Category: Semasa

  • Pengurusan kes permohonan Najib kemuka bukti tambahan kes SRC Isnin depan

    Pengurusan kes permohonan Najib kemuka bukti tambahan kes SRC Isnin depan

    MAHKAMAH Persekutuan menetapkan Isnin depan sebagai pengurusan kes permohonan Datuk Seri Najib Abdul Razak(gambar) bagi mengemukakan bukti tambahan berkaitan kes SRC International Sdn Bhd dalam usaha membatalkan perbicaraan yang menyaksikan beliau disabitkan kesalahan serta dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan tarikh itu.

    Pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan itu akan berlangsung melalui sidang video.

    Bukti tambahan yang ingin dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri itu berkaitan dengan penemuan baru-baru ini bahawa hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 2006 adalah peguam am dan setiausaha syarikat Kumpulan Maybank yang bertanggungjawab bagi pengurusan serta pentadbiran semua jabatan undang-undang dalam keseluruhan kumpulan tersebut.

    Pada sidang akhbar 7 Jun lepas, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata Mohd Nazlan gagal mendedahkan bahawa beliau adalah peguam am dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank yang bertanggungjawab mencadangkan penubuhan SRC International.

    Menerusi afidavit bagi menyokong permohonan itu, Najib berkata bukti yang ingin dikemukakan tidak disediakan kepada beliau semasa perbicaraan sambil menambah bahawa ia adalah relevan dengan isu di hadapan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, justeru adalah relevan kepada rayuannya yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

    Beliau berkata hakikat bahawa Mohd Nazlan tahu mengenai penglibatan peribadinya dengan penubuhan SRC International namun menyembunyikannya daripada pembelaan adalah terjumlah kepada konflik kepentingan yang membawa kepada bahaya sebenar iaitu berat sebelah.

    Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan yang ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

    Pada 8 Dis tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menolak rayuan Ahli Parlimen Pekan itu yang mendorong beliau membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

    Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari bermula 15 Ogos ini untuk mendengar rayuan terakhir Najib terhadap sabitan serta hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan terhadapnya.- Bernama

  • KPDNHEP serbu syarikat salah guna logo halal Jakim

    KPDNHEP serbu syarikat salah guna logo halal Jakim

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah melakukan serbuan terhadap sebuah kilang biskut di Bukit Pinang, Alor Setar, kelmarin kerana penyalahgunaan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada produk makanan dihasilkan.

    Pengarah Pejabat KPDNHEP negeri, Affendi Rajini Kanth berkata, pihaknya melakukan serbuan itu kira-kira pukul 11 pagi setelah menerima maklumat berkaitan perkara itu dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK).

    Menurutnya, pensijilan halal yang pernah diluluskan kepada syarikat berkenaan telah ditarik balik pada Mac lalu berikutan tindakan syarikat berkenaan yang melanggar prosedur sijil pengesahan halal Malaysia.

    “Penarikan itu menyebabkan syarikat berkenaan tidak boleh lagi menggunakan logo halal Jakim pada kesemua produk dikeluarkan.

    “Namun pemeriksaan dijalankan mendapati hampir semua produk yang siap dibungkus dan diletakkan dalam kotak, masih memiliki logo halal Jakim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Pemeriksaan dijalankan KPDNHEP mendapati hampir semua produk yang siap dibungkus dan diletakkan dalam kotak, masih memiliki logo halal Jakim

    Tambahnya, tindakan itu merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

    “Sehubungan itu kesemua produk yang dilabelkan dengan logo halal tersebut telah disita untuk tindakan lanjut.

    “Sebanyak 20,193 kotak makanan bernilai kira-kira RM906,609 telah disita,” katanya.

    Affendi memaklumkan, berdasarkan maklumat lisan dari pihak pengurusan, syarikat tersebut telah beroperasi lebih 10 tahun lalu.

    “Produk keluaran syarikat tersebut telah diedarkan untuk pasaran ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

    “Kes tersebut kini disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. Jika sabit kesalahan, syarikat boleh didenda tidak lebih RM200,000 bagi kesalahan pertama,” katanya.

