Category: Semasa

  • PN boleh jadikan Selangor ‘super state’-Saifuddin

    PN boleh jadikan Selangor ‘super state’-Saifuddin

    SELANGOR akan dibangunkan sepenuhnya jika Perikatan Nasional (PN) memenangi mandat dalam PRN akan datang, kata Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

    Beliau berkata, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah gagal merealisasikan visi ‘super state’.

    Menurutnya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu harus menumpukan perhatian kepada membangunkan negeri dan bukannya bermegah-megah dengan kemenangannya ke atas DatuK Seri Azmin Ali, bekas mentornya yang kini seteru politik.

    “Visi untuk membina Selangor sebagai ‘super state’ sudah wujud semasa Azmin Ali menjadi Menteri Besar, tetapi Amirudin, penggantinya, gagal merealisasikannya.

    “Jadi ini adalah sesuatu yang PN akan lakukan jika kita diberi mandat,” kata Saifuddin dalam Ceramah Perdana Jelajah Selangor Baharu PN malam tadi.

    Katanya, Selangor harus dilihat sebagai ‘super state’ dan untuk itu, pengundi harus memilih Menteri Besar yang layak dan bukan orang yang berbangga kerana telah mengalahkan bekas Menteri Besar.

    “Itu bukan naratif untuk membina Selangor,” kata Saifuddin yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang.

    Pada pilihan raya umum (PRU) November lalu, Aminuddin menewaskan Azmin yang mempertahankan bekas kubu kuatnya di Gombak.

    Azmin memegang kerusi itu selama tiga penggal, setelah memenanginya ketika menjadi Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Saifuddin berkata, Selangor tidak seharusnya dibandingkan dengan negeri-negeri Malaysia yang lain kerana ia berpotensi untuk setanding dengan ekonomi hebat di rantau ini.

    “Kita sepatutnya membandingkan Selangor dengan Singapura, Taiwan, Hong Kong. Jika tidak, kita tidak melakukan keadilan terhadap apa yang Selangor boleh capai,” tambahnya, lapor FMT.

  • Hanya mahkamah boleh putuskan kesalahan 3R, Azalina diberitahu

    Hanya mahkamah boleh putuskan kesalahan 3R, Azalina diberitahu

    BEBERAPA peguam menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said supaya bentuk tindakan alternatif diambil terhadap mereka yang dituduh membuat kenyataan menyentuh isu kaum, agama dan raja (3R).

    Haniff Khatri Abdulla berkata cadangan itu disifatkan cacat, sambil menambah hanya mahkamah undang-undang yang mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada kesalahan 3R telah dilakukan.

    “Pada akhirnya, anda tidak boleh berkompromi (mengenai) keadilan. Ia tidak dilakukan mengikut sesuka hati dan kehendak pegawai penguat kuasa atau kuasa yang ada untuk mengeluarkan denda,” katanya memetik laporan FMT.

    Pada forum baru-baru ini, Azalina mencadangkan agar pesalah 3R ditangani di luar sistem mahkamah, seperti denda.

    Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek berkata, sebarang cadangan sedemikian mesti dinyatakan dengan jelas, dengan perlindungan untuk memastikan ia tidak salah guna bagi tujuan politik atau menyekat wacana awam.

    Beliau berkata, cadangan seperti itu tidak boleh dibiarkan samar-samar, kabur atau boleh digunakan sewenang-wenangnya terhadap apa-apa yang dianggap sebagai pelanggaran oleh pihak berkuasa.

    “Parameter yang jelas mesti diwujudkan, supaya pihak berkuasa dan orang ramai jelas mengenai perkara yang dilarang,” katanya, lapor FMT.

    Pada sidang media baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis sedang menyiasat 61 kes berkaitan isu 3R yang berlaku sejak Mac tahun ini.

    Senarai ini termasuk aduan membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, yang didakwa menghina Sultan Selangor semasa berucap baru-baru ini.

    Beberapa pemimpin politik lain, termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, turut disiasat polis berhubung kenyataan terbaru yang didakwa menyentuh isu 3R.

  • Sanusi diserang kerana ‘hebat’ pimpin Kedah-Tuan Ibrahim

    Sanusi diserang kerana ‘hebat’ pimpin Kedah-Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa serangan berterusan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dibuat lawan kerana kehebatannya mentadbir negeri.

