Category: Semasa

  • Inkues kematian CEO Cradle Fund tidak dapat dipertahankan, perbicaraan sudah selesai

    Inkues kematian CEO Cradle Fund tidak dapat dipertahankan, perbicaraan sudah selesai

    SEORANG peguam, SN Nair berkata, inkues untuk menentukan punca kematian bekas ketua pegawai eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan empat tahun lepas tidak dapat dipertahankan kerana perbicaraan kes jenayah berkaitnya telah selesai.

    Menurut beliau, pendakwa raya telah mengemukakan tuduhannya manakala Mahkamah Tinggi juga sudah mencapai keputusan.

    “Mahkamah telah meneliti keterangan, maka inkues tidak dapat dipertahankan malah tidak terpakai,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today, hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan abang Nazrin, Dr. Abdul Aziz kepada pemberita kelmarin bahawa keluarganya berharap pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan kes itu.

    “Jika mereka tidak berbuat demikian, kami akan meminta inkues bagi menentukan punca kematiannya,” kata Abdul Aziz.

    Hakim Mahkamah Tinggi Ab. Karim Ab. Rahman membebaskan Samirah Muzaffar serta dua remaja daripada tuduhan membunuh suaminya, Nazrin atas alasan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

    Samirah, 47, dua remaja itu yang kini berusia 19 dan 16 tahun, serta pembantu rumah warga Indonesia Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman mereka di Mutiara Damansara pada 14 Jun 2018.

    Pihak pendakwaan memanggil 57 saksi untuk memberi keterangan, termasuk Abdul Aziz serta dua pakar patologi – Dr. Siew Sheue Fong dan Dr. Prashant Sanberker yang menjalankan dua bedah siasat berasingan ke atas mayat Nazrin.

    Nair berkata, inkues dijalankan apabila polis tidak dapat menentukan punca kematian ketika mayat ditemui.

    “Abangnya membuat kenyataan sedemikian kepada media disebabkan salah faham mengenai proses perundangan,” katanya.

    Pihak pendakwaan mempunyai 14 hari untuk memfailkan notis rayuan terhadap keputusan hakim perbicaraan di Mahkamah Rayuan.

  • Kerajaan perlu tangguh kenaikan tarif elektrik

    Kerajaan perlu tangguh kenaikan tarif elektrik

    SEBARANG bentuk kenaikan tarif elektrik perlu ditangguhkan sehingga krisis kekurangan bekalan yang mengakibatkan harga barangan keperluan naik mendadak kembali pulih.

    Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, penangguhan itu penting bagi melindungi rakyat dan kerajaan wajar menangguhkannya pada ketika ini.

    “Tarif elektrik dijangka akan naik mulai 1 Julai ini. Tenaga Nasional Berhad (TNB), seperti syarikat tenaga lain di seluruh dunia sedang dihimpit oleh kenaikan kos pengeluaran akibat lonjakan harga arang batu melebihi 117 peratus sejak hujung tahun lalu.

    “Namun, kenaikan tarif elektrik ketika pengguna sudah teruk diasak kenaikan harga barang keperluan lain pastinya sangat tidak wajar,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Salahuddin berkata, sebarang peningkatan dalam kos tenaga elektrik pasti akan menyumbang kepada kenaikan kos operasi dan pengeluaran yang akhirnya akan ditanggung pengguna.

    Justeru, katanya, TNB sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) gergasi dengan keuntungan terkumpul lebih RM52 billion pasti mampu menyerap impak kenaikan kos bahan api dan operasi mereka.

    “Buktinya, walaupun kos bahan api meningkat sebanyak 26 peratus sepanjang 2021, keuntungan operasi TNB meningkat sebanyak 10 peratus (RM742 juta) untuk tahun terbabit.

    “Pengumuman tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM100 dan RM50 juga akan terbukti sia-sia dan gagal membantu rakyat jika kadar inflasi terus meningkat akibat kenaikan tarif elektrik sama ada untuk pengguna komersial apatah lagi untuk pengguna domestik,” katanya.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan tambahan bayaran RM50 dan RM100 kepada penerima BKM selepas mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan ketika ini.

    Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil keputusan menyalurkan bantuan tunai tambahan itu kepada golongan B40, masing-masing RM100 bagi isi rumah dan RM50 untuk individu bujang.

    Beliau berkata, setiap penerima bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing dengan bantuan tunai tambahan dibayar bersekali dalam bayaran Fasa 2, membabitkan peruntukan tambahan bernilai RM630 juta.

