Category: Semasa

  • [VIDEO] Serpihan roket China lintas ruang udara Malaysia

    [VIDEO] Serpihan roket China lintas ruang udara Malaysia

    KEMASUKAN semula serpihan (debris) roket Long March 5B milik China ke ruang udara bumi dikesan berlaku pada 12.55 pagi (31 Julai), demikian menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

    MYSA menerusi pemantauan berterusan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan kenyataan Agensi Angkasa China memaklumkan serpihan roket berkenaan telah terbakar semasa memasuki ruang udara bumi dan pergerakan serpihan yang terbakar itu turut melintasi ruang udara Malaysia dan dapat dikesan di beberapa kawasan termasuk ruang udara Sarawak.

    “Sisa serpihan itu direkodkan jatuh di sekitar Laut Sulu iaitu kawasan antara latitud 9.1 darjah Utara dan longitud 119.0 darjah Timur, hari ini,” menurut MYSA dalam kenyataan hari ini.

    Tular di media sosial mengenai perkongsian warga maya mengenai rakaman video dipercayai serpihan roket berkenaan yang berlaku di Kuching, Sarawak awal pagi tadi. – BERNAMA

  • Pengganas komunis tumpas digempur wira negara

    Pengganas komunis tumpas digempur wira negara

    KEJAYAAN membunuh dan menangkap anggota komunis adalah antara yang paling membanggakan bagi bekas pegawai tentera Kapten (B) V. Panir Chellvum sepanjang 12 tahun berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Panir Chellvum, 67, berkata, perisitiwa bersejarah dalam hidupnya itu berlaku ketika beliau terbabit dalam ‘Op Pagar’ antara ATM dan polis bagi memburu ancaman komunis di Gerik, Perak pada 14 Feb 1977.

    Berkongsi pengalaman itu kepada Bernama baru-baru ini, katanya kejadian berlaku ketika beliau berusia 22 tahun dan berpangkat Leftenan Muda ditugaskan untuk mengetuai kumpulan yang dianggotai empat lagi rakan sepasukan melakukan serang hendap terhadap ancaman komunis selepas mendapat maklumat risikan ‘kategori A’ daripada pihak polis.

    Tanpa memikirkan soal gentar atau takut dalam mempertahankan kedaulatan negara, Panir Chellvum dan pasukannya bergerak dalam kegelapan malam ke lokasi operasi jauh di dalam hutan.

    Semasa beliau dan pasukannya meletakkan ‘claymore mine’ (periuk api) di lokasi tersebut, mereka dikejutkan dengan pancaran lampu suluh musuh dari arah belakang sebelum seorang ahli pasukannya melepaskan tembakan.

    Musuh seramai kira-kira 15 orang terkejut dengan tembakan itu kemudian kedua-dua kumpulan saling berbalas tembakan selama 30 minit.

    “Ketika itu juga kami terdengar jeritan suara yang disebut dalam bahasa Cina ‘cau’ yang bermaksud lari dan kami berhenti menembak. Selepas itu kami terdengar bunyi geseran daun kering di hadapan kami. Saya tahu ini bunyi gerakan musuh yang kembali mendekati kedudukan kami.

    “Apabila bunyi gerakan semakin hampir, saya melontarkan lima grenad ke arah bunyi tersebut dan empat daripadanya meletup.

    “Musuh sudah berlarian dan saya terus menghubungi pasukan ‘Artillery Fire’ untuk memberikan kami ‘illuminating rounds’. Ketika itu saya dapat melihat banyak beg galas kepunyaan musuh dan juga terlihat seorang anggota komunis terbaring betul-betul di hadapan saya,” katanya.

    Menurut Panir Chellvum, beliau terus meluru ke arah musuh tersebut dan menembaknya sehingga mati sebelum mereka kembali ke kedudukan asal dan berjaga-jaga di kawasan tersebut hingga pagi.

    Keesokannya ketika meninjau di sekitar kawasan pertempuran, Panir Chellvum berjaya menawan seorang anggota komunis yang sedang ketakutan selepas ditinggalkan oleh rakan-rakannya yang lain dan setelah disoal siasat, tawanan tersebut memberitahu bahawa musuh yang terbunuh itu adalah ketuanya.

