Category: Semasa

  • Polis kesan pelajar bergaduh di perhentian bas

    Polis kesan pelajar bergaduh di perhentian bas

    POLIS sedang mengesan sekumpulan pelajar yang dirakam terbabit dalam pergaduhan di perhentian bas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Usukan Kota Belud, Sabah.

    Ketua Polis Daerah Kota Belud, Suprintedan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 36 saat berkaitan pergaduhan yang kini tular itu, semalam.

    Menurutnya, hasil siasatan awal dijalankan mendapati kejadian tersebut berlaku kelmarin kira-kira pukul 1.30 petang.

    “Pihak IPD Kota Belud mengambil tindakan mengesan semua pelajar terbabit bagi memberi keterangan dan membantu siasatan.

    “Punca sebenar pergaduhan masih dalam siasatan da kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Shahrudin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu.

    Tambahnya, ini bagi mengelak sebarang kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta dikhuatiri boleh mengganggu siasatan polis.

  • Polis tumpaskan geng pecah masuk premis

    Polis tumpaskan geng pecah masuk premis

    POLIS berjaya menumpaskan geng pecah masuk premis perniagaan susulan tertangkapnya lima lelaki di sekitar Klang semalam.

    Semua suspek itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan di dua rumah di Bandar Bukit Tinggi, Klang dan Taman Saujana Jati pukul 8 malam.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, selain peralatan alat pecah rumah, polis merampas pelbagai barangan disyaki hasil jenayah antaranya minuman keras.

    “Semakan mendapati kesemua suspek berusia lingkungan 36 hingga 56 tahun itu mempunyai pelbagai rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah.

    “Suspek kini direman enam hari sehingga Rabu depan untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti pembabitan dalam kes-kes lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

    “Peniaga dinasihatkan untuk meningkatkan kualiti keselamatan termasuklah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di premis masing-masing,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

  • Waspada penipuan SMS guna ‘GOV’

    Waspada penipuan SMS guna ‘GOV’

    ORANG ramai diminta berwaspada dan tidak terpedaya jika menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada ID penghantar ‘GOV’ menggunakan nama organisasi MySejahtera yang memaklumkan pengguna bahawa bantuan khas kewangan telah dikreditkan ke akaun Touch ‘n Go (TNG) eWallet mereka.

    Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata terdapat penyalahgunaan ID penghantar ‘GOV’ apabila pihak tidak bertanggungjawab telah memanipulasikan ID penghantar tersebut untuk tujuan penipuan. 

    “Peringatan ini dikeluarkan sejajar dengan penafian oleh pihak MySejahtera berkenaan pesanan SMS palsu berkaitan pemberian bantuan kewangan kepada orang ramai,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

    Untuk makluman, hebahan SMS melalui ID penghantar ‘GOV’ dikhususkan bagi membuat pesanan khidmat awam (PKA) berkenaan inisiatif oleh kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat.

    MCMC berkata tindakan sekatan telah diambil ke atas akses pautan palsu tersebut.

    MCMC berkata individu yang didapati menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.- BERNAMA

  • KPDNHEP rampas diesel bersubsidi RM186,000

    KPDNHEP rampas diesel bersubsidi RM186,000

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka melakukan serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Krubong, di Melaka, semalam dan merampas diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM186,000.

    Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, serbuan pada pukul 2 petang itu diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan premis berkennaan dipercayai dijadikan stor haram bagi penyimpanan diesel.

    “Menerusi serbuan itu lima pekerja premis terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan dua warga asing berusia 20-an hingga 40-an ditahan ketika leka memindahkan diesel ke dalam tangki utama simpanan di stor berkenaan.

    “Semasa serbuan semua suspek bertempiaran cuba meloloskan diri melalui pintu khas di belakang kabin yang dijadikan tempat tinggal, namun gagal berikutan premis itu dikepung polis.

    “Siasatan mendapati modus operandi digunakan adalah membuat isian antara RM300 hingga RM500 di stesen minyak sekitar Melaka dengan menggunakan lori satu atau tiga tan yang dipasang tangki khas berkapasiti 1,000 liter serta ditutup menggunakan kanvas.

    “Tangki itu kemudian akan diisi diesel bersubsidi sebelum dijual di pasaran gelap pada harga lebih RM4 seliter berbanding harga industri RM5.15 seliter dan mengaut keuntungan mudah lebih RM2 seliter,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, pekerja terbabit mendakwa premis baru beroperasi kira-kira tiga bulan, namun hasil pemantauan dan risikan sejak dua minggu lalu, premis itu disyaki aktif sejak enam bulan lalu.

    Malah katanya, premis tersebut turut mempunyai rumah pekerja yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk pendingin hawa.

