Category: Semasa

  • Muhyiddin nasihatkan patuhi SOP ketika laksana ibadah korban, rumah terbuka

    Muhyiddin nasihatkan patuhi SOP ketika laksana ibadah korban, rumah terbuka

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam konteks semasa, ketika negara berhadapan dengan peningkatan kes baharu Covid-19 akhir-akhir ini, setiap daripada kita perlu berkorban dengan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sama ada ketika berada di masjid, surau, ketika melakukan ibadah korban atau menghadiri rumah terbuka.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, dalam fasa pemulihan negara pula, setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab untuk saling membantu mereka yang berada dalam kesusahan terutama kumpulan yang terjejas teruk.

    ”Ibadah korban adalah tanda kita bersyukur atas rezeki yang Allah berikan dan sebagai bukti, kita perlu berkorban dan berkongsi kesyukuran itu dengan mereka yang tidak bernasib baik dan memerlukan. Kita pernah melakukan pengorbanan ini ketika negara teruk dilanda pandemik dua tahun lalu yang mana setiap rakyat saling berganding bahu, bantu membantu mereka yang dalam kesukaran dan kesempitan dan insya-Allah kita boleh melakukannya sekali lagi,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Aidiladha yang akan disambut oleh umat Islam di seluruh negara esok.

    Muhyiddin berkata, selepas solat sunat Aidiladha umat Islam akan melaksanakan ibadah korban yang membawa pengertian sangat besar kepada umat Islam sebagaimana diceritakan dalam al-Quran dan hadis.

    ”Kisah kesediaan Nabi Ismail AS untuk dikorbankan oleh ayahnya Nabi Ibrahim AS bagi menuruti perintah Allah adalah satu pengorbanan besar yang menjadi pedoman kepada seluruh umat Islam dalam menjalani kehidupan seharian,” katanya.

    Beliau juga turut menasihatkan, mereka yang pulang ke kampung halaman meraikan Aidiladha dengan penuh kegembiraan dengan ibu bapa dan sanak saudara manakala yang sedang dalam perjalanan pulang pula, berhati- hati memandu semoga selamat tiba di destinasi masing-masing.

    ”Saya berdoa agar ibadah korban yang kita lakukan diterima Allah SWT dan kita sentiasa berada dalam rahmat-Nya. Saya juga mendoakan semua jemaah yang sedang menunaikan haji di Tanah Suci dipermudahkan ibadah mereka, diberi kesihatan dan memperoleh haji yang mabrur,” katanya.

  • Jemaah terkandas di KLIA : 57 laporan polis libat kerugian lebih RM2.37 juta

    Jemaah terkandas di KLIA : 57 laporan polis libat kerugian lebih RM2.37 juta

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 57 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji terhadap sebuah agensi pelancongan swasta melibatkan kerugian lebih RM2.37 juta.

    Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata negeri Selangor mencatatkan bilangan laporan tertinggi iaitu sebanyak 25 laporan membabitkan kerugian berjumlah RM620,000 diikuti Kuala Lumpur dengan 23 laporan melibatkan kerugian sebanyak RM766,500.

    “Empat laporan diterima di Pahang dengan sebanyak RM874,000 kerugian manakala masing-masing satu laporan diterima Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu. Jumlah keseluruhan kerugian adalah sebanyak RM2,371,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, Pulau Pinang mencatatkan jumlah kerugian sebanyak RM32,000, Perak (RM25,000), Negeri Sembilan (RM16,000), Terengganu (RM38,000) manakala Johor tidak melibatkan sebarang kerugian.

    Khamis lepas, kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.

    Mereka  dipercayai menggunakan visa furada, iaitu  visa yang diuruskan sendiri tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh  Lembaga Tabung Haji (TH).

    — BERNAMA

  • Pembantu rumah Indonesia dibawa masuk berperingkat mulai 1 Julai

    Pembantu rumah Indonesia dibawa masuk berperingkat mulai 1 Julai

    PENGAMBILAN pekerja warga asing bagi pembantu rumah dari Indonesia telah dilakukan secara berperingkat bermula awal bulan ini.

    Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan berkata kebanyakan majikan di Malaysia lebih memilih untuk menggajikan pembantu rumah warga Indonesia berbanding negara lain seperti Kemboja dan Bangladesh.

    “Ada (pekerja warga asing) yang sudah dibawa masuk namun jumlah kemasukan ini perlu disemak dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana Kementerian Sumber Manusia hanya memproses dokumen dan pengurusan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Rumah Kelab Bell Belia Tamil Gopeng di Gopeng hari ini.

    Pada 7 Jun, Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah dilaporkan berkata isu pengambilan pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh dan Kemboja dijangka selesai dalam masa terdekat.

    Sementara itu, beliau berkata kementeriannya akan membentangkan cadangan berkaitan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kemboja bagi membawa masuk pembantu rumah dari negara itu ke Kabinet.

     “Kita masih dalam proses dan ia akan mengambil masa tetapi kita cuba mempercepat. Saya akan membentang cadangan MoU ke Kabinet untuk mengambil pekerja asing khususnya domestik, Kemboja ada pembantu rumah Islam dari kumpulan Champa yang telah tunjuk minat,” katanya.

    Saravanan berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan Kemboja berhubung kerjasama itu dan pekerja akan diberi peluang untuk bekerja di negara ini dalam masa terdekat.

    Ditanya sama ada proses pengambilan pekerja asing terjejas berikutan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan penyelewengan dalam pemilihan 25 syarikat Bangladesh sebagai ejen merekrut pekerja negara itu ke Malaysia termasuk syarikat Bestinet yang membekalkan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), Saravanan berkata ia tidak berkaitan.

    “Ia tiada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap Bestinet kerana biasanya kementerian mengikut peraturan walaupun sistem yang digunakan diperoleh melalui KDN, kita cuma berkongsi sistem dan ia tidak menyebabkan apa-apa terjejas.

    “Mungkin pihak Bestinet sibuk memberi kerjasama kepada SPRM dan mungkin berlaku sedikit kelewatan tetapi secara keseluruhan tidak ada kesan,” katanya.

    — BERNAMA

  • ASP, Sarjan ditahan minta rasuah RM8,000

    ASP, Sarjan ditahan minta rasuah RM8,000

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan anak buahnya berpangkat sarjan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima wang rasuah berjumlah RM8,000.

    Sumber memaklumkan, kedua-dua mereka disyaki menerima wang tersebut sebagai balasan agar tidak mengambil tindakan terhadap individu tertentu atas kesalahan menyimpan rokok seludup.

    “SPRM terlebih dulu menahan sarjan tersebut yang berusia 39 tahun di sebuah stesen minyak di Simpang Ampat, Pulau Pinang pada 9.55 malam, semalam.

    “Selepas itu, tangkapan dilakukan terhadap ASP tersebut di Pejabat SPRM Pulau Pinang kira-kira pukul 3.33 pagi ini,” katanya.

    Difahamkan kedua-dua mereka bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

    Sementara itu di Mahkamah Sungai Petani hari ini, Majistret, B. Sri Pracha Nanthini mengeluarkan perintah tahanan reman selama enam hari terhadap kedua-dua tertuduh hingga 9 Julai depan.

    Dalam pada itu Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan namun enggan mengulas lanjut.

    “Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.

  • Tipu jemaah haji: Polis tahan lima individu termasuk pemilik syarikat

    Tipu jemaah haji: Polis tahan lima individu termasuk pemilik syarikat

    POLIS  menahan lima individu dipercayai terlibat dalam kes bakal jemaah haji Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendent Ashari Abu Samah berkata, tangkapan ke atas kelima-lima suspek dibuat malam tadi dan salah seorang daripada mereka adalah pemilik syarikat pelancongan terbabit.

    “Setakat ini ada lima tangkapan, dua lelaki dan tiga perempuan, salah seorangnya adalah pemilik syarikat pelancongan itu, seorang agen di dalam saman yang dibuat, dan dua pekerja,” katanya lapor portal FMT.

    Ashari berkata, pihaknya kini dalam proses merakam percakapan kelima-lima suspek dan kes itu akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

    “Kita akan bawa pergi ke mahkamah dan kita tak tahu lagi sama ada reman akan dikeluarkan atau tidak,” katanya.