    Susulan kejayaan itu, Panir Chellvum telah menerima Pingat Gagah Berani pada 1978.

    Sementara itu, seorang lagi bekas polis, Charan Singh Hajara Singh, 75, berkata sepanjang lebih 30 tahun perkhidmatan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia, operasi Lada Pedas di Sarikei, Sarawak pada 1970 adalah momen yang paling tidak dapat dilupakan.

    Dalam kebuntuan pasukannya berbincang tentang kaedah dan bagaimana platun mereka diserang hendap musuh, beliau yang ketika itu ditugaskan di Unit Semboyan berjaya menemui jawapannya.

    “Ketika itu Komander dan pasukan sedang berbincang mengenai platun kami yang diserang. Sebanyak tiga perangkap samar telah meletup. Saya yang ingin tahu tentang serangan itu nekad memanjat tebing berdekatan kawasan berlakunya letupan.

    “Saya nampak ada tiga kubu dan nasi yang sudah dimasak di dalam tin kerosin yang sudah dimakan sedikit. Di sana ada satu bateri dengan wayar pada satu bahagian telah disambungkan manakala satu bahagian lagi tidak,” katanya.

    Berbekalkan ilmu taktikal operasi yang diajar sewaktu menyertai pasukan itu, beliau bertindak menyahsambungkan wayar hitam pada bateri berkenaan dan Charan berkata beliau bersyukur, nasib menyebelahinya dan dirinya dilindungi tuhan.

    “Dua daripadanya meletup. Rupa-rupanya ada tiga ke lima perangkap samar yang dipasang musuh, pada jarak kira-kira empat ela (3.7 meter),” katanya.

    Menurutnya selepas selesai operasi di situ, beliau dan pasukannya yang berpangkalan di Ipoh/Ulu Kinta, Perak pulang semula ke Semenanjung dan terlibat dengan beberapa lagi operasi lain menentang komunis.

    Pada akhir perkhidmatannya, Charan bertugas di Balai Polis Kuala Lumpur hingga 1995. Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat dengan Pasukan Polis Marin Pulau Langkawi serta dalam Cawangan Khas di Songkhla, Selatan Thailand sewaktu bertugas di Alor Setar, Kedah. – BERNAMA

  • Samsuri yakin PN akan kekal perintah Terengganu

    Samsuri yakin PN akan kekal perintah Terengganu

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yakin dan percaya gabungan parti itu akan terus kekal memerintah negeri Terengganu pada Pilihan Raya ke-15 (PRU-15) nanti.

    Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, keyakinan itu berdasarkan imej  stabil dan keprihatinan  terhadap rakyat serta kewibawaan PN ketika  berhadapan dengan pelbagai krisis khususnya melibatkan politik dan kesihatan yang membelenggu negara sebelum ini.

    “Perkara ini menjadi penanda aras yang amat baik, sekaligus  membuktikan kemampuan PN katika memerintah negara dan negeri.

    “Oleh itu, saya berasa amat yakin dan IsyaAllah Terengganu akan terus kekal menjadi milik kita, apatah lagi sambutan rakyat juga semakin baik”, katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran PN Negeri Terengganu di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila Marang, malam tadi.

    Majlis yang dilancarkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dihadiri

    presiden Gerakan, Senator Dominic Lou Hoe Chai, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin,

    Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu Senator Datuk Razali Idris, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang dan Pengerusi Gerakan Terengganu, Wong Kim Su.

    Menurut Ahmad Samsuri, dengan pelancaran PN Terengganu bermakna parti-parti dalam gabungan terbabit terus menggerakkan agenda perpaduan dan penyatuan ummah.

    “Kewujudan PN pada asalnya diasaskan daripada penyatuan parti-parti Melayu Islam dan parti bukan Islam yang tidak terlalu ekstrem bagi menggantikan Pakatan Harapan (PH),”ujarnya.

    Beliau berkata, asas

    keberadaan PN yang menjadi galang ganti adalah ketika berhadapan dengan krisis politik, kesihatan dan ekonomi pada tahun 2020 yang lalu.

