KETUA Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan polis sudah merekod keterangan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkaitan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja).
“Proses merekod keterangan dua ahli politik itu dibuat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Keterangan Guan Eng dirakam di Pulau Pinang hari ini manakala Abdul Hadi pada semalam di pejabatnya di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
“Kertas siasatan kedua-dua ahli politik ini sedang dilengkapkan sebelum dihantar ke pejabat Peguam Negara selewat-lewatnya Isnin ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.
Semalam, Razarudin dalam sidang media memberitahu pihaknya membuka 61 kertas siasatan berkaitan isu 3R sejak 27 Mac lalu.
Kertas siasatan berkaitan isu 3R dibuka membabitkan ahli politik, bekas ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ahad lalu, polis mengesahkan menjalankan siasatan terhadap Abdul Hadi berkaitan kenyataan yang mendakwa DAP mahu mengekalkan pengertian Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah yang menjunjung liberalisme dan kebebasan diamalkan negara Barat.
Kenyataan tersebut dipercayai dilakukan melalui hantaran dalam Facebook Abdul Hadi dimuat naik pada 8 Julai lalu turut diulas serta diterbitkan oleh portal berita New Straits Times.
Guan Eng pula disiasat kerana dakwaannya ‘gelombang hijau’ bakal musnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.
SEORANG suri rumah didenda RM1,800 di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas kesalahan membuat laporan polis palsu kononnya disamun.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Saiful Sayoti terhadap Hafeeza Syuhada Abdul Hamid, 37, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan turut berdepan hukuman tiga bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda dikenakan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membuat laporan polis palsu dengan mendakwa disamun di tepi jalan Juasseh,Kuala Pilah oleh dua lelaki.
Perbuatan itu dilakukan pada pukul 1.51 tengah hari di Balai Polis Kuala Pilah, lapor Sinar Harian.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Menerusi kenyataan media Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd. Ghani, mangsa membuat laporan beg tangannya diragut dua lelaki yang menunggang motosikal.
Dalam laporan tersebut, wanita itu mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM40,000, bagaimanapun siasatan lanjut mendapati dia membuat laporan polis palsu untuk membuat tuntutan daripada syarikat insurans pelancongan yang memberi perlindungan insurans.
MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur menetapkan 7 September untuk mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi mencabar penyitaan dua akaun bank parti itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mahkamah menetapkan tarikh pendengaran berkenaan semasa pengurusan kes pagi ini.
Peguam yang mewakili parti pembangkang itu, Chetan Jethwani mengesahkan keputusan pengurusan kes di hadapan penolong kanan pendaftar mahkamah, Lee Ka Full.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid akan mendengar permohonan berkenaan, lapor Malaysiakini.
Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid
Sekiranya diberikan kebenaran, mahkamah kemudiannya akan menetapkan tarikh berasingan untuk mendengar merit bagi permohonan semakan kehakiman tersebut.
Ahmad Kamal juga sebelum ini membenarkan parti pembangkang meneruskan cabaran undang-undang berasingan untuk membatalkan pembekuan akaun bank parti itu oleh SPRM.
Bersatu mengambil tindakan undang-undang berhubung tindakan SPRM membekukan serta merampas akaun bank parti itu di mahkamah sivil.
Mahkamah sivil juga mengarahkan pihak-pihak berkaitan menyediakan afidavit berhubung semakan kehakiman itu sehingga 7 September.
Pada 20 April lalu, SPRM merampas akaun Bersatu yang sebelum itu dibekukan.
Agensi antirasuah itu menjelaskan akaun tersebut disita pada 11 April selepas mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada laporan The Edge bertajuk ‘Bersatu asks MACC why two accounts still frozen after 90 days’ (Bersatu minta penjelasan SPRM mengapa dua akaun masih dibekukan selepas 90 hari).
“Sebelum ini, akaun-akaun terbabit dibekukan pada 12 dan 13 Januari 2023 mengikut Seksyen 44 AMLATFPUAA 2001 bagi membantu siasatan terhadap wang yang disyaki daripada hasil haram.
“Susulan itu, SPRM telah melaksanakan tindakan sitaan tersebut pada 11 April 2023 berhubung siasatan dan pertuduhan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Md Yasin di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan AMLATFPUAA 2001,” kata agensi itu.
Bersatu berkata, perintah rampasan itu meragukan dan telah diundurkan pada 11 April sedangkan pengumuman oleh SPRM dibuat pada 20 April, justeru agensi itu didakwa enggan melaksanakan perintah rampasan sehingga hari ini.
Pada 20 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan RM232.5 juta.
Empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dibuat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, di mana Muhyiddin didakwa menggunakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu ketika itu bagi mendapatkan rasuah sebanyak RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Tiga syarikat tersebut ialah Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, dan Mamfor Sdn Bhd, manakala individu terbabit adalah Azman Yusoff.