    Norena berkata, keseluruhan rampasan membabitkan 12,000 liter diesel bernilai RM25,800, sebuah lori tangki berkapasiti 10,000 liter, dua tangki simpanan minyak kapasiti 20,000 liter setiap satu, paip penyambung dan 20 tangki tambahan berkapasti 20,000 liter.

    Katanya, diesel yang disita itu ditemui dalam tangki tambahan lori yang digunakan serta tangki minyak (skid tank) dan semua barangan disita dibawa ke stor KPDNHEP Melaka.

    “Kita syaki premis itu bukan saja stor simpanan, malah tempat jualan yang mana prosesnya cukup mudah, lori sampai terus sambung pada hos untuk sedut minyak dari tangki diesel.

    “Justeru KPDNHEP Melaka memberi amaran tegas kepada pihak industri agar tidak membeli diesel secara haram kerana kami tahu siapa mereka.

    “Beberapa stesen minyak di negeri ini kini di bawah ‘radar’ KPDNHEP kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan minyak,” katanya.

    Norena berkata, pekerja stesen minyak juga diminta peka untuk memeriksa jika melihat lori sama berulang kali membuat isian di premis mereka kerana modus operandi sindiket ini menggunakan lori ditutup dengan kanvas bagi melindungi tangki tambahan.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

  • 20 nelayan Laos terselamat selepas bot terbakar

    20 nelayan Laos terselamat selepas bot terbakar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 20 nelayan warga Laos berdepan detik cemas apabila bot mereka terbakar di perairan Kuala Endau, Pahang, malam tadi.

    Kejadian pada jam 9.30 malam itu dipercayai berpunca dari kebakaran di bahagian enjin sebelum merebak ke semua bahagian bot.

    Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, selepas mendapat maklumat pihaknya memaklumkan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru berkenaan sebuah bot itu yang berada pada kedudukan 13.7 batu nautika timur laut Kuala Endau.

    Seramai 20 nelayan warga Laos diselamatkan nelayan tempatan selepas bot mereka terbakar di perairan Kuala Endau, berhampiran Mersing, pada malam tadi

    “Zon Maritim Mersing telah mengatur gerak bot ronda kelas Perkasa ke lokasi kejadian dan mendapati kesemua 20 mangsa telah diselamatkan terlebih dahulu oleh bot nelayan tempatan yang berada berhampiran lokasi bot terbakar.

    “Kesemua 20 mangsa lelaki warga Laos yang terselamat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, semua mangsa tersebut merupakan pekerja yang sah dan mempunyai pengenalan diri.

    Katanya, mereka seterusnya dibawa ke Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada majikan mereka untuk tindakan selanjutnya.

  • Anak lahir di luar negara oleh wanita Malaysia tidak layak dapat kerakyatan – Mahkamah

    Anak lahir di luar negara oleh wanita Malaysia tidak layak dapat kerakyatan – Mahkamah

    KANAK-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.

    Ia diputuskan Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 hari ini.

    Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

    Keputusan majoriti itu dipersetujui oleh Hakim Kamaluddin dan Hakim Datuk Azizah Nawawi, manakala Datuk S Nantha Balan pula menentang.

    Sebelum ini, Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) dan enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dengan anak kelahiran luar negara, pada 9 September 2021, berjaya dalam tuntutan mereka di Mahkamah Tinggi terhadap ketiga-tiga perayu. – Bernama

  • Penganggur mengaku tidak bersalah dadah dalam lokap mahkamah

    Penganggur mengaku tidak bersalah dadah dalam lokap mahkamah

    SEORANG penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas dua pertuduhan memiliki dadah ketika berada dalam tahanan lokap Mahkamah Rembau, bulan lalu.

    Tertuduh, Muhammad Ikraam C. Mansor, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norma Ismail selepas kertas pertuduhan dibacakan, lpaor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 54.47 gram ketika berada di lokap Mahkamah Rembau kira-kira jam 11 pagi pada 26 Julai lalu.

    Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis heroin dengan berat 3.97 gram pada tarikh, masa dan lokasi yang sama.

    Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta sama, sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun serta sebat tidak kurang tiga sebatan dan tidak lebih sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh dan sebutan semula kes ditetapkan pada 27 September depan.

  • Dua peguam positif Covid-19, bicara kes rasuah Ahmad Zahid ditangguh

    Dua peguam positif Covid-19, bicara kes rasuah Ahmad Zahid ditangguh

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan kes rasuah berhubung dana Yayasan Akalbudi (YAB) yang dihadapi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke 22 Ogos berikutan dua peguamnya dijangkiti COVID-19.

    Peguam Aiman Abdul Rahman yang mewakili Ahmad Zahid memberitahu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa peguam utama kes itu, Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh dijangkiti COVID-19.

