Category: Semasa

  • SPRM tahan tiga individu termasuk penguat kuasa seludup warga asing

    SPRM tahan tiga individu termasuk penguat kuasa seludup warga asing

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan tiga individu termasuk anggota penguat kuasa kerana terlibat dalam kegiatan penyeludupan warga asing di negeri itu.

    Ketiga-tiga suspek berusia antara 35 hingga 50-an itu ditahan selepas diminta hadir ke Pejabat SPRM Sabah pada pukul 6 petang semalam.

    Menurut sumber, anggota penguat kuasa terbabit disyaki menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM12,000.

    Suspek yang bertugas di Tawau dipercayai bersubahat dengan dua lelaki sebagai orang tengah bagi melepaskan warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

    Difahamkan, warga Indonesia terbabit dipercayai keluar dari Tawau untuk ke Kuala Lumpur tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tawau.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

    “Semua suspek akan ditahan selama 24 jam bagi tujuan siasatan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya lapor Sinar Harian.

    Sebelum itu, tangkapan terbabit dilakukan dengan kerjasama dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

  • Saman fitnah Tun M, Zahid mungkin tak selesai luar mahkamah

    Saman fitnah Tun M, Zahid mungkin tak selesai luar mahkamah

    DUA kes saman fitnah membabitkan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan DatuK Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkemungkinan akan dibicarakan hujung tahun ini memandangkan peluang untuk kedua-dua pihak menyelesaikan kes di luar mahkamah dilihat tipis.

    Peguam mewakili Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, buat masa ini, tiada tanda-tanda menunjukkan kes-kes itu akan dapat diselesaikan tanpa pertikaian.

    “Oleh itu, tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan lebih awal akan dikekalkan,” katanya kepada pemberita selepas sidang pengurusan kes dalam talian di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff hari ini, lapor FMT.

    Mior berkata, hakim meminta pihak-pihak untuk memaklumkan kepada mahkamah sekiranya terdapat perkembangan sebelum perbicaraan bermula.

    Sharul Fazli Kamarulzaman dan Intan Hanis Afiqah Razali tampil selaku peguam bagi pihak Zahid.

    Pada 14 April, mahkamah mencadangkan agar Mahathir dan Zahid meneroka kebarangkalian dua saman fitnah antara mereka diselesaikan, berbanding menjalani perbicaraan.

    Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan empat hari bermula 11 Sept untuk mendengar saman Mahathir terhadap Zahid berhubung dakwaan Zahid menggunakan nama ‘Kutty’ dengan tujuan menghina untuk merujuk kepada Mahathir.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Mahathir mendakwa Zahid memfitnahnya semasa mesyuarat bahagian UMNO di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

    Beliau mendakwa kenyataan itu bertujuan membayangkan bahawa beliau tidak dilahirkan sebagai orang Melayu atau Islam, dan bahawa nama asalnya ialah ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’.

    Dalam pembelaannya, Zahid berkata, nama itu merujuk kepada seorang individu berdasarkan maklumat daripada sekeping salinan lama kad pengenalan.

    Zahid juga berkata, beliau tiada kawalan ke atas penerbitan semula kenyataan itu di mana-mana platform media.

    Dalam saman kedua, Zahid menyaman Mahathir berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri itu bahawa Zahid meminta bantuannya agar tuduhan rasuah terhadapnya ‘digugurkan’.

    Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan empat hari untuk saman itu bermula 6 November.

    Pada sidang akhbar 23 Feb 2022, Mahathir mendakwa Zahid dan beberapa individu lain berjumpa dengannya di rumahnya sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke (PRU14) pada 2018.

    Mahathir didakwa berkata, Zahid mahu ‘berbaik-baik’ dengannya sebelum beliau menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada Mei 2018.

    Zahid mendakwa kata-kata Mahathir itu tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan berniat jahat.

    Mahathir, dalam pembelaannya, tetap dengan kenyataannya dan berkata, beliau akan melawan saman itu.

    Kedua-dua saman itu dijadualkan didengar di hadapan Rozana.