  • UMNO tolak tiga parti besar Melayu bergabung – Muhyiddin

    UMNO tolak tiga parti besar Melayu bergabung – Muhyiddin

    GABUNGAN tiga parti Melayu terbesar – Bersatu, Pas dan UMNO mampu menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan selesa jika penubuhan Muafakat Nasional (MN) menjadi realiti, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden Bersatu berkata penubuhan MN pada masa ini seolah-olah kabur kerana penolakan UMNO meskipun jemputan menyertai gabungan berkenaan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Kata Muhyiddin, ketika beliau menjadi Perdana Menteri pada 2020 susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), ada pemimpin tertinggi Pas dan UMNO bertemu dengannya untuk mencadangkan penyertaan Bersatu ke dalam MN yang disusuli surat jemputan ditandatangani Zahid serta Hadi.

    “Jawapan saya dihantar ke pejabat Barisan Nasional (BN) dan Pas yang menyatakan kita bersedia sertai MN. Tetapi malangnya, sampai hari ini kami tidak dijemput mana-mana. Baguslah Pas hendak bersama UMNO dan kami juga mahu bersama dengan semua parti.

    “Saya pasti kalau kita berdepan pilihan raya, gabungan tiga parti ini mampu cemerlang dengan menang dua pertiga sekiranya kerjasama ini menjadi realiti. Tetapi malangnya sudah sampai setahun atau lebih, Umno menolak kami. Perhimpunan Agung Umno buat keputusan tak terima kami, tak terima tak apalah,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Terengganu, di Marang, malam tadi, lapor FMT.

    Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga pengerusi PN menegaskan, tanpa kerjasama dengan UMNO, Bersatu ketika ini sudah pun kuat dengan kehadiran Pas dalam gabungan itu.

    “Kita ada Pas, abah Pas ada di sini (merujuk kehadiran Hadi pada majlis itu), kita dengan niat sama boleh perkukuhkan kerjasama,” katanya.

    Pada 21 Jun, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mendakwa parti itu tidak pernah menolak agenda perpaduan ummah atau membatalkan surat untuk menerima masuk MN selepas keluar daripada Pakatan Harapan.

    “Ini hakikatnya, tetapi mananya MN yang jemput kita masuk? Siapa sebenarnya yang tolak perpaduan?” soalnya dalam satu ceramah PN.

    Pendedahan itu menyusul beberapa insiden yang menyaksikan pemimpin UMNO dan Pas bercanggah pendapat mengenai masa depan MN dengan Timbalan Presiden UMNO, Datyk Seri Mohamad Hasan sebelum ini menyifatkan kerjasama perpaduan ummah antara dua parti itu sudah “sampai ke surah terakhir”.

  • Lembaran baharu politik Terengganu, lebih 10,000 orang hadiri pelancaran PN

    Lembaran baharu politik Terengganu, lebih 10,000 orang hadiri pelancaran PN

    KEHADIRAN lebih daripada 10,000 rakyat Terengganu semasa Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Peringkat Negeri Terengganu membuktikan penerimaan rakyat Terengganu terhadap parti tersebut.

    Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kehadiran mereka menjadi titik permulaan dalam melakar sejarah politik baharu di negeri tersebut.

    “Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada seluruh anggota parti dan rakyat Terengganu yang hadir pada malam ini dari Besut hingga Kemaman dan (daripada) seluruh pelusuk tanah air.

    “(Kehadiran anda adalah) untuk mengukir lembaran baharu dalam sejarah di negeri Terengganu dengan pelancaran secara rasmi PN Negeri Terengganu,” katanya dalam majlis tersebut.

    Majlis yang diadakan di perkarangan Masjid Rusila, Kuala Terengganu itu turut dihadiri beberapa pucuk pimpinan PN termasuk Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Timbalan Pengerusi, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Tambah Ahmad Samsuri yang juga merupakan Pengerusi Perhubungan PN Negeri Terengganu, pelancaran tersebut juga menjadi titik permulaan terhadap kejayaan yang mampu dicapai gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Hari yang sangat bersejarah, menandakan satu titik permulaan kita PN di negeri Terengganu bagi menggerakkan kecemerlangan sebagai satu titik penting.

