Category: Semasa

  • Pengunjung Suria KLCC maut terjatuh dari tingkat atas

    Pengunjung Suria KLCC maut terjatuh dari tingkat atas

    SEORANG pengunjung di Suria KLCC, Kuala Lumpur, maut dipercayai terjatuh dari tingkat atas pusat beli-belah berkenaan, semalam.

    Perkara itu disahkan pihak Suria KLCC dalam satu kenyataan, lapor FMT.

    “Pihak pengurusan Suria KLCC dukacita memaklumkan yang berlaku insiden malang di Suria KLCC petang tadi mengakibatkan seorang pengunjung terjatuh dari tingkat atas.

    “Dukacita juga dimaklumkan individu terbabit telah meninggal dunia,” kata kenyataan itu.

    Pihak Suria KLCC turut menyatakan yang mereka bersedia memberi kerjasama penuh membantu pihak berkuasa dalam siasatan kes terbabit.

    Dalam pada itu, pihak Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi mengesahkan kejadian itu dan menjelaskan siasatan lanjut akan dilakukan.

  • Pesawat terhempas milik BATS Aviation

    Pesawat terhempas milik BATS Aviation

    PESAWAT ringan PA28 (9M BAA) yang terhempas sehingga mengakibatkan seorang jurulatih penerbangan maut di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, Medan Gopeng, di Ipoh malam tadi dimiliki oleh BATS Aviation Sdn Bhd.

    BATS Aviation Sdn Bhd dalam satu kenyataan, berkata pesawat itu bermula pada pukul 7.50 malam dan berlepas dari Runway 04 pada pukul 8 malam.

    “Krew BATS mengeluarkan panggilan kecemasan (mayday) pada pukul 8.07 malam dan hilang hubungan.

    “Dua jurulatih BATS terbabit dalam kecelakaan ini, seorang juruterbang terkorban manakala seorang lagi juruterbang berada dalam keadaan kritikal dan menerima bantuan perubatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya lapor Berita Harian.

    Katanya, kemalangan itu sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa, polis, Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM).

    “Sebab-sebab nahas itu akan disiasat sewajarnya oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

    “BATS Aviation akan memaklumkan kepada media mengenai sebarang maklumat terkini,” katanya.

  • Dengar bunyi dentuman, pesawat terbang rendah

    Dengar bunyi dentuman, pesawat terbang rendah

    SEORANG saksi yang tinggal berhampiran lokasi kejadian pesawat terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Sungai Rokam, Medan Gopeng di Ipoh malam tadi terkejut apabila mendengar bunyi aneh sebelum melihat sebuah pesawat terbang pada paras rendah.

    Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Wan, 41, berkata dia yang baru selesai mengisi minyak di sebuah stesen minyak berhampiran melihat pesawat itu melanggar tiang lampu berhampiran kunci air.

    “Pesawat tersebut dilihat terbang pada paras rendah lalu terhempas melanggar tiang tersebut. Susulan daripada itu saya membuat pusingan U dan pergi melihat keadaan pesawat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian..

    Sementara itu, penduduk sebuah rumah berhampiran yang hanya dikenali sebagai Haizad berusia 22 tahun berkata dia terdengar bunyi hentaman yang kuat ketika sedang berada di rumah ketika kejadian sekitar 7 malam.

     “Saya tidak terus keluar ke rumah kerana menyangkakan kemalangan biasa sehinggalah  kawan saya memaklumkan melalui WhatsApp berkenaan ada pesawat terhempas, selepas melihat gambar barulah sedar kejadian sangat dekat dengan rumah,” katanya.

    Seorang jurulatih penerbangan, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor maut manakala seorang lagi Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur cedera dalam nahas itu. – Bernama

  • Bayi maut, tujuh lagi cedera kereta terbalik dalam parit

    Bayi maut, tujuh lagi cedera kereta terbalik dalam parit

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG bayi berusia lima bulan meninggal dunia manakala tujuh lagi termasuk dua kanak-kanak dan warga emas cedera selepas kereta yang dinaiki terbabas dan masuk dalam parit di Kilometer 161.1 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Tangkak malam tadi.

    Pihak bomba menerima laporan kejadian itu pada jam 8.19 malam sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak dikejarkan ke tempat kejadian.

