Category: Semasa

  • 100 buah rumah rosak akibat ribut

    100 buah rumah rosak akibat ribut

    SEBANYAK 100 buah rumah di beberapa kampung mengalami kerosakan khususnya pada bahagian bumbung dalam kejadian hujan lebat dan ribut yang melanda Perlis, semalam.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Perlis Lt.Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata sehingga kini, pihaknya menerima laporan sebanyak 100 rumah terkesan akibat kejadian ribut yang bermula dari 10 pagi hingga lewat petang itu.

    “Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan anggaran kerugian masih dalam penilaian,” katanya, mengikut laporan Bernama.

    Beliau berkata, APM menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini dan peka dengan amaran bencana yang dikeluarkan pihak berkuasa.

    “Saya harap orang ramai patuh dengan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan menyimpan barang-barang berharga di tempat selamat,” katanya.

    Selasa lalu, media melaporkan terdapat lebih 50 rumah mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda Perlis.

    Antara kawasan yang terjejas ialah Mata Ayer, Kampung Panggas Kechil, Kampung Lubok Besar, Kuala Perlis, Padang Pauh, Lubuk Sireh, Kangar, Abi, Bukit Keteri, Kurung Batang, Balik Bukit, Wang Besar dan Beseri.

    Menurut laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca hujan pada sebelah pagi dan ribut petir pada sebelah petang di satu dua tempat di kawasan pedalaman akan berterusan sehingga 17 Julai ini. – Bernama

  • Wanita hina Islam di kelab komedi didakwa pagi ini

    Wanita hina Islam di kelab komedi didakwa pagi ini

    WANITA yang didakwa menghina Islam dalam program dianjurkan sebuah kelab komedi tiba di Kompleks Mahkamah di Kuala Lumpur, pagi ini dan dijangka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menghina Islam.

    Berita Harian melaporkan suspek berusia 28 tahun memakai kot hitam dan baju kuning itu tiba pukul 9 pagi tadi dengan bergari, sebelum diiringi dua anggota polis dibawa masuk ke mahkamah.

    Puluhan pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah seawal pukul 7.30 pagi untuk merakam video serta gambar wanita itu.

    Teman lelaki wanita berkenaan berusia 38 tahun pula dipercayai akan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pagi ini mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Media sebelum ini melaporkan, wanita itu ditahan di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Sabtu lalu dan direman empat hari sehingga hari ini, manakala teman lelakinya ditahan keesokannya serta direman tiga hari hingga tempoh sama.

    Sebelum ini, tular satu video di media sosial memaparkan wanita itu yang mengaku berasal dari Kuala Kangsar, Perak, menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

    Dalam video berdurasi 54 saat itu, wanita terbabit mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan aurat.

    Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga menyatakan sedang menyiasat video itu, manakala Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara secara serta-merta lesen kelab komedi itu susulan tular video berkenaan.

  • KPDNHEP Pulau Pinang bongkar kegiatan seleweng minyak masak bersubsidi

    KPDNHEP Pulau Pinang bongkar kegiatan seleweng minyak masak bersubsidi

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang berjaya membongkar kegiatan menyeleweng dan menjual minyak masak bersubsidi kepada industri ekoran penahanan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Seri Murni, di Butterworth hari ini.

    Malah pemeriksaan awal juga mendapati suspek yang mempunyai lesen borong barang kawalan itu turut menjual minyak masak bersubsidi yang telah dicampur dengan pewarna dan pewangi untuk kegunaan sembahyang.

    Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang A.Mogan berkata serbuan ke rumah teres dua tingkat dilakukan pada 1 tengah hari tadi hasil risikan dan maklumat orang awam sejak lima hari lepas.

    “Sepasukan empat pegawai penguat kuasa yang menjalankan risikan dan intipan pada mulanya mengekori sebuah lori dipandu seorang lelaki dari tempat pemborong minyak masak peket bersubsidi dari sebuah kilang tidak jauh dari sini sehingga ke rumah di Taman Seri Murni itu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

    Katanya semasa serbuan, lori tersebut dipakirkan di belakang rumah teres lot tepi itu dan seorang lelaki tempatan berusia 50-an sedang memotong bungkusan minyak masak paket bersubsidi di dalam lori itu untuk dipindahkan ke dalam tong sebelum dijual kepada pihak industri.

    Mogan berkata hasil pemeriksaan sebanyak 272 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi dan 952 kg minyak masak bersubsidi ditemukan.

    Katanya pemeriksaan lanjut dalam rumah itu, pihaknya menjumpai 340 kg minyak masak peket bersubsidi yang disimpan dalam satu ruangan khas di kediaman tersebut yang dipercayai turut dijadikan tempat suspek menjalankan kerja-kerja memindahkan minyak bersubsidi ke tong industri.

    “Suspek dipercayai mengambil minyak masak daripada pembungkus minyak masak dan seterusnya dihantar terus kepada pelanggan…dia telah menyalahgunakan lesen untuk mendapatkan bekalan dan menyeleweng barang kawalan sebelum menjualkannya kepada pihak industri untuk mengaut keuntungan lebih,” katanya.

    Mogan berkata setiap bungkusan minyak masak bersubsidi itu berharga RM2.50 namun suspek menjualnya dengan harga RM6 hingga RM8 bagi setiap kilogram.

    Beliau berkata siasatan mendapati suspek dipercayai menjalankan kegiatan tersebut sejak beberapa bulan lepas dan semakin aktif sejak 1 Julai lepas berikutan harga minyak masak telah dimansuhkan subsidi kecuali minyak peket sekilogram.

    “Semua minyak yang kita rampas hari ini adalah sebanyak 1,564 kg iaitu berharga RM3,910 dan kami turut menyita lori digunakan untuk kegiatan tersebut yang bernilai RM105,000,” katanya menambah suspek ditahan untuk siasatan menurut Akta Kawalan Bekalan 1951 dan kes akan diskordan untuk siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.

    — BERNAMA

  • Penipuan haji: Polis terima 72 laporan libatkan kerugian hampir RM4 juta

    Penipuan haji: Polis terima 72 laporan libatkan kerugian hampir RM4 juta

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 72 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji di seluruh negara membabitkan tiga agensi pelancongan swasta dengan kerugian RM3.95 juta.

    Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata Kuala Lumpur mencatatkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 24 laporan membabitkan kerugian berjumlah RM1,244,500 diikuti Selangor dengan 14 laporan melibatkan kerugian RM404,000.

    “Pahang pula merekodkan 13 laporan dengan nilai kerugian RM1,611,500 manakala Kelantan, Johor dan Perak masing-masing mempunyai lima laporan dengan nilai keseluruhan RM556,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata Kedah mempunyai tiga laporan dengan nilai kerugian RM48,000 sementara Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan masing-masing merekodkan satu laporan dengan jumlah keseluruhan mencecah RM86,000.

    Khamis lepas, kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.

    Mereka  dipercayai menggunakan visa furada, iaitu visa yang diuruskan sendiri tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Lembaga Tabung Haji (TH).

    — BERNAMA

  • Tiada ‘kartel dalam pemilihan Pengelola Jemaah Haji – Syed Saleh

    Tiada ‘kartel dalam pemilihan Pengelola Jemaah Haji – Syed Saleh

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) hari ini menafikan dakwaan ‘kartel’ oleh pihak tertentu terhadap agensi itu berhubung pemilihan syarikat pelancongan sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH).

    Menurut Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, pemohonan PJH yang berlesen dibuka setiap tahun mengikut syarat yang ditetapkan.

    “Syarat-syarat pemilihan PJH yang ditetapkan adalah bagi memastikan syarikat-syarikat pelancongan tempatan memiliki kapasiti yang teguh serta mampu memberikan perkhidmatan Haji yang terbaik termasuklah mampu menjaga rapi kebajikan jemaah Haji Malaysia.

      “Oleh itu, dakwaan ‘kartel’ adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas. Mana-mana syarikat boleh memohon untuk menjadi PJH berlesen di bawah TH dan dipilih apabila memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Syed Saleh menegaskan,  sistem pemilihan itu telah diguna pakai sejak tahun 2000 dan ditambah baik secara berkala setiap tahun.

    ‘’Bagi permohonan lesen PJH ia dibuka setiap tahun dan ditutup pada 1 Ramadan. Malah 10 kriteria turut diperiksa dan dinilai oleh TH kepada setiap syarikat pelancongan sebelum sebarang kelulusan diberi.

    ‘’Antara syaratnya, berpengalaman mengendalikan umrah tiga tahun berturut-turut, Rekod Bank Negara Malaysia melalui Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) yang mengandungi maklumat kewangan Pengarah Syarikat, Pemegang Saham dan Pengurusan Syarikat,’’ katanya.

    Beliau berkata, turut dinilai, laporan juruaudit yang bersih untuk dua tahun terkini, laporan kewangan syarikat tiga tahun terakhir, modal berbayar sekurang-kurangnya RM500,000, lulus penilaian umrah oleh Pejabat TH di Arab Saudi serta tiada kes mahkamah semasa.

    Dalam pada itu, Syed Saleh turut memaklumkan dua PJH baharu dipilih pada tahun ini, iaitu Az Zuha Group Travel and Tours Sdn Bhd dan Mimm Travel and Tours Sdn Bhd.

  • Elak keliru dengan BN, warna logo PN perlu diubah – Tuan Ibrahim

    Elak keliru dengan BN, warna logo PN perlu diubah – Tuan Ibrahim

    WARNA pada logo Perikatan Nasional (PN) memerlukan pengubahsuaian kerana ianya dilihat mengelirukan pengundi untuk memilih antara PN dan Barisan Nasional (BN).

    Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menjelaskan pengundi menjadi keliru dengan logo PN berdasarkan dua pilihan raya negeri baru-baru ini, di Johor dan Melaka.

    Perkara itu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi parti dan ianya masih meneliti logo dan warna yang sesuai digunakan. “Sebahagian pengundi keliru kerana warna sama, PN dan BN warna biru yang seakan sama dengan BN yang menyebabkan sebahagian pengundi kita jumpa mati-mati sokong Muhyiddin tetapi undi BN, jadi keliru kerana warna.

    “Maka Majlis Pimpinan Tertinggi setuju untuk kaji keperluan warna berbeza dengan BN dan keduanya logo, PN tak ada logo yang ada tulisan. Kita mesyuarat keperluan adakan logo bagi PN,” katanya di Kota Bahru, hari ini, lapor Astro AWANI

    Beliau menjelaskan pengubahsuaian logo itu dijangka selesai sebelum Pilihan Raya Umum ke-5 (PRU15) nanti.

    Tuan Ibrahim turut memaklumkan ketika ini Pas masih belum memutuskan lagi penggunaan logo PN untuk bertanding pada pilihan raya nanti kerana perkara itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Tertinggi Pas nanti.

    Terdahulu Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan PN akan memperkenalkan logo baharu untuk digunakan dalam PRU15 nanti.

    Muhyiddin berkata ianya susulan cadangan untuk mengubah suai logo sedia ada semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

  • Mahkamah sivil tiada bidang kuasa semak isu murtad

    Mahkamah sivil tiada bidang kuasa semak isu murtad

    MAHKAMAH Tinggi memutuskan bahawa mahkamah sivil tiada bidang kuasa untuk menyemak keputusan mahkamah syariah dalam kes membabitkan mereka yang membuat permohonan murtad.

    Hakim Ahmad Kamal Md. Shahid memutuskan demikian selepas menolak permohonan seorang wanita untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berhubung tindakannya keluar daripada agama Islam.

    Ahmad Kamal berkata, Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa mengikut Perkara 121(1A) kepada mahkamah syariah untuk menentukan kes membabitkan permohonan untuk keluar daripada Islam.

    Berita Harian hari ini melaporkan, mahkamah menolak permohonan wanita berkenaan pada bulan lalu, bagaimanapun alasan penghakiman hanya diperoleh 1 Julai lalu.

    Wanita itu yang dilahirkan Islam, mendakwa tidak pernah mengamalkan ajaran Islam yang mana ibunya membenarkannya memilih agama, lalu memohon perintah daripada Mahkamah Tinggi Syariah pada 2018 untuk mendapatkan perintah keluar daripada Islam kerana mahu mengamalkan ajaran Buddha.

    Mahkamah Tinggi Syariah kemudian memerintahkannya menghadiri 12 sesi kaunseling sebelum menolak permohonan wanita terbabit keluar daripada agama Islam pada 27 Julai 2020 serta memintanya mendapatkan lebih banyak kaunseling.

    Keputusan berkenaan kemudian dikekalkan Mahkamah Rayuan Syariah.

    Antara alasan diberikan Mahkamah Tinggi Syariah dalam menolak permohonan itu ialah wanita terbabit dilahirkan pasangan beragama Islam dalam perkahwinan yang sah oleh hukum syarak.

    Beliau kemudian merujuk kepada mahkamah sivil untuk membatalkan keputusan mahkamah syariah dengan mendakwa keputusan berkenaan melanggar Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.

    Sementara itu, Ahmad Kamal berkata, pemohon menuntut untuk keluar daripada Islam dan perkara itu membabitkan bidang kuasa mahkamah syariah serta permohonan kebenaran semakan kehakiman pula adalah untuk menyemak keputusan mahkamah syariah.

    Beliau berkata, mahkamah syariah tidak salah ketika memutuskan permohonan pemohon dan keputusan itu bukan bidang kuasa mahkamah sivil untuk memutuskannya.

    “Saya berpandangan hujahan peguam pemohon tiada sebarang merit, mahkamah syariah tidak bertindak ultra vires (melanggar kuasa undang-undang) ketika membuat perintah dan perintah itu juga sah.

    “Selepas menimbangkan permohonan ini, saya berpendapat ia tidak boleh didengar melalui semakan kehakiman.

    “Pemohon juga gagal menunjukkan bahawa keputusan dibuat mahkamah syariah adalah akibat daripada menyalahi undang-undang, tidak munasabah atau tidak rasional dan tidak wajar dari segi prosedur.

    “Selain itu, saya juga mengulangi bahawa pemohon gagal menunjukkan hujahan yang boleh diterima untuk mendapatkan perintah pada peringkat kes substantif. Perintah diminta pemohon juga adalah bersifat remeh,” katanya.

    Mahkamah turut menolak permohonan itu dengan kos RM2,000.

  • Semua jemaah Malaysia selesai laksana ibadah haji, tiada insiden buruk

    Semua jemaah Malaysia selesai laksana ibadah haji, tiada insiden buruk

    KESEMUA 14,305 jemaah Malaysia selesai melaksanakan ibadah haji tanpa sebarang perkara tidak diingini berlaku.

    Menerusi laporan Operasi Tanah Suci Tabung Haji (TH), daripada jumlah tersebut seramai 5,795 jemaah telah meninggalkan Mina semalam, selepas melakukan nafar awal manakala selebihnya pada hari ini.

    Jemaah haji yang telah berada di Makkah turut dibawa melakukan ibadah tawaf dan saie, bagi melengkapkan ibadah itu selain wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah dan melontar jamrah pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

    Berdasarkan kuota yang diperuntukan kepada TH, seramai 14,306 jemaah telah menerima tawaran mengerjakan rukun Islam kelima itu, namun seorang daripadanya iaitu jemaah lelaki berusia 62 tahun telah meninggal dunia pada 25 Jun, ekoran jangkitan kuman.

    Selain itu, bagi memastikan operasi membawa jemaah dari Mina ke Makkah berjalan lancar, sebanyak 110 buah bas telah digunakan bermula 6.30 pagi hingga 12 tengah hari, bermula semalam.

    Jemaah haji sebelum ini telah bergerak ke Arafah bermula 7 Julai (8 Zulhijjah), kemudiannya pada 9 Zulhijjah berangkat ke Muzdalifah dan seterusnya bergerak ke Mina untuk bermalam di sana bagi melaksanakan ibadah melontar.

    Sementara itu tinjauan Bernama mendapati, sepanjang perjalanan operasi Masyair iaitu melibatkan Arafah, Muzdalifah dan Mina, kebajikan jemaah haji sentiasa terjaga malah pergerakan mereka akan dipantau dengan baik.

    Ketika di tiga lokasi tersebut, bukan sahaja klinik disediakan di setiap maktab (penginapan) tetapi juga rondaan dari semasa ke semasa untuk meninjau tahap kesihatan jemaah dan membuat rawatan segera.

    Lebih menarik apabila melihat kesungguhan petugas yang memantau pergerakan jemaah dari Mina ke kawasan Jamrah untuk ibadah melontar, kerana mereka perlu memastikan tiada jemaah yang tersesat sepanjang 10 kilometer perjalanan pergi dan balik.

    Tanpa kerusi mahupun lokasi yang selesa, petugas perlu berdiri sekurang-kurangnya empat jam dan kemudiannya bergerak mencari jemaah jika ada yang terpisah dari rombongan maktab masing-masing.

    Petugas unit bimbingan haji juga memainkan peranan penting tanpa mengira waktu, kerana perlu menjawap kemusykilan bagi memastikan kesemua jemaah telah melengkapkan apa yang sepatutnya serta memperoleh haji mabrur.

    — BERNAMA

  • Johor catat peningkatan kes jangkitan saluran pernafasan

    Johor catat peningkatan kes jangkitan saluran pernafasan

    SEJUMLAH 1,319 jangkitan saluran pernafasan di negeri ini dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-27/2022, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon.

    Menurutnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 2.3 kali ganda berbanding 574 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

    “Bilangan kluster wabak berkenaan yang dilaporkan juga menunjukkan peningkatan, iaitu sebanyak 15 kluster bagi tempoh ME 27/2022 berbanding lapan kluster bagi tempoh sama tahun lepas.

    “Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) ingin memaklumkan bahawa kebelakangan ini terdapat peningkatan tren bagi kes dan wabak jangkitan saluran pernafasan, iaitu Influenza-like-illness (ILI) dan Upper Respiratory Tract Illness (URTI) di Negeri Johor.

