Category: Semasa

  • Penganggur dipenjara kerana cuba liwat anak tiri berusia 6 tahun

    Penganggur dipenjara kerana cuba liwat anak tiri berusia 6 tahun

    SEORANG penganggur dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan cuba meliwat anak tirinya, lima tahun lalu.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh berusia 45 tahun didakwa dengan sengaja cuba melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia enam tahun.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sebuah rumah di Marang antara 2 petang hingga 6 petang pada 6 Januari 2017 hingga 8 Januari 2017, lapor Harian Metro.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.

    Hakim Nooriah Osman mengarahkan hukuman penjara terhadap tertuduh bermula hari ini.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin.

  • Harga siling baru ayam RM9.40 mulai 1 Julai – Ronald

    Harga siling baru ayam RM9.40 mulai 1 Julai – Ronald

    KABINET hari ini memutuskan untuk tidak mengapungkan harga ayam dan meneruskan subsidi, serta menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia.

    Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee berkata mesyuarat Jemaah Menteri juga bersetuju menetapkan harga siling runcit telur ayam bagi gred A pada 45 sen/biji; gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) di Semenanjung Malaysia.

    “Penetapan harga siling bagi ayam standard dan telur ini berkuat kuasa mulai 1 Julai 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada 24 Jun lepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung, manakala harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan dalam usaha memastikan rakyat tidak terbeban. – Bernama

  • Polis buru 20 lelaki merusuh di Sri Petaling, Isnin lepas

    Polis buru 20 lelaki merusuh di Sri Petaling, Isnin lepas

    POLIS sedang mengesan 20 lelaki terbabit dalam pergaduhan dan merosakkan kenderaan awam di Jalan Radin Bagus, Sri Petaling, Kuala Lumpur, pada awal pagi, Isnin lalu.

    Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata pergaduhan melibatkan dua kumpulan itu telah menyebabkan beberapa buah kenderaan yang diletakkan di tepi jalan berkenaan rosak akibat terkena batang besi dan botol arak yang digunakan dalam pergaduhan itu.

    “Pihak kami menerima laporan dari seorang mangsa yang keretanya mengalami kerosakkan di bahagian cermin belakang dan cermin penumpang belakang sebelah kanan.

    “Mangsa dan rakan sedang makan di sebuah restoran di lokasi kejadian pergaduhan itu dan polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Amihizam berkata kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali.

    Terdahulu tular satu video di laman sosial berdurasi 43 saat menunjukkan beberapa individu bergaduh dan merosakkan beberapa buah kereta menggunakan botol arak dan batang besi di kawasan tersebut.- Bernama

  • Polis, SPRM belum panggil untuk siasatan, kata suami pengasas Dnars

    Polis, SPRM belum panggil untuk siasatan, kata suami pengasas Dnars

    SUAMI pengasas Dnars Skincare, Datuk Ahmad Shah Rizal Ibrahim mendakwa belum menerima panggilan dari pihak Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disoal siasat.

    Menurutnya, laporan polis dan SPRM itu dibuat berhubung kematian isterinya Allahyarham Faziani Rohban Ahmad.

    “Setakat ini tidak ada. Yang saya tahu ada dua laporan polis yang dibuat. Yang pertama pasal siasatan semula kes pembunuhan itu.

    “Yang kedua pasal berkenaan dengan pertukaran saham syarikat dan juga laporan SPRM mengenai proses membawa masuk jenazah semasa hari kematian itu tidak disertakan dokumen-dokumen yang lengkap lah.

    “Semua laporan itu saya belum menerima panggilan atau notis dari SPRM atau pihak Polis,” katanya dalam satu sidang media khas bagi menjawab pertuduhan yang disifatkan sebagai fitnah terhadapnya, lapor Astro Awani, hari ini.

    Sebelum ini keluarga Allahyarham Faziani membuat laporan polis bagi menuntut siasatan lanjut ke atas kematian Allahyarham yang disyaki meragukan.

    Dalam sidang media yang sama, Ahmad Shah Rizal memaklumkan telah mengemukakan tuntutan undang-undang terhadap beberapa pihak yang didakwa menfitnahnya.

    Ahmad Shah Rizal menjelaskan tindakan undang-undang yang dibuat itu dilihat sebagai jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah sedia ada.

    “Selama ini saya memilih untuk mendiamkan diri kerana saya asalnya berharap perkara ini dapat diselesaikan menerusi musyawarah keluarga.

    “Saya menganggap perselisihan faham sebelum ini hanyalah bersifat sementara. Namun begitu, kemelut ini berlanjutan dan menjadi semakin teruk, hari berganti hari.

