Category: Semasa

  • Penjawat awam merana bayaran pinjaman peribadi melonjak bank naikkan BLR

    Penjawat awam merana bayaran pinjaman peribadi melonjak bank naikkan BLR

    SEORANG penjawat awam terkejut bayaran balik pinjaman peribadinya bank melonjak dalam jumlah yang banyak selepas bank melaraskan kadar asas (KA) dan kadar asas pinjaman (KAP), Mei lalu.

    Dia yang enggan mendedahkan namanya berkata, lonjakan bayaran itu sehingga RM600 sebulan sekali gus membebankannya.

    Sebelum ini bayaran balik pinjamannya RM1,450 sebulan, tetapi bermula akhir bulan ini dia diperlukan membayar RM2,072 sebulan. Saya terpaksa tanggung perbelanjaan bayaran balik yang terlebih sangat.

    “Selepas bank isytihar naikkan BLR (kadar pinjaman asas), saya kena bayar lebih RM2,000 setiap bulan. Dengan harga barangan yang hampir semua meningkat, apa yang tinggal untuk saya tanggung keluarga,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

    Katanya, pada 8 Jun lepas, beliau menerima surat rasmi daripada bank berkenaan menyatakan kadar KA dan KAP telah berubah daripada 2.60 peratus ke 2.85 peratus berkuat kuasa 20 Mei 2022.

    Dia membuat pinjaman peribadi sebanyak RM100,000, empat tahun lepas dan kini berbaki sekitar dua tahun untuk melunaskannya.

    Sudah 28 tahun berkhidmat untuk negara, dia terkejut dengan peningkatan mendadak itu dan berasa kecewa dengan kerajaan yang dilihat tidak membuat kajian menyeluruh sebelum bertindak menaikkan kadar dasar semalaman (OPR).

    Kenaikan OPR oleh Bank Negara Malaysia (BNM) itu menyaksikan rata-rata bank tempatan di negara ini mula menaikkan KA dan KAP masing-masing, sehingga menjejaskan rakyat.

    “Bagi saya, kerajaan kena ada mekanisme untuk kaji sesuatu dengan lebih mendalam dan kesannya terhadap orang kebanyakan.

    “Kalau harga barang dah naik lepas itu kerajaan naikkan lagi kadar bayaran balik pinjaman, macam mana orang nak seimbangkan dengan harga barang? Kaji betul-betul dulu,” tegasnya.

    Bakal bersara sekitar dua tahun lagi, penjawat awam ini sebak memikirkan masa depan keluarga terutama anak-anaknya yang masih bersekolah.

    “Saya ada anak yang masih bersekolah. Tiga orang masih bersekolah, dua orang sedang melanjutkan pelajaran di universiti. Semua masih bergantung pada mak ayah mereka. Sudahlah harga barang semua naik,” ceritanya.

  • Petanda bencana sistem pendidikan apabila guru ‘tipu’ tahap penguasaan murid

    Petanda bencana sistem pendidikan apabila guru ‘tipu’ tahap penguasaan murid

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) perlu mengambil serius berkenaan kes guru ‘terpaksa menipu’ mengenai tahap penguasaan (TP) murid mereka supaya sejajar dengan apa dikehendaki pihak atasan.

    Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Othman Talib berkata, perkara tersebut tidak boleh dibiarkan dan perlu diambil perhatian.

    “Pengakuan guru berkenaan baru-baru ini harus dilihat daripada sudut lebih luas, termasuk punca fenomena guru bersara awal.

    “Bayangkan, kita tak pernah dengar selama ini ada cikgu yang mengaku menipu (mengenai prestasi pelajar). Jika benar, ini satu ‘turning point’ yang sangat negatif.

    “Pihak atasan perlu berbuat sesuatu supaya tidak dianggap merestui tindakan guru yang mendakwa terdesak meletakkan TP yang lebih tinggi. Jika dibiarkan, sangat dibimbangi fenomena ini akan menjadi satu penyakit pula,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

    Terdahulu, tular laporan guru bahasa Inggeris, Wan Maizura Kamaruddin, 53, nekad bersara awal kerana tidak tahan dengan lambakan kerja bukan mengajar sehingga terpaksa menipu TP anak murid.

    “Kadang-kadang saya terpaksa menipu dalam memberi markah tahap penguasaan murid walaupun budak itu tidak tahu membaca,” Wan Maizura dipetik berkata.

    Beliau mengaku berbuat demikian kerana mahu memastikan laporan TP anak muridnya itu menunjukkan ‘data cantik’, untuk mengelak diambil tindakan.