    “Kebanyakan kluster yang dilaporkan melibatkan institusi pendidikan iaitu sebanyak 80 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, secara amnya kes ILI dan URTI adalah jangkitan biasa yang berlaku tanpa musim di negara ini sepanjang tahun dan hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan diri.

    Jelasnya, pemantauan yang dijalankan JKNJ terhadap jangkitan ILI dan URTI, mendapati situasi masih terkawal walaupun terdapat beberapa kluster melibatkan sekolah berasrama dikesan.

    JKNJ menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan iaitu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap membasuh tangan menggunakan air dan sabun atau pensanitasi tangan.

    “Amalkan etika batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin, sama ada dengan menggunakan tisu atau pelitup muka.

    “Amalkan etika batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin, sama ada dengan menggunakan tisu atau penutup mulut dan hidung.

    “Jarakkan diri dari individu yang bergejala, sekurang-kurangnya satu meter dan elakkan mengunjungi tempat tumpuan ramai jika bergejala selain digalakkan mendapatkan pelalian vaksinasi influenza di fasiliti kesihatan swasta,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Beliau berkata, JKNJ akan terus memantau situasi dan trend kejadian ILI dan URTI di negeri ini serta bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan langkah-langkah kawalan dan pencegahan dijalankan dengan sewajarnya.

  • 11 lembu ditemukan mati di Kuala Nerus

    11 lembu ditemukan mati di Kuala Nerus

    BANGKAI 11 ekor lembu dalam keadaan berulat ditemukan di sebuah kawasan terbiar di Kampung Sungai Lekar, Kuala Nerus, Terengganu, dipercayai dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

    Menurut seorang penduduk kampung itu Wan Zaidi Wan Jaafar, 48, berkata, bangkai lembu tersebut dijumpai penduduk yang ingin memancing di Sungai Lekar yang terletak kira-kira lima meter dari kawasan itu pada petang Sabtu lepas.

    “Bangkai lembu ini mungkin dibuang pada hari yang sama kerana ada penduduk kampung terlihat dua buah lori memasuki simpang ke kawasan itu. Kedua-dua lori tersebut dilihat penuh dengan lembu yang telah mati,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian, di Kuala Nerus, hari ini.

    Tinjauan Bernama ke kawasan yang terletak kira-kira 15 meter dari Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu itu mendapati, bangkai 11 ekor lembu tersebut berada dalam keadaan bergelimpangan, sudah kembung, berulat dan dihurungi lalat.

    Wan Zaidi berkata bau busuk bangkai haiwan itu mendatangkan ketidakselesaan, kerana kawasan tersebut merupakan laluan utama penduduk ke Sungai Lekar ke kawasan berdekatan.

    “Walaupun kawasan tersebut jauh dari kawasan penempatan, namun ia merupakan laluan digunakan penduduk untuk memancing dan ke kebun. Jadi kita risau kalau bangkai lembu ini menyebabkan pencemaran bau yang lebih teruk dan air sungai juga boleh tercemar,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu Dr Anun Man ketika dihubungi berkata setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai penemuan bangkai lembu tersebut.

    Namun katanya pihak veterinar negeri akan segera ke lokasi penemuan bangkai tersebut, bagi mendapatkan sampel mengenal pasti punca kematian lembu-lembu itu dan siasatan serta menjalankan kerja-kerja pelupusan.

    “Kita tidak tahu apa punca lembu-lembu itu dibuang di situ. Ada kemungkinan lembu-lembu itu diseludup dari luar dan sekiranya haiwan tersebut dibawa dalam lori tertutup (lori bungkus) serta melalui perjalanan yang jauh, ia boleh menyebabkan lembu-lembu itu lemas dan boleh menyebabkan kematian.

    “Sekiranya ia mati disebabkan wabak penyakit seperti penyakit kuku dan mulut (FMD) dan sebagainya, pemilik lembu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 31 Akta Binatang 1953, kerana gagal melaporkan penyakit haiwan ternakan mereka kepada pihak veterinar,” katanya.

    Beliau berkata tindakan juga juga boleh diambil di bawah Seksyen 34, Akta Binatang 1953 kerana melupuskan haiwan ternakan berpenyakit tanpa kebenaran pihak berkuasa Veterinar.

    Pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu juga akan membuat siasatan sekiranya ada unsur-unsur melibatkan kezaliman haiwan di bawah Seksyen 29, Akta Kebajikan Haiwan 2015. – Bernama