Category: Semasa

  • Mayat lelaki ditemukan tersangkut atas pokok kelapa

    Mayat lelaki ditemukan tersangkut atas pokok kelapa

    SEORANG lelaki ditemukan mati tersangkut pada sebatang pokok kelapa di FELDA Aring Satu, Gua Musang, pagi tadi.

    Ketika ditemui pada pukul 8.45 pagi tadi,mayat Zaharuddin Ramli, 47, dalam keadaan tersangkut pada pokok kelapa pada ketinggian 12 meter.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor, pihaknya menerima aduan pada pukul 8.45 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

    Katanya, sejurus tiba, anggota mendapati seorang lelaki yang tidak sedarkan diri berada dalam keadaan tersangkut pada sebatang pokok kelapa.

    “Anggota bomba terpaksa menggunakan tangga untuk memanjat pokok sebelum menurunkan mangsa pada ketinggian 12 meter menggunakan kaedah sambungan tali,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pegawai perubatan untuk tindakan seterusnya.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada pukul 11.40 pagi,” ujarnya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

  • Kes bunuh CEO Cradle Fund: AGC fail rayuan keputusan mahkamah

    Kes bunuh CEO Cradle Fund: AGC fail rayuan keputusan mahkamah

    JABATAN Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Samirah Muzaffar dan dua remaja yang terlibat berhubung kes kematian bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan.

    Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengesahkan perkara berkenaan.

    “Kami sedang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.

    Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail juga berkata notis rayuan telah difailkan melalui e-filing semalam.

    Pihak pendakwaan mempunyai 14 hari untuk memfailkan notis rayuan agar Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

    21 Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ab Karim Ab Rahman melepas dan membebaskan Samirah, 47 dan dua remaja yang kini berusia 19 dan 16 tahun, atas pertuduhan membunuh Nazrin, 45, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap ketiga-tiga tertuduh.

    Dalam penghakimannya, Ab Karim memutuskan keterangan yang menunjukkan bahawa Samirah dan dua remaja adalah orang terakhir bersama si mati, tidak boleh dikatakan menjurus kepada kesalahan membunuh Nazrin.

    Hakim juga memutuskan tiada bukti langsung yang menunjukkan bahawa mereka bertiga melakukan jenayah (pembunuhan) tersebut.

    Samirah, serta dua remaja dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018. – Bernama

  • Minta Ahmad Husni tidak masuk campur urusan 1MDB, Najib berkuasa buat keputusan

    Minta Ahmad Husni tidak masuk campur urusan 1MDB, Najib berkuasa buat keputusan

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Razak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan dalam hal ehwal syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, beliau menyatakan demikian kerana apabila menyuarakan kebimbangan mengenai penubuhan 1MDB, Najib hanya menjawab, beliau akan meneruskan (dengan penubuhan syarikat pelaburan itu), lapor Harian Metro.

    Ahmad Husni yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada sesi pemeriksaan semula, berkata Najib juga memintanya supaya tidak masuk campur ketika beliau membangkitkan kerisauan mengenai pelaburan usaha sama 1MDB dan syarikat perkhidmatan serta pengeluaran minyak, PetroSaudi International Ltd (PSI).

    “Pada pertemuan penghujung tahun 2009 itu, saya menyatakan kepadanya supaya tidak meneruskan dengan usaha sama itu kerana syarikat ini masih dalam proses mencari telaga minyak.

    “Saya juga menyatakan bahawa 1MDB tiada pengalaman dalam bidang itu dan sepatutnya ia diserahkan kepada syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tetapi beliau kata ‘kamu jangan masuk campur lagi’.

    “Ini menunjukkan beliau (Najib) ada kuasa untuk membuat keputusan kerana tidak ada sebarang perbincangan,” katanya.

