Category: Semasa

  • Penghantar makanan mengaku salah hina Islam, didenda RM50,000

    Penghantar makanan mengaku salah hina Islam, didenda RM50,000

    SEORANG penghantar makanan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang hari ini setelah mengaku bersalah memuat naik kandungan video menghina agama Islam di saluran media sosial YouTube miliknya pada Sabtu lepas (16 Julai).

    Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Nor’ Muzil Mohd Razalli, 39, yang didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi itu menggunakan aplikasi YouTube dengan niat menyakiti hati orang lain pada 11.14 malam, 16 Julai lepas di hadapan Shell, Cyberjaya.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 233(3) akta sama.

    Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Nor Azizah memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat.

    “Ini kesalahan serius yang dibuat dengan sengaja untuk hina kesucian Islam, Nabi Muhammad SAW dan Allah SWT. Jika dikenakan hukuman ringan, tertuduh cenderung untuk mengulangi perkara sama.

    “Dalam kes ini, hukuman berat perlu dikenakan setimpal dengan kesalahan. Tertuduh telah menimbulkan kemarahan orang awam apabila terdapat lebih 20 laporan polis malah tertuduh juga diburu orang awam untuk dipukul,” katanya di hadapan Hakim Ahmad Rizki.

    Hakim Ahmad Rizki menasihatkan tertuduh agar menginsafi kesalahan yang telah dilakukan serta bertaubat dan tidak mengulangi kesilapan sama di masa hadapan.

    Hakim juga berkata Mohd Nor’ Muzil perlu menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

    Tertuduh ditahan pada 17 Julai lepas untuk direman empat hari bagi membantu polis melengkapkan siasatan berhubung kandungan video terbabit yang tular di media sosial. – BERNAMA

  • Wanita mirip Zalina Azman di kafe adalah gelandangan: Polis

    Wanita mirip Zalina Azman di kafe adalah gelandangan: Polis

    SEORANG wanita yang didakwa mirip bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lepas disahkan bukan personaliti televisyen itu.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, wanita yang didakwa dilihat di tiga lokasi di Seksyen 3, 9 dan 14, di Shah Alam adalah individu sama iaitu seorang gelandangan.

    “Pihak kami dah semak dengan pekerja kafe tersebut (tular di Twitter semalam) dan dapati yang datang ke kafe berkenaan adalah gelandangan. Bukan Orang Hilang (Zalina) yang dicari ketika ini,” katanya dalam kenyataan di Shah Alam, hari ini.

    Mohd Iqbal turut mengesahkan hasil semakan pihaknya, tiada individu tampil membuat laporan mengenai isu tersebut.

    “Bagaimanapun, pihak polis mengalu-alukan orang ramai menyalurkan maklumat sehingga Zalina berjaya ditemui,” katanya.

    Semalam, polis mengesahkan Zalina, 58, masih berada dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkan wanita itu yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.

    Isnin lepas, Mohd Iqbal dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima laporan daripada anak lelaki Zalina Shaharah, Mikhael Norman, 33, berkenaan kehilangan ibunya pada 29 November tahun lepas. – Bernama

  • Remaja hilang di pusat peranginan 5 hari lalu ditemukan mayatnya

    Remaja hilang di pusat peranginan 5 hari lalu ditemukan mayatnya

    SEORANG remaja yang dikhuatiri lemas di sebuah pusat peranginan di Kampung Kenunok, Kuala Penyu, Beaufort, ditemui 7.89 kilometer dari lokasi dilaporkan hilang, sejak lima hari lalu ditemukan malam tadi.

    Mayat Edward Owan, 17, ditemui penduduk Kampung Tempurong, di kawasan pesisiran Pantai Batu Luang, Kuala Penyu pukul 9.55 malam.

    Pihak bomba menerima panggilan daripada ketua Kampung Tempurong, Kuala Penyu, yang memaklumkan penemuan satu mayat lelaki.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, berdasarkan maklumat berkenaan, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera terus dikerah ke lokasi penemuan.

    “Pasukan operasi terus mengambil mayat berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Mayat berkenaan disahkan sebagai mangsa selepas proses pengecaman yang dilakukan di hospital oleh keluarganya.

    “Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.56 malam,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Dalam kejadian 16 Julai lalu, mangsa dilaporkan bersama enam lagi rakannya berada di pusat peranginan di kampung berkenaan.

    Bagaimanapun, mangsa dilaporkan hilang ketika mandi di pesisir pantai berkenaan sebelum operasi mencari dan menyelamat dijalankan pasukan bomba.

  • 2 kilang logam dikompaun RM10,000 gagal urus sisa berjadual

    2 kilang logam dikompaun RM10,000 gagal urus sisa berjadual

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 ke atas dua buah kilang kerana gagal menguruskan buangan terjadual mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

    Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kedua-dua kilang yang beroperasi di Kawasan Perusahaan Perai itu terlibat dengan industri perusahaan berasaskan logam.

