Category: Semasa

  • PRK:Ahli Pas sertai Amanah kerana takut kalah- Hadi

    PRK:Ahli Pas sertai Amanah kerana takut kalah- Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, tindakan segelintir ahli dan bekas pemimpin parti itu menyertai Parti Amanah Negara (Amanah )adalah kerana takut kalah dalam pilihan raya.

    Abdul Hadi turut menyifatkan mereka sebagai lemah semangat sehingga sanggup meninggalkan dasar perjuangan Pas.

    “Terdapat kalangan Pas yang lemah semangat, yang lemah semangat dan sayang nak tinggalkan DAP. Takut tak menang pilihan raya.

    “(Orang) Yang takut tak menang itu yang masuk parti Amanah ini dan yang ikut parti Amanah ini (adalah) kerana nak menang pilihan raya.

    “Sanggup meninggalkan prinsip dasar perjuangan (PAS),” katanya berucap dalam Ceramah Perdana PN Johor di Markas PAS Kawasan Bakri, Muar, malam tadi.

    Pas-PN dalam usaha mereka merampas dua kerusi yang ditinggalkan Allahyarham Salahuddin Ayub iaitu kawasan parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

    PN meletakkan Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulai, Zulkifli Jaafar sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) peringkat kerusi parlimen, manakala Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dr. Mohd Mazri Yahya, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

    Kerajaan Perpaduan pula menamakan bekas Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat, untuk PRK Pulai, manakala Timbalan Ketua Amanah Bakri, Ir. Nazri Abdul Rahman di peringkat DUN.

    Kedua-dua calon dari parti kerajaan adalah ahli Parti Amanah Negara (Amanah).

    Abdul Hadi juga mendakwa keengganan DAP menerima hukum hudud mendorong Pas menggerakkan usaha menukar kerajaan ketika PH yang mendapat mandat daripada pengundi pada 2018 mentadbir negara.

    Kata Ahli Parlimen Marang itu, beliau kemudian berjumpa Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi Perdana Menteri untuk bertanyakan keadaan dalam kerajaan.

    “Tun (Mahathir) kata, saya tak sangka jadi begini. Tak tahu apa nak jadi (apabila) orang Islam tak memimpin, Melayu tak memimpin.

    “Saya kata, Tun, kita usahakan… satukan ahli Parlimen Melayu, bumiputera, (masukkan juga) Cina dan India yang tak ekstrem bergabung.

    “Cukup jumlah kita ubah kerajaan. Maka berjayakah kita ambil kerajaan,” katanya menceritakan mengenai insiden Langkah Sheraton yang berlaku pada akhir Februari 2020 lalu, lapor Malaysiakini.

  • PRK:UMNO Pulai tolak calon PH, Nur Jazlan pujuk ketua cawangan

    PRK:UMNO Pulai tolak calon PH, Nur Jazlan pujuk ketua cawangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KETUA UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed akan bertemu dengan ketua-ketua cawangan bahagian itu untuk memujuk mereka yang tidak mahu menyokong calon Pakatan Harapan (PH) dan BN, Suhaizan Kaiat pada pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

    Beliau akan berusaha keras untuk memujuk mereka termasuk ahli UMNO di peringkat akar umbi untuk memberikan sokongan padu kepada Suhaizan sekali gus memberi kemenangan kepada calon Kerajaan Perpaduan itu.

    “UMNO ada lain budaya, kalau perlu dipujuk saya kena pujuk, ada dua minggu untuk pujuk mereka, bukan segelintir mereka tidak mahu bersama tetapi mungkin ada keberatan untuk mereka sokong.

    “Namun jika kita dapat pujuk mereka untuk sokong calon PH, kita akan capai kemenangan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Bilik Gerakan P161 Pulai di Taman Perling, Johor Bahru malam tadi.

    Sebelum ini tular kain rentang yang digantung di sini tertulis ‘Kami cawangan-cawangan UMNO Bahagian Pulai menolak calon Pakatan Harapan’.

    Selain itu, Nur Jazlan mengakui masih berasa kekok dengan kerjasama politik antara dua gabungan politik tersebut menerusi Kerajaan Perpaduan pada hari ini termasuk berucap atas pentas PH.

    Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu turut tidak mahu menggunakan slogan reformasi kerana merasakan tidak lagi relevan sebaliknya tumpu kerjasama politik dua gabungan itu untuk melakukan perubahan positif dalam negara.

