Category: Semasa

  • DAP berisiko ikut jejak MCA-Ronnie Liu

    DAP berisiko ikut jejak MCA-Ronnie Liu

    BEKAS veteran DAP, Ronnie Liu mendakwa, pemimpin tertentu parti itu sudah melupakan nilai teras parti dan berisiko menjadi tokoh seperti dalam MCA.

    Beliau yang bersama DAP selama 41 tahun sebelum keluar bulan lalu berkata tingkah laku mereka sangat mirip MCA.

    Tanpa menamakan mana-mana individu, Ronnie berkata, perkara tersebut berlaku tanpa disedari.

    “Mereka mungkin tidak tahu, (tetapi) mereka mula kata (perkara seperti) ‘kita perlu berkompromi’, ‘kita perlu melihat gambaran lebih besar’, ‘kita akan cuba tangani masalah itu secara dalaman’,” kata Liu kepada FMT.

    “MCA pernah kata ini (perkara sama) sekian lama,” katanya menjawab pengkritik DAP yang membandingkan parti itu dengan MCA, selepas menyertai kerajaan dengan MCA sekian lama dikritik bertolak ansur dengan rakan kongsi Barisan Nasional lebih besar, UMNO.

    Pengkritik parti itu termasuk bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Kua Kia Soong berkata, prinsip parti itu terjejas dengan sikap suka mengambil kesempatan ditunjukkan sesetengah pihak selepas menjadi kerajaan.

    Liu dalam responnya berkata, penting untuk ahli DAP terus bersuara dan menyuarakan pandangan mereka secara terbuka, khasnya dalam isu seperti rasuah dan salah guna kuasa.

    “Saya harap DAP tidak akan lupa mengenai ini. Kami mahu keadilan, demokrasi, kebebasan dan hak sama rata.”

    Sesetengah pemimpin DAP mula melupakan idea itu, katanya, apabila mereka dikuasai ‘3P’ (kuasa, kedudukan dan manfaat).

    “Mereka (yang) merasai kuasa, kedudukan dan manfaat sudah melupakan nilai dan kebaikan (mereka) serta mengapa mereka menyertai politik. Ini bukan caranya,” katanya lapor Malaysiakini.

    Liu keluar DAP bulan lalu kerana ada banyak insiden ‘di luar jangkaannya’.

  • Dulu alergi dengan DAP sekarang jadi kawan, kata Ahmad Zahid

    Dulu alergi dengan DAP sekarang jadi kawan, kata Ahmad Zahid

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta jentera UMNO termasuk BN mengenepikan persengketaan untuk memastikan kemenangan Kerajaan Perpaduan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini.

    Beliau yang suatu ketika dahulu alah melihat bendera roket (DAP) kini mengenepikan perkara lama demi memperkukuhkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Menurut Timbalan Perdana Menteri, ketika ini UMNO dan DAP sudah menjadi kawan kerana sudah berada dalam kerajaan perpaduan.

    “Dulu saya alergi (alah) tengok roket dan dulu juga lawan tetap lawan tetapi sekarang buat apa kita terus berlawan yang masa ini kita perkukuhkan Kerajaan Perpaduan.

    “Oleh itu, jentera UMNO BN diminta ketepikan persengketaan dengan tutup buku lama dan buka buku baru.

    “Saya ingin berterima kasih kepada jentera UMNO Pulau Pinang yang mengatakan di mana sahaja calon Pakatan Harapan (PH) bertanding di situ jentera UMNO akan membantu,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di Butterworth malam tadi.

    Ahmad Zahid berkata, BN mahu turut membantu kerajaan negeri Pulau Pinang apabila menang pada PRN nanti.

    “Kerajaan Pulau Pinang, 15 tahun BN tak bersama tetapi kemajuan pembangunan perindustrian berteknologi tinggi amat dikagumi selain Selangor. Asas kemajuan (Pulau Pinang) asal BN suatu ketika dahulu tetapi hakikatnya selepas 15 tahun Pinang semakin maju.

