Category: Semasa

  • Mayat bayi baru lahir dalam longgokan sampah

    Mayat bayi baru lahir dalam longgokan sampah

    MAYAT seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemukan dalam longgokan sampah di Fajar, Lahad Datu pukul 11.30 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, mayat bayi itu ditemukan oleh seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun dalam keadaan dibalut dengan pakaian.

    “Lelaki terbabit merupakan pemandu lori kontraktor pembersihan sampah yang ketika itu sedang memungut sampah di kawasan berkenaan.

    “Mayat bayi itu dibalut dengan menggunakan kemeja perempuan berwarna kelabu dan bergaris yang diletakkan di atas longgokan sampah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Rohan Shah berkata, susulan kejadian itu sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

    Katanya, mayat bayi itu telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi proses bedah siasat.

    “Kes disiasat bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat dengan sulit dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • SPRM Kelantan buka bilik gerakan sepanjang PRN

    SPRM Kelantan buka bilik gerakan sepanjang PRN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan akan membuka bilik gerakan bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.

    Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain berkata, bilik gerakan itu akan beroperasi 24 jam mulai 29 Julai.

    “Pada PRN kali ini, bilik gerakan itu akan beroperasi di Pejabat SPRM Kelantan.

    “Sepanjang masa ada pegawai bertugas, orang ramai boleh menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku pada PRN nanti,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Dialog Cegah Rasuah Rezeki Barokah di Masjid Ismail Petra Tanah Merah di Tanah Merah hari ini.

    Mengulas lanjut, Rosli berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan perbuatan rasuah sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dibubarkan pada 22 Jun lepas.

    “Kita nasihatkan mana-mana individu agar tidak terlibat dengan salah laku rasuah agar PRN berjalan dengan lancar,” katanya.

  • Tiga maut pacuan empat roda hilang kawalan langgar pokok

    Tiga maut pacuan empat roda hilang kawalan langgar pokok

    TIGA individu maut manakala seorang lagi cedera parah apabila kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki disyaki hilang kawalan sebelum melanggar pokok di Jalan Deshon, di Sibu hari ini.

    Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Sibu, Andy Allie berkata, mereka yang meninggal dunia ialah dua lelaki, Tiong Meng Eng, 32, dan Bryan Lau Pick Sing, 27, serta seorang wanita yang belum dikenal pasti identitinya.

    “Seorang mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Camelia Lee Mei Kee, 23, yang berada dalam keadaan separuh sedar dan dihantar ke Hospital Sibu,” katanya ketika dihubungi.

    Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan itu pada 11.34 pagi dan sebuah jentera bersama 11 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah digegaskan ke lokasi kejadian.

    Katanya mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

  • ‘Pemilihan Baddrol sebagai calon PN mampu tarik anak muda’

    ‘Pemilihan Baddrol sebagai calon PN mampu tarik anak muda’

    PEMILIHAN pemain bola sepak, Baddrol Bakhtiar sebagai calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) atas tiket Perikatan Nasional (PN) dianggap membawa kelebihan kepada parti.

    Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, namun penglibatan Baddrol sebagai calon PN tidak dapat dipastikan.

    “Saya tidak tahu mengenai hal berkenaan kerana tidak terlibat dengan jawatankuasa pemilihan calon.

    “Kalau betul dia (Baddrol) menjadi calon, ia satu merupakan satu pemilihan yang baik kerana ada pengaruh dan boleh menarik anak muda terutamanya di Kedah,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Sebelum ini, akhbar melaporkan Baddrol berkemungkinan besar akan diumumkan sebagai calon PRN atas tiket PN di Kedah.

    Spekulasi itu hangat diperkatakan apabila Sabah FC mengumumkan Baddrol akan meninggalkan pasukan itu, namun tidak memaklumkan sebab pemain berusia 35 tahun itu meninggalkan kelab.

    Pada masa sama, Wan Ahmad Fayhsal berkata, jika perkara itu telah diputuskan oleh pimpinan, ia bukanlah satu tindakan yang merugikan sebaliknya menjadi kelebihan buat PN di Kedah.

    Sementara itu, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari turut memberitahu bahawa beliau belum mendapat informasi berkenaan penglibatan Baddrol sebagai calon PN.