    Menurutnya, serangan terbaharu Sanusi dituduh menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sehingga pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu terpaksa memohon ampun kepada baginda.

    “Tumpuan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) bulan depan seolah-olah di Kedah sahaja, manakala Kelantan dan Terengganu yang turut ditadbir Pas sunyi tanpa ada sebarang aktiviti ceramah.

    “Seolah-olah pilihan raya ini hanya (sebab) Sanusi sahaja, pasal apa? hebat kepimpinannya dan pencapaiannya sampai ke Kedah (serangan PH-BN).

    “Mereka tak fokus Kelantan, saya turun ke sana tiada ceramah PH dan begitu juga di Terengganu…mereka cuba serang Kedah,” katanya dalam ceramah yang turut dihadiri Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali malam tadi, lapor FMT.

    Baru-baru ini, Sanusi didakwa menghina dan menyentuh perkenan Sultan Selangor berkait pelantikan Menteri Besar.

    Susulan itu, beliau disiasat atas kesalahan isu 3R (kaum, agama dan raja) dan polis setakat setakat semalam telah menerima 57 laporan terhadap menteri besar Kedah itu.

    Pada Jumaat, Sanusi telah mengutuskan warkah memohon keampunan kepada Sultan Selangor dan menjelaskan maksud sebenar ucapannya.

    Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian mempertahankan Sanusi kerana ucapannya bukan menghina institusi raja, sebaliknya diputar belit lawan.

    Namun beliau menyambut baik tindakan Sanusi memohon maaf segera kepada Sultan Selangor dengan segera.

  • Tesla : Shahril minta umum jumlah pelaburan, KJ kata buka pejabat dah lama orang tahu

    Tesla : Shahril minta umum jumlah pelaburan, KJ kata buka pejabat dah lama orang tahu

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat mengumumkan jumlah pelaburan yang bakal dilakukan syarikat terkemuka, Tesla Inc dan SpaceX terhadap negara ini dalam masa terdekat.

    Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, ia disebabkan ketika ini banyak pihak menyindir beliau kerana tidak memberikan penjelasan berkenaan pelaburan setelah melakukan pertemuan bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc dan SpaceX, Elon Musk.

    “Yang diumumkan hanyalah ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman yang mana kita sudah tahu sebelum ini. Ini bukan baharu. Sekarang ini orang sindir sebab tiada penjelasan tentang apa pelaburan.

    “Tetapi, harapan (saya) adalah mungkin apa yang tidak diumumkan dalam masa kehadapan adalah ada pelaburan. Saya rasa, (ini) penting. Kalau tidak, setelah tiga atau enam bulan tiada pengumuman konkrit daripada segi pelaburan berkaitan dengan Tesla, SpaceX dan sebagainya, maka sindiran yang kita lihat di Twitter hari ini akan menjadi kenyataan,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian menerusi Program Keluar Sekejap kelolaan bersama bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

    Jumaat lalu Anwar telah mengadakan pertemuan secara maya bersama Elon Musk untuk membincangkan pelaburan pembuatan kereta Tesla di negara ini serta perkhidmatan komunikasi satelit SpaceX.

    Menurut Anwar, kerajaan mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat berkenaan ke Malaysia dan juga kesediaan Elon untuk datang ke negara ini.

    Katanya, ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla juga akan dibuka di Selangor tahun ini.

    Sementara itu, Khairy berkata, meskipun mendapat kecaman kerana melakukan pertemuan secara maya, perkara yang lebih penting adalah hasil daripada perbincangan tersebut.

    “Mesyuarat dan pertemuan ini telah mengundang pelbagi reaksi terutamanya yang mempersoalkan, mempertikaikan format pertemuan tersebut iaitu secara maya. Bagi saya, tiada masalah. Hasil yang lebih penting.

    “Saya nampak hasilnya diumumkan beberapa perkara lama, iaitu Tesla nak buka pejabat, buka bilik pameran. Ia dah lama kita tahu. Jadi dari segi pengumuman, ia tidak dari segi berbilion-bilion (pelaburan), kilang Tesla. Penyelidikan dan pembangunan pun tidak sebut,” ujarnya.

    Bagaimanapun, menurut beliau, pertemuan pertama di antara Anwar dan juga Elon Musk itu dipercayai akan membuka ruang kepada perbincangan seterusnya.

    “Saya tengok semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pun hadir. Mungkin dari sini akan ada perbincangan lanjutan daripada pegawai Tesla, Starlink yang lebih konkrit,” ujarnya.