  • Pistol, kereta ahli sindiket samun mati ditembak polis ditemukan

    Pistol, kereta ahli sindiket samun mati ditembak polis ditemukan

    POLIS menemukan sebuah kenderaan dipercayai digunakan ahli sindiket samun dan pecah rumah yang mati ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah kondominium di Salak Selatan, pada 18 Jun lalu.

    Pihak menemukan kereta jenis Toyota Estima itu berhampiran tempat kejadian sekitar pukul 1.30 tengah hari pada Selasa.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, penemuan itu adalah hasil risikan dan pemeriksaan pihaknya.

    “Pihak polis turut menjumpai satu beg kitar semula di bawah tempat duduk pemandu yang mengandungi sepucuk pistol jenis Smith and Wesson, enam butir peluru hidup di dalam ‘chamber’ dan sebungkus sampul mengandungi tujuh butir peluru hidup.

    “Berdasarkan maklumat risikan, pihak polis percaya senjata api tersebut adalah milik suspek yang mati ditembak,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Pada Isnin media melaporkan polis berjaya menumpaskan kumpulan yang disyaki bergiat aktif melakukan 15 kes jenayah samun dan pecah rumah selepas menahan lapan individu termasuk seorang wanita di sekitar Lembah Klang pada 18 Jun hingga 20 Jun lalu.

    Seorang lagi anggota kumpulan itu maut dalam kejadian berbalas tembakan.

    Dalam serbuan itu, polis turut merampas sepucuk pistol semi automatik jenis CZ 75 Compact daripada salah seorang suspek yang ditahan.

    Azmi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan usaha mengesan saki baki sindiket sedang giat dijalankan.

    Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Siasatan Jenayah di talian 0321460685 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd. Hasni Hussin di talian 019-998 4444, atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999.

  • Pengarah ZCSB beri jam tangan Maurice Lacroix sempena hari jadi Guan Eng

    Pengarah ZCSB beri jam tangan Maurice Lacroix sempena hari jadi Guan Eng

    PENGARAH Syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (ZCSB)  memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa beliau memberikan wang RM100,000 dan seutas jam tangan jenama Maurice Lacroix bernilai RM43,000 kepada Lim Guan Eng sempena ulang tahun kelahirannya.

    Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 62, berkata sekitar 2015, beliau membawa wang tunai RM100,000 yang diisi di dalam sampul surat putih serta jam tangan berwarna hitam ke pejabat Lim yang ketika itu Ketua Menteri Pulau Pinang, di Tingkat 28, Menara KOMTAR.

    “YB Lim Guan Eng dan saya sahaja di bilik beliau dan setelah duduk bersembang seketika, YB Lim ada bertanya mengenai  projek terowong. Saya memberitahu kepada YB Lim yang sekarang masih lagi dalam peringkat untuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan.

    Kemudian saya memberitahu YB Lim yang saya ada membawa hadiah untuk beliau sempena hari jadinya,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh pada perbicaraan ke rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

    Saksi pendakwaan ke-23 berkata beliau kemudian menyerahkan wang RM100,000 dan jam tangan tersebut lengkap bersama kotak berwarna hitam kepada Lim, namun Lim memberikan kembali sampul putih berisi wang itu kepadanya dan hanya menerima jam tangan diberikan.

    “YB Lim kelihatan gembira apabila menerima jam tangan dari saya dan selepas itu, saya beredar dari pejabatnya. Saya tidak pula melihat YB Lim memakai jam yang saya berikan itu. Saya tidak rasa apa-apa apabila YB Lim tolak pemberian wang RM100,000 tersebut,” katanya.

    Zarul Ahmad berkata Lim tidak pernah meminta jam tangan itu sempena hari jadinya tetapi beliau sendiri membeli jam tangan itu menggunakan cek daripada akaun bank UOB Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, semata-mata untuk memastikan pelaksanaan projek terowong itu berjalan lancar dengan Kerajaan Pulau Pinang.

