Category: Semasa

  • Takiyuddin akui buat draf perjanjian jawatan TPM

    Takiyuddin akui buat draf perjanjian jawatan TPM

    SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengakui membuat draf perjanjian berkaitan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) sepertimana yang dimaklumkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Katanya, pembabitan beliau dalam draf perjanjian itu dilakukan atas kedudukannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) pada waktu itu dan bukan kapasiti parti.

    “Saya adalah bekas Menteri Undang-Undang, jadi semua yang berkaitan dokumen undang-undang saya akan diminta membuat berkenaannya, bukan kerana saya (semata-mata) adalah Takiyuddin. Ia (isu TPM) bukan satu perjanjian, sebaliknya dipanggil sebagai Memorandum Perjanjian (MoA),” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Program Mesra Rakyat Keluarga Malaysia (Zon Tengah) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) di Padang Dewan Serbaguna Sungai Kerang, Trong, di Bukit Gantang, hari ini.

    Takiyuddin menjelaskan, walaupun ‘perjanjian’ yang dimaksudkan antara Muhyiddin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu secara terperinci ada menyebut mengenai jawatan TPM, namun ia tidak mensyaratkan perlantikannya adalah dimestikan memandangkan klausa mengenai TPM tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

    Sebaliknya, kata beliau kewujudan jawatan TPM menerusi Perdana Menteri sebelum dari kerajaan ditadbir Ismail Sabri adalah melalui perkara dinamakan sebagai konvensyen iaitu suatu amalan yang tiada dalam perlembagaan.

    “Justeru, perlantikan TPM berada pada kehendak Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Jadi bila tiada dalam perlembagaan, maka terpulang kepada YDPA sama ada hendak lantik TPM atau terpulang (sebaliknya). Jadi, tidak boleh kata wajib melantik TPM walaupun Perdana Menteri berhak atas hak prerogatifnya ingin melantik TPM jika beliau berasa memerlukannya,” katanya.

    Menjawab satu soalan, Takiyuddin berkata, beliau tidak pasti sama ada Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mengetahui perkara itu atau tidak.

    “Tidak semua orang tahu mengenai ‘perjanjian’ (MoA) itu. Jadi kena tanya Tok Guru (Abdul Hadi) sendirilah dia tahu atau tidak sebab dia bukan orang yang tandatangan MoA berkenaan.

    “Mungkin kenyataannya (Abdul Hadi) sebelum ini (mengenai tidak wujud perjanjian Muhyiddin-Ismail Sabri) adalah jawapannya secara spontan apabila ditanya yang mana dia mungkin tidak tahu,” katanya.

    Semalam, media melaporkan Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU meminta Abdul Hadi supaya merujuk kepada Takiyuddin yang didakwanya sebagai ‘draftman’ atau individu bertanggungjawab menggubal draf mengenai kewujudan perjanjian antara Muhyiddin dan Ismail Sabri berkaitan jawatan TPM.

    MoA itu dilapor antara lain turut menyentuh mengenai bilangan jawatan dalam Kabinet khususnya mengenai bilangan kuota parti.

  • Arab Saudi umum kejayaan penganjuran musim haji 1443

    Arab Saudi umum kejayaan penganjuran musim haji 1443

    ARAB Saudi mengumumkan kejayaan penganjuran musim haji 1443 Hijrah tanpa merekodkan sebarang insiden atau penularan COVID-19 dalam kalangan jemaah haji.

    Agensi Berita Arab Saudi (SPA) pada Isnin melaporkan Gabenor Mekah Putera Khalid Al-Faisal berkata kejayaan ini hasil kerjasama erat antara pasukan keselamatan, kesihatan dan lain-lain sepanjang musim haji kali ini.

    “Dengan izin Allah, hasil perancangan yang teliti dan kerjasama semua pihak yang terlibat saya dengan ini mengumumkan kejayaan penganjuran musim haji 1443 Hijrah,” katanya.

    Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdul Aziz dan Putera Mahkota Arab Saudi Putera Muhammad bin Salman yang telah menyediakan kemudahan infrastruktur serta petugas haji, keselamatan dan kesihatan demi keselesaan jemaah.

    Arab Saudi menyediakan 279, 628 kakitangan terdiri petugas haji, anggota keselamatan dan kesihatan untuk berkhidmat kepada hampir satu juta jemaah haji tahun ini.

    Sementara itu, Menteri Kesihatan Arab Saudi Fahad Al-Jalajel dalam ucapannya yang disiarkan di Twitter rasmi kementerian itu berkata lebih 520,000 kakitangan perubatan ditugaskan di 230 pusat kesihatan bagi menjamin kesihatan jemaah dari dalam dan luar Arab Saudi.

    “Walaupun kita masih lagi menghadapi ancaman COVID-19 dan bilangan jemaah haji dinaikkan kepada satu juta orang, hanya 38 kes terpencil jangkitan COVID-19 sahaja dilaporkan, tanpa jangkitan sekunder sepanjang musim haji 1443 Hijrah,” katanya.

    — BERNAMA

  • Mukhriz dakwa Ahmad Bashah tukar tanam durian di Gunung Inas

    Mukhriz dakwa Ahmad Bashah tukar tanam durian di Gunung Inas

    Oleh BADLISHAH MAT

    BEKAS Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini mendakwa penanaman durian Musang King di ladang hutan Gunung Inas di Baling, Kedah dibuat ketika pentadbiran Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

    BERIKUT KENYATAAN PENUH BELIAU:

    SAYA membaca beberapa kenyataan media dan laporan yang telah disiarkan berkenaan punca kejadian kepala air di Kupang, Baling baru-baru ini. Kejadian tersebut telah meragut nyawa tiga orang mangsa.

    Saya dan seluruh warga Pejuang mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban. Jentera sukarela Pejuang pantas bergerak untuk membantu mangsa dengan mengedarkan makanan bermasak dan mencuci rumah yang dimasuki selut.

    Berkenaan punca kejadian, jelas dari kebanyakan komen bahawa penanaman durian Musang King yang dianggap mengakibatkan bencana. Namun perlu dilihat juga bahawa kawasan Hutan Simpan Kekal di Gunung Inas telah ditukar statusnya kepada ladang pertanian oleh Kerajaan Barisan Nasional pada 2007, dan dijenamakan Ladang Sejahtera oleh Kerajaan PAS pada 2008.

    Untuk melaksanakan ladang di atas tanah hutan, tentunya pokok hutan perlu ditebang. Yang ditebang bukan hanya pokok bernilai tinggi, tetapi ditebang bersih atau cuci mangkuk untuk penanaman semula pokok getah klon balak (TLC) atau pokok-pokok hutan yang diluluskan Jabatan Perhutanan.

    Inilah yang dilakukan oleh Kerajaan Pas seperti yang diakui oleh Menteri Besar sendiri. Adakah kajian Penilaian Impak Alam Sekitar atau EIA dibuat pada masa tebang bersih itu dilakukan?

    Sekitar 2012-2013, saya antara pihak yang membantah projek Ladang Sejahtera di Kedah, bukan kerana pokok yang hendak ditanam, tetapi kerana hutan simpan digondolkan. Juga pengalaman projek Ladang Rakyat di Kelantan oleh Kerajaan Pas di sana menunjukkan bahawa kerja-kerja penanaman semula tidak dilakukan secara serius mengakibatkan banjir di negeri tersebut.

    Keputusan untuk menukar dari penanaman TLC kepada durian Musang King dibuat oleh Kerajaan BN dibawah Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah. Anak syarikat Kerajaan Kedah, Kedah Agro Sdn Bhd yang sebelum itu diamanahkan untuk menanam semula kawasan tersebut gagal melaksanakannya.

    Aman Mega Sdn Bhd dilantik untuk mengambil alih tanggung jawab itu, tetapi syarikat tersebut dibeli oleh syarikat ECK. Di zaman Ahmad Bashah, ECK dibenarkan menanam durian. Untuk rekod syarikat ECK yang menaja pasukan bolasepak KFA ketika itu, kemudian dianugerah projek mega lapangan terbang antarabangsa KXP oleh Sanusi.

    Terkini Sanusi membatalkan anugerah itu kerana akhirnya terbukti ECK tidak mampu melaksanakan projek mega tersebut seperti yang sudah saya tekankan beberapa kali sebelum ini.

    Apabila saya kembali sebagai Menteri Besar pada tahun 2018, keputusan dibuat untuk menghadkan penanaman durian kepada hanya 20% kerana kerja penanaman sudah mencapai tahap itu dan Jabatan Alam Sekitar membenarkan peratusan itu untuk tanaman selain TLC dan tujuh spesis pokok hutan yang lain.

    Perlu diingatkan sekali lagi bahawa penanaman semula, walaupun melibatkan kerja teres tanah, bukanlah punca hakisan tanah dan banjir. Bencana itu tidak akan berlaku sekiranya hutan simpan tidak disentuh untuk tujuan pembalakan pokok bernilai tinggi dan aktiviti tebang bersih atas alasan Ladang Sejahtera sebelum 2013.