    Dalam keterangan sebelum ini, Ahmad Husni memberitahu mahkamah, dalam pertemuan di pejabat Najib, bekas Perdana Menteri itu memberitahunya supaya tidak membabitkan diri dan masuk campur dalam (urusan) 1MDB.

    Katanya, apabila kerajaan memutuskan mengambil alih 1MDB daripada Kerajaan Negeri Terengganu melalui syarikat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), beliau bertemu Najib untuk memberitahunya bahawa 1MDB tidak sepatutnya ditubuhkan tanpa ‘feasibility study’ (kajian kebolehlaksanaan).

    Ahmad Husni berkata, kajian itu adalah untuk membuat penilaian secara praktikal bagi cadangan sesuatu projek dan risiko dari segi perniagaan serta kewangan yang mana ia sangat penting bagi memastikan pelaburan syarikat menguntungkan kerajaan.

    Bagaimanapun, katanya, Najib berkata beliau akan teruskan (dengan penubuhan 1MDB).

    Sementara itu Ahmad Husni berkata, beliau tidak ada sebarang keraguan bahawa surat peribadinya kepada Najib yang dihantar melalui Setiausaha Sulit, Allahyarham Datuk Azlin Alias tidak akan sampai kepada bekas Perdana Menteri itu.

    Surat itu dihantar Ahmad Husni pada 23 Ogos 2010 melalui bagi menyuarakan kebimbangannya mengenai urusan 1MDB yang boleh menjejaskan kerajaan dan Najib.

  • Pesara swasta didakwa terlibat pengubahan wang haram hampir RM1.7 juta

    Pesara swasta didakwa terlibat pengubahan wang haram hampir RM1.7 juta

    SEORANG pesara swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas 12 pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram hampir RM1.7 juta.

    Bagi semua pertuduhan, K Suranderan, 60, didakwa melupuskan wang RM1,685,543.27 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke akaun beberapa bank milik empat syarikat, tiga individu serta tertuduh sendiri, termasuk akaun kad kredit antara RM11,398 dan RM516,480.

    Suranderan didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di OCBC Bank (Malaysia) Bhd, cawangan Klang antara 14 Nov 2019 dan 29 Mac 2021.

    Pertuduhan dikemukakan di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

    Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Zalizan Lazarous manakala tertuduh diwakili peguam K Renuka dan V Ayasamy.

    Hakim Helena Sulaiman menetapkan wang jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri setiap sebulan sekali di balai polis terdekat serta 19 Ogos untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Warga Bangladesh mengaku salah beri suapan kepada polis

    Warga Bangladesh mengaku salah beri suapan kepada polis

    MAHKAMAH Sesyen Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap seorang lelaki warga Bangladesh atas tuduhan pilihan memberi suapan berjumlah RM200 kepada seorang anggota polis, Februari lalu.

    Tertuduh, Sirajul Nojrulislam, 42, selepas mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Hindi di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid, lapor Sinar Harian.

    Beliau turut mengarahkan tertuduh yang merupakan pekerja kilang menjalani hukuman sebulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah memberi wang tunai RM200 kepada anggota polis berpangkat koperal sebagai balasan supaya tidak mengeluarkan saman kerana tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.

    Ia merupakan satu kesalahan di bawah Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 dan kesalahan itu dilakukan di Jalan Batu 10, Segari di Manjung pukul 5.20 petang pada 17 Februari lalu.

    Pertuduhan yang dilakukan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah berjumlah RM200 berkenaan dilucuthakkan kepada kerajaan di bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

  • Penganggur mengaku didakwa menyamar polis

    Penganggur mengaku didakwa menyamar polis

    SEORANG penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan menyamar sebagai polis, Isnin lalu.

    Tertuduh, C. Kevin Cornelius, 41, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus, lapor Sinar Harian.

    Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa berpura-pura memegang sesuatu jawatan dengan menyamar sebagai anggota polis di Bukit Kledang, Menglembu kira-kira pukul 8 pagi, Isnin lalu.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis morfin dan THC (tetrahydrocannabinol) ke dalam badan.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, kira-kira pukul 12 tengah hari, Selasa lalu.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 38B (1) akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara dua tahun selain perlu menjalani pengawasan tidak lebih tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 September ini untuk sebutan semula kes.

  • Segera baiki fasiliti MRT, LRT

    Segera baiki fasiliti MRT, LRT

    KEMUDAHAN fasiliti pengangkutan awam Transit Aliran Deras (MRT) yang tidak diselenggara menyukarkan perjalanan harian pengguna terutama ke tempat kerja masing-masing.

    Tinjauan SatuBerita di sekitar stesen MRT Sungai Buloh, Selangor,mendapati rata-rata pengguna mengeluh dan kecewa terhadap kemudahan yang tidak diperbaiki sehingga menyusahkan mereka.

    Seorang pengguna pengangkutan awam, Zuhair Nazarudin, 22, meminta pihak bertanggungjawab untuk memperbaiki masalah eskalator di kawasan Phileo Damansara, Selangor, kerana menjadi punca kesesakan.

    “Saya perasan kebanyakan MRT di kawasan lain seperti di eskalator Phileo Damansara, perlu menggunakan lif berbanding eskelator.

    “Masalah ini sudah berlarutan selama empat bulan. Apabila hanya lif beroperasi, ia menyukarkan pengguna seperti kami yang perlu tunggu dan mengambil masa,” katanya.

    Pelajar, Lim Ern, 17, yang menggunakan perkhidmatan itu setiap hari berkongsi pandangannya mengenai kerosakan eskalator dan keadaan fasiliti yang semakin teruk saban hari.

    “Eskalator sepatutnya ditambah baik lagi kerana terdapat golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas memerlukan fasiliti ini.

    “Jalan untuk ke sini perlu dibaik pulih kerana agak memakan masa untuk bas tiba. Stesen tidak diselenggara dengan baik di sesetengah kawasan dan membuatkan orang ramai sangat sukar untuk menunggu bas,” jelasnya

    Selain itu, seorang pesara, Ariffin Mat Nor, 73, berkata, lif yang sepatutnya memudahkan golongan warga emas dan OKU sentiasa tidak berfungsi.

    “Pastikan perkhidmatan lif sentiasa dan berfungsi dengan baik terutamanya untuk golongan OKU dan warga emas. Saya tiada masalah tetapi mungkin golongan lain sangat memerlukan fasiliti ini.

    Dalam pada itu seorang lagi pengguna pengangkutan awam, Amalina Jafri, 27, menyifatkan tambang percuma yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 16 Jun lalu seperti tidak berbaloi kerana jumlah subsidi RM155 juta itu boleh digunakan untuk membaik pulih fasiliti sedia ada.

    “Tak berbaloi pun kalau percuma satu bulan sebab jumlah itu boleh digunakan untuk perbaiki segala fasiliti di sini seperti eskalator rosak dan bumbung bocor,” katanya.

    Dia juga merasakan subsidi tersebut boleh digunakan untuk program seperti My50 yang banyak membantu pengguna sepertinya.

    Bagi Naimah Nordin,56, tiada pengumuman pertukaran laluan menyebabkan dia bingung dan menghadapi kesukaran setiap kali menaiki perkhidmatan itu.


    “Perlu beritahu jika ada laluan baharu sebab bukan semua orang tahu. Misalnya laluan Sungai Buloh ke Kajang. Tiba-tiba sahaja berhenti di laluan Damansara. Sekurang-kurangnya letak papan tanda atau kain rentang.


    “Aspek penyebaran maklumat penting kepada pengguna sekiranya terdapat pertukaran laluan baharu.Kakitangan juga perlu peka dengan keadaan penumpang,” katanya.