  • Ketua Pemuda UMNO nafi rasuah pelajar

    Ketua Pemuda UMNO nafi rasuah pelajar

    KETUA Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menafikan dakwaan kononnya beliau telah menyogok pelajar dengan memberikan wang ketika menyertai program bersama pelajar Tingkatan Enam di Hulu Terengganu, Rabu lalu.

    Katanya, wang dalam sampul tertera gambar dan namanya itu diberikan sebagai hadiah kepada peserta program yang mengakui telah mengikut akaun TikTok miliknya.

    “Saya buka TikTok, saya tengok ada empat orang follow (ikuti) saya, jadi saya bagi empat yang terawal follow saya tu dengan niat sedekah kepada mereka.

    “Bila nak bagi (duit) takkanlah nak hulur macam tu je. Mestilah ada sampul dan kebetulan ketika itu hanya sampul itu sahaja saya ada dan sampul itu jugalah yang saya guna untuk bagi sumbangan kepada semua orang,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Terdahulu Dr. Muhamad Akmal mengadakan pertemuan bersama pelajar pada Majlis Penutup Program Motivasi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Terengganu dan Icon Talk di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

    Beliau berkata, apa yang dilakukan itu tidak mempunyai sebarang niat untuk meraih undi apatah lagi program yang dijalankan itu adalah program anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dihadiri pelajar.

    Bagaimanapun katanya, apa yang berlaku itu akan dijadikan sebagai iktibar kerana menyebabkan ia ditularkan di media sosial.

    “Kalau rasuah tu yang ada ‘sumpah’ semua. Itu rasuah, sumpah kena undi parti A atau parti B,” katanya.

    Rabu lalu tular di media sosial dakwaan mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu telah mengagihkan wang kepada peserta program bagi tujuan meraih sokongan dan undi kepada BN pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos depan.

  • ‘Memang saya ada kaitan dengan Sanusi, tapi rumah ini tak guna duit dia’

    ‘Memang saya ada kaitan dengan Sanusi, tapi rumah ini tak guna duit dia’

    Oleh BADLISHAH MAT

    KEHIDUPAN ahli keluarga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak pernah didedahkan secara umum sejak beliau mentadbir negeri itu bermula Mei 2020.

    Namun disebabkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), mereka turut menjadi sasaran lawan untuk dijadikan modal politik.

    Ini berikutan cerita tentang sebuah rumah besar bertaraf banglo yang dibina di Kampung Batu Lapan, Sik pada mulanya dituduh pihak tertentu kononnya ia milik Muhammad Sanusi, tetapi Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu segera tampil memberi penjelasan.

    Kali ini, memahami motif politik yang mungkin menggunakan kediamannya sebagai ‘peluru’ untuk menyerang Muhammad Sanusi, abang beliau, Shabudin, 57, yang juga pemilik banglo tersebut turut tampil menjelaskan keadaan sebenar.

    “Sanusi memang ada kaitan dengan saya kerana beliau adik kandung saya, tetapi rumah ini dibina hasil titik peluh saya yang bekerja sebagai penyelam komersial dasar laut selama 27 tahun sejak berhenti daripada perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    “Sudah lama saya pasang impian untuk membina sebuah rumah yang selesa kepada isteri dan enam anak kami. Malah tapak rumah yang berkeluasan 4,000 kaki persegi ini pun tanah pusaka keluarga mentua yang diberikan kepada isteri.

    “Rumah kami ini tidak besar manapun, janganlah memfitnahnya, di belakang rumah saya ini ada lagi rumah yang lebih besar dan mahal harganya, kenapa tidak dijadikan isu tetapi saya tahu ini hanya bermotifkan politik.

    “Saya juga bukan ahli politik dan tidak ada kena mengena dengan kerjaya politik adik, saya hanya orang biasa, jadi hentikanlah isu yang tidak masuk akal ini kerana sedikit sebanyak ia menjejaskan kehidupan harmoni saya seisi keluarga,” katanya ketika ditemui hari ini.

    Shabudin menjelaskan, rumah tersebut juga bukan berharga sehingga RM7.8 juta seperti yang didakwa sebaliknya hanya mencecah sekitar RM1 juta untuk siap sepenuhnya.

    “Berita tentang harga rumah sehingga RM7.8 juta itu tak betul, sebut harga pembinaan rumah ini hanya kira-kira RM800,000 sahaja, setelah ditambah perkakasan hanya sekitar RM1 juta. Kalau harganya RM7.8 juta, baik saya jual saja rumah ini, lagi untung,” katanya.

    Katanya, rumah hasil simpanan gajinya sebagai penyelam dasar laut di dalam dan luar negara itu dibina sejak Februari tahun lepas dan masih belum diduduki sepenuhnya sehingga sekarang kerana baru siap.

    “Gaji yang saya terima bergantung kepada kontrak yang diperolehi, ada yang bagus gajinya dan ada yang kurang bergantung kepada keadaan syarikat yang menawarkan pekerjaan,” katanya.

    Shabudin yang berjawatan Diving Superintendent berkata, gaji diterimanya tidak menentu namun kadang-kala boleh mencecah sehingga 1,000 dolar Amerika Syarikat (AS) atau paling kurang 300 dolar, namun dia enggan berkongsi jumlah sebenar gaji diterimanya.

  • Adam Radlan perlu lapor diri di SPRM setiap awal bulan

    Adam Radlan perlu lapor diri di SPRM setiap awal bulan

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengingatkan Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, supaya melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), antara 1 dan 7 haribulan setiap bulan.

    Hakim Azura Alwi memutuskan demikian, selepas pihak pendakwaan kes rasuah projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) memberitahu bahawa pemimpin politik itu gagal melaporkan diri di Pejabat SPRM setiap awal bulan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaide berkata, perkara itu merupakan syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah bagi permohonan ikat jamin ahli perniagaan berkenaan.

    “Mohon mahkamah memberi peringatan kepadanya supaya mematuhi syarat tambahan yang dikeluarkan.

    “Kami memohon, supaya mahkamah menyatakan masa yang spesifik, merujuk kepada tarikh setiap awal bulan yang ditetapkan sebelum ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Selain Maziah, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh dan Natrah Fareha Rahmat.

    Dalam pada itu, ketika sebutan kes di dua mahkamah berasingan, pendakwaan memberitahu bahawa, semua dokumen yang diperlukan untuk perbicaraan telah diserahkan kepada pihak Adam Radlan.

    Semasa prosiding di hadapan Hakim Azura dan Suzana Hussin, pendakwaan memaklumkan bahawa, hanya senarai saksi belum diserahkan kepada pihak pembelaan.

    Pembelaan yang diwakili peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam, kemudiannya mengesahkan perkara tersebut.

    Kedua-dua mahkamah menetapkan 14 September depan bagi sebutan kes seterusnya untuk status penyerahan senarai saksi pendakwaan kepada pihak pembelaan.

    Pada 21 Februari lalu, ahli perniagaan itu dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas satu pertuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat yang merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

    Beliau turut didakwa atas satu lagi pertuduhan menerima suapan, RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

    Keesokan hari, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas dua pertuduhan menerima rasuah masing-masing RM2 juta dan RM2.1 juta berhubung projek Jana Wibawa.

    Pada 28 Februari, dia dituduh atas pertuduhan kelima di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta rasuah RM2 juta, tahun lalu.

  • J-KOM dihentam netizen, padam infografik belanja dapur

    J-KOM dihentam netizen, padam infografik belanja dapur

    SELEPAS dihentam pelbagai pihak, Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) memadamkan hantaran yang memaparkan infografik ‘belanja dapur’ untuk keluarga dan golongan bujang selama seminggu dan sebulan.

    Agensi kerajaan tersebut memadam hantaran berkenaan di Facebook dan Twitter yang menerangkan sama ada belanja dapur benar-benar telah meningkat dari RM200 kepada RM500 seperti yang dilaporkan oleh media.

    Infografik tersebut sebelum ini disebarluaskan sebaik dimuat naik J-KOM dan dikritik malah disifatkan tidak logik.

    Susulan pemadaman tersebut, MalaysiaGazette melaporkan beberapa pengikut media sosial J-KOM melahirkan rasa kehairanan selepas mendapati hantaran berkenaan telah tiada.

    “Mana post fasal perbandingan harga barang tu min (admin)?” tanya Rizal Bohari.

    “Kenapa delete infografik harga barang bawah RM500 sebulan? Sabtu esok saya nak pergi pasar. Risau nanti belanja terlebih RM500,” sindir Ahmad Yazid.

    Poster yang dikongsi oleh J-KOM sebelum ini menganggarkan belanjar dapur untuk keluarga seramai empat orang hanya RM397.80 sebulan atau RM99.45 seminggu.

    Perbelanjaan seminggu meliputi pembelian dua ekor ayam empat kilogram (RM37.60), beras 10kg (RM38), minyak masak 2kg (RM13.80 sen), telur sepapan (RM14), dua roti saiz besar (RM8.60) dan gas memasak 12kg (RM25.80).

    Sementara perbelanjaan bagi golongan bujang RM234.60 sebulan atau RM58.65 seminggu di mana perbelanjaan seminggu meliputi satu ekor ayam dua kilogram (RM18.80), beras 10kg (38kg), minyak masak 1kg (RM6.90), telur sepapan (RM14), roti (RM3) dan gas memasak 12kg (RM25.80).

    Angka itu ditingkatkan sedikit daripada anggaran asal yang dimuatnaik iaitu RM391 sebulan bagi keluarga dan RM228 bagi golongan bujang.

    Bagaimanapun hantaran berkenaan menerima lebih 10,000 komen dan lebih 10,000 reaksi serta beribu perkongsian.

    Rata-rata berpendapat anggaran berkenaan dilakukan tanpa membuat kajian sebenar situasi semasa yang dihadapi rakyat.

    “Bawang-bawang dan seangkatan dengannya tanam sendiri geng, garam, gula, Ajinomoto tak payah guna dah lepas ni,” kata Cinta Siara.

    “Sarapan roti telur, telur hancur. Tengah hari ayam goreng. Hari-hari makan macam tu, silap-silap berkokok,” sindir Muhamad Fadzil.

    Sebelum ini, sebuah akhbar tabloid menyiarkan laporan berita bertajuk ‘Dulu belanja dapur RM200 kini jadi RM500 sebulan.

  • HTAR siasat kematian kanak-kanak 10 tahun

    HTAR siasat kematian kanak-kanak 10 tahun

    HOSPITAL Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang akan menjalankan siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan, baru-baru ini.

    Pengarahnya Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata pihaknya merujuk kepada video yang tular menerusi aplikasi TikTok berkaitan perkara tersebut.

    Beliau berkata kanak-kanak itu hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR bersama bapanya pada 9 Julai lepas.

    “Keadaan pesakit (kanak-kanak) semasa di HTAR dalam keadaan lemah. Pesakit telah diberikan rawatan yang sewajarnya oleh pakar perubatan kecemasan, namun, pesakit tidak dapat diselamatkan.

    “Punca kematian masih dalam siasatan Jabatan Perubatan Forensik HTAR,” katanya dalam kenyataan.

    Menurut Dr Zulkarnain, pihaknya bersimpati dengan perkara dilalui keluarga Allahyarham dan akan berhubung dengan pihak keluarga untuk perbincangan lebih lanjut mengenai kes itu.

  • Nelayan, pemandu bas kilang dituduh pukul anjing hingga mati

    Nelayan, pemandu bas kilang dituduh pukul anjing hingga mati

    SEORANG nelayan dan pemandu bas kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan memukul seekor anjing dengan kayu dalam kejadian minggu lalu.

    Bagaimanapun, tertuduh, Rosli Mat Zin, 53, dan Suhaili Haron, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka itu dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab. Karim.

    Mengikut kertas pertuduhan, Rosli yang bekerja sebagai nelayan dan Suhaili yang merupakan pemandu bas kilang didakwa memukul seekor anjing yang berada di dalam longkang di Kampung Teluk Tempoyak, Batung Maung, dekat George Town kira-kira pukul 8.30 malam, 8 Julai lalu.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Dalam pada itu, Jin Hong memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang tinggi bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah beserta dengan syarat tambahan.

    Hakim Mohammad Khalid kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM1,000 seorang selain memerintahkan tertuduh mendapatkan khidmat peguam serta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan sehingga kes selesai.

    Mahkamah turut menetapkan 16 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Difahamkan, kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan yang dikenakan terhadap mereka hari ini.

    Sebelum ini, polis mengesahkan menahan tiga lelaki warga tempatan selepas disyaki menyeksa dan menzalimi seekor anjing sehingga mati menggunakan sebatang kayu.

    Ia susulan video kejadian itu yang tular di laman sosial Twitter yang memaparkan aksi beberapa individu memukul anjing dipercayai di dalam longkang.

  • Guru, pembantu taska mengaku tak bersalah aniaya lima kanak-kanak

    Guru, pembantu taska mengaku tak bersalah aniaya lima kanak-kanak

    DUA guru dan pembantu taska didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tuduhan menganiaya lima orang kanak-kanak berusia dua tahun di sebuah taska di Taman Meru Perdana 2, Chemor dekat Ipoh minggu lalu.

    Kedua-dua tertuduh, Wan Suhaila Mior Khir, 32, Noor Shafina Abdul Khair, 26, masing-masing berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Bagaimanapun kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, mereka melakukan perbuatan termasuk menampar pipi, menarik badan, menekan kepala ke bantal, merentap rambut dan mencubit pipi mangsa melibatkan empat kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki.

    Kesalahan tersebut dilakukan pada 4 dan 6 Julai 2023 di Taska Nur Raihan, Taman Meru Perdana 2, Chemor di Ipoh.

    Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-keduanya sekali.

    Hakim Ainul Shahrin Mohamad menawarkan jaminan berjumlah RM7,000 kepada Noor Shafina manakala Wan Suhaila dibenar diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah dan Evangelin Simon Silvaraj manakala Wan Suhaila diwakili Raja Mohd Iskandar Zulkharnian Raja Abdul Malek dan Noor Shafina pula diwakili peguam Mohammad Syarifuddin Zaid.

    Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, pemilik taska berkenaan, Rozidah Yahaya, 51, turut didakwa mengabaikan seorang kanak-kanak berusia dua tahun.

    Tertuduh, bagaimanapun turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

    Mengikut pertuduhan, dia sebagai orang yang pada masa itu mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun telah meninggalkan kanak-kanak itu tanpa pengawasan dan pemeliharaan untuk satu tempoh yang berpatutan sehingga menyebabkan mangsa cedera di lengan kiri.

    Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya K. Darinee meminta jaminan RM12,000 dikenakan ke atas tertuduh.

    Bagaimanapun, peguam tertuduh, Muhd. Alif Afandi meminta jaminan dikurangkan kepada RM3,000 dengan alasan tertuduh memberikan kerjasama kepada pihak polis selain tiada kemungkinan untuk mengganggu mangsa kerana taska berkenaan ditutup sementara.

    Hakim Azizah Ahmad kemudiannya menetapkan jaminan RM4,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

    Mahkamah turut menetapkan tarikh 16 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.

  • SPRM tahan tujuh ahli sindiket kurangkan duti kereta mewah

    SPRM tahan tujuh ahli sindiket kurangkan duti kereta mewah

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh individu kerana disyaki terlibat dalam sindiket mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah.

    Sumber memberitahu Sinar Harian berkata, perbuatan penyelewengan itu menyebabkan negara mengalami ketirisan cukai kastam sebanyak RM33 juta.

    “Semua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 60-an telah ditahan di pejabat SPRM Kedah antara pukul 5 petang hingga 10.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.

    “Suspek-suspek berkenaan yang merupakan ejen kastam dipercayai bersubahat bersama pemilik kereta.

    “Mereka yang terlibat mengemukakan dokumen atau maklumat palsu bagi tujuan mendapatkan pengurangan penilaian duti kastam, sedangkan kenderaan tersebut tidak layak menerimanya,” katanya hari ini.

    Susulan penahanan tersebut, Majistret Nurshahida Abdul Rahim telah membenarkan kesemua suspek direman selama empat hari.

    Penahanan bermula Jumaat sehingga 17 Julai, setelah SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Alor Setar pagi ini.

    Ekoran penahanan itu, sumber memaklumkan, Bahagian Operasi Khas SPRM turut membuat serbuan di beberapa premis perniagaan, pejabat agensi kerajaan serta kediaman di sekitar Lembah Klang, Kedah, Johor, Perak serta Sabah.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.