    “Keadaan ini memang tidak disangka, dan saya amat terkilan dengan sikap sesetengah pihak seperti adanya udang di sebalik batu,” katanya lagi.

    Tuntutan undang-undang itu dikemukakan terhadap sebuah portal yang memuat naik dua laporan berhubung kematian pengasas Dnars itu.

    Kedua-dua laporan itu didakwa disiarkan pada 16 dan 17 Jun lalu di portal dan Facebook portal tersebut.

    Selain itu, tuntutan undang-undang juga dikemukakan terhadap individu yang menulis komen dalam Facebook portal tersebut.

    Allahyarham Faziani bersama suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim dalam perjalanan ke sebuah pondok pengajian agama di Selatan Thailand bagi menyumbangkan sumbangan pada bulan Ramadan, Mei 2019.

    Bagaimana pun kenderaan pelbagai guna Toyota Estima yang dinaiki pasangan itu merempuh sebuah lori yang di parkir di sebatang jalan menyebabkan Faziani maut di tempat kejadian, manakala Ahmad Shah Rizal mengalami kecederaan.

  • Polis buru dalang bekal data peribadi kepada sindiket penipuan

    Polis buru dalang bekal data peribadi kepada sindiket penipuan

    POLIS Perlis sedang giat mengesan dalang utama yang dipercayai membekalkan ribuan data peribadi kepada sindiket penipuan pendaftaran kad SIM prabayar secara tidak sah.

    Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata pihaknya telah mengenal pasti identiti suspek yang kini berada di utara negara.

    “Kita bersama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang giat melengkapkan siasatan bagi membawa suspek ke muka pengadilan.

    “Kes yang berkaitan dengan teknikal seperti peralatan telekomunikasi diserahkan kepada MCMC, manakala kes berkaitan dengan jenayah komersial seperti data peribadi dalam siasatan polis,” katanya kepada pemberita pada sidang media sempena majlis pelupusan barang kes daun dan cecair ketum di sini hari ini.

    Sebelum ini, Bernama melaporkan polis memberkas tujuh individu termasuk tiga wanita yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan pendaftaran kad prabayar yang berselindung di sebalik perniagaan syarikat telekomunikasi pada 15 Jun lepas.

    Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memiliki kelengkapan peranti tiada standard.

    Sementara itu, mengulas mengenai pelupusan barang kes hari ini, Surina berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perlis melupuskan 58 tan barangan kes melibatkan daun ketum dianggarkan bernilai RM1.23 juta.

    Katanya, kesemua barang kes ini telah selesai perbicaraan di mahkamah dan mendapat perintah untuk dilupuskan.

    Beliau berkata setakat 26 Jun lepas, JSJN Perlis berjaya membuat tangkapan seramai 1,149 suspek atas pelbagai kesalahan dadah dan daun ketum, dalam pada masa yang sama telah berjaya merampas pelbagai jenis dadah sebanyak 369.12 kilogram (kg) dan 35 tan daun ketum.

    “Kes dan tangkapan JSJN Perlis pada tahun ini menurun sebanyak 50 peratus dan rampasan pula menurun sebanyak 60 peratus,” katanya.

    Beliau berkata penurunun tersebut berlaku akibat penguatkuasaan berterusan oleh pihak polis dan agensi terbabit serta faktor luaran apabila Thailand membenarkan penggunaan daun ketum.

    “Selain itu, daripada sumber risikan polis harga pasaran daun ketum telah jatuh daripada RM180 sekilogram kepada RM40 sekilogram,” katanya. – Bernama

  • Warga emas tinggal dalam sampah akan didakwa-MBPJ

    Warga emas tinggal dalam sampah akan didakwa-MBPJ

    MAJLIS Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengeluarkan notis terhadap sebuah rumah penduduk yang dipenuhi barangan lusuh dan sampah sarap di SS 22/20 Petaling Jaya, semalam.

    Menurut MBPJ dalam kenyataan, rumah berkenaan dihuni seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun.

    “Hasil pemeriksaan mendapati rumah itu terlalu kotor berikutan penghuninya menyimpan pelbagai barangan yang mengundang pencemaran.

    “Selain barangan lusuh dan sampah-sarap barangan lain ditemui seperti bekas kosong dan kolam takungan air yang menyebabkan jentik-jentik membiak serta terdapat juga pokok liar yang tumbuh di dalam rumah,” menurut MBPJ seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

    Kenyataan itu memberitahu, semasa operasi itu dijalankan, penghuni telah dibawa polis ke mahkamah bagi proses perbicaraan.

    Tegas kenyataan itu, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MBPJ telah mengeluarkan notis di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 sebelum ini.

    Bagaimanapun, kenyataan itu memberitahu, tiada sebarang tindakan daripada pemilik, malah kes mahkamah juga telah difailkan dan dihantar ke Unit Perundangan pada tahun 2021.

    “Pada 21 Jun 2022, satu mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan oleh Unit Perundangan telah diadakan berhubung aduan ini bagi membincangkan tindakan yang perlu diambil oleh setiap jabatan terlibat mengikut skop tugas masing-masing,” kata kenyataan itu.

  • Rogol budak 12 tahun, tukang cuci kereta dipenjara

    Rogol budak 12 tahun, tukang cuci kereta dipenjara

    SEORANG tukang cuci kereta dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas tuduhan merogol .

    Hukuman dijatuhkan Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh, Ahmad Amirul Ariff Razali, 22, mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

    Menurut laporan Berita Harian, kanak-kanak perempuan tersebut dikenalinya menerusi media sosial.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun 11 bulan di sebuah rumah di daerah Kuala Terengganu, Terengganu pada jam 7 malam 11 Jun lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 13 Jun lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam

  • Setiap ahli politik sangat memerlukan wang – kata Zahid ketika bela diri

    Setiap ahli politik sangat memerlukan wang – kata Zahid ketika bela diri

    BEKAS  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram ke atasnya bermotifkan politik.

    Ahmad Zahid berkata ia adalah hakikat sebenar yang berlaku kepadanya dan pemimpin politik lain yang diheret ke mahkamah.

    Beliau berkata demikian semasa disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran pada prosiding membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi (YAB).

    Raja Rozela: Sepanjang beberapa tahun kes ini berjalan, tiada keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan yang boleh dikaitkan sebagai bermotifkan politik, selain fakta yang anda seorang ahli politik.

    Ahmad Zahid: Dari segi pendakwaan secara atas kertas memang tidak, tapi di belakang, saya mengetahui sangat ia bertujuan untuk bermotifkan politik.

    Raja Rozela: Saya tertarik dengan keterangan Datuk Seri (Ahmad Zahid) semalam, Datuk Seri sebut tentang isu penyelewengan wang atau pecah amanah dan Datuk Seri sebutkan nama tiga Ahli Parlimen dalam konteks itu. Bila saya dengar, terlintas dalam fikiran tentang isu politik dan wang yang mana isu politik dan wang ini bagaikan tidak dapat dipisahkan, munasabah saya cakap begitu?

    Ahmad Zahid: Setiap ahli politik parti mana pun, seseorang itu sangat memerlukan wang bagi melaksanakan aktiviti politik. Wang bukan segalanya, tetapi segalanya perlukan wang.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak bersetuju dengan Raja Rozela bahawa kes rasuah, penyelewengan dan penipuan semakin berleluasa di negara ini.

    Raja Rozela: Maknanya Datuk Seri tak baca artikel baru-baru ini di The World Street Journal bahawa Malaysia berada di kedudukan pertama dalam negara paling ‘corrupt’ di dunia, sedih dengar. Datuk Seri ada baca?

    Ahmad Zahid: Baca tajuk dan sepintas lalu.

    Kepada soalan Raja Rozela, sama ada terdapat kebenaran dalam perkara yang dilaporkan dalam The World Street Journal, Ahmad Zahid menjawab: “Tulisan begitu berdasarkan dua elemen iaitu rasuah dan persepsi rasuah yang pada hemat saya persepsi lebih diutamakan daripada indeks sebenar”.

    Beliau bagaimanapun bersetuju dengan cadangan Raja Rozela bahawa kes rasuah masih membimbangkan.

    Ahmad Zahid juga bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya itu bahawa negara mempunyai prinsip kedaulatan undang-undang iaitu tidak kira sama ada seseorang itu miskin atau kaya, semuanya sama di sisi undang-undang.

    “Tetapi bukan untuk tuduhan-tuduhan terpilih,” kata Ahmad Zahid.

    Raja Rozela: Saya beri contoh, sekiranya seseorang ahli politik dituduh mengambil rasuah, antara alasan yang diberikan pertuduhan adalah konspirasi berbaur politik, tetapi sekiranya yang dituduh berkaitan rasuah adalah seorang tukang kebun sekolah, tak mungkin ia akan menimbulkan alasan yang sama (konspirasi berbaur politik) setuju?

    Ahmad Zahid: Kalau tukang kebun itu ketua cawangan atau pemegang jawatan dalam parti politik, perkara yang sama akan berlaku terhadap tukang kebun itu.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.

    — BERNAMA

  • KKM bimbang kegiatan doktor gigi palsu kembali meningkat

    KKM bimbang kegiatan doktor gigi palsu kembali meningkat

    KEGIATAN doktor gigi palsu atau tidak bertauliah dijangka akan kembali meningkat selepas peralihan negara ke fasa endemik, ujar Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) Kementerian Kesihatan (KKM), Dr. Noormi Othman.

    Menurut Dr. Noormi, pembukaan semula sektor ekonomi dan kebenaran rentas negeri memberi ruang kepada mereka beroperasi kembali selepas ia tertangguh susulan pandemik Covid-19.

    Beliau berkata, kebanyakan doktor gigi palsu atau pengamal perubatan haram itu menawarkan perkhidmatan secara bergerak dengan mempromosikan perkhidmatan menerusi media sosial.

    Katanya, sebanyak 528 aduan diterima di seluruh negara membabitkan kegiatan pengamal pergigian palsu dalam tempoh lima tahun bermula 2017.

    Trend menunjukkan peningkatan dalam tempoh 2014 hingga 2019 dan hanya menurun pada 2020 dan 2021 iaitu masing-masing sebanyak 129 aduan dan 89 aduan, katanya.

    “Penurunan itu mungkin disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 yang merencatkan pergerakan mereka.

    “Jadi kita khuatir dengan pembukaan semula dan kehidupan yang hampir normal seperti sedia kala, kegiatan ini akan meningkat semula,” katanya selepas Sambutan Pelancaran Kempen ‘Say No To Fake Dentists’ Bahagian Kesihatan Pergigian Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Tahun 2022, di Kuala Nerus, hari ini, Lapor Harian Metro.

    Mengulas mengenai pecahan aduan yang diterima, Dr. Noormi berkata, sebanyak 377 kes atau 71.4 peratus membabitkan kes pendakap gigi palsu, 58 kes venir pergigian dan lain-lain kes seperti pembuatan gigi palsu, cabutan gigi dan pemutihan gigi sebanyak 93 kes.

    Beliau berkata, daripada 528 aduan yang diterima, sebanyak 10 peratus pengamal perubatan palsu dengan kebanyakan wanita sudah dikenakan tindakan.

    “Kebanyakan pengamal perubatan yang ditahan berusia antara 20 hingga 30 tahun dengan majoriti mangsa juga dalam lingkungan umur sama.

    “Sebab itu, kita mempergiatkan kempen ini untuk mengingatkan masyarakat untuk lebih peka dan mengambil berat risiko yang dialami sekiranya mendapatkan perkhidmatan daripada pengamal pergigian haram,” katanya.

  • Polis Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.52 juta

    Polis Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.52 juta

    SEBANYAK 252,000 biji pil kuda bernilai RM2.52 juta dirampas Polis Kelantan menerusi dua serbuan berasingan diadakan di daerah Kota Bharu dan Bachok, kelmarin.

    Serbuan pertama dilakukan di kawasan parkir sebuah kedai makan di Kampung Jelujok Banggu, Kota Bharu, pada pukul 3 petang, di mana tiga lelaki berusia 27 hingga 33 tahun ditahan.

    Mengulas serbuan itu, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata ketika kejadian anggota bertugas mendekati dua suspek yang menaiki kereta jenis Honda Jazz, yang ketika itu sedang berurusan dengan lelaki lain berusia 33 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda Icon.

    Katanya, sebaik memperkenalkan diri sebagai anggota polis, pihaknya membuat pemeriksaan pada kenderaan dan menemui satu kotak berisi 14 bungkusan plastik, yang mana di dalamnya mengandungi pil kemerahan dipercayai dadah jenis pil kuda.

    Katanya, hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 84,000 biji pil kuda pada bungkusan terbabit yang dipercayai untuk pasaran seluruh Kelantan.

    “Anggota turut merampas wang tunai RM3,950 disyaki hasil jualan dadah berkenaan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini, lapor Berita Harian.

    Muhamad Zaki berkata, penahanan itu kemudian membawa kepada serbuan kedua di rumah salah seorang suspek di Kampung Takang, dekat Tawang di Bachok, di mana 168,000 lagi pil kuda bernilai RM1.68 juta ditemukan.

    “Semua pil kuda berkenaan ditemukan dalam kotak yang diletakkan di atas kabinet dapur rumah,” katanya.

    Beliau berkata, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 28 Jun sehingga 4 Julai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis Methampethamine, manakala seorang daripadanya memiliki rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

    “Jumlah pil dirampas boleh diedarkan kepada 126,000 penagih dan pihak kami percaya suspek ditahan adalah antara pengedar dadah yang aktif di negeri ini sejak awal 2020,” katanya.