Category: Semasa

  • Najib pura-pura bodoh,perbodohkan penyokongnya – Tun Mahathir

    Najib pura-pura bodoh,perbodohkan penyokongnya – Tun Mahathir

    BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa tindakan Datuk Seri Najib Razak berpura-pura ‘bodoh’, dan cuba memutar belit isu berkaitan dana RM2.6 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), sebagai sesuatu yang ‘mengagumkan’.

    Berikut catatan Dr.Mahathir dalam Facebook beliau hari ini;

    Amatlah mengagumkan bagaimana Datuk Seri Najib berjaya berpura-pura bodoh dan cuba putar belit isu berkait saya menerima RM2.6 juta dari UKSB.

    Najib cuba untuk menyamakan dengan isunya menerima RM2.6 billion yang masuk ke dalam akaunnya dan mendakwa diberi oleh Raja Arab yang sehingga hari ini tidak wujud atau tampil membuktikan kenyataan Najib.

     Selain itu, dua mahkamah dan empat hakim telah dapati dia bersalah tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC, sebuah anak syarikat 1MDB.

    Najib juga sedang dibicara di dalam mahkamah berkaitan kes 1MDB di atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk peroleh suapan berjumlah RM2.3 billion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 billion tersebut.

    Kesemua aliran wang tersebut ada paper trail dan digital footprint dan kesemuanya terkait dengan Najib. Ini berbeza keadaan dengan kenyataan David Tan dari UKSB di dalam mahkamah iaitu duit itu diberi melalui anak saudara saya Tan Sri Rahmat dan bukannya kepada saya.

    Tidak ada bukti duit masuk akaun saya atau saya terima duit itu atau David Tan melihat duit itu diserah pada saya. Yang ada hanyalah kenyataan David Tan yang bersandar pula kepada ledgernya digelar Buku 555.

    Tan Sri Rahmat telah keluar kenyataan nafi dia serah apa-apa duit pada saya. Tan Sri Rahmat juga terangkan dia ada terima wang RM1.3 juta tetapi ini adalah imbuhan untuk jawatan sebagai pengerusi dan penasihat UKSB.

    Dia telah letak jawatan di UKSB tidak lama kemudian dan serah kembali wang RM1.3 juta. Tan Sri Rahmat juga ada surat dan dokumen berkait dengan apa yang dinyatakannya. Memang pun saya tidak pernah terima duit tersebut.

    Ini sesuatu yang amat mudah di faham dan Najib memang faham. Dia berpura-pura tidak faham kerana dengan itu dia dapat terus bohong dan tipu untuk tutup kesalahannya menyamun wang rakyat. Malangnya, dengan berpura-pura bodoh, Najib dapat terus perbodohkan penyokongnya.

  • 3 anggota polis ditahan RM45,000 hilang ketika serbuan

    3 anggota polis ditahan RM45,000 hilang ketika serbuan

    SEORANG anggota polis berpangkat inspektor bersama dua konstabel ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengambil sejumlah wang ketika melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Pasir Kelang Baru, Kuala Krai dekat sini Selasa lepas (26 Julai).

    Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata tangkapan tiga anggota berusia antara 20-an dan 30-an itu dilakukan pada Sabtu lepas (30 Julai) selepas menerima laporan daripada seorang pengadu wanita.

    Beliau berkata berdasarkan aduan yang diterima, wanita berusia 68 tahun itu memaklumkan pada 4.30 petang Selasa lepas rumahnya didatangi tiga lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis bagi menahan anak lelakinya berhubung kesalahan dadah.

    “Wanita itu mendakwa polis tersebut telah meminta anak kunci almari dan menggeledah almari kayu yang berada di dalam biliknya sebelum mengambil wang hasil jualan tanah dan santan berjumlah kira-kira RM45,000 untuk sitaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

    Menurutnya pengadu kemudian telah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai tetapi dimaklumkan hanya wang berjumlah RM4,500 sahaja yang disita

    Muhamad Zaki berkata pegawai dan anggota polis yang ditahan itu kini direman empat hari hingga esok bagi membantu siasatan.

    Katanya sehingga kini tiada pengakuan daripada ketiga-tiga yang ditahan dan siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi dalam bangunan.

    “Serbuan ke rumah tersebut sebenarnya bagi menahan anak lelaki pengadu berusia 20-an, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- BERNAMA

  • Saya memang tidak pernah mencampuri urusan kerajaan negeri – Sultanah Zahirah

    Saya memang tidak pernah mencampuri urusan kerajaan negeri – Sultanah Zahirah

    SULTANAH Terengganu Sultanah Nur Zahirah hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa baginda tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri selain tidak tahu mengenai penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dan entiti dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Sultanah Nur Zahirah, yang memberi keterangan secara dalam talian pada perbicaraan kes saman terhadap Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown dan dua lagi, bertitah dakwaan Rewcastle-Brown dalam buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose menggambarkan baginda sebagai seorang yang berpengaruh serta mempunyai kuasa untuk mempengaruhi Kerajaan Negeri Terengganu.

    “Dakwaan yang dibuat sekarang ini yang menjadi punca utama… yang disebutkan ialah ‘the wife of the sultan’ iaitu saya… dan saya tegaskan saya memang tidak tahu-menahu mengenai TIA, 1MDB, mengenai penubuhannya dan segala-galanya.

    “Ini kerana saya memang tidak pernah mencampuri urusan kerajaan negeri… memang saya tidak pernah,” titah baginda ketika pemeriksaan balas oleh peguam Americk Sidhu yang mewakili Rewcastle-Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd.

    Sultanah Nur Zahirah juga dilihat agak beremosi ketika ditanya oleh peguam Vishnu Kumar mengenai reputasi baginda yang terjejas akibat penerbitan buku itu.

    “Buku ini ditulis pada 2018 dan pada masa itu, Jho Low dikategori sebagai seorang yang dikehendaki polis dan yang paling penting, saya tidak pernah masuk campur hal ehwal pentadbiran negeri Terengganu. Saya memang tidak campur. Tugas saya adalah sebagai isteri kepada suami saya Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.

    “Selain daripada tugas-tugas rasmi, saya seorang suri rumah. Saya menjaga anakanda-anakanda saya. Sesiapa sahaja dalam situasi saya akan merasa seperti apa yang saya rasa apabila nama saya tiba-tiba masuk ke dalam buku yang penuh kontroversi ini. Sesiapa pun pada waktu itu tidak mahu dikaitkan dengan Jho Low memandangkan apa yang dia buat pada negara ini,” titah baginda dalam nada sebak.

    Terdahulu, Sultanah Nur Zahirah bertitah baginda tidak tahu mengapa Rewcastle-Brown perlu mengaitkan baginda dengan Jho Low.

    “Saya pun hairan, saya tidak pernah kenal dia, jadi kenapa dia perlu tulis ‘the wife of the sultan’ di dalam buku itu. Saya bukan ahli politik. Adakah dia nak jual buku untuk dapatkan keuntungan demi memburukkan seseorang,” titah baginda yang turut memaklumkan permohonan maaf daripada penulis itu tidak diterima kerana tidak ikhlas.

    Sultanah Nur Zahirah bertitah saman itu difailkan kerana Rewcastle-Brown memfitnah baginda di dalam buku berkenaan.

    “Buku ini bukan buku cerita, buku dongeng. Buku ini sepatutnya menceritakan yang betul, amalan rasuah yang berlaku di Malaysia. Saya anggap ia memfitnah kerana saya tidak kenal dia. Dia penulis yang terkenal tapi letak nama saya ‘the wife of the sultan.’ Jadi itu adalah tidak kena… memang salah,” titah baginda.

    Sultanah Nur Zahirah juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam defendan bahawa reputasi baginda tidak terjejas kerana terdapat pembetulan bagi penerbitan edisi kedua buku itu pada September 2018 yang menggantikan frasa ‘the wife of the sultan’ dengan ‘the sister of the sultan.’ (merujuk kepada kekanda Sultan Mizan iaitu Tengku Datuk Rahimah).

