Category: Semasa

  • Kemalangan 12 kenderaan di Tambak Johor, pemandu lori ditahan

    Kemalangan 12 kenderaan di Tambak Johor, pemandu lori ditahan

    POLIS menahan seorang pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan melibatkan 12 kenderaan di Tambak Johor menghala ke Singapura, di Johor Bahru hari ini.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Polis (ACP), Raub Selamat berkata, lelaki tempatan berumur 34 tahun itu ditahan pada 1.15 tengah hari tadi.

    Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan yang berlaku pukul 9.25 pagi tadi adalah berpunca daripada masalah teknikal yang dialami lori membawa muatan habuk batu itu.

    “Lori dipandu individu itu telah hilang kawalan lalu melanggar 11 kenderaan di hadapannya.

    “Hasil siasatan awal mendapati lori yang dipandu telah hilang kawalan kerana mengalami kerosakan teknikal di bahagian brek, lalu melanggar kenderaan lain di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, dalam kemalangan itu, enam kenderaan merupakan kenderaan tempatan, manakala enam lagi merupakan kenderaan asing.

    Katanya, selain lori berkenaan, sembilan daripadanya adalah kereta, dan masing-masing satu van dan bas.

    Bagaimanapun, Raub berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu dan hasil ujian air kencing terhadap pemandu lori itu pula adalah negatif.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

  • CAP bimbang penggunaan vape, e-rokok dalam kalangan generasi muda semakin meningkat

    CAP bimbang penggunaan vape, e-rokok dalam kalangan generasi muda semakin meningkat

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    PERSATUAN Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan kebimbangan berhubung peningkatan penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan wanita muda dan para pelajar ketika ini.

    Aktivis Anti Tembakau dan Pegawai Pendidikan CAP, N. V. Subbarow berkata, tinjauan pihaknya mendapati semakin ramai gadis muda ketagih dengan peranti vape dan e-rokok.

    Malah ujar beliau, penggunaan vape dan e-rokok dalam kalangan generasi muda itu didapati meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu.

    “Golongan muda tidak sedar bahaya yang bakal mereka hadapi, malah lebih teruk ada yang menggunakan cecair perasa yang mengandungi nikotin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Subbarow, walaupun banyak risiko tentang penggunaan vape dan e-rokok telah diketengahkan, namun masih ramai yang belum sedar malah penggunanaya juga semakin meningkat dalam kalangan pelajar.

    Sehubungan itu jelas beliau, sekiranya Kementerian Kesihatan (KKM) tidak membendung masalah terbabit lebih ramai generasi muda dijangka terdedah dengan risiko memghisap vape pada masa hadapan.

    “Maka, kita menggesa KKM dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak lagi mengeluarkan lesen baharu untuk membuka kedai vape atau e-rokok,” katanya.

    Di Pulau Pinang juga ujar beliau, tinjauan pihaknya mendapati banyak gerai di tepi jalan menjual alat vape dan e-rokok pada harga serendah RM50.

    “Tindakan undang-undang mesti diambil terhadap premis-premis ini selain KKM perlu mengharamkan vape dan e-rokok untuk memastikan generasi masa depan yang sihat,” katanya.

  • Kes curi dua peket Milo: Suri rumah fail rayuan

    Kes curi dua peket Milo: Suri rumah fail rayuan

    WANITA yang dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Marang atas kesalahan mencuri dua peket Milo di sebuah pasar raya di Marang pada Selasa lalu, memfailkan notis rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

    Peguam Datuk Naran Singh yang mewakili Suhaini Mohd, 43, berkata, notis usul bagi kebenaran merayu dan penangguhan pelaksanaan hukuman yang dijatuhkan terhadap anak guamnya sudah difailkan menerusi sistem e-filing di Mahkamah Majistret Marang pagi tadi.

    “Pagi ini saya sudah masukkan notis untuk merayu Mahkamah Tinggi mengenai sabitan dan hukuman terhadap tertuduh.

    “Saya juga sudah membuat permohonan supaya tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Marang pada Rabu depan dan di situ, saya akan buat permohonan untuk penggantungan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi,”katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Selain itu pihaknya akan membuat permohonan supaya tertuduh dibenarkan diikat jamin dan rayuan penangguhan bukan saja dibuat untuk kes curi tetapi dua kes penyalahgunaan dadah.

    Menurut Naran, tertuduh tidak diwakili peguam ketika hukuman dijatuhkan pada Selasa lalu.

    “Saya tidak tahu apa yang berlaku di mahkamah pada hari kejadian sama ada dia (tertuduh) faham apa dibaca pada dia, sama ada kertas-kertas itu semua dalam keadaan teratur.

    “Selain itu, semasa dia buat pengakuan, adakah dia faham apa yang berlaku terhadapnya sekiranya dia membuat pengakuan bersalah.

    “Jadi itu semua patut kita teliti dan kita akan tengok bagaimana nanti,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan suri rumah dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Marang kerana mencuri dua peket Milo di sebuah pasar raya di Marang pada 25 Mei lalu.

    Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Tertuduh yang juga seorang penagih dadah sebelum ini turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau mencuri barangan pasar raya pada 2019 dan 2021.

    Selain pertuduhan mencuri, tertuduh turut mempunyai dua lagi pertuduhan berkaitan penyalahgunaan dadah.

  • Polis berkas 4 ahli kongsi gelap edar dadah

    Polis berkas 4 ahli kongsi gelap edar dadah

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang didalangi ahli kumpulan kongsi gelap 36 dan 24 selepas memberkas empat lelaki di sekitar Lembah Klang kelmarin dan semalam.

    Pihak polis turut merampas dadah jenis ganja, syabu, pil ekstasi dan heroin base yang dianggarkan bernilai RM1.06 juta.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, dalam serbuan pertama, seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan di kawasan parkir sebuah kondominium dan 3,000 biji pil ekstasi dan wang tunai RM500 dirampas.

    “Hasil soal siasat, kita menahan seorang lagi lelaki berusia 27 tahun di kawasan parkir di sebuah kompleks beli belah di Dutamas, kita turut merampas 10.14 kilogram (kg) dadah jenis heroin.

    Sebahagian daripada dadah yang dirampas selepas polis berjaya menumpaskan Geng 24 dan Geng 36 yang dipercayai menjadi sindiket pengedaran dadah sekitar lembah klang pada sidang media Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Dalam serbuan terakhir, polis memberkas dua lelaki berusia 29 dan 31 tahun di sebuah unit kondominium di Ampang.

    “Kita merampas 142.02 kg ganja, 15.12 kg syabu dan heroin base seberat 785 gram serta sepucuk pistol revolver bersama sembilan butir peluru hidup,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, hari ini.

    Azmi berkata, sindiket yang aktif sejak lima bulan lalu menjadikan kondominium yang dikawal oleh pengawal keselamatan sebagai lokasi penyimpanan dadah bagi mengaburi pihak berkuasa.

    “Semakan lanjut mendapati tiga daripada empat suspek itu memiliki rekod jenayah. Mereka direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Katanya, senario pengedaran dadah dilihat membimbangkan apabila Polis Kuala Lumpur berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah bersama rampasan senjata api.

    “Sejak awal tahun sehingga hari ini, sebanyak lima laras senjata api pelbagai jenis telah dirampas,” katanya.

  • 14 individu terlibat Geng Nicky bebas tuduhan jenayah terancang

    14 individu terlibat Geng Nicky bebas tuduhan jenayah terancang

    MAHKAMAH Rayuan hari ini melepas dan membebaskan 14 individu termasuk dua adik kepada ahli perniagaan, Nicky Liow Soon Hee atas pertuduhan terbabit dalam kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai ‘Geng Nicky’, lima tahun lepas.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said sebulat suara membebaskan mereka selepas peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili 13 individu berkenaan memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi kesemua perayu supaya dibebas sepenuhnya daripada pertuduhan berkenaan.

    “Ini adalah keputusan sebulat suara, perintah Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan diketepikan. Dengan ini kesemua perayu dilepas dan dibebaskan,” kata Hakim Kamaludin yang bersidang bersama-sama Hakim-hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan representasi kesemua perayu telah diterima dan dipertimbangkan oleh AGC. Seorang lagi perayu diwakili peguam Jasmine Cheong.

    Seramai 14 individu itu termasuk empat warganegara China, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Sept 2021, yang melepas tanpa membebaskan mereka daripada pertuduhan itu.

    Hakim Datuk Abd Halim Aman membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memohon agar kesemua tertuduh dilepas tanpa dibebaskan, kerana pendakwaan berhasrat untuk meneruskan pertuduhan ke atas kesemua tertuduh pada masa akan datang.

    Dua tertuduh yang merupakan adik Nicky adalah Datuk Liow Wei Kin dan Datuk Liow Wei Loon, manakala tertuduh lain ialah Lee Han Keat, Lee Kam Onn, Datuk Lee Kum Weng, Eee Eng Chee, Dr Jovian Joris Tan Chern Chian, Datuk Loo Siew Chin, Lim Kang Li, Datuk Seri Andrew Lim Kim Ming serta empat warga China Huang Lei, Wang Yu Jun, Gu Xing Qiong serta Jiang Xue, yang berusia awal 20an hingga 56 tahun.

    Mengikut pertuduhan, 13 tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’ di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong antara 1 Jan 2017 dan 20 Mac 2021.

    Mereka dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Kim Ming didakwa membantu kumpulan jenayah sama di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, antara 1 Jan 2017 dan 29 Mac 2021, mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Dua lelaki mengaku bersalah buat laporan polis palsu

    Dua lelaki mengaku bersalah buat laporan polis palsu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pengurus syarikat dijatuhkan hukuman denda RM800 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat laporan polis palsu di Mahkamah Majistret di Johor Bahru hari ini.

    Tertuduh, Chin Chen Yee, 44, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurmadiana Mamat.

    Sementara seorang penganggur, R. Kumaraguru, 31, pula di mahkamah yang sama, dijatuhkan hukuman penjara lima hari beserta denda RM1,000, gagal bayar tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret, Mohd. Zulhilmi Ibrahim.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, Chen Yee didakwa telah membuat laporan polis palsu menyatakan beg silang miliknya yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad ATM dan wang tunai RM500 diragut dua lelaki menaiki motosikal di Taman Sutera Utama, pada pukul 10.45 malam, 3 Julai lalu.

    Berdasarkan kertas pertuduhan Kumaraguru pula, dia didakwa telah membuat laporan polis palsu mendakwa dompet miliknya yang mengandungi kad pengenalan, kad ATM beserta wang tunai RM180 disamun di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai pada pukul 7.30 pagi, 4 Julai lalu.

    Atas kesalahan tersebut, kedua-dua mereka dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

    Pendakwaan kes Chen Yee dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad, Manakala pendakwaan bagi kes Kumaraguru pula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Arif Marzuki Danial Munir.

    Difahamkan, siasatan polis mendapati kedua-dua tertuduh membuat laporan berkenaan bertujuan untuk mengelak dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan kad pengenalan milik mereka.

  • Muhyiddin ucap takziah pemergian Subramaniam

    Muhyiddin ucap takziah pemergian Subramaniam

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga bekas Timbalan Presiden MIC, mendiang Tan Sri S Subramaniam yang meninggal dunia semalam.

    Hari ini, beliau dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman menziarahi jenazah mendiang Subramaniam di rumahnya di Petaling Jaya.

    Ahli Parlimen Pagoh itu dukacita apabila mendengar berita mendiang meninggal dunia kerana secara peribadi mengenali beliau yang pernah menjadi Ahli Parlimen Damansara dari tahun 1974 hingga 1982 dan Ahli Parlimen Segamat dari tahun 1982 hingga 2004.

    “Kami juga pernah bertugas di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang mana saya menjadi Menteri pada 1999 hingga 2004 dan mendiang adalah Timbalan Menteri dari tahun 1995 hingga 2004.

    “Semasa hayatnya mendiang banyak menyumbang jasa dan bakti dan pemergian beliau satu kehilangan kepada masyarakat India, parti MIC dan negara.

    “Saya doakan semoga ahli keluarga mendiang tabah dan bersabar menghadapi saat mendukacitakan ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Sementara itu, memetik laporan Bernama, mendiang Subramaniam yang meninggal dunia pada Selasa, selamat disemadikan menerusi upacara pembakaran di Nirvana Memorial Park, Shah Alam hari ini.

    Mendiang yang diserang strok pada 2011 dan terlantar sejak itu meninggal dunia dalam tidur, kira-kira 8 malam di kediamannya di Petaling Jaya, dekat sini pada usia 78 tahun.

    Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir untuk mendiang pada hari ini adalah Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan yang juga merupakan Menteri Sumber Manusia dan beberapa pemimpin kanan parti tersebut.

    Mendiang meninggalkan isteri Puan Sri Tina Subramaniam, 70, dua anak lelaki dan seorang anak perempuan.

    Subramaniam pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Damansara dan Segamat antara tahun 1974 hingga 2004 selain, mendiang juga pernah memegang jawatan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pertanian serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

    Dalam arena politik, Subramaniam mula menjadi ahli MIC pada tahun 1962 dan pernah menyandang jawatan sebagai setiausaha agung, naib presiden dan timbalan presiden.

  • SPRM nafi dakwaan ugutan, pegawainya buat laporan polis

    SPRM nafi dakwaan ugutan, pegawainya buat laporan polis

    PEGAWAI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa melakukan ugutan terhadap seorang lelaki dalam bilik siasatan tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan itu.

    Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

    “Berdasarkan laporan dibuat pegawai itu menyatakan dakwaan lelaki terbabit tidak benar dan berniat menjatuhkan imej serta reputasi agensi terbabit yang menjalankan siasatan.

    “SPRM menggesa pihak polis melakukan siasatan terperinci terhadap laporan berkenaan kerana dakwaan terhadap pegawai SPRM itu adalah tuduhan serius,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, SPRM sentiasa memberi kerjasama kepada polis untuk menjalankan siasatan terhadap pegawainya dan dalam masa sama akan terus menjalankan siasatan berkaitan isu rasuah membabitkan pihak yang terbabit dalam isu berkenaan.

    Terdahulu, Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz mengesahkan menerima laporan daripada pengarah sebuah syarikat yang mendakwa dua pegawai SPRM memaksanya menulis surat pengisytiharan memindahkan wang RM1.7 juta kepada individu lain.

    Sebelum itu, tular di media sosial perkongsian laporan polis berhubung kes berkenaan yang dikongsi oleh seorang pemilik akaun di mana pengadu mendakwa dikelilingi tiga pegawai SPRM dan seorang orang awam sebelum dua daripada mereka memaksanya menandatangani satu surat.

  • Waspada ketika sambut Aidiladha, elak kes Covid-19 meningkat

    Waspada ketika sambut Aidiladha, elak kes Covid-19 meningkat

    MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin menasihtkan orang ramai agar terus berwaspada apabila menziarahi ahli keluarga mereka menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha hujung minggu ini bagi membendung peningkatan kes harian COVID-19.

    Khairy menerusi ciapan di Twitter rasmi beliau hari ini berkata orang ramai perlu memakai pelitup muka apabila berada di kawasan tertutup dan sesak selain mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, Seek – Uji, Lapor, Asing, Maklum, Dapatkan Rawatan).

    “Lakukan ujian kendiri sebelum balik kampung,” katanya.

    Beliau berkata sambutan Hari Raya Aidilfitri lepas menyaksikan bilangan kes harian COVID-19 meningkat kepada 3,410 kes pada 12 Mei yang antara lain berpunca daripada peningkatan kadar pergerakan dalam masyarakat dan aktiviti berkumpulan.—Bernama

  • Bekas calon bebas PRU-14 didakwa buat video jelik PM, UMNO

    Bekas calon bebas PRU-14 didakwa buat video jelik PM, UMNO

    BEKAS calon bebas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Papat, Sabah didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini, atas empat pertuduhan termasuk membuat komunikasi jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan UMNO menerusi aplikasi Tiktok serta YouTube, minggu lalu.

    Tertuduh yang merupakan penganalisis politik, Jufazli Shi Ahmad, 33, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab. Razak.

    Mengikut dua pertuduhan, dia didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik, telah memuat naik dua video, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, menggunakan aplikasi Tik Tok atas nama ‘King Maker’ dan YouTube ‘King Maker Politik’ pada pukul 3 petang, 23 dan 27 Jun lalu.

    Sinar Harian melaporkan, kandungan aplikasi itu telah dibaca dan dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di Kuala Lumpur, pada 24 Jun dan 1 Julai lalu.

    Ia merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Bagi dua lagi pertuduhan, dia didakwa gagal memberi capaian kepada data berkomputer yang disimpan dalam telefon bimbit iaitu gagal memberi kata laluan kepada laman profil aplikasi Tik Tok atas nama ‘King Maker’ dan YouTube ‘King Maker’ Politik yang diminta oleh pihak polis.

    Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi di Kuala Lumpur, pada pukul 12.10 tengah hari dan 3 petang, 5 Julai lalu.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 249 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 242 sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd. Izhar manakala OKS diwakili peguam, Rajsurian Pillai.

    Ketika prosiding, Nor Azizah mencadangkan OKS diberi ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan, dengan mengambil kira ia termasuk dalam kes berkepentingan awam.

    “Kami juga memohon perintah larangan kepada OKS supaya tidak membuat kenyataan atau komen berkaitan kes ini, sama ada menerusi media sosial atau cetak, sehingga kes selesai,” katanya.

    Bagaimanapun, Rajsurian merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana tiada pendapatan tetap.

    “Dia mempunyai kes yang sama di Mahkamah Sepang dan prosiding ini masih berlangsung sejak dua tahun lalu,” katanya.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Nor Hasniah membenarkan OKS diikat jamin sebanyak RM14,000 bagi kesemua pertuduhan dan dia dikehendaki memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

    Mahkamah kemudian menetapkan 29 Ogos depan untuk sebutan kes bagi kesemua pertuduhan itu.