Category: Semasa

  • Pijak kepala lelaki tidak dikenali sehingga maut, peniaga dihukum gantung

    Pijak kepala lelaki tidak dikenali sehingga maut, peniaga dihukum gantung

    TINDAKAN seorang peniaga membunuh dengan memijak kepala seorang lelaki yang tidak dikenali sehingga menyebabkan kematian, enam tahun lalu membawa padah apabila dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Melaka hari ini.

    Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin menetapkan hukuman itu terhadap tertuduh, S Pandiaraj, 33, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pembelaan.

    Ahmad Nasfy dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati kecederaan yang dialami mangsa, S Ammos Devaprraven, yang ketika itu berusia 27 tahun sehingga menyebabkan kematian tidak konsisten dengan kemalangan jalan raya, lapor Astro AWANI.

    Sebaliknya, berdasarkan penelitian keterangan saksi pendakwaan dan disokong oleh saksi forensik, tindakan tertuduh sendiri telah menyebabkan kecederaan fatal (membawa kematian).

    Justeru katanya, selepas melakukan pertimbangan, mahkamah turut berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Terdahulu, mengikut pertuduhan, tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas didakwa bagi mencapai niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap mangsa dalam kejadian di Jalan Tun Ali, kira-kira 4.30 pagi, pada 23 Oktober 2016.

    Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Ahmad Sazali Omar dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nabilalif Mohd Rosli manakala tertuduh diwakili peguam Paul Krishnaraja.

    Pihak pendakwaan dalam hujahannya memaklumkan, mangsa telah dipijak selama seminit di bahagian kepala oleh tertuduh selepas lelaki itu tidak berpuas hati dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh mangsa.

    Mangsa kemudian dibawa ke hospital oleh dua individu, dan membuat laporan palsu bahawa si mati telah dilanggar lari sebelum memaklumkan perkara sebenar bahawa mangsa sebenarnya telah dipijak di muka.

    Pendakwaan dibuat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Seramai 16 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang prosiding berjalan sejak tahun 2018 lalu.

  • Inkues kematian baby Syifa bermula 22 September

    Inkues kematian baby Syifa bermula 22 September

    INKUES bagi menentukan punca kematian Nour Rania Asyifaa Yuseri berusia 15 bulan ketika di bawah jagaan sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan di Seremban, akan bermula di Mahkamah Koroner Seremban pada 22 Sept ini.

    Hakim Rushan Lutfi Mohamed juga menetapkan 10 dan 17 Nov bagi prosiding inkues itu selepas kes disebut di hadapannya hari ini.

    Prosiding kes itu sepatutnya berlangsung di hadapan Koroner lain, bagaimanapun beliau tidak dapat hadir kerana berkursus.

    Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Husni Fairos Ramly yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues memohon mahkamah mengeluarkan perintah interim supaya bapa mangsa, Yuseri Yusoff tidak membuat sebarang perkongsian di laman sosial yang menyentuh peranan mahkamah, peguam dan polis bagi memastikan prosiding inkues itu berjalan lancar.

    Rushan Lutfi membenarkan permohonan pendakwaan untuk mendapatkan perintah interim itu sehingga permohonan secara bertulis dikemukakan kepada mahkamah.

    “Mahkamah mengarahkan Yuseri Yusoff supaya tidak membuat sebarang komen atau berkongsi maklumat atau dokumen dalam media sosial atau mana-mana media mengenai kes ini sehingga kes selesai,” kata hakim itu.

    Peguam Muhammad Amin Anuar dan Gaithri Thomas bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga bayi itu, manakala Norliana Ali Othman bagi pihak pengasuh dalam kes tersebut.

    Media melaporkan pada 23 Feb lepas, Nour Rania atau ‘baby Syifa’ ditemui tidak sedarkan diri, selepas dipercayai lehernya tersangkut pada kain buaian di pusat asuhan itu pada kira-kira 3 petang.

    Kejadian berlaku selepas mangsa dikatakan ditidurkan dalam buaian di sebuah bilik oleh pengasuhnya.

  • Pemandu lori mengaku cedera isteri, ibu mentua

    Pemandu lori mengaku cedera isteri, ibu mentua

    PEMANDU lori didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas dua pertuduhan mencederakan isteri dan ibu mentuanya di Kampung Cabang Empat, Tumpat, minggu lalu.

    Tertuduh, Wan Mohammad Hafizuddin Wan Ismail, 27, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh dengan sengaja mencederakan ibu mentuanya, Tuan Azizah Tuan Bongsu, 61, dan isterinya, Nik Salma Joni, 26, menggunakan pisau yang boleh menyebabkan kematian.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Cabang Empat, Tumpat, pukul 5.30 petang, 21 Jun lalu, lapor Harian Metro.

    Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama 326A Kanun Keseksaan dan dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama 326A Kanun Keseksaan bagi pertuduhan kedua.

    Bagi Seksyen 324 Kanun Keseksaan, ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua, manakala Seksyen 326 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar dan tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Hajarul Falenna memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana dibimbangi tertuduh mengganggu saksi.

    Mahkamah kemudian tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh dan menetapkan 5 September depan sebagai tarikh hukuman.

    Media sebelum ini melaporkan lelaki terbabit bertindak menikam isteri dan ibu mentuanya dipercayai akibat perselisihan faham.

    Kejadian itu menyebabkan isterinya parah dengan kecederaan di kepala dan badan termasuk kedua belah tangan, manakala ibu mentua pula cedera di kepala dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

    Pemandu lori terbabit yang mempunyai empat rekod lampau berjaya ditahan di Lembah Sireh, Kota Bharu.

  • Warga emas berusia 74 tahun didakwa 17 pertuduhan rogol, amang seksual kedua beradik

    Warga emas berusia 74 tahun didakwa 17 pertuduhan rogol, amang seksual kedua beradik

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG guru mengaji al-Quran mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas 17 pertuduhan rogol dan amang seksual terhadap dua beradik sejak tujuh tahun lalu.

    Tertuduh, Ashaari Ibrahim, 74, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof dan Norhayati Mohd. Yunus.

    Mengikut enam pertuduhan di hadapan Hakim Noor Aini, dia didakwa merogol seorang kanak-kanak yang ketika itu berusia tujuh tahun di Kampung Setol, Jalan Baru di Butterworth antara 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376(1)(e) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

    Ashaari turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, bagi 11 lagi pertuduhan di hadapan hakim Norhayati, tertuduh didakwa merogol dan melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak berusia lima tahun yang juga kakak kepada mangsa pertama.

    Mengikut pertuduhan itu, Ashaari didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi sama antara 1 Januari 2014 sehingga Mac 2021.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376(1)(e) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aisyah Al Humayrah Kamarulzaman dan Muhamad Syeqal Che Murat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Dalam pada itu, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 29 Julai ini bagi tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

  • Polis tidak bocorkan gambar, video Bella

    Polis tidak bocorkan gambar, video Bella

    SEORANG anggota polis yang menjadi saksi pendakwaan ke-10 kes pengabaian dan penderaan remaja sindrom down dikenali Bella menafikan gambar serta video berkaitan remaja itu dibocorkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Juruanalisa Unit Siasatan Audio Video, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Mior Samsul Abd Rahman berkata, barang kes iaitu telefon bimbit dan kad sim berada dalam simpanannya sepanjang masa.

    Malah, katanya, tiada pegawai polis lain yang mempunyai akses kepada barang kes berkenaan, lapor Harian Metro.

    Pada sesi pemeriksaan balas oleh peguam Asiah Abdul Jalil di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini, saksi itu turut memberitahu tidak mengetahui sumber gambar Bella yang dimuat naik dalam media sosial.

    Berikut sesi pemeriksaan balas antara Asiah dan Mior Samsul:

    Asiah: Tarikh laporan (analisis video) ini disediakan pada 9 Ogos 2021, betul?

    Mior Samsul: Ya betul.

    Asiah: Terdapat 12 muka surat mengandungi 12 gambar, merujuk kepada gambar nombor 3, 5, 6, 10 dan 12. Setuju dengan saya gambar-gambar ini diambil dari video yang sama Inspektor buat analisis.

    Mior Samsul: Saya tidak tahu gambar ini dari sumber mana.

    Asiah: Saya pohon Inspektor lihat pada tarikh status (media sosial) Mona Din dibuat 12 Ogos 2021, saya cadangkan ketika Inspektor buat analisis video itu dan melihatkan laporan pada 9 Ogos, pada sepanjang masa telefon bimbit itu berada di tangan pihak polis, setuju?

    Mior Samsul: Ya sepanjang masa diserahkan kepada saya (telefon bimbit) memang ada dengan saya.

    Asiah: Saya cadangkan gambar yang telah dibocorkan pada 12 Ogos 2021 oleh Mona Din bersumberkan telefon bimbit yang ada pada pihak polis.

    Mior Samsul: Saya tidak tahu.

    Asiah: Saya cadangkan ada pegawai yang uruskan telefon bimbit itu selain Inspektor Mior dan telah bocorkan gambar ini kepada orang awam.

    Mior Samsul: Tidak ada.

    Pada 17 Jun lalu, Mahkamah Sesyen ditunjukkan dua rakaman video berdurasi enam minit 32 saat dan 41 saat dianalisis Mior Samsul, yang memaparkan kecederaan dialami Bella selepas diselamatkan seorang saksi.

    Sementara itu, Mior Samsul ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas berkata, siasatan forensik telefon bimbit bagi kes berkenaan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan.

    Beliau berkata, barang kes diserahkan dalam keadaan baik serta berfungsi.

    “Saya ada memberi keterangan sebelum ini bahawa seorang pegawai, Inspektor Farah menerima barang kes itu menyerahkan kepada saya.

    “Saya guna komputer dalam keadaan baik dan lengkap dengan perisian berkaitan untuk menjalankan proses analisa. Komputer itu milik PDRM dan hanya penganalisa berkaitan yang boleh akses peralatan itu. Semua perkara dimaklumkan mengikut pengetahuan dan semua dokumen dalam milikan saya,” katanya.

    Siti Bainun Ahd. Razali, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Warga emas rentung dalam kebakaran kedai keranda

    Warga emas rentung dalam kebakaran kedai keranda

    WARGA emas rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah premis menjual keranda di Jalan Bunga Ray, Melaka, pukul 5.45 pagi tadi.

    Mayat mangsa, Loh Yock Sit, 77, ditemui dalam bilik air di tingkat dua rumah kedai berkenaan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Timbalan Penguasa II Yazid Mohd Tahir, berkata pihaknya menerima panggilan kebakaran pukul 5.49 pagi

    Susulan panggilan itu dibuat, empat jentera bomba dikerahkan ke lokasi kejadian bersama 26 anggota.

    “Mangsa yang dipercayai bekerja di premis itu mungkin terperangkap di dalam bilik air ketika api marak. Api dapat dikawal pada jam 6.05 pagi,” kata Yazid, mengikut laporan Berita Harian.

    Menurutnya, ketika api mula reda, pihak bomba masuk ke premis bagi kerja pemadaman lanjut.

    “Daripada maklumat awam, mangsa ada di dalam premis dan kami melakukan pencarian sebelum mangsa ditemui.

    “Mayat dibawa ke Hospital Melaka untuk urusan selanjutnya,” katanya.

    Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pukul 7.08 pagi dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta anggaran kerugian.

  • Tun M jangka perang dunia ketiga bakal tercetus jika Ukraine sertai NATO

    Tun M jangka perang dunia ketiga bakal tercetus jika Ukraine sertai NATO

    TUN Dr. Mahathir Mohamad berkata, jika Ukraine diterima sebagai ahli Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), serangan oleh Rusia akan mengakibatkan peperangan dengan semua negara anggota pertubuhan itu.

    “Ini bermakna, perang di antara NATO dan Rusia akan meningkat dan berupaya menjadi perang dunia ketiga dengan kemungkinan penggunaan senjata nuklear.

    “Salah satu perjanjian antara negara-negara NATO adalah bahawa serangan terhadap satu akan dianggap sebagai serangan terhadap semua negara anggota,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ahli Parlimen Langkawi itu juga memaklumkan, tentera Rusia semakin melemah selepas perpecahan Kesatuan Soviet dan NATO menganggap ia sebagai satu anugerah.

    Ia tidak menjejaskan negara-negara NATO untuk melibatkan lebih banyak lagi negara terutama negara penyangga (buffer state), antaranya dengan sekutu NATO di Eropah yang telah jelas ditubuhkan untuk membendung pengaruh Rusia.

    “Dalam hal ini, Rusia tidak mungkin akan mengaku kalah dan begitu juga dengan NATO,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Situasi ini juga, jelasnya, boleh memusnahkan dunia.

  • Lelaki maut digilis bas persiaran

    Lelaki maut digilis bas persiaran

    SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya digilis sebuah bas dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di kilometer (km) 6, Jalan Lapangan Terbang di Petaling Jaya, pukul 8.02 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, motosikal mangsa melanggar tayar sebelah kanan sebuah jentolak lalu terjatuh di lokasi kejadian, berhadapan pusat beli-belah Citta Mall.

    “Mangsa seorang lelaki tempatan terlanggar tayar belakang sebuah jentolak menyebabkan mangsa jatuh lalu digilis oleh sebuah bas persiaran yang lalu tempat kejadian.

    “Mangsa yang berusia 43 tahun disahkan mati di tempat kejadian akibat kecederaan dialami,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta tampil ke balai berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Hafeez Faesal A Aziz di talian 01132311232.

  • Luluh hati ibu terima khabar anak, menantu, tiga cucu maut nahas

    Luluh hati ibu terima khabar anak, menantu, tiga cucu maut nahas

    LULUH hati seorang ibu apabila anak, menantu dan tiga cucu kesayangannya meninggal dunia serentak dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Kuantan-Gambang, Kuantan, Pahang, pukul 3.40 petang semalam.

    Nahas tersebut mengorbankan Muhammad Rosli Ibrahim, 32, bersama isteri, Nor Afiqah Abdullah Sani, 35, serta tiga anak, Nur Safwa Irdina,7; Nur Sofea Raida, 6, dan bayi lelaki dikenali sebagai Muhammad Rizqi berusia lingkungan 18 bulan.

    Abang kepada Muhammad Rosli, Mohd. Yusof, 35, berkata, ibu mereka, Rakiah Md. Noh hanya terdiam selepas diberitahu mengenai nahas yang meragut nyawa lima beranak itu.

    Pada peringkat awal ibunya tidak percaya namun selepas dia bertanya keadaan cucunya, dia terpaksa berterus terang.

    “Dia terkejut dan cakap ‘Allah anak aku’. Emak beritahu yang adik beria-ia mengajaknya ke Pahang. Dua kali dia ajak termasuk sebelum bertolak pada malamnya (Isnin).

    “Dia sempat telefon tetapi emak menolak kerana jarang ikut untuk perjalanan jauh,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumah keluarga di Labu Kubong, Lubuk Merbau, Padang Rengas di hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, orang pertama tahu mengenai kejadian itu adalah abangnya yang menerima khabar menerusi kumpulan WhatsApp.

    “Ketika terima gambar kemalangan itu, saya terus cam kerana kereta Toyota Corolla itu baharu dibeli beberapa hari lalu daripada jiran.

    “Untuk sedapkan hati saya hubungi adik tetapi talian terputus kemudian saya hubungi adik ipar pula tetapi tidak berjawab. Saya yakin yang Rosli memang terlibat,” katanya.

    Mohd Yusof berkata, keadaan ibu mereka kini agak stabil dan reda meskipun sekali sekala dilihat mengalirkan air mata akibat terlalu sedih.

    “Arwah merupakan anak ke-10 daripada 13 beradik merupakan adik yang cukup ambil berat keadaan ibu dan ringan tulang.

    “Ada waktu terluang, dia akan singgah bertanya khabar ibu dan bantu bersihkan rumah meskipun sibuk bekerja sebagai pemandu bas.

    “Baru-baru ini kami ada berkumpul bersama di rumahnya di Bagan Serai mengadakan makan-makan.

    “Arwah sangat gembira ketika itu hingga belikan anak-anak saudaranya pakaian. Itulah kenangan terakhir kami bersama,” katanya.

    Katanya, mereka mengetahui perjalanan arwah ke Pahang selepas memuat naik gambar kereta yang diambil di Hentian Rehat dan Rawat Bukit Gantang di status WhatsApp.

    Tambahnya, pengecaman jenazah di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan akan dilakukan oleh kakak mereka yang menetap di Johor.

    “Urusan tuntutan jenazah akan dilakukan kakak kami dan kesemua akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Labu Kubong untuk dikebumikan dalam satu liang lahad,” katanya.

  • Lufya sempat tendang muka, alat sulit lelaki cuba culik anaknya

    Lufya sempat tendang muka, alat sulit lelaki cuba culik anaknya

    PENYANYI dan pelakon, Lufya, 37, menafikan bekas suaminya, Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum terbabit dalam insiden pergelutan dan memukulnya dalam cubaan menculik anak, Laana Haura, 5, di sebuah taman permainan di Kota Damansara, Ahad lalu.

    Beliau berkata, pelakunya membabitkan seorang lelaki berbadan besar yang tidak dikenali dan memukulnya dengan teruk ketika cuba menyelamatkan anaknya.

    “Lelaki itu bukan bekas suami seperti tuduhan netizen. Ia perbuatan lelaki asing yang saya tidak kenal.

    “Ada netizen yang menganggap keterangan gambar yang ditulis dengan menyebut ‘lelaki dayus’ ketika mendedahkan insiden berlaku dalam Instagram (IG) merujuk kepada bekas suami.

    “Itu tidak benar sama sekali. Bagi saya, mana-mana lelaki yang memukul wanita adalah dayus.

    “Saya memang tidak tahu siapa pelakunya. Saya mohon jangan babitkan bekas suami, biar polis buat siasatan,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Lufya mendakwa masih trauma selepas berdepan detik cemas dipukul pada bahagian kepala dan badan dengan kayu, malah, sudah membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara, pukul 6 pagi tadi.

    “Tiada istilah saya cuba buat drama atau mengada-adakan cerita kerana melengahkan urusan membuat laporan polis. Ini soal nyawa, bukan boleh diperjudikan.

    “Secara jujur, saya dan anak masih dalam keadaan trauma, malah, masih dalam rawatan di hospital. Jadi, saya perlu mengambil masa bertenang, sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

    “Saya dan anak ke balai polis selepas selesai rawatan di hospital, pagi tadi. Secara kebetulan, tiada ramai orang, jadi kurang sedikit rasa trauma.

    “Setakat ini, saya serahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan,” katanya.

    “Saya memang risau dengan komuniti masyarakat di Damansara. Sebab itu, saya beranikan diri mendedahkan insiden ini, walaupun saya masih tebal dengan perasaan trauma.

    “Difahamkan, berlaku kejadian sama sebelum insiden membabitkan saya,” katanya.

    Terdahulu, Lufya mendedahkan dirinya mengalami kecederaan agak teruk apabila dipukul pada bahagian kepala dan badan selepas bergelut dengan seorang lelaki yang didakwa cuba melarikan anaknya dalam kejadian Ahad lalu.

    “Selama ini, saya melihat babak atau aksi ganas dalam kaca televisyen dan pawagam.

    “Namun, saya menempuhnya sendiri, dua hari lalu. Lelaki ini memukul saya dengan kayu pada bahagian kepala dan badan menyebabkan saya alami kecederaan agak teruk.

    “Syukur, saya dan anak selamat. Ketika kejadian, Laana sempat menjerit meminta tolong, namun, tiada sesiapa di tempat kejadian dapat membantu.

    “Nasib baik, saya pernah belajar bertinju, jadi boleh mempertahankan diri apabila berlaku situasi tak terduga ini.

    “Saya sempat menendang muka dan menumbuk alat sulit lelaki ini, sebelum berjaya menyelamatkan diri,” dakwa Lufya.