Category: Semasa

  • Siswazah Ijazah Muda Kelas Pertama dapat pengecualian bayar balik

    Siswazah Ijazah Muda Kelas Pertama dapat pengecualian bayar balik

    KERAJAAN akan memberikan semula pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada siswazah Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama, yang menamatkan pengajian mereka bermula  dari 2019.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keistimewaan itu akan diberikan kepada siswazah yang layak tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama.

    Justeru itu, beliau berharap PTPTN dapat berbincang dengan Kementerian Kewangan berkenaan perkara itu dari segi peruntukan yang terlibat.

    “Ini sebagai dorongan kepada anak-anak Keluarga Malaysia untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan kelulusan yang terbaik dalam pengajian mereka,” katanya.

    Beliau membuat pengumuman itu ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN di Pusat Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) (MECC) Kuala Lumpur hari ini.

  • Pemotong rumput mengaku tidak bersalah perdaya wanita babit hampir RM96,000

    Pemotong rumput mengaku tidak bersalah perdaya wanita babit hampir RM96,000

    SEORANG pemotong rumput mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini, atas empat pertuduhan memperdaya seorang wanita mendapatkan perkhidmatan tradisional atau bomoh tidak wujud sehingga mangsa kerugian hampir RM96,000 pada Mac lepas.

    Tertuduh, Mohamad Aizat Ahmad, 24, membuat pengakuan itu sebaik kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam prosiding di dua mahkamah berasingan.

    Mengikut pertuduhan pertama yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Salleh, Mohamad Aizat didakwa memperdaya seorang pegawai kewangan berusia 42 tahun bagi mendapatkan perkhidmatan tradisional (bomoh) tidak wujud kononnya boleh menyembuhkan penyakit misteri dialami mangsa.

    Tindakan tersebut mendorong mangsa menyerahkan barang kemas dan wang tunai RM4,000 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM15,362.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap wanita itu sehingga mendorongnya memindahkan wang berjumlah RM34,020 ke satu akaun bank sebuah syarikat.

     Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah kedai makan di Senawang, di sini, kira-kira jam 6 petang pada 19 Mac lepas.

    Sementara itu, di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin, tertuduh turut berdepan dua pertuduhan melakukan perbuatan sama terhadap mangsa pada masa dan lokasi sama menyebabkan wanita itu memindahkan wang masing-masing berjumlah RM14,530 dan RM32,000 ke dalam akaun bank sebuah syarikat yang berbeza.

    Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi dan Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Pasangan suami isteri didenda RM20,000 dera anak angkat

    Pasangan suami isteri didenda RM20,000 dera anak angkat

    PASANGAN suami isteri masing-masing didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi hari ini kerana mendera anak angkat mereka berumur empat tahun.

    Hakim Effandi Nazila Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas peniaga, Amira Hamzah, 28, dan suaminya Muhammad Fitri Jasmani Josmani, 30, warga Singapura selepas mereka mengaku bersalah menganiaya kanak-kanak perempuan itu sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

    Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman mereka di Eco Majestic, Semenyih pada 1.25 tengah hari, antara April dan 18 Julai 2022.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

    Mahkamah turut memerintahkan pasangan itu dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, kedua-dua tertuduh merayu hukuman denda minimum atas alasan mereka tiada niat untuk mendera mangsa, sebaliknya bimbang dengan kesihatan anak angkat mereka.

    “Kami tiada niat untuk mendera, sebenarnya kami cuma hendak pastikan dia makan dan tidak kurang zat dalam badan,” kata Muhammad Fitri.

    Hakim Amir memohon hukuman penjara dan denda atas alasan tindakan tertuduh bukannya untuk mendidik tetapi ia dianggap zalim dan tidak adil selain mereka tidak amanah serta tidak bertanggungjawab dalam menjaga mangsa.

    “Kecederaan mangsa bukan satu tempat sahaja tetapi satu badan. Ini boleh menyebabkan kanak-kanak itu trauma seumur hidup dan dia sepatutnya diberi perhatian dan kasih sayang,” katanya.

    Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, seorang pengadu yang juga pekerja kepada Amira melihat majikannya itu memukul kanak-kanak berkenaan menggunakan penyangkut baju dan batang kayu penyapu.

    Pengadu memaklumkan kejadian itu kepada ibu mentua Amira, namun tidak diendahkan sebaliknya dia dimarahi oleh wanita itu.

    Hasil siasatan polis mendapati, mangsa dipukul oleh Amira yang dipanggil ‘mummy’ pada anggota badan dan dua doktor di Hospital Kajang mengesahkan kecederaan dialami kanak-kanak itu selari dengan laporan polis dibuat pengadu.

    Di mahkamah sama, Muhammad Fitri didenda maksimum RM10,000 atau penjara enam bulan selepas mengaku bersalah tinggal lebih tempoh yang dibenarkan di Malaysia.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama pada 2.30 pagi, 22 Julai lepas, mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (4) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

    Baru-baru ini, tular video di media sosial yang memaparkan seorang wanita memukul anak angkatnya berusia empat tahun dengan menggunakan batang kayu penyapu kerana enggan makan nasi di sebuah rumah.

  • Kerajaan tetap tak iktiraf UEC

    Kerajaan tetap tak iktiraf UEC

    KERAJAAN kekal dengan pendirian tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana ia bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996.

    Menteri Pendidikan Datuk Radzi Jidin berkata, UEC yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) menggunakan kurikulum yang digubal serta dibangunkan Dong Zong, selain bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama.

    Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Radzi berkata, kerajaan hanya akan mempertimbangkan penyelesaian berhubung pengiktirafan terhadap UEC, jika ia diubah selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

    “Dasar Pendidikan Kebangsaan dilaksanakan melalui sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, melaksanakan kurikulum kebangsaan dan menyediakan murid untuk menduduki peperiksaan sama.

    “Penetapan ini bagi memenuhi aspirasi serta keperluan negara pada masa hadapan dan sebagai usaha memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat, selaras prinsip Rukun Negara.

    “Oleh itu, UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan, sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa depan,” katanya menjawab pertanyaan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) sama ada kerajaan berhasrat mengiktiraf UEC untuk kemasukan ke universiti awam dan bila kerajaan akan menyalurkan peruntukan kepada SMPC.

    Radzi berkata, kementeriannya tidak pernah menyalurkan sebarang peruntukan kewangan kepada SMPC kerana UEC tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, Akta Pendidikan 1996 dan undang-undang lain.

  • Polis siasat insiden guru ‘pegang’ telinga murid OKU

    Polis siasat insiden guru ‘pegang’ telinga murid OKU

    POLIS Pulau Pinang mengesahkan tindakan seorang guru pendidikan khas memegang telinga seorang kanak-kanak perempuan golongan orang kurang upaya (OKU) hingga menyebabkan kecederaan seperti yang ditularkan baru-baru ini bertujuan menenangkan kanak-kanak itu daripada terus bertindak agresif.

    Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, siasatan pihaknya mendapati kejadian itu berlaku di sebuah sekolah pendidikan khas di Seberang Jaya dan ibu mangsa turut membuat laporan polis di Balai Polis Seberang Jaya pada 19 Julai lalu.

    Menurut beliau, siasatan lanjut polis kemudian mengesahkan bahawa mangsa merupakan seorang kanak-kanak autisme dan telah mengikuti kelas pendidikan khas di sekolah berkenaan.

    “Kanak-kanak perempuan itu dikatakan bertindak agresif di dalam kelas hingga menyebabkan murid yang lain takut serta menangis.

    “Akibatnya, seorang guru perempuan yang berusia lingkungan 30-an telah datang ke arah mangsa dan memegang kedua-dua belah telinga kanak-kanak itu dalam usaha untuk menenangkannya daripada terus bersikap agresif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, kejadian itu tular di laman sosial selepas gambar kanak-kanak perempuan terbabit yang didakwa menjadi mangsa dera dimuat naik di laman Facebook milik Mona Din, baru-baru ini.

    Cheng San memberitahu, tindakan guru terbabit bagaimanapun menyebabkan mangsa mengalami lebam di kedua-dua belah telinga dan terpaksa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini untuk rawatan lanjut.

    “Susulan kejadian ini, polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, ” kata beliau yang memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.

    Dalam pada itu, Cheng San turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan berita yang tidak sahih kerana boleh menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan kepada masyarakat.

  • Kes edar dadah: Pemandu peribadi terlepas tali gantung

    Kes edar dadah: Pemandu peribadi terlepas tali gantung

    SEORANG  pemandu peribadi dibebaskan dan dilepaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini daripada tuduhan mengedar 47 kilogram ganja, lima tahun lepas.

    Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap lelaki itu.

    Nur Azimuddin Md Noor, 42, yang berasal dari Pulau Pinang itu didakwa mengedar 47.76 kg ganja di Parkir Basement, Vanda Business Park, Jalan Sungai Dua Georgetown pada kira-kira 11.30 malam, 3 Feb, 2017.

    Nur Azimuddin, yang diwakili peguam Abd Rahim Mohamed dan R. Dev Chander, didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Dalam penghakimannya, Mohd Radzi berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen jagaan, kawalan dan pengetahuan berhubung pemilikan dadah berkenaan oleh tertuduh.

    Mahkamah juga mendapati berlakunya percanggahan dalam keterangan saksi-saksi penting pihak pendakwaan.

    Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari memanggil seramai 11 saksi memberi keterangan sejak 1 Nov 2021.

    — BERNAMA

  • Pasang segera sistem amaran awal Gunung Inas  

    Pasang segera sistem amaran awal Gunung Inas  

    Oleh BADLISHAH MAT

    SISTEM siren amaran awal di Kampung Iboi, Kupang di Baling perlu dipasang segera bagi mengelak risiko fenomena kepala air daripada berulang sehingga berlakunya kemalangan jiwa.
     
    Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Datuk Najmi Ahmad, kerajaan negeri Kedah akan menyerahkan kajian berkaitan perkara itu kepada agensi terlibat untuk tindakan segera.
     
    “Oleh kerana kita tidak dapat jangka, kita rasa amat perlu dipasang sistem amaran awal di Gunung Inas kerana dengan keadaan cuaca tidak menentu dan bentuk muka bumi, penduduk terdedah kepada risiko tragedi kepala air ini berulang.
     
    “Kita memang memberi keutamaan kepada keselamatan penduduk, di peringkat kerajaan negeri sudah bertindak pantas dalam menangani persoalan ini dan kita rasa sistem amaran ini sangat perlu,” katanya selepas menghadiri Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara ke-16 di Alor Setar, hari ini.

    Tragedi kepala air di Gunung Inas pada 4 Julai lalu mengorbankan tiga nyawa penduduk serta mengakibatkan lebih 800 rumah penduduk terutamanya di Kampung Iboi dan sekitar Kupang terjejas.
     
    Najmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah berkata, pihaknya telah mengambil maklum mengenai kebimbangan penduduk di kawasan berkenaan terutamanya dengan impak kepala air itu.

    Beliau berkata, kesan tragedi tersebut turut mengubah struktur sungai terutama Hutan Lipur Lata Celak yang semakin cetek kerana dipenuhi pasir.
     
    “Kerja membuat benteng pasir dan mendalamkan sungai itu sedang dijalankan oleh agensi berkaitan dan pemantauan pihak terbabit sering dilakukan. 
     
    “Tindakan sedang dijalankan seperti mendalamkan sungai dan bina benteng. Kita harap orang kampung jangan risau kerana perkara itu dalam perhatian kerajaan dan semua agensi terlibat sedang melaksanakan kerja mereka,” katanya.
     

  • Hotel di Alor Setar enam kali terbakar dalam masa sebulan

    Hotel di Alor Setar enam kali terbakar dalam masa sebulan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SELEPAS lima kali mengalami kebakaran dalam skala kecil sejak 7 Julai lalu, sebuah hotel dekat Limbong Kapal di Alor Setar, Kedah akhirnya musnah sebanyak 90 peratus dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.

    Pegawai Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohd. Naim Mat Jaafar berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa mahu pun kecederaan.

    Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 2.26 pagi dan beberapa jentera bersama pasukan bomba sukarela (PBS) bergegas ke lokasi kejadian.

    “Setibanya di lokasi, didapati api sudah pun marak. 90 peratus daripada bangunan itu dibina menggunakan kayu menyebabkan api mudah merebak.

    “Secara keseluruhannya, kira-kira 90 peratus bangunan hotel itu musnah. Kebakaran itu turut menjejaskan sebanyak 20 peratus kafe di sebelah kanan hotel tersebut dan lima peratus rumah kedai di sebelah kirinya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di Alor Setar, hari ini.

    Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan api yang sedang marak membakar sebuah hotel di Alor Setar, awal pagi tadi.

    Kebakaran pertama di hotel tersebut direkodkan pada 7 Julai, 11 Julai, 12 Julai, 13 Julai, semalam dan yang terbaharu kira-kira pukul 2.15 pagi tadi.

    Sementara itu, pembantu pengurus kafe tersebut, Mohd Firdaus Abdul Rahman, 38, berharap pihak berkuasa dapat segera menyiasat punca kejadian itu.

    “Kebakaran ini benar-benar menjejaskan kami kerana tidak lagi boleh menjalankan perniagaan. Di sini, terdapat kira-kira 10 peniaga yang sama-sama menjalankan perniagaan makanan di tapak kafe kami.

    “Sudah tentu pendapatan kami semua terjejas. Selepas enam kali berlaku kebakaran hingga kali ini menjejaskan perniagaan kami, sudah tentu kami mahu tahu apa punca kepada kejadian ini,” katanya.

    Keadaan hotel yang terbakar di Limbong Kapal, Alor Setar awal pagi tadi.

    Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir memaklumkan, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah dalam kejadian tersebut.

  • Rogol pembantu rumah: ADUN Tronoh dihukum penjara 13 tahun, 2 sebatan

    Rogol pembantu rumah: ADUN Tronoh dihukum penjara 13 tahun, 2 sebatan

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dihukum penjara 13 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya pada 2019.

    Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu ke atas Yong selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

    Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

    Mahkamah kemudian membenarkan Yong diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin selain dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Abdul Wahab berkata hukuman berat perlu dikenakan bagi memberi teladan kepada Yong dan masyarakat.

    Beliau berkata, ia supaya benar-benar memberi pengajaran dan amaran kepada mereka yang bertindak untuk melakukan kesalahan itu.

    “Sebagai majikan sepatutnya bagi perlindungan kepada warga asing tetapi bertindak semata-mata nafsu serakah,” katanya.

    Pada 31 Mac 2022, pasukan pembelaan diketuai peguam Datuk Rajpal Singh bersama Salim Bashir menutup kesnya selepas memanggil tiga saksi iaitu Yong, 52, dan isteri, Too Choon Looi, 46, serta bapa saudara kepada pembantu rumah itu.

    Yong didakwa merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi dibantu dua Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin.

    Sementara itu, Setiausaha di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur, Junjungan Sigalingging ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang menunjukkan sistem perundangan negara ini yang adil. – BERNAMA

  • Banyak lokasi di Semenanjung putus bekalan elektrik, apa puncanya?

    Banyak lokasi di Semenanjung putus bekalan elektrik, apa puncanya?

    BEBERAPA lokasi sekitar Semenanjung Malaysia dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik sebentar tadi.

    Berdasarkan maklumat yang dikongsikan netizen dalam media sosial, lokasi-lokasi terbabit adalah di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pahang, Perak dan Pulau Pinang.

    Difahamkan, situasi itu berlaku di Lembah Klang dalam situasi hujan lebat.

    Gangguan bekalan elektrik mula berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari dan beransur-ansur pulih mulai dalam 15 minit kemudian.

    Sementara itu, laman Facebook TNB Careline dalam hantaran terkini mengesahkan terdapat gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan ketika ini.

    “Pasukan teknikal kami sedang mengenal pasti punca kejadian. Usaha sedang giat dijalankan untuk memulihkan bekalan.

    “Kami mohon maaf di atas segala kesulitan dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini,” katanya.

    Bernama melaporkan, gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sejak 12.39 tengah hari ini adalah melibatkan 2.2 gigawatt (GW) iaitu 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan.

    Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan antara kawasan yang terlibat adalah di Petaling Jaya, Cheras; Bangi (Lembah Klang); Bayan Lepas dan Seberang Jaya (Pulau Pinang); Panchor, Johor dan Bandar Indera Mahkota, Pahang.

    “Bagaimanapun, bekalan telah dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 20 hingga 40 minit di semua kawasan terlibat kecuali di kawasan-kawasan terbabit di Lembah Klang,” menurut TNB.

    TNB memaklumkan punca kejadian sedang dikenal pasti dan usaha sedang giat dijalankan untuk memulihkan bekalan.

    “TNB akan memaklumkan kepada para pelanggan dari semasa ke semasa. Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini,” katanya.

    Dalam kenyataan terkini, TNB memaklumkan, pihaknya berjaya memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik kepada semua kawasan yang mengalami gangguan elektrik pada pukul 3.02 petang.

    Menurut TNB, kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku hasil usaha berterusan Pasukan Teknikal TNB.

    “Siasatan TNB mendapati gangguan bekalan yang bermula pada jam 12.39 tengah hari ini berpunca daripada kerosakan di salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

    “Ia telah mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2GW yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.

    “Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini,” jelasnya.

    Untuk sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan, pengguna boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454.

    Sementara itu, Rapid Rail Sdn Bhd mengesahkan bahawa perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling turut terkesan akibat masalah bekalan elektrik melibatkan beberapa kawasan di Lembah Klang.

    Syarikat tersebut dalam kenyataan media hari ini berkata, perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dilaporkan mengalami gangguan kira-kira pada jam 12.48 tengah hari melibatkan 11 stesen dari Stesen LRT Bandar Tun Razak sehingga Stesen LRT Pusat Bandar Puchong.

    “Akibat masalah ini, tren bergerak dengan lebih perlahan dan berhenti lama di platform. Penumpang yang terjejas telah ditawarkan kupon perjalanan sehala secara percuma yang perlu tebus di kaunter khidmat pelanggan.

    “Perkhidmatan pulih sepenuhnya pada jam 1.35 petang,” jelasnya.