Category: Semasa

  • MAIWP nafi terlibat dalam isu jemaah haji terkandas di KLIA

    MAIWP nafi terlibat dalam isu jemaah haji terkandas di KLIA

    MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menafikan terlibat dalam isu melibatkan lebih kurang 400 jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berikutan tidak dapat berlepas ke Jeddah, Arab Saudi pada malam tadi.

    Pengerusinya Tan Sri Mohd Daud Bakar berkata demikian kerana terdapat logo melibatkan anak syarikatnya, iaitu MAIWP Healthcare Sdn. Bhd. pada salah satu banner yang tular dalam media sosial semalam.

    Jelasnya, tidak ada kaitan dengan MAIWP dan MAIWP Healthcare adalah anak syarikat iaitu sebagai vendor sahaja.

    “Mereka (agensi berkenaan) menggunakan khidmat MAIWP Healthcare untuk menyediakan alat perubatan seperti demam, selesema, dan sebagainya di sana dan saya difahamkan telah dibayar kepada pihak MAIWP Healthcare.

    “Pihak MAIWP turut kesal dengan apa yang berlaku terhadap bakal jemaah haji tersebut selain menegaskan MAIWP dan anak syarikatnya itu bukanlah pihak yang berperanan dalam menguruskan jemaah haji,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pengagihan Manfaat Wakaf Allahyarham Ahmad Dawjee Dadabhoy MAIWP, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Mohd. Daud menambah, anak syarikatnya itu hanya berperanan sebagai kontraktor berasingan dalam menyediakan bahan perubatan di tanah suci Mekah.

    “Kita kesal dengan apa yang berlaku dan kita harap pihak yang bertanggungjawab mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang berlaku dan ini bukan urusan MAIWP kerana MAIWP hanya melihat kepada isu agama, sosial ekonomi islam,” katanya.

    Terdahulu, lebih kurang 400 jemaah Haji terkandas di KLIA dan kesemua mereka dipercayai berdaftar dengan sebuah syarikat agensi pelancongan swasta bagi visa furada.

  • 802 rumah terjejas akibat banjir, kepala air di Baling

    802 rumah terjejas akibat banjir, kepala air di Baling

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TRAGEDI kepala air dan banjir yang melanda 12 kampung di Baling, Kedah Isnin lalu menyebabkan lebih 800 rumah terjejas.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, daripada jumlah itu sebanyak 15 rumah dilaporkan musnah sepenuhnya dan tidak lagi boleh didiami.

    Selain itu katanya, terdapat 18 rumah yang rosak teruk dan dilaporkan memerlukan pembaikan besar.

    “Secara keseluruhannnya setakat ini dilaporkan sebanyak 802 rumah yang terjejas. Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bersama penghulu serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) ketika masih melakukan pemeriksaan lebih lengkap.

    “Setelah segalanya selesai, jumlah rumah yang terkesan akibat banjir itu akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Bencana Daerah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, kerajaan negeri akan membantu memindahkan mangsa yang tinggal di kawasan berisiko manakala rumah-rumah yang boleh dibaiki, akan dibantu untuk dibaiki.

    Sebelum ini kerajaan negeri telah pun memberi komitmen untuk menyewa sementara rumah untuk keluarga yang kehilangan tempat tinggal.

    Sementara itu di laman Facebooknya, Muhammad Sanusi turut berkongsi peta memaparkan kawasan lapang seluas kira-kira satu hektar di Kampung Lembaga Pembangunan Wilayah Kedah (KEDA) Sadik, yang dijadikan tapak cadangan untuk penempatan mangsa bencana tersebut.

    Menurutnya, perbincangan mengenai perkara itu sedang dibincangkan dengan pihak pengurusan KEDA.

  • Siasat pihak terbabit kes jemaah haji terkandas, bawa ke muka pengadilan – Menteri

    Siasat pihak terbabit kes jemaah haji terkandas, bawa ke muka pengadilan – Menteri

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad melahirkan rasa kecewa susulan insiden jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam tadi.

    Menerusi satu kenyataan media, beliau turut meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci dan membawa pihak yang tidak bertanggungjawab terbabit ke muka pengadilan.

    “Saya mengambil maklum berkenaan isu bakal jemaah haji yang terkandas di KLIA dan Hotel Movenpick KLIA melibatkan hampir 400 orang.

    “Saya juga telah dimaklumkan beberapa laporan polis telah dibuat terhadap perkara ini dan tindakan pihak juga telah dimulakan bagi proses siasatan.