    Dalam pada itu beliau berkata, polis sudah menerima 23 laporan daripada mangsa yang melibatkan kerugian kira-kira RM760,000.

    Terdahulu, Ketua Polis Daerah KLIA, Imran Abd Rahman dilaporkan berkata, pihaknya sudah menemubual pemilik agensi pelancongan terbabit secara lisan dan merekod keterangan individu terbabit selepas menerima aduan jemaah yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Ia susulan selepas berlaku sedikit kekecohan pada Khamis lalu apabila jemaah terbabit mendapati mereka gagal berangkat ke Tanah Suci.

    Khamis lalu, kira-kira 380 bakal jemaah haji yang terkandas di KLIA menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan selepas dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

  • Perjanjian lantik TPM disaksikan menteri UMNO-Bersatu, kata Dr.Marzuki

    Perjanjian lantik TPM disaksikan menteri UMNO-Bersatu, kata Dr.Marzuki

    PERJANJIAN untuk Perdana Menteri Datuk Seri  Ismail Sabri Yaakob melantik seorang Timbalan Perdana Menteri dari Bersatu disaksikan oleh seorang menteri dari Bersatu dan seorang menteri dari UMNO, kata pegawai kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengesahkan tentang wujudnya perjanjian tersebut.

    Datuk Dr. Marzuki Mohamad yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Sulit Kanan ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri berkata, sudah dipersetujui bahawa perjanjian itu tidak boleh diterbitkan.

    “Ia ditandatangani oleh Muhyiddin dan Perdana Menteri pada 17 Ogos 2021 dan disaksikan oleh seorang menteri dari parti Bersatu dan seorang menteri dari parti UMNO.

    “Sebagai pegawai Perdana Menteri ke-8 pada waktu itu, saya terlibat secara langsung dalam penyediaan perjanjian ini,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Isu pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri timbul baru-baru ini selepas Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, perkara itu dibangkitkan ketika pertemuannya dengan Ismail Sabri.

    Menurut Muhyiddin, pertemuan tersebut turut membincangkan isu lantikan jawatan yang termaktub dalam perjanjian antara PN dan perdana menteri.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa mengatakan tidak salah bagi Muhyiddin membangkitkan tentang perkara itu akan tetapi pelantikan timbalan perdana menteri dan anggota Kabinet adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri.

    Bagaimanapun Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri Shahril Hamdan mengatakan tiada perjanjian antara Ismail dan Muhyiddin untuk melantik Timbalan Perdana Menteri.

    “Tiada perjanjian setahu saya. Kalau ada perjanjian kenapa sekarang baru kita dengar dakwaannya?  Kalau ada, kenapa ada menteri-menteri kanan?” kata Shahril yang juga Ketua Penerangan UMNO seperti dilaporkan media.

    Untuk rekod, ketika masih menjadi Perdana Menteri, Muhyiddin melantik Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun pada ketika itu terdapat menteri-menteri kanan.

    Dalam kenyataannya hari ini, Marzuki berkata satu fasal dalam perjanjian ini menyebut  dokumen perjanjian tidak boleh diterbitkan atau dizahirkan dalam apa-apa bentuk.

    “Ia hanya boleh disimpan untuk rujukan kedua-dua pihak,” katanya.

  • Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Harakah meninggal dunia

    Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Harakah meninggal dunia

    BEKAS Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Otman, 59, meninggal dunia di Hospital UiTM Puncak Alam jam 2.20 pagi tadi.

    HarakahDaily melaporkan, Abangnya Dat uk Shamsuddin berkata, adiknya kritikal sejak beberapa lalu sejak dimasuk ke wad hospital terbabit kerana komplikasi beberapa penyakit.

    Ketika masih lagi menerajui Harakah arwah mengalami beberapa penyakit termasuk buah pinggang, diabetes dan masalah jantung.

    Malah arwah juga pernah mengalami minor strok menyebabkan beliau terpaksa berjalan dengan bantuan tongkat.

    Ahmad Lutfi seorang penulis oposisi yang gigih pernah mempunyai syarikat penerbitan sendiri iaitu Penerbitan Pemuda yang berpejabat di Medan Idaman Gombak menerbitkan beberapa majalah termasuk majalah Detik, Retak dan Tamadun.