    “Buku edisi pertama yang tulis ‘the wife of the sultan’ sudah terjual di serata dunia. Jadi dengan dia tidak meminta maaf secara ikhlas dan dibuat secara umum, macam letak di surat khabar utama dan media sosial.

    “… dia terus buat edisi kedua dan tukar kepada ‘the sister of the sultan’ dengan rasa tidak bersalah. Ikut suka dia sahaja, dia nak tulis ‘wife’ dia tulis ‘wife’ dan bila buku dah laris terjual serta jadi kontroversi, dia tulis ‘sister’ pula,” titah baginda.

    Sultanah Nur Zahirah, yang memfailkan saman itu pada 21 Nov 2018, mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terlibat dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan TIA, yang kemudian dikenali sebagai 1MDB.

    Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda telah membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menjadi penasihat TIA.

    Baginda menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan serta memohon perintah supaya penerbit menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah itu dan supaya pencetak berhenti mencetak buku tersebut.

    Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee bersambung Khamis ini.

    — BERNAMA

  • Bot karam: Juragan berenang enam jam dapatkan bantuan

    Bot karam: Juragan berenang enam jam dapatkan bantuan

    SEORANG juragan warga tempatan berenang selama enam jam ke Pulau Mantabuan bagi mendapatkan bantuan kerana bot yang membawa 11 penumpang telah dimasuki air sebelum karam, semalam.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata bot kayu itu dimasuki air sebelum karam dipercayai kerana terlanggar kayu yang terapung dalam kejadian antara 4.30 hingga 5 petang di perairan Pulau Mantabuan.

    Beliau berkata dalam kejadian itu, juragan bot berusia 46 tahun dan penumpang mengikat tong minyak kosong di sekeliling bot tersebut bagi mengelakkan ia tenggelam sebelum juragan itu berenang mendapatkan bantuan pihak berkuasa.

    “Pasukan Angkatan Tentera Malaysia yang berada di pulau itu kemudian menjalankan tindakan menyelamat semua mangsa sebelum menyerahkan kepada pasukan Polis Marin untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Mohd Farhan berkata kesemua mangsa terdiri daripada sembilan lelaki, dua wanita serta seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga hingga 79 tahun.

    Katanya, juragan itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan iaitu menjalankan aktiviti perahuan dengan gopoh manakala empat penumpang yang tiada dokumen pengenalan diri ditahan bagi siasatan kes di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1963.

    “Semua juragan bot diminta sentiasa mematuhi keselamatan dan peraturan ditetapkan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.- BERNAMA

  • Penganggur mati ditetak sekumpulan lelaki di kedai makan

    Penganggur mati ditetak sekumpulan lelaki di kedai makan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG penganggur meninggal dunia selepas diserang dan ditetak dengan parang oleh empat lelaki bertopeng di sebuah kedai makan di Taman Tampoi Indah, Johor Bahru, malam tadi.

    Kejadian tersebut kemudian dimaklumkan kepada pihak polis pada pukul 8.10 malam.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, siasatan awal semasa kejadian mangsa yang tidak bekerja dan berusia 29 tahun sedang makan bersama dua rakannya sebelum diserang empat lelaki memakai topeng muka.

    Beliau berkata, mereka yang bersenjatakan parang menaiki kereta jenis Honda Accord warna putih dengan nombor pendaftaran tidak pasti.

    “Mangsa kemudian ditetak dan akibat kejadian tersebut, mangsa cedera parah di bahagian kepala, tangan, kaki dan seluruh badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, sejurus kejadian mangsa dibawa ke Hospital Pakar Puteri di sini untuk mendapat rawatan namun pegawai kesihatan mengesahkan sudah meninggal dunia sebelum mayat dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dihukum mati.

    Pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara 07-5563122 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superitendan Zawanah Raimim Mokhtar 012-7744544.

  • Polis serbu rumah teres jadi makmal proses dadah

    Polis serbu rumah teres jadi makmal proses dadah

    POLIS melakukan serbuan di sebuah rumah teres yang dijadikan makmal memproses dadah di Taman Mastiara, off Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

    Operasi dijalankan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, serbuan yang dijalankan pukul 2.45 pagi itu berjaya menahan seorang kontraktor elektrik yang berperanan sebagai tukang memproses dadah jenis ketamin.

    “Suspek merupakan lelaki warga tempatan dan berumur 39 tahun itu merupakan seorang duda anak satu telah dibebaskan daripada penjara pada 2019 atas kesalahan dadah.

    “Suspek dipercayai menyewa rumah tersebut sejak dua bulan lalu bagi menjalankan kegiatan memproses dadah.

    “Satu kilogram dadah jenis ketamin yang siap diproses dipercayai untuk pasaran sekitar Kuala Lumpur dirampas dalam serbuan itu selain pelbagai peralatan dan bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Antara peralatan dipercayai digunakan untuk menghasilkan dadah antara yang dirampas dalam serbuan yang dijalankan.
    Tambah Azmi, ujian saringan yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methapatamine.

    “Suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    Sementara itu, Azmi berkata, JSJN KL bekerjasama dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) KL, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh Kuala Lumpur dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Wilayah Persekutuan (AADKWP) melaksanakan Op Tapis di seluruh Kuala Lumpur.

    Menurutnya, operasi menyasarkan kawasan perumahan awam dan juga kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur.

    “Seramai 209 orang berjaya ditangkap di bawah pelbagai kesalahan dadah dan daripada jumlah itu, seramai 12 orang telah diambil tindakan di bawah undang-undang pencegahan dadah (Akta Dadah Berbahaya Langkah Langkah Pencegahan Khas(LLPK) 1985.

    “Selain itu, 24 individu diambil tindakan di bawah kesalahan mengambil dadah berulang (Sek 39c Akta Dadah Berbahaya 1952) dan lapan individu diambil tindakan kerana dikehendaki (wanted) di bawah pelbagai kesalahan dadah,” katanya.

    Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan melibatkan jumlah RM 374,829.40.

    “Antara dirampas melibatkan 15 liter cecair pelbagai jenis dadah, 1.6 kilogram pelbagai jenis dadah, sitaan harta melibatkan wang tunai RM340 dan sebuah kereta jenis Honda Accord dianggarkan bernilai RM40,000,” katanya.

  • ‘’Bersatu tak terkejut, sejak awal tahu Zafrul ahli UMNO’’ – Razali

    ‘’Bersatu tak terkejut, sejak awal tahu Zafrul ahli UMNO’’ – Razali

    PARTI Bersatu tidak terkejut dengan pelantikan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Senator Datuk Razali Idris, berkata walaupun Tengku Zafrul dikatakan mesra Bersatu selepas dilantik menteri semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau tidak pernah menghadiri program parti itu.

    Beliau berkata, Bersatu sejak awal mengetahui Tengku Zafrul adalah ahli UMNO dan Muhyiddin tidak pernah mensyaratkan beliau perlu menyertai Bersatu untuk dilantik sebagai Menteri Kewangan.

    “Saya tidak terkejut kerana Tengku Zafrul tidak mesra Bersatu sebagai contoh beliau tidak pernah hadir dalam aktiviti parti,” katanya kepada portal FMT.

    Sehubungan itu Razali menolak dakwaan kononnya  Bersatu gagal menjadi tarikan selepas Tengku Zafrul memilih terlibat secara aktif dalam UMNO dan BN dengan memegang jawatan dalam parti, sambil menjelaskan Bersatu berjaya menarik ramai profesional baharu lain.

    “Ramai ahli baru Bersatu daripada kalangan professional cuma kita tidak pernah memujuk Tengku Zafrul sertai Bersatu. Bersatu terbuka kepada sesiapa yang sehaluan dalam perjuangan tolak rasuah, salah guna kuasa dan prihatin rakyat.

    “Tengku Zafrul boleh ke mana saja yang beliau suka, beliau tidak terikat dengan Bersatu. Beliau hanya dilantik menteri kewangan dan tidak diminta masuk Bersatu,” katanya.