    “Saya melahirkan rasa kecewa mengenai insiden yang tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ia melibatkan urusan Rukun Islam yang perlu dipandang berat oleh semua umat Islam, termasuklah pihak agensi yang menguruskan jemaah haji,” jelasnya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Pada masa sama, Idris turut mengingatkan agar umat Islam berwaspada dan mendapatkan nasihat yang tepat daripada pihak Tabung Haji meskipun menggunakan khidmat agensi swasta untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

    “Saya juga meminta siasatan terperinci dapat dilakukan oleh pihak berkuasa. Sekiranya terdapat sebarang unsur penipuan, pihak yang terbabit perlulah dibawa ke muka pengadilan dan diberikan hukuman yang setimpal.

    “Ia sebagai pengajaran kepada semua pihak agar tidak berulang lagi kes sedemikian.

    “Saya meminta agar rakyat Malaysia terutamanya umat Islam perlu berwaspada dan berhati-hati dalam kes seperti ini dan sentiasa mendapatkan nasihat yang tepat daripada pihak Tabung Haji walaupun menggunakan khidmat agensi luar untuk mengerjakan haji,” jelasnya lagi.

    Mengulas lanjut, tambah Idris, beliau turut memohon pihak jemaah haji yang terkandas serta seluruh keluarga agar tabah dengan dugaan itu.

    “Saya memohon kepada pihak yang teraniaya dan seluruh keluarga yang terlibat agar tabah dan terus mengambil peluang pada Hari Arafah, untuk bermunajat dan memanjatkan doa bagi mendapatkan keredaan Allah, walaupun tidak dapat hadir menunaikan haji di Tanah Suci Mekah,” katanya.

    Sehingga kini, 17 laporan polis telah dibuat jemaah haji yang terkandas sehingga 4.30 pagi tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman, pihaknya turut akan memanggil suspek untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

    Semalam, tinjauan Astro AWANI mendapati hampir 400 jemaah haji yang berdaftar dengan sebuah syarikat agensi pelancongan swasta terkandas dan tidak dapat berlepas ke Jeddah, Arab Saudi bagi menunaikan haji tahun ini.

    Rata-rata jemaah dari Kelantan, Pahang, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur menunggu sejak 28 Jun lalu bagi penerbangan ke tanah suci, namun dibatalkan atas alasan tertentu.

  • Pasangan suami isteri warga emas maut ditetak guna kapak

    Pasangan suami isteri warga emas maut ditetak guna kapak

    POLIS memaklumkan pasangan suami isteri yang menjadi mangsa bunuh adik kandung di Taman Bercham Aman, Ipoh, semalam, meninggal dunia akibat luka parah kesan tetakan mata kapak.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil bedah siasat dijalankan mendapati, terdapat banyak kesan cedera di bahagian kepala dan tangan mangsa kesan tetakan senjata itu.

    “Kecederaan yang berpunca daripada objek tumpul pula adalah kesan cedera menggunakan belakang kapak.

    “Hasil bedah siasat juga, kita dapati terdapat senjata lain digunakan suspek dalam kes ini iaitu pisau kecil dan tali untuk menjerut leher mangsa.

    “Polis bagaimanapun masih dalam siasatan bagi mendapatkan kedua-dua barang kes terbabit,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, semakan rekod kesihatan terhadap suspek mendapati, lelaki berusia 61 tahun itu tidak mempunyai sejarah pesakit mental.

    Begitupun katanya, suspek dikatakan seorang yang panas baran dan cepat marah.

    “Sebelum kejadian, suspek dikatakan berang selepas ditegur oleh kakak iparnya kerana tidak bekerja, selain telah merosakkan komputer di rumah.

    “Suspek yang marah telah bertindak menyerang wanita itu sebelum memukul suami wanita berkenaan yang juga abangnya yang datang untuk membantu,” katanya.

    Mior Faridalathrash berkata, terdapat motif lain iaitu membabitkan dendam lama antara suspek dan mangsa yang membawa kepada kes itu, namun masih dalam siasatan polis.

    “Polis tidak pernah menerima sebarang laporan daripada mangsa berkaitan suspek sebelum ini,” katanya.

    Semalam, suspek yang tidak bekerja berjaya ditahan polis di sebuah hotel di Genting Highlands, Pahang sekitar pukul 7.45 malam.

    Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Dalam kejadian itu, Ng Chuan Hon, 64, dan isteri, Ooi Tin Lu, 59, ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah, kesan kecederaan di kepala yang disebabkan senjata tajam dan objek tumpul.

    Kejadian itu disedari abang mangsa berusia 65 tahun yang baru pulang dari tempat kerja sekitar jam 8.45 pagi pada Khamis.