    Komander Operasi dari BBP Tangkak, Pegawai Bomba Kanan II Nor Zait Iskandar Md Nor berkata, mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    “Kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah kereta Perodua Alza terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik dalam parit. Terdapat lapan mangsa yang berada di dalam kenderaan tersebut.

    “Seorang bayi perempuan berusia lima bulan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Selain itu katanya, seorang wanita dewasa, seorang wanita warga emas, dua lelaki dewasa, dua kanak-kanak lelaki berusia empat dan lima tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun cedera.

    Jelasnya, dalam kemalangan tersebut semua mangsa tidak tersepit dan pihak bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa.

    Menurutnya, empat daripada mangsa dihantar ke hospital menaiki EMRS manakala tiga lagi mangsa menaiki ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada jam 9.01 malam,” katanya.

  • Pernah terbabit dalam insiden pesawat tidak patahkan minat arwah Fajim Juffa

    Pernah terbabit dalam insiden pesawat tidak patahkan minat arwah Fajim Juffa

    JURULATIH penerbangan yang maut dalam tragedi pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Sungai Rokam, Medan Gopeng di Ipoh malam tadi pernah terselamat dalam satu lagi insiden membabitkan pesawat sebelum ini.

    Allahyarham Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dilaporkan tersangkut pada sebatang pokok selama beberapa hari apabila pesawat dinaiki mengalami masalah enjin namun berjaya dikawal semasa menjalani latihan pada 2004.

    Menurut ibu saudara Allahyarham yang berusia lingkungan 50-an serta enggan dikenali, kejadian itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat Fajim Juffa dalam bidang penerbangan.

    “Arwah tidak pernah memberitahu dia takut atau mahu berhenti daripada bidang ini kerana memang mempunyai minat yang amat mendalam,” katanya kepada pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun.

    Beliau berkata Arwah bapa Fajim Juffa turut mengalami nasib sama kerana terkorban dalam insiden membabitkan pesawat pada sekitar tahun 1989.

    Tinjauan Bernama mendapati suasana pilu menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik itu terutama apabila isteri dan anak-anak perempuan Arwah tiba dari Selangor pada kira-kira 1.20 pagi.

    Ibu saudara arwah juga berkata mereka tidak sanggup memberitahu kesemua anak perempuan dan isteri Fajim Juffa bahawa beliau telah terkorban sehinggalah mereka tiba di sini bagi mengelakkan perkara tidak diingini menimpa keluarga itu ketika dalam perjalanan.

    “Saya rapat dengan arwah dan beliau merupakan seorang yang ceria serta selalu membawa keluarga datang ziarah ke rumah saya,” katanya.

    Dalam insiden pada kira-kira 8 malam itu, Fajim Juffa yang berasal dari Semenyih, Selangor terkorban manakala seorang lagi jurulatih penerbangan iaitu Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur cedera.

    Mereka dilaporkan bertolak dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran sebelum kejadian.

      — BERNAMA

  • ‘’Minat saya ialah memastikan Najib tanggung kesalahan, jalani hukuman penjara’’

    ‘’Minat saya ialah memastikan Najib tanggung kesalahan, jalani hukuman penjara’’

    TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli, menegaskan beliau ‘tidak meminati’ Datuk Seri Najib Razak, sebaliknya hanya mahu memastikan bekas Perdana Menteri itu menanggung kesalahan yang didakwa dan meringkuk dalam penjara dengan disabitkan oleh mahkamah.

    Beliau menempelak sindiran Najib yang memaklumkan dirinya tidak berminat pada bekas Ahli Parlimen Pandan itu, susulan Rafizi dilihat menjadikan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) berkenaan sebagai sasaran serangan selepas kembali aktif berpolitik.

    Rafizi berkata, beliau juga tidak berminat pada Najib, namun terpaksa menggalas tanggungjawab untuk terus mendedahkan dakwaan kesalahan dan taktik Ahli Parlimen Pekan itu, kepada rakyat.

    “Saya tidak berminat dengan Najib. Sebagai pimpinan utama parti pro-rakyat di negara ini, memang menjadi tanggungjawab saya untuk terus mendedahkan kesalahan Najib.