Dua pertuduhan pengubahan wang haram dinyatakan di bawah Seksyen 4(1)(b) Amlatfpuaa 2001 yang dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta yang sama.
Individu berusia 76 tahun itu didakwa menerima RM120 juta hasil daripada aktiviti haram daripada Bukhary Equity Sdn Bhd antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.
Tuduhan itu tidak mengatakan bahawa pembayaran dibuat kepada Muhyiddin, justeru ia merupakan sebab mengapa akaun bank peribadinya tidak pernah dibekukan.
Pengubahan wang haram itu didakwa dilakukan dengan menerima wang yang dimasukkan ke akaun Bersatu.
Menurut portal web rasmi Bank Negara Malaysia, pengubahan wang haram ialah proses menukar wang tunai, dana atau harta yang diperoleh daripada aktiviti jenayah untuk dilihat sebagai sah.
POLIS menahan empat lelaki tempatan berumur antara 25 hingga 32 tahun dan merampas 1,000 biji pil Yaba berserta air ketum di sebuah tempat memproses ayam dekat Felda Chiku 1, Gua Musang, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata dalam serbuan pada kira-kira pukul 10.30 malam itu, polis turut menemukan 1,000 biji pil Yaba anggaran berat 100 gram dan lapan bungkus plastik dan sebotol plastik berisi air ketum dengan berat keseluruhan 2.7 liter.
“Nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM11,100 manakala ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Choon berkata kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu direman tujuh hari bermula 12 Julai lepas.
Sik berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
DAKWAAN Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebelum ini bahawa Perikatan Nasional (PN) akan terus menguasai Kedah dengan jumlah kerusi amat selesa bukanlah cakap-cakap kosong semata-mata.
Menurut Ahli Jawatankuasa Lujnah Politik Pas Kedah, Datuk Wan Romani Wan Salim, culaan dijalankan mendapati PN sememangnya mampu untuk menang 33 daripada 36 kerusi seperti dinyatakan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu.
Katanya, dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Mahfuz Omar pula yang mencanang kononnya gabungan itu bersama Barisan Nasional (BN) sudah memiliki 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tangan, langsung tidak berasas.
“Insya Allah setakat sekarang kami mampu menang 33 kerusi dan itu dibuktikan menerusi culaan yang dibuat. Jentera kami juga kini berada dalam keadaan siap siaga bagi berdepan PRN.
“Kalau pemimpin PH dakwa mereka mampu ambil alih kepimpinan negeri disebabkan kerjasama dengan BN, saya fikir dakwaan itu tak berasas. Lagi pun dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang baru saja berlangsung, calon-calon Perikatan Nasional (PN) menang besar di 13 daripada 14 kerusi Parlimen yang ada di negeri ini.
“Jadi kalau PH cakap mereka sudah ‘pegang’ 16 kerusi, cuba tunjukkan di mana? Bersandarkan keputusan dalam PRU, undi dari DUN mana yang mampu membantu mereka menang ketika majoriti kemenangan dicatat calon PN di sesebuah Parlimen mencecah puluhan ribu,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat.
Wan Romani menambah, kenyataan dibuat pemimpin PH kononnya mereka mampu merampas Kedah dari tangan PN tidak lebih daripada sekadar ‘penyedap hati’ buat penyokong dan jentera mereka.
Malah katanya, dakwaan itu sengaja dibuat sebagai provokasi kepada PN yang sedang melaksanakan kerja dengan baik di negeri ini.
“Mereka perlu berpijak kepada realiti. Apa yang diungkapkan itu sebenarnya tidak lebih daripada sekadar provokasi buat kami tetapi saya yakin, rakyat tak bodoh dalam membuat keputusan,” katanya.
Sementara itu Wan Romani berkata, tindak-tanduk Kerajaan Persekutuan yang seolah-olah tidak mempedulikan kerajaan negeri dalam beberapa isu termasuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), hanya akan membuatkan rakyat menjadi meluat sekali gus mengakibatkan mereka memberi sokongan lebih padu kepada PN sebagai pengajaran kepada kepimpinan Persekutuan.
“Rakyat sudah pasti tertanya-tanya mengapa Perdana Menteri tidak mahu berjumpa Menteri Besar sedangkan segala prosedur termasuk surat permohonan untuk bertemu bagi memberi taklimat mengenai KXP sudah dihantar berkali-kali? Jumpa pembesar dari negeri lain, boleh pula.
“Hakikatnya kita sudah ada hala tuju jelas untuk memajukan Kedah tetapi dihalang oleh pihak tertentu. Semua ini akan dinilai oleh rakyat dan akan dipertimbangkan sebaiknya sebelum mereka membuat keputusan untuk mengundi dalam PRN nanti,” katanya.
