Category: Semasa

  • Kemudahan cuti bersalin elaun penuh guru KAFA ditangguhkan

    Kemudahan cuti bersalin elaun penuh guru KAFA ditangguhkan

    JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menangguhkan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) seperti yang diumumkan pada Januari lalu.

    Perkara itu disahkan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff yang berkata, keputusan dibuat sebagai mematuhi saranan dan pandangan Kementerian Kewangan.

    “Kementerian berkenaan pada 6 Julai lalu mengeluarkan pandangan bahawa pelaksanaan kemudahan itu adalah tidak sesuai buat masa ini kerana kedudukan status perjawatan guru KAFA.

    “Namun JAKIM dalam usaha membuat rayuan kepada Kementerian Kewangan dan sedang menjustifikasikan langkah yang dibuat untuk pertimbangan semula pihak berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi, lapor Berita Harian.

    Dalam pada itu, beliau berkata, JAKIM bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad juga sudah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah bagi membincangkan isu kebajikan guru serta penyelia KAFA.

    Katanya, JAKIM sentiasa berbincang dan mencari jalan bagi menjaga kebajikan semua pihak di bawah jabatannya termasuk guru KAFA, selain mengharapkan sokongan serta doa supaya usaha berterusan yang dibuat oleh pihak kerajaan melalui JAKIM selama ini dipermudahkan oleh Allah SWT.

    Sebelum ini, JAKIM mengumumkan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh selama 60 hari diberi kepada guru KAFA.

    Kemudahan itu diberi sekali sepanjang tempoh kontrak lantikan semasa yang sedang berkuat kuasa dan selaras penambahbaikan Peraturan KAFA 2022 yang memasukkan perkara berkaitan cuti bersalin berelaun selama 60 hari.

  • Pengurus syarikat mengaku tidak bersalah cuba rasuah Ketua Jabatan Penguatkuasaan MBIP

    Pengurus syarikat mengaku tidak bersalah cuba rasuah Ketua Jabatan Penguatkuasaan MBIP

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pengurus syarikat pembekal daging sejuk beku tidak halal didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dakwaan memberi suapan RM3,000 kepada Ketua Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada Februari lalu.

    Ma Jian Yet, 31, mengakut tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memberi suapan kepada Ketua Jabatan Penguatkuasaan MBIP, Raja Abu Bakar Raja Yahya sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap Syarikat Yean Yean.

    Tindakan penguatkuasaan itu dibuat ejen kerajaan berkenaan kerana syarikat terbabit menjalankan perniagaan tanpa lesen dan gagal mematuhi notis memberhentikan perniagaan.

    Disebabkan kesalahan tersebut, tertuduh telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

    Mengikut fakta kes, tertuduh
    hadir di Pejabat Jabatan Penguatkuasaan MBIP pada jam 11.30 pagi, 28 Februari lalu dan telah menawarkan rasuah kepada ketua jabatan penguatkuasaan itu supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya.

    Peguam tertuduh, Chuah Shyue Chien memohon jaminan yang minimum kerana anak guamya perlu menunggung isteri yang tidak bekerja serta dua anaknya berusia satu dan tiga tahun.

    “Tertuduh juga perlu menanggung ibu dan bapanya yang uzur. Selain itu tertuduh juga tidak pernah gagal dalam memberikan kerjasama penuh dengan SPRM sehingga kini,” katanya.

    Hakim kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

    Hakim menetapkan kes tersebut disebut semula pada 28 Julai ini.

    Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Dayang Masneh Deh.

  • 5 lelaki proses, bungkus air ketum ditahan polis

    5 lelaki proses, bungkus air ketum ditahan polis

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SERAMAI lima lelaki tempatan berusia antara 29 hingga 37 tahun ditahan polis di sebuah rumah di Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti memproses dan membungkus air ketum.

    Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook berkata, dalam serbuan ke atas rumah itu, pihaknya turut merampas sebanyak 200 bungkus disyaki air ketum yang siap diproses.