  • Jenazah Tan Sri Khalid Ibrahim selamat dikebumikan

    Jenazah Tan Sri Khalid Ibrahim selamat dikebumikan

    JENAZAH bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selamat dikebumikan sekitar pukul 2.30 petang di Makam Diraja Shah Alam, Selangor, hari ini.

    Menurut laporan Sinar Harian, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke majlis pengebumian berkenaan.

    Antara yang hadir menyaksikan perjalanan akhir Allahyarham Abdul Khalid ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir; Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Haris Kasim.

    Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengucapkan takziah kepada Puan Sri Salbiah Tunut yang juga isteri kepada bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Makam Diraja Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Turut hadir, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr Ahmad Shahir Makhtar; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi.

    Allahyarham Abdul Khalid yang meninggal dunia pada 11.08 malam Ahad dimandi dan dikafankan terlebih dahulu di Masjid Saidina Umar Al Khattab Bukit Damansara, Kuala Lumpur, pukul 8 pagi tadi.

    Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke Masjid Salahuddin Abdul Aziz pada jam 11 pagi untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam.

  • [VIDEO] Bas ‘makan jalan’ akibatkan nahas tiga kenderaan

    [VIDEO] Bas ‘makan jalan’ akibatkan nahas tiga kenderaan

    KECUAIAN seorang pemandu bas dipercayai menjadi punca kemalangan jalan raya membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau, Pulau Pinang.

    Klip kejadian itu yang kini tular merakamkan sebuah bas dipandu secara cuai sehingga memasuki laluan bertentangan di kawasan selekoh sebelum berlanggar dengan sebuah kereta dan sebuah motosikal.

    Akibat pertembungan itu, kereta berkenaan dirakam berpusing dan terbalik di kawasan semak di bahu jalan manakala motosikal berkenaan tidak diketahui.

    Bagaimanapun klip berdurasi 18 saat yang dimuat naik laman Facebook Malaysia Crime Watch tidak menyatakan nasib mangsa.

    Tinjauan Warta Rakyat pada ruangan komen mendapati netizen mengecam sikap pemandu bas kerana mengakibatkan kemalangan tersebut.

    Zul Zufikal dalam reaksinya berkata:”Xlayak memandu bas”.

    Seorang lagi warganet, Ali Penang Fam meminta keluarga mangsa saman pemandu dan syarikat bas.

    “Semoga Allah permudahkan semua urusan mangsa,” katanya.

  • Tan Sri Apandi tidak hadir beri keterangan di Bukit Aman

    Tan Sri Apandi tidak hadir beri keterangan di Bukit Aman

    BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman seperti dijadualkan hari ini.

    Belau sepatutnya hadir ke Bukit Aman hari ini pada pukul 2.30 petang bagi menjalani proses tersebut.

    Petugas media yang awal-awal lagi berkumpul bagi merakamkan kelibat Apandi di pekarangan lokasi terbabit bagaimanapun hampa selepas dimaklumkan beliau tidak akan memberi keterangan di Bukit Aman oleh pihak PDRM.

    Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat setakat ini tentang di mana dan bila beliau akan merekodkan keterangan kepada pihak USJT.

    Apandi dipanggil oleh USJT untuk dirakam keterangan berkaitan kes melibatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), lapor Astro Awani.

    Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan.

    Ia susulan laporan Polis yang dibuat oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago terhadap Apandi pada 27 Julai lalu di Balai Polis Klang Selatan.

    PDRM kemudianya mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap Apandi berhubung laporan berkenaan.

    Dalam laporan yang dibuat, Charles meminta polis agar menyiasat Apandi Ali atas dakwaan menyalahgunakan kuasanya untuk menutup siasatan pihak berkuasa terhadap 1MDB.

    Ini berikutan keputusan penolakan Mahkamah Tinggi sebelum itu terhadap saman fitnah yang difailkan Apandi terhadap veteran DAP, Lim Kit Siang.

    Apandi sebelum ini mengambil tindakan menyaman Kit Siang yang mendakwa beliau menyalahgunakan kuasanya untuk menutup siasatan ke atas 1MDB dan wang yang dipindahkan ke akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Najib sebelum ini disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes SRC International dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Ahli Parlimen Pekan itu sedang menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.