    “Fokus kepada kesalahan Najib yang membebankan rakyat ini, telah menjatuhkan Najib pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018. Minat sebenar saya ialah memastikan Najib menanggung kesalahan-kesalahannya kepada rakyat dan berakhir dengan menjalani hukuman penjara,” dakwanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Pada Konvensyen BN Selangor semalam, Najib menyifatkan Rafizi berlagak seperti pejuang rakyat selepas lebih tiga tahun menghilangkan diri daripada arena politik.

    Sebelum ini, Rafizi secara terbuka memaklumkan enggan lagi aktif berpolitik, kira-kira setahun selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14, dan ketika gabungan itu mula dihimpit pergolakan dalaman susulan isu jawatan Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Namun pada 15 Mac lalu, Rafizi mengumumkan hasrat untuk kembali aktif dalam arena politik selepas PH dan PKR tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Mengulas lanjut, Rafizi turut menggesa semua pimpinan pembangkang untuk terus membalas tindakan dikatakan propaganda Najib, khususnya dalam media sosial, yang didakwa bertujuan untuk menggambarkan dirinya tidak bersalah.

    Pada masa sama, beliau berkata, pembangkang perlu membentangkan idea untuk memperbaiki kebajikan dan menyelesaikan masalah rakyat, sekali gus menunjukkan bahawa sebahagian besar masalah terbabit didakwa berpunca daripada salah tadbir Najib ketika menjadi Perdana Menteri.

    “Keupayaan pimpinan PKR dan PH mengutarakan kedua-dua perkara ini secara serentak adalah kunci kemenangan PKR/PH pada PRU akan datang,” katanya.

  • Bekas isteri SM Faisal ketakutan; menangis, mengadu dipukul

    Bekas isteri SM Faisal ketakutan; menangis, mengadu dipukul

    SEORANG anggota polis peronda memberitahu Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur bahawa bekas isteri SM Faisal SM Nasimuddin dilihat berada dalam keadaan ketakutan, menangis dan mengadu ahli perniagaan itu telah memukulnya di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas yang didiami oleh pasangan tersebut tujuh tahun lalu.

    Saleh Omar Osman, 43, dari Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields berkata, pada 22 Nov 2015, beliau menerima panggilan dari pusat kawalan yang menyatakan ada pergaduhan di rumah tersebut dan terus bergerak ke lokasi itu bersama rakan setugasnya.

    Saksi pendakwaan keempat itu berkata, apabila tiba di rumah tersebut, pintu pagar telah terbuka dan beliau melihat seorang lelaki berdiri di kawasan parkir serta membenarkan mereka masuk.

    “Rakan setugas saya telah bertanya kepada lelaki tersebut ‘ada apa-apa masalah ke encik’ dan lelaki itu menjawab ‘tiada apa-apa.’ Selepas itu, seorang perempuan telah keluar dari rumah tersebut dan menunjukkan kepada saya tangannya lebam kerana dipukul. Saya juga nampak kesan lebam di mukanya.

    “Mangsa berada dalam ketakutan, menangis dan mengadu bahawa suaminya (sambil menunjukkan kepada lelaki tersebut) telah memukulnya. Lelaki itu hanya berdiam diri,” katanya semasa membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes SM Faisal yang didakwa mencederakan Emilia Hanafi.

    Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin, saksi itu mengenal pasti lelaki yang berdiri di kawasan parkir adalah SM Faisal.

    Menurut Saleh, beliau kemudian meminta mangsa membuat laporan di Balai Polis Sri Hartamas.

    Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Akberdin Abdul Kader, saksi itu bersetuju bahawa beliau tidak menangkap SM Faisal meskipun mempunyai kuasa untuk menahan mana-mana suspek yang disyaki melakukan jenayah.

    Akberdin: Saya katakan kepada kamu Sarjan, kamu tidak menangkap dia walaupun kamu melihat mata dan tangan wanita itu lebam kerana kamu telah membuat keputusan itu adalah masalah rumah tangga antara lelaki dan wanita, sebab itu kamu tidak menangkap atau menahan suspek tersebut.

    Saleh: Ya, setuju.

    Bagaimanapun, saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa pada hari kejadian, SM Faisal ada memberitahunya bahawa dia telah diserang oleh isterinya dan terpaksa mempertahankan diri menyebabkan mereka telah mengalami kecederaan.

    SM Faisal, 43, berdepan dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, yang merupakan isterinya (ketika kejadian) di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang pada 22 Nov 2015.

    Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jik

  • Jurulatih penerbangan maut, seorang lagi cedera pesawat ringan terhempas di Ipoh

    Jurulatih penerbangan maut, seorang lagi cedera pesawat ringan terhempas di Ipoh

    SEORANG jurulatih penerbangan maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng di Ipoh malam ini.

    Mangsa yang maut ialah Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor manakala mangsa yang cedera ialah Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada kira-kira 8.10 malam dan siasatan awal mendapati kedua-dua jurulatih penerbangan bertolak dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran.

    “Mereka dipercayai menaiki pesawat jenis Piper 28 dan cuaca adalah baik ketika kejadian. Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan membuat siasatan untuk mengetahui punca kejadian,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

    Beliau berkata kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun tindakan lanjut.

    Difahamkan, pihak syarikat penerbangan BATS Aviation sudah menghubungi keluarga mangsa terlibat bagi memaklumkan kejadian.

  • Harga maksimum minyak masak botol 5kg dijual RM34.70 bulan ini – Annuar

    Harga maksimum minyak masak botol 5kg dijual RM34.70 bulan ini – Annuar

    MINYAK masak sawit dalam botol lima kilogram (5kg) akan dijual pada harga RM34.70 bulan ini bermula dari 8 Ogos, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.

    Annuar berkata harga itu ditetapkan susulan pelaksanaan harga maksimum minyak berkenaan secara bulanan berdasarkan harga bagi satu tan metrik minyak sawit mentah (CPO) diumum oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), dengan harga RM4,063 bagi bulan Ogos.

    “Berdasarkan penentuan harga ini mulai hari ini, penguatkuasaan harga di kedai-kedai hendaklah mula dilaksanakan tujuh hari kemudian, bermakna 8 Ogos minyak masak dalam botol 5kg yang sekarang dijual dari RM39 hingga RM42 hendaklah dijual pada harga maksimum RM34.70,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Kuala Lumpur hari ini.

    Bagaimanapun, Annuar berkata harga berkenaan hanya berkuat kuasa untuk Semenanjung Malaysia.

    Sementara itu, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata dengan pengumuman itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil langkah-langkah berikutnya untuk mewartakan harga berkenaan.

    Katanya kaedah sama akan dikekalkan pada bulan-bulan akan datang, dengan harga maksimum berkenaan akan berubah setiap bulan berdasarkan harga semasa CPO yang diumumkan oleh MPOB setiap awal bulan.

    “Bagi peniaga yang gagal mematuhi penetapan harga maksimum ini, KPDNHEP boleh mengambil tindakan berdasarkan peraturan yang ada,” katanya sambil menyatakan jadual harga maksimum bagi minyak masak botol 1kg hingga 3kg akan dikeluarkan oleh KPDNHEP.

    Minggu lalu kerajaan memutuskan untuk mewartakan harga maksimum minyak masak dalam botol, bagi memastikan produk itu mempunyai harga maksimum dari semasa ke semasa dan bagi membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup.

    — BERNAMA

  • Polis tahan sepasang kekasih, rampas pistol, pil yaba, ganja di Tumpat

    Polis tahan sepasang kekasih, rampas pistol, pil yaba, ganja di Tumpat

    POLIS  merampas sepucuk pistol jenis Smith & Wesson .357 Magnum bersama 29 butir peluru selepas menahan sepasang kekasih berumur 27 dan 39 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Palekbang, Tumpat, pada 27 Julai lepas.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pistol tersebut dijumpai di dalam bekas plastik di dalam semak ketika serbuan Op Tapis pada 11.30 malam.

    “Anggota polis turut menemukan 800 biji pil yaba dan ganja seberat 225 gram di dalam tin yang dianggarkan bernilai RM19,250. Susulan penahanan pasangan kekasih itu, polis kemudiannya telah melakukan serbuan ke sebuah rumah lagi di kampung di Palekbang dan menahan seorang lelaki berumur 35 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu hari ini.

    Muhamad Zaki berkata ketiga-tiga individu itu ditahan reman selama tujuh hari hingga Rabu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960.

    Beliau berkata ketiga-tiga individu yang ditahan itu didapati positif methamphetamine dan turut memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.

    Menurutnya, susulan kejadian itu juga polis turut menyita dua motosikal, sebuah kereta Honda Jazz, jam tangan jenama Rado dan satu kad mesin pengeluaran automatik (ATM).