    Tambahnya, turut dirampas sebanyak dua bungkusan plastik hitam berisi daun ketum seberat 10 kilogram serta alat-alat untuk memproses dan membungkus air ketum.

    ”Beberapa batang pokok ketum yang ditanam berhampiran rumah terbabit turut ditebang,” demikian menurut kenyataan itu.

    Tambah kenyataan itu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

    Jelasnya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat sebarang kegiatan atau kejadian jenayah ke bilik Gerakan Polis Barat Daya ditalian 04-8664122, 0192238169 (WhatsApp) atau Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya melalui ‘messenger’.

  • Hilang kawalan punca kemalangan lima beranak maut, kata polis

    Hilang kawalan punca kemalangan lima beranak maut, kata polis

    POLIS memaklumkan punca nahas dua kenderaan di Kilometer 62 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli yang mengakibatkan lima sekeluarga terkorban pada Sabtu dipercayai akibat hilang kawalan.

    Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, siasatan awal mendapati, pacuan empat roda Toyota Hilux yang datang dari arah Gerik ke Jeli telah hilang kawalan dan masuk ke arah bertentangan.

    “Keadaan itu mengakibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dinaiki lima sekeluarga itu tidak dapat mengelak lalu bertembung.

    “Semasa kejadian, MPV berkenaan dalam perjalanan dari arah Jeli ke Gerik.

    “Akibat kemalangan itu, pemandu dan empat penumpang telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata, mereka yang meninggal dunia merupakan pasangan suami isteri, Ahmad Khomainin Baba, 32, Siti Aishah Mohd. Rodhi, 32, dan anak perempuan mereka, Zara Hana Ahmad Khomaini, 6.

    Katanya, dua lagi mangsa merupakan ibu bapa kepada Siti Aishah iaitu Mohd. Rodhi Othman, 64, dan Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59.

    “Proses bedah siasat telah selesai dan semua jenazah akan dikafankan di Bilik Mayat Hospital Gerik pada 9 pagi ini.

    “Mereka yang tinggal di Sungai Petani, Kedah akan dikebumikan di Kampung Permatang Sungai Dua, Butterworth Pulau Pinang,” katanya.

    Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, terdapat empat penumpang dalam kenderaan Toyota Hilux terselamat dalam kejadian itu.

    Ujarnya, kesemua mereka yang berasal dari Tumpat, Kelantan hanya mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut.

    “Siasatan kes masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Beliau turut menasihatkan kepada orang ramai yang menggunakan jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu.

    “Juga merancang perjalanan serta mendapatkan rehat yang secukupnya ketika ingin melakukan perjalanan yang jauh,” katanya.

    Dalam kejadian sekitar pukul 3.45 petang itu, lima sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak maut selepas MPV dinaiki terbabit dalam nahas dengan sebuah Toyota Hilux.

    Kejadian mengakibatkan kedua-dua kenderaan remuk teruk dengan pacuan empat roda terbabit terbalik

  • Lima maut kemalangan di Gerik

    Lima maut kemalangan di Gerik

    LIMA individu maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Raya Timur – Barat (JRTB) Gerik – Jeli berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Titiwangsa di Gerik hari ini.

    Mereka yang terkorban Mohd. Rodhi Othman, 58 tahun; Ahmad Khomaini Abu, berusia 30-an; Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59 tahun; Siti Aishah Mohd. Rodhi, 32 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan Zara Hana Ahmad Khomaini; 5 tahun.

    Difahamkan kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 5 petang melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Alza dan pacuan empat roda Toyota Hilux.

    Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata:”Siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih dikenal pasti.”

    Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Perak memaklumkan kejadian melibatkan tujuh mangsa yang mana dua mengalami cedera ringan.

    Katanya, mangsa-mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Jeli untuk tindakan selanjutnya.