  • 4 lelaki warga Nigeria ditahan terlibat ‘Parcel Scam’

    4 lelaki warga Nigeria ditahan terlibat ‘Parcel Scam’

    POLIS menahan empat lelaki warga Nigeria yang disyaki terbabit kes penipuan ‘parcel scam’ di sebuah restoran makanan segera di Sri Damansara di Petaling Jaya, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kesemua suspek berusia antara 30-an hingga 40-an itu ditahan kerana mengakibatkan seorang warga emas kerugian RM64,000 kelmarin.

    “Sebelum itu Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima laporan daripada lelaki berusia 62 tahun mendakwa ditipu selepas berkenalan dengan seorang wanita warga Berlin, pada Mac lalu.

    “Pesara itu menyatakan berkenalan dengan wanita terbabit menerusi laman sosial Facebook dan berterusan ke aplikasi WhatsApp dengan wanita itu menggunakan nombor telefon antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, sepanjang tempoh perkenalan yang singkat, pengadu memberitahu suspek akan menghantar beberapa barang seperti komputer riba, jam tangan digital, rantai emas, jersi Manchester United dan wang tunai Euro 20,000 sebagai hadiah kepada pengadu.

    Pada pukul 8.33 pagi 21 Mac lalu katanya, pengadu menerima mesej daripada daripada individu memperkenalkan diri sebagai Patrick dari syarikat penghantar menyatakan barang dihantar sudah tiba di Malaysia dan meminta pengadu membayar RM1,750 sebagai kos proses penghantaran serta beberapa kos lain.

    “Pengadu kemudian membuat beberapa transaksi bayaran ke akaun bank berbeza dengan jumlah kerugian sebanyak RM64,000,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Beliau berkata, walaupun beberapa bayaran dibuat namun syarikat penghantar itu dikatakan masih meminta bayaran lain dengan memberi pelbagai alasan menyebabkan pengadu berasa curiga dan mengesyaki ditipu.

    Berikutan itu, katanya, pengadu tampil membuat laporan polis dan siasatan dijalankan sebelum berjaya menahan empat suspek dan merampas pelbagai barangan yang disyaki mempunyai kaitan kes penipuan itu.

    “Kesemua suspek direman empat hari bermula semalam sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan lanjut, Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Bekas pemain badminton negara dituduh menipu

    Bekas pemain badminton negara dituduh menipu

    SEORANG bekas pemain badminton kebangsaan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan menipu berkaitan pelaburan yang tidak wujud melibatkan kerugian berjumlah RM58,029.53 pada Jun dan November 2016.

    Lin Woon Fui, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

    Mengikut pertuduhan, Lin didakwa menipu seorang lelaki berusia 39 tahun dengan memperdaya individu berkenaan untuk mempercayai dia boleh melipatgandakan wang dengan cara pertaruhan dalam talian dan pelaburan saham tidak wujud sehingga mendorong mangsa memindahkan wang tersebut ke dalam akaun tertuduh dan isterinya.

    Lin didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Setia Alam, antara 6 Jun dan 29 Nov 2016 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irna Julieza Maaras menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM pada 1 hari bulan setiap bulan.

    Bagaimanapun, peguam B.Chandrateeban memohon mahkamah mengenakan jaminan rendah RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan ke atas anak guamnya dengan alasan tertuduh adalah penanggung utama keluarga selain memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.

    Muhamad Anas kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM17,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan pada setiap bulan.

    Lin membayar jaminan tersebut.

    Mahkamah juga menetapkan 17 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

    Tertuduh pernah memenangi pingat gangsa dalam acara badminton berpasukan lelaki di Sukan Asia 2006. – BERNAMA

  • Pemandu lori rempuh 11 kenderaan di Tambak Johor direman tiga hari

    Pemandu lori rempuh 11 kenderaan di Tambak Johor direman tiga hari

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PEMANDU lori yang merempuh 11 buah kenderaan lain di Tambak Johor, Johor Bahru, semalam direman tiga hari bermula hari ini.

    Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar, Melody Woon Sze Mun terhadap suspek yang berusia 34 tahun.

    “Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 33 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan trafik dan turut mempunyai enam saman yang masih tertunggak,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

    Suspek yang memakai baju t-shirt berwarna hitam dan berseluar jeans biru tiba di pekarangan mahkamah Johor Bahru pada pukul 10 pagi.

    Semalam, media melaporkan lori berkenaan yang dipercayai mengalami masalah kerosakan teknikal merempuh 11 buah kenderaan lain di sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura pada pukul 9.25 pagi.