  • Lelaki ditemukan lemas di empangan Bakun

    Lelaki ditemukan lemas di empangan Bakun

    SEORANG lelaki yang dilaporkan terjatuh ke dalam sungai di Ulu Naha, tasik Empangan Elektrik Hidro Bakun, Belaga pada Selasa lepas, ditemukan lemas pukul 9.40 malam tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, mangsa Heli Nyalong, 36, dikenal pasti oleh penduduk kampung, berasal dari Blok P, Uma Bakah, Skim Penempatan Semula Sungai Asap Belaga.

    “Pada pukul 11.30 malam semalam, PGO telah menerima panggilan daripada Komander Operasi Bomba di lokasi memaklumkan mayat mangsa telah dijumpai timbul pada jam 9.40 malam oleh penduduk kampung pada jarak lima meter dari lokasi mangsa terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke rumah panjang berhampiran sementara menunggu untuk dibawa ke Hospital Nyabau, Bintulu hari ini bagi tujuan bedah siasat sebelum diserahkan kembali kepada keluarganya untuk dikebumikan.

    Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat Belaga menerima panggilan tentang kejadian itu pada pukul 3.15 petang Selasa dan tempoh perjalanan menggunakan bot dilengkapi enjin sangkut 40 kuasa kuda ke lokasi kejadian adalah kira-kira empat jam. – Bernama

  • Lelaki tikam isteri, ibu mentua  di Tumpat akibat perselisihan faham

    Lelaki tikam isteri, ibu mentua di Tumpat akibat perselisihan faham

    SEORANG lelaki berusia 20-an ditahan selepas menikam isteri dan ibu mentuanya dalam satu kejadian di Chabang Empat, Tumpat petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner ACP Amran Dolah berkata suspek menikam isteri dan ibu mentuanya selepas berlaku perselisihan faham antara suspek dan isteri.

    “Pada jam 6.35 petang semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat menerima satu laporan berhubung kejadian mendatangkan cedera parah dengan menggunakan senjata ke atas dua perempuan Melayu yang merupakan isteri dan ibu mentua kepada suspek menyebabkan kedua-dua mangsa ditikam dengan dua bilah pisau.

    “Kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia dalam lingkungan 20-an dan 60-an itu telah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro AWANI.

    Amran berkata, hasil pemeriksaan awal doktor mendapati mangsa pertama telah mengalami retak dan luka di bahagian kepala, patah dua jari serta luka di beberapa bahagian anggota badannya.

    Manakala mangsa kedua pula telah mengalami luka di bahagian kepala akibat ditikam oleh suspek.

    Dalam operasi mengesan suspek, pihak polis telah menerima satu laporan pagi tadi memaklumkan terdapat seorang lelaki yang ingin terjun dari tingkat 28 sebuah bangunan yang dalam pembinaan di Lembah Sireh, Kota Bharu.

    Menurut Amran, pihaknya berjaya menahan lelaki tersebut dan hasil semakan mendapati lelaki berkenaan merupakan suspek dalam kes menikam isteri dan ibu mentuanya.

    “Polis telah menahan suspek, yang bekerja sebagai pemandu lori.

    “Hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

  • Pakar ekonomi anggap beri subsidi untuk popular akan makan diri

    Pakar ekonomi anggap beri subsidi untuk popular akan makan diri

    KERAJAAN  wajar menghapuskan segala subsidi berbentuk umum kerana disifatkan sebagai satu kerugian kepada perbelanjaan negara, kata pakar ekonomi.

    Barjoyai Bardai berkata, memberikan subsidi hanya untuk meraih populariti ibarat tindakan memakan diri kerana akan menyebabkan kerajaan terus dibebani dengan hutang yang tinggi.

    “Bila kerajaan sudah terlampau terbeban dengan subsidi, negara tidak akan berdaya maju sebab mereka terus menerus berhutang,” katanya lapor portal FMT.

    Beliau turut mengambil contoh kerajaan Sri Lanka yang menggunakan pendekatan pemberian subsidi secara umum sehingga menyebabkan kewangan negara itu terbeban dan hampir menjadi negara muflis.

     “Sri Lanka ada semua bentuk subsidi sehingga rumah pun ada subsidi. Akhirnya negara itu hampir bankrap kerana mereka beri subsidi untuk dapatkan populariti tetapi orang yang terima subsidi ini tak pernah puas hati jadi, ia akan makan tuan,” katanya.