POLIS menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang wanita yang menerima gangguan secara seksual menerusi hantaran tular dimuat naik mangsa semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M. Hussin Zolkifly berkata, siasatan mendapati laporan berkaitan kejadian tersebut telah dibuat mangsa pada 2018 lalu.
Beliau berkata, siasatan dijalankan berkaitan dakwaan berkaitan mangsa yang diganggu secara seksual menerusi media sosial Instagram.
“Mangsa memuat naik berkaitan kejadian yang dihadapinya itu menerusi media sosial,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes tersebut telah direklasifikasikan semula untuk satu siasatan lanjut dijalankan.
“Kertas siasatan telah dibuka bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) 1998,” katanya lapor Sinar Harian.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa juga bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan sebarang spekulasi sehingga menjejaskan siasatan pihak polis.
Semalam, seorang wanita memuat naik hantaran menerusi laman sosial menyatakan dirinya menjadi mangsa gangguan seksual di Instagram.
PRESIDEN Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di Kuala Lumpur pada kira-kira 5.57 pagi tadi.
Mengesahkan perkara tersebut, anaknya Salmany Akir Ahmad, 42, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 74 tahun, akibat jangkitan paru-paru selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sejak 16 Jun.
Beliau berkata jenazah bapanya akan dibawa ke Masjid Al-Mardhiyah Taman Melawati pagi ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, Taman Melawati selepas solat Jumaat.
Salmany berkata Allahyarham merupakan seorang bapa yang penyayang dan sering memastikan keluarganya berkumpul ketika majlis atau perayaan, meskipun anak-anak duduk berasingan.
“Saya duduk paling dekat dengan arwah, jadi kalau arwah tiada apa-apa aktiviti kami akan pergi minum bersama. Arwah seorang bapa yang penyayang,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Salmany Akir berkata Allahyarham seorang seniman yang sentiasa menjaga kebajikan rakan industri kreatif dan ketika negara berhadapan pandemik COVID-19, beliau berjuang untuk memastikan anak seni terus dibenarkan berkarya.
PAKATAN Harapan (PH) setuju memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) di beberapa kerusinya pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor.
Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari itu berkata, ini dilakukan atas semangat perpaduan tetapi tidak memberi butiran khusus kecuali sekadar ‘satu atau dua kerusi’.
“Sudah tentu, kita terpaksa mengalah atas semangat perpaduan. (Tetapi) Saya tidak dalam kedudukan untuk menjawab. Pengerusi gabungan kerajaan perpaduan akan mengumumkannya (senarai calon).
“Kami lepaskan apa yang kami anggap untuk setiap parti sebelum ini pada pilihan raya umum ke-14… Sudah tentu kerusi yang dimenangi Bersatu ketika bertanding di bawah bendera PKR.
“Dan satu atau dua (kerusi PH) kepada UMNO atas semangat perpaduan,” katanya pada temu bual di segmen Breakfast Grille di radio BFM, hari ini.
Amirudin, yang juga Menteri Besar Selangor, juga cuba mengelak daripada mengulas tentang senarai calon PH-BN untuk Selangor apabila ditanya oleh pengacara program jika akan ada kejutan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu mendakwa belum melihat senarai calon, sambil menambah bahawa PH Selangor hanya mengemukakan cadangan mereka kepada kepimpinan pusat gabungan itu berdasarkan pencalonan daripada bahagian.
“Ia semata-mata senarai PH dan UMNO. Tetapi saya belum melihatnya lagi. Kami akan mengadakan mesyuarat pada 16 Julai ini.
“Ya, (kami kemukakan) cadangan, tetapi ini belum muktamad. Saya tidak boleh umum, saya tidak boleh mengulas tentang senarai itu.
“Sudah tentu, Presiden ada hak, pengarah pilihan raya negara kita Rafizi (Ramli) ada hak. Kita hanya susun calon-calon dari peringkat bahagian,” katanya.
Pada wawancara itu, Amirudin juga membidas slogan Selangor Baharu yang dicetuskan oleh Perikatan Nasional (PN).
Beliau memberitahu BFM bahawa tiada perkara baharu dengan apa yang ditawarkan PN, terutama dengan rancangannya untuk menampilkan beberapa bekas pemimpin UMNO.
“Ini bukan ‘baru’ atau perubahan dalam kepimpinan. Bagi saya, propaganda Selangor Baharu hanyalah kitar semula,” kata Amirudin sambil menambah dia bagaimanapun tidak mengambil mudah cabaran PN.
Katanya, PH dan BN masih perlu menangani isu pemindahan undi antara kedua-dua parti yang pernah menjadi seteru utama.