    “Daripada titik inilah, kita akan sama menggerakkan seluruh negara sehingga kita mampu mencapai kemenangan di Putrajaya, in shaa Allah,” katanya.

  • PN utamakan agenda bahagiakan rakyat -Hadi

    PN utamakan agenda bahagiakan rakyat -Hadi

    MEMULIHKAN ekonomi serta menyelesaikan masalah rakyat yang terkesan akibat kenaikan harga barangan, digariskan sebagai antara agenda utama Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata gabungan parti itu sentiasa mengutamakan agenda membahagiakan rakyat di negara ini.

    Beliau berkata, walaupun tidak menyediakan manifesto ketika mengambil alih pentadbiran negara sebelum ini, PN telah membuktikan kemampuan menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi rakyat apabila negara mula dilanda pandemik Covid-19, dua tahun lalu.

    “Justeru, kita meminta seluruh rakyat agar terus memberi mandat kepada PN pada PRU nanti kerana banyak lagi agenda mensejahterakan rakyat akan dilaksanakan,” katanya, lapor BH Online.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran PN peringkat negeri Terengganu yang disempurnakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di pekarangan Masjid Rusila, Kuala Terengganu pada Sabtu.

    Majlis itu turut dihadiri Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Pengerusi Badan Perhubungan PN Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Razali Idris.

    Sementara itu, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata, PN muncul sebagai ‘sinar baharu’ kepada pentadbiran negara.

    “PN juga menjadi wadah penyatuan kepada parti Melayu dan Islam serta parti bukan Islam yang menepati konsep masyarakat majmuk di negara ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis itu.

    Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, berdasarkan rekod prestasi dan kewibawaan kerajaan Persekutuan ketika bawah pentadbiran PN serta kerajaan negeri meliputi Kelantan, Terengganu, Kedah dan Sabah, rakyat mempunyai pilihan lebih baik untuk memilih gabungan parti itu pada pilihan raya kelak.

  • Pas harap rakyat beri mandat kepada PN menangi PRU-15

    Pas harap rakyat beri mandat kepada PN menangi PRU-15

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PAS berharap rakyat pelbagai kaum di negara ini dapat memberikan mandat kepada Perikatan Nasional (PN) untuk memerintah negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia penting bagi memastikan kehidupan mereka terus terjamin.

    Malah katanya, mandat itu perlu diberikan memandangkan rakyat sudah tahu bahawa PN telah banyak membuktikan kemampuan dalam mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi mereka.

    “Untuk itu kita berharap rakyat bersama PN dan tidak tersalah pilih parti yang hanya tahu menabur janji, tetapi tidak ditunaikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran PN Terengganu di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, Marang malam tadi.

    Majlis yang dihadiri lebih 10,000 orang itu dilancarkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dihadiri Presiden Gerakan, Senator Dominic Lou Hoe Chai, Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin,
    Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu Senator Datuk Razali Idris, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang dan Pengerusi Gerakan Terengganu, Wong Kim Su.

    Menurut Abdul Hadi, bagi mencapai kemenangan besar dalam PRU-15 nanti, PN turut mengajak parti-parti lain termasuk UMNO untuk turut bersama menyelamatkan negara ini.

    “Kita perlu berganding bahu melalui satu gabungan besar, bukan nak rebut kuasa sahaja, yang penting adalah tangggungjawab kita bersama,”ujar beliau.

    Ahli Parlimen Marang itu turut mengingatkan kepada rakyat mengenai beberapa peristiwa yang berlaku dalam politik negara sebelum ini perlu dijadikan iktibar.

    “Kalau kita perhatikan sudah menjadi kebiasaan parti yang sudah lama memerintah akan terpalit dengan pelbagai salah laku , berlaku penyelewengan dan rasuah

    Menurut Abdul Hadi, Pas sudah banyak menimba pengalaman di mana sebelum ini parti itu pernah diajak bergabung dengan Pakatan Rakyat membabitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

    Kemudian katanya, berlaku pula perubahan besar dalam negara apabila Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    “Ketika berkuasa, PH ingin merungkaikan perlembagaan, nak cabar Islam. Kemudian Pas berbincang dengan Bersatu sebelum mengajak.UMNO untuk turut bersama. Pas mencadangkan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri memandangkan beliau ketika itu sudah berada dalam kerajaan dan UMNO ikut,” katanya.

    Ujarnya, selepas itu UMNO cadang sertai Muafakat Nasional (MN) kerana syarat Pas ialah untuk gabungkan parti-parti besar bukan hanya Pas dan UMNO sahaja, tetapi ajak juga Bersatu dan parti-parti lain.

    “Ini cadangan kita, akhirnya UMNO terima, tetapi apabila nak lancar gabungan tersebut , kepimpinan tertinggi UMNO menangguhkannya dan menimbulkan pelbagai masalah. Demi pertahankan PN, kita cadangkan supaya Muhyiddin letak jawatan sebagai PM dan sebagai tanda bertolak ansur, lalu kita lantik PM daripada UMNO,” jelas beliau.

  • Sukan Komanwel: Skuad angkat berat sumbang emas kedua Malaysia

    Sukan Komanwel: Skuad angkat berat sumbang emas kedua Malaysia

    SKUAD angkat berat negara terus mencipta sensasi apabila menyumbangkan pingat emas kedua kepada Malaysia, pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Bermingham, England, hari ini.

    Muhamad Aznil Bidin memastikan Jalur Gemilang terus berkibar megah di Pusat Pameran Nasional (NEC) apabila melakukan angkatan bebanan keseluruhan 285 kilogram (kg) dalam kategori 61kg lelaki, sekali gus mencatat rekod baharu temasya.

    Badang kelahiran Kedah itu, melakukan angkatan snatch 127kg dan 158kg bagi clean & jerk.

    Kejayaan tersebut juga sekali gus membuktikan kehebatan atlet berusia 28 tahun itu, yang berjaya mempertahankan gelarannya yang dimenangi pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.

    Atlet Papua New Guinea Morea Baru memenangi pingat perak dengan mencatat angkatan keseluruhan seberat 273kg, sementara gangsa menjadi milik Gururaja Poojary dari India dengan angkatan bebanan 269kg. – Bernama

  • Wanita memancing di sungai hilang disambar buaya

    Wanita memancing di sungai hilang disambar buaya

    SEORANG wanita hilang selepas dipercayai disambar buaya dalam satu kejadian di Kampung Tanjung Bulat, dekat Kinabatangan, hari ini.

    Mangsa, Norsila Sayong, 32, dilaporkan memancing di tebing air sebelum tiba-tiba disambar reptilia berkenaan pada pukul 3.40 petang.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kes itu pada pukul 3.42 petang.

    “Sejurus itu lima anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    “Sebelum kejadian, mangsa sedang memancing di tebing anak sungai yang bersambung dengan Sungai Kinabatangan.

    “Lokasi itu memang menjadi lokasi memancing penduduk ketika air sungai pasang.

    “Tiba-tiba mangsa dilaporkan disambar lalu dibawa ke dalam dan hilang,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Azlan berkata, SAR kemudiannya dijalankan dan sebarang perkembangan semasa akan dimaklumkan.

  • Lelaki rakam video tidak senonoh dicekup

    Lelaki rakam video tidak senonoh dicekup

    TINDAKAN seorang lelaki merakam video bahagian bawah paha seorang wanita warga asing di sebuah pusat beli-belah mengundang padah, apabila dia diserahkan kepada polis.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki tempatan berusia 22 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut di kaunter bayaran pasar raya pada pukul 10.14 malam tadi.

    “Wanita warga asing berusia 24 tahun itu telah diberitahu saksi awam bahawa lelaki terbabit merakam video secara sulit di bahagian bawah pahanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, lelaki terbabit kemudian ditahan pengawal keselamatan sebelum diserahkan kepada anggota ronda cegah jenayah Balai Polis Setia Indah untuk tindakan lanjut.

    Raub berkata, hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbit lelaki terbabit menemukan pelbagai lagi video rakaman sulit tidak senonoh melibatkan beberapa wanita lain.

    Katanya, lelaki itu kini ditahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – Bernama