    Sementara mangsa-mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

  • Khalid Ibrahim dirawat di Unit Rawatan Rapi

    Khalid Ibrahim dirawat di Unit Rawatan Rapi

    BEKAS Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

    Perkara itu dimaklumkan dalam laman Facebook rasminya hari ini.

    “Bagi pihak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kami mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga ke atas doa yang tidak putus-putus dari teman-teman dan seluruh rakyat Malaysia demi kesembuhan Tan Sri.

    “Untuk makluman semua, Tan Sri kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi di sebuah hospital di Kuala Lumpur. Kami dan pihak keluarga menerima banyak permohonan dari teman-teman rapat Ybhg TSri untuk berziarah bagi memberi kata-kata semangat dan sokongan. Kami amat menghargai hasrat dan niat teman-teman sekalian,” kata kenyataan itu.

    Sehubungan itu , ahli keluarga bekas Menteri Besar Selangor itu turut memohon agar diberikan ruang berdepan dengan situasi berkenaan.

    “Meskipun demikian, memandangkan keadaan Tan Sri yang sangat sensitif terhadap persekitaran luar, pihak hospital telah mengenakan SOP yang sangat ketat dan jumlah pelawat juga terhad dan kami dahulukan ahli keluarga sahaja.

    “Pada masa yang sama, pihak keluarga juga memohon agar diberikan ruang kepada mereka ketika berhadapan dengan situasi begini. Marilah sama-sama kita berdoa agar kesihatan Tan Sri pulih seperti sediakala dan keluarga diberi kekuatan dan kesabaran yang tinggi di dalam menghadapi ujian besar ini.

    “Sekali lagi Admin memohon kemaafan dan menyatakan penghargaan tidak terhingga di atas keperihatinan seluruh rakyat Malaysia kepada pemimpin kesayangan kita ini. Terima kasih,” jelas kenyataan itu lagi.

     Pada 30 April lalu, Abdul Khalid dimasukkan ke sebuah hospital swasta susulan jangkitan kuman dan berada pada keadaan stabil.

    Abdul Khalid menjadi Menteri Besar Selangor ke-14 sejak tahun 2008 sehingga 2014 selain pernah menjadi Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang.  

  • Hanya lepas jawatan Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, bukan keluar parti

    Hanya lepas jawatan Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, bukan keluar parti

    AHLI  Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar hanya mahu melepaskan jawatan sebagai Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, bukan keluar daripada parti berkenaan.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata perkara itu dijelaskan Santhara kepada beliau, sebentar tadi.

    “Saya baru bercakap dengannya (Datuk Seri Dr Santhara). Beliau menjelaskan yang hanya berhajat melepaskan jawatan sebagai Ketua Sayap Bersekutu.

    “Itu kandungan surat yang beliau hantar. Bukan untuk keluar parti,” katanya kepada Berita Harian.

    SEMENTARA itu di LARUT, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata tindakan Ahli Parlimen Segamat Datuk Seri Dr Edmund Santhara Kumar yang dilapor akan keluar daripada Bersatu tidak akan memberi kesan atau melemahkan parti itu.

    Hamzah, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata ini kerana masa depan parti ditentukan oleh jumlah keseluruhan ahli dan bukan oleh seseorang Ahli Parlimen.

    “Perjuangan yang dibawa ahli atau sesebuah parti itu lebih mustahak. Ahli Parlimen kadang-kadang mempunyai sikap untuk kepentingan individu sahaja manakala ahli-ahli yang menentukan perjuangan parti, ideologi parti …segala apa yang dilakukan adalah untuk masa depan agama, bangsa dan negara.

    “Jadi tidak menjadi sesuatu yang boleh menyebabkan parti itu lemah semata-mata atas sikap seorang individu yang hanya memperjuangkan untuk diri dia mungkin,” katanya selepas menghadiri Sesi Dialog pada program Hari Kita Demi Negara Zon Utara anjuran Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

    Ahli Parlimen Larut itu berkata status Santhara, yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, dalam Bersatu akan diumumkan kemudian, difahamkan melalui satu mesyuarat tidak lama lagi.

