Category: Semasa

  • Love Scam:Bekas pengarah syarikat rugi RM5.29 juta

    Love Scam:Bekas pengarah syarikat rugi RM5.29 juta

    SEORANG wanita yang merupakan pengarah syarikat di Ipoh, Perak kerugian RM5.29 juta setelah ditipu seorang lelaki warganegara Amerika Syarikat yang dikenalinya di laman sosial ‘Online Dating’.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata mangsa penipuan ‘Love Scam’ berusia 64 tahun itu telah membuat laporan polis hari ini.

    “Suspek memperkenalkan diri sebagai pekerja paramedik di Hospital California memperdayakan mangsa dengan menyatakan beliau (lelaki itu) menerima kontrak besar pembekalan peralatan perubatan bernilai US$22 juta dan perlukan dana modal permulaan serta berjanji ingin mengahwini mangsa,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

    Terpedaya dengan janji tersebut, Azmi berkata mangsa telah melakukan 120 transaksi pindahan wang ke dalam 14 akaun bank yang diberikan suspek secara berperingkat antara Januari hingga Jun 2022 berjumlah keseluruhan RM5.29 juta.

    “Mangsa telah menggunakan kesemua wang simpanan dan membuat pinjaman dengan Pemberi Pinjam Wang Berlesen. Semakan awal mendapati akaun bank yang terlibat (akaun lelaki itu) juga mempunyai rekod untuk beberapa kes penipuan menggunakan modus operandi yang sama,” katanya.

    Azmi berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Bernama

  • Tular buaya muncul lagi di perairan Port Dickson

    Tular buaya muncul lagi di perairan Port Dickson

    KELIBAT seekor buaya muncul lagi dan kelihatan berenang tidak jauh di perairan di bandar Port Dickson berhampiran Benteng Malam.

    Pengunjung Benteng Malam, Fauzi Ahmad, 46, berada tidak jauh dari Benteng Malam ketika terdengar seorang nelayan memberitahu ada buaya.

    “Memang saya pernah dengar wujudnya buaya air masin di kawasan Port Dickson tetapi ini kali pertama saya nampak buaya secara jelas sedang berenang di kawasan ini.

    “Buaya ini tidaklah besar tetapi rasanya ia sepanjang dua meter dan dipercayai sudah biasa dengan air masin. Pastinya kehadiran buaya ini membimbangkan nelayan serta pengunjung pantai,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Dia berharap pihak berkuasa tempatan atau Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat menangkap buaya itu segera.

    “Port Dickson adalah kawasan yang terkenal sebagai pantai peranginan yang disukai pengunjung dan pastinya kehadiran buaya di kawasan ini amat membimbangkan.

    “Kita berharap pihak berwajib dapat bertindak segera kerana bimbang kejadian yang tidak diingini berlaku yang membahayakan keselamatan orang ramai yang berkelah di sepanjang pantai ini dan juga nelayan di kawasan ini,” ujarnya.

    Fauzi berharap agar isu buaya berkeliaran di kawasan Pantai Port Dickson tidak diambil mudah pihak berwajib.

    Semalam, tular video seekor buaya sedang berenang sekitar pukul 5.30 petang semalam dan dimuat naik di Facebook (FB).

    Hantaran ini mendapat perhatian ramai warganet dan menimbulkan kebimbangan orang ramai kerana bimbang ada yang menjadi mangsa.

  • Tarikan warna-warni roti canai

    Tarikan warna-warni roti canai

    MENIKMATI roti canai yang merupakan makanan sinonim masyarakat Malaysia di warung terletak di Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor, tentunya memberi kelainan kepada pengunjung.

    Mana tidaknya, pengusaha warung tersebut Dimyati Tualo, 61, mengetengahkan roti canai pelbagai perisa dan warna yang diadun menggunakan resepi ‘rahsianya’.

    Bahkan, kedai yang terletak lebih 70 kilometer dari ibu negara itu dikenali sebagai Warung Roti Canai Pelangi kerana barisan doh tepung pelbagai warna terang yang disusun berselang-seli di atas meja bak pelangi sebelum ditebar dan dimasak.

    Hidangan unik itu bukan sahaja mempunyai warna menarik seperti merah jambu, hijau, biru dan kuning tetapi jua turut berperisa strawberi, durian, epal, keladi dan jagung.

    Berkongsi lanjut, anak jati Kuala Selangor itu berkata beliau mengambil masa kira-kira enam bulan untuk ‘bereksperimen’ mendapatkan resepi dan sukatan betul bagi memasukkan warna dan bahan perisa yang tepat ke dalam adunan.

    “Mula-mula saya hanya letak pewarna sahaja, empat bulan kemudian saya mula bereksperimen meletakkan bahan perasa pula.

    “Penyesuaian sukatan bahan termasuk pewarna, perisa dan bancuhan air, termasuk suhu sesuai adalah aspek paling mencabar dan rumit bagi menjayakan resepi ini, tersalah bancuhan akan menyebabkan keseluruhan adunan rosak,” katanya kepada Bernama.

    Penebar roti canai dengan 15 tahun pengalaman itu berkata perniagaan yang beroperasi 7 pagi hingga 12 tengah hari, itu secara purata menerima 300 pelanggan pada hari Selasa hingga Khamis dan boleh mencecah 1,000 pelanggan ketika beroperasi pada hujung minggu.

    Katanya keunikan roti canai yang mula ditawarkan pada awal 2020 itu turut menjadi tarikan pelancong selain menjadi pilihan persinggahan pasukan konvoi bermotosikal yang melalui kawasan tersebut.

    Menurutnya, sambutan memberangsangkan pelanggan itu turut membuka peluang pekerjaan secara separuh masa kepada anak-anak muda di kampung berhampiran memandangkan beliau memerlukan sehingga 16 pekerja bagi menyokong operasi.

    Bapa kepada lima anak itu berkata beliau mengambil masa kira-kira empat jam untuk menyiapkan roti canai berharga RM1.50 itu, serta menggunakan hampir 10 guni tepung gandum untuk operasi lima hari seminggu.– Bernama

  • Saksi masih positif Covid-19, bicara rasuah Ahmad Zahid tangguh lagi

    Saksi masih positif Covid-19, bicara rasuah Ahmad Zahid tangguh lagi

    PERBICARAAN kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) pada hari ini, ditangguhkan ke 10 Ogos kerana saksi pendakwaan terakhir kes itu masih positif Covid-19.

    Pada prosiding di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memberitahu Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bahawa saksi tersebut yang merupakan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih positif Covid-19 dan dikuarantin sehingga 31 Julai.

    “Jika diizinkan Yang Arif kami mohon sambung bicara kes ini diteruskan pada tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu 10 hingga 12 Ogos depan,” katanya.

    Memandangkan tiada bantahan daripada peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid, mahkamah kemudiannya menangguhkan perbicaraan pada Jumaat dan menetapkan 10 hingga 12 Ogos depan untuk menyambung perbicaraan.

    Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018. – Bernama

  • Berita Khalid Ibrahim meninggal dunia tidak benar

    Berita Khalid Ibrahim meninggal dunia tidak benar

    BERITA mengenai pemergian bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tersebar dalam media sosial adalah tidak benar.

    Bekas Setiausaha Politiknya, Faekah Husin menerusi satu kenyataan berkata, Abdul Khalid masih menerima rawatan di sebuah hospital.

    “Tan Sri Khalid bin Ibrahim masih menerima rawatan di Hospital. Justeru, berita yang tersibar deras awal malam ini bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim telah meninggal dunia adalah tidak benar.

    “Mohon dihentikan sebarang sebaran berita tidak benar bagi menjaga sensitiviti keluarga yang sememangnya sedang berhadapan dengan situasi sukar.

    “Marilah sama-sama kita berdoa agar dipermudahkan urusan buat Tan Sri Khalid,” jelas kenyataan itu,lapor Astro Awani.

     Abdul Khalid sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan tidak sihat dan sedang dalam rawatan dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di ibu negara pada 23 Julai lepas.

    Abdul Khalid pernah menyandang jawatan Menteri Besar Selangor selama enam tahun bermula 13 Mac 2008 hingga 22 September 2014.

    Selain pernah menjadi Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, di antara tahun 2008, 2013 dan 2018.

    Beliau dipecat sebagai MB Selangor oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum jawatan itu digantikan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Sebelum menyandang jawatan menteri besar, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysianized Guthrie yang kini dikenali sebagai Kumpulan Guthrie Bhd dari 1995 hingga 2003.

  • Penganggur disyaki bakar remaja dihadapkan ke Mahkamah

    Penganggur disyaki bakar remaja dihadapkan ke Mahkamah

    SEORANG penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman hari ini atas tuduhan mencederakan seorang remaja lelaki sehingga melecur pada Jumaat lepas.

    Tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan terhadap Shaikh Hilman Hakim Shaikh Anuar, 28, yang mengangguk faham kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

    Shaikh Hilman didakwa menyebabkan cedera parah ke atas Muhammad Fiqrie Adam Abdullah,15, pada 3 pagi, 22 Julai lepas di Kampung Perasing Jaya di Jabor dekat sini.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda atau boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

    Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman menetapkan 1 Ogos ini bagi penetapan jaminan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurhanisah S H Sahul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Farhana Shamsudin.

    Terdahulu tiga lelaki dituduh di mahkamah sama iaitu Mohamad Razman Zalizan dan Mohamad Razif Mohamad, masing-masing berusia 20 tahun serta Muhammad Imran Mohamad, 18, yang turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan Muhammad Fiqrie pada masa, tarikh dan lokasi sama.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 8 Sept untuk sebutan semula kes dan membenarkan ketiga-tiga lelaki tersebut diikat jamin masing-masing RM1,800 dengan syarat tambahan mereka tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azhani Azman dan ketiga-tiga mereka turut diwakili peguam Nurul Farhana.

    Sebelum ini media melaporkan seorang remaja lelaki melecur kira-kira 40 peratus selepas dipercayai disimbah cecair jenis minyak sebelum dinyalakan api akibat dituduh mencuri wang RM100.

     — BERNAMA

  • 1MDB dapat kebenaran serah writ saman kepada kakak, adik lelaki Jho Low di luar negara

    1MDB dapat kebenaran serah writ saman kepada kakak, adik lelaki Jho Low di luar negara

    1MALAYSIA Development Berhad (1MDB) hari ini memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di sini bagi menyerahkan writ saman berjumlah US$3.7837 bilion kepada kakak dan adik lelaki ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, yang kini berada di luar negara.

    Peguam Siva Kumar Kanagasabai, yang mewakili 1MDB, berkata May Lin berada di Singapura manakala adik lelakinya, Taek Szen di Hong Kong berdasarkan alamat terakhir mereka yang diketahui.

    “Oleh itu, mahkamah memberi kebenaran untuk membuat penyerahan writ saman di luar Malaysia,” katanya ketika dihubungi selepas prosiding di hadapan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz secara dalam talian hari ini.

    Menurut Siva Kumar pengurusan kes saman tersebut ditetapkan pada 23 Ogos di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Haslinda A. Raof secara e-Review.

    Pada 29 Dis 2021, Jho Low; bapa beliau Tan Sri Larry Low Hock Peng dan ibunya Puan Sri Goh Gaik Ewe selaku defendan telah memasukkan kehadiran dalam kes saman itu manakala writ saman berkenaan masih belum dapat diserahkan kepada seorang lagi defendan iaitu rakan sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

    Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited; 1MDB Energy Limited; 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman terhadap keenam-enam defendan itu.

    Berdasarkan writ itu, 1MDB menuntut US$661 juta daripada Jho Low dan masing-masing US$41 juta, US$397 juta, US$608 juta dan US$1.9 bilion daripada Jho Low dan Tan serta US$325 juta daripada Jho Low dan ayahnya.

    1MDB Global Investments Limited pula menuntut US$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Tan serta US$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Tan.

    Plaintif turut menuntut US$3.5 juta daripada May Lin dan Jho Low serta US$1.695 juta daripada Goh, Jho Low dan Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain US$25.5 juta daripada Jho Low, Tan, Hock Peng dan Taek Szen. – Bernama

  • Penghantar barang dipenjara 14 hari, terima rasuah RM3,000

    Penghantar barang dipenjara 14 hari, terima rasuah RM3,000

    SEORANG penghantar barang dipenjara 14 hari dan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan menerima rasuah sebanyak RM3,000 sebagai upah untuk meluluskan invois cukai pada 2017

    Tertuduh, Habib Rahman Anwar Basha, 48, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah dalam prosiding yang ditetapkan untuk sebutan pengurusan kes di hadapan Hakim Azura Alwi.

    Sinar Harian melaporkan, Mahkamah memerintahkan tertuduh dijel bermula hari ini dan jika gagal membayar denda, dia boleh dipenjara selama 10 bulan.

    Ketika prosiding, pendakwaan memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima represtasi yang dihantar oleh tertuduh pada 24 Jun lalu, ekoran itu, pertuduhan dibaca semula dan dia mengaku bersalah.

    Pada 31 Mei 2021, Habib Rahman yang bertugas di sebuah syarikat sebagai bekas pembantu perkhidmatan bangunan telah menerima suapan sebanyak RM3,000 daripada seorang pengarah syarikat keselamatan (pengadu) berusia 44 tahun.

    Suapan itu sebagai upah untuk meluluskan invois cukai pembayaran perkhidmatan keselamatan bagi Disember 2016 yang telah dikemukakan oleh syarikat pengadu di Jalan Pandan Indah di Kuala Lumpur pada pukul 10.22 malam, 29 Mei 2017.

    Itu merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

    Mengikut fakta kes, pada tahun 2016, tertuduh meminta komisen sebanyak RM4,000 bagi setiap tuntutan pembayaran daripada pengurus di syarikat keselamatan itu.

    Bagaimanapun, tuntutan bagi November dan Disember 2016 serta Januari 2017, tertuduh telah meminta pengurus itu membanyar sebanyak RM4,500.

    Pengadu akhirnya membuat laporan kepada SPRM dan hasil rakaman perbualan mendapati tertuduh mempunyai niat untuk mengambil rasuah.

    Semasa prosiding, peguam, Datuk Zailan Mohamed mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan perlu menyara empat anak dan seorang isteri yang sakit.

    Katanya, tertuduh turut menjaga bapa yang menghidap penyakit jantung.

    “Jika dia dikenakan hukuman penjara dalam tempoh yang panjang, ia akan menjejaskan pendapatannya untuk menyara keluarga,” katanya.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Diana Nor Azwa berkata, kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah serius.

    “Mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam dengan mengenakan hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh sekali gus menjadi peringatan kepada orang awam agar tidak mengulangi kesalahan sama di masa depan.

    “Kami mohon mahkamah mengambil kira jenayah yang dilakukan adalah dirancang yang dilihat menerusi siri perbualan tertuduh dengan pengadu sebelum ini,” katanya.

  • Polis nafi terdapat usaha waris Sulu rekrut warga Lahad Datu

    Polis nafi terdapat usaha waris Sulu rekrut warga Lahad Datu

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan waris Kesultanan Sulu sedang aktif merekrut warga tempatan di Daerah Lahad Datu.

    Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, hasil siasatan dan risikan polis mengesahkan tidak wujud sebarang kumpulan yang merekrut rakyat warga Filipina berketurunan Sulu di Sabah.

    “Kita memandang serius isu tular dalam media sosial akhir-akhir ini berhubung dakwaan berkenaan.

    “Polis Sabah sedang menjalankan siasatan berkaitan satu kumpulan yang mengeluarkan dokumen diri Sulu Sultaniah Darul Islam (SSDI) dengan mengenakan bayaran tertentu.

    “Kumpulan ini adalah tindakan orang perseorangan yang mengambil kesempatan atas tujuan keuntungan peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Sehubungan itu, Idris berkata, PDRM Sabah meminta mana-mana pihak atau individu supaya tidak menyebarkan sebarang berita atau maklumat tidak sahih.

    Katanya, ia dibimbangi boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang awam di negeri ini.

    Sebelum ini, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendakwa terdapat kegiatan aktif yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk merekrut warga tempatan di Lahad Datu.

    Ia didakwa merekrut dengan memberikan dokumen pengenalan diri yang dipercayai bagi kesultanan Sulu.

    Menurut Setiausaha MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, sukarelawan MHO di Sabah dimaklumkan berhubung perkara berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp.

    “Gerakan berkenaan memberikan dokumen pengenalan diri yang dipercayai bagi kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada kesultanan Sulu.

    “Hantaran WhatsApp itu turut mengandungi gambar seakan-akan dokumen identiti diri bagi Kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada Kesultanan Sulu,” katanya.

  • Empat lelaki didakwa bakar remaja

    Empat lelaki didakwa bakar remaja

    EMPAT lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kemaman di Chukai hari ini, atas tuduhan membakar seorang remaja berusia 15 tahun sehingga melecur, 22 Julai lalu.

    Semua tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

    Shaikh Hilman Hakim Shaikh Anuar, 28, didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan api terhadap Muhammad Fiqrie Adam Abdullah, 15.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di simpang empat Kampung Perasing Jaya, Jabor, kira-kira 3 pagi 22 Julai lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

    Tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

    Mahkamah menetapkan 1 Ogos ini untuk sebutan semula.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhanisah SH Sahul Hamid dan tertuduh diwakili peguam, Nurul Farhana Shamsudin.

    Sementara itu di mahkamah sama, tiga lagi tertuduh mengaku tidak bersalah mendatangkan kecederaan kepada mangsa di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

    Muhammad Imran Mohamad, 18, Mohamad Razif Mohammad dan Mohamad Razman Zalizan masing-masing berusia 20 tahun didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

    Mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,800 seorang.

    Kesemua tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu saksi mangsa dan saksi pendakwaan.

    Mahkamah juga menetapkan 8 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.