Category: Semasa

  • Guru besar maut motosikal rempuh tiang elektrik

    Guru besar maut motosikal rempuh tiang elektrik

    SEORANG guru besar maut selepas motosikalnya dipercayai melanggar tiang elektrik di Jalan Supar, Sabak Bernam semalam.

    Kejadian 1.30 tengah hari itu berlaku ketika mangsa berusia 59 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tengar.

    Ketua Polis Sabak Bernam, Agus Salim Mohd Alias, berkata mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar tiang elektrik.

    “Mangsa cedera di kepala dan disahkan meninggal dunia. Permukaan jalan basah ketika kejadian kerana hujan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah di Sabak Bernam untuk bedah siasat.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menurut Harian Metro.

  • Pertuduhan terhadap Muhyiddin cacat, perlu dibatalkan

    Pertuduhan terhadap Muhyiddin cacat, perlu dibatalkan

    Oleh DATUK DR. MARZUKI MOHAMAD

    PADA 12 Julai 2023, berlangsung pendengaran permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membatalkan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta bagi sekutunya iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Kesemua wang ini dimasukkan terus ke akaun Bersatu, bukan akaun peribadi Muhyiddin.

    Saya hendak jelaskan sedikit hujah-hujah pasukan peguam bela Muhyiddin untuk menyokong permohonan ini dalam bahasa yang mudah.

    Ada dua perkara utama yang dihujahkan.

    Pertama, Muhyiddin dituduh di bawah seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) yang menyatakan: “Mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk apa-apa suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudaranya atau sekutunya, melakukan suatu kesalahan”.

    Menurut seksyen 23(2) akta sama, pegawai awam itu pula dianggap menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk apa-apa suapan apabila dia membuat apa-apa keputusan atau mengambil apa-apa tindakan berhubungan dengan apa-apa perkara yang mengenainya pegawai itu, atau mana-mana saudara atau sekutunya, mempunyai kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

    Ini bermakna, pihak pendakwaan mesti menyatakan di dalam pertuduhan apa keputusan atau tindakan yang diambil oleh Muhyiddin yang boleh dianggap menggunakan jawatan atau kedudukannya.

    Pasukan peguam bela memberi contoh pertuduhan ke atas Datuk Seri Najib Razak yang dengan jelas menyatakan keputusan atau tindakan yang diambil oleh beliau dalam kes menerima suapan daripada dana SRC International.

    Malangnya, pertuduhan ke atas Muhyiddin tidak menyatakan apakah keputusan atau tindakan yang diambil oleh beliau untuk dianggap telah menggunakan jawatan atau kedudukannya bagi tujuan menerima “suapan” untuk parti Bersatu.

    Justeru, pasukan peguam bela berhujah pertuduhan ke atas Muhyiddin adalah cacat dan hendaklah dibatalkan kerana bercanggah dengan peruntukan seksyen 154 Kanun Prosedur Jenayah yang menghendaki sesuatu pertuduhan mengandungi butir-butir cara mana kesalahan itu telah dilakukan.

    Pasukan pendakwaan pula berhujah mereka tidak perlu menyatakan dalam pertuduhan apa ‘keputusan atau tindakan’ yang dibuat oleh Muhyiddin.

    Hakim bertanya sama ada mereka mempunyai sebarang ‘authority’ atau contoh kes yang diputuskan sebelum ini untuk menyokong hujah mereka. Mereka jawab tiada.

    Dalam mana-mana perbicaraan di mahkamah, hujah yang dikemukakan oleh peguam mestilah bersandarkan kepada undang-undang atau ‘authority’ yang sah.

    Dalam kes ini nampaknya pasukan pendakwaan gagal mengemukakan sebarang ‘authority’ untuk pertimbangan hakim.

    Keduanya ialah takrifan sekutu. Ini kerana Muhyiddin tidak dituduh menerima suapan bagi dirinya. Beliau dituduh menerima suapan bagi sekutunya iaitu Bersatu.

    Ini berbeza dengan kes Najib. Beliau dituduh menerima suapan bagi dirinya. Ada bukti wang SRC International masuk ke dalam akaun peribadinya, dan wang itu digunakan untuk perbelanjaan peribadi.

    Begitu juga kes Ahmad Zahid Hamidi. Ada bukti duit Yayasan Akal Budi digunakan untuk tujuan peribadi.

    Dalam kes Muhyiddin, wang sumbangan politik masuk ke dalam akaun Bersatu.

    Tidak ada satu sen pun masuk ke dalam akaun peribadinya atau digunakan untuk tujuan peribadi.

    Jika ada tentu sekali pihak SPRM telah menemui buktinya kerana agensi anti rasuah itu telah merampas penyata akaun bank Bersatu dan juga semua lejer parti itu.

    Persoalan yang dibangkitkan oleh pasukan peguam bela ialah adakah Bersatu boleh ditakrifkan sebagai sekutu Muhyiddin menurut Akta SPRM? Ini penting kerana pertuduhan ke atas Muhyiddin di bawah Seksyen 23 Akta SPRM ialah menerima suapan bagi sekutunya iaitu Bersatu.

    Pihak pendakwaan bergantung kepada takrifan sekutu di bawah Seksyen 3 Akta SPRM iaitu “mana-mana organisasi yang orang itu, atau mana-mana penamanya, menjadi pekongsinya, atau orang yang bertanggungjawab bagi atau mengawal, atau yang mempunyai kepentingan mengawal dalam, perniagaannya atau hal ehwalnya”.

    Pihak pendakwaan berhujah bahawa Bersatu adalah sebuah organisasi menurut takrifan sekutu di bawah Seksyen 3 Akta SPRM.

    Mereka memberi contoh maksud organisasi dalam kamus-kamus Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang mengatakan parti politik adalah sebuah organisasi.

    Mereka juga memberi contoh nama parti-parti politik seperti United Malays National Organization (UMNO) yang menggunakan perkataan organisasi.

    Begitu juga United Progressive Kinabalu Organization (UPKO) yang juga menggunakan perkataan organisasi.

    Maka, bagi mereka, Bersatu sebagai parti politik adalah sebuah organisasi yang termasuk di dalam takrifan sekutu menurut Seksyen 3 Akta SPRM.

    Hujah pertama menggunakan takrifan kamus memang boleh diterima dalam undang-undang. Tetapi jika terdapat takrifan dalam akta yang berbeza dengan takrifan di dalam kamus, makan takrifan dalam akta hendaklah diguna pakai.

    Hujah kedua yang bersandarkan contoh nama-nama parti yang menggunakan perkataan organisasi pada namanya untuk menyokong hujah bahawa parti politik adalah ‘organisasi’ menurut Seksyen 3 Akta SPRM bagi saya agak lemah. Kenapa saya kata lemah?

    Kita ambil contoh secara logik saja. Misalnya, kalau orang itu bernama Raja Arif, adakah dia seorang Raja atau Sultan yang berdaulat? Tidak ada seorang pun Raja atau Sultan yang bernama Raja Arif di negara kita. Apalagi kalau namanya Rajagopal. Sah-sah bukan raja.

    Jadi mahkamah hendaklah melihat kepada takrifan ‘organisasi’ menurut undang-undang bukan contoh-contoh yang boleh dipersoalkan.

    Pasukan peguam bela berhujah bahawa Bersatu sebagai sebuah pertubuhan politik tidak boleh dianggap sebagai ‘organisasi’ menurut takrifan sekutu di bawah Seksyen 3 Akta SPRM.

    Kenapa?

    Pertama, Bersatu adalah sebuah ‘pertubuhan’ yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

    Dalam Akta SPRM, perkataan ‘pertubuhan’ (society) dan ‘organisasi’ (organization) digunakan secara berasingan yang bererti kedua-dua perkataan ini mempunyai maksud yang berbeza dan tidak boleh dianggap sebagai perkara yang sama atau sinonim.

    Pasukan peguam bela menggunakan kaedah dan peraturan pentafsiran statut yang jelas iaitu apabila Parlimen menggubal sesuatu Akta, setiap perkataan yang digunakan dalam akta itu mempunyai maknanya yang tersendiri.

    Prinsip undang-undang yang diguna pakai ialah ‘Parliament does not legislate in vain’.

    Maknanya, jika ada dua perkataan berbeza yang digunakan di dalam sesuatu Akta, kita tidak boleh kata dua-dua tu sama saja.

    Jadi, bagi pasukan peguam bela, Bersatu tidak boleh dianggap sebagai ‘sekutu’ menurut Seksyen 23 Akta SPRM kerana ia adalah sebuah ‘pertubuhan’ bukan ‘organisasi’ yang termasuk dalam takrifan ‘sekutu’ menurut Seksyen 3 akta yang sama.

    Kedua, ‘organisasi’ yang termasuk dalam takrifan sekutu juga mempunyai ciri-ciri sebuah badan komersil yang berasaskan keuntungan, sedangkan Bersatu adalah sebuah badan politik yang tidak berasaskan keuntungan.

    Saya tulis sekali lagi takrifan sekutu menurut Seksyen 3 Akta SPRM: “mana-mana organisasi yang orang itu, atau mana-mana penamanya, menjadi pekongsinya, atau orang yang bertanggungjawab bagi atau mengawal, atau yang mempunyai kepentingan mengawal dalam, perniagaannya atau hal ehwalnya”.

    Perkataan penama adalah perkataan yang biasanya digunakan bagi sebuah syarikat perniagaan. Bersatu sebagai sebuah parti politik tidak ada penama.

    Perkataan pekongsi adalah perkataan yang biasanya merujuk kepada syarikat atau firma yang ditubuhkan oleh rakan-rakan kongsi.

    Rakan-rakan kongsi ini pula mempunyai jumlah saham yang tertentu di dalam syarikat.

    Bersatu sebagai sebuah parti politik tidak ditubuhkan oleh rakan-rakan kongsi.

    Ia ditubuhkan oleh pengasas-pengasas parti dan mereka semua tidak ada saham di dalam parti.

    Bersatu ada tujuh orang pengasas, enam daripadanya telah tidak lagi menjadi ahli Bersatu.

    Mereka tidak menjual ‘saham’ mereka di dalam Bersatu ketika keahlian mereka terlucut.

    Ini bermakna mereka tidak ada kepentingan komersil di dalam Bersatu. Sedangkan organisasi yang ditakrifkan di bawah Seksyen 3 Akta SPRM mempunyai sifat komersil.

    Perkataan kepentingan mengawal yang biasanya digunakan untuk merujuk kepada pemegang saham majoriti dalam sesebuah syarikat.

    Sebagaimana yang saya jelaskan di atas, Muhyiddin sebagai pengasas Bersatu tidak ada ‘saham’ dalam Bersatu.

    Macam mana hendak kata beliau ada ‘controlling interest’? Dia seperti ahli-ahli parti yang lain hanya mempunyai satu undi saja dalam parti.

    Kalau ada pemilihan parti undinya dikira satu saja. Begitu juga dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

    Walaupun Muhyiddin adalah presiden, kalau ada pengundian dalam mesyuarat, undi Muhyiddin dikira satu undi saja. Perlembagaan Bersatu tidak memberikan presiden kuasa mengawal atau kuasa veto dalam mengurus hal ehwal parti.

    Yang paling jelas ialah perkataan perniagaan. Perkataan perniagaan ditakrifkan di bawah Seksyen 3 Akta SPRM iaitu: “apa-apa kegiatan yang dijalankan bagi maksud mendapat laba atau untung dan termasuklah segala harta yang didapati daripada, atau yang digunakan dalam atau bagi maksud penjalanan kegiatan itu, dan segala hak dan liabiliti yang berbangkit daripada kegiatan itu”.

    Sahlah perkataan perniagaan ini merujuk kepada organisasi yang menjalankan aktiviti perniagaan yang bermatlamatkan keuntungan.

    Bersatu adalah pertubuhan politik bukan organisasi perniagaan.

    Menurut Fasal 24(1) Perlembagaan Bersatu, sumber kewangan Bersatu adalah daripada yuran ahli dan derma, bukan daripada aktiviti perniagaan.

    Berdasarkan fakta-fakta ini, dengan disokong oleh ‘authority’ dari segi undang-undang (banyak kes-kes yang dinyatakan oleh pasukan peguam bela sebagai panduan untuk hakim membuat keputusan) pasukan peguam bela berhujah bahawa Bersatu tidak boleh ditakrifkan sebagai ‘sekutu’ di bawah Seksyen 3 dan Seksyen 23 Akta SPRM.

    Maka dengan itu, pertuduhan ke atas Muhyiddin adalah cacat dan bukan satu kesalahan yang diketahui di bawah undang-undang.

    Dalam perkataan yang mudah, Muhyiddin tidak melakukan apa-apa kesalahan dan pertuduhan ke atasnya hendaklah dibatalkan.

    Maka, terserahlah kepada Yang Arif Hakim yang bijaksana untuk membuat keputusan berdasarkan fakta-fakta yang dikemukakan dan prinsip undang-undang yang diterima pakai.

    Penulis adalah Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Kelapan

  • PRN:Bekas Ketua MyWatch dijangka wakili Bersatu di Jeram Padang

    PRN:Bekas Ketua MyWatch dijangka wakili Bersatu di Jeram Padang

    BEKAS Pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch), R. Sri Sanjeevan dijangka bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Negeri Sembilan bagi mewakili Perikatan Nasional (PN).

    Beliau dijangka bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Barisan Nasional, khasnya MIC, mempertahankan kerusi itu sejak 1995, tetapi parti itu memutuskan tidak menyertai PRN akan datang.

    Pengerusi MIC negeri dan bekas Exco, L. Manickam memenangi kerusi itu pada 2013 dan mempertahankannya pada 2018, walaupun BN tumbang pada PRU14.

    Sumber berkata, Sanjeevan, 39, yang dilahirkan dekat pekan Bahau, berkhidmat di kawasan itu sejak 2020 selepas menyertai Bersatu.

    Ahli perniagaan itu yang terbabit beberapa kes jenayah dan sivil, pernah menganggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    “Beliau berpeluang memenangi kerusi itu kerana MIC tidak akan meletakkan calon,” kata sumber itu kepada FMT.

    Pada PRU 2018, Manickam memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,062 undi selepas meraih 3,702 undi. S Musliadi Sabtu dari PKR mendapat 2,302 undi, manakala Fairuz Isa dari PasS memperoleh 785 undi.

    Calon Bebas pula, Surash Sreenivasan meraih 2,640 undi.

    DUN itu mempunyai 51% pengundi Melayu, diikuti India (36%), Cina (10%) dan Orang Asli (3%).

    Baru-baru ini, UMNO Negeri Sembilan dilaporkan sedia bertanding di Jeram Padang susulan keputusan MIC tidak menyertai PRN pada 12 Ogos ini.

  • Kajian Pengundi Melayu Selangor: 63% rasa hak digugat, 89% bimbang kesan inflasi – EMGC

    Kajian Pengundi Melayu Selangor: 63% rasa hak digugat, 89% bimbang kesan inflasi – EMGC

    ENDEAVOUR-MGC yang melakukan tinjauan pendapat pengundi Melayu Selangor mendapati 63 peratus responden merasakan hak mereka sedang digugat.

    Menerusi dapatan kaji selidik yang dijalankan bermula 12 hingga 18 Jun lalu, melibatkan 1,068 responden daripada 1.9 juta pengundi Melayu berdaftar di Selangor itu bagaimanapun, tidak menyatakan dengan lebih lanjut mengenai ‘siapa’ dan ‘apa’ yang menggugat hak responden.

    Sementara itu, 35 peratus pula tidak bersetuju apabila ditanya berkaitan soalan ‘adakah hak anda sedang digugat oleh orang lain?’ dan dua peratus responden lagi menjawab ‘tidak tahu’.

    Tinjauan pendapat tersebut dijalankan di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan pecahan responden mengikut jantina pula adalah seimbang 50-50 antara lelaki dan wanita.

    Margin kesilapan keputusan adalah 3.0 peratus dengan 95 peratus keyakinan setiap responden, lapor Astro Awani.

    Empat puluh lima peratus merupakan responden daripada golongan B40 berpendapatan RM4,850 ke bawah, manakala 40 peratus M40 dengan pendapatan antara RM4,850 dan RM10,959, manakala 15 peratus golongan T20 yang berpendapatan RM10,959 ke atas.

    Meskipun pelbagai inisiatif dilancarkan kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup terutama Payung Rahmah, kajian tersebut menunjukkan majoriti besar responden (87 peratus) tidak mengetahui sebarang dasar atau inisiatif kerajaan yang bertujuan membendung inflasi atau mengurangkan kos sara hidup.

    Hanya 13 peratus responden mengakui mengetahui inisiatif yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

    Secara keseluruhannya, 89 peratus responden mengakui risau tentang kesan inflasi ke atas kewangan peribadi dengan pecahan 49 peratus responden ‘amat risau’ dan 40 peratus ‘risau’ dengan kesan inflasi.

  • Polis buka kertas siasatan terhadap Sanusi, turut disiasat Hadi,Guan Eng dan Dr.Mahathir

    Polis buka kertas siasatan terhadap Sanusi, turut disiasat Hadi,Guan Eng dan Dr.Mahathir

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan semalam terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja), dalam ceramah politiknya baru-baru ini.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan berkenaan kes itu, dijangka mengambil masa selama tujuh hari.

    “Penyiasatan yang pantas kita lakukan. Sebenarnya tak boleh cepat tetapi kita akan buat siasatan yang mana kita ada pasukan petugas yang akan menyiasat kes berkaitan 3R ini, yang dianggotai seramai 21 pegawai.

    “Dalam siasatan kita (berkaitan 3R), daripada 27 Mac (sehingga kini), kita telah buka kertas siasatan berjumlah 61 kes termasuk kes terbaharu melibatkan Menteri Besar Kedah,” katanya dalam sidang media khas Ketua Polis Negara di Bukit Aman, di sini, hari ini.

    Beliau berkata siasatan berkaitan 3R berkenaan, dilakukan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Saya boleh katakan, bahawa siasatan yang telah lengkap akan dihantar ke pihak AGC (Jabatan Peguam Negara), termasuk kertas siasatan melibatkan ahli politik, bekas ahli politik, NGO dan orang awam,” katanya.

    Razarudin berkata selain Muhammad Sanusi, pihaknya turut menyiasat individu penting termasuk Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Bagan dan juga bekas Menteri Kewangan Lim Guang Eng serta bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Beliau berkata sebahagian kertas siasatan telah diangkat ke Jabatan Peguam Negara, selaras dengan Perkara 145(3) iaitu Peguam Negara mempunyai kuasa, dan kuasa itu hendaklah dijalankan menurut budi bicara Peguam Negara, bagi membawa atau menjalankan atau memberhentikan apa-apa jua perbicaraan mengenai satu kesalahan.

    Sementara itu, Razarudin memberi amaran bahawa PDRM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan, terhadap sesiapa sahaja yang memainkan isu 3R, terutamanya ketika musim Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

    “Isu 3R ini melibatkan bangsa, agama dan raja. Tetapi ada pihak yang bercakap terlampau seronok hingga tidak menghirau perasaan orang lain, sampai sanggup mengaibkan dan memfitnah. Ini sepatutnya tidak berlaku.

    “Apa perkataan yang mengaibkan institusi diraja, ia mendatangkan kegusaran dan ketidakharmonian. Jadi lebih bagus jangan bangkitkan isu 3R ini, terutamanya dalam musim pilihan raya negeri,” katanya.

    Baru-baru ini media melaporkan terdapat video tular yang memaparkan Sanusi ketika menyampaikan politik didakwa memperlekeh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari, sebagai Menteri Besar Selangor.

  • PRN: Amiruddin nafi senarai calon tular, anggap  usaha melobi

    PRN: Amiruddin nafi senarai calon tular, anggap  usaha melobi

    NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Amirudin Shari, hari ini menafikan senarai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang tular di media sosial baru-baru ini dan menyifatkan ia sebagai usaha melobi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan hadapan.

    Beliau berkata senarai calon PKR DUN Selangor hanya akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Calon PKR, yang akan berlangsung pada 16 dan 17 Julai ini.

    “Saya pun tidak tahu macam mana orang itu boleh tahu senarai calon, calon perlu ditandatangani dan dipilih oleh jawatankuasa, 16 dan 17 hari bulan ini baru kita nak mesyuarat senarai calon. Ini semua kaedah lobi yang biasa nak pilihan raya tetapi saya nafikan senarai ini, bila nak pilihan raya itu perkara biasa,” katanya ketika diminta mengulas mengenai senarai calon PKR Selangor yang tular di media sosial baru-baru ini, lapor BERNAMA.

    Beliau berkata sedemikian selepas merasmikan program Jaringan BizClub: BizMatch Mega 2.0 di Dewan Raja Muda Musa, di sini hari ini.

    Ketika ditanya mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi PKR Selangor pada PRN kali ini, Amirudin masih mengunci mulut dan menyerahkan kepada peringkat tertinggi parti untuk memaklumkan mengenai perkara tersebut.

    “Saya tidak berada dalam posisi nak dedahkan (senarai kerusi), yang dedah kerusi-kerusi (parti lain) itu oleh pimpinan pusat. Walaupun saya naib presiden tapi saya bukan dalam posisi nak menjelaskan, mungkin Rafizi (Timbalan Presiden PKR, Ramli Ramli) atau Anwar (Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh beritahu mana kerusi-kerusi itu,” katanya.

    Amirudin yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor sebelum ini memaklumkan pembahagian kerusi di antara PH dan BN selesai dengan lebih 20 peratus daripada 56 kerusi DUN akan diwakili BN manakala selebihnya akan ditandingi calon PH yang terdiri daripada parti PKR, DAP dan Amanah.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, PH mendominasi Selangor dengan memenangi 51 kerusi, diikuti BN dan PAS masing-masing mendapat empat dan satu kerusi.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan, diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

  • PRN : BN dapat tanding lebih 100 kerusi, kata Zahid

    PRN : BN dapat tanding lebih 100 kerusi, kata Zahid

    BARISAN Nasional (BN) mendapat lebih 100 kerusi untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    “Lebih sedikit dari 100,” katanya ditanya media mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi calon BN dalam PRN itu, selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), di Putrajaya hari ini.

    Timbalan Perdana Menteri itu berkata pengumuman rasmi nama calon BN bagi setiap kerusi yang ditandingi, akan dibuat pada 21 Julai ini.

    “Kita dah selesai (pengagihan kerusi) sepenuhnya. Insya-Allah, 21 Julai ini akan buat pengumuman secara rasmi calon-calon mengikut kawasan-kawasan yang telah kami persetujui. Ketika itu watikah-watikah akan diberikan,” katanya lampor BERNAMA.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah diadakan serentak pada 12 Ogos sebagai hari pengundian, dan penamaan calon pada 29 Julai.

    Sementara itu, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata parti itu tidak diperuntukkan banyak kerusi pada PRN itu dan kebanyakan calonnya akan diletakkan di kerusi sama yang dimenangi pada pilihan raya lepas.

    “Amanah tidak banyak kerusi namun kerusi yang kami tanding akan menang semua,” katanya masih terdapat dua kerusi yang masih belum dimuktamadkan dan dijangka selepas dalam masa terdekat. 

  • ‘Terima kasih Zahid, saya nasihat beliau taubat 48 kali’ – Sanusi

    ‘Terima kasih Zahid, saya nasihat beliau taubat 48 kali’ – Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melakukan taubat sama yang disaran kepadanya sebanyak 48 kali.

    Sambil berterima kasih kepada Presiden UMNO yang sedang berhadapan kes mahkamah itu, Muhammad Sanusi turut bersetuju agar taubat nasuha dilakukan oleh mereka yang menyesali perbuatan dilakukan.

    “Saya bersetuju dan berterima kasih di atas nasihat supaya bertaubat nasuha yang sememangnya dianjurkan kepada mana-mana orang yang menyesali dosa yang telah dilakukan.

    “Saya juga ingin menasihatkan beliau bertaubat nasuha 48 kali dan meninggalkan arena politik tanah air di atas kerosakan yang dibawa oleh beliau kepada rakyat negara ini,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

    Respon tersebut merujuk kepada kenyataan Ahmad Zahid bahawa Muhammad Sanusi kononnya perlu melakukan taubat nasuha kerana didakwa menghina Sultan Selangor dalam satu ceramah di Selayang, Selangor malam kelmarin.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengingatkan Muhammad Sanusi supaya tidak menjadikan semua perkara sebagai bahan kempen yang merosakkan diri sendiri.

    Beliau berkata, politik bukan bahan lawak atau gurauan dan beliau sendiri tidak akan melayan kempen politik seperti itu.

  • Wan Saiful nafi pernah buat kenyataan pulangkan duit Jana Wibawa

    Wan Saiful nafi pernah buat kenyataan pulangkan duit Jana Wibawa

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menafikan mengeluarkan kenyataan untuk memulang wang Jana Wibawa seperti yang disebarkan dalam video TikTok.

    Menurut beliau, video berdurasi 15 saat yang mendakwa dirinya mengaku untuk memulangkan duit Jana Wibawa menerusi ulasan video keratan akhbar itu adalah tidak benar dan didakwa berniat jahat.

    “Saya tidak kenal pemilik TikTok berkenaan, laporan latar belakang video itu adalah seolah-olah laporan media menggunakan pula nama sebenar seorang wartawan yang benar-benar wujud.

    “Jadi gambaran yang diberi ialah saya buat tawaran akan pulangkan balik wang didakwa saya ambil sebagai rasuah dengan syarat dakwaan terhadap saya mesti digugurkan oleh pendakwa raya,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Damansara pada Khamis.

    Menurut Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, ini adalah satu fitnah dan penipuan berniat jahat dan bahayanya ialah dia menggunakan nama wartawan sebenar yang dikatakan menulis artikel tersebut.

    “Saya telah menghubungi editor akhbar berkenaan dan saya maklumkan telah buat satu laporan polis berkenaan video ini,” katanya.

    Wan Saiful turut kesal dengan penerbitan video seperti itu yang cuba membuat penipuan dan menerbitkan berita palsu.

    Beliau juga sudah tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang semalam.

    “Video ini tersebar luas menerusi media sosial dan aplikasi WhatsApp, saya harap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan menerusi laporan yang telah dibuat. Peguam saya juga sudah mengeluarkan surat tuntutan kepada penama berkenaan dan kita sudah hantar surat berhubung video yang dimuat naik pada 3 Jun lalu,” katanya.

    Dalam pada itu, Sinar Harian sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam berhubung penularan video berkenaan.

    Difahamkan sehingga kini video berkenaan mendapat 244,200 tontonan, 8,701 suka dan 1,474 komen.

  • Rumah di Kajang dipajak Anwar selama 10 tahun

    Rumah di Kajang dipajak Anwar selama 10 tahun

    SEORANG peguam memberitahu kediaman yang dihuni Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Kajang ketika ini dipajak selama 10 tahun.

    Peguam Anwar, SN Sankara Nair berkata, Perdana Menteri menandatangani perjanjian pajakan selama 10 tahun pada 2020 untuk mendiami rumah terbabit.

    “Harta yang beliau diami sekarang adalah dalam pajakan. Ada perjanjian pajakan selama 10 tahun,” katanya ketika ditemui media di Putrajaya hari ini, lapor Malaysakini.

    Terdahulu Sankara Nair menemani Setiausaha Politik Anwar, Farhan Fauzi, untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan dibuat bekas anggota Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin dan dua yang lain berhubung kediaman di di Sungai Long itu.

    Kelmarin Malaysiakini melaporkan Badrul Hisham merujuk rumah banglo yang didiami Anwar itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menggesa agens terlibat menyiasatnya.

    Menurut Badrul Hisham rumah terbabit sebenarnya dimiliki seorang “tauke Cina yang penuh misteri”.

    Dia juga mendakwa memiliki dokumen berkaitan yang ditandatangani oleh setiausaha sulit kepada Anwar.

    Sankara Nair berkata beliau memiliki dokumen yang berkaitan bagi membuktikan kediaman tersebut dipajak dan maklumat tersebut juga boleh ditemukan jika dicari di pejabat tanah.

    “Dakwaan itu bersifat sangat memfitnah kerana tidak ada kebenaran,” katanya.

    Tambah peguam itu lagi seseorang Perdana Menteri berhak tinggal di mana saja yang dianggap sesuai selagi ia dirasakan selamat.

    “Beliau(Anwar) mempunyai tempoh pajakan selama 10 tahun, jadi mengapa dia perlu keluar? Mengapa dia perlu berpindah hanya kerana dia perdana menteri?” katanya.

    Sementara itu Farhan berkata beliau telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya hari ini mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

    Turut dirujuk kepada pihak berkuasa, katanya, ialah bekas Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dan penulis blog Raggie Jessy Rithaudeen, berhubung kenyataan mereka yang didakwa mencemarkan nama baik Anwar.