    Menurut beliau, hasil siasatan yang dijalankan mendapati kegagalan menguruskan buangan berjadual di kilang itu meliputi isu pelabelan, penstoran serta penyediaan inventori buangan yang betul.

    “Persampelan terhadap buangan terjadual itu turut dijalankan oleh pasukan penguat kuasa JAS sebelum sampel berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk dianalisis.

    JAS mengeluarkan kompaun RM10,000 ke atas dua buah kilang kerana gagal menguruskan buangan terjadual mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 di Kawasan Perusahaan Perai, Pulau Pinang yang terlibat dengan industri perusahaan berasaskan logam.

    “Pada masa sama, bekas-bekas yang mengandungi buangan terjadual ini turut dikondon dan notis arahan juga dikeluarkan bagi memastikan kaedah pelupusan yang akan diambil oleh pihak premis mematuhi kehendak perundangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Sharifah Zakiah turut mengingatkan pihak industri supaya sentiasa memastikan tahap pengurusan buangan terjadual yang dikeluarkan mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

    Tambah beliau, JAS sentiasa bersedia membantu pihak industri atau pemaju yang memerlukan khidmat nasihat berkaitan pengurusan buangan terjadual.

    “Pemilik atau pengusaha premis berkenaan boleh menghubungi atau menghadiri latihan-latihan yang disediakan oleh JAS Pulau Pinang dari semasa ke semasa,” katanya.

  • Dana MITRA: Pemilik syarikat tidak mengaku salah guna RM100,000

    Dana MITRA: Pemilik syarikat tidak mengaku salah guna RM100,000

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG pemilik syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas pertuduhan salah guna dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berjumlah RM100,000, Februari tahun lalu.

    Tertuduh, K. C. Ramananaidu, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan curang menyalahgunakan wang tunai RM100,000 milik kerajaan melalui MITRA bagi Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India B40 untuk bidang pertanian.

    Ramananaidu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Agrobank Bank Berhad Cawangan Sungai Petani pada 26 Februari 2021.

    Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara minimum enam bulan atau dengan sebatan serta denda.

    Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohd. Zulfadli Azharudin menawarkan jaminan RM80,000 bagi semua pertuduhan.

    Namun, peguam Miguel Sequerah yang mewakili tertuduh memohon jumlah tersebut dikurangkan kepada RM20,000.

    Harmi Thamri kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM50,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tertuduh tidak boleh menganggu saksi dan perlu hadir ke mahkamah pada tarikh ditetapkan.

    Mahkamah menetapkan 25 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

    Tertuduh membayar jaminan berkenaan.

  • Bas ekspres dua tingkat bawa 25 penumpang terbalik

    Bas ekspres dua tingkat bawa 25 penumpang terbalik

    SERAMAI 25 penumpang dan seorang pemandu sebuah bas ekspres dua tingkat berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di susur Jalan Damansara menuju Bangsar, Kuala Lumpur, tengah malam tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan pada pukul 12.17 tengah malam dan seramai 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dan Sentul dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Ipoh, Perak.

    “Bomba bertindak memecahkan tingkap hadapan bas untuk mengeluarkan kesemua 26 mangsa terlibat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Bas berkenaan telahpun dialih pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan kesemua mangsa terlibat hanya mengalami cedera ringan dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur di sini, bagi menjalani pemeriksaan lanjut. – Bernama

  • Lelaki maut dibaham buaya

    Lelaki maut dibaham buaya

    SEORANG pemuda ditemukan maut dibaham buaya awal pagi tadi selepas dilaporkan hilang ketika memancing di Kampung Seberang Meludam, Saratok, Kuching, semalam.

    Mayat mangsa, Abang Mohd. Norazat Abang Salim, 27, ditemui terapung oleh bapanya sendiri bersama tiga lagi penduduk kira-kira pukul 2 pagi berdekatan loji air Meludam di kawasan hulu sungai yang terletak sejauh 2.1 kilometer daripada Pusat Kawalan Bomba (PKB).

    Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pemeriksaan mendapati terdapat kesan gigitan buaya di muka mangsa.

    “Mayat mangsa juga dalam keadaan tidak sempurna apabila kedua-dua kaki serta tangannya hilang. Ia kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya lapor Berita Harian.

    Sebelum itu, mangsa dikatakan keluar memancing di tebing sungai kira-kira pukul 3 petang namun tidak pulang ke rumah hingga malam, menyebabkan keluarganya membuat laporan polis.

    Polis kemudian memaklumkan kejadian itu kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok pada pukul 7.25 pagi semalam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan dengan menumpukan pencarian di sepanjang Sungai Meludam.

    Pasukan itu hanya menemui kasut serta peralatan memancing serta kasut milik mangsa di tepi sungai dan seekor buaya bersaiz besar turut dilihat berdekatan lokasi itu.

    Sarawak Forestry Corporation (SFC) turut dimaklumkan berhubung penemuan buaya itu kerana dikhuatiri mengancam keselamatan pasukan SAR.

  • Muhyiddin bincang hubungan dua dengan Menteri Luar Bangladesh

    Muhyiddin bincang hubungan dua dengan Menteri Luar Bangladesh

    TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan perbincangan dua hala Malaysia-Bangladesh dengan Menteri Luar Bangladesh, Dr A. K. Abdul Momen di Kuala Lumpur hari ini ini.

    Dalam catatan melalui Facebook beliau, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, mereka berbincang terutama kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, pendidikan dan tenaga kerja.

    ‘’Saya menjelaskan kepada Dr A. K. Abdul Momen mengenai proses pemulihan negara pasca pandemik yang sedang berjalan dan antara kekangan utama yang dihadapi oleh sektor industri terutama SME di negara ini ialah kekurangan tenaga kerja,’’ katanya selepas menerima kunjungan hormat Dr A.K Abdul Momen.

    Muhyiddin berkata, Dr.A.K Abdul Momen memberi jaminan bahawa Bangladesh bersedia membekalkan tenaga kerja yang diperlukan oleh Malaysia susulan MOU yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Bangladesh pada 19 Disember 2021.

    ‘’Proses penghantaran tenaga kerja Bangladesh ke negara ini sedang berada di peringkat akhir tertakluk kepada beberapa perkara yang sedang dimuktamadkan oleh kedua-kedua pihak,’’ katanya.

    Mengenai isu kebajikan pekerja asing di Malaysia yang dibangkitkan oleh Dr A.K. Abdul Momen, Muhyiddin berkata, beliaumemberi jaminan bahawa hak dan kebajikan mereka adalah terjamin mengikut lunas undang-undang negara ini.

    ‘’Dalam pertemuan ini juga, beliau mengalu-alukan syarikat dari Malaysia untuk melabur dalam  pelbagai sektor ekonomi di Bangladesh terutamanya  bidang pertanian yang mempunyai potensi besar untuk dimajukan,’’ katanya.

  • Nurul Izzah kembali sebagai Naib Presiden PKR

    Nurul Izzah kembali sebagai Naib Presiden PKR

    NURUL Izzah Anwar akan kembali memegang jawatan Naib Presiden PKR selepas melepaskan jawatan itu pada penghujung 2018.

    Sumber memberitahu portal Malaysiakini, Nurul yang juga Ahli parlimen Permatang Pauh dikatakan bersetuju untuk dilantik semula ke jawatan itu.

    “Semalam, Presiden parti (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengadakan mesyuarat dengan Timbalan Presiden Rafizi Ramli  dan seorang lagi individu yang merupakan Penasihat Anwar.

    “Hasil mesyuarat, semua pihak setuju melantik Nurul sebagai naib presiden,” kata sumber itu.

    Untuk rekod, pada 17 Disember 2018, Nurul Izzah membuat kejutan apabila mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

    Sementara itu, buat masa ini pucuk pimpinan parti bersetuju melantik Ahli Parlimen Selayang William Leong sebagai Bendahari manakala Manakala, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dilantik sebagai Ketua Penerangan.

    Lantikan itu dijangka dibawa untuk kelulusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang dijadual bermesyuarat malam ini dan diumumkan selepas itu.

    Setakat ini difahamkan tiada bantahan terhadap cadangan pelantikan jawatan-jawatan di atas.

    “Setahu saya, tiga jawatan ini dimuktamadkan. Bagi jawatan yang lain Presiden akan mengadakan perbincangan dengan Rafizi hari ini sebelum mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) malam ini,” katanya.

    Dalam pada itu, satu lagi sumber memberitahu bahawa PKR masih tidak mengambil keputusan mengenai jawatan Setiausaha Agung.

    “Selain Saifuddin (Nasution Ismail), bekas pengerusi Wilayah Persekutuan Zahir Hassan disebut-sebut sebagai Setiausaha Agung. Zahir adalah pilihan Rafizi. Namun, kebanyakan pemimpin parti masih nak Saifuddin dikekalkan. Apapun, keputusan muktamad akan dibuat malam ini,” katanya.

    Kongres tahunan PKR di Shah Alam baru-baru ini, gambar hiasan

    Ketika dihubungi, Saifuddin berkata dia tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai jawatan setiausaha agung.

    “Tiada apa-apa info diterima. Saya sekarang berada di Pulau Pinang bermesyuarat bersama ketua menteri.

    “Saya kini fokus sebagai Adun Pulau Jerejak dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu,” katanya.

  • Polis siasat Setiausaha Politik ADUN pembangkang Perak

    Polis siasat Setiausaha Politik ADUN pembangkang Perak

    POLIS telah merakam percakapan seorang Setiausaha Politik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada sebuah parti pembangkang di Perak berhubung sebuah video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya mengenai isu kenaikan harga minyak masak.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, proses siasatan ke atas lelaki berkenaan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

    “Kita boleh sahkan memang ada siasatan dijalankan oleh pegawai USJT JSJ Bukit Aman dan mereka menggunakan lokasi di IPD Ipoh untuk merakam percakapan subjek (individu),” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di Ipoh hari ini. – BERNAMA