Category: Semasa

  • MCA, NGO tak wajar pertikai Modul Hadis 40 Imam Nawawi – Ulamak Pas

    MCA, NGO tak wajar pertikai Modul Hadis 40 Imam Nawawi – Ulamak Pas

    MCA dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam tidak wajar mempertikaikan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi untuk pelajar Islam.

    Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata, pembelajaran dan penghayatan hadis itu bukan suatu kesalahan yang perlu dibimbangkan.

    “Modul tersebut ialah sebahagian daripada langkah menerapkan penghayatan akhlak dan nilai murni kepada pelajar berpandukan ajaran Islam.

    “DUPP hairan bagaimana perkara sebegini begitu ditakutkan oleh sebilangan golongan bukan Islam.

    “Adakah ia kelangsungan usaha untuk mencucuk jarum Islamofobia dalam negara yang menjadi perjuangan segelintir ahli politik sehingga setiap perkara berkait dengan Islam sangat dibimbangkan oleh kelompok bukan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kementerian Pendidikan (KPM) pada 19 Ogos lalu melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah.

    Kontroversi tercetus apabila Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) membantah hasrat tersebut dan mendakwa ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta hak kebebasan beragama.

    Biro Perhubungan Etnik dan Hal Ehwal Agama MCA pula menggesa kerajaan menangguhkan terlebih dahulu agar ia boleh dibincangkan semula di peringkat Kabinet.

    Ahmad berkata, DUPP memberikan peringatan kepada kelompok tertentu agar jangan mencetuskan sentimen Islamofobia di negara.

    Katanya, pelaksanaan modul itu wajar disokong kerana ia berkait rapat dengan usaha mendekatkan pelajar kepada penghayatan kalam Rasulullah SAW yang merupakan sebahagian daripada panduan wahyu Ilahi.

    “Tidak wajar sekali pertikaian mahupun sebarang bentuk bantahan dikemukakan apatah lagi oleh golongan bukan Islam terhadap modul tersebut.

    “DUPP menyokong teguh langkah KPM memperkenalkan Modul Penghayatan 40 Hadith Imam Nawawi di sekolah-sekolah di bawah kementerian,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Dengar desakan akar umbi, lepaskan jawatan bagi memulihkan UMNO-Ismail Sabri

    Dengar desakan akar umbi, lepaskan jawatan bagi memulihkan UMNO-Ismail Sabri

    BEKAS Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan kepercayaannya terhadap keberanian kepimpinan Pemuda UMNO hari ini untuk membawa parti itu bangkit semula.

    “Pemuda UMNO sejak sekian lama terkenal dengan sifat berani dan tidak takut menyatakan pendirian atas kepentingan parti serta rakyat.

    “Pemuda juga mempunyai tanggungjawab berat untuk memastikan idealisme UMNO tidak tercemar dan sentiasa diminati anak muda.

    “Saya percaya dengan keberanian kepemimpinan Pemuda hari ini mampu untuk membawa parti bangkit kembali,” katanya menerusi Facebook beliau sempena ulang tahun ke-74 sayap UMNO itu.

    Ismail yang juga bekas Perdana Menteri turut mengimbas perjalanan politiknya bermula di Pemuda hingga memimpin Putrajaya.

    “Pemuda UMNO mengajar tentang idealisme dan membina jati diri untuk melangkah satu demi satu anak tangga sehingga ke puncak tertinggi, menerajui pentadbiran negara,” katanya memetik laporan FMT.

    Beliau turut menyertakan gambar barisan pemimpin Pemuda UMNO diketuai Dr. Akmal Saleh dalam hantaran itu.

    Pada 17 Ogos lalu, Akmal memberitahu kepimpinan parti agar ‘membuat perubahan’ atau berisiko dikuburkan, berikutan kekalahan teruk parti itu pada PRN 12 Ogos lalu.

    Pada pilihan raya itu, UMNO hanya menang 19 daripada 108 kerusi ditandingi, 14 di Negeri Sembilan, masing-masing dua kerusi di Selangor dan Pulau Pinang, hanya satu kerusi di Kelantan, tetapi gagal menang sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.

    Pada PRU15, UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga kalah teruk apabila hanya mampu menang 26 kerusi Parlimen.

    Susulan itu timbul desakan supaya Zahid meletak jawatan presiden antaranya oleh bekas Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

    Ismail pula menegaskan kekalahan parti itu menunjukkan kebencian dan kemarahan pengundi Melayu kepada UMNo ‘bertambah marak seperti api membakar jerami’ termasuk dalam kalangan penyokong dan ahli parti.