    “Pihak kami telah memfailkan surat kepada mahkamah pada 2 dan 3 Ogos lepas dengan menyatakan peguam Hisyam dan Hamidi dijangkiti COVID-19 dan kami mohon supaya tarikh perbicaraan hari ini ditukar kepada sebutan dan perbicaraan seterusnya pada 22 Ogos,” katanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob tidak membantah perkara itu.

    Hakim Sequerah kemudian berkata berdasarkan alasan yang dikemukakan pihak pembelaan, tarikh perbicaraan hari ini dilapangkan dan akan bersambung pada 22 Ogos ini.

    Ahmad Zahid yang memakai baju kurta putih hadir pada prosiding hari ini.

    Pada prosiding hari ini, Ahmad Zahid sepatutnya disoal balas pihak pendakwaan berhubung pertuduhan rasuah yang dihadapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

    Ahmad Zahid, 69, berdepan dengan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.- BERNAMA

  • Batalkan pertemuan dengan Bersatu saat akhir – Wan Saiful bidas PM

    Batalkan pertemuan dengan Bersatu saat akhir – Wan Saiful bidas PM

    Oleh BADLISHAH MAT

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar tidak kembali kepada perangai lama pimpinan UMNO hingga sanggup ‘menjual diri’ akibat bimbang tidak menerima watikah sebagai calon pilihan raya.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Ismail Sabri perlu sedar bahawa sokongan diberikan Perikatan Nasional (PN) kepadanya selama ini bersandarkan kepada keyakinan bahawa beliau boleh mempertahankan integriti.

    “Kita faham Ismail Sabri mungkin risau tak dapat watikah pencalonan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tetapi janganlah sampai ‘menjual diri’ begitu sekali,” katanya pada program Sihat Bersama Wan Saiful di Tasik Darul Aman, Jitra, Kedah, hari ini.

    Wan Saiful mengulas mengenai pertemuan antara Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama Ismail Sabri yang dibatalkan pada saat akhir, semalam.

    Beliau berkata, pertemuan berkenaan pada awalnya telah dipersetujui oleh Perdana Menteri untuk diadakan pada pukul 12.30 tengah hari, namun hanya dua jam sebelum pertemuan itu berlangsung, Ismail Sabri bertindak membatalkan pertemuan tersebut.

    Justeru kata beliau, pihaknya menuntut supaya Perdana Menteri menunjukkan sedikit rasa hormat kepada Ahli Parlimen dan blok yang menyokong beliau.

    “Sebelum ini Ismail Sabri boleh memenuhi janji dan menghormati pembangkang di sebelah Pakatan Harapan tetapi dalam keadaan sekarang, mengapa pula tak ada rasa hormat kepada PN iaitu blok terbesar dalam Parlimen yang menyokong beliau sekaligus membolehkannya menjadi Perdana Menteri,” katanya.

  • Usah berpolitik untuk pangkat, jawatan dalam pasukan

    Usah berpolitik untuk pangkat, jawatan dalam pasukan

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah menegaskan agar pegawai dalam Kor Gerak Khas tidak berpolitik untuk mendapatkan pangkat atau jawatan tertentu dalam pasukan berkenaan.

    Titah baginda, baginda sendiri akan meneliti segala urusan kenaikan pangkat serta penempatan pegawai yang terlibat.

    “Saya harap selepas ini, pihak Panglima Tentera Darat dan Panglima Gerak Khas jangan pandai-pandai buat keputusan kenaikan pangkat tanpa merujuk kepada saya dahulu.

    “Penilaian akan dibuat mengikut merit dan bersandarkan kepada latar belakang serta prestasi pegawai berkenaan. Saya tidak mahu ada unsur pilih kasih atau mengikut kem tertentu.

    “Suka juga saya ingatkan bahawa segala perjawatan dan pangkat yang telah diperuntukkan kepada Gerak Khas tidak boleh diberikan atau dipinjamkan kepada Kor lain,” titah baginda yang juga Kolonel Komandan GGK.

    Sultan Ibrahim menyuarakan perkara itu bagi mengukuhkan Kor Gerak Khas dengan berpendapat perancangan sumber manusia yang lebih tersusun perlu dibuat supaya pegawai pelapis berkualiti dapat dihasilkan secara berterusan.

    Baginda bertitah demikian ketika berangkat menyempurnakan Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-57 di Padang Kawad Markas 21, GGK, Kem Iskandar di sini, hari ini.

    Turut berangkat ke majlis itu, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

    Sementara itu, Sultan Ibrahim bertitah menegaskan supaya tidak ada pihak yang memandang pasukan GGK sebelah mