Category: Semasa

  • Tribunal Antigangguan Seksual dijangka siap dalam setahun

    Tribunal Antigangguan Seksual dijangka siap dalam setahun

    PENUBUHAN tribunal yang termaktub dalam Rang Undang-undang Antigangguan Seksual 2021 (AGS 2021) dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh setahun, selepas ia diluluskan di Dewan Negara.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, AGS 2021 akan dibentangkan di Dewan Negara bulan hadapan.

    “Kita dalam proses yang pertama nak kena luluskan (Rang Undang-undang AGS 2021 di Dewan Negara), kedua dari segi kita nak tubuhkan tribunal ini ada perjawatan baharu yang perlu diminta daripada Jabatan Perkhidmatan Awam, dan kita sedang adakan perbincangan.

    “Tetapi berkaitan rang undang-undang ini, ia boleh dikuatkuasakan mengikut fasal-fasal tertentu… ia tak semestinya kena semua dah lengkap baru kita kuatkuasakan. Kita tengok dulu fasal mana yang perlu kita kuatkusakan dahulu sebagai contoh advokasi, program pemahaman kesedaran tentang isu (gangguan seksual) kepada rakyat… mungkin akan ambil masa dalam setahun lebih kurang begitu,” katanya.

    Beliau berkata, demikian kepada pemberita pada sesi penerangan Rang Undang-undang AGS 2021 Menteri Bersama Media di Kuala Lumpur, hari ini.

    Rina berkata, AGS 2021 adalah bersifat sivil dan aduan gangguan seksual yang diterima akan dijalankan menerusi prosiding tribunal.

    Katanya, pendengaran setiap aduan gangguan seksual yang diterima akan dijalankan secara tertutup, bagi menjaga sensitiviti dan kerahsian pengadu bagi menggalakkan lebih ramai yang akan tampil membuat aduan.

    “Kita tiada akta khusus melibatkan AGS, mungkin kalau ada pun Kanun Keseksaan (Akta 574) selain Akta Komunikasi atau akta di bawah Kementerian Sumber Manusia… tetapi hari ini kita lihat ramai dalam kalangan wanita, bila kita tanya dan buat kajian mereka (mengakui) diganggu secara seksual, tetapi tidak tampil membuat laporan kerana faktor fobia, takut, segan dan bahan pembuktian berat.

    “Dengan adanya AGS 2021 ini, kita mahu dari segi kesedaran, pendidikan kepada masyarakat bahawa gangguan seksual ini tidak sesekali dinormalisasikan, ia bukan budaya dan tidak harus dianggap remeh atau perkara kecil. AGS 2021 yang kita perkenalkan ini secara tidak langsung beri mereka persekitaran selamat, bukan sahaja di tempat kerja tetapi di tempat awam,” katanya.

    Berdasarkan soal selidik awam kementerian berkaitan AGS 2021 ke atas 416 responden, 87.5 peratus menyatakan akan melaporkan isu gangguan seksual kepada tribunal ini kelak, katanya.

    Justeru, Rina berkata, pihaknya akan mengadakan jelajah ke seluruh negara bersama badan bukan kerajaan dan pihak berkaitan bagi memberi pemahaman dan penerangan tentang gangguan seksual.

    Terdahulu, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) kementerian itu, Chua Choon Hwa dalam sesi penerangannya berkata di bawah Fasal 20, perintah yang boleh dibuat oleh tribunal ialah responden perlu mengeluarkan pernyataan permohonan maaf kepada pengadu, dan jika gangguan seksual dilakukan di khalayak ramai, responden perlu menyiarkan permohonan maaf kepada pengadu dalam apa-apa cara.

    “Perintah yang boleh dikeluarkan termasuklah responden perlu membayar pampasan atau ganti rugi (tidak melebihi RM250,000) bagi kehilangan atau kerosakan yang ditanggung oleh pengadu,” katanya.

    Chua berkata tribunal adalah platform alternatif kepada pengadu yang menjadi mangsa gangguan seksual, untuk mengemukakan aduan dan mendapatkan pembelaan.

    “Tetapi pengadu juga boleh membuat aduan kepada pihak polis sekiranya mereka mahu. Mengenai perintah yang dikeluarkan oleh tribunal, sekiranya responden merasakan ketidakaturan yang serius atau tidak adil terhadap perintah dikenakan ke atasnya, dia boleh membawa perkara itu ke Mahkamah Tinggi,” katanya. – BERNAMA

  • Lelaki tumbuk suami kepada sepupu akibat perselisihan faham

    Lelaki tumbuk suami kepada sepupu akibat perselisihan faham

    BERANG dituduh menggoda isteri orang, seorang lelaki bertindak menumbuk suami kepada sepupunya.

    Dalam kejadian pada pukul 6 petang di Tanah Merah, Kelantan, semalam, mangsa yang berusia 35 tahun mengalami bengkak pada pipi kanan, lapor Berita Harian.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata sebelum kejadian, mangsa pergi ke stesen teksi di bandar untuk berjumpa dengan suspek sebelum berlaku perselisihan faham.

    “Perselisihan faham itu berpunca daripada tuduhan kepada suspek yang dikatakan menggoda isteri mangsa, namun suspek tidak mengaku berbuat demikian.

    “Suspek bagaimanapun mengaku rapat dengan isteri mangsa disebabkan hubungan sepupu antara suspek dengan wanita terbabit,” katanya.

    Muhamad Zaki berkata, suspek yang berusia 42 tahun hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk diambil keterangan untuk bagi siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK).

  • Penganggur didenda RM2,000 menyamar sebagai anggota polis

    Penganggur didenda RM2,000 menyamar sebagai anggota polis

    GARA-GARA menyamar dengan memperkenalkan diri sebagai anggota polis kepada dua warga asing, seorang penganggur didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, hari ini.

    Majistret Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Shyakir Abdullah, 53, yang mengaku bersalah memperkenalkan diri sebagai anggota polis kepada Ramjan dan Mohammad Hossain, kedua-duanya warga Bangladesh di hadapan sebuah rumah di Jalan Union, Sentul, pada 5.30 petang, 13 Julai lepas.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Mahkamah turut memerintahkan bapa dua anak itu dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd Shariff memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, namun Muhammad Shyakir yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia tidak bekerja selain perlu menanggung dua anak dan isteri. – Bernama

  • 66 syarikat buat tuntutan palsu PenjanaKerjaya, kata Saravanan

    66 syarikat buat tuntutan palsu PenjanaKerjaya, kata Saravanan

    PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapati 66 syarikat menyalah guna tuntutan Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya).

    Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, Perkeso menggunakan kaedah siasatan forensik dalaman bagi mengesan salah laku berkenaan.

    “Sehingga kini, 45,379 syarikat sudah mendapat manfaat tuntutan insentif program itu yang juga sebahagian usaha untuk mengurangkan pengangguran.

    “Sehingga hari ini, lebih RM2 bilion sudah dibelanjakan. Namun, tidak dinafikan ada yang terlepas pandang dengan 66 syarikat dikenal pasti ambil kesempatan dan salah guna.

    “Perkeso membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk mengambil tindakan tanpa mengira kedudukan dan ideologi politik,” katanya ketika berucap pada Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 hari ini.

    Majlis disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Berita Harian.

  • Polis tahan lelaki duduk atas bumbung Vellfire

    Polis tahan lelaki duduk atas bumbung Vellfire

    LELAKI yang duduk di atas bumbung kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dipandu ketika bersiar-siar di pulau ini minggu lalu ditahan polis kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata suspek warga tempatan berusia 25 tahun itu ditahan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di Langkawi, pada pukul 7 malam.

    “Siasatan awal mendapati, lelaki itu menetap di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, Selangor dan kumpulan rakannya adalah pelancong tempatan yang datang bercuti ke pulau ini.

    “Suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana mabuk dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Sebelum ini, tular rakaman video dan beberapa gambar memaparkan seorang lelaki keluar melalui bumbung kenderaan sebelum duduk di atas MPV mewah berkenaan ketika bersiar di pulau ini.

  • Mati di penjara Kluang: Polis beri jaminan siasatan menyeluruh dilaksanakan

    Mati di penjara Kluang: Polis beri jaminan siasatan menyeluruh dilaksanakan

    POLIS  Johor hari ini memberi jaminan siasatan menyeluruh sedang dilaksanakan berhubung kematian seorang banduan lelaki di penjara Kluang, bulan lepas.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata hasil siasatan nanti adalah berdasarkan laporan bedah siasat dan patologi, yang menjurus kepada sebab kematian individu berkenaan.

    Justeru, beliau berharap agar orang ramai termasuk ahli keluarga lelaki berkenaan supaya tidak bimbang dengan proses siasatan.

    “Setiap kematian, kita buka kertas siasatan dan siasatan menjurus kepada elemen-elemen lain termasuk (sekiranya ada elemen) pembunuhan.

    “Kalau tiada elemen lain, kematian itu akan diklasikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Seri Alam, Pasir Gudang hari ini.

    Justeru, Kamarul Zaman menasihati agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas mengenai sama ada polis akan menjalankan siasatan menyeluruh susulan desakan ahli keluarga lelaki berkenaan semalam untuk mengetahui punca sebenar kematian.

    Pada 28 Jun lepas, Kim Shih Keat telah dijadualkan dibebaskan daripada penjara Kluang selepas menjalani hukuman penjara tujuh hari dan denda sebanyak RM15,000 kerana didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk oleh Mahkamah Sesyen, di Johor Bahru, pada 22 Jun lepas.

    Bagaimanapun, keluarga lelaki berkenaan yang dalam perjalanan untuk mengambil Kim, mendakwa mendapat panggilan pada waktu pagi hari yang sama daripada pengurus rumah mayat yang memaklumkan Kim telahpun meninggal dunia.

    Dalam satu sidang media semalam, ahli keluarga kepada Kim memohon agar laporan bedah siasat dan kimia berhubung kematian lelaki berkenaan, dapat didedahkan selewat-lewatnya Jumaat. – Bernama

  • Dua wanita asing dipenjara 24 bulan beri maklumat palsu ganti MyKad

    Dua wanita asing dipenjara 24 bulan beri maklumat palsu ganti MyKad

    MAHKAMAH Majistret Kota Kinabalu hari ini menjatuhkan hukuman 24 bulan penjara terhadap dua wanita warga asing selepas mengaku bersalah memberikan maklumat palsu ketika membuat permohonan mengganti kad pengenalan yang hilang.

    Murada Rabung, 32, yang juga pemegang kad IMM13 membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles manakala Nor Hasna Paisal, 19, turut membuat pengakuan sama di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun, lapor Sinar Harian.

    Murada disyaki memberikan maklumat palsu ketika membuat permohonan mengantikan kad pengenalan yang hilang atas nama Nazira binti Eranza di Bahagian Kad Pengenalan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kota Kinabalu pada 21 Julai lalu.

    Sementara itu, Nor Hasna yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri disyaki telah memberi maklumat palsu ketika membuat permohonan mengganti kad pengenalan atas nama Erah binti Eranza di Bahagian Kad Pengenalan, JPN Kota Kinabalu, pada 22 Julai lalu.

    Kedua-duanya didakwa di bawah perkara 25 (1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 dan boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

    Mahkamah menetapkan hukuman bermula dari tarikh kedua-dua tertuduh ditangkap dan mereka akan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) selepas selesai menjalani hukuman penjara.

    Pendakwaan dikendalikan Pengawai Pendakwa, Mohd. Naser Mohd. Nadzeri manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Fasiliti kesihatan diminta peka situasi semasa cacar monyet

    Fasiliti kesihatan diminta peka situasi semasa cacar monyet

    BERIKUTAN pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa jangkitan cacar monyet kini adalah Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC), Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan semua fasiliti kesihatan agar peka dengan situasi semasa cacar monyet serta meningkatkan pengesanan kes dalam kalangan pesakit yang berisiko.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam kenyataan hari ini berkata, sebanyak sembilan kes disyaki cacar monyet telah dinotifikasi kepada KKM setakat 23 Julai dan kesemuanya disahkan negatif.

    Beliau berkata, pengembara bukan warganegara hendaklah mengisi pas kembara dalam aplikasi MySejahtera dan pengembara yang tiba dari negara yang melaporkan cacar monyet akan menerima pop-up mesej kesihatan setiap hari melalui MySejahtera untuk mengingatkan mereka agar memantau gejala jangkitan cacar monyet dan status kesihatan.

    “Pengembara yang tiba dari negara terbabit dinasihatkan memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan cacar monyet untuk tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia,” katanya.

    Gejala cacar monyet adalah seperti demam, keletihan, ruam makulapapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki diikuti bahagian tubuh lain, kejang otot dan pembengkakan kelenjar limfa.

    Dalam tempoh 1 Mei 2022 hingga 23 Julai lepas, seramai 531,630 pengembara direkodkan tiba dari negara yang melaporkan kes cacar monyet dan aplikasi MySejahtera telah mengeluarkan Health Alert cacar monyet kepada kesemua pengembara, katanya.

    “KKM menyeru individu yang mempunyai gejala cacar monyet untuk segera ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Elakkan daripada kontak dengan orang lain bagi mengelakkan penularan jangkitan,” katanya.

    Khairy berkata, pengendali premis yang menyediakan perkhidmatan melibatkan kontak kulit dengan pelanggan seperti spa dan urutan diminta untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran, serta memastikan pelanggan sihat, tidak mengalami gejala cacar monyet dan tiada ruam makulopapular (ruam kulit).

    Virus cacar monyet boleh disebarkan melalui sentuhan langsung dengan ruam atau lesi yang terjadi pada kulit, sama ada lesi yang baharu atau sudah menjadi kuping ataupun cairan daripada lesi tersebut.

    Khairy berkata, KKM telah meningkatkan kapasiti makmal dalam negara daripada dua kepada 12 makmal yang boleh menjalankan ujian pengesanan virus cacar monyet, iaitu lapan adalah makmal kerajaan dan empat makmal swasta.

    KKM juga mewujudkan survelan sentinel di beberapa klinik swasta dan kerajaan bagi memantau kejadian penyakit ruam atau lesi kulit selain meningkatkan survelan di pintu masuk antarabangsa negara, katanya.

    Pada 23 Julai, WHO telah mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai PHEIC berdasarkan beberapa faktor antaranya peningkatan mendadak jumlah kes yang dilaporkan oleh negara bukan endemik cacar monyet, selain bukti dan data saintifik berkaitan jangkitan tersebut.

    Pada 17 Jun lepas, sebanyak 2,103 kes cacar monyet dilaporkan berlaku di 42 negara dengan satu kematian.

    Kes cacar monyet pertama kali dilaporkan oleh WHO pada 15 Mei 2022. – BERNAMA

  • Kes Shahrir Samad gagal isytihar RM1 juta mula esok

    Kes Shahrir Samad gagal isytihar RM1 juta mula esok

    PERBICARAAN kes bekas Pengerusi Felda,Tan Sri Shahrir Ab Samad yang didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), akan bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, esok.

    Menerusi semakan sistem mahkamah hari ini, kes itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin pada jam 9 pagi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi, Mohd ‘Afif Ali dan Natrah Fareha Rahmat manakala pasukan pembelaan diketuai peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.

    Pada prosiding sebelum ini, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa seramai 19 saksi akan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

    Mahkamah sebelum ini menetapkan 26 hingga 28 Julai, 8 hingga 11 Ogos, 5 hingga 8 Sept dan 3 hingga 6 Okt ini untuk perbicaraan.

    Shahrir, 72, pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen. Bagaimanapun, beliau memohon supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan pada 21 Mei tahun lepas, permohonan itu dibenarkan.

    Shahrir mengaku tidak bersalah atas tuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini ,pada 25 April 2014.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Polis sukar kesan pekerja ubah suai rumah Zalina Azman

    Polis sukar kesan pekerja ubah suai rumah Zalina Azman

    POLIS sukar menjejaki pekerja yang membuat kerja pengubahsuaian di rumah bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman ekoran proses tersebut telah lama dijalankan.

    Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata status kewarganegaraan pekerja tersebut juga tidak dapat dipastikan melainkan mereka sendiri tampil ke hadapan untuk membantu siasatan berkenaan Zalina Shaharah atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lepas.

    “Namun siasatan akan diteruskan merangkumi sudut dijalankan berdasarkan petunjuk baharu. Setakat ini status masih sama, kami tiada petunjuk baharu, Kertas Enkuiri Polis (KEP) akan diteruskan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

    Sebelum ini, polis mempercayai Zalina Shaharah, 58, masih berada di dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkan wanita itu yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.

    Pihak polis menerima laporan mengenai kehilangan wanita itu daripada anaknya Mikhael Norman, 33, pada 29 Nov tahun lepas yang cuba menghubunginya sejak 24 Nov 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi. — Bernama