    Justeru, beliau menyeru pucuk pimpinan parti mendengar desakan akar umbi, termasuk melepaskan jawatan bagi memulihkan UMNO susulan kekalahan teruk itu.

  • Nahas Elmina: Lebih 10 individu dirakam percakapan – KP Selangor

    Nahas Elmina: Lebih 10 individu dirakam percakapan – KP Selangor

    POLIS telah memanggil lebih 10 individu setakat ini bagi merakam percakapan untuk membantu siasatan berhubung nahas pesawat terhempas berdekatan Bandar Elmina dekat Shah Alam pada 17 Julai lepas.

    Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata antara yang dipanggil ialah mereka yang mempunyai video rakaman kejadian, pihak syarikat penerbangan dan wakil Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

    “Kita kini menunggu sebarang perkembangan daripada siasatan daripada Biro Keselamatan Kemalangan Udara (BSKU),” katanya kepada media pada program PDRM Selangor Merdeka Ride and Carnival di Tapak Karnival, Stadium Shah Alam hari ini.

    Nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina itu mengorbankan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.

    Mereka terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam, masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta, yang menggunakan lebuh raya berkenaan.

    Sementara itu Hussein memaklumkan polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai dakwaan seorang individu menganai salah laku seorang anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang yang tular di media sosial semalam.

    Individu berkenaan mendakwa diugut seorang anggota polis berpangkat Sarjan selepas membuat aduan kepada pihak jabatan agama Islam dan pihak pengurusan polis berkenaan kes khalwat membabitkan anggota terbabit.

    “Siasatan telah diambil oleh pihak Ibu Pejabat Kontinjen Selangor dan kita akan lihat daripada laporan kedua-dua pihak. Kita akan buat siasatan lengkap sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan,” katanya.

  • Cari pendekatan baharu tangani isu paling mendesak negara – Sultan Nazrin

    Cari pendekatan baharu tangani isu paling mendesak negara – Sultan Nazrin

    BEBERAPA isu paling mendesak negara termasuk kemiskinan yang semakin meningkat dan ketaksamaan dalam masyarakat boleh ditangani melalui pendekatan serta penyelesaian baharu, titah Sultan Nazrin Shah.

    Sultan Perak bertitah, antara pendekatan itu ialah memperkasa belia dalam usaha mereka membantu golongan muda, tua dan terpinggir untuk mengatasi halangan struktur serta sistematik yang mereka hadapi.

    Baginda bertitah, ini boleh dicapai dengan menyediakan platform seperti Geran Anugerah Merdeka bagi Penempatan Antarabangsa yang diwujudkan pada 2012 untuk memberi peluang kepada mereka yang berusia di bawah 35 tahun mencipta penyelesaian dan memacu perubahan bagi menangani beberapa keperluan negara yang paling mendesak.

    “Sejak beberapa dekad lepas, dunia telah mengalami banyak perubahan yang menakjubkan dan mencatat pelbagai pencapaian penting. Negara kita turut mengalami perkembangan transformasi dalam ekonomi, infrastruktur dan modal insan.

    “Namun di sebalik kejayaan luar biasa yang kita capai secara kolektif, manusia terus berdepan cabaran getir dalam segala-galanya daripada akses kepada keperluan asas seperti air, makanan malahan tempat berlindung, kemiskinan dan ketaksamaan yang semakin meningkat, peralihan tenaga yang begitu lembap serta salah urus sisa pepejal,” titah baginda pada majlis penyerahan Geran Anugerah Merdeka.

    Justeru, Sultan Nazrin bertitah jika kita ingin mengubah naratif bagi memastikan masa depan yang lebih lestari untuk semua maka kita perlu menangani kebimbangan yang semakin meningkat ketika ini iaitu berkaitan penglibatan sosial dan pemuliharaan alam sekitar.

    “Jika kita ingin menangani isu mendesak yang kita hadapi secara kolektif dengan berkesan, kita perlu mencari pendekatan dan penyelesaian baharu,” titah baginda.

    Selaku Penaung Diraja dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, Sultan Nazrin berkata, geran Anugerah Merdeka diberikan kepada golongan muda yang berkelayakan bagi membolehkan mereka meneruskan projek di institusi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi membangunkan kepakaran mereka sendiri selain mengembangkan rangkaian masing-masing.