Beberapa tinjauan menunjukkan bahawa penyokong PH lebih bersedia untuk memberikan sokongan kepada calon BN, tetapi sebaliknya, bilangan kumpulan yang belum membuat keputusan juga masih tinggi.
“… Saya rasa kita perlu menjelaskan kepada jentera kita, teruskan menjelaskan kepada pengundi betapa pentingnya perpaduan dan untuk sejajar dengan kerajaan persekutuan untuk pemulihan ekonomi,” katanya lapor Malaysiakini.
SEORANG wanita menangis teresak-esak ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang hari ini berhubung kes menyimbah asid kepada sepasang suami isteri, minggu lalu.
Warga emas berkenaan yang tiba pada pukul 9 pagi, dengan memakai jubah biru, diiringi anggota polis dibawa ke mahkamah.
Pada Khamis, Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Arifin Mohamad Nasir berkata, suspek berusia lingkungan 60-an akan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.
Seorang wanita warga emas didakwa atas kesalahan mencederakan sepasang suami isteri dengan menyimbah asid ketika berada didalam lif yang tular di media sosial minggu lalu ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Minggu lalu, Sinar Harian melaporkan, sepasang suami isteri yang juga pengusaha kedai roti naan menempuh detik cemas apabila disimbah asid semasa memasuki lif di Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves, Gombak.
Kejadian tersebut berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bangunan pangsapuri terbabit.
Ia kemudiannya tular dalam media sosial, memaparkan seorang individu berdiri berhampiran mangsa, semasa menunggu lif sebelum bertindak menyimbah cecair dipercayai asid.
Mangsa iaitu seorang wanita tempatan berusia 60 tahun dan suaminya warganegara Pakistan telah menerima rawatan di Hospital Selayang.
Enam hari selepas kejadian, seorang wanita warga emas ditahan bagi membantu siasatan kes itu.
MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur menetapkan 7 September untuk mendengar permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad bagi membatalkan perintah supaya mereka membela diri dalam kes rasuah melibatkan RM2.8 juta.
Hakim Azhar Abdul Hamid pagi ini menetapkan tarikh berkenaan untuk mendengar permohonan bagi menyemak keputusan berkenaan, lapor Malaysiakini.
Azhar mengarahkan pasukan pembelaan memfailkan hujah bertulis mereka selewat-lewatnya pada 4 Ogos bagi membolehkan pihak pendakwaan memfailkan hujah balas mereka selewat-lewatnya pada 18 Ogos.
Peguam M. Athimulan merupakan salah seiorang daripada anggota pasukan peguam bagi pasangan itu, manakala timbalan pendakwa raya Law Chin How mewakili pihak pendakwaan hari ini.
Pada 2 September tahun lepas, Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Bung dan Zizie, serta memerintahkan kedua-dua mereka membela diri atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berkaitan pelaburan dalam unit amanah.
Pasangan itu kemudiannya merujuk ke Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keputusan prima facie.
Pada 9 Disember tahun lepas, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menolak permohonan semakan yang difailkan pasangan itu tanpa mendengar merit permohonan tersebut.
Azhar menolak permohonan semakan tersebut selepas menerima bantahan awal pihak pendakwaan, yang menyatakan pasangan itu telah menggunakan kaedah yang salah untuk memfailkan permohonan.
Bagaimanapun pada 7 Julai, Mahkamah Rayuan memerintahkan permohonan semakan pasangan itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk mempertimbangkan merit permohonan itu.
Pada 3 Mei 2019, Bung memohon untuk dibicarakan atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra Berhad untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Mengikut pertuduhan pertama, Bung, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa menerima rasuah wang tunai berjumlah RM2.2 juta daripada Madhi, melalui Zizie, di cawangan Public Bank Taman Melawati di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.
Bagi pertuduhan kedua, Bung didakwa menerima suapan wang tunai RM262,500 daripada Madhi menerusi akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie, untuk tujuan sama.
Bung juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada Norhaili menerusi akaun Public Ittikal Sequel Fund (Pitseq) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie.
Dua kesalahan terakhir itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari pada 19 Jun 2015.
Zizie turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada Norhaili, atas nama Zizie Izette atas sebab dan tempat yang sama pada 19 Jun 2015, selain tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Pada 17 Mei tahun lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 2 Jan 2020.
Antara saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas Menteri Kewangan II, DatuK Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; bekas Pengurus Besar Felcra Investments, Adnan Yusof; Ahli Lembaga Pengarah Felcra, Habibah Suleiman; penolong penguasa SPRM, Norsharil Saharom, ejen Public Mutual Madhi Abdul Hamid dan Perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar.