Category: Semasa

  • Jemaah terkandas: 17 laporan polis diterima setakat ini – Polis

    Jemaah terkandas: 17 laporan polis diterima setakat ini – Polis

    SEBANYAK 17 laporan polis telah dibuat jemaah Haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) daripada penerbangan ke Jeddah, Mekah, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd. Rahman, kesemua laporan polis itu dibuat di sekitar Lembah Klang sehingga pukul 4.30 pagi Jumaat.

    “Kami telah rekodkan sehingga jam 4.30 pagi tadi, 17 laporan polis telah dibuat terhadap UC Travel, dari segi siasatan kita akan teruskan sama ada berlaku penipuan atau tidak.

    Kita dah interview dia (pemilik) secara lisan, kita interview dia dan rekod keterangan dua perkara berlainan.

    “Semalam kita sudah interview dia untuk dapatkan cerita, ekoran daripada report ini kita akan jalankan siasatan jika terdapat elemen tipu,” katanya lapor Astro Awani hari ini.

    Tambah Imran, beliau tidak menolak lebih banyak laporan polis akan dibuat oleh pihak jemaah dari semasa ke semasa.

    “Dia (pemilik) adalah suspek, kita akan panggil dia nanti. Report ini melibatkan banyak tempat, Setapak, Kajang, dan banyak tempat bukan hanya di KLIA sahaja.

    “Report ini dibuat oleh jemaah Haji sendiri,” katanya lagi.

    Jelasnya, kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Semalam, tinjauan Astro Awani mendapati hampir 400 jemaah Haji terkandas di KLIA selepas tidak dapat berlepas ke Jeddah.

    Malah berlaku kekecohan selepas salah seorang individu dipercayai dari syarikat agensi pelancongan dikerumuni jemaah bagi mendapatkan penjelasan.

    Ada diantara jemaah yang terpaksa menunggu sejak 28 Jun untuk penerbangan menunaikan rukun Islam kelima itu, namun ditunda atas alasan tertentu.

    Kesemua jemaah Haji itu berdaftar di bawah visa furada.

  • Sultan Johor, Sultan Selangor kaya bukan hasil daripada monopoli-TMJ

    Sultan Johor, Sultan Selangor kaya bukan hasil daripada monopoli-TMJ

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PEMANGKU Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Sultan Johor dan Sultan Selangor memiliki kekayaan menerusi pelbagai penglibatan dalam aktiviti-aktiviti korporat.

    Tunku Ismail berkata, hak milik kekayaan Sultan Johor dan Sultan Selangor itu adalah pelaburan dalam aktiviti korporat dan bukan monopoli beras, monopoli gula, monopoli tepung, lesen import (AP), kuota, kontrak kerajaan, konsesi swasta dan banyak lagi.

    “Ini bukan sebagaimana yang dilakukan oleh kroni-kroni kepada mereka yang berkuasa sejak Tun Dr Mahathir Mohamad Mahathir mengambil alih tugas sebagai Perdana Menteri pada 1981 dan selepas (Datuk Seri) Anwar Ibrahim menyertai UMNO pada 1982.

    “Mungkin kerajaan ada membayar gaji kepada sepuluh Raja-Raja Melayu. Tetapi seperti apa yang dikatakan oleh Sultan Johor, sejak 1899

    Kesultanan Johor telah mendermakan wang itu kembali kepada rakyat, lama sebelum pembentukan Malaya pada 1948 dan ketika British masih lagi menjajah Kepulauan Melayu,” kata Tunku Ismail dalam Facebook miliknya HRH Crown Prince of Johor, hari ini.

    Kelmarin, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim melahirkan kebimbangan sebahagian sultan terlibat aktif dalam perniagaan atau perusahaan komersial sejak akhir-akhir ini yang boleh menimbulkan pelbagai persepsi atau tuduhan tidak baik terhadap institusi diraja.