    Menurutnya, beliau tidak dapat hadir dalam mesyuarat perbincangan calon baru-baru ini kerana berada di luar negara.

    “Saya yakin sesiapa sahaja yang bertanding dengan menggunakan tiket PN akan mendapat kepercayaan pengundi,” ujarnya.

  • Jangan letak sebarang hukuman pada keputusan pengundi, kata Razali

    Jangan letak sebarang hukuman pada keputusan pengundi, kata Razali

    PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris mengingatkan bahawa tiada siapa boleh meletakkan sebarang hukuman terhadap keputusan pengundi memilih parti mana.

    Jelasnya ini kerana mereka berhak menentukan siapa yang dipilih untuk membentuk kerajaan.

    “Pengundi bebas memilih dan menentukan parti mana yang akan dipangkah pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini dan ia merupakan terjemahan sebenar proses demokrasi di negara ini.

    “Beliau (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga bekas UMNO. Ini soal parti politik. Sama ada orang itu orang UMNO, Bersatu atau Pas mereka berhak untuk menentukan siapa sahaja (calon) yang dipilih.

    “Kalau kita kata orang tak undi kita satu pengkhianatan, maka proses demokrasi di negara kita akan menjadi sukar.

    “Kita tidak boleh label kepada pengundi yang tidak undi kita sebagai satu pengkhianatan,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Razali mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan bahawa tindakan ahli UMNO dan bekas ahli parti itu memberi undi kepada Perikatan Nasional (PN) sebagai satu pengkhiantan besar terhadap parti berkenaan.

    Anwar berkata, demikian ketika berucap sempena Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Guar Chempedak di Yan, Kedah semalam.

    Menurut Razali, ucapan sedemikian tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang Perdana Menteri.

    “Apa yang diucap menggambarkan kita berada di bawah kakistokrasi dan penuh dendam sedangkan sebelum ini beliau (Anwar) juga yang menentang UMNO dalam setiap ceramah dan kempen.

    “Beliau (Anwar) menentang UMNO puluhan tahun dan beliau juga bekas UMNO sebelum berbaik dengan UMNO bagi membolehkan pembentukan Kerajaan Persekutuani. Sebelum itu beliau juga tidak senada dengan UMNO.

    “Sebaliknya apa yang dikatakan dan berlaku sekarang ternyata berbeza selepas beliau ‘berkawan’ dengan UMNO,” ujar Razali.

    Dalam pada itu, Razali turut menyifatkan kenyataan itu sebagai tindakan terdesak bagi meraih sokongan golongan Melayu Islam pada PRN nanti.

    “Mereka tiada sokongan Melayu Islam kerana orang Melayu Islam tak akan sokong lagi. Kita akan tolak pemimpin kakistokrasi,” katanya.

    Sebelum ini, Anwar mengingatkan ahli UMNO dan bekas ahli parti itu supaya tidak memberikan undi mereka kepada PN.

    Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, tindakan ahli UMNO mahupun bekas ahli UMNO mengundi PN adalah satu pengkhianatan besar terhadap parti itu.

  • Ketua penerangan PN Kedah nafi beri wang untuk undi

    Ketua penerangan PN Kedah nafi beri wang untuk undi

    KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN) Kedah, Khairul Anuar Ramli menafikan dakwaan ada menawarkan wang tunai kepada pengundi menjelang pilihan raya negeri (PRN).

    Beliau menafikan dakwaan seorang warganet memuatnaik hantaran di Twitter hari ini yang mendakwa ibunya diziarahi sekumpulan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menyerahkan warga emas itu sampul duit diisi RM50.

    Warganet berkenaan juga berkongsi beberapa gambar sampul yang tertera muka Khairul.

    Khairul berkata, hantaran Twitter yang sudah dilihat 96,000 kali, sebagai cubaan jahat mahu merosakkan reputasinya sebagai pemimpin PN di Padang Serai.

    “Kenapa saya pergi meraih undi sedangkan kempen belum bermula? Lagipun, tak ada pun yang tahu siapa calon parti,” katanya yang juga ketua Bersatu Padang Serai kepada FMT.

    Beliau mengakui ada mengunjungi warga emas terlantar, namun perkara itu bukannya luar biasa.

    “Menjadi adat membawa hadiah apabila menziarahi orang sakit. Jadi, adakah salah saya menawarkan sejumlah kecil sumbangan untuk kesejahteraan mereka?” katanya.

    Khairul berkata, beliau akan mengambil tindakan perundangan kepada pihak yang membuat hasutan dan kenyataan palsu terhadapnya.

    “Juga tidak baik bagi pihak yang mempelawa saya hanya untuk memerangkap saya menggunakan ibunya yang sakit,” katanya.

    Khairul akan berterusan menyumbang kepada rakyat di Lunas kerana penduduk mengenali dan mengetahui pendiriannya.

  • Tindakan drakonian sekat Tik Tok, buka semula kalau benar anak jantan – Sanusi

    Tindakan drakonian sekat Tik Tok, buka semula kalau benar anak jantan – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mencabar pihak-pihak yang terlibat dalam menyekat akaun Tik Toknya supaya menghentikan sekatan tersebut jika mereka benar-benar anak jantan.

    Menurutnya, perbuatan sedemikian adalah tindakan ‘drakonian’ yang hanya akan menyebabkan golongan berkenaan lebih dibenci oleh orang ramai.

    Dakwanya, dalam keadaan perang bagi berdepan Pilihan Raya Negeri ketika ini, ada pihak yang mempengarui syarikat Tik Tok tersebut untuk menyekat akaunnya.

    “Tak tahulah apa sebabnya tetapi mungkin kerana mereka buka Tik Tok saja, keluar muka Sanusi. Jadi maklumat saya sampai dengan cepat kepada orang ramai dan apabila mereka sekat, mereka fikir saya tak ada ruang untuk sampai dengan cepat kepada orang ramai.

    “Tetapi kalau betul-betul anak jantan, buka balik akaun Tik Tok saya. Kalau tak buka, ‘hangpa’ darai (pondan) dan kalau dah darai, tak payahlah berlawan. ‘Pi’ balik sajalah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan geran tanah di Daerah Bandar Baharu, hari ini.

    Semalam Muhammad Sanusi membangkitkan mengenai perkara tersebut di laman Facebook rasminya dengan mendakwa akaun Tik Toknya disekat daripada diakses oleh orang ramai.

    Muhammad Sanusi menambah, pegawainya ada membuka akaun Tik Tok baharu namun beliau belum melihat atau menelitinya lagi.

    “Ini zaman moden dan kerja yang ‘hangpa’ buat ini tahun 1963 bolehlah. Masa itu ceramah orang letak speaker di pokok getah dan kepitkan wayar di kepala bateri.

    “Disebabkan dengki, cabut kepala bateri itu supaya maklumat orang tak dengar. Tetapi sekarang ini banyak jalan boleh diusahakan,” katanya.

  • Bersatu lapor polis terhadap bekas ADUN PKR walaupun sudah minta maaf

    Bersatu lapor polis terhadap bekas ADUN PKR walaupun sudah minta maaf

    TINDAKAN tegas juga perlu diambil terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi susulan kenyataan berbau perkaumannya yang tular sebelum ini.

    Sekumpulan pemimpin akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat laporan polis terhadap ADUN PKR tersebut walaupun sudah meminta maaf terhadap kenyataan menghina Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calonnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru Sivaranjani Manickam baru-baru ini.

    Setiausaha Kerja Bersatu Titiwangsa, Thaqib Shaker berkata Najwan yang memohon maaf pada hari sama tidak harus terlepas daripada tindakan, sama seperti kes Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

    “(Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengatakan pada kes Sanusi, mohon maaf tak selesaikan tindakan undang-undang dan polis bebas siasat Sanusi.

    “Jadi saya nak cakap mohon maaf tak selesai kesalahan, mohon polis bebas siasat Najwan,” katanya selepas membuat laporan polis terhadap Najwan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

    Sementara itu, Thaqib dalam laporan polis terhadap Najwan berkata, apa sahaja yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum tidak boleh dijadikan bahan gurauan sama sekali.

    “Kenyataan itu boleh menyebabkan tercetusnya perbalahan antara kaum sekaligus menggugat ketenteraman awam,” katanya lapor AgendaDaily.

    Menurutnya lagi, laporan itu dibuat sebagai solidariti terhadap PSM serta menunjukkan kebencian mereka pada perkauman.

    Jumaat lalu, Najwan tidak lama selepas didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman terhadap PSM memohon maaf melalui setiausaha agung parti itu, A Sivarajan.

    Najwan mengakui kenyataannya tidak wajar dan mengundang salah faham.

  • Warga emas, anak mengaku tak salah rogol remaja 15 tahun dalam kereta

    Warga emas, anak mengaku tak salah rogol remaja 15 tahun dalam kereta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga emas dan anaknya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja dalam kereta di Kluang, enam tahun lalu.

    Mohd. Hashim Saidin, 77, yang berkerusi roda dan anaknya berusia 21 tahun (yang ketika kejadian berusia 16 tahun) membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

    Dua beranak tersebut kemudian dibawa ke lokap selepas masing-masing gagal membayar ikat jamin sebanyak RM12,000 dan RM15,000.

    Mengikut kertas pertuduhan, anak tertuduh yang bekerja sebagai penghantar barang terlebih dahulu merogol seorang remaja perempuan yang ketika itu berusia 15 tahun di Jalan Kinabalu, Kluang pada pukul 5.15 petang, 25 Mei 2017.

    Selepas itu, giliran Mohd. Hashim melakukan perbuatan terkutuk terhadap mangsa sama di kawasan lapang dekat Kampung Abdul Rahman Yasin, Kluang pada PUKUL 6 petang dengan kejadian berlaku dalam kereta dan hari sama.

    Berikutan itu, dua beranak didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan 10 kali.

    Mahkamah kemudian menetapkan 9 Ogos ini sebutan kes dan serahan dokumen.

    Di mahkamah sama, seorang pekerja kedai langsir mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan merogol, persetubuhan luar tabii serta amang seksual fizikal terhadap seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU) lembam, minggu lalu.

    Tertuduh, Amirul Shaqirin Sazali, 27, membuat pengakuan itu sebaik ketiga-tiga pertuduhan dibaca di hadapan Abu Bakar.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa merogol, meliwat, dan amang seksual fizikal terhadap remaja berusia 13 tahun dalam sebuah kereta pada pukul 8 malam, 8 Julai lalu.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3), Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Mahkamah kemudian menetapkan 24 Julai ini untuk menjatuhkan hukuman serta tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • SPRM tahan pekerja dalang sindiket penyeludupan, pelupusan sisik tenggiling

    SPRM tahan pekerja dalang sindiket penyeludupan, pelupusan sisik tenggiling

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pekerja dalang utama dan menjadi orang tengah kepada sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling dalam Op Jaguar kelmarin.

    Menurut sumber, penahanan lelaki berusia 32 tahun itu dijalankan susulan operasi yang dijalankan dan soal siasat terhadap tujuh individu yang ditahan di sebuah premis di Klang, Selangor dan di Kuala Lumpur pada kelmarin.

    “Siasatan masih dijalankan dan SPRM juga sudah mengenal pasti penguat kuasa yang disogok sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa itu.

    “Melalui siasatan, sindiket ini sudah lama beroperasi dan kegiatannya terbongkar hasil maklumat yang diterima SPRM daripada agensi penguat kuasa dari Amerika Syarikat serta maklumat hasil risikan di United Kingdom dan Hong Kong,” katanya.

    Sumber berkata, dalam operasi di Klang, SPRM merampas hampir dua tan sisik haiwan itu yang bernilai RM23.4 juta, sementara di Kuala Lumpur pula SPRM merampas beberapa kenderaan mewah yang mempunyai kaitan dengan sindiket terbabit.

    Terdahulu, SPRM menahan seramai tujuh individu berusia antara 30 hingga 59 tahun membabitkan warganegara Malaysia, Bangladesh, Pakistan dan Nepal.

    Media semalam melaporkan SPRM empat lelaki direman kerana disyaki terbabit menyogok penguat kuasa bagi menyeludup dan melupuskan sisik tenggiling serta terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram.

    Dalam operasi itu, tujuh orang ditahan di mana empat daripadanya direman sementara tiga lagi warga asing diserahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya lapor Harian Metro.