KEPUTUSAN kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong sama ada didapati bersalah atau dibebaskan atas tuduhan merogol pembantu rumahnya seorang warga Indonesia, diketahui esok.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed dijadualkan menyampaikan keputusan pada akhir kes pembelaan pada pukul 10 pagi.
Jika sabit kesalahan, Paul Yong boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, menurut Astro Awani yang memetik laporan Sinar Harian.
Pada 31 Mac lalu, pasukan pembelaan diketuai Datuk Rajpal Singh bersama Salim Bashir menutup kes dengan memanggil tiga saksi termasuk Paul Yong dan isteri, Too Choon Looi, 46, serta saksi terakhir yang merupakan bapa saudara mangsa, Muhammad Rusdi, 51.
Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini menetapkan 29 Jun sebagai tarikh keputusan sama ada bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu didapati bersalah atau dibebaskan atas tuduhan berkenaan.
Tarikh itu ditunda ke 27 Julai berikutan kematian ibu kepada Paul Yong.
Paul Yong pada 7 Disember lalu telah diperintahkan membela diri terhadap tuduhan merogol selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan berkenaan.
Sepanjang prosiding tersebut, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi dibantu dua Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi dan Mohd. Fitri.
Pada 23 Ogos 2019, Paul Yong ketika itu Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.
Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen, namun pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
AHLI perniagaan Malaysia, Teow Wooi Huat masih berada di bawah tahanan pihak imigresen Thailand dan menunggu untuk dihantar ke China.
“Beliau dijangka dihantar ke China tidak lama lagi,” kata sumber polis kepada Bernama tanpa mahu menyatakan butiran bila Teow akan dihantar ke negara itu.
Bagaimanapun, media tempatan di Thailand melaporkan yang Teow akan dihantar ke China hari ini.
Jumaat lepas, Teow yang berada dalam senarai merah Interpol, dipanggil pihak polis untuk diberitahu yang visa beliau telah dibatalkan.
Beliau kemudian diserahkan kepada polis imigresen di Songkhla dan kemudian dipindahkan ke Pejabat Imigresen Suan Plu di Bangkok.
Teow, 55, yang juga digelar Jho Low 2, merujuk kepada seorang lagi ahli perniagaan Malaysia yang sedang diburu Low Taek Jho yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, telah melarikan diri ke Dannok di Sadao pada 2020.
Teow membina empayar perniagaan daripada skim pelaburan haram dalam talian yang memikat pelabur dari China, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Macau.
Pada 2017, Teow ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia atas tuduhan dadah tetapi berjaya melarikan diri ke Thailand dan terlepas daripada hukuman gantung.
Pada 2019, pihak berkuasa Malaysia membekukan 91 akaun bank berjumlah RM177 juta yang dikaitkan dengan MBI Group International ketika itu. Bank Negara telah menyenaraikan syarikat itu sebagai syarikat yang menjalankan skim kewangan meragukan.
Beliau juga dihendaki berhubung pelaburan wang haram berjumlah 336-juta-ringgit (US$83 juta) di Macau.
Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan ahli perniagaan yang menjadi buruan Teow Wooi Huat kini ditahan pihak berkuasa Thailand.
Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, suspek merupakan individu yang disiasat oleh PDRM di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“PDRM kini sedang dalam proses permohonan untuk penama dihantar pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan malam ini. – Bernama
TUNANG kepada Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain tidak sangka mimpinya bertemu dan bercakap dengan Allahyarham yang memberitahu akan ‘pulang’ hari ini menjadi ‘kenyataan.’
Bagaimanapun kata Nurfaizah Mahadi, 25, tunangnya itu pulang dalam keadaan yang berbeza dan tidak menyangka itu merupakan petanda jasadnya yang hilang ditemukan serta disemadikan hari ini.
“Saya sudah dua kali bermimpi bertemu dan satu lagi bercakap dengan Allahyarham pada awal tahun ini dalam tempoh kira-kira 10 bulan Allahyarham menghilangkan diri.
“Saya tidak ingat tarikh kedua-dua mimpi itu tetapi dalam mimpi pertama, saya hanya sempat bertanyakan ke mana dia pergi tetapi dibalas dengan senyuman arwah.
“Dia senyum tunjuk ke satu arah dan hilang, sebelum saya terjaga dari tidur,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengkebumian Muhammad Iman Aqmar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih di Pasir Gudang, pukul 1 pagi tadi.
Nurfaizah Mahadi ketika ditemui pemberita selepas pengkebumian Muhammad Iman Aqmar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, awal pagi ini
Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar, 25, pernah tular dalam media sosial pada tahun lalu selepas Adik Allahyarham, Nurul Izz Anisah, 21, meminta bantuan orang ramai berkenaan kehilangan abangnya itu.
Lelaki itu bergerak dari Pasir Gudang pada jam 1.30 pagi, 29 Oktober tahun lalu ke Terengganu dengan memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina.
Bagaimanapun, dia selepas itu gagal dihubungi keluarga, majikan dan Nurfaizah.
Berkenaan mimpi keduanya, Nurfaizah yang bekerja sebagai kerani berkata, dia ‘berjaya’ menghubungi Allahyarham menerusi telefon bimbitnya.
“Saya bertanya dalam mimpi itu, awak di mana? semua orang mencari awak. Arwah cakap saya ada sini dalam 26 hari bulan (Selasa) nanti saya balik la. Saya bersyukur Iman ditemui,” katanya.
Dia melahirkan rasa syukur kerana jawapan kepada persoalan hampir 10 bulan di mana tunangnya pergi telah terjawab kerana sebelum ini sering risau keadaan Allahyarham sejak kehilangannya 29 Oktober lalu.
“Selama hampir 10 bulan kami menunggu jawapannya, sekarang sudah terjawab di mana dia berada.
Ada kuburnya, Saya rasa bersyukur sangat kerana ini jawapan yang saya tunggu, selama 10 bulan ini saya selalu fikir dia di mana. Dia makan ke atau tidak?,” katanya.
Allahyarham Muhammad Iman Aqmar dan Nurfaizah sepatutnya melangsungkan pernikahan ketika ulang tahun kelahiran tunangnya itu pada Disember lalu namun hajat mereka tidak kesampaian.
Perkahwinan mereka sepatutnya diadakan pada Ogos tahun lalu, namun ditangguhkan pada Disember lalu kerana Ayah Norfaizah meninggal dunia.
Hampir 100 orang hadir upacara pengkebumian Allahyarham Muhammad Iman Aqmar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, pada awal pagi tadi
Sementara itu, ibu kepada Allahyarham, Azmawati Ab Kadir, 55, lega dan tenang selepas jasad anaknya itu dapat disemadikan seperti orang lain sekali gus menamatkan persoalan dan penantian keluarganya.
Dia menyatakan rasa syukur tanpa henti kerana jasad Allahyarham dapat dikuburkan termasuk semua proses berjalan lancar dan mereka juga sekeluarga reda dengan apa yang berlaku.
“Alhamdulillah, reda….saya rasa lega, kepala rasa ringan, saya tahu dia ke mana, Sang Pencipta telah ambil. Sudah selesai Ya Allah, terima kasih Ya Allah, 24 tahun Allah pinjamkan dia untuk saya.
“Ya Allah syukur alhamdulillah, dia (arwah) anak yang terbaik untuk saya. Semua sudah selesai perjalanan ini,” katanya.
Azmawati berkata, dalam tempoh hampir 10 bulan kehilangannya, setiap masa dia teringat kepada arwah.
Dia sering tertanya-tanya dan terfikir di manakah anaknya pergi ketika itu kerana tiada khabar berita diterima dalam tempoh tersebut.
“Tempoh yang lama, tetapi sekarang hati saya lapang sangat, sebelum ini beban kerana terfikir-fikir mana anak aku?.
“Kalau hujan macam sekarang ini, saya akan fikir abang di mana ye?. Sekarang ini saya sudah tahu dia ada di sini, Sang Pencipta dia sudah ambil, saya reda,” katanya.
ALLAHYARHAM Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain yang ditemukan selepas hilang kira-kira 10 bulan lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang pada pukul 1 pagi tadi.
Hujan lebat selama 20 minit melanda selepas jasad Allahyarham disemadikan dan hampir 100 ahli keluarga, saudara, rakan, kenalan dan penduduk hadir memberikan penghormatan terakhir kepadanya.
Terdahulu jenazah dibedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan kemudian dibawa ke masjid berkenaan pada jam 2.30 petang untuk dimandikan.