    “Saya tidak mahu menggunakan ayat ‘reformasi’, saya tidak mahu mendengar ia lagi. Masa untuk reformasi sudah habis. Kini adalah masanya untuk mengubah haluan negara,” katanya yang merujuk slogan reformasi yang sering dilaungkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyokong PH.

    Dalam perkembangan lain, Nur Jazlan menggesa pengundi khususnya masyarakat Cina di Parlimen Pulai untuk keluar mengundi kerana kunci kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah kerana sokongan pengundi Cina.

    “Kerusi ini nampak seperti kerusi mudah buat PH, namun kemenangan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub adalah berdasarkan undi Cina, tetapi kalau masyarakat Cina tidak datang undi 9 September ini, saya khuatir akan jadikan kerusi ini tergugat,” katanya.

    Pada PRK Parlimen Pulai, Suhaizan yang merupakan bekas Speaker DUN Johor dan pernah menggalas jawatan Setiausaha Politik kepada Salahuddin akan bertemu dengan calon PN, Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.

  • Islam perlu memimpin jamin kestabilan, keamanan rakyat, kata Hadi

    Islam perlu memimpin jamin kestabilan, keamanan rakyat, kata Hadi

    ORANG Islam perlu menjadi pemimpin dalam usaha menjamin kestabilan serta keamanan kepada rakyat di negara ini, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Ini merupakan perkara yang perlu direalisasikan bermula dengan usaha penyatuan orang Melayu-Islam sebelum melibatkan kaum-kaum lain.

    “Perjuangan Islam tak mati sampai ke hari ini dan ia (perjuangan) terus dihidupkan oleh kumpulan-kumpulan Islam.

    “Di Malaysia, kita nak satukan orang Melayu-Islam ini…mereka kaum yang asal datang ke sini, kaum lain (bukan Islam), kemudian…maksudnya yang bukan ekstrem dan menentang Islam.

    “Kita nak ajak kaum lain bersama dengan kita, kita tak halang mereka…tetapi biarlah Islam yang memimpin,” ujar Ahli Parlimen Marang itu.

    Beliau berkata demikian pada Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram di Markas Pas Kawasan Bakri, Muar malam tadi.

    Hadir sama, Naib Presiden Bersatu yang juga Ahli Parlimen Putrajaya; Datuk Dr. Radzi Jidin, Pesuruhjaya Pas Johor; Abdullah Hussin, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu; Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar; Misbahul Munir dan calon Pilihan Raya Kecil (PRK), DUN Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya.

    Untuk rekod, PRK DUN Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 24 Julai 2023 lalu.

    Sementara itu Abdul Hadi berkata, apabila orang Islam memimpin, sudah tentu undang-undang Islam melibatkan hukum hudud dan qisas akan dilaksanakan.

    Bagaimanapun katanya, orang bukan Islam tidak perlu takut dengan pelaksanaan undang-undang Islam ini kerana ia lebih kepada usaha mendidik dan bukannya menyeksa.

    “Ya, undang-undang Islam yang mengandungi hukum hudud, qisas ini keras. Tetapi ia bertujuan untuk mendidik masyarakat dan bukan menyeksa; kena cukup syarat saksi, syarat hakim, syarat keterang..susah; tetapi penjenayah takut sebab ia (udang-undang Islam), didik rakyat.

    “Ini kerana hukuman dalam Islam hukuman yang tidak menyeksa. Hukum gantung, sebat tak sama dengan sivil…tak boleh cederakan, tak boleh pecah kulit, tak boleh angkat tangan tinggi daripada kepala dan sebat dalam undang-udang Islam disaksikan orang ramai untuk memalukan dan bukan menyeksa,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Bertanding lambang UMNO takkan ubah persepsi pengundi, kata penganalisis

    Bertanding lambang UMNO takkan ubah persepsi pengundi, kata penganalisis

     PENGANALISIS politik percaya menggunakan lambang sendiri untuk bertanding pilihan raya tidak akan mengubah persepsi pengundi Melayu terhadap UMNO.

    Azmi Hassan dari Akademi Nusantara menjelaskan masalah yang dihadapi UMNO ketika ini yang hilang kepercayaan pengundi Melayu “melampaui isu lambang”.

    “Dalam hal ini, saya melihat desakan menggugurkan atau menjatuhkan Presiden UMNO ia tidak membawa perubahan apa-apa terhadap sangkaan pengundi Melayu terhadap UMNO, begitu juga penggunaan logo UMNO, ia tidak akan mengubah persepsi pengundi Melayu,” katanya kepada FMT.

    Mujibu Abd. Muis dari Universiti Teknologi Mara senada mengatakan lambang UMNO tidak boleh dijadikan sandaran untuk meraih undi Melayu.

    “Penolakan bukan baru, ia bukan soal lambang atau apa, ia soal persepsi dan keyakinan terutamanya orang Melayu, akar umbi tak nampak UMNO sebagai parti yang memperjuangkan mereka,” katanya kepada FMT.

    Penganalisis mengulas persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said sama ada parti itu boleh pertimbang untuk bertanding atas tiket sendiri pada PRU akan datang.

    Persoalan itu dilontarkan Azalina ketika UMNO berdepan penolakan orang Melayu pada PRN 12 Ogos lalu.

    Azizuddin Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai pada Oktober depan masa sesuai untuk menguji sebesar mana kesan lambang UMNO kepada pengundi Melayu.

    “Saya rasa waktu inilah kena cuba sebab ada PRK kalau waktu pilian raya negeri (PRN) atau pilihan raya umum (PRU) berat sikit nak cuba,” katanya sambil menambah UMNO tidak pernah mencuba langkah itu.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Datuk Seri Zahid Hamidi baru-baru ini mengumumkan Barisan Nasional akan mempertahankan DUN Pelangai, yang kosong selepas kematian penyandang,Datuk Johari Harun, dalam nahas pesawat di Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

    Pada PRU15, Barisan Nasional (BN) menang di Pelangai apabila meraih 7,308 undi, lalu menewaskan calon Perikatan Nasional (3,260 undi), Pakatan Harapan (2,031 undi), dan Pejuang (65 undi) dengan majoriti 4,048 undi.

  • ‘Usah jadi hero dalam isu hadis 40’ – Ahmad Fadhli

    ‘Usah jadi hero dalam isu hadis 40’ – Ahmad Fadhli

    KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari menyelar tindakan segelintir pihak yang membantah inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang kini menjadi kontroversi.

    Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas itu berkata, pelaksanaan inisiatif itu dibenarkan di bawah Seksyen 50(1) Akta Pendidikan 1996.

    “Seksyen berkenaan menyebut bahawa murid-murid hendaklah diberikan pengajaran agama Islam oleh guru yang diluluskan oleh pihak berkuasa negeri jika dalam sesuatu institusi pendidikan terdapat lima murid atau lebih yang menganut agama Islam.

    “Justeru, tiada sebab untuk membantah inisiatif KPM untuk melaksanakan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di 289 buah sekolah-sekolah kerajaan secara rintis kepada guru dan murid yang beragama Islam.

    “Pihak membantah sama ada dari parti mana sekalipun, dari NGO mana sekalipun, perlu sedar realiti dalam akta pendidikan tersebut. Tak usahlah menjadi hero pula dalam isu ini,” katanya menerusi satu hantaran dalam Facebook miliknya semalam, lapor Sinar Harian.

    Kontroversi berhubung pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi itu mula timbul apabila segelintir pihak menyuarakan bantahan selepas KPM pada 19 Ogos lalu memaklumkan akan melaksanakan inisiatif berkenaan pada 19 Ogos lalu.

    KPM menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya akan memulakan pelaksanaan modul tersebut untuk memupuk semangat ihsan dan kasih sayang.

    Katanya, langkah itu sebagai usaha memperkasakan kefahaman agama dalam kalangan guru dan murid beragama Islam.

    Ia akan dilaksana secara rintis membabitkan guru dan murid beragama Islam di 61 sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan 228 sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) seluruh negara.

  • Anwar perlu ‘berperanan seperti PM’, bukan Ketua Pembangkang, kata penganalisis

    Anwar perlu ‘berperanan seperti PM’, bukan Ketua Pembangkang, kata penganalisis

    KEGAGALAN kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) untuk mendapatkan sokongan daripada majoriti pengundi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini antaranya disebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih bersikap seperti Ketua Pembangkang dan bukannya sebagai Perdana Menteri yang menyelesaikan masalah rakyat, kata penganalisis. 

    Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, tindakan Anwar yang terlalu sibuk berpolitik dan tidak henti-henti menyerang Perikatan Nasional (PN) akhirnya memberikan imej negatif dan rakyat melihat beliau seolah-olah cuba memainkan peranan seperti Ketua Pembangkang dahulu. 

    Katanya, ini menyebabkan penolakan rakyat terutamanya pengundi Melayu yang kecewa melihat Perdana Menteri tidak memberikan tumpuan untuk menyelesaikan masalah rakyat.

    “Tumpuan beliau ialah kepada pemulihan ekonomi berbanding bertungkus-lumus turun ke lapangan untuk berkempen seperti ketika jadi Ketua Pembangkang dahulu,” katanya kepada MalaysiaNow. 

    Baru-baru ini Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bersatu Bahagian Nibong Tebal Yaakob Osman dalam tulisannya di Facebook yang bertajuk ‘Anwar hilang taring?’ menyenaraikan kawasan yang Perdana Menteri turun untuk berkempen pada pilihan raya negeri (PRN) lalu akan tetapi menyaksikan kekalahan gabungan PH-BN. 

    “Tidak cukup dengan ‘billboard’ Malaysia Madani dengan wajah senyum sumbingnya, beliau sendiri turun ke gelanggang. 

    “Permatang Pauh, Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Seberang Jaya dan Permatang Pasir,” katanya merujuk kepada kampung halaman Anwar yang menyaksikan PN menyapu bersih ketiga-tiga kerusi DUN dalam kawasan Parlimen tersebut. 

    PRN di enam negeri baru-baru ini menyaksikan kedudukan status quo di mana gabungan PH-BN berjaya mengekalkan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, sementara PN pula berjaya mengekalkan penguasaan di Kedah, Terengganu dan Kelantan. 

    Akan tetapi PN berjaya menafikan majoriti dua pertiga gabungan PH-BN di Selangor apabila berjaya memenangi 22 daripada 56 kerusi DUN. 

    Di Pulau Pinang pula, PN berjaya mendapat 11 kerusi DUN dan 5 di Negeri Sembilan. Di negeri-negeri yang dimenangi PN pula, majoriti kerusi bertambah dengan banyak di mana negeri seperti Terengganu menyaksikan PN menyapu bersih kesemua 32 kerusi DUN. 

    Lebih mencabar bagi Anwar

    Menurut Hisommudin, harapan rakyat terlalu tinggi kepada kerajaan dan Anwar seharusnya menumpukan untuk melaksanakan segera janji PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

    “Harapan rakyat terlalu tinggi untuk beliau mengurangkan kos sara hidup. 

    “Ini kerana beliau dilihat terlalu banyak berpolitik, tampil atas pentas dengan mesej keras seolah beliau masih lagi Ketua Pembangkang. Jadi tumpuan perdana menteri selepas ini agak mencabar,” katanya.

    Seorang lagi penganalisis Azmi Hassan dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) berkata, kesilapan Anwar dan gabungan PH-BN kerana terlalu agresif ketika berkempen sehingga rakyat melihat Perdana Menteri lebih menumpukan kepada agenda politiknya daripada menyelesaikan masalah negara terutama isu melibatkan ekonomi dan kos sara hidup.

    “Perdana Menteri perlu tunjuk kesungguhan beliau, dan kesungguhan itu adalah dengan mentadbir negara selesaikan masalah negara dan rakyat. 

    “Anwar hanya perlu jalankan tugas sebagai perdana menteri sahaja,” katanya. 

    Bagaimanapun, penganalisis dari USM, Azmil Tayeb berkata, kegagalan gabungan PH-BN mendapatkan sokongan Melayu bukan soal pengaruh Anwar berkurangan namun lebih kepada kegagalan beliau untuk memujuk bagi mendapatkan sokongan.

    “Anwar adalah seorang figura yang sama ada disukai atau tidak disukai masyarakat. 

    “Jadi saya melihat ini sebagai kegagalan Anwar untuk memujuk orang tidak menyukai beliau untuk menyokong beliau dan PH dan BN,” katanya.

  • PRK:Hadi gesa ahli UMNO undi calon PN untuk selamatkan negara

    PRK:Hadi gesa ahli UMNO undi calon PN untuk selamatkan negara

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengajak ahli UMNO mengundi calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kwecil (PRK) DUN Simpang Jeram yang disifatkan sebagai tanggungjawab mereka untuk menyelamatkan negara dan Islam.