    “Majoriti (guru) menipu demi nak mendapatkan data yang cantik,” kata Wan Maizura.

    Sumber memberitahu FMT, ramai guru bimbang diambil tindakan oleh guru besar sekolah atau pejabat pendidikan daerah (PPD) jika tidak mengemukakan rekod TP pelajar yang cemerlang, walaupun realiti adalah sebaliknya.

    Wan Maizura pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Presint 16 (1), Putrajaya namun bersara lebih awal kerana menganggap tugasan di luar tanggungjawab sebagai pendidik yang dipikulnya, terlampau membebankan.

    Mengulas perkara itu, Othman berkata suara guru terhadap tekanan beban kerja semakin lantang dan menggesa KPM serius menangani isu itu.

    “Munculnya hasrat memilih untuk bersara awal akibat daripada tekanan kerja menyebabkan ada guru yang ‘burn out’ atau lesu upaya, jadi mereka sanggup meletakkan jawatan lebih awal,” katanya.

    Pada 25 April lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin, berkata pola guru bersara awal antara 2017 hingga 2022 hampir sama dan ia bukan naik mendadak.

    KPM sebelum ini mendedahkan sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru antara Januari hingga November tahun lalu.

    Bagaimanapun, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menganggarkan lebih 10,000 guru membuat pilihan bersara awal setiap tahun kebelakangan ini, jauh mengatasi statistik KPM.

    Othman yang berpengaruh di media sosial berhubung isu pendidikan berkata, tekanan guru berkait beban kerja bukan mengajar bermula apabila Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dimansuhkan.

    Susulan pemansuhan itu, KPM memberi keutamaan kepada pentaksiran bilik darjah (PBD) yang merangkumi penilaian TP setiap murid sekolah.

    Othman berkata, guru diwajib mengemukakan ribuan laporan TP pelajar untuk setiap ‘unit’ dalam setiap satu mata pelajaran.

    “Guru di seluruh negara kena laksanakan pengisian TP tersebut dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5. Semua data kena cantik dengan minimum TP3 atau guru dikatakan ‘gagal’ mengajar murid,” kata Othman.

    “Selain mengisi TP ke dalam borang transit, guru juga perlu masukkan data yang sama ke dalam sistem (komputer). Ini adalah kerja yang bertindih. Silibus yang padat dan bilangan murid yang ramai tambah menyukarkan guru membuat intervensi jika murid tidak mencapai tahap penguasaan yang sepatutnya,” katanya.

    Beliau berkata, sistem TP di Malaysia tidak dilaksanakan di mana-mana negara lain, termasuk negara maju.

    Othman hairan kenapa pegawai kanan di KPM tidak melihat cara penilaian dan pengisian TP yang berulang sebagai sesuatu yang tidak realistik dan menjadi beban kepada guru.

  • Bau busuk dedah pelajar universiti meninggal dunia dalam bilik

    Bau busuk dedah pelajar universiti meninggal dunia dalam bilik

    MISTERI bau busuk di sebuah kolej kediaman sebuah universiti di Serdang membawa kepada penemuan mayat lelaki di sebuah bilik, semalam.

    Kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak polis dari pusat kawalan universiti berkenaan pada pukul 7.45 petang.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, mayat yang ditemui merupakan seorang pelajar jurusan sarjana Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi serta berumur 29 tahun.

    “Siasatan awal mendapati, mangsa mengambil kursus Master Sastera di semester enam (tahun akhir) dan tinggal di bilik kolej kediaman tersebut seorang diri.

    “Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tidak memakai baju, berseluar panjang dalam keadaan baring terlentang di atas lantai tepi katil,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Katanya, siasatan awal di lokasi mendapati pintu bilik mangsa dalam keadaan berkunci dan tingkap tertutup rapat.

    “Selain itu, pemeriksaan mendapati barangan berharga seperti komputer riba dan telefon bimbit mangsa masih berada di dalam bilik.

    “Mayat mangsa ditemui pukul 4.30 petang oleh saksi kejadian kerana lama tidak berjumpa mangsa. Ketika itu, saksi terbau bau busuk dari bilik mangsa,” katanya.

    Menurutnya, saksi kemudian bersama beberapa kakitangan universiti berkenaan dan pelajar membuka pintu bilik mangsa menggunakan kunci pendua.

    “Apabila pintu dibuka, mangsa didapati berada dalam keadaan terbaring dan bilik berbau busuk.