    Raub berkata, kemalangan itu melibatkan 12 buah kenderaan iaitu sebuah lori, sebuah bas, sebuah van dan sembilan buah kereta dengan enam daripadanya merupakan kenderaan berdaftar di Malaysia dan enam yang lain bernombor pendaftaran Singapura.

    “Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa mahupun kecederaan sebaliknya hanya laporan kerosakan kenderaan diterima.

    “Siasatan lanjut sedang dibuat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya akan menjalankan siasatan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) berhubung insiden itu.

    “Tindakan tegas akan dikenakan kepada pemandu lori atau syarikat terbabit jika didapati gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, setelah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melengkapkan audit ICOP termasuklah seperti menggantung lesen GDL pemandu lori, menggantung permit syarikat atau lain-lain hukuman yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” ujarnya.

  • Tiga maut, empat parah kereta bertembung di SKVE

    Tiga maut, empat parah kereta bertembung di SKVE

    Tiga lelaki warga asing maut manakala tiga lagi lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan cedera parah dalam kemalangan di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) sekitar Pulau Carey, malam tadi. 

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan pada 10.42 malam dan apabila tiba di lokasi kemalangan, didapati terdapat sebuah kereta Toyota Unser dan sebuah Honda HR-V bertembung yang mengakibatkan tujuh mangsa tersepit. 

    “Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan pada 12.16 tengah malam dengan tiga daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata kesemua warga asing itu menaiki Toyota Unser dan didapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri manakala lelaki tempatan berkenaan memandu Honda HR-V.

    Katanya tiga mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, seorang lagi dibawa ke Hospital Banting manakala tiga yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Bernama

  • Warga emas disyaki bunuh abang, kakak ipar ditahan

    Warga emas disyaki bunuh abang, kakak ipar ditahan

    POLIS berjaya menahan seorang lelaki malam tadi bagi membantu siasatan membunuh sepasang suami isteri di sebuah rumah di Taman Bercham Aman di Ipoh, pagi semalam.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki berusia 61 tahun itu yang juga adik kepada mangsa lelaki ditahan di Genting Highlands, Pahang kira-kira 7.45 malam.

    “Polis juga menjumpai sebilah kapak yang dipercayai senjata digunakan untuk mendatangkan kematian kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret di Ipoh pagi ini untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

    Menurut Mior Faridalathrash, kes bunuh itu berjaya diselesaikan dalam tempoh 11 jam selepas laporan diterima dan pihaknya mengucapkan terima kasih kepada polis Pahang, pengurusan Resorts World Genting dan orang awam atas kerjasama sehingga suspek berjaya ditangkap dalam masa singkat.

    Semalam, mayat suri rumah Ooi Tin Lu, 59, dan suaminya Ng Chun Hon, 64, seorang mekanik ditemukan berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan oleh abang Chun Hon yang balik ke rumah selepas bekerja lalu melaporkan kepada polis kira-kira 8.50 pagi.

    Pasukan polis bersama pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun yang tiba di tempat kejadian mendapati kedua-dua mayat ditempatkan berdekatan dengan satu daripadanya tertiarap manakala satu lagi tersandar pada dinding dipercayai mati akibat kecederaan di kepala disebabkan senjata tajam dan objek tumpul namun tiada senjata ditemukan.

    Susulan itu, polis memburu suspek yang juga adik lelaki Chun Hon yang menghilangkan diri bersama kereta jenis Proton Saga milik Ooi.—Bernama

  • [VIDEO] Bapa dan anak 5 tahun rentung dalam kebakaran

    [VIDEO] Bapa dan anak 5 tahun rentung dalam kebakaran

    SEORANG bapa dan anak lelakinya berusia lima tahun ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Cherana Puteh di Alor Gajah awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Arshad Abu berkata, dalam kejadian pada kira-kira 1.50 pagi itu, mangsa dikenal pasti sebagai Allahudin Abd Hamid, 51, dan anaknya, Mohamad Badrul, 5 tahun.

    “Allahudin ditemukan anggota bomba di bilik air manakala anaknya di bilik utama rumah separa papan dan batu itu. Tubuh kedua-dua mangsa terbakar keseluruhannya.

    “Siasatan di tempat kejadian turut disertai anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka, Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pakar patologi dari Hospital Alor Gajah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, punca kebakaran masih disiasat dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

    Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II Ramli Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada 1.56 pagi sebelum sebuah jentera dan kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dengan kekuatan sembilan pegawai serta anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kebakaran 13 minit kemudian, rumah separa kekal itu didapati terbakar 70 peratus dan orang awam memaklumkan terdapat dua mangsa di dalam premis berkenaan.

    Katanya, operasi memadam kebakaran selesai sepenuhnya lebih tiga jam kemudian dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – BERNAMA