    Beliau juga enggan mengulas sama ada pucuk pimpinan parti telah menerima surat yang diserahkan oleh Santhara untuk keluar parti seperti didakwa.

  • Ahli perniagaan Malaysia ‘Jho Low 2’ ditahan di Thailand terlibat pengubahan wang haram

    Ahli perniagaan Malaysia ‘Jho Low 2’ ditahan di Thailand terlibat pengubahan wang haram

    SEORANG ahli perniagaan warga Malaysia dalam buruan yang beroperasi di Thailand ditahan kerana didakwa melakukan pengubahan wang haram.

    Media tempatan melaporkan penahanan pengasas, MBI Group International, Teow Wooi Huat yang mendapat julukan ‘Jho Low 2’ dibuat di wilayah Songkhla pada awal pagi Jumaat di bawah operasi diketuai Penolong Ketua Polis Negara, Leftenan Jeneral Surachate Hakparn.

    Pihak berkuasa turut melakukan serbuan ke atas pejabat MBI Group di daerah Sadao yang terletak di sempadan Thailand-Malaysia.

      Bilionair tersebut diberkas selepas pihak berkuasa menahan beberapa ahli politik tempatan di wilayah Songkhla dan Si Thammarat.

    “Hasil siasatan dilakukan Surachate telah menemui kaitan antara mereka dan Wooi Huat. Taikun perniagaan itu didapati memegang peranan sebagai pembiaya utama sindiket perjudian dalam talian,” ujar jurucakap polis dalam satu kenyataan lapor media berkenaan

    Pihak berkuasa berkata, MBI Group International terlibat dalam perniagaan seperti perhotelan, rangkaian pusat hiburan, taman teman dan hartanah.

    Wooi Huat pernah ditahan pada 2017 atas tuduhan mengedar dadah, namun dia terlepas daripada pendakwaan selepas melarikan diri ke Songkhla.

    Setahun selepas itu, pihak berkuasa Malaysia mendakwa suspek terlibat dengan jenayah kewangan hingga menyebabkan aset miliknya dirampas selepas dipercayai terlibat dengan skim piramid.

    Wooi Huat kemudiannya melarikan diri ke Thailand pada tahun lalu.

    Pada Oktober 2019, MBI Group International pernah menjadi tajuk utama media di Malaysia setelah sekumpulan warga China berhimpun di luar kedutaan Beijing di Kuala Lumpur kerana mendakwa telah kehilangan wang simpanan mereka kepada syarikat miliknya.

    Ketika itu, kebanyakan mangsa mendakwa mereka ‘tertipu’ dengan skim piramid dalam talian yang dikendalikan MBI Group International.

    Difahamkan, Wooi Huat juga dikehendaki pihak berkuasa di Malaysia kerana dipercayai terlibat dengan kes pengubahan wang haram berjumlah AS$83 juta (RM336 juta) di Macau.

  • Rasuah RM24 juta: Bekas CEO bank bergelar Datuk direman SPRM

    Rasuah RM24 juta: Bekas CEO bank bergelar Datuk direman SPRM

    SURUHANJAYA  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah bank yang bergelar Datuk bagi membantu siasatan kes menerima rasuah berjumlah lebih RM24 juta sebagai balasan meluluskan pinjaman lebih RM294 juta yang dibuat sebuah syarikat tempatan.

    Suspek lelaki berusia lingkungan 50an itu merupakan suspek keempat yang ditahan selepas tiga individu termasuk seorang CEO wanita direman berkaitan kes sama pada 19 Julai lalu.

    Majistret R. Prabakaran telah membenarkan suspek keempat tersebut direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 25 Julai 2022 setelah pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.

    Di mahkamah sama, Majistret turut membenarkan suspek CEO wanita tersebut disambung reman selama tiga hari bermula hari ini manakala dua lagi suspek dibebaskan dengan wang jaminan RM15,000 setiap seorang, lapor Astro AWANI.