    Beliau dalam satu kenyataan berkata, kebenaran atau melarang sultan terlibat dalam perniagaan masih terikat dan tertakluk kepada Perlembagaan negeri atau undang-undang tubuh negeri masing-masing.

    “Mungkin juga undang-undang tubuh atau perlembagaan negeri senyap atau membisu dalam bab ini. Ada sembilan negeri di Malaysia yang mempunyai sultan. Perlembagaan negeri masing-masing berbeza-beza,” ujar Hassan.

    Mengulas lanjut, Tunku Mahkota Johor berkata, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini sudah memperbetulkan penipuan yang didakwa

    dilakukan bekas Perdana Menteri sebelum ini.

    “Sultan Johor telah memperbetulkan penipuan yang diputarbelitkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sejak 30 tahun dahulu, pada awal 1980-an yang mengatakan bahawa 10 Raja-Raja Melayu adalah lintah yang menghisap duit rakyat hingga kering,” ujar Tunku Ismail.

    Tunku Ismail berkata, setiap wang yang diterima daripada elaun sultan disalurkan baginda ke tabung bantuan sejak tahun 1899 yang dilakukan Kesultanan Johor.

    “Ini dilakukan sejak dari pemerintah kedua, Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pada 1899, telah mendermakan semua elaun peruntukan kerajaan negeri kepada tabung untuk mereka yang memerlukan,” kata Tunku Mahkota Johor.

    Menurut Tunku Ismail, satu kenyataan ada dimuat naik Royal Press Office (RPO) dalam Facebook Sultan Ibrahim sebelum ini menyatakan bahawa amalan itu diteruskan hingga zaman Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail apabila semua elaun disalurkan ke Yayasan Sultan Iskandar.

    “Ia juga menyatakan bahawa ketika Almarhum Sultan Iskandar menjadi Yang Di-Pertuan Agong kelapan dari 1984-1989, elaun yang diterima baginda dari kerajaan Persekutuan juga telah disalurkan kepada yayasan tersebut.

    “Yayasan Sultan Iskandar bukan hanya membantu mereka yang susah, tetapi juga memberikan bantuan ketika bencana alam dan juga memberikan dana untuk pendidikan,” kata Tunku Ismail.

    Tunku Mahkota Johor berkata, peruntukan untuk yayasan Yayasan Sultan Ibrahim pula adalah hasil derma daripada elaun yang diterima Sultan Ibrahim.

  • Polis tahan lelaki ceroboh, rosakkan gereja

    Polis tahan lelaki ceroboh, rosakkan gereja

    SEORANG lelaki dipercayai kurang siuman ditahan pihak polis selepas memecah masuk sebuah gereja St Francis Xavier di Keningau pada pukul 7.30 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Polis Nor Rafidah Kasim berkata,
    lelaki terbabit turut merosakkan beberapa barangan serta peralatan sembahyang.

    “Saringan ujian air kencing juga mendapati suspek yang berusia 34 tahun itu negatif penyalahgunaan dadah.

    “Suspek dan barang rampasan sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau untuk tindakan selanjutnya.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” kata beliau dalam kenyataan media, lapor Astro Awani hari ini.

    Menurut Nor Rafidah, siasatan awal juga turut mendapati pintu pagar gereja tidak berkunci dan kamera litar tertutup (CCTV) juga tidak berfungsi sewaktu kejadian.

  • Jemput Haqiem Stopa beri ceramah, sekolah menengah disiasat

    Jemput Haqiem Stopa beri ceramah, sekolah menengah disiasat

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan menyiasat tindakan sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur memanggil pempengaruh media sosial, Haqiem Stopa untuk memberikan ceramah dalam satu program yang dianjurkan.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana perlu meneliti dari segi konteks mengapa Haqiem dipanggil.

    “Saya dapat maklumat berkaitan ini semalam. Jadi masih melihat apakah konteks jemputan tersebut.

    “Saya belum menerima maklumat mendalam berkaitan perkara ini. Bagi saya lihat dulu, dan pihak KPM akan siasat,” katanya, mengikut lapor FMT hari ini.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media Anugerah Penggunaan Digital dan Teknologi di Bukit Kiara hari ini.

    Selasa lalu, tular di laman media sosial video memaparkan kehadiran Haqiem Stopa ke sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur untuk berkongsi kisah hidupnya bersama pelajar.

    Video itu mendapat pelbagai reaksi netizen yang mempersoalkan tindakan pengurusan sekolah menjemput individu yang lebih dikenali masyarakat dengan personaliti ‘mat rempit’.

    Dalam perkembangan lain, Radzi turut mengulas isu tular di media sosial mengenai dakwaan kertas peperiksaan 15 pelajar Sekolah Sultan Alam Shah dibatalkan kerana kesalahan membawa telefon bimbit secara tidak sengaja ke dewan peperiksaan.

    Katanya, beliau menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada Lembaga Peperiksaan untuk membuat keputusan sekiranya mereka mengikut protokol ditetapkan.

    “Ini berkaitan keputusan Lembaga Peperiksaan. Lembaga Peperiksaan satu badan bebas, maknanya saya sendiri menghormati protokol Lembaga Peperiksaan berkenaan mengenai perkara dilaksanakan.

    “Sekiranya perkara dilaksanakan memenuhi protokol ditetapkan, maka (KPM) menghormati keputusan dibuat Lembaga Peperiksaan,” katanya.

  • Kastam rampas 3,370kg daun ketum dalam lori dua tan

    Kastam rampas 3,370kg daun ketum dalam lori dua tan

    SEBANYAK 3,370 kilogram daun ketum bernilai RM33,700 dirampas dari sebuah lori dua tan di Lebuh Raya Timur-Barat, Kampung Batu Melintang, Jeli itu dipercayai dari Perak menuju ke Rantau Panjang semalam.

    Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan sebelum itu mengekori lori berkenaan sejauh 50 kilometer sebelum menahan pada pukul 4.30 pagi.

    Pengarah Kastam negeri, Mohd Nasir Deraman berkata, pemeriksaan di dalam lori mendapati jeriji yang diubah suai dipasang bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa.

    “Siasatan lanjut mendapati sebanyak 337 bungkus daun ketum memenuhi lori dua tan itu,” katanya kepada pemberita di Jabatan Kastam Padang Bongor, Kota Bharu, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Hadir sama, Timbalan Pengarah Kastam Negeri (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Aladi Riping dan Timbalan Pengarah Kastam Negeri (Perkastaman dan CDN), Koh Joo Kai.

    Mohd. Nasir memberitahu, pegawai kastam turut menahan seorang pemandu lori berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan.

    Katanya, modus operandi yang digunakan ialah mengangkut daun ketum dari negeri di utara itu sebelum diedar kepada pelanggan tempatan.

    Tambahnya, Kastam Kelantan turut melaksanakan dua serbuan di Machang dan Pengkalan Chepa masing-masing pada 15 Mei dan 1 Jun lalu.

  • Rakan mangsa tembak di Hulu Langat direman – Polis

    Rakan mangsa tembak di Hulu Langat direman – Polis

    TIGA rakan kepada lelaki yang maut akibat terkena tembakan daripada selaras senapang patah di kebun durian berhampiran Sungai Gabai, Hulu Langat, di Kuala Lumpur, semalam, direman selama lima hari.

    Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata kesemua suspek yang berusia 36 hingga 43 tahun itu, direman sehingga 11 Julai depan.

    “Ia adalah untuk membantu siasatan kes ini,” katanya ringkas kepada Bernama hari ini.

    Semalam, seorang lelaki tempatan maut dipercayai terkena tembakan daripada selaras senapang patah yang dibawa rakannya di kebun durian berhampiran Sungai Gabai di Hulu Langat.- Bernama

  • Dakwaan polis tidak ambil tindakan terhadap pemandu lori asing tidak benar

    Dakwaan polis tidak ambil tindakan terhadap pemandu lori asing tidak benar

    POLIS hari ini menolak dakwaan bahawa anggota cawangan trafiknya tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pemandu lori warga asing yang ditahan dalam operasi di Jalan Taman Mas, Sepang dekat sini pada Selasa lepas (5 Julai).

    Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata ketika melaksanakan Op Motosikal Perintah Gerakan, anggota trafik telah menahan sebuah lori berwarna merah pada pukul 12.40 tengah hari dan mendapati pemandunya yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), tidak memiliki lesen memandu yang sah.

    “Anggota telah mengeluarkan saman Pol 257 no AG875372 kepada pemandu lori tersebut atas kesalahan tiada lesen memandu,” katanya dalam kenyataan hari ini merujuk video tular kononnya polis tidak mengambil sebarang tindakan selepas menahan lori dipandu warga asing itu.

    Video berdurasi satu minit 27 saat itu memaparkan seorang individu mendakwa polis membiarkan warga asing yang ditahan itu pergi tanpa sebarang tindakan, selain menuduh polis mengambil suapan RM300 daripada pemandu lori.

    Wan Kamarul Azran berkata Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang akan menjalankan siasatan lanjut berkenaan dakwaan individu dalam video tersebut. – Bernama

  • Tidak perlu suruhanjaya, jabatan teknikal sedia ada mampu siasat punca banjir – Takiyuddin

    Tidak perlu suruhanjaya, jabatan teknikal sedia ada mampu siasat punca banjir – Takiyuddin

    TIADA keperluan untuk mengadakan Suruhanjaya Siasatan Awam bagi mengenal pasti punca kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku di beberapa buah kampung di Baling pada petang Isnin lepas, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Beliau berkata pelbagai jabatan teknikal yang berkaitan sedang membuat siasatan berhubung perkara itu dan akan membuat ‘kesimpulan’ serta menentukan punca tragedi itu.

    “Saya percaya jabatan yang berkaitan sedang mengadakan siasatan di kawasan berkenaan. Sekiranya (punca) berkaitan dengan penanaman semula, ia di bawah Jabatan Perhutanan. Ini kita serah kepada jabatan-jabatan berkaitan untuk melakukan siasatan.

    “Jadi tidak perlulah suruhanjaya siasatan dan sebagainya, jabatan kita pun mempunyai kemampuan dan kepakaran yang tersendiri,” katanya dalam sidang media selepas mengunjungi tiga pusat pemindahan sementara dan melawat ke kawasan terjejas bencana banjir di Baling hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) agar Kerajaan Kedah mengadakan Suruhanjaya Siasatan Awam bagi mengenal pasti punca tragedi banjir di Baling pada Isnin lepas dan kejadian di Gunung Jerai, Yan tahun lepas.

    Takiyuddin berkata pihaknya menjangka siasatan berhubung kejadian di Baling ini akan diselesaikan dalam masa terdekat memandangkan ia tidak melibatkan kawasan yang luas.

    Beliau berkata Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) akan membuat tinjauan di kawasan Gunung Inas, di sini bagi melakukan siasatan dan mencadangkan tindakan yang sewajarnya.

    “Seperti mana yang kita buat di Gunung Jerai (sebelum ini), JMG banyak melakukan siasatan berkaitan pengukuhan kawasan lereng yang berisiko dan sebagainya, banyak cadangan teknikal akan diberikan oleh JMG kepada jabatan lain termasuk Jabatan Kerja Raya dan sebagainya,” katanya.

    Takiyuddin turut menolak andaian bahawa jabatan-jabatan berkaitan lambat mengenal pasti kawasan yang berisiko berlakunya kejadian yang tidak diingini sehinggalah kejadian itu berlaku.

    Katanya kerajaan dan jabatan yang berkaitan memberi keutamaan dan mengambil tindakan di kawasan yang telah dikenal pasti berisiko tinggi untuk berlaku bencana. – Bernama

  • Zahid beli banglo harga diskaun sebab pemilik mahu wang cepat

    Zahid beli banglo harga diskaun sebab pemilik mahu wang cepat

    DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ini bahawa dua unit banglo di Country Heights, Kajang dibeli pada harga diskaun iaitu RM5.9 juta kerana pemiliknya, taikun pemaju perumahan Tan Sri Lee Kim Yew memerlukan wang segera.

    Ahmad Zahid, 69, berkata, Lee yang merupakan Pengasas dan Pengerusi Country Heights Holdings Berhad menawarkan penjualan banglo berkenaan di bawah harga pasaran kerana menghadapi masalah untuk membayar cukai pendapatannya.

    “Tawaran ini (harga) daripada Tan Sri Lee Kim Yew iaitu pemilik Country Heights. Dia sangat memerlukan wang, sebab itu dia menjualnya di bawah harga pasaran.

    “Dia menghadapi masalah untuk membayar cukai pendapatan, sebab itu masa yang diberikan kepada kami sangat singkat dan harga diskaun diberikan kepada Yayasan Akalbudi (YAB),” katanya.

    Bekas timbalan perdana menteri itu berkata demikian semasa dirujuk Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong berhubung buku lejar pemegang amanah YAB iaitu Tetuan Lewis & Co yang merekodkan firma guaman itu memasukkan RM2 juta ke dalam akaun simpanan tetap pada 30 Nov 2016 dan RM5 juta pada 9 Dis tahun sama.

    Menurut Ahmad Zahid, Lewis & Co tidak menunggu akaun simpanan tetap itu mencapai tempoh matang sama ada enam bulan atau setahun sebelum mengeluarkan wang RM5.9 juta kerana Lee memberi tempoh masa yang singkat untuk membuat keputusan dalam pembelian banglo berkenaan.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak bersetuju dengan cadangan Harris Ong bahawa pembelian banglo berkenaan bukan atas dasar kebajikan tetapi untuk menolong pemiliknya semata-mata.

    Sebelum ini, Lee yang merupakan saksi pendakwaan ke-57 memberitahu mahkamah bahawa adik Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi membeli dua banglo berkenaan menerusi cek Lewis & Co.

    Menurut Lee, cek tersebut untuk pembayaran penyelesaian jualan bagi dua buah banglo setingkat milik syarikatnya itu yang dijual kepada Yayasan Al-Falah yang Mohamad Nasaee adalah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah yayasan tersebut.

    Sementara itu, peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju untuk melawat dua banglo berkenaan seperti yang dipersetujui oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah semalam, pada 1 Ogos ini.

    “Saya juga menjemput Yang Arif ke Bagan Datuk untuk melawat Masjid Tuminah Hamidi bagi memberikan gambaran yang jelas keadaan masjid berkenaan,” kata Hisyam.

    Hakim Sequerah kemudian berkata keadaan masjid berkenaan boleh ditunjukkan di mahkamah menerusi gambar atau video kerana perjalanan ke Bagan Datuk mengambil masa.

    Semalam, Hakim Sequerah bersetuju dengan permintaan pihak pembelaan untuk melawat banglo berkenaan demi keadilan dalam perbicaraan kes itu.

    Pada 24 Jan lepas, mahkamah memerintahkan bekas Ahmad Zahid membela diri atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bersambung 5 Ogos ini. – BERNAMA

  • Ahmad Zahid persoal pendakwaan tanya soalan sama berulang kali

    Ahmad Zahid persoal pendakwaan tanya soalan sama berulang kali

    DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang membela dirinya atas pertuduhan rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) pada Khamis mempersoal tindakan pihak pendakwaan menurutnya yang cuba memerangkapnya apabila bertanyakan soalan sama berulang kali.

    Ahmad Zahid, 69, berkata, demikian semasa ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong, adakah pengurup wang, Omar Ali Abdullah menunjukkan secara fizikal cek yang disumbangkan kepada YAB untuk tujuan amal jariah kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kemudian menjawab, sudah mencukupi baginya melihat penyata bank bulanan dan buku lejar yang merekodkan pemindahan dana YAB ke dalam akaun pelanggan di firma guaman, Tetuan Lewis & Co yang mengendalikan dana itu.

    “Seseorang itu diberikan kepercayaan untuk mengkreditkan jumlah sumbangan dan sumbangan itu bukan atas nama saya secara peribadi, tetapi kepada sebuah yayasan. Sekiranya yayasan itu dipegang oleh firma guaman dan jelas sumbangan itu telah dikreditkan, adalah tidak bermoral jika kita bertanya siapakah pemberi itu? Adakah duit itu telah dimasukkan atau tidak?

    “Cukup dengan kepercayaan ada penyata bank dan buku lejar yang diperlihatkan. Kita harus ada kepercayaan sebab yakin sumbangan itu adalah untuk amal jariah… apa yang ditanya kepada saya perkara yang berulang-ulang supaya saya terperangkap,” kata Ahmad Zahid.

    Harris Ong bagaimanapun berkata, fakta perlu dibentangkan dalam menjawab soalan agar ia dapat diputuskan oleh mahkamah.

    “Di mahkamah ini adalah untuk menuntut keadilan. Semua pihak mencari keadilan dan Datuk Seri (Ahmad Zahid) pun tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Jadi untuk mendapatkan keadilan, fakta perlu dibentangkan dan perlu dikemukakan bagi mencapai satu keadilan,” katanya.

    Peguam, Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid kemudian bangun dan berkata, perkara yang dinyatakan oleh pendakwaan itu boleh dibangkitkan semasa hujahan.

    Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, itu adalah maklum balas daripada komen Ahmad Zahid yang menyatakan pihak pendakwaan bertanyakan soalan sama berulang kali.

    Selepas itu, Harris Ong bertanyakan semula soalan kepada Ahmad Zahid: “Soalan saya mudah, adakah Omar Ali membawa kepada anda secara fizikal cek ini, sebab kamu beritahu B. Muralidharan (peguam Lewis & Co) tidak membawa salinan cek?

    Ahmad Zahid: Yang Arif, ada tiga tarikh berbeza dan mustahil saya dapat ingat. Saya tidak diperlihatkan dengan cek asal, tetapi ada penyata bulanan yang sepadan dengan buku lejar.

    Sebelum itu, Harris Ong merujuk Ahmad Zahid kepada 11 cek berjumlah RM3.8 juta yang diterima daripada individu dan badan korporat untuk disumbangkan kepada YAB dan wang itu dikreditkan ke dalam akaun pelanggan di Lewis & Co.

    Ahmad Zahid kemudian bersetuju dengan Harris Ong bahawa beliau tidak mengetahui siapa pemilik cek berkenaan dan tidak pernah melihat cek itu secara fizikal.

    Harris Ong: Datuk Seri beritahu tidak ketahui siapa pemilik cek, jadi saya katakan kenyataan Datuk Seri bahawa kesemua 11 cek adalah sumbangan daripada individu dan badan korporat kepada Yayasan Akalbudi bagi tujuan amal jariah adalah tidak benar kerana Datuk Seri tidak ketahui pemilik cek itu dan tidak lihat cek itu secara fizikal.

    Ahmad Zahid: Saya nyatakan ia adalah sumbangan daripada individu dan badan korporat kepada Yayasan Akalbudi, mustahil di mahkamah saya mahu mengingat tiap-tiap nombor cek dan penyumbang. Penyata bank dan buku lejar adalah sepadan, ertinya kebolehpercayaan saya kepada Lewis & Co untuk kreditkan jumlah pada tahap optimum dan sumbangan telah dikreditkan di akaun pelanggan, jadi saya kekalkan kenyataan saya itu.

    Pada 24 Januari lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bersambung. – Bernama