    Sementara itu, Zarul Ahmad berkata sekitar Disember 2014, beliau memberikan wang RM100,000 yang diletakkan dalam satu sampul putih kepada Lim sempena ulang tahun kelahirannya di pejabat Lim.

    “ Saya menyerahkan sampul putih itu kepada YB Lim dan beliau terima sampul putih yang berisi wang RM100,000 itu daripada saya setelah saya hulur kepadanya. YB Lim tidak bertanya apa kandungannya dan dia juga tidak menolak.

    YB Lim kelihatan gembira setelah menerima sampul tersebut dan wang RM100,000 itu adalah sebahagian wang rasuah daripada 10 peratus yang diminta oleh beliau daripada keuntungan syarikat saya,” katanya.

    Menurut saksi itu, beliau memperolehi sumber wang daripada jualan tanah Lot 702 kepada Ewein Zenith Sdn Bhd milik Datuk Ewe Swee Kheng dan ZCSB telah menerima bayaran daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui tanah Lot 702 setelah mendapat kelulusan kajian kebolehlaksanaan untuk tiga jalan utama.

    “Saya menyimpan sebahagian daripada sumber tersebut dalam bentuk tunai untuk membuat sumbangan kepada YB Lim Guan Eng,” katanya.

    Lim berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

    Lim yang juga bekas Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi Isnin depan.

    — BERNAMA

  • Harga ayam tidak diapung, tarif elektrik dan air Semenanjung kekal

    Harga ayam tidak diapung, tarif elektrik dan air Semenanjung kekal

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memutuskan harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan.

    “Harga siling baharu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Pada masa yang sama, beliau berkata, kerajaan telah memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung.

    Menurut Ismail Sabri, dengan keputusan itu, kerajaan terus komited menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion, meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api dan kos penjanaan lain.

    Beliau menambah, keputusan yang dibuat itu membuktikan keprihatinan kerajaan demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia agar tidak terbeban dengan peningkatan harga dan cabaran kos sara hidup.

  • Elaun warden sekolah berasrama dinaikkan, setelah 25 tahun tidak disemak – Dr. Radzi

    Elaun warden sekolah berasrama dinaikkan, setelah 25 tahun tidak disemak – Dr. Radzi

    SETELAH hampir 25 tahun kadar elaun warden sekolah berasrama di bawah selian Kementerian Pendidikan tidak disemak, hari ini kerajaan umum elaun tersebut dinaikkan sebanyak 25 peratus.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Mohd Radzi Md Jidin berkata berkuat kuasa 1 Ogos, kadar baharu kepada ketua warden dinaikkan kepada RM350 sebulan, manakala bagi warden adalah sebanyak RM300 sebulan.

    “Untuk makluman, kali terakhir kadar elaun warden asrama disemak adalah pada 1997,” kata Mohd Radzi menerusi video pengumuman yang dimuat naik di laman Facebook rasminya.

    Selain itu, Mohd Radzi berkata seramai 3,813 warden baharu akan dilantik di 1,874 sekolah berasrama di bawah kementeriannya, dalam usaha memperkasakan portfolio mereka.

    Katanya, peningkatan jumlah warden asrama sebanyak 63 peratus iaitu daripada 6,055 orang kepada 9,868 orang itu, akan membolehkan penggiliran tugas warden dapat dilaksanakan di semua sekolah berasrama KPM.

    Tambahnya, kedua-dua penambahbaikan ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak hampir RM19 juta.- Bernama

  • Bekas Hakim Negara rayu kerajaan longgarkan penggunaan kanabis CBD

    Bekas Hakim Negara rayu kerajaan longgarkan penggunaan kanabis CBD

    BEKAS Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi merayu kerajaan agar melonggarkan sekatan terhadap penggunaan segelintir jenis kanabis perubatan termasuk cannabidiol atau CBD bagi tujuan rawatan di negara ini.

    Beliau berkata, penggunaan kanabis perubatan juga disaran diletakkan di bawah Akta Racun 1952 dan kerajaan boleh melaksanakan kelonggaran itu tanpa perlu membawa ke Dewan Rakyat.

    “Ini bagi membolehkan ia dapat diimport ke dalam negara untuk digunakan oleh para pesakit yang benar-benar memerlukan.

    “Morfin, heroin, dan codeine mempunyai kesan kimia yang lebih kuat berbanding kanabis. Undang-undang turut membenarkan semua ubat itu digunakan berdasarkan preskripsi (arahan) doktor,” katanya kepada pemberita di Universiti MAHSA, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Katanya, doktor boleh memberikan arahan untuk menggunakan morfin, heroin, dan codeine yang mana lebih ‘poten’ daripada kanabis.

    “Kenapa kerajaan masih terlalu tegas tentang penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan? Kami mahu mengawal jenis kanabis atau CBD yang akan dibenarkan untuk diimport.

    “Peruntukan ini di bawah Seksyen 47 Akta Dadah Berbahaya (1952), yang memberi kuasa kepada menteri-menteri untuk membuat peraturan bagi memberi pengecualian kepada manusia dan institusi untuk kegunaan penyelidikan atau memberi preskripsi kepada pesakit,” katanya.

    Terdahulu, Universiti Mahsa menganjurkan seminar mengenai Fakta dan Kebaikan Kanabis Perubatan yang disertai oleh pakar dan pengamal perubatan tempatan serta luar negara.

    Antara speaker yang hadir ialah Ketua Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti MAHSA, Prof. Dr. Hussain Habil; Pensyarah Sekolah

    Sains Farmaseutikal Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Aishah Abdul Latiff; serta Ketua Pegawai Eksekutif UMCAS, Dr. Khafidz Mohd. Ishak.

    CBD merupakan antara bahan aktif dalam kanabis dan ia tidak menyebabkan ketagihan.

    Mengulas lanjut, Zaki yang juga Canselor Universiti Mahsa berkata, terdapat ibu bapa yang berkongsi pengalaman menggunakan CBD bagi merawat anak mereka yang mengalami epilepsi dan terbukti berkesan.

    “Mengapa kerajaan begitu tegas, mengapa penguatkuasa undang-undang yang lain begitu tegas, mengapa Peguam Negara begitu tegas? Tolong apabila anak atau saudara anda menderita barulah anda tahu bagaimana rasanya…

    “Jadi kami merayu kerana ramai orang yang memerlukan CBD,” tambahnya, lapor Astro Awani.

    Sementara itu, Hussain berkata usaha yang dilakukan ini bukan bertujuan untuk membenarkan penyalahgunaan kanabis, sebaliknya ia bagi memberikan manfaat kepada para pesakit yang memerlukan.

    Ujarnya lagi, jika kanabis perubatan diletakkan di bawah Akta Racun 1952, Kementerian Kesihatan (KKM) boleh menyedikan gariss panduan dan menentukan bahawa kanabis perubatan diselenggara oleh para doktor dan pakar-pakar kesihatan, yang menggunakan kanabis sebagai rawatan.

    “Jadi sebenarnya ada peraturan di situ cuma belum lagi diguna pakai dan kita tak tahu macam mana boleh tersalah pandang. Jadi kalau kita boleh lalukan perkara tersebut, maka sebenarnya kita akan lebih memberi manfaat kepada pesakit yang memerlukan rawatan.

    “Oleh kerana peraturan ini belum diguna pakai, itu yang jadi masalah di mana mereka terpaksa mencari jalan lain yang tentu sekali sehingga ke tahap yang menyalahi undang-undang.

    “Jadi saya rasa untuk mengatasi masalah ini, yang penting pihak KKM atau kerajaan perlu menangani masalah tersebut supaya peraturan itu dapat digunakan secepat mungkin,” tambah beliau.

    Dalam masa yang sama, Hussain ketika berucap antaranya turut mencadangkan agar menubuhkan Pusat Kecemerlangan bagi tujuan pembelajaran, menyelaras, serta melatih bagi penggunaan kanabis perubatan.

    Setakat ini lebih 40 negara telah meluluskan penanaman, penggunaan dan penjualan ganja industri atau ganja perubatan termasuk Australia, Amerika Syarikat, Kanada, Argentina dan Denmark.

    Pada 26 Disember 2018, kerajaan Thailand meluluskan pindaan terhadap undang-undang narkotik negara itu yang menyaksikan penggunaan produk ganja dan ketum untuk tujuan perubatan tidak lagi menjadi satu kesalahan undang-undang.

    Pun begitu di Malaysia, di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan pemilikan ganja dengan berat 200 gram boleh membawa hukuman mati.

  • Lelaki, anak tiri didakwa tipu bekalan sarung tangan RM700,000

    Lelaki, anak tiri didakwa tipu bekalan sarung tangan RM700,000

    SEORANG lelaki dan anak tirinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memperdaya dua lelaki berhubung pembekalan sarung tangan getah yang tidak wujud membabitkan kerugian lebih RM700,000 dua tahun lepas.

    Ahmad Yusri Mohd Yunus, 66, dan Megat Akhimullah Faliq Megat Khaironnashiin, 23, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Michael Seow Chor Huat, 41, dan Ong Sheng Jie, 34, sehingga mendorong kedua-dua mangsa memindahkan wang RM756,250 ke dalam akaun bank Syarikat AYMY Multitouch Solution Enterprise.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di depan sebuah bank di Sri Petaling di sini pada 6 Nov 2020 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd Apandi menawarkan jaminan RM100,000 bagi setiap tertuduh manakala kedua-dua beranak yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah itu dikurangkan.

    Ahmad Yusri memberi alasan bahawa dia telah membayar RM300,000 kepada Seow dan menggadaikan rumahnya kepada lelaki itu manakala Megat Akhimullah Faliq pula berkata, ibunya terpaksa menanggung ahli keluarga yang ramai.

    Hakim Kamarudin Kamsun membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Mahkamah menetapkan 28 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – BERNAMA

  • Tiada visa furada untuk jemaah haji sejak 2019

    Tiada visa furada untuk jemaah haji sejak 2019

    ARAB Saudi masih tidak mengeluarkan visa furada kepada jemaah haji sejak 2019.

    Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd. Sham, berkata masih belum ada visa furada yang dikeluarkan tahun ini.

    “Visa furada adalah visa jemputan, di mana ia berdasarkan budi bicara duta Arab Saudi untuk diberikan kepada sesiapa yang dijemput duta sendiri, namun visa furada bukanlah diberi khas kepada syarikat komersial tetapi bergantung kepada keadaan.

    “Selalunya, visa ini adalah atas budi bicara duta Arab Saudi untuk diberikan kepada individu tertentu seperti ketua kerajaan atau mana-mana badan atau institusi yang dikenali oleh kedutaan Arab Saudi.

    “Bilangan visa yang diluluskan juga terletak kepada budi bicara duta Arab Saudi sendiri,” katanya, lapor Berita Harian, hari ini.

    Beliau mengakui ada pihak yang mengambil kesempatan melakukan penipuan menggunakan nama visa berkenaan.

    “Visa furada ini ada, namun yang palsunya adalah orang atau sesebuah agensi yang menawarkan visa furada untuk menunaikan ibadah haji dalam masa terdekat ini, sedangkan duta Arab Saudi sehingga kini masih belum mengeluarkannya.

    “Kebaikan yang diperoleh melalui visa furada bagi membantu golongan yang mahu menunaikan haji dalam kadar segera dengan tidak perlu menunggu giliran mengikut kuota haji yang disediakan oleh Tabung Haji (TH).

    “Sesetengah orang yang mendapat duit hasil jual tanah atau duit pencen, bila ada kemampuan duit nak terus menunaikan ibadah (dengan cepat). Kalau nak tunggu giliran Tabung Haji mungkin ambil masa yang agak lama,” katanya.

    Beliau meminta umat Islam di Malaysia yang berminat untuk menunaikan ibadah haji supaya lebih berhati-hati dan sabar menunggu keputusan sebenar visa furada dikeluarkan.

    “Kalau ada sesiapa yang betul-betul berminat dan mampu, Insya-Allah jika visa furada sudah dikeluarkan di Malaysia, boleh pergi tetapi sekarang masih belum ada.

  • Polis bongkar kegiatan licik premis alatan komunikasi curi data peribadi

    Polis bongkar kegiatan licik premis alatan komunikasi curi data peribadi

    SATU kegiatan sindiket penipuan pendaftaran kad SIM prabayar secara tidak sah berjaya dibongkar pihak polis selepas menahan tujuh individu termasuk tiga wanita di sebuah premis di Jalan Cahaya, Taman Cahaya, Kangar, Rabu lalu.

    Pihak polis menahan suspek berusia antara 19 hingga 35 tahun itu pada pukul 5.40 petang selepas menerima maklumat bahawa premis yang menjual alatan komunikasi disyaki menjalankan aktiviti judi dalam talian.

    Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, serbuan polis di premis itu bagaimanapun mendapati tiada aktiviti berkenaan dijalankan.

    “Namun pemeriksaan selanjutnya ke atas peralatan komputer, mesin, pelbagai jenis kad SIM prabayar dan peralatan ‘SIM box’ atau ‘SIM card multiplexer’ jenis GSM Getaway membongkar kegiatan sindiket penipuan pendaftaran kad SIM prabayar secara tidak sah.

    “Hasil soal siasat mendapati premis berkenaan menjalankan kegiatan sindiket penipuan pendaftaran kad SIM prabayar secara tidak sah dengan modus operandi, suspek akan membeli kad SIM prabayar kosong daripada syarikat telekomunikasi yang sah secara pukal.

    “Menerusi kad SIM prabayar kosong ini, suspek akan menggodam untuk memperoleh senarai data peribadi orang lain yang mana data peribadi warga tempatan dan asing yang sebelum ini didaftarkan untuk sesuatu talian telefon itu kemudian akan dimasukkan dalam kad SIM prabayar kosong ini,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini.

    Katanya, selepas itu, sindiket berkenaan menjualnya kad SIM prabayar yang sudah mempunyai data peribadi orang lain kepada sindiket lain yang menjalankan kegiatan jenayah komersil seperti penipuan dalam talian, Macau Scam dan bermacam lagi jenayah penipuan dalam talian.

    Dalam serbuan itu juga pihaknya merampas peralatan yang digunakan oleh sindiket itu seperti 29 komputer termasuk skrin dan unit pemprosesan pusat (CPU), 13 papan kekunci komputer dan sebuah pemacu pena.

    “Selain itu, kita turut merampas 51 Sim Box (Sim Card Multiplexer) jenis GSM Gateway, 13 tetikus, sebuah wifi modem dan 3,084 kad SIM prabayar kosong dari syarikat telekomunikasi yang mana rampasan dianggarkan sebanyak RM130,000.

    “Sindiket ini dilihat menggunakan perniagaan menjual peralatan komunikasi dan kad SIM prabayar untuk mengaburi kegiatan jenayah dan jika diteliti juga kad SIM prabayar yang sudah mempunyai data peribadi orang lain ini tidak dijual kepada orang awam sebaliknya dijual kepada sindiket lain.

    “Berdasarkan pemeriksaan, kita juga mendapati syarikat ini sudah didaftarkan pada 2019 namun kegiatan ini dipercayai mula dilakukan pada awal tahun ini dan siasatan lanjut akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan berapa ramai mangsa yang sudah digunakan data peribadinya untuk kegiatan ini serta bagaimana data peribadi orang awam ini digodam dan diperolehi,” katanya.

    Suspek termasuk ketua sindiket berkenaan yang berusia 35 tahun itu kini direman sehingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memiliki kelengkapan atau peranti tidak standard.

    Orang ramai diminta membantu polis dengan menyalur maklumat aktiviti jenayah komersil melalui saluran ‘CCID Scam Response Centre menerusi talian 03-26101559/ 03-26101599 atau melalui aplikasi WhatsApp CCID Infoline menerusi talian 013-2111222 atau menghubungi balai polis yang berhampiran.