    Tahun ini, lebih 160 orang di seluruh Malaysia mengemukakan permohonan bagi membolehkan mereka meneruskan penyelidikan dan merealisasikan impian kerjaya mereka melalui kaedah ini namun hanya lima penerima telah dipilih.

    Mereka ialah Masni Mat Dong, seorang pensyarah dari Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman dan Syaza Soraya Sauli iaitu calon PhD bagi kategori pendidikan dan masyarakat dari Universiti Teknologi Malaysia.

    Penerima lain ialah Pembantu Profesor di Xiamen Universiti Malaysia, Dr Ng Chuck Chuan bagi kategori alam sekitar, Felow Pasca Doktoral Universiti Teknologi Nanyang, Dr Kong Xin Ying (kategori kesihatan, sains dan teknologi) dan Pegawai Penyelidik, Amaziasizamoria Jumail (alam sekitar).

    “Kelima-lima individu ini mewakili generasi belia yang menjadi nadi negara dan arkitek kemajuan masa depan kita.

    “Dengan memberikan mereka peluang untuk membantu membayangkan semula masyarakat yang lebih inklusif tanpa meminggirkan sesiapa, kita menyumbang kepada maruah semua manusia,” katanya.

    Turut hadir pada majlis itu Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

  • PRK: Tempoh kempen bermula, calon atur strategi pikat pengundi

    PRK: Tempoh kempen bermula, calon atur strategi pikat pengundi

    SEBAIK tamat tempoh proses penamaan calon pada pukul 10 pagi tadi, calon-calon yang layak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram kini mula ligat melaksanakan strategi untuk memikat pengundi.

    Bagi Naib Pengerusi Amanah Negara (Amanah) Johor Suhaizan Kaiat yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH), tempoh kempen selama 14 hari

    Suhaizan yang kali ketujuh memasuki gelanggang pilihan raya sebagai calon juga percaya gabungan kekuatan jentera PH-BN (Barisan Nasional) mampu memberikan momentum terhadap kempennya sekali gus membolehkan PH mengekalkan kemenangan di kawasan yang disandang oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini.

    “Kali ini saya lebih bersemangat dan lebih meyakinkan (untuk menang)… insya-Allah ia akan diterjemahkan pada kertas undi pada 9 Sept nanti.

    “Kita (BN-PH) tidak pernah ada sejarah kerjasama berkempen bersama dalam dua kelompok besar, ini kali pertama di Johor khususnya berdepan pada PRK ini,” katanya kepada pemberita selepas tamat proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Johor Bahru di Johor Bahru hari ini.

    PRK Parlimen Pulai menyaksikan Suhaizan menentang calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar dan seorang calon Bebas iaitu Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) Samsudin Mohamad Fauzi.

    Sementara itu, Zulkifli, 50, berkata tugasnya dalam PRK kali ini bukan sekadar membawa nama parti dan dirinya, tetapi juga legasi mentornya iaitu Menteri Besar Johor ke-16 Allahyarham Datuk Osman Sapian.

    Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai yang juga ahli perniagaan itu berkata beliau akan menggunakan pengalaman sebagai ahli perniagaan dalam bidang logistik dan pengangkutan untuk membantu rakyat meningkatkan taraf ekonomi menerusi perniagaan.

    “Selain itu, saya juga mahu memberikan fokus terhadap kesejahteraan rakyat dan apa perkara yang dilihat kurang diambil perhatian di Pulai, akan diambil perhatian,” katanya.

    Bagi calon Bebas di Parlimen Pulai, Samsudin yang bertanding dengan menggunakan logo kunci pula mempunyai visi untuk membawa suara rakyat terutama dalam isu kenaikan harga barang dan kes-kes penipuan.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lepas, Samsudin 47, pernah bertanding juga atas tiket sama di Parlimen Putrajaya.

    Senarai rasmi calon yang bertanding pada PRK Parlimen Pulai itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kerusi Parlimen Pulai Miswan Yunus.

    Di MUAR, perebutan kerusi DUN Simpang Jeram turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri Nazri Abdul Rahman, calon PN iaitu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Mazri Yahya dan calon Bebas yang merupakan ahli perniagaan, S.Jeganathan.

    Nazri yang pernah berkhidmat dengan Salahuddin, mahu mendekati pengundi dengan melaksanakan kempen yang bersih dalam suasana harmoni, tanpa menyentuh apa-apa isu berkaitan 3R (kaum, agama dan raja).