  • Visa furada: Hati-hati sebelum duit lesap -TH

    Visa furada: Hati-hati sebelum duit lesap -TH

    ORANG ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan penawaran visa furada dengan pakej yang boleh mencecah lebih RM50,000 namun tiada sebarang jaminan visa haji diluluskan kepada pemohon.

    Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi tanpa melibatkan jumlah kuota yang diperoleh Tabung Haji (TH).

    Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata sehingga kini Arab Saudi tidak memaklumkan mengenai pengeluaran visa furada musim haji 1443H/2022M dan mereka yang telah membuat pembayaran perlu lebih berhati-hati.

    Beliau berkata TH seringkali mengingatkan risiko haji furada apatah lagi dengan senario musim haji tahun ini yang menetapkan pelbagai syarat oleh kerajaan Arab Saudi.

    Arab Saudi juga mengehadkan hanya sejuta umat Islam menunaikan ibadah haji iaitu 85 peratus melibatkan jemaah di luar Arab Saudi dan 15 peratus lagi khusus untuk mereka yang tinggal di negara itu, namun perlu mendapatkan permit serta melanggan pakej yang telah disediakan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

    “Arab Saudi menawarkan dua pakej kepada rakyat tempatan untuk menunaikan ibadah haji, pakej ini dalam lingkungan harga RM11,000 hingga RM14,000. Saya harap kita memahami suasana ini dan juga kerajaan Arab Saudi telah menyatakan supaya kita harus berhati-hati kerana memang ada pihak tertentu yang menawarkan pakej haji palsu.

    “Ini berlaku secara peringkat antarabangsa dan di Malaysia kita juga dapati ada agensi yang bukan dilesenkan oleh TH dan tidak diiktiraf TH yang menawarkan pakej kononnya visa furada. Jadi saya harap umat Islam di Malaysia tidak seharusnya terpedaya dengan iklan-iklan yang dikeluarkan ini,” katanya kepada pemberita di bangunan Abraj Al Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat TH dan jemaah haji Malaysia.

    Syed Saleh turut mengingatkan individu atau syarikat yang menawarkan visa furada tanpa lesen boleh dikenakan tindakan di bawah Akta TH iaitu kesalahan kerana mengiklan atau mengendalikan haji tanpa mempunyai lesen daripada TH.

    “Kita dapati telah ramai yang terpedaya dengan skim dan iklan tersebut, jadi berhati-hatilah,” katanya yang turut menyarankan rakyat Malaysia boleh memilih 20 syarikat agensi pelancongan atau yang dikenali sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk mengendalikan ibadah haji secara pakej.

    Syarikat PJH menyediakan pelbagai pakej antara harga RM35,000 ke atas dan ia merupakan kuota yang sememangnya diperoleh untuk TH dan Malaysia.

    Sementara itu, tinjauan Bernama menerusi media sosial mendapati promosi berkaitan visa furada semakin rancak dilakukan oleh pihak tidak bertanggungajwab yang menjanjikan bakal jemaah berlepas pada 5 Julai.

    Promosi itu agak meragukan kerana Arab Saudi telah menetapkan penerbangan terakhir bagi haji adalah pada 4 Julai apatah lagi ia semakin hampir dengan Hari Wukuf.

    Pihak itu yang dihubungi menerusi WhatsApp juga memaklumkan menyasarkan 80 orang dengan pakej RM38,000 hingga RM56,000 serta meminta bayaran pendahuluan RM15,000 pada kadar segera kononnya untuk urusan visa di Kedutaan Arab Saudi.

    Meskipun meminta deposit, wakil syarikat itu menegaskan bahawa peluang ke Tanah Suci hanyalah 50-50, dan sekiranya gagal, wang akan dikembalikan pada tempoh yang tidak dapat dipastikan atau pemohon boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa berdasarkan resit yang akan diserahkan.

    Justeru orang ramai yang telah membuat bayaran visa furada sebaiknya melakukan pemeriksaan lanjut dan sepertimana yang dikatakan Syed Saleh, bimbang bayaran yang dibuat akan hangus begitu sahaja.

  • Gerakan cadang pemimpin negara, GLC dipotong gaji dan elaun bantu tangani kenaikan harga barang

    Gerakan cadang pemimpin negara, GLC dipotong gaji dan elaun bantu tangani kenaikan harga barang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    BARISAN pemimpin negara daripada Perdana Menteri; Menteri-menteri Kabinet; wakil rakyat sehinggalah kepada pemimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disaran dipotong gaji dan tidak mengambil elaun dalam membantu kerajaan menangani isu kenaikan harga barang ketika ini.

    Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Baljit Singh berkata, adalah tidak adil untuk membiarkan rakyat kebanyakan berdepan dengan kenaikan harga barang ketika para pemimpin negara dan GLC terus menikmati gaji yang tinggi serta pelbagai elaun lain.

    Malah jelas beliau, ketika ini adalah masa yang tepat untuk para pemimpin negara berkenaan tanpa mengira latar belakang politik bersama-sama rakyat kebanyakan dalam mendepani kenaikan harga barang makanan.

    “Semua wang daripada gaji dan elaun yang dipotong itu boleh disalurkan semula kepada rakyat dan usaha ini perlu dilakukan segera bagi mengelak negara terjerumus dalam krisis sosial dan kemanusiaan yang lebih buruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Harga barangan dijangka naik di luar kawalan bermula 1 Julai ini selepas kerajaan memutuskan untuk tidak lagi meneruskan kawalan harga siling untuk ayam mentah dan telur ayam bermula 1 Julai ini.

    Tambah Baljit, para pemimpin negara juga ketika ini sedang diadili oleh rakyat berhubung bagaimana cara mereka dalam menangani krisis kenaikan harga barang yang meresahkan majoriti rakyat.

  • Teruskan pemberian subsidi, tingkat penghasilan makanan

    Teruskan pemberian subsidi, tingkat penghasilan makanan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN Persekutuan perlu mempunyai perancangan dan persediaan membantu rakyat susulan keadaan yang lebih mencabar selepas ini susulan tempoh kawalan harga siling dan subsidi berakhir pada 30 Jun ini.

    Ketua Penerangan Pas Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, ini kerana kajian dan laporan menunjukkan akan berlaku kenaikan harga barangan keperluan setelah tempoh berkenaan.

    “Pas Johor melahirkan kebimbangan jika perkara ini benar-benar berlaku, ianya pasti akan terus menghimpit rakyat yang sudah berada dalam kesukaran.

    “Justeru dalam usaha mengekang kenaikan harga barangan keperluan, Pas Johor mencadangkan agar kerajaan meneruskan pemberian subsidi terutamanya untuk barangan keperluan utama harian.

    “Pas Johor mencadangkan kerajaan mempertingkatkan penghasilan makanan dan menambahkan lagi bank makanan negara,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, pada masa sama penguatkuasaan juga perlu bagi memastikan barangan keperluan sampai kepada pengguna tanpa melalui lapisan orang tengah yang mengambil keuntungan atas angin.

    Tegas beliau, semua pihak perlu menampilkan keprihatinan masing-masing terhadap keadaan yang bakal berlaku.

    “Konsep kafaalah umum (jaminan) perlu diperkasakan melalui penggunaan wang zakat dan percukaian untuk kemaslahatan rakyat,” ujarnya.

    Beliau menyarankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu dengan kerajaan menggerakkan kerja-kerja kebajikan kepada rakyat.

    Rakyat pula katanya, dinasihatkan agar membudayakan perbelanjaan berhemah dan mengekalkan budaya prihatin sesama anggota masyarakat.

    “Prihatin, ambil maklum dan peduli keadaan sekeliling kita. Semoga ahli Keluarga Malaysia terus hidup dengan harmoni dan makmur dalam menempuhi cabaran kehidupan,” katanya.