    “Jadi, BN mahu turut mahu membantu melalui menteri dari UMNO supaya dapat tarik pelabur ke Pulau Pinang termasuk mendokong Perdana Menteri yang kita mahu noktahkan kemiskinan tegar menerusi KKDW (Kementerian Desa dan Wilayah),” katanya, lapor Harian Metro.

  • MH17 ditembak:Kerajaan tak henti usaha tegak keadilan

    MH17 ditembak:Kerajaan tak henti usaha tegak keadilan

    KERAJAAN akan terus berusaha untuk mendapatkan keadilan bagi 298 mangsa tragedi MH17 walaupun keputusan kes tembak jatuh pesawat itu sudah diputuskan Mahkamah Daerah The Hague, Belanda pada 17 November tahun lepas.

    Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan memaklumkan, Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada mesyuarat 17 Mac lalu memutuskan untuk meneruskan pendengaran mengenai penyelesaian perbezaan antara pihak yang berkonflik.

    “Malaysia bertekad bahawa proses itu mesti membuktikan kebenaran, keadilan dan akauntabiliti.

    “Keputusan mahkamah pada 17 November itu mendedahkan kebenaran dan memberi keadilan kepada semua 298 mangsa termasuk 43 rakyat Malaysia,” menurut kenyataan berkenaan, lapor FMT.

    Mahkamah Daerah The Hague pada 17 November menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine selepas didapati bersalah menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014.

    Digor Girkin dan Sergei Dubinsky serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko, turut didakwa menyebabkan semua 298 penumpang dan krunya terbunuh.

    Hakim Hendrik Steenhuis yang membacakan ringkasan penghakiman turut memerintahkan ketiga-tiga lelaki itu membayar pampasan kepada ahli keluarga mangsa.

    MH17 ditembak jatuh peluru berpandu BUK ketika terbang melewati kawasan dilanda konflik di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

    Semua 298 penumpang dan kru dalam pesawat malang itu, membabitkan 43 rakyat Malaysia, 193 rakyat Belanda dan 27 rakyat Australia terkorban.

  • Warga emas ditahan pukul ibu berusia 91 tahun

    Warga emas ditahan pukul ibu berusia 91 tahun

    POLIS menahan seorang lelaki warga emas kerana memukul ibunya yang berusia 91 tahun sehingga cedera di muka dalam kejadian di sebuah rumah panjang di Selangau.

    Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berusia 60 tahun itu ditahan pukul 3 petang semalam.

    “Penahanan suspek dibuat selepas kejadian itu dilaporkan di Balai Polis Selangau pada 11 malam, 14 Julai lalu.

    “Tangkapan sudah dibuat dan kes masih dalam siasatan.

    “Mangsa juga sudah diberi rawatan di Klinik Kesihatan Selangau dan kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

    “Polis turut mengesan video berdurasi 26 saat yang tular di Facebook semalam memaparkan suspek memukul mangsa menggunakan tangan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • PH, BN gali kubur sendiri dengan bawa naratif fitnah

    PH, BN gali kubur sendiri dengan bawa naratif fitnah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEPIMPINAN Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ibarat menggali kubur sendiri apabila terus memainkan naratif fitnah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, fitnah tersebut yang dihamburkan satu demi satu kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hanyalah semata-mata untuk menjatuhkan reputasi cemerlang beliau ketika ini.

    Namun katanya, semua itu ibarat memakan diri mereka sendiri dengan segala tohmahan tersebut dijawab satu persatu oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.

    “Jawapan tersebut mengambarkan Menteri Kerajaan Perpaduan tidak tahu selok-belok pentadbiran.

    “Seluruh Kementerian Kerajaan Persekutuan dan kepimpinan PH dan BN dikerahkan untuk menjatuhkan imej serta karakter seorang Menteri Besar di sebuah negeri. Sangat tragis sekali apabila bukan sahaja perancangan mereka gagal, bahkan sokongan kepada Muhammad Sanusi pula semakin melonjak naik,” katanya.