    Menurut sumber, bekas CEO lelaki berkenaan telah ditahan di rumahnya di Ipoh semalam (22 Julai) kira-kira jam 4 petang.

     Dalam pada itu, sumber sama berkata, setakat ini pasukan siasatan dikatakan telah berjaya mendapatkan kembali hampir keseluruhan wang berjumlah RM24 juta tersebut hasil sitaan wang serta aset walaupun kegiatan tersebut berlaku kira-kira 10 tahun lalu.

    Katanya, difahamkan pihak SPRM telah membekukan sebanyak 22 akaun bank milik individu dan syarikat berjumlah kira-kira RM6.3 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes ini.

    “Pasukan siasatan juga dikatakan telah berjaya mengesan wang milik suspek utama yang disimpan di negara jiran berjumlah kira-kira RM16.3 juta,” ujar sumber.

    Kata sumber lagi, kesemua wang berjumlah RM22.6 juta telah dibekukan untuk tindakan selanjutnya dan operasi ini masih giat dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Perak dan Sabah.

    Tambah sumber, wang tersebut berjaya dikesan setelah pasukan siasatan melakukan analisa data menjejak aset.

    Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin, ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

  • Perompak bakar kedai, pukul pekerja hingga cedera parah

    Perompak bakar kedai, pukul pekerja hingga cedera parah

    SEORANG warga Indonesia yang bekerja di sebuah kedai runcit cedera parah dalam kejadian rompakan di Felda Tersang 1 di Raub pukul 2 pagi tadi.

    Pemilik kedai runcit, Ika Jalal, 38, berkata, pekerjanya Nur Hasanah, 42, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka akibat dipukul dengan besi oleh perompak yang memecah masuk ke kedainya. 

     Menurutnya, lebih menyayat hati apabila Nur Hasanah turut ditumbuk, dicampak ke dinding dan lantai, dijerut di leher serta tangan diikat dengan menggunakan pita pelekat.

    “Ketika kejadian Nur Hasanah tidur di kedai manakala saya berada di Temerloh untuk menghantar barang sebelum jiran menghubungi saya bagi memaklumkan kejadian kebakaran terbabit.

    “Saya bergegas pulang ke kampung dan terkejut apabila melihat kedai runcit yang diusahakan sekian lama musnah terbakar selain pekerja mengalami kecederaan parah akibat dipukul,” katanya kepada Astro AWANI

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menerima maklumat berlaku kejadian kebakaran kedai runcit dan terdapat seorang wanita meminta bantuan dengan kecederaan di kepala serta muka.

    “Mangsa mengatakan antara pukul 1 pagi hingga 2 pagi, terdapat seorang lelaki bertopeng memanjat bumbung dan masuk ke dalam kedai sebelum bertindak menyerangnya dengan menggunakan sebatang besi hingga menyebabkan kecederaan di kepala.

    “Suspek kemudiannya melarikan wang tunai sebanyak RM1,700 yang berada di kaunter kedai dan dua utas gelang emas milik mangsa. Mangsa diikat di tangan menggunakan pita pelekat dan melihat suspek bertindak membakar kedai. Mangsa berjaya melarikan diri dan meminta bantuan,” katanya.

    Beliau berkata, pihak polis giat menjalankan siasatan bagi mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 394/435 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merompak hingga mendatangkan cedera dan khianat dengan api.

    Sementara itu, Ketua Zon 3 Bomba Pahang, Shahrulnizam Nasir berkata, sebaik menerima panggilan sepasukan 15 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub dan BBP Sungai Koyan bergegas ke tempat kejadian bagi membantu memadam kebakaran.

    “Setiba di lokasi kebakaran, kita mendapati terdapat dua buah kedai musnah terbakar.

    “Anggota bomba berusaha memadamkan api dengan menggunakan dua aliran hos dan satu aliran salur air tangki pam jentera bagi mengelak api dari merebak ke deretan kedai yang lain,” katanya.

    Beliau berkata, api dapat dikawal dalam tempoh 15 minit dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.