kekeliruan yang timbul berhubung isu subsidi minyak masak.

    Beliau berkata, kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak, dengan jumlah sebanyak RM4 bilion untuk tahun 2022 berbanding RM500 juta pada tahun 2020 dan RM2.2 bilion pada 2021.

    “Minyak masak yang disubsidi oleh kerajaan ialah sebanyak 60 ribu tan metrik sebulan, melebihi daripada keperluan sebenar pengguna iaitu sebanyak 55 ribu tan metrik sebulan.

    “Subsidi yang ditanggung oleh kerajaan ini adalah untuk kategori minyak masak kampit RM2.50 bagi satu kg sahaja, berbanding harga pasaran sebenar, RM9.00 bagi satu kg untuk kegunaan Keluarga Malaysia golongan B40. Subsidi ini telah bermula sejak Jun 2007,” ujarnya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri mengumumkan keputusan kerajaan untuk menyediakan bantuan tunai tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada golongan B40 sebanyak RM100 untuk golongan isi rumah dan RM50 untuk golongan bujang.

    “Bayaran Fasa 2 BKM melibatkan peruntukan sebanyak RM1.11 bilion dan setiap penerima BKM menerima sehingga RM400 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing.

    “Setiap penerima BKM bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing. Bayaran bantuan tunai tambahan yang dibayar bersekali dengan bayaran Fasa 2 BKM melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM630 juta,” katanya.

    Beliau menambah, bayaran itu akan memanfaatkan hampir 8.6 juta penerima merangkumi 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang.

    “Setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun 2022 (Isnin) melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM1.74 bilion,” jelasnya.

    Semakan status pembayaran boleh dibuat bermula 27 Jun 2022 melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

  • Wanita tular tikam gadis guna kunci kena denda RM900

    Wanita tular tikam gadis guna kunci kena denda RM900

    WANITA  dalam rakaman video tular mencederakan seorang gadis dengan kunci kereta di Pantai Merdeka pada Ahad lalu, hari ini dikenakan hukuman denda RM900 oleh Mahkamah Majistret  Sungai Petani.

    Siti Zulaikha Zolkifli, 23, yang juga penjaja alat mainan dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan ketika dihadapkan di hadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim.

    Memetik laporan Beritah Harian, Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda ditetapkan. Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

    Siti Zulaikha yang tidak diwakili peguam mengaku dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Nurul Najihah Azizan, 19, pada jam 6.22 petang di Pantai Merdeka, 19 Jun lalu. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeya.

    Dalam kejadian itu, tertuduh menyerang Nurul Najihah yang ketika itu dalam perjalanan menuju gerai menjual mainan milik kakaknya, menyebabkan mangsa cedera pada kening kanan sehingga terpaksa menerima enam jahitan.

    Rakaman video yang tular memaparkan berlaku pergelutan antara mereka sebelum berjaya dileraikan seorang lelaki. Tertuduh ditahan pada hari sama selepas mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

  • PRN Johor: Pengundi dibenar cabar tindakan SPR halang mengundi

    PRN Johor: Pengundi dibenar cabar tindakan SPR halang mengundi

    SEORANG pengundi berdaftar Parlimen Iskandar Puteri memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memulakan tindakan undang-undang berhubung tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalangnya daripada mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac lepas.

    Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas menolak bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman dikemukakan R.K Tamileswaaran, 26, selaku pemohon terhadap SPR dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.

    Beliau berkata, permohonan itu mempunyai merit untuk didengar dan menetapkan 6 Julai untuk pengurusan kes.

    Prosiding hari ini dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Mohammad Al-Saifi Hashim dan Nik Ahmad Marzuki Nik Mohamad serta Peguam Persekutuan, Nor Aqilah Abdul Halim dari AGC manakala Tamileswaaran diwakili peguam New Sin Yew dan Beatrice Chin Yuen Xin.

    Menerusi permohonan difailkan pada 8 Jun lepas, lelaki itu memohon perintah mahkamah supaya membatalkan keputusan atau tindakan SPR yang menghalangnya daripada mengundi pada 12 Mac lepas atas alasan beliau masih dalam tempoh kuarantin selepas disahkan positif COVID-19 pada 7 Mac.

    Pemohon juga memohon deklarasi SPR bertindak secara salah dari sisi undang-undang dalam menafikan haknya untuk mengundi selain memohon deklarasi bahawa SPR mencabuli hak perlembagaan pemohon di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

    Menurut Tamileswaaran, beliau diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah selepas disahkan positif COVID-19 dan pada hari pengundian, beliau memasuki hari keenam kuarantin.

    Dakwa pemohon, pada hari pengundian, jam 11.58 pagi beliau menjalani suatu ujian saringan kendiri COVID-19 di rumah dan keputusan daripada ujian saringan itu menunjukkan bahawa beliau negatif COVID-19.

    Beliau berkata, pada 10.30 pagi, ibu bapanya pergi ke pusat mengundi terlebih dahulu untuk mengundi dan mereka telah mendapatkan penjelasan daripada pegawai SPR yang bertugas mengenai situasi pemohon dan bertanya sama ada pemohon dibenarkan untuk datang mengundi atau tidak.

    Dakwa pemohon, pada masa itu pegawai SPR yang bertugas memberitahu ibu bapanya bahawa pemohon boleh datang mengundi kerana terdapat sebuah khemah mengundi khas yang disediakan untuk individu seperti pemohon.

    Menurut pemohon, setibanya di pusat mengundi pada 12.55 tengah hari, pegawai RELA dan anggota polis yang mengawal laluan masuk telah memeriksa MySejahtera pemohon yang menunjukkan risiko ‘Tinggi’ dan mengarahkan pemohon untuk pergi ke khemah mengundi khas yang ditempatkan di pusat mengundi itu.

    Bagaimanapun, pemohon mendakwa beliau terkejut apabila pegawai SPR memaklumkan mereka menerima arahan baharu daripada SPR iaitu individu sedang dalam tempoh kuarantin tidak dibenarkan untuk mengundi dan perlu mendapatkan kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah terlebih dahulu sebelum dibenarkan mengundi. – BERNAMA

  • 20 bekas pelajar MRSM mengaku bersalah cederakan rakan sekolah

    20 bekas pelajar MRSM mengaku bersalah cederakan rakan sekolah

    SERAMAI 20 bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani  hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang rakan sekolah mereka pada Oktober 2020.

    Kesemua pelajar berumur antara 18 dan 19 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim selepas pertuduhan itu dibacakan terhadap mereka.

    Bagaimanapun, mahkamah menunggu laporan akhlak yang akan diserahkan pada 10 Ogos nanti sebelum menjatuhkan hukuman terhadap mereka.

    Mengikut pertuduhan, kesemua pelajar yang ketika itu berumur antara 16 dan 17 tahun dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas mangsa berusia 16 tahun di kawasan asrama sekolah berkenaan antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada 27 Okt 2020.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama iaitu memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

    Mahkamah membenarkan kesemua pelajar itu masing-masing diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

    Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S.Preeya manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Nurliyana Mohd Radzi.

    — BERNAMA

  • Bazar Ramadan, Aidilfitri 2022 catat jualan RM2.4 bilion

    Bazar Ramadan, Aidilfitri 2022 catat jualan RM2.4 bilion

    BAZAR Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini merekodkan nilai jualan sebanyak RM2.4 bilion dan mewujudkan 156,361 peluang pekerjaan, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

    Penemuan itu adalah berdasarkan Laporan Kajian Khas Bazar Ramadan dan Aidilfitri 2022 yang julung kali dijalankan DOSM bermula 3 April hingga 29 April lepas, meliputi semua bazar yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

    Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini berkata, Selangor mendominasi nilai jualan bagi bazar Ramadan dan Aidilfitri dengan rekod jualan sebanyak RM0.6 bilion dengan bilangan pekerja seramai 31,563 orang.

    Ia diikuti Kuala Lumpur yang merekodkan nilai jualan RM0.4 bilion dengan bilangan pekerja 10,993 orang dan Johor RM0.3 bilion (22,423 pekerja).

    Di peringkat daerah pentadbiran, Petaling mencatatkan nilai jualan tertinggi dengan RM230.2 juta, diikuti Johor Bahru dengan RM126.3 juta dan Hulu Langat, RM117.9 juta.

    Bagi prestasi bazar Ramadan, Mohd Uzir berkata, Selangor mencatatkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM527.4 juta, diikuti Kuala Lumpur sebanyak RM359.2 juta dan Johor RM257.4 juta.

    Bagi peringkat daerah pentadbiran, Petaling merekodkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM213.8 juta, diikuti Johor Bahru dengan RM113.6 juta dan Hulu Langat RM110.6 juta.

    Selangor mencatatkan bilangan pekerja bazar Ramadan tertinggi iaitu seramai 27,078 orang, diikuti Johor 20,326 orang dan Perak 11,126 orang.

    Bagi prestasi bazar Aidilfitri, Mohd Uzir berkata Selangor mencatatkan nilai jualan dan bilangan pekerja bazar yang tertinggi iaitu masing-masing sebanyak RM115.8 juta dan 4,485 orang.

    Di peringkat daerah pentadbiran, Melaka Tengah mencatatkan nilai jualan tertinggi iaitu sebanyak RM61.8 juta, diikuti Klang RM59.4 juta dan Seberang Perai Utara RM23.5 juta. – BERNAMA

  • Yasin berdepan hukuman penjara seumur hidup, sebat

    Yasin berdepan hukuman penjara seumur hidup, sebat

    MAHKAMAH Sesyen Petaling Jaya hari ini diberitahu kes pendakwaan terhadap penyanyi nasyid dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman kerana menanam 17 pokok ganja kekal dilakukan mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah, berkata pertuduhan mengikut seksyen itu kekal berdasarkan laporan kimia yang diterimanya petang semalam.

    “Kes pertuduhan ini kekal dan kita memohon tarikh sebutan kes untuk serah dokumen kepada pihak pembelaan,” katanya lapor Berita Harian.

    Mengikut pertuduhan itu jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara seumur hidup dan boleh disebat tidak kurang daripada enam sebatan.

    Susulan itu, peguam bela Yasin, Ariff Azami Hussein, berkata pihaknya tiada bantahan terhadap permohonan berkenaan.

    “Terima kasih kepada pasukan pendakwaan kerana menyediakan laporan kimia dalam masa singkat dan kita mohon dua minggu dari sekarang (sebutan kes) jika memadai,” katanya.

    Hakim, Jamaludin Man, menetapkan 6 Julai ini untuk sebutan kes.

    Mengikut pertuduhan itu jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara seumur hidup dan boleh disebat tidak kurang daripada enam sebatan.

    Selain Ariff Azami, Yasin turut diwakili peguam bela Mohd Yusmadi Yusoff dan Azizul Syarimah Mat Yusoff.

    Pada 31 Mac lalu, Yasin berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan susulan pendakwaan mengikut Seksyen 39B (1)(a)ADB 1952 itu.

    Muhammad Yasin juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen, kerana menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(B)(3) akta sama.

    Sementara itu, Mohd Asnawi memberitahu Mahkamah Majistret perubahan pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1)(a) ADB 1952 atau sebaliknya terhadap penyanyi itu kerana mengedar dadah masih disiasat.

    “Arahan diterima daripada Jabatan Peguam Negara supaya kami buat siasatan lanjut terhadap laporan kimia berhubung pertuduhan itu.

    “Kita memohon 6 Julai untuk ditaklimatkan mengenai hasil laporan itu,” katanya.

    Majistret, Zhafran Rahim Hamzah, kemudian menetapkan tarikh sebutan kes sama seperti ditetapkan Jamaludin.

    Mohd Yusmadi ketika sidang media pula, berkata anak guamnya memerlukan rawatan pakar untuk penyakit bipolar di hospital yang mempunyai rekod penyanyi itu.

    “Saya difahamkan Yasin sudah dibawa sekali ke Hospital Sungai Buloh, namun ia bukan rawatan yang terbaik. Lebih baik Yasin dapatkan rawatan pakar di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Pantai Kuala Lumpur yang mempunyai rekodnya.

    “Dalam hal ini juga pihak penjara memahami keadaan Yasin dan membekalkan ubat kepadanya melalui penyeliaan pihak terbabit. Ia sudah tentu akan membantu Yasin,” katanya.

    Gangguan bipolar adalah penyakit mental yang menyebabkan perubahan mod tinggi dan rendah yang teruk serta perubahan dalam tidur, tenaga, pemikiran serta tingkah laku.

    Orang yang mengalami gangguan bipolar boleh mengalami tempoh di mana mereka berasa terlalu gembira dan bertenaga dan dalam tempoh lain pula berasa sangat sedih, putus asa dan lesu.

  • Ujian PCR positif sebelum berlepas, 78 telah sihat dibawa ke tanah suci

    Ujian PCR positif sebelum berlepas, 78 telah sihat dibawa ke tanah suci

    haramain

    SEBAHAGIAN besar jemaah haji Malaysia yang positif COVID-19 sebelum berangkat ke Tanah Suci telah sembuh dan kini menyertai jemaah yang lain untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

    Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata sebelum ini seramai 120 jemaah tidak dapat meneruskan penerbangan akibat positif ketika ujian RT-PCR (PCR)  dan pasangan mereka turut memilih membuat penangguhan.

    Katanya, ujian PCR adalah syarat yang ditetapkan Arab Saudi iaitu dalam tempoh 72 jam sebelum penerbangan namun, Lembaga Tabung Haji (TH) menasihatkan jemaah membuat ujian 56 jam sebelum melapor diri di terminal berlepas.

    “Kita dapati dalam beberapa penerbangan ada jemaah haji yang keputusan ujian PCR mereka adalah positif. Sehingga kini ada 120 jemaah diambil kira yang positif bersama dengan pasangan mereka yang tidak berlepas bersama.

    “Daripada 120 jemaah ini, seramai 78 jemaah telah berada di Tanah Suci selepas disahkan negatif dan tamat jalani tempoh kuarantin. Selebihnya akan menaiki penerbangan seterusnya, manakala 19 orang lagi belum negatif dan kita masih menunggu,” katanya kepada pemberita.

    Ketika ditanya tentang sejauhmana TH akan berusaha membawa kesemua jemaah yang menerima tawaran mengerjakan haji, Syed Saleh berkata : “Sekiranya mereka negatif, TH tetap uruskan penerbangan, selagi mana ada penerbangan bolehlah mereka datang”.

    Tambah beliau, kerajaan Arab Saudi telah menetapkan penerbangan terakhir musim haji pada 4 Zulhijjah dan berharap semua bakal jemaah yang menerima tawaran akan memperoleh keputusan negatif COVID-19, sebelum tarikh tersebut.

    Sehubungan itu, bagi memastikan 14,306 jemaah berpeluang menunaikan haji, beliau menasihatkan mereka yang belum berlepas supaya menjaga kesihatan dan tidak terdedah dengan sebarang perhimpunan sebelum ujian PCR dijalankan.

    Dalam perkembangan lain, Syed Saleh berkata sehingga kini jemaah Malaysia berada dalam keadaan sihat dan tiada kes kritikal yang memerlukan rawatan lanjut.

    “Kebanyakan kes kesihatan yang dirujuk ke klinik seliaan TH ialah berkaitan masalah pernafasan dan penyakit kulit akibat cuaca kering dan panas…agak kurang jemaah kita yang perlukan rawatan di hospital,” katanya.

    Katanya faktor kurangnya jemaah dimasukkan ke hospital berbanding tahun sebelum ini adalah kerana keberkesanan pemeriksaan kesihatan yang agak ketat pada tahun ini selain umur jemaah yang lebih muda dan aspek keperihatinan jemaah dalam menjaga kesihatan.

    *Ikuti perkembangan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci melalui media sosial Facebook, Instagram dan Tik Tok Lembaga Tabung Haji.

    — BERNAMA

  • Suspek kes dadah mati ketika dalam tahanan polis

    Suspek kes dadah mati ketika dalam tahanan polis

    SEORANG tahanan polis warga tempatan mati mengejut pada Isnin lepas ketika menerima rawatan di Hospital Shah Alam.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki berumur 39 tahun itu telah ditahan di Lokap Berpusat Shah Alam pada 15 Jun bagi siasatan di bawah Sekyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

    Beliau berkata, pada hari yang sama, lelaki berkenaan cuba menggantung diri di lokap tersebut namun telah diselamatkan dan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan.

    “Dia dirawat di Hospital Shah Alam mulai 15 Jun, namun pada 20 Jun pukul 5.40 petang pegawai perubatan telah mengesahkan bahawa lelaki itu telah meninggal dunia di hospital tersebut.

    “Punca kematian belum diketahui dan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut,” katanya. – BERNAMA