  • Aura Sanusi mampu tarik sokongan rakyat – Hashim

    Aura Sanusi mampu tarik sokongan rakyat – Hashim

    AURA  Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilihat mampu menarik sokongan rakyat kerana beliau boleh melakukan pelbagai kerja.

    Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Sanusi seorang MB yang mengutamakan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadi dan mudah mesra dengan semua golongan.

    “Allah menghantar ke Kedah seorang MB yang berpengalaman dalam pelbagai bidang, walaupun beliau bukan berlatar belakang agama tetapi mampu membaca khutbah pada hari Jumaat,” katanya lapor HarakahDaily.

    Baru-baru ini Pesuruhjaya Pas Kedah Datuk Ahmad Yahaya menyifatkan Sanusi sebagai ‘wow factor’ yang mampu menarik sokongan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Hashim juga berkata, walaupun jawatan Menteri Besar dan Pesuruhjaya Pas di Kedah dipegang individu berbeza, namun mereka mampu bergerak sealiran.

    Sedangkan katanya menjadi kebiasaan di negeri-negeri yang diterajui PAS Pesuruhjaya akan dipilih sebagai Menteri Besar.

    “Sanusi seorang yang boleh bekerja 24 jam. Auranya di Kedah khasnya sangat kuat walaupun bahasa yang digunakan agak kasar bagi sesetengah orang. Rakyat boleh terima dia. insya-Allah saya berkeyakinan tidak mudah bagi parti lain untuk menjatuhkan Perikatan Nasional (PN) di kedah,” katanya.

    Beliau juga berkata, sokongan rakyat kepada PN dilihat semakin melonjak menjelang PRN pada 12 Ogos tidak lama lagi.

    Menurutnya kemeriahan suasana PRN semakin terasa terutama di negeri Pantai Timur termasuk di Terengganu.

    “Jumaat lepas ketika ke Terengganu saya lihat bendera-bendera Pas sudah dipasang dengan meriah seolah-olah pilihan raya akan berlaku esok. Ceramah-ceramah juga mendapat sambutan luar biasa menunjukkan sokongan rakyat kepada PN semakin hari semakin bertamah,” katanya

  • Zahid Hamidi anggap Sanusi ‘pelawak politik’

    Zahid Hamidi anggap Sanusi ‘pelawak politik’

    DATUK Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi hari ini menganggap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor tidak lebih daripada ‘pelawak politik’.

    Presiden UMNO itu berkata,  seorang pelawak mempunyai ramai pengikut bukan kerana aura tetapi kalau pelawak politik yang tidak mempunyai aura dianggap sangat terkenal dan popular maka beliau serahkan kepada kebijaksanaan pengundi di  Kedah.

    “Yang kita cari ialah kerajaan yang boleh dipercayai, yang berwibawa serta pemimpin yang serius yang menjaga soal-soal kepentingan dan kemakmuran rakyat bukan hanya menjadi pelawak politik,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Jentera Pilihan Raya UMNO/BN di Merbok dekat sini hari ini.

    Mengulas keyakinan Pengerusi PH Kedah Datuk Seri Mahfuz Omar bahawa PH dan BN mampu menguasai 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada pilihan raya negeri nanti, beliau berkata kedua-dua gabungan perlu bekerja keras bagi merealisasikan perkara itu.

    “Yang penting kita bekerja keras dahulu baru kita boleh memberitahu bahawa kita berada di garis paling hadapan untuk memenangi mana-mana pilihan raya DUN di enam negeri terutama di Kedah ini,” katanya.

    Beliau juga menegaskan setiap parti politik perlu menggunakan fakta untuk menyatakan sesuatu pandangan ketika berkempen dan bukannya dengan cara yang tidak mempunyai ‘akhlak politik’ walaupun berbeza pendapat.

    Beliau berkata perbuatan tersebut hanya akan memberi gambaran yang negatif bukan sahaja kepada pengundi tetapi juga rakyat keseluruhannya lebih-lebih lagi jika membabitkan pemimpin parti berasaskan agama. 

    Ahmad Zahid berkata antara perkara yang perlu dielak disentuh sepanjang kempen ialah isu 3R (agama, raja dan kaum) bagi menjaga keharmonian serta ketenteraman dalam kalangan masyarakat dan mana-mana pihak yang ingkar, perlu dikenakan tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.