    Menurut Hadi, penyokong UMNO perlu mengundi calon PN, Dr. Mohd. Mazri Yahya atas alasan semak dan imbang walaupun kemenangan itu tidak mampu menukar kerajaan negeri dikuasai Barisan Nasional (BN).

    “Orang UMNO di Johor kena fikir panjang sebelum mengundi, ada kewajipan nak selamatkan negara, walaupun tidak memerintah, tetapi satu kerusi inilah amar makruf nahi mungkar di DUN demi selamatkan agama dan umat.

    “Saya harap sahabat UMNO atas pagar insaf, tanggungjawab nak selamatkan negara bersama Islam, walaupun satu kerusi makna sangat besar kerana kerusi ini akan jalankan amar makruf nahi mungkar di DUN,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam Ceramah Perdana Perikatan Nasional DUN Simpang Jeram, di
    Markas Pas Kawasan Bakri, Muar malam tadi.

    Pada PRK Simpang Jeram 9 September depan, Mazri ditentang Ir. Nazri Abdul Rahman daripada Pakatan Harapan (PH) dan calon bebas S. Jeganathan.

    PRK diadakan susulan kekosongan luar jangka kerana kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub, 23 Julai lalu.

    Proses sama juga berlangsung di Parlimen Pulai yang turut diwakili bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu.

    Dalam ceramah itu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut menjelaskan partinya sama sekali tidak pernah berhasrat menggantikan UMNO sebaliknya hanya berusaha untuk perpaduan dan penyatuan ummah.

    “Bila masa Pas nak bunuh UMNO?, itu sahaja dalam kepala dia (pemimpin UMNO),” katanya lapor FMT.

    Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ahmad Amzad Hashim dalam ceramah sama juga menyentuh soal penyatuan ummah, merujuk kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) yang wujud selepas BN tewas Pilihan Raya Umum ke-14.

    Katanya, Pas sentiasa berpegang kepada hasrat tersebut dengan menjaga hubungan baik dengan sesama ahli UMNO.

  • ADUN pembangkang minta JAIS pertimbang keputusan pindah guru KAFA

    ADUN pembangkang minta JAIS pertimbang keputusan pindah guru KAFA

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang meminta agar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempertimbang semula keputusan memindahkan 125 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sekolah Rendah Agama (SRA) di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

    ADUN Sungai Panjang, Mohd. Razali Saari berkata, ketetapan itu perlu diperhalusi kerana ia melibatkan soal jarak perjalanan jauh untuk mengajar dan kekangan kewangan dihadapi guru terlibat.

    “Saya tidak berniat untuk campur tangan tentang urusan pentadbiran berkaitan guru KAFA, namun sebagai wakil rakyat sudah tentu berasa simpati dengan mereka terutama yang berusia melebihi 50 tahun kerana terpaksa melalui laluan lebih jauh berbanding bertugas dalam daerah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

    Mohd. Razali berkata, guru KAFA juga kebanyakan daripada mereka hanya menerima elaun sebanyak RM1,500 sahaja sebelum penolakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain.

    “Bagaimana mereka akan meneruskan pekerjaan dengan hati gembira selain peningkatan kos pengangkutan.

    “Saya berharap pihak berwajib dapat memperhalusi semula ketetapan ini dan layanlah mereka sebaiknya yang telah banyak membantu anak-anak kita mengenal agama daripada peringkat awal persekolahan,” ujarnya.

    Dalam pada itu, ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, rata-rata guru KAFA yang diarahkan berpindah mengeluh berikutan keputusan tersebut.

    Jelas beliau, dalam keadaan guru KAFA yang masih bergaji minimum mereka terpaksa berulang-alik ke tempat mengajar di sekolah lebih jauh.

    “SAYA AMAT TERKESAN DAN SEDIH MELIHAT SITUASI DI SRA DI KAWASAN KUALA SELANGOR INI YANG TERLIBAT DALAM PEMINDAHAN BERAMAI-RAMAI,” UJARNYA.

    Menurut Nurul Syazwani, perpindahan guru KAFA itu juga memberi kesan emosi kepada murid yang perlu menghadapi peperiksaan besar di sekolah terlibat.

    “Saya sendiri akan turun ke lapangan untuk melihat sendiri dan mengambil maklumat lebih terperinci berkenaan masalah ini dan berharap dapat berjumpa dengan pihak berkenaan dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan serta penyelesaian,” tambahnya.

    Sementara itu, ADUN Sungai Burong, Dr. Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin berkata, JAIS perlu melihat semua sudut terutama dalam hal berkaitan kebajikan guru KAFA.

    “Mereka ini kebanyakannya bergaji minimum dan ada yang komen (di media sosial) sama seperti pekerja pembersihan serta berdepan kos (perjalanan) pergi dan pulang ke sekolah,” katanya.

    Bagaimanapun, Mohd. Zamri memberitahu, perkara itu perlu dilihat secara holistik dan menyeluruh.

    “Kita tidak mahu mana-mana pihak tertuduh dan dizalimi sebab saya difahamkan bahawa ramai guru KAFA di bandar (berhenti) dan masuk (memulakan perkhidmatan) di KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) dengan skim lebih tinggi.

    “Apabila (jawatan guru KAFA) kosong, ini akan ditampung oleh guru yang masih ada dan keperluan tenaga pengajar di bandar lebih tinggi berikutan kepadatan penduduk berbanding di kampung,” ujar beliau.

    Sinar Harian hari ini melaporkan, JAIS mengesahkan seramai 125 guru KAFA di SRA di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor terlibat dalam penstrukturan baharu bagi memenuhi keperluan di negeri ini.

    Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, seramai 125 guru KAFA iaitu 45 dari Sabak Bernam dan 80 guru di Kuala Selangor terlibat dalam penyusunan semula tersebut.

    Menurutnya, penyusunan itu melibatkan pergerakan 45 guru KAFA dari Sabak Bernam ke Kuala Selangor, manakala 50 guru lagi dari Kuala Selangor ke Klang dan 30 lagi ke Gombak.

  • Abdul Hadi hadiri ceramah perdana PN

    Abdul Hadi hadiri ceramah perdana PN

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hadir pada Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) DUN Simpang Jeram, di Markas Pas Bakri, Muar malam ini.

    Turut hadir Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin; Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim; Ahli Parlimen Parit Buntar, Misbahul Munir dan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram, Dr. Mazri Yahya.

    Lebih 500 penyokong PN hadir dalam ceramah perdana berkenaan, lapor Sinar Harian.

    Difahamkan, kehadiran Abdul Hadi merupakan sebahagian daripada siri jelajah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai.

    Esok, Abdul Hadi bakal hadir pada program Dialog Rakyat di Pasti As-Sofi, Jalan Bakri, Muar pukul 9 pagi sebelum ke SRTI Al-Irsyad Jalan Sri Perkasa 1/3 Taman Tampoi Utama, Johor Bahru pada 2.30 petang.

  • Ibu, teman lelaki ditahan dera anak sampai mati

    Ibu, teman lelaki ditahan dera anak sampai mati

    POLIS menahan seorang wanita dan teman lelakinya kerana disyaki mendera anak lelakinya yang berusia lima tahun hingga mati.

    Ketua Polis Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Serdang yang merawat kanak-kanak itu yang meninggal dunia pada 22 Ogos lalu.

    Katanya, pada mulanya pasangan tersebut membawa kanak-kanak itu ke hospital mendakwa mangsa cedera akibat terlanggar lori, lapor Harian Metro.

    “Ketika menerima pesakit itu, pasukan perubatan memberi bantuan kecemasan jantung dan pernafasan, namun tiada respons positif. Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia.

    “Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut pada tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan lebam dan luka lama disyaki akibat didera,” katanya.

    Anbalagan berkata, laporan bedah siasat terhadap mayat mangsa mengesahkan terdapat kecederaan parah pada tisu lembut ekoran pukulan objek tumpul.

    “Susulan itu polis menahan ibu mangsa yang berusia 44 tahun dan teman lelakinya berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori.

    “Wanita itu yang juga suri rumah didapati menjalin hubungan dengan lelaki berkenaan sejak suaminya meninggal dunia pada September 2022,” katanya.

    Katanya, hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku mendera mangsa di kediaman mereka di sebuah pangsapuri di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan.

    Ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methaphetamin dan amphetamin.

    Menurutnya, pasangan itu direman tujuh hari hingga 29 Ogos ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.