    Sri Lanka kini berdepan detik paling sukar di tengah-tengah krisis kewangan terburuknya sejak kemerdekaan negara pada 1948. Krisis itu semakin parah apabila kerajaannya mengumumkan kegagalan Colombo membayar hutang luar negaranya sebanyak USD51 bilion (RM215.7 bilion), sekali gus memberi isyarat bahawa negara Asia Selatan itu jatuh muflis.

    Sri Lanka mempunyai kira-kira USD6 bilion (RM25.37 bilion) hutang luar negara yang perlu dibayar bagi tahun ini, manakala rizab boleh guna negara itu telah merosot kepada rekod terendah dalam sejarah iaitu hanya USD150 juta (RM634.2 juta).

    Mengulas lanjut, bagi mengurangkan kesan kos harga makanan yang dijangka meningkat susulan penghapusan subsidi minyak masak dan ayam, Barjoyai berkata kerajaan wajar memperkenalkan inisiatif baucar makanan bagi kumpulan sasar khususnya B40 dan M40 yang pastinya terkesan dengan langkah itu.

    “Bantuan tunai itu bagus tetapi perlu bersasar, dan bagi saya apa yang perlu diberi tumpuan ketika ini adalah bagaimana nak kurangkan kos makanan. Saya lihat pemberian baucar makanan mampu tangani kos makanan yang menjadi salah pokok rakyat ketika ini,” katanya.

    Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tambahan jumlah bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bagi golongan B40, iaitu RM100 untuk isi rumah dan RM50 kepada golongan bujang.

    Beliau turut mengumumkan subsidi bagi minyak masak peket dikekalkan dengan harga jualan masih pada RM2.50/kg dengan peruntukan RM4 bilion pada 2022 membabitkan 60,000 tan metrik, melebihi keperluan sebenar pengguna sebanyak 55,000 tan metrik.

    Sementara itu, Naib Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, Ahmed Razman Abdul Latiff, meminta kerajaan memberi jaminan terhadap kelangsungan bekalan minyak masak peket di pasaran tempatan yang didakwanya amat sukar didapati oleh pengguna.

    “Tidak guna kekalkan subsidi minyak peket jika ia tidak mudah didapati di kedai. Isu di sini, minyak peket boleh dibeli oleh sesiapa.

    “Apa jaminan kerajaan selepas ini ada bekalan (minyak masak) lebih banyak? Apa jaminan yang hanya golongan B40 yang dapat?” soalnya.

  • AS$700 juta wang 1MDB masuk akaun syarikat milik Jho Low…Najib tak buat apa-apa – Husni

    AS$700 juta wang 1MDB masuk akaun syarikat milik Jho Low…Najib tak buat apa-apa – Husni

    BEKAS Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah membertahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa sekiranya beliau Perdana Menteri, beliau pasti akan mengambil tindakan apabila wang US$700 milik 1Malaysia Development Berhad’s (1MDB) dipindahkan kepada Good Star Limited, yang dimiliki oleh ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho or Jho Low.

    Ahmad Husni, 70, berkata beliau akan mengambil tindakan segera, dan mendakwa pindahan itu akan akan memberi kesan kepada kedudukan kewangan kerajaan.

    Saksi pendakwaan ke-20 itu berkata apabila beliau mendapat tahu bahawa wang itu dipindahkan kepada Good Star Limited dan bukannya terus kepada PetroSaudi International (PSI), beliau telah bertanya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, namun bekas Perdana Menteri itu hanya mendiamkan diri, dan tidak menunjukkan sebarang reaksi atau mengambil sebarang tindakan mengenainya.

    “Sekiranya saya pemimpin tertinggi, pasti saya akan terperanjat dan saya akan mengambil tindakan, tapi dia relaks je,” kata saksi itu semasa pemeriksaan balas oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan Najib berhubung penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

    Sebelum ini mahkamah diberitahu bahawa pada 30 Sept 2009, sebanyak US$700 juta telah dipindahkan kepada Good Star Limited, yang dimiliki oleh ahli perniagaan itu.

    “Datuk Seri Najib tidak bimbang dengan perkara itu. Saya jumpa dia beberapa kali, tapi tiada tindakan yang diambilnya,” kata Ahmad Husni.

    Muhammad Shafee: “Sebagai PM (Perdana Menteri) tanpa ‘engagement’ dengan syarikat iu, bagaimana dia nak ambil tindakan?”

    Ahmad Husni: Dia boleh hubungi pihak pengurusan, boleh ketepikan mereka (pengurusan), tapi tiada tindakan juga, dia relaks je.

    Muhammad Shafee kemudian berkata keterangan saksi itu bagaikan menghina perdana menteri ketika itu, namun Husni menafikannya.

    Husni juga berkata segalanya dalam 1MDB adalah di bawah kuasa Najib, termasuk kelulusan untuk pelaburan.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

    — BERNAMA

  • Kanak-kanak lelaki tiga tahun maut terjatuh dari tingkat 10

    Kanak-kanak lelaki tiga tahun maut terjatuh dari tingkat 10


    SEORANG  kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 10 sebuah kondominium di Jalan Dutamas, Kuala Lumpur petang ini.

    Mayat kanak-kanak itu ditemukan di tingkat tiga kondomium itu.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata pihaknya menerima panggilan MERS 999 berhubung kemalangan terbabit kira-kira jam 3.30 petang tadi.

    “Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur,” katanya kepada Bernama.

    Menurut Beh, sebelum kejadian mangsa dan ibunya berada di ruang tamu sebelum mangsa berlari ke bilik air dan memanjat tab mandi lalu naik ke atas tembok dalam tandas itu.

    “Mangsa dipercayai membuka tingkap tandas sebelum menyusup keluar dan terjatuh di perimeter laluan bomba di tingkat tiga,” katanya.

    Difahamkan ibu mangsa yang berusia 32 tahun kemudian turun memaklumkan kepada pengurusan mengenai kejadian itu.

    Beh berkata polis sedang menyiasat dengan lebih lanjut berhubung kejadian itu.

    Mayat mangsa dibawa keluar oleh ibu mangsa pada kira-kira jam 7.30 malam sebelum menaiki kenderaan polis ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.

    — BERNAMA

  • Lima ditahan curi kereta jual sebagai besi buruk

    Lima ditahan curi kereta jual sebagai besi buruk

    LIMA individu termasuk seorang wanita ditahan dalam dua operasi Ahad lepas kerana disyaki mencuri sejumlah kereta lama untuk dijual sebagai besi buruk.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata, susulan penahanan itu polis turut menemukan dua kereta yang dilaporkan hilang pada Sabtu lepas di Bandar Baru Ampang.

    “Sabtu lepas (18 Jun) kira-kira 8 pagi, seorang lelaki berusia 54 tahun yang bekerja sebagai pemandu van mendapati kereta jenis Mitsubishi Tredia dan Mitsubishi Galant miliknya yang diletakkan di bahu jalan Bandar Baru Ampang hilang dipercayai dicuri.

    “Susulan itu, polis pada keesokan harinya menahan seorang lelaki berumur 42 tahun di sekitar Ampang dan suspek kemudian membawa polis ke sebuah premis menjual besi buruk lalu menemukan sebuah lori dan dua kereta yang dilaporkan hilang pada Sabtu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata polis seterusnya menahan empat lagi individu berusia antara 20 dan 40 tahun termasuk seorang wanita di sekitar Jinjang, Wangsa Maju dan Ampang.

    Tiga daripada mereka termasuk wanita itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan semua mereka direman hingga esok bagi membantu siasatan Seksyen 379A Kanun Keseksaan, katanya. – BERNAMA

  • Syak Syed Saddiq subahat dengan 2 lagi individu tentang kehilangan RM250,000

    Syak Syed Saddiq subahat dengan 2 lagi individu tentang kehilangan RM250,000

    SEORANG penolong penguasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau mengesyaki Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah bersubahat dengan dua individu berhubung kehilangan wang tunai RM250,000 dari peti besi di kediaman ahli politik itu, dua tahun lepas.

    ASP Ahmad Marzuqi Ibrahim, 39, yang merupakan pegawai penyiasat kes tersebut berkata beliau mengesyaki perkara itu kerana hanya Syed Saddiq dan dua individu bernama Siti Nurul Hidayah dan Lim Hooi Sean yang mengetahui kata laluan peti besi.

    “Hanya cap jari Syed Saddiq yang ditemukan pada almari dan sekitar kawasan peti besi itu. Saya mengesyaki ketiga-tiga mereka terlibat atau bersubahat di dalam kes kehilangan wang tersebut.

    “Saya mengesahkan pada masa itu, saya telah memberikan surat kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mendapatkan maklumat bagi membantu siasatan saya, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas diperoleh dari pihak BNM,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali pada hari kedua perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram.

    Saksi pendakwaan kelima itu juga mengesahkan berdasarkan hasil siasatannya, tiada kesan umpilan dijumpai pada peti besi dan hanya terdapat kesan cap jari bekas Menteri Belia dan Sukan pada peti besi berkenaan.