Seterusnya jenazah dikafan dan disembahyangkan di masjid yang sama sebelum dibawa pulang ke tanah perkuburan itu pada pukul 12.25 tengah malam tadi untuk dikebumikan.
Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar, 25, pernah tular dalam media sosial pada tahun lalu selepas Adik Allahyarham, Nurul Izz Anisah, 21, meminta bantuan orang ramai berkenaan kehilangan abangnya itu.
Lelaki itu bergerak dari Pasir Gudang pada jam 1.30 pagi, 29 Oktober tahun lalu ke Terengganu dengan memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina.
Bagaimanapun, dia selepas itu gagal dihubungi keluarga, majikan dan tunangnya, Nurfaizah Mahadi, 25 tahun.
Pada Sabtu, polis dilaporkan menemukan satu rangka manusia dalam sebuah kereta yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api sebelum dikenal pasti sebagai Allahyarham yang hilang sejak hampir 10 bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin dilaporkan berkata, mayat ditemukan dalam kenderaan Nissan Grand Livina yang dijumpai seorang lelaki warga emas ketika dia mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan pada 11.40 pagi.
Kenderaan itu mempunyai kerosakan pada bahagian hadapan, kiri dan kanan, selain pemeriksaan di dalamnya menemukan mayat diselaputi lumpur serta pas pekerja yang didaftarkan atas nama Muhammad Iman Aqmar.
Siasatan awal polis terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapatinya dikaitkan dengan laporan kehilangan Allahyarham yang dibuat ahli keluarganya di Pasir Gudang.
Rangka mayat itu kemudian dilaporkan dihantar ke HTAA untuk bedah siasat manakala kenderaan ditarik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan bagi siasatan lanjut.
BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau pernah menerima sumbangan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) seperti yang didakwa bekas Pengurus Pentadbiran syarikat berkenaan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Katanya beliau sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya dipanggil untuk memberi keterangan.
“Saya tak terima (wang seperti didakwa). Kalau dia boleh bukti, tunjukkan bukti, nak cakap (terima duit) senang.
“Kalau ada orang bagi duit kat saya tunjuklah, siapa yang bagi, kerana saya tidak pernah terima duit itu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama pengusaha bot pelancongan di Jeti Tanjung Rhu di sini, petang ini.
Ahli Parlimen Langkawi itu juga berkata, beliau bersedia pada bila-bila masa untuk disiasat oleh pihak berkuasa berkaitan isu itu.
“Saya bersedia dan tunjukkan bukti yang saya ada (duit). (Sebelum ini) Banyak tuduhan yang dibuat kepada saya kononnya saya kaya ada (duit) berbillion ringgit simpan di Switzerland dan Taiwan.
“Kita tunjuk bukti (Datuk Seri) Najib (Razak) ada pegang duit (kerana) ada cek yang dia tandatangan dan ada akaun bank. Pergilah cari akaun bank saya, tiada masalah,” katanya lapor Berita Harian.
Hari ini, pada perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,
bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, mendakwa bekas Pengerusi BERSATU itu menerima sumbangan RM2.6 juta daripadanya syarikatnya.
Siong Sun berkata, sumbangan itu adalah untuk kegunaan parti BERSATU diberikan menerusi anak saudara Dr Mahathir, Tan Sri Rahmat Abu Bakar.
Saksi pendakwaan itu juga berkata, kod nama ‘Kedahan’ digunakan untuk Rahmat dalam buku lejar UKSB yang menunjukkan aliran keluar wang syarikat berkenaan.
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa RM100,000 daripada RM120,000 yang dipindahkan daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) atas arahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak digunakan untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Hidayah Kamarudin berkata sebaliknya hasil siasatan mendapati Syed Saddiq memasukkan wang RM100,000 itu ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) milik Ahli Parlimen Muar itu menerusi dua transaksi pada Jun 2018.
Menurut saksi pendakwaan ke-28 itu, Syed Saddiq telah mengarahkan Rafiq Hakim Razali, yang ketika itu penolong bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) supaya memindahkan wang berjumlah RM120,000 daripada akaun ABBE ke dalam akaun peribadi Maybank miliknya melalui empat transaksi pada 8, 11,12 dan 21 Mei 2018 untuk kempen PRU14.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali berhubung sumber wang yang dimasukkan ke dalam akaun ABBE, Nurul Hidayah menjawab ia merupakan hasil daripada penjualan cenderahati Armada, kemeja-T dan sumbangan ketika majlis makan bagi mengumpul dana yang dianjurkan sayap parti Bersatu itu.
Mohd ‘Afif: Berkenaan majlis makan mengumpul dana itu, ada Puan siasat berapa kali ia dibuat?
Nurul Hidayah: Terdapat dua majlis makan dibuat iaitu pada 7 dan 8 April, di Muar, Johor dan di Hotel De Palma di Ampang. Kedua-dua majlis tersebut diadakan pada waktu siang.
Sementara itu, pada prosiding perbicaraan sebelah petang, suasana di dalam mahkamah bertukar sedikit tegang apabila peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq meninggikan suara ketika menyoal balas saksi itu kerana beliau tidak menjawab beberapa soalan yang dikemukakan oleh peguam tersebut.
Ia bermula apabila Nurul Hidayah tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa pergerakan dan kebajikan politik di kawasan Muar, Johor wujud.
Gobind: Kenapa kamu tidak setuju ia wujud? Kamu ada jumpa Amsyar? (Amsyar merupakan seorang individu yang dikatakan menguruskan kewangan peribadi dan politik Syed Saddiq).
Nurul Hidayah: Bukan saya yang rakam percakapan dia.
Gobind: Jadi bukan kamu sendiri yang jumpa dan tanya dia (Amsyar)?
Bagaimanapun, saksi tidak menjawab soalan itu apabila ditanya beberapa kali oleh peguam berkenaan.
Gobind: Jawab saya, Puan Nurul Hidayah (dengan suara tinggi). Jadi kamu sebenarnya tidak tahu, bukan? Kamu juga selaku pegawai penyiasat gagal untuk siasat kes ini secara menyeluruh.
Nurul Hidayah tidak menjawab soalan itu.
Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.
Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahguna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung 3 Ogos ini.
KERAJAAN akan mewartakan harga maksimum minyak masak tulen dalam botol, bagi memastikan produk itu mempunyai harga maksimum dari semasa ke semasa.
Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah itu diambil setelah rundingan untuk menurunkan harga minyak dengan pihak industri terbabit tidak efektif, walaupun harga minyak sawit dunia telah turun.
“Oleh kerana ia (penurunan harga) tidak berlaku, undang-undang sedia ada membolehkan kita mewartakan barangan keperluan tertentu dengan kaedah penentuan harga maksimum.
“KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) boleh ambil langkah-langkah pewartaan, supaya minyak masak akan mempunyai harga maksimum dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kali keenam Pasukan Jihad Tangani Inflasi di Bangunan Parlimen hari ini.
Annuar berkata, penentuan harga maksimum tersebut dijangka akan dilaksanakan seminggu lagi.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata KPDNHEP akan menetapkan harga tersebut berdasarkan pelarasan bagi mengekalkan margin keuntungan tertentu dan memastikan tidak berlaku pengambilan untung berlebihan.
Terdahulu harga minyak masak botol dijangka akan turun dalam masa terdekat, selari dengan penurunan harga minyak masak mentah dari RM7,000 per tan kepada RM3,600 per tan minggu ini.
Sehubungan itu pengilang dan peniaga diminta untuk menurunkan harga minyak masak di dalam botol selaras dengan penurunan tersebut.
Bagaimanapun Annuar berkata, tinjauan ke dalam pasaran mendapati penurunan harga minyak masak tersebut agak perlahan.
“Kita dapati sebelum ini sewaktu minyak sawit naik peniaga telah naikkan harga mereka, apabila minyak masak turun, kita dapati penurunan harga agak perlahan, boleh saya katakan agak ‘liat’ untuk segerakan proses penurunan harga, walaupun mereka memberikan alasan masih menjual stok lama, tetapi kita rasakan alasan ini tidak adil,” katanya.
Justeru katanya kerajaan tidak boleh membiarkan industri berjalan dalam situasi yang tidak dikawal selia dengan baik, terutama setelah dua minggu ruang diberikan untuk pihak terbabit menurunkan harga.
“Ia memerlukan tanggungjawab dan kebersamaan. Soal kenaikan harga barang terutama yang membabitkan keperluan orang ramai jangan dipandang ringan, minyak masak sangat diperlukan seperti juga ayam, telur, beras dan sebagainya, oleh itu sebarang kenaikan harga tak boleh secara mengenakan margin keuntungan yang tinggi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, sebarang pengeksportan minyak masak dalam bentuk polibeg dihentikan berkuat kuasa serta-merta.
Annuar berkata, langkah tersebut bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan dengan minyak masak bersubsidi yang turut dijual dalam bentuk polibeg.
“Apabila ada pengeksport yang mengeksport minyak masak dalam bentuk yang hampir serupa, ia menimbulkan masalah kepada penguat kuasa.
“Maka, tidak akan dibenarkan lagi sebarang eksport minyak masak dalam bentuk polibeg…mesti dieksport dalam bentuk lain,” katanya.
Annuar berkata, KPDNHEP akan berunding dengan pihak-pihak berkaitan, terutamanya yang mengeluarkan lesen eksport minyak masak dalam bentuk polibeg. – BERNAMA
PEJABAT Staf Presiden Indonesia menggesa agar penempatan pekerja warganegaranya di Malaysia diselesaikan segera memandangkan sumbangan signifikan pekerja itu kepada kestabilan dan pembangunan ekonomi Indonesia.
Staf Pakar di pejabat itu, Fadjar Dwi Wisnuwardhani berkata penyelesaian segera masalah itu juga akan mengukuhkan aspek perlindungan dan meningkatkan peluang rakyatnya untuk bekerja.
Malaysia adalah antara negara terpenting dalam penempatan pekerja Indonesia dengan 1.6 juta pekerja di sektor perladangan, kilang dan domestik, katanya sebagaimana dilaporkan agensi berita Antara.
Menurut beliau, data Bank Indonesia juga menunjukkan jumlah kiriman wang pekerja warganya ke Indonesia sebelum pandemik Covid-19 sekitar AS$3 bilion atau 40 trilion rupiah setahun.
Indonesia menghentikan kemasukan pekerja warganegaranya ke Malaysia buat sementara waktu sejak 13 Julai apabila mendapati Malaysia masih menggunakan saluran selain daripada ‘One Channel System’ meskipun telah dipersetujui melalui perjanjian persefahaman (MoU).
Bagaimanapun, Fadjar percaya Malaysia masih menghormati MoU itu kerana Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia untuk menyelesaikan isu penempatan pekerja Indonesia di Malaysia. – Bernama
POLIS sedang memburu seorang lelaki yang melakukan samun di sebuah gerai makan di Jalan Arung Tampoi, Johor Bahru selepas video kejadian itu tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, kejadian pada kira-kira pukul 6 petang Khamis lalu itu telah dirakam oleh orang awam.
Menurutnya, semasa kejadian mangsa, seorang wanita berusia 18 tahun sedang berseorangan membantu menguruskan gerai makan kerana ibunya sedang berehat.
“Suspek seorang lelaki dipercayai warga tempatan berpura-pura ingin membeli makanan di gerai mangsa namun telah melarikan wang jualan milik mangsa.
“Suspek telah melarikan diri bersama dua lagi rakannya dengan menaiki sebuah kereta Perodua Axia yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, ketika kejadian orang awam membantu mangsa dengan mengejar suspek namun tidak berjaya menahannya.
Akibat kejadian itu katanya, mangsa mengalami kerugian wang tunai sebanyak RM300.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh salurkan maklumat ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di talian 07-5563122.
POLIS akan melakukan siasatan terperinci berhubung satu kenyataan yang didakwa menghina agama dan nabi dalam satu hantaran tular dalam Facebook sejak kelmarin.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan di bawah Akta 506 dan Akta Hasutan 1948 boleh dijalankan sekiranya terdapat kesalahan seperti dinyatakan.
“Setakat ini kita belum terima laporan secara rasmi lagi, tetapi saya akan semak sama ada laporan itu ada dibuat di negeri lain.
“Kesalahan dilakukan akan disiasat sama ada di bawah Akta 506, atau jika sampai menghina agama, siasatan boleh dibuat di bawah Akta Hasutan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Program High Profile Policing (HPP) di Pulau Pangkor di Lumut, hari ini.
Sinar Harian melaporkan, hantaran berkenaan dipercayai dilakukan seorang lelaki berwatakan wanita dari Sitiawan.
Hantaran itu turut menarik perhatian warganet yang meminta pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu berkenaan.