Category: Semasa

  • Penganggur tikam ibu kandung positif syabu

    Penganggur tikam ibu kandung positif syabu

    PENGANGGUUR yang disyaki menikam leher ibunya sehingga mati di Kampung Paya Luboh, semalam, disahkan positif syabu, Kata Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah.

    “Pada pada 1.30 pagi tadi selepas selesai ujian saringan dilakukan, kita mendapati suspek berusia 38 tahun itu positif amphetamine.

    “Sementara pemeriksaan dijalankan di kediaman yang juga lokasi kejadian tidak menemui sebarang barang terlarang itu,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Beliau berkata, proses bedah sedang dijalankan dan dijangka selesai petang ini.

    Terdahulu, suspek yang turut mempunyai rekod rawatan psikiatri di Hospital Melaka direman tujuh hari bermula hari ini sehingga Selasa depan.

    Media semalam melaporkan bisikan suara mengatakan ibunya menyembah berhala didakwa menjadi penyebab lelaki itu menikam leher ibu kandungnya hingga maut di rumah mereka di Kampung Paya Luboh di sini.

    Dalam kejadian pukul 3 petang itu, Rozizah Md. Dom, 63, ditemui berlumuran darah dalam bilik tidur oleh anak perempuannya yang juga adik suspek.

    Polis menerima laporan pada pukul 3.05 petang sebelum suspek diberkas dengan bantuan penduduk.

  • Suami isteri mengaku tidak bersalah miliki 53 keping wang palsu RM100

    Suami isteri mengaku tidak bersalah miliki 53 keping wang palsu RM100

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEPASANG suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini atas tuduhan memiliki wang kertas palsu RM100 dengan nilai sebanyak RM5,300 bulan lalu.

    Bagaimanapun kedua-dua tertuduh iaitu Muammar Raid Abdul Malik, 33, dan Nadia Mohamed Hussain @ Brian Michael Lewis, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

    Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa secara bersama memiliki sebanyak 53 keping wang kertas palsu bernilai RM100 yang mana mereka tahu wang tersebut adalah palsu.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 29 Jun lalu kira-kira pukul 11.30 malam di sebuah bilik beralamat di PMT 30, Mukim 8, Jalan Muthupalaniappan Sunway Wellesley, Bukit Mertajam.

    Kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

    Kes dikendalikan Pengawai Pendakwa, Mohamad Syarafuddin Mamat Mokhtar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Ketika prosiding, pihak pendakwa memohon mahkamah menetapkan jaminan yang tinggi kerana kedua-dua tertuduh mempunyai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan penggunaan wang palsu.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 ke atas kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin selain syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Selain itu, mahkamah turut menetapkan kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri kepada pegawai penyiasat kes setiap dua minggu sekali sehingga kes selesai.

    Dalam pada itu, mahkamah turut menetapkan 11 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

  • Yasin lega, bersyukur terlepas hukuman gantung

    Yasin lega, bersyukur terlepas hukuman gantung

    PENYANYI nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman bersyukur dan lega selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja, hari ini.

    Yasin berkata, keputusan itu merupakan satu perkembangan positif bagi dirinya, lapor Sinar Harian.

    “Alhamdulillah, saya mengikut proses dan peruntukan undang-undang sedia ada dan saya amat bersyukur dengan keputusan ini.

    “Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya kepada rakan dan keluarga yang banyak memberikan sokongan, merekalah sumber kekuatan utama saya,” katanya kepada media ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

    Sementara itu, abang Yasin, Zain Sulaiman, 50, berkata, mereka sekeluarga bersyukur dengan keputusan Mahkamah Majistret hari ini biarpun adiknya itu tidak dapat beraya bersama pada Aidiladha nanti.

    “Kami semua bersyukur dengan perkembangan kes ini, walaupun Aidiladha ini kami tidak dapat beraya dengannya, namun Alhamdulillah, kami lega dengan perkembangan kes yang Yassin hadapi ini.

    “Saya harap rakan-rakan, teman akan terus mendoakan untuk Yasin,” katanya.

    Hari ini, Yasin terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram, Mac lalu.

    Bagaimanapun dia dituduh atas kesalahan miliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan dituduh mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

  • 6 rumah atas air musnah, dua terjejas dalam kebakaran

    6 rumah atas air musnah, dua terjejas dalam kebakaran

    TUJUH keluarga kehilangan tempat tinggal selepas enam rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Lok Urai Pulau Gaya, Kota Kinabalu, pukul 11 malam tadi.

    Menurut Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu, kebakaran itu juga mengakibatkan dua lagi rumah terjejas kira-kira 50 peratus.

    “Pasukan Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.06 malam sebelum menggegaskan lapan pegawai dan anggota bersama jentera serta dibantu 15 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) ke lokasi kejadian.

    “Operasi pemadaman awal dijalankan oleh PBS Pulau Gaya menggunakan satu aliran hos sumber air dari kapal pembekal air.

    “Operasi kemudiannya disambung pasukan bomba sebelum api berjaya dikawal pada pukul 12 tengah malam,” katanya memetik laporan Utusan Borneo, hari ini.

    Beliau berkata, kebakaran memusnahkan enam buah rumah manakala dua yang lain terbakar 50 peratus dan lokasi kejadian membabitkan kawasan seluas 50 meter persegi.

    “Tiada mangsa dilaporkan cedera atau kehilangan jiwa dalam kes ini dan pasukan operasi terus melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi unsur bahaya lain di lokasi sebelum menamatkan keseluruhan operasi pada pukul 12.40 tengah malam,” katanya.

    Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan berkata, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini berikutan kesemua mangsa masing-masing tinggal di rumah keluarga terdekat.

  • Rayuan banduan Malaysia di Singapura, tangguh hukuman mati didengar hari ini

    Rayuan banduan Malaysia di Singapura, tangguh hukuman mati didengar hari ini

    SEORANG banduan Malaysia yang sedang menunggu hukuman mati di Singapura telah memfailkan notis usul kepada Mahkamah Rayuan negara itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukumannya, menurut Lawyers for Liberty (LFL).

    LFL berkata permohonan penangguhan Kalwant Singh akan didengar hari ini, 6 Julai, iaitu sehari sebelum hukumannya dijadual dilaksanakan.

    “Permohonan penangguhan Kalwant akan didengar oleh panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan pada 6 Julai jam tiga petang, iaitu sehari sebelum pelaksanaan hukuman mati yang dijadualkan,” kata NGO itu dalam kenyataan.

    Kalwant juga telah memfailkan semakan terhadap sabitan dan hukumannya, kata NGO itu lagi.

    Dia ditahan atas kesalahan memiliki 60.15g diamorphine dan mengedar 120.9g diamorphine pada 2013 dan disabitkan pada 2016 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

    Menurut LFL lagi, keluarga Kalwant, dari Cameron Highlands, hanya dimaklumkan pada 30 Jun lalu mengenai tarikh pelaksanaan hukuman matinya.

    LFL, bersama beberapa kumpulan lain, sebelum ini menggesa kerajaan Singapura untuk menghentikan hukuman matinya.

    Pengarahnya, Zaid Malek berkata Kalwant hanya salah seorang dalam senarai panjang rakyat Malaysia sedang menunggu dihukum gantung di Singapura.

    “Walaupun kritikan demi kritikan yang diterimanya (Singapura) daripada masyarakat antarabangsa kerana hukuman mati ke atas keldai dadah bawahan,” tambahnya, lapor MalaysiaKini.

    Kumpulan hak asasi manusia Sebaran Kasih juga bersuara untuk Kalwant, dengan mengatakan bahawa dia hanya berusia 23 tahun ketika ditangkap.

    “Kalwant telah menghabiskan lebih daripada sembilan tahun di penjara, di mana dia telah dikenakan kurungan bersendirian di dalam sel kecil untuk tempoh yang lama,” kata Kumpulan tersebut.

    Pelaksanaan hukuman gantung ini berlaku dua bulan selepas hukuman mati terhadap Nagaenthran Dharmalingam, seorang lelaki kurang upaya intelek yang dihukum mati pada 27 April atas tuduhan mengedar dadah.

  • Polis terima laporan video ‘prank’ tarik tudung dua wanita 

    Polis terima laporan video ‘prank’ tarik tudung dua wanita 

    POLIS telah menerima laporan berkaitan video ‘prank’ tarik tudung dua wanita yang tular di media sosial.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah, seorang lelaki yang memuat naik video itu telah tampil membuat laporan polis kelmarin.

    “Berdasarkan maklumat yang diterima perbuatan tersebut dirancang untuk mendapatkan perhatian di media sosial,” katanya lapor Sinar Harian.

    Ashari berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima laporan daripada dua wanita berkenaan.

    “Kita sedang mengesan dua wanita tersebut untuk dirakam keterangan berkaitan kejadian itu,” katanya.

    Kelmarin, lelaki itu telah memohon maaf atas keterlanjurannya memuat naik video ‘prank’ tarik tudung dua wanita di saluran YouTubenya.

    Permohonan maaf itu dibuat menerusi video terbaru yang dimuat naik di YouTube pada Isnin, tidak lama selepas mencetuskan kontroversi.

    Dalam video sama, dua wanita terbabit turut memohon maaf kepada semua yang tersinggung selepas menonton rakaman yang tular itu.

    Menerusi video terdahulu, lelaki tersebut menjelaskan video dimuat naik itu adalah eksperimen sosial dilakukannya untuk melihat sejauh mana reaksi netizen dan turut memberitahu dua wanita yang kononnya menjadi mangsa ‘prank’ adalah rakannya.

  • Suspek tikam ibu kandung direman seminggu

    Suspek tikam ibu kandung direman seminggu

    SEORANG pemuda yang disyaki menikam ibu kandungnya sehingga meninggal dunia dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu Ayer Keroh, Melaka direman tujuh hari bermula hari ini.

    Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Mazana Sinin membenarkan perintah tahanan reman bermula hari ini sehingga 12 Julai terhadap suspek berusia 38 tahun itu.

    Penahanan reman terhadap lelaki itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, lapor Astro Awani.

    Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap berwarna ungu dibawa ke pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pukul 9.40 pagi dengan dikawal anggota polis sebelum dibawa keluar 45 minit kemudian.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam, mangsa, Rozizah Md. Dom, 63, disahkan meninggal dunia di kediamannya selepas ditikam dua kali di bahagian kiri dan kanan leher oleh suspek yang juga anak sulung daripada lima beradik.

    Suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan rekod rawatan psikiatri melakukan tikaman menggunakan sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 26 sentimeter.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek mendakwa bertindak demikian selepas terdengar bisikan kononnya ibunya menyembah
    berhala.

    Mangsa yang juga seorang pesara guru juga dikatakan baharu kehilangan suami bulan lalu.

  • JPJ sita kenderaan ‘ulat’ di KLIA2

    JPJ sita kenderaan ‘ulat’ di KLIA2

     JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor menyita tiga kenderaan ‘ulat’ yang digunakan bagi menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram dalam operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di Kuala Lumpur semalam.

    Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, operasi seharian itu turut menahan tiga pemandu berusia lingkungan 40-an.

    “Tiga kenderaan telah disita iaitu jenis Perodua Kancil, Perodua Alza dan Toyota Innova manakala pemandunya ditahan untuk direkod keterangan.

    “Siasatan awal mendapati ‘ulat’ tersebut mengenakan tambang kepada penumpang warganegara dan pelancong asing antara RM100 hingga RM300 dari KLIA2 ke Kuala Lumpur; Mentakab, Pahang dan Batu Pahat, Johor,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

    Tambahnya, sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama.

    “Orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA atau KLIA2 atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing,” ujarnya.

     Kata beliau, penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu dan pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram.

    “Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan@JPJ berserta butiran pengadu dan butiran aduan,” katanya.

  • Persatuan pengguna gesa bank timbang rasa susulan jangkaan kenaikan OPR

    Persatuan pengguna gesa bank timbang rasa susulan jangkaan kenaikan OPR

    DI tengah-tengah spekulasi bahawa Bank Negara (BNM) akan menaikkan semula kadar dasar semalaman (OPR), kumpulan pengguna menggesa bank bersikap empati terhadap masalah kewangan dihadapi rakyat.

    Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Saravanan Thambirajah berkata, apabila BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2 peratus pada Mei, ramai orang mendapati kadar bayaran balik pinjaman bulanan mereka meningkat.

    Tambah beliau lagi, satu lagi kenaikan OPR mungkin berlaku dan ia akan meningkatkan lagi jumlah pembayaran balik pinjaman sedia ada.

    “Mereka (bank) harus berurusan dengan mereka yang menghadapi masalah membayar balik pinjaman, dan menawarkan perjanjian bayaran semula yang disemak,” katanya.

    Saravanan juga mencadangkan BNM melaksanakan sistem untuk memberi bantuan kepada mereka yang menghadapi masalah menanggung kenaikan bayaran balik pinjaman, khususnya daripada kumpulan B40.

    “Itulah sebabnya perancangan kewangan adalah penting, dan kami menasihatkan mereka yang mengalami masalah mendapatkan kaunseling kewangan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK),” katanya, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Moody’s Analytics melaporkan BNM dijangka menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas, daripada 2 peratus kepada 2.25 peratus pada mesyuarat jawatankuasa dasar monetari (MPC) keempat, yang bermula hari ini.

    Dalam laporannya, firma penyelidikan itu juga menyatakan bahawa bank pusat itu menaikkan kadar pada Mei, mengubahnya daripada rekod rendah di mana berterusan lemah selama hampir dua tahun.

    Sementara itu, pensyarah kanan ekonomi di Universiti Malaya, Goh Lim Thye berkata, kenaikan kadar bayaran balik pinjaman disebabkan kenaikan OPR akan berbeza bergantung kepada jumlah pinjaman tertunggak individu.

    Beliau berkata, kenaikan itu boleh berkisar daripada tambahan sebanyak RM30 sebulan kepada beberapa ratus ringgit.

    “Sebagai contoh, menggunakan kalkulator pinjaman dalam talian, bayaran balik bulanan bagi pinjaman 25 tahun sebanyak RM350,000, dengan kadar faedah 3.1 peratus, ialah RM1,678.

    “Tetapi pada 3.35 peratus, bayaran balik bulanan meningkat kepada RM1,724 sebulan, peningkatan RM46 sebulan,” katanya.

  • Pesara guru maut dipercayai ditikam anak sendiri

    Pesara guru maut dipercayai ditikam anak sendiri

    PESARA guru maut selepas dipercayai ditikam di bahagian leher oleh anak lelakinya di kediaman mereka di Paya Luboh, di Melaka pukul 3 petang.

    Kejadian berlaku semasa wanita warga emas itu ditemukan dalam bilik tidur rumah mereka dalam keadaan berlumuran darah.

    Harian Metro melaporkan, pesara guru itu ditemui oleh anak perempuannya sebelum dia menjerit meminta tolong.

    Suspek berusia 40-an dipercayai bertindak demikian menggunakan sebilah pisau dan dia kemudian berjaya ditahan oleh orang kampung.

    Ketika ini pasukan forensik polis masih di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.