    Saya harap tiada siapa lagi yang membuat tuduhan liar terhadap saya dan Kerajaan Negeri yang saya terajui sebanyak dua kali, semata-mata untuk mengaburi mata rakyat daripada kebenaran.

  • Wanita maut selepas diseret kira-kira 10 meter

    Wanita maut selepas diseret kira-kira 10 meter

    SEORANG pembonceng wanita maut apabila motosikal ditunggang suaminya dilanggar kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 10 Jalan Kunak-Tawau, dekat Kunak pukul 4.45 petang semalam.

    Wanita berkenaan yang merupakan warga Indonesia, 38, meninggal dunia di tempat kejadian manakala suami, 39, dan anaknya, 7, masing-masing mengalami kecederaan ringan.

    Ketua Polis Daerah Kunak, Superitendan Sabarudin Rahmat, berkata siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan motosikal jenis Yamaha 135 LC dan Proton X70.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton X70 dipandu lelaki berusia 54 tahun bersama isteri, dari arah Tawau menuju ke Pekan Kunak sementara motosikal dari arah bertentangan.

    “Setibanya di tempat kejadian pemandu Proton X70 telah memotong sebuah kenderaan di hadapannya dan pada masa sama, motosikal itu yang datang dari arah bertentangan cuba membelok ke kanan untuk masuk ke simpang kanan jalan sebelum dilanggar.

    “Akibat pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal telah tercampak ke bahu jalan manakala kedua-dua pembonceng dan motosikal terseret kira-kira sepuluh meter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sabarudin berkata, akibat kemalangan itu penunggang dan anaknya mengalami cedera ringan, manakala isterinya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Bagaimanapun, katanya pemandu SUV dan isteri tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan saksi kejadian.

    “Kes disiasat mengikut Sek. 41(1) APJ 1987,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

  • Pemangku Raja Johor cadang MB Johor pakai selipar selepas ini

    Pemangku Raja Johor cadang MB Johor pakai selipar selepas ini

    PEMANGKU Raja Johor, Tunku Ismail Ibrahim hairan kerana isu kasut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan media bukan bahasa Melayu, kelmarin.

    Tunku Ismail menerusi akaun Twitter turut menyindir laporan berkenaan dengan mencadangkan Onn Hafiz memakai selipar selepas ini.

    “Benda macam ni pun jadi isu? Dato saya cadangkan lepas ni Dato pakai selipar sahaja.

    “Baru semalam saya terfikir nak hadiahkan jam tangan pada Dato dan beberapa pegawai kerajaan.

    “Dato, nasihat saya jalankan tugas untuk negeri Johor. Jangan melayan sangat apa orang nak cakap. Yang penting buat kerja,” titah Tunku Ismail dalam ciapan menerusi akaun Twitter malam tadi.

    Semalam, Onn Hafiz menafikan membeli kasut berharga puluhan ribu ringgit.

    Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, kasut itu adalah kurniaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

    “Fitnah dan tohmahan perlu dihentikan. Untuk rekod, ini adalah kurniaan Kebawah Duli Tuanku Sultan.

    “Ini bukan perkara baharu malah Kebawah Duli Tuanku ada juga memberi kurniaan kepada barisan Exco kerajaan yang lepas dan kepada pegawai kerajaan negeri sebagai motivasi sentiasa bekerja keras untuk rakyat,” katanya.

    Terdahulu, beberapa akhbar berbahasa Cina melaporkan isu kasut itu yang dipetik daripada akaun media sosial milik seorang individu mendakwa Onn Hafiz membeli kasut berharga ribuan ringgit sehingga mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

  • Amuk dengan parang, bakar pondok akibat marahkan isteri

    Amuk dengan parang, bakar pondok akibat marahkan isteri

    SEORANG lelaki yang mengalami masalah rumah tangga bertindak membakar sebuah pondok di belakang kedai makan milik mereka di Taman Seri Astana, Sungai Petani, pukul 10.20 pagi semalam.

    Lelaki berusia 54 tahun terbabit berang kerana isterinya keluar rumah selepas berlaku perselisihan faham.

    Difahamkan, lelaki itu yang tidak berpuas hati mengamuk dan pergi ke belakang kedai sebelum membakar pondok yang menjadi tempat orang ramai berehat di situ selain turut memecahkan cermin belakang kenderaan milik seorang lelaki.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai masalah rumah tangga dengan isteri sebelum wanita terbabit keluar rumah.

    “Suspek mencari isterinya di kawasan rumah mereka namun wanita berkenaan gagal ditemukan dan dia yang berang membawa parang sebelum membakar pondok belakang kedai makan, selain turut memecahkan cermin kenderaan milik seorang lelaki.