    Ahmad Yahaya menambah, naratif dimainkan kononnya Muhammad Sanusi tidak berbuat apa-apa selaku Menteri Besar sebenarnya hanya membuka cerita era pemerintahan sebelumnya yang sekadar menangguk di air keruh.

    “Hakikatnya gelombang rakyat khususnya anak muda untuk menolak PH serta BN semakin dahsyat dan sukar untuk dibendung. Malah, tidak mustahil negeri-negeri selesa dikuasai kedua-dua gabungan itu akan diambil alih PN.

    “PAS Kedah yakin PH serta BN tidak ada modal lain yang lebih kuat untuk diketengahkan dalam PRN kali ini. Malah, ‘poster boy’ mereka sendiri tidak terlawan dengan aura yang dibawa oleh Muhammad Sanusi,” katanya.

    Tegasnya, ketika ini rakyat di keenam-enam negeri khususnya Kedah sudah pun bersedia memastikan PH dan BN tersungkur.

    “Kebangkitan itu sebenarnya sedang dipimpin oleh Muhammad Sanusi,” katanya.

  • Rampas jam ‘tema LGBTQ’, Swatch saman kerajaan

    Rampas jam ‘tema LGBTQ’, Swatch saman kerajaan

    SWATCH Malaysia menfailkan saman di Mahkamah Tinggi untuk mencabar tindakan kerajaan merampas 172 jam tangan termasuk siri ‘Pride Collection’ jenama itu, pada Mei lalu.

    Rampasan dibuat pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) di beberapa kedai Swatch yang dibuat kerana jam tangan terbabit dikatakan mempunyai unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

    Dalam permohonannya untuk memulakan semakan kehakiman, syarikat itu mendakwa rampasan berkenaan tidak sah kerana aksesori berkenaan bukan ditakrifkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

    Menurutnya, berdasarkan akta itu istilah penerbitan terhad untuk dokumen, surat khabar, buku atau sebarang bahan dalam bentuk bercetak.

    “Jam tangan tersebut belum ditakrifkan sebagai penerbitan yang dilarang, oleh itu pegawai tidak mempunyai kuasa untuk memasuki cawangan pemohon (Swatch Malaysia) untuk merampasnya,” katanya memetik laporan FMT.

    Swatch Malaysia berkata beberapa model antara 172 jam tangan yang dirampas telah dijual di Malaysia selama lebih setahun dan tiada notis aduan atau aduan mengenainya.

    Syarikat itu berkata, peguamnya pada bulan lalu juga telah memohon KDN memulangkan jam dirampas, namun sehingga kini agensi itu belum berbuat demikian.

    Menurut notis itu, pemohon juga menyifatkan tindakan itu bermotifkan politik memadangkan PRN bakal diadakan tidak lama lagi.

    Susulan itu, Swatch menuntut jam tangan itu dikembalikan semula dan ganti rugi yang dianggarkan RM64,795.

    Hakim Amarjeet Singh akan mendengar permohonan semakan kehakiman itu pada 20 Julai.

  • Undi PN untuk ‘sedarkan’ kerajaan Anwar – Muhyiddin

    Undi PN untuk ‘sedarkan’ kerajaan Anwar – Muhyiddin

    PENGUNDI di enam negeri digesa memberikan undi mereka kepada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) Ogos ini sebagai mesej kepada kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mesej itu penting untuk masa depan rakyat dan negara.

    “Kalau kita terpilih juga kepada Pakatan Harapan, kita tidak tahu apa akan jadi. Saya boleh cerita panjang isu dan masalah yang boleh berlaku kepada negara,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ceramah Perdana Jelajah Selangor Baharu di pekarangan Markas Tarbiyah Al-Idrisiah, Labohan Dagang, Sepang malam tadi.

    Yang turut hadir pada majlis itu, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Harun, dan Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin.

    Muhyiddin berkata, sudah lebih tujuh bulan kerajaan campuran memerintah tetapi tiada satu dasar yang diperkenalkan dilihat membela rakyat.