    Sepanjang kerjayanya sebagai wartawan beliau pernah dua kali menerajui Harakah, di mana kemuncaknya pada era reformasi. Harakah ketika di bawah kendaliannya ketika itu mencatat sejarah apabila pernah dicetak lebih 300,000 naskhah bagi satu edisi.

    Kejayaan itu mengatasi akhbar arus perdana ketika gelombang reformasi meledak di seluruh berikutan Datuk Seri Anwar Ibrahim disingkir daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri atas dakwaan isu liwat.

    Keupayaan Harakah ketika itu sebagai sebuah akhbar mingguan terbitan Lajnah Penerangan Pas Pusat, turut menarik minat ramai sarjana tempatan dan luar negara membuat kajian.

    Arwah juga antara penulis buku-buku politik yang dikenali ramai di negara ini. Arwah sebaris dengan Yahaya Ahmad, Syed Husin dan Rustam Sani. Antara hasil tulisannya Lorong Belakang. Wajah Baru Politik Malaysia dan Operasi Nyah 2.

    Bagaimanapun Ahmad Lutfi berundur daripada mengetuai sidang redaksi Harakah disebabkan masalah kesihatan. Sepanjang bergelut dengan masalah kesihatan, arwah terpaksa berulang alik ke hospital bagi menjalani dialisis buah pinggangnya.

    Menurut Shamsuddin, solat jenazah arwah akan diadakan di Masjid Bandar Baru Ampang jam 10 pagi ini.

  • Tiada insiden, Arab Saudi umum kejayaan Fasa Pertama Pelan Perdana Haji 2022

    Tiada insiden, Arab Saudi umum kejayaan Fasa Pertama Pelan Perdana Haji 2022

    JABATAN Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mengumumkan kejayaan fasa pertama Pelan Perdana musim Haji 1443 Hijrah apabila tiada sebarang insiden dalam kalangan jemaah haji dilaporkan.

    Ketua Pengarahnya, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media hari ini.

    Sudais yang dipetik Saudi TV berkata, “Pelan itu yang menumpukan kepada aspek operasi dan bertujuan menawarkan perkhidmatan terbaik dan paling berkualiti kepada jemaah haji, telah mencapai matlamat fasa pertamanya, Alhamdulillah.”

    “Bagaimanapun, kerja masih berjalan untuk terus menyediakan persekitaran yang selamat dan sihat di Haramain,” tambahnya. 

    Jemaah haji Malaysia ketika bermalam di Mudzalifah.

    Pelan operasi yang disifatkan terbesar pernah dirancang dalam era pandemik COVID-19 itu dilancar pada Jun lepas dengan menumpu kepada 10 langkah utama di bawah matlamat strategik Wawasan 2030 Arab Saudi.

    Sementara itu, Laporan Statistik Haji 2022 yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Am bagi Statistik Arab Saudi menyatakan jumlah jemaah haji tahun ini mencecah 899,353 orang.

    Daripada jumlah itu, seramai 779,919 adalah jemaah luar negara, manakala bakinya 119,434 merupakan jemaah domestik, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

    Menurut SPA lagi, sebanyak 21.4 peratus jemaah datang dari negara-negara Arab, 53.8 peratus dari Asia dan 13.2 peratus Afrika.

    Baki sebanyak 11.6 peratus lagi mewakili jemaah dari Eropah, Amerika dan Australia.

    April lalu, Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hanya seramai sejuta umat Islam bawah umur 65 tahun dan lengkap divaksin, dibenar menunaikan haji tahun ini.

    — BERNAMA

  • Tiga rumah musnah terbakar dipercayai angkara pesakit mental

    Tiga rumah musnah terbakar dipercayai angkara pesakit mental

    TIGA rumah musnah dalam kebakaran dipercayai angkara seorang lelaki yang menghidap masalah mental dalam kejadian di Kampung Banggol, Kota Bharu, Kelantan hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.17 tengah hari dan seramai 22 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.

    Menurutnya, bomba berjaya mengawal kebakaran yang menyebabkan kemusnahan rumah hampir 80 peratus.