    “Apatah lagi jika menghina… terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” katanya Ahmad Zahid.

    Beliau berkata memaki hamun, mencaci serta memfitnah kemudian memohon maaf adalah budaya yang tidak boleh diterima dan harus ditolak oleh rakyat keseluruhannya tanpa mengira apa pun agama yang dianuti.

  • ’’Kerajaan PN adil, usah risau Gelombang Hijau’’ – Muhyiddin

    ’’Kerajaan PN adil, usah risau Gelombang Hijau’’ – Muhyiddin

    KERAJAAN yang bakal dipimpin Perikatan Nasional (PN) dijamin akan berlaku adil dan saksama untuk kepentingan rakyat.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, orang ramai tidak perlu risau berhubung dakwaan ‘gelombang hijau’ yang dikaitkan naratif seolah-seolah pentadbiran kerajaan PN akan menyerupai pemerintahan kumpulan Taliban.

    “Terdapat beberapa kebimbangan bahawa kerajaan Pas atau PN akan berbeza sama sekali, malah ada yang mengatakan lebih teruk daripada kerajaan Taliban. Saya tak tahu pun apa yang dimaksudkan Taliban itu, saya pernah mendengar mengenainya.

    “Ia (PN) akan menjadi kerajaan yang adil,” katanya ketika dalam sesi soal jawab Konvensyen Profesional Malaysia 2.0 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini, lapor SInar Harian.

    Dalam pada itu, ujar Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, tiada apa yang perlu dibimbangkan berhubung istilah ‘gelombang hijau’ yang dikaitkan dengan warna logo Pas.

    “Jangan risau tentang gelombang hijau. Saya tidak tahu dari mana datangnya istilah itu. Tidak mengapa kerana saya boleh katakan sekarang gelombang hijau dan biru bersama itu kita ada, iaitu di bawah PN,” ujarnya.

    Istilah ‘Taliban’ sering digunakan untuk menggambarkan pentadbiran Islam yang ketat di Afghanistan.

    Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan di Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor pada 12 Ogos ini. PN akan mengekalkan logo Pas untuk Kelantan dan Terengganu manakala logo berwarna biru gabungan itu pula digunakan untuk empat negeri lain.

  • Zahid ingatkan Mahfuz jangan dahului hukum Allah

    Zahid ingatkan Mahfuz jangan dahului hukum Allah

    Oleh BADLISHAH MAT

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi seolah-olah tidak bersetuju dengan ramalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah bahawa mereka sudah memiliki 16 kerusi boleh menang di Kedah.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, kenyataan bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu mendahului hukum Allah sebelum hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) dijadualkan 12 Ogos ini.

    “Saya fikir sebelum kita berusaha sehingga ke saat akhir pada hari mengundi kita jangan bersifat mendahului hukum Allah. Walaupun saya tidak ada perbedaan pendapat dengan beliau atau mana-mana pemimpin tetapi eloklah kita bekerja keras dahulu. Baru kita boleh memberitahu bahawa kita berada di garis paling hadapan untuk memenangi mana-mana pilihan raya di enam negeri ini terutamanya di kedah,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas bertemu jentera BN dan UMNO Kedah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok di Sungai Petani.

    Sebelum ini, Mahfuz berulang kali menyatakan gabungan PH dan BN di Kedah hanya memerlukan tiga lagi kerusi untuk membentuk kerajaan negeri baharu selepas PRN kelak.

    Ini kerana menurutnya, mereka sudah memiliki 16 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja lagi bagi mengambil alih pentadbiran daripada Perikatan Nasional (PN).

    “Secara realistik, kami sudah ada 16 kerusi dalam tangan dan kita perlu tiga saja lagi untuk ambil alih negeri dari PN. Walaupun Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pernah perli saya dengan mengatakan kami hanya berangan-angan, tetapi saya tak kisah,” kata Mahfuz.

    Sementara itu, Ahmad Zahid kembali berterima kasih kepada Muhammad Sanusi yang menggesa beliau bertaubat nasuha sebanyak 48 kali dan meninggalkan dunia politik tanah air.

    “Terima kasih atas nasihat itu tetapi nasihat itu harus digunakan oleh diri beliau sendiri kerana beliau telah mengakui kesilapan beliau dengan meminta maaf. Budaya memaki hamun, mencaci memfitnah selepas itu memohon maaf adalah budaya yang tidak boleh diterima,” katanya.