    “Melihatkan keadaan yang tidak terkawal, orang awam kemudian menghubungi polis memaklumkan kejadian terbabit sebelum suspek berjaya ditahan di rumahnya,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Katanya, hasil pemeriksaan mendapati suspek memiliki 12 rekod lampau, masing-masing lapan bersabit kes jenayah dan selebihnya dadah.

    “Suspek tidak bekerja dan kita akan melakukan ujian saringan air kencing terhadapnya. selain turut menyiasat motif dia mengamuk dengan membakar dan merosakkan cermin kenderaan penduduk.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 435, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Reman duda tikam ibu kandung dilanjutkan

    Reman duda tikam ibu kandung dilanjutkan

    TEMPOH tahanan reman terhadap seorang duda yang disyaki menikam ibu kandungnya sehingga maut dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, Ayer Keroh minggu lalu dilanjutkan seminggu lagi.

    Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Mazana Sinin membenarkan tempoh reman sehingga 19 Julai ini terhadap suspek berusia 38 tahun itu.

    Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga kelihatan tenang ketika dibawa ke pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh.

    Dalam kejadian pukul 3 petang 5 Julai lalu, mangsa Rozizah Md. Dom,63, disahkan maut di kediamannya selepas ditikam dua kali di bahagian kiri dan kanan leher oleh suspek yang juga anak sulung daripada lima beradik.

    Mangsa yang juga seorang pesara guru juga dikatakan baharu kehilangan suami bulan lalu.

    Suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan rekod rawatan psikiatri melakukan tikaman berkenaan dengan menggunakan sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 26 sentimeter (cm).

    Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek mendakwa bertindak demikian selepas terdengar bisikan kononnya ibunya menyembah berhala.

    Suspek dikatakan berada dibawah pengaruh dadah selepas ujian saringan air kecing terhadapnya mendapati positif syabu.

    Lanjutan tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lebih terperinci dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Dua maut tercampak keluar selepas kereta berpusing

    Dua maut tercampak keluar selepas kereta berpusing

    DUA maut termasuk seorang gadis remaja selepas kereta dinaiki hilang kawalan dan terbabas berhampiran Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian tersebut pada pukul 12.23 tengah malam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Khairi Zainuddin berkata, lapan anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ishak Noh dengan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Setiba di lokasi, anggota bomba mendapati kedua-dua mangsa iaitu Lee Kah Lok, 19, dan Ng Kui Yang, 15, tercampak keluar dari kereta jenis Honda Civic EJ.

    “Remaja perempuan itu ditemukan bersebelahan kereta manakala mangsa lelaki yang merupakan pemandu didapati tersepit di bawah kenderaan.

    “Siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari laluan arah Gelang Patah ke Skudai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Astro Awani.

    Katanya, kereta berkenaan dipercayai berpusing dan masuk ke laluan bertentangan namun kemalangan tersebut tidak membabitkan kenderaan lain.

    Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir di lokasi.

    Tambahnya, mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 1.37 pagi Selasa.

  • Satu maut, tiga cedera dalam kemalangan di Felda Keratong 2

    Satu maut, tiga cedera dalam kemalangan di Felda Keratong 2

    SEORANG wanita maut manakala tiga lagi cedera dalam satu nahas membabitkan sebuah kereta dan lori treler di Simpang Keratong 2, dekat Pekarangan Felda Keratong 2, Rompin, semalam.

    Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 6.05 petang.

    “Seramai tujuh anggota termasuk seorang pegawai bergegas ke lokasi kejadian. Dipercayai kedua-dua kenderaan bertembung di lokasi kejadian, dan kesemuanya mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam.

    “Dalam kejadian itu, seorang wanita maut di lokasi kejadian, tiga orang lelaki dalam kereta yang sama cedera sementara pemandu lori tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.

    “Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

  • Mayat wanita tersangkut pada sangkar ikan

    Mayat wanita tersangkut pada sangkar ikan

    SATU mayat seorang wanita berbangsa India ditemui tersangkut pada sangkar ikan di Sungai Semantan, Kampung Raja Songsang berhampiran Gobang Maju, Temerloh, semalam.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan mayat terbabit pada pukul 8.01 malam.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh, Syed Moshen T. Ismail, seramai enam anggota dari BBP Temerloh bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki sebuah jentera dan ambulan EMRS.

    “Sampai di lokasi, pihak bomba mendapati terdapat mayat wanita tersangkut di sangkar ikan milik penduduk kampung.

    “Anggota bomba kemudiannya bertindak menarik mayat itu dengan menggunakan tali sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.