    “Hasrat saya agar tiada provokasi dan segalanya berjalan dengan baik dan mudah-mudahan diberi kemenangan,” katanya.

    Sementara itu, Dr Mohd Mazri, 54, yang merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat juga berharap agar calon dan jentera parti dapat bersaing dengan sihat, selain memuji kelancaran proses penamaan calon yang dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Calon Bebas, Jeganathan yang bertanding menggunakan logo gajah turut menyuarakan nada sama dan yang mahukan semua pihak yang berkempen tidak menyentuh isu perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian kaum.

    SPR menetapkan PRK Pulai dan Simpang Jeram diadakan serentak susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara pada 23 Julai lepas.

    Suruhanjaya itu menetapkan 5 Sept sebagai hari pengundian awal, manakala 9 Sept hari mengundi.

    Berdasarkan data SPR setakat 23 Julai lepas, seramai 166,653 individu layak mengundi bagi kerusi Parlimen Pulai dan bagi DUN Simpang Jeram pula seramai 40,379 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat baharu.

  • Budak 7 tahun mangsa dera dijaga ibu saudara, kata menteri

    Budak 7 tahun mangsa dera dijaga ibu saudara, kata menteri

    KANAK-KANAK lelaki berusia tujuh tahun yang menjadi mangsa dera ibu kandung dan kenalannya di Pasir Gudang, Johor pada awal bulan ini telah diserahkan kepada ibu saudaranya untuk jagaan.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata penyerahan itu dilakukan selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat penilaian terhadap waris yang layak dan sesuai untuk mengambil tanggungjawab menjaga kanak-kanak berkenaan.

    “Setelah melalui penilaian, didapati ibu saudara mangsa itu memang layak menjaganya sebab dia merupakan keluarga terdekat. Namun, sepanjang penjagaannya nanti, JKM akan pantau dan memeriksa keadaan kanak-kanak itu kerana dia (mangsa) masih trauma.

    “ … kita sudah menjalankan rawatan pemulihan terhadap mangsa supaya (dapat) mengembalikan keyakinannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pemimpin Wanita Muda anjuran Institut Pengurusan Wanita di Kuala Lumpur hari ini.

    Pada 16 Ogos lepas, seorang ibu tunggal dan rakan wanitanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menganiaya dan mengabaikan anak lelakinya berusia tujuh tahun di Pasir Gudang.

    Sebelum itu, tular beberapa rakaman video dan gambar menunjukkan orang awam menyerbu sebuah rumah dipercayai bagi menyelamatkan kanak-kanak yang disyaki didera oleh ibu kandung dan seorang rakannya.

  • SPRM lancar bilik gerakan aduan rasuah sepanjang PRK di Johor

    SPRM lancar bilik gerakan aduan rasuah sepanjang PRK di Johor

    ORANG ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan mengenai perbuatan rasuah sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi kenyataan berkata, aduan itu boleh disalurkan di dua bilik gerakan di Johor yang dilancarkan hari ini.

    “Bilik gerakan itu akan beroperasi 24 jam mulai hari ini sehingga 9 September depan.

    “SPRM boleh dihubungi menerusi talian 07-2316000 (Pejabat SPRM Johor) dan 07-4321982 (Pejabat SPRM Cawangan Batu Pahat),” menurut kenyataan itu.

    Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui e-mel kepada [email protected] atau menghubungi talian 010-8414384.

    SPRM mengingatkan semua calon dan parti politik yang bertanding supaya tidak melakukan aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

  • Untitled post 85209

    KERAJAAN Selangor diingatkan agar tidak meminggirkan kemajuan di daerah Kuala Selangor meskipun kelima-lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu.

    Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, kerajaan di bawah pimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari perlu mengetepikan soal politik dalam usaha membangunkan negeri ini.

    “Sebagai bekas pemimpin di Selangor ini, saya hendak melihat bahawa negeri ini dimajukan secara adil kepada semua rakyat,” katanya ketika ditemui pada Program Pengedaran Jalur Gemilang kepada penjaja di Pekan Tanjong Karang, Kuala Selangor hari ini.

    Justeru, Noh berkata, kerajaan Selangor mestilah memberi peruntukan sama rata kepada semua ADUN pembangkang bagi tujuan pembangunan dan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.

    “Walaupun lima DUN dalam daerah Kuala Selangor dimenangi pembangkang, kita harap kerajaan negeri hendaklah berlaku adil kepada ADUN terbabit untuk bersama-sama kerajaan negeri membangunkan daerah ini,” katanya.

    Katanya, sejarah pilihan raya di Kuala Selangor yang mempunyai dua Parlimen dan lima DUN itu mencipta sejarah luar biasa apabila enam daripada tujuh kerusi dimenangi pembangkang.

    “Di daerah (Kuala Selangor) ini, PH (Pakatan Harapan) hanya memenangi satu kerusi Parlimen Kuala Selangor, manakala Parlimen Tanjong Karang dan semua lima DUN dimenangi oleh PN (Perikatan Nasional).

    “Tidak pernah berlaku lagi Kuala Selangor ini dikuasai pembangkang yang dulunya kawasan ini pernah menjadi kubu kuat BN (Barisan Nasional), tetapi hari ini telah pun berubah apabila ia menjadi kubu kuat Pas dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia),” katanya.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Parlimen Kuala Selangor dimenangi penyandangnya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad daripada PH dan Parlimen Tanjong Karang pula dimenangi PN menerusi Kapten (B) Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi.

    Lima DUN dimenangi PN iaitu di DUN Sungai Burong, Dr. Mohd Zamri Mohd. Zainuldin dan DUN Permatang, Nurul Syazwani Noh.

  • PRK: PN kemuka calon terbaik, kata Takiyuddin

    PRK: PN kemuka calon terbaik, kata Takiyuddin

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Perikatan Nasional (PN) mengemukakan calon terbaik pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dengan menampilkan Dr. Mazri Yahya.

    “Kita yakin Dr. Mazri mampu melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang diberikan dengan baik.

    “Kali ini, kita telah kemukakan calon yang terbaik… malah profession beliau juga memberikan perkhidmatan kepada semua orang.

    “Kita tampilkan beliau sebagai calon di Simpang Jeram ini dan harap dapat sambutan daripada pengundi.

    “Lagi pun, prestasi kita dalam PRN Johor pun agak memberangsangkan dan kita yakin dengan gelombang kebangkitan rakyat terutamanya sokongan yang diberikan menjadi petanda baik kepada kita,” katanya.

    Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Jubli Intan, Muar, hari ini.

    Mengulas mengenai ulasan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menulis dalam kolum Minda Presiden, Takiyuddin berkata, pihaknya akan melihat dahulu pihak yang memberikan alasan tersebut.

    “Jika kenyataan itu sememangnya bercanggah kepentingan dengan kami, memang kami tak ambil kira.

    “Tetapi kami akan ambil kira jika ulasan yang dibuat itu adil, ada fakta-fakta yang cukup atau pandangan pihak yang tidak bercanggah, kami akan berikan perhatian.

    “Apa pun, apa juga ulasan yang diterima, ia nyata tidak memberikan kesan kepada kempen Pas pada PRK kali ini,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • PRK:Sambutan Islam, bukan Islam baik-Dr. Mazri

    PRK:Sambutan Islam, bukan Islam baik-Dr. Mazri

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Dr. Mazri Yahya mengakui memikul amanah yang berat untuk menang tetapi tidak tidak mustahil.

    Beliau akan cuba sedaya upaya melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan itu dengan sebaik-baiknya kelak.

    “Saya nak ucap terima kasih kepada Tuan Guru (Tan Sri Hadi Awang) Presiden, dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin (Yassin) yang berikan Amanah berat ini kepada saya.

    “Memang berat untuk saya terjemahkan cita-cita dan wawasan yang di bawa ke seluruh Johor.

    “Kita lihat sokongan daripada orang Islam dan bukan Islam agak baik dan ia memberikan petanda baik untuk kita bawa gelombang PN ke selatan tanah air,” katanya.

    Dr. Mazri berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Jubli Intan di Muar, hari ini.

    Untuk rekod, kerusi DUN Simpang Jeram kosong susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

    Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin berkata, Mazri dilihat sebagai calon pilihan terbaik ditampilkan PN pada PRK kali ini.

    “Saya juga melihat bahawa calon kita kali ini merupakan calon terbaik, seorang doktor dan merupakan golongan profesional.

    “Bagi saya, ia juga satu perkembangan yang baik untuk penduduk di Simpang Jeram ini yang perlukan seorang doktor bagi membantu rakyat,” katanya, lapor Sinar Harian.