  • “Menang dulu baru bincang pasal siapa MB” – Mohamad

    “Menang dulu baru bincang pasal siapa MB” – Mohamad

    TIMBALAN Presiden UMNO Mohamad Hasan hari ini menggesa semua parti dalam kerajaan supaya menumpukan usaha untuk memenangi pilihan raya negeri sebelum berbincang mengenai calon Menteri Besar mereka.

    Mohamad turut mengingatkan bahawa keputusan muktamad calon Menteri Besar terletak di tangan Sultan di negeri-negeri berkenaan atau di Negeri Sembilan, Yang Dipertuan Besar.

    “Pastikan menang dulu. Kalau minta-minta tapi tak menang pun tak guna juga. Janganlah kita berebut sangat jawatan, tapi pastikan kita boleh tubuh kerajaan dulu,” kata Mohamad yang juga bekas MB Negeri Sembilan, seperti dipetik Harian Metro.

    Pengerusi BN Negeri Sembilan itu dilaporkan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi PH Negeri Sembilan Anthony Loke bahawa DAP akan menyokong Menteri Besar sementara Aminuddin Harun untuk kekal memegang jawatan itu selepas PRN.

    “Dah tubuh kerajaan nanti, kita runding elok-elok siapa yang kita putuskan misalnya dalam Barisan Nasional (BN), siapa yang kita rasa paling layak. Selepas itu kita berunding antara BN dan PH jika kedua-dua parti boleh tubuhkan kerajaan,” kata Mohamad.

    Mengulas lanjut, Mohamad menyatakan bagaimana BN Johor semasa pilihan raya negeri berkempen supaya ADUN Benut Hasni Mohammad dikekalkan sebagai Menteri Besar, tetapi Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah memilih untuk melantik ADUN Machap Onn Hafiz Ghazi.

    “Itu parti tak boleh buat apa-apa kerana dalam Perlembagaan, hak mutlak pelantikan Menteri Besar terletak kepada kuasa raja atau sultan,” jelasnya.

  • Amiruddin pelik Sanusi kata kenyataan diputar belit tapi minta maaf

    Amiruddin pelik Sanusi kata kenyataan diputar belit tapi minta maaf

    MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari pelik mengapa rakan sejawatnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta ampun kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah walaupun sebelum ini beliau tidak mengaku bersalah dan mendakwa kenyataannya diputar belit.

    Bagaimanapun, Berita Harian melaporkan Amiruddin berkata, apa yang berlaku itu sebenarnya boleh menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya lebih berhati-hati ketika berucap di hadapan orang ramai.

    “Akhirnya dia minta ampun walaupun tak mengaku bersalah, itu yang pelik. Bila kita tegur, dia kata tak ada (keluarkan kenyataan) dan kemudian minta ampun. Tapi tidak mengapalah, biar polis jalankan siasatan dan kita juga perlu lebih berhati-hati.

    “Kerajaan juga ada mengeluarkan peringatan untuk tidak terlalu menunggang isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) kerana ia akhirnya akan memakan diri sekiranya pandangan yang dikeluarkan itu disalah erti oleh masyarakat.

    “Jadi, diharapkan ketika pilihan raya kelak tidak lagi timbul isu seperti ini, marilah kita bincang mengenai fakta, data dan bagaimana untuk bangunkan negara atau negeri pada masa akan datang,” katanya selepas menghadiri Konvensyen Suara Anak Muda #IniMasaKami oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK), di Petaling Jaya hari ini.

    Sebelum ini, Muhammad Sanusi menjelaskan sudah mengutus surat kepada Sultan Sharafuddin bagi menjelaskan konteks sebenar ucapannya yang didakwa diputar belit.

    Katanya, Pegawai Istana Selangor memaklumkan kepadanya bahawa Sultan Selangor memberi perkenan untuk menerima dan membaca surat itu semalam.

    Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata, surat berkenaan didahului dengan merafak sembah memohon ampun kepada Sultan Selangor dan berharap tidak timbul kemurkaan baginda bersabit isu yang didakwa sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu.

    Muhammad Sanusi bagaimanapun enggan memaparkan surat berkenaan di laman sosial Facebooknya untuk memelihara kemuliaan Sultan Selangor dan adat berurusan dengan istana.

    Dalam ucapannya yang tular, pemimpin PAS itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.

    Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkan menghina institusi beraja di Selangor.