    Malah katanya, disebalik harga barang harian meningkat, Anwar pula hanya tahu menyerang pembangkang dengan pelbagai tuduhan dan retorik politik.

    “Rakyat nak dengar sekarang ini kita berhadapan dengan soal masalah besar, ini tentang kelangsungan hidup. Nak hidup, nak ada makanan di atas meja.

    “Ini yang kita sedang hadapi pada hari ini, betul tak? Rakyat pada hari pertama bila kerajaan terbentuk mengharapkan sesuatu kenyataan yang jelas dan tegas tentang apa yang harus kerajaan lakukan dan tindakan mesti dibuat secara segera, tidak lengah-lengah kerana masalahnya adalah masalah besar.

    “Bebanan rakyat tanggung ni tak boleh tertahan lagi,” katanya.

    Menurut Muhyiddin, kerajaan campuran sehingga hari ini tidak mengeluarkan sebarang langkah-langkah yang boleh memulihkan ekonomi negara.

    “Sekarang dah lebih tujuh bulan, sampai hari ini tidak ada satu pun kenyataan, dia kata tunggu pada bulan lapan ini dia akan keluarkan naratif ekonomi dia.

    “Rakyat bukan nak tunggu bulan lapan (Ogos), bulan lapan dah turun dah. Betul tak betul. Nak tengok dia turun tak? Kalau nak tengok dia turun cepat kita cepat-cepat undi Perikatan Nasional,” katanya lagi.

    Muhyiddin juga mengkritik Anwar yang kononnya menentang rasuah tetapi sebaliknya melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan campuran.

    “Jelas terbukti dia (Anwar) kata menentang rasuah, tapi siapa dia ambil jadi Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, walaupun orang tahu dia menghadapi pertuduhan di mahkamah dan kena bela diri 47 pertuduhan,” ujarnya lagi, lapor SatuBerita.

  • Muhyiddin umum bekas KSU calon PN DUN Dengkil

    Muhyiddin umum bekas KSU calon PN DUN Dengkil


    PERIKATAN Nasional (PN) malam tadi mengumumkan calon bagi dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini.

    Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Jamil Salleh diumumkan calon PN DUN Dengkil manakala Datuk Suhaimi Mohd. Ghazali calon DUN Sungai Pelek.

    Perkara tersebut diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Majlis Ceramah Perdana Jelajah Selangor Baharu di pekarangan Markas Tarbiyah Al-Idrisiah, Labohan Dagang, Sepang.

    “Dua nama saya nak umumkan lebih awal daripada pengumuman rasmi, calon kita (PN) untuk DUN Sungai Pelek, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali iaitu calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan di DUN Dengkil adalah Datuk Seri Jamil Salleh.

    “Dia (Jamil) baru bersara dari Ketua Setiausaha KPDNHEP baru sahaja jadi ahli Bersatu yang saya bersetuju letakkan seorang tokoh yang sudah banyak berjasa kepada negara,” katanya disambut gemuruh hadirin hadir.

    Yang turut hadir pada majlis itu, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Harun, dan Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin .

    Sementara itu, dalam ucapannya Muhyiddin bimbang akan nasib rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga barang susulan prestasi ringgit merundum.

    “Ini satu isu besar, sampai hari ini tidak ada langkah-langkah komprehensif oleh pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah rakyat, setiap hari mana sahaja isu ini berbangkit,”

    “Saya melawat satu kedai sayur di pasar malam Taman Melawati, semua sayur naik, terung, sawi, bayam semuanya naik. Ini berlaku dimana-mana sahaja.

    “Rakyat harapkan dari kerajaan sekarang adalah apa langkah yang wajar diambil sekarang untuk meringankan bebanan rakyat, sedikit sebanyak mesti dibuat,” katanya.

    Beliau berkata, kenaikan bil elektrik turut menyumbang kepada kenaikan harga produk di pasaran yang menambah beban rakyat.

    “Saifuddin (Abdullah) ingatkan saya, bil elektrik dah melambung.

    “Bila masalah ini dikenakan kepada pihak industri terpaksa bayar lebih, maka proses pengeluaran industri bertambah mahal, produk dijual kepada pengguna, pengguna kena bayar lebih tinggi,” ujarnya, lapor SatuBerita.

    Menurutnya, sudah lapan bulan Anwar memimpin negara, masih tiada dasar dan perancangan yang jelas untuk memandu negara keluar dari kemelut ekonomi yang melanda negara

  • Hanapiah Nasir meninggal dunia hari ini

    Hanapiah Nasir meninggal dunia hari ini

    LAGENDA sukan olahraga, Hanapiah Nasir yang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

    Allahyarham, 65, banyak menyumbang keringat kepada sukan olahraga negara, meraih empat emas, masing-masing dalam acara lompat jauh (1985), 110 meter (m) lari berpagar (1985) dan decathlon (1983 dan 1981) di temasya Sukan SEA.

    Pada 1985, Allahyarham memecahkan rekod Sukan SEA dalam acara lompat jauh dengan lompatan sejauh 7.59m serta 110m lari berpagar.

    Allahyarham turut meraih perak dalam acara 4x100m bersama Rabuan Pit, Sivaling Govindasamy dan Nordin Jadi.Selepas bersara, Allahyarham terus bergiat dalam arena olahraga dan pernah menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih negara dari 2005 hingga ke 2009.

    Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Kampung Baru malam ini dan dikebumikan esok.

    Sementara itu, bekas atlet lontar peluru kebangsaan, Adi Alifuddin Hussin turut memuatnaik hantaran mengenai pemergian Allahyarham di akaun Facebook miliknya.

    “Mohon sedekahkan al-fatihah buat ‘coach’ Hanafiah Nasir yang baru sahaja meninggal dunia sebentar tadi.

    “Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang beriman. Terima kasih atas ilmu yang dicurahkan semasa saya aktif dalam sukan olahraga,” kata Adi.

    Dalam pada itu, pemenang pingat emas 110m negara di Sukan SEA Manila 2005, Robani Hassan turut menitipkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

    “Salam takziah buat keluarga coach Hanafiah Nasir yang baharu sahaja meninggal dunia di HKL. Terima kasih coach. Semoga tenang di sana,” tulisnya di laman Facebook, lapor Berita Harian.

  • Hamzah bakal ketuai Jawatankuasa Khas Masyarakat India PN

    Hamzah bakal ketuai Jawatankuasa Khas Masyarakat India PN

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dikatakan bakal mengetuai Jawatankuasa Khas Masyarakat India Perikatan Nasional (PN).

    Beberapa sumber daripada gabungan PN bercakap mengenai perkara itu.

    “Kami mengadakan mesyuarat pertama pada 13 Julai yang lalu. Mesyuarat itu mengambil keputusan Hamzah akan dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa itu.

    “Sementara, bekas Ketua Pemuda MIC Selangor, Datuk P. Punithan akan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi,” kata satu sumber kepada Malaysiakini.

    Kata sumber itu lagi, pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat selepas mendapat persetujuan mesyuarat majlis tertinggi PN yang akan diadakan esok.

    Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bekas Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivarraajh akan mengetuai jawatankuasa khas itu.

    Namun, bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands itu berkata masih belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti mahu pun menubuhkan parti baru.

    Untuk rekod, Sivarraajh keluar dari MIC pada 27 Jun lalu, dua minggu selepas beliau dilucutkan sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat parti itu.

    Selang beberapa hari kemudian, Punithan juga mengumumkan keluar dari MIC.

    Sementara itu, satu lagi sumber memberitahu jawatankuasa khas itu akan ditukar menjadi parti politik baru bagi masyarakat India selepas pilihan raya negeri (PRN).

    “Pelantikan Hamzah itu hanya persediaan sementara. Selepas PRN, Punithan akan mengambil alih. Jawatankuasa itu akan ditukar sebagai parti politik.

    “Ini merupakan komitmen PN kepada masyarakat India,” katanya.