Category: Semasa

  • Bomba selamatkan bayi terperangkap dalam kereta

    Bomba selamatkan bayi terperangkap dalam kereta

    PASUKAN bomba terpaksa dipanggil bagi membantu mengeluarkan bayi lelaki berusia 10 bulan yang terperangkap dalam sebuah kereta di Jitra, Kedah pada Khamis.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan mengenai kes itu pukul 7.40 pagi.

    Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Sezali Hassan tiba di lokasi tidak lama kemudian, lapor Berita Harian.

    “Setiba di lokasi, didapati bayi lelaki berusia 10 bulan itu masih terperangkap di dalam kereta jenis Honda City yang terkunci.

    “Komander operasi mengarahkan anggota untuk berusaha membuka pintu kereta dengan menggunakan peralatan khas yang dibekalkan,” katanya.

    Tambahnya, operasi itu tamat pada pukul 8.34 pagi setelah pihak bomba berjaya mengeluarkan bayi tersebut dan diserahkan kepada keluarga.

    “Pintu kereta itu berjaya dibuka dan bayi 10 bulan berkenaan berjaya diselamatkan sebelum diserahkan kepada keluarganya,” katanya.

  • Indonesia tarik balik sekatan tenaga kerja ke Malaysia

    Indonesia tarik balik sekatan tenaga kerja ke Malaysia

    INDONESIA akan menarik balik sekatan kemasukan tenaga kerjanya ke Malaysia berkuat kuasa 1 Ogos, dengan sistem pengambilan sedia ada pekerja Perkhidmatan Domestik Indonesia (PDI) diintegrasi antara Jabatan Imigresen Malaysia dan Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur.

    Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, integrasi sistem itu akan berperanan sebagai saluran tunggal pengambilan dan kemasukan PDI ke Malaysia seperti yang dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman PDI (MOU PDI) sebelum ini.

    “Sistem ini akan beroperasi dalam masa tiga minggu lagi di bawah pengawalseliaan Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-Indonesia,” katanya dalam kenyataan bersama rakan sejawat Indonesia, Ida Fauziyah.

    Beliau berkata, satu projek rintis akan dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan sebaik integrasi sistem selesai bagi memastikan sistem saluran tunggal ini beroperasi dengan lancar.

    “Oleh yang demikian, pihak Indonesia bersetuju untuk menarik kembali sekatan kemasukan PDI dan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) ke Malaysia bermula Ogos 1,” kata Saravanan.

    Pada 13 Julai, Indonesia memaklumkan mengenai keputusan membekukan sementara kemasukan semua pekerja negara itu ke Malaysia kerana tidak menggunakan sistem tunggal seperti yang dipersetujui sebelumnya.

    Ini berikutan Jabatan Imigresen terus menggunakan System Maid Online (SMO) dalam urusan permohonan pembantu rumah warga asing oleh majikan, biarpun kedua-dua negara bersetuju menggunakan satu saluran iaitu OCS menerusi MoU PDI yang dicapai pada April lepas.

    Saravanan percaya, penyelesaian isu-isu dalam MOU PDI ini akan mendorong kepada kelancaran kemasukan pekerja warga Indonesia ke Malaysia dalam sektor pekhidmat domestik mahupun sektor lain yang dibenar untuk penggajian pekerja warga asing.

    Justeru beliau mengingatkan majikan yang mana kuota pekerja warga asing mereka telah diluluskan oleh Kementerian Sumber Manusia untuk segera membuat bayaran levi kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

    Saravanan berada di Jakarta sempena mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama antara Malaysia dan Indonesia sebagaimana yang digariskan dalam MOU PDI yang telah selesai bersidang pada Rabu (27 Julai).

    Mesyuarat itu telah membincangkan isu-isu dasar dan teknikal dalam pelaksanaan MOU PDI yang telah ditandatangani pada 1 April 2022.

    Terdahulu, Ida berkata, persetujuan bersama tentang langkah-langkah yang diperlukan penting untuk memastikan pelaksanaan MoU secara menyeluruh khususnya Sistem Satu Saluran (OCS) .

    Sebelum ini, Kumpulan Kerja Bersama itu telah menemui beberapa isu pelaksanaan daripada segi dasar dan teknikal yang boleh menjejaskan pelaksanaan MoU.

    “Kami setuju untuk mengambil semua langkah yang diperlukan untuk memastikan norma dan prosedur yang ditetapkan dalam MoU dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak dengan melibatkan agensi atau lembaga berkaitan dalam pemerintahan memasing-masing,” katanya.

    Beliau berkata, keberkesanan pelaksanaan daripada komitmen yang dibuat dalam MoU itu juga penting sebelum Indonesia menghantar semula PDI ke Malaysia Ogos nanti. – BERNAMA

  • Kelindan lori hantar dadah ditahan polis

    Kelindan lori hantar dadah ditahan polis

    POLIS menahan seorang lelaki selepas didapati membawa dadah disyaki ganja menggunakan sebuah kereta di KM311.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, Selasa lepas.

    Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, lelaki berusia 44 tahun itu yang bekerja sebagai kelindan lori ditahan Polis Peronda Lebuhraya kira-kira pukul 3 petang selepas dikesan memandu secara berbahaya.

    “Hasil pemeriksaan ke atas kereta jenis Honda Accord berwarna putih itu menemukan bungkusan berwarna hitam yang di dalamnya mengandungi empat ketulan mampat berbalut plastik lut sinar berisi tumbuh-tumbuhan kering disyaki ganja.

    “Suspek berasal dari Bagan Serai itu dikenal pasti sebagai penghantar dadah dan disyaki dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Lembah Klang bagi menghantar dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di Tapah, hari ini.

    Beliau berkata, lelaki itu direman hingga 2 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti ahli sindiket terlibat dan sumber dadah diperoleh.

    “Hasil saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah dan mempunyai satu rekod lampau berkaitan pengedaran dadah selain dua rekod berkaitan jenayah di bawah Seksyen 302 dan 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Beliau berkata, polis turut menyita kereta Honda Accord berkenaan untuk siasatan lanjut. manakala dadah seberat kira-kira empat kilogram itu dianggar bernilai RM10,000 dan boleh digunakan seramai 2,684 penagih. – Bernama

  • SPRM masih siasat kes bekas Ketua Pengarah MEIO

    SPRM masih siasat kes bekas Ketua Pengarah MEIO

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneruskan siasatan kes dakwaan pecah amanah melibatkan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, siasatan lanjut terhadap Hasanah berterusan berikutan siasatan sedang dijalankan SPRM terhadap seorang pegawainya mengenai kehilangan barang berkaitan kes tersebut.

    Jelas beliau, perkara itu telah menyebabkan kelewatan dalam siasatan lanjut terhadap kes Hasanah.

    “Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima kertas siasatan berhubung dengan kes Hasanah daripada SPRM pada 4 Oktober 2012.

    “Namun, siasatan lanjut terhadap Hasanah masih berterusan berikutan dengan siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM terhadap seorang pegawai serbuannya mengenai kehilangan barang berkaitan kes Hasanah.

    “Setakat ini, tiada apa-apa syor dikemukakan SPRM berhubung kes ini,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen, hari ini, lapor Utusan TV.

    Beliau menjawab soalan R. Sivarasa yang bertanyakan mengapa siasatan kes bekas Ketua Pengarah MEIO itu mengambil masa lebih setahun sejak April tahun lalu, selepas beliau dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi.

    Pada 12 April lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Hasanah daripada pertuduhan melakukan pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia, tiga tahun lalu.

    Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memohon untuk tidak meneruskan kes terhadap Hasanah.

    Ketika itu, pihak pendakwaan memaklumkan Hasanah akan dihadapkan semula dengan pertuduhan baharu selepas mendapati ‘kewujudan penemuan-penemuan baharu’.

    Pada 25 Oktober 2018, Hasanah, 65, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam, iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM), melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan JPM di Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, antara 30 April hingga 9 Mei 2018.

    Bekas Ketua Pengarah MEIO itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

  • Rebut kawasan jaja buah potong, seorang lelaki ditahan

    Rebut kawasan jaja buah potong, seorang lelaki ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS menahan seorang lelaki berusia 37 tahun selepas video memarahi seorang peniaga buah wanita di Parit Raja, Batu Pahat tular dalam media sosial sejak semalam.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, lelaki itu ditahan pada pukul 3 petang kelmarin di pekan Parit Raja susulan satu laporan polis yang diterima pihaknya daripada wanita tersebut pukul 11.45 malam kelmarin, Isnin lalu.

    “Hasil soal siasat suspek yang juga merupakan seorang peniaga buah potong dan minuman mengakui telah memarahi mangsa kerana tidak mahu wanita itu menjaja di kawasan Parit Raja yang dikhuatiri boleh menjejas perniagaannya.

    “Suspek telah mula berniaga di kawasan Parit Raja sehingga ke Kluang sejak dua tahun lalu dan tiada sebarang elemen gangsterism serta jenayah dikesan dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, wanita berusia 40 tahun sebelum itu mengatakan telah dimarahi oleh suspek yang tidak dikenali semasa berniaga.

    Menurutnya, kejadian berlaku di pekarangan sebuah restoran di Parit Raja, Batu Pahat.

    “Semasa kejadian, pengadu bersama anaknya menunggang motosikal menjaja dari sebuah kedai ke sebuah kedai yang lain pada waktu malam hari,” katanya.

    Beliau berkata, mangsa telah menjaja buah potong di kawasan Tongkang Pechah sejak 10 tahun lalu sebelum meluaskan kawasan perniagaannya ke kawasan Parit Raja.

    Sehubungan itu katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan saksi-saksi awam yang lain untuk mengesahkan keterangan kedua-dua pihak.

  • Ah long punca kerugian lebih RM4 juta sejak Januari

    Ah long punca kerugian lebih RM4 juta sejak Januari

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) merekodkan 506 kes penipuan pinjaman wang tidak berlesen atau ah long membabitkan jumlah kerugian lebih RM4.28 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

    Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said, berkata statistik kes membabitkan ah long antara Januari hingga Jun tahun ini itu, menunjukkan Johor mencatat jumlah kes tertinggi dengan 86 kes atau 17 peratus daripada keseluruhan kes.

    “Pelbagai usaha dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengekang sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen termasuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, pengoperasian, tangkapan dan menjalankan pendakwaan ke atas mereka yang terbabit dalam penipuan.

    “Sepanjang tempoh kajian Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 744 tangkapan dibuat dan 241 pertuduhan dilaksanakan,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini lapor Berita Harian hari ini.

  • Kontraktor didakwa atas tuduhan edar 10kg dadah

    Kontraktor didakwa atas tuduhan edar 10kg dadah

    SEORANG kontraktor didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini, atas tuduhan mengedar 10 kilogram (kg) dadah, minggu lalu.

    Yip Simon, 35 tahun, mengangguk faham apabila tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, lapor Astro Awani .

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 10.356kg.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tempat letak kereta, pusat makanan Gunung Rapat Enam Enam, Jalan Raja Musa Mahadi, di Ipoh, pada pukul 4.40 petang, 21 Julai lalu.

    Dia didakwa di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 11 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan laporan kimia.

    Tiada jaminan ditawarkan dan tertuduh dibenarkan membuat laporan polis yang didakwa peguamnya boleh digunakan dalam mahkamah.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh diwakili peguam J. Matthews.

    Ketika ditemui di luar mahkamah, Matthews berkata, isteri tertuduh dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

    Pada 21 Julai lalu, polis menahan sepasang suami isteri dan merampas dadah jenis methamphetamine seberat lebih 20 kilogram di dua lokasi di Ipoh.

  • Penghantar makanan mengaku didakwa rogol remaja bawah umur

    Penghantar makanan mengaku didakwa rogol remaja bawah umur

    SEORANG penghantar makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur, 16 Julai lalu.

    Afiq Yan Muhammad Farid Yan, 20, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun 11 bulan.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Bandar Raya Ipoh, sekitar pukul 12.30 tengah malam pada tarikh berkenaan.

    Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa.

    Mahkamah turut menetapkan 9 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam Mahajoth Singh.

  • Dua jurulatih gimrama negara disekat ke England?

    Dua jurulatih gimrama negara disekat ke England?

    STATUS kelulusan visa dua jurulatih gimrama negara yang merupakan warganegara Rusia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, di Birmingham, kini menjadi tanda tanya.

    Tanpa menyebut nama jurulatih terlibat, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kedua-dua mereka bakal terkena tempias susulan sekatan kemasukan dilaksanakan kerajaan United Kingdom (UK) ke atas warga Rusia.

    “Pihak pengurusan kontinjen Malaysia telah memenuhi semua proses pendaftaran sebagaimana ketetapan penganjur malah telah mengemukakan surat rayuan kepada presiden CGF (Persekutuan Sukan Komanwel) bagi membantu mempercepatkan kelulusan visa tersebut.

    “Namun, maklum balas yang diterima daripada pihak CGF berhubung status visa bagi kedua-dua jurulatih gimrama negara memaklumkan bahawa mereka juga masih menunggu keputusan UK Visas and Immigration,” katanya kepada pemberita di Birmingham, semalam.

    Ahmad Faizal berkata demikian usai sesi perjumpaan bersama kem ragbi tujuh sebelah, judo dan triatlon negara di perkampungan sukan di University of Warwick, kira-kira setengah jam perjalanan dari pusat bandar, di Birmingham.

     Katanya, menurut makluman daripada pihak CGF, sekatan itu juga melibatkan semua warga Rusia yang mewakili negara lain pada temasya empat tahun sekali itu.

    Justeru, beliau berkata sekiranya rayuan berkenaan tidak berjaya, maka Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia Afrita Ariany Nasril serta jurulatih tempatan Lim Win Chean akan diterbangkan ke Birmingham, esok untuk menguruskan pasukan gimrama negara sepanjang temasya berlangsung.

    Ahmad Faizal memaklumkan kontinjen negara dianggotai Koi Sie Yan, Ng Joe Ee dan Izzah Amzan turut dijadual berlepas esok dari Minsk, Belarus, setelah menjalani latihan intensif di sana.

    Skuad gimrama kebangsaan akan mula beraksi pada 4 Ogos di Arena Birmingham.

    Dalam pada itu, beliau yakin cuaca dingin di Birmingham tidak akan menjejaskan persembahan 104 atlet yang berjuang  membawa cabaran negara dalam temasya yang dibuka secara rasmi bermula 7 malam ini (2 pagi Jumaat waktu Malaysia).

    Sementara itu, Ahmad Faizal yang menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan Komanwel ke-10 di sini, semalam memberitahu Malaysia telah menyatakan inisiatif yang diambil kerajaan seiring dengan hasrat Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

    Tambahnya, antara inisiatif dibawa ke mesyuarat tersebut adalah pelancaran Pelan Tindakan Wanita dalam Sukan dengan peruntukan berjumlah RM10 juta, penganjuran Liga Esports Para serta penyediaan Visi Sukan Negara 2030 bagi memacu pembangunan sukan negara untuk tempoh 10 tahun akan datang.

  • Berhati-hati mereka yang masih guna gelaran palsu, kata Wan Junaidi

    Berhati-hati mereka yang masih guna gelaran palsu, kata Wan Junaidi

    KERAJAAN terutama pihak penguat kuasa tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang yang sedia ada terhadap mereka yang masih menyalahgunakan gelaran palsu dan menjalankan aktiviti menipu.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihak kerajaan sedang giat menguatkuasakan Akta 787 (Akta Kesalahan yang Berhubungan dengan Anugerah 2017).

    “Penguatkuasaan akta ini adalah bagi membendung penyalahgunaan gelaran dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf dan palsu.

    “Perlu diingatkan bahawa antara kesalahan di bawah Akta 787, pesalah boleh didenda sehingga maksimum RM500,000 dan juga hukuman penjara maksimum 20 tahun.

    “Saya berharap pihak penguat kuasa, terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan lebih tegas dan menyeluruh bagi memastikan Akta 787 ini dapat dikuatkuasakan sepenuhnya di seluruh negara,” ujarnya pada Majlis Makan Malam dan Pelancaran Majlis Datuk Dato’ Malaysia (MDDM), di Shah Alam, malam tadi.

    Ucapan Wan Junaidi itu dibacakan oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abd Shukor Mahmood.

    Beliau mahu pihak media dan orang ramai juga memainkan peranan untuk mendedahkan kes-kes penyalahgunaan gelaran palsu.

    Menurut Wan Junaidi lagi, tindakan tegas ini juga penting bagi memelihara kedudukan dan kemurnian anugerah, gelaran dan darjah-darjah kebesaran yang dikurniakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.

    “Inilah sebenarnya, intipati dan objektif utama Akta 787 ini dan pada pandangan saya, penubuhan MDDM adalah sangat bertepatan di kala pihak kerajaan sedang giat menguatkuasakan Akta 787 ini,” ujarnya.

    Beliau berharap, MDDM akan menjadi pertubuhan dan platform utama bagi mendaftar semua Datuk yang benar-benar diiktiraf dalam negara ini.

    “Saya gembira apabila dimaklumkan bahawa, MDDM akan melaksanakan proses saringan yang ketat bagi memastikan semua permohonan keahlian adalah betul-betul dari kalangan mereka yang menerima Darjah Kebesaran dan gelaran yang diiktiraf di negara kita,” kata beliau.

    Ini penting, katanya, kerana masyarakat umum dan pihak media terus menerus melahirkan kebimbangan terhadap kewujudan dan penggunaan gelaran Datuk yang tidak diiktiraf dan palsu.

    Bahkan tegas beliau, ada juga kes yang melibatkan penggunaan gelaran Tan Sri palsu.

    “Sesetengah mereka percaya dengan menggunakan gelaran tersebut akan dapat meyakinkan dan mengaburi mata orang ramai bahawa mereka ini mempunyai status dan kredibiliti tertentu di kalangan masyarakat.

    “Apa yang lebih membimbangkan adalah, mereka ini menyalahgunakan gelaran-gelaran ini untuk tujuan penipuan dan juga jenayah.

    “Begitu juga, masih ada pihak-pihak yang secara terang-terangan mengadakan majlis-majlis tertentu di mana mereka datang menghadiri majlis tersebut dengan mengenakan ‘Number 1 Dress’ atau ‘Mess Kit’ lengkap dengan pingat, selempang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf dan palsu,” ujarnya lagi.