    “Saya tidak melakukan seberang pengesahan atau siasatan bagaimana YB Syed Saddiq memperoleh wang tersebut kerana siasatan saya ketika itu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu kecurian dalam bangunan.

    “Saya juga mengesahkan YB Syed Saddiq tidak pernah memberitahu wang yang hilang tersebut adalah wang campuran politik. Beliau hanya menyatakan bahawa itu adalah wang simpanan beliau dan juga ibu bapa beliau,” katanya.

    Terdahulu, Ahmad Marzuqi berkata, susulan laporan polis tentang kecurian wang RM250,000 yang dibuat Syed Saddiq pada 29 Mac 2020, beliau telah membuat tangkapan terhadap pembantu rumah ahli politik itu, seorang warga Indonesia bernama Novi Dwi Anggraeni.

    “Bagaimanapun, Novi dibebaskan daripada siasatan kerana tiada keterangan dan bukti yang mengaitkannya dalam kes ini. Saya juga mengesahkan tiada kesan pencerobohan di bilik YB Syed Saddiq.

    “Saya juga mengesahkan tiada percanggahan terhadap keterangan individu-individu yang telah diambil keterangan berkaitan wang yang hilang itu,” katanya.

    Sementara itu, saksi pendakwaan ketujuh iaitu Koperal Helmi Abdul Rahman yang menerima panggilan MERS 999 dari Syed Saddiq berkenaan kejadian kecurian itu berkata beliau tidak mengesyaki laporan kehilangan duit yang dibuat adalah palsu.

    “Saya juga tidak bertanya kepada Syed Saddiq bila beliau sedar duit tersebut telah dicuri atau hilang,” katanya.

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung 4 Julai. – BERNAMA

  • Anda angkuh, kata Shafee kepada bekas Menteri Kewangan II Ahmad Husni

    Anda angkuh, kata Shafee kepada bekas Menteri Kewangan II Ahmad Husni

    PERBICARAAN  1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Seri Najib Tun Razak bermula tegang pagi ini dengan peguam utama bekas perdana menteri dan Menteri Kewangan II ketika itu, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah terlibat dalam perbalahan mengenai cara beliau mengendalikan dokumen berkaitan 1MDB.

    Pertikaman lidah bermula apabila Ahmad Husni, saksi pendakwaan ke-20 berulang kali menjawab kesemua dokumen berkaitan 1MDB dikendalikan oleh Najib dan beliau hanya mematuhi arahan, menggunakan frasa ‘Saya Yang Menurut Perintah’.

    Peguam veteran, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang jelas jengkel dengan jawapan saksi, meminta saksi menjelaskan apakah maksudnya.

    Ahmad Husni: Itulah yang telah saya jelaskan kepada anda… anda dengar dengan teliti. Semua surat 1MDB dihantar kepada menteri. Saya hanya perlu tandatangan… saya yang menurut perintah…apa lagi yang boleh saya lakukan.

    Kedua-dua projek ini iaitu 1MDB dan SRC International Sdn Bhd tidak mengikut prosedur operasi standard bagi syarikat-syarikat di bawah Kementerian Kewangan. Semuanya datang dari atas… anda tidak bekerja di sana, anda tidak tahu apa-apa.

    Muhammad Shafee: Itulah sebabnya saya bertanya kepada anda… Anda lebih mengetahui.

    Ahmad Husni: Jadi, anda mesti lebih faham apa yang saya perkatakan.

    Muhammad Shafee: Saya faham apa yang anda katakan. Jangan bergaduh dengan saya, saya yang mengajukan soalan.

    Ahmad Husni: Saya tidak bertengkar dengan anda.

    Muhammad Shafee: Kamu bergaduh! Jawab sahaja soalan, jangan angkuh.

    Ahmad Husni: Saya tidak angkuh!

    Muhammad Shafee: Kamu angkuh!

    Pada peringkat ini, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mencelah dan meminta saksi untuk menjawab soalan yang diajukan oleh Muhammad Shafee.

    Saksi membalas: “Yang Arif, beliau cuba menyalahkan orang lain”.

    Hakim Sequerah: Beliau mempunyai tugas untuk dilaksanakan.

    Ahmad Husni: Walaupun disebabkan tugas, beliau seharusnya jujur.

    Untuk ini, Hakim Sequerah berkata pihak pendakwaan pasti akan memberi peluang kepada saksi untuk menjelaskan kemudian dan beliau tidak perlu risau tentang perkara itu.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

    Perbicaraan bersambung.

    — BERNAMA