    “Punca kebakaran serta kerugian dialami mangsa masih dalam siasatan,” katanya menurut laporan Satu Berita.

    Sementara itu, seorang mangsa yang juga peniaga pakaian terpakai, Mohd Syahid Sipri, 32, berkata, kejadian itu menyebabkan dia kerugian RM20,000 selepas semua barangan perniagaan musnah.

    Menceritakan lebih lanjut, katanya, dia hanya menyedari kejadian itu pada 1 tengah hari selepas pulang daripada berniaga di kawasan Kedai Buloh, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu.

    “Ketika tiba di rumah yang dijadikan sebagai stor simpanan pakaian bundle itu, saya melihat kepulan asap keluar dari arah ruang tamu dan mendapati bapa saudaranya terperangkap dalam rumah.

    “Saya cuba masuk melalui pintu utama, namun ia berkunci dari dalam. Semasa api mula marak, saya melihat bapa saudara telah keluar sendiri dari rumah melalui pintu tersebut.

    “Saya mengesyaki dia membakar barangan di dalam rumah,” katanya.

  • Haji: Titik permulaan untuk berubah jadi lebih baik – Idris

    Haji: Titik permulaan untuk berubah jadi lebih baik – Idris

    JEMAAH haji Malaysia disaran mengambil pengalaman ketika mengerjakan Rukun Islam Kelima itu sebagai titik permulaan untuk berubah menjadi insan yang lebih baik.

    Ketika menyampaikan Khutbah Arafah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata perlaksanaan ibadah itu bukan sahaja mewujudkan keghairahan beribadah tetapi juga telah memupuk semangat persaingan sihat.

    “Apabila kita pulang ke tanah air kelak hendaklah kita mengambil pengalaman daripada haji ini. Ia sebagai titik perubahan bagi menamatkan saki-baki kehidupan kita dengan memelihara segala perintah Allah dalam kesatuan iman, ibadah, pergaulan, jual beli dan bermuamalah hendaklah semuanya berlandaskan syariat Islam yang lengkap dan syumul,” katanya.

    Beliau berkata jemaah haji juga telah dilatih supaya bersatu serta berganding bahu dan menjalin hubungan yang erat tanpa mengira warna kulit, bahasa dan adat resam sesama saudara Islam.

    Katanya, ibadah itu membuktikan bahawa tiada perbezaan sesama manusia dan kebersamaan itu lahir atas kepatuhan kepada Allah.

    Idris turut mengingatkan bahawa hawa nafsu sekiranya tidak dikawal, ia akan mendorong manusia ke arah kejahatan dan kemungkaran.

    Idris menyampaikan khutbah berkenaan di salah sebuah surau yang terdapat di perkhemahan jemaah haji Malaysia di sini, kira-kira pukul 12.26 tengah hari waktu Arab Saudi.

    Sementara itu, selepas selesai Khutbah Arafah jemaah haji melaksanakan solat sunat sebelum solat fardu Zohor dan Asar (jamak takdim secara tamam), seterusnya mengerjakan solat sunat selepas Zohor dan solat sunat Asar.

    Ia disusuli dengan talbiah dan zikir yang memberi peluang kepada setiap jemaah haji berdoa serta memohon keampunan.

    Wukuf di Arafah adalah kemuncak haji serta merupakan rukun haji yang kedua dan selepas ini jemaah akan bergerak meninggalkan Arafah bagi mengerjakan ibadah haji seterusnya di Muzdalifah, melontar tiga jamrah di Mina, tawaf dan saei.

    Terdahulu, Idris yang turut diiringi Pengerusi Tabung Haji (TH) Tan Sri Azman Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin serta Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman sempat melakukan lawatan di sekitar khemah penginapan jemaah.

    Beliau turut mengunjungi beberapa jemaah yang uzur dan sakit di khemah khas yang menyediakan perkhidmatan peneman untuk memudahkan urusan mereka.

    Perkhidmatan itu telah dilaksanakan sejak lebih 10 tahun lepas oleh TH dan kini seramai 25 jemaah dibenarkan mendapat perkhidmatan berkenaan. – Bernama