    “Siasatan turut mendapati kali terakhir mangsa dijumpai adalah pada dua hari lalu,” katanya.

    Ujar Anbalagan, hasil siasatan di lokasi bagaimapun mendapati tiada unsur-unsur jenayah.

    “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya.

  • Pengasas pusat rawatan Islam ditahan kerana disyaki berkhalwat

    Pengasas pusat rawatan Islam ditahan kerana disyaki berkhalwat

    LELAKI warga emas dipercayai pengasas sebuah pusat perubatan Islam dekat Alor Gajah, dicekup selepas disyaki berkhalwat dengan pekerjanya di sebuah rumah teres di Masjid Tanah, malam tadi.

    Tangkapan dibuat selepas lelaki berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan ketika diminta pihak berkuasa meskipun mendakwa sudah bernikah di negara jiran pada 2012.

    Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, serbuan pukul 11.30 malam itu dilakukan hasil maklumat orang awam berhubung kegiatan lelaki warga negara jiran berusia 60-an itu bersama pasangannya berusia 40-an.

    Menurut beliau, hasil siasatan JAIM mendapati, lelaki itu mengamalkan kaedah ‘perubatan jarak jauh’ bagi membuang saka serta mempunyai ribuan pengikut di seluruh negara termasuk mempunyai saluran YouTube sendiri.

    “Bertindak atas maklumat itu, sepasukan penguat kuasa JAIM mengesan aktiviti maksiat di sebuah rumah teres di Alor Gajah dan berjaya menahan lelaki itu bersama pasangannya yang merupakan seorang ibu tunggal anak satu.

    “Dia mendakwa sudah berkahwin di negara jiran pada 2012, namun gagal menyerahkan dokumen pernikahan yang sah apabila diminta dan memberi alasan ia sudah diserahkan kepada pihak lain untuk urusan pendaftaran walaupun sudah hampir 10 tahun,” kata Che Sukri kepada media selepas menyertai operasi cegah maksiat yang berakhir pukul 3.30 pagi, mengikut laporan Berita Harian.

    Tambahnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 53 (1) dan (2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 kerana berkurung atau bersekediaman sehingga mendatangkan syak

    Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda maksimum RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

    Dalam pada itu, Che Sukri berkata, pihaknya sedang memantau kaedah perubatan jarak jauh diamalkan lelaki terbabit dan merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

    “Kita sedang menunggu keputusan terakhir daripada pihak Jawatankuasa Fatwa, jika kaedah rawatan itu disahkan bertentangan dengan Islam, mereka berhak untuk halang dia termasuk menasihatkan pengikutnya supaya tidak mendekati kaedah rawatan itu,” katanya.

  • Pejalan kaki maut, melambung dirempuh MPV

    Pejalan kaki maut, melambung dirempuh MPV

    SEORANG Pejalan kaki maut dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kampung Dendang, Ketereh, pada pukul 12.40 tengah hari semalam.

    Dalam kejadian itu, mangsa, Che Hashiam Hassan, 46, maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Kominisoner Mohd. Rosdi Daud, siasatan awal mendapati, MPV jenis Honda Stream dinaiki dua lelaki dalam perjalanan dari arah Kok Lanas menghala ke Ketereh.

    Katanya, setibanya di Kampung Dendang MPV dipandu lelaki berusia 19 tahun itu dipercayai hilang kawalan selepas dipandu laju.

    “MPV tersebut kemudian terbabas ke kiri jalan lalu melanggar mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa melambung dan terjatuh di atas laluan utama menghala ke Ketereh.

    Mohd. Rosdi berkata, MPV tersebut kemudian terlanggar bahagian hadapan sebelah kanan treler yang datang dari Ketereh menghala ke arah Kok Lanas.

    “Akibatnya MPV itu tercampak dan tersadai di bahu kiri jalan arah ke Ketereh.

    “Pemandu dan penumpang MPV itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut,” katanya.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41( (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Tarikh Hari Raya Aidiladha dijangka diumum hari ini

    Tarikh Hari Raya Aidiladha dijangka diumum hari ini

    PENYIMPAN Mohor Besar Raja-Raja dijangka membuat pengumuman rasmi berhubung tarikh sebenar Hari Raya Aidiladha hari ini.

    Tarikh itu akan diumum selepas sesi pencerapan yang akan dilakukan panel falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada petang nanti.

    Astro Awani melaporkan, setakat ini, tarikh perayaan itu masih kekal seperti diwartakan dalam takwim rasmi kerajaan iaitu pada 10 Julai ini.

    Ketika ini terdapat sejumlah 29 tempat cerapan diwartakan oleh Majlis Raja-Raja di seluruh negara sejak 2011 yang ditugaskan bagi melihat kesemua 12 anak bulan Hijri sepanjang tahun.

  • Pastikan kesahihan jika ditawar visa furada-Idris

    Pastikan kesahihan jika ditawar visa furada-Idris

    UMAT Islam di negara ini dinasihatkan supaya lebih teliti dan berhati-hati sebelum menggunakan khidmat mana-mana pihak yang menawarkan visa furada bagi menunaikan ibadah haji.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata ini bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menawarkan pakej haji palsu.

    “Visa furada adalah visa yang tidak berkaitan dengan Tabung Haji (TH). Kita harapkan biar ‘verify’ (sahkan) elok-elok. Kita tak mahu nanti apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini, bebannya nanti diletakkan pada TH.

    “Sebab itu kita harapkan supaya apa sekalipun, pastikan supaya visa itu memang tulen dan ada penerbangan dan penginapan di sana. Itu yang kita harapkan kepada mereka kalau ditawarkan dengan visa furada ini,” katanya kepada Bernama.

    Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi tanpa melibatkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

    Bernama sebelum ini melaporkan hasil tinjauan menerusi media sosial mendapati promosi berkaitan visa furada semakin rancak dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menjanjikan bakal jemaah berlepas pada 5 Julai.

    Promosi itu agak meragukan kerana Arab Saudi telah menetapkan penerbangan terakhir bagi haji adalah pada 4 Julai apatah lagi ia semakin hampir dengan Hari Wukuf.

    Pakej yang ditawarkan bermula daripada RM38,000 hingga RM56,000 dengan bayaran pendahuluan RM15,000 untuk urusan visa di Kedutaan Arab Saudi.

    Meskipun meminta deposit, pelanggan dimaklumkan peluang ke Tanah Suci hanyalah 50-50, dan sekiranya gagal, wang akan dikembalikan pada tempoh yang tidak dapat dipastikan atau pemohon boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa berdasarkan resit yang akan diserahkan.

  • Polis buru lelaki tunjuk kemaluan depan sekolah

    Polis buru lelaki tunjuk kemaluan depan sekolah

    SEORANG lelaki yang menunjukkan kemaluan di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Presint 9 (2) di Putrajaya, semalam, kini diburu polis kerana berkelakuan tidak senonoh.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya melancarkan gerakan memburu lelaki terbabit selepas menerima laporan berhubung kejadian itu daripada dua pelajar tingkatan tiga sekolah berkenaan pada hari kejadian.

    “Polis sudah berjaya mendapatkan butiran suspek berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan yang dikongsi pelajar berkenaan.

    “Berdasarkan laporan mangsa, kejadian itu berlaku di hadapan tempat letak kereta awam di hadapan kompleks sekolah itu.

    “Menurut laporan, mangsa mendakwa didekati seorang pemuda yang menaiki Proton Persona berwarna kelabu dan bertanyakan sesuatu kepada pelajar itu,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Asmadi berkata, sejurus selepas itu, suspek tiba-tiba membuka zip seluar dan menunjukkan kemaluannya kepada pelajar perempuan berkenaan.

    Katanya, pelajar yang dalam ketakutan itu kemudiannya melarikan diri namun sempat merakam gambar kereta dan nombor pendaftaran kenderaan itu.

    “Polis giat menjejaki suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(a) Akta Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

  • Sokong sesiapa sahaja menang PRU-15: Warisan parti tiada prinsip – Yadzil

    Sokong sesiapa sahaja menang PRU-15: Warisan parti tiada prinsip – Yadzil

    PENDIRIAN Warisan diketuai Datuk Seri Shafie Apdal untuk menyokong sesiapa sahaja yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti menunjukkan parti itu tiada prinsip perjuangan.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, bukan sahaja parti, malah pendirian itu menunjukkan ketua parti itu juga tiada prinsip dan sanggup menjual diri kepada sesiapa sahaja yang berkuasa asalkan mereka diberi ruang memegang jawatan.

    “Jika Shafie ada prinsip, sepatutnya prinsip itulah yang diperjuangkan tanpa mengira siapa yang menang. Bukan melupakan prinsip hanya kerana mahu diterima oleh pemenang,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau mengulas kenyataan Shafie dalam satu sesi live streaming yang memberitahu Warisan sedia bekerjasama dengan mana-mana gabungan parti politik menang PRU-15 sebagai tanda menghormati pilihan rakyat.

    Mohd Yadzil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bemban berkata, kenyataan Shafie juga membuktikan dia sudah tahu Warisan tidak akan menang dengan signifikan dalam pilihanraya.

    “Maka Shafie tiada pilihan melainkan mengikut saja mana-mana parti lain yang boleh beri Warisan jawatan. Shafie memposisikan Warisan sebagai parti yang rela mengekori orang lain sahaja,” katanya.

    Justeru, katanysa, rakyat Malaysia mesti sedar hakikat sebenar mengenai Warisan.

    “Ia adalah sebuah parti yang semakin lumpuh, tidak ada prinsip, dan dipimpin oleh mereka yang sanggup menjual parti kepada sesiapa sahaja asalkan diberi sedikit kuasa.

    “Warisan adalah parti yang tiada asas perjuangan,’ katanya

  • Jangan pandang ‘lekeh’ Pas dan Bersatu di Kedah

    Jangan pandang ‘lekeh’ Pas dan Bersatu di Kedah

    ANALISIS

    Oleh BADLISHAH MAT

    DI atas kertas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas yang kini berkolaborasi di bawah payung Perikatan Nasional (PN) dilihat memiliki peluang lebih cerah untuk mempertahankan Kerajaan Negeri Kedah tanpa kelibat UMNO.

    Meskipun kalangan pemimpin Pas menggambarkan tetap mahu mempertahankan kerjasama Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO, tetapi mereka sebenarnya tidak ada masalah andai hanya perlu bersama Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Bukan mahu memberikan ‘gula-gula’ kepada pimpinan dan penyokong PN, tetapi rakyat Kedah amat cerdik berpolitik dalam menentukan siapa yang lebih layak untuk mentabir negeri kesayangan mereka itu.

    Sejarah telah membuktikan bukan setakat UMNO-Barisan Nasional (BN) yang pernah menjadi kerajaan di Kedah, tetapi Pas juga pernah membentuk kerajaan negeri bersama-sama rakan politik mereka pada 2008.

    Ketika itu, mereka menguasai 23 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). 17 kemenangan berpihak kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas, manakala lima lagi dimenangi PKR dan satu kerusi kepada DAP.

    Tidak ada tsunami politik berlaku pada PRU-12 yang mungkin memberi laluan mudah untuk Pas menang. Tetapi percaturan parti itu dalam setiap pilihan raya di negeri ini sentiasa menjadi sehinggakan sejak hampir 50 tahun lalu, tidak pernah Pas tiada wakil dalam DUN Kedah.

    Apatah lagi kini bersama Bersatu yang boleh menjadi alternatif kepada UMNO. Memang mereka tidak boleh dipandang lekeh. Bersatu pula memiliki enam kerusi DUN dan turut pernah mengetuai Kerajaan Kedah.

    Dalam pertandingan tiga penjuru pada PRU-14 lalu pun, Pas mampu menang 15 kerusi DUN Kedah walaupun hanya berada dalam Gagasan Sejahtera tanpa parti-parti politik besar lain.

    Mereka berjaya kekalkan lima kerusi iaitu Bukit Pinang, Tokai, Sungai Limau, Kuala Ketil dan Merbau Pulas. Malah, merampas semula Ayer Hitam, Kuala Nerang, Pedu, Bukit Lada, Belantek, Jeneri, Tanjung Dawai, Pantai Merdeka, Bayu dan Kupang.

    Jika Pas tidak memiliki kerusi sebanyak itu pada PRU-15, amat-amat mustahil untuk mereka mengambil alih pentadbiran negeri Kedah daripada Pakatan Harapan (PH) pada Mei 2020.

    Kini dengan sokongan Bersatu, momentum untuk mempertahankan Kedah di bawah PN kekal tinggi tanpa pula dengan populariti Datuk Seri Muhammad Sanusi. Namun, tidak ada salahnya jika kedua-dua parti itu mengambil langkah waspada bagi mengukuhkan lagi kerjasama di negeri itu.

    Jika ada pihak yang membuat ramalan bahawa sukar untuk Pas mengekalkan Kedah, anggap sahaja tilikan itu sebagai peringatan yang berguna kepada PN. Tidak rugi berjaga-jaga kerana dalam politik apa sahaja boleh berlaku.

    Namun, sejarah telah membuktikan amalan demokrasi di negeri ini berjaya meletakkan wakil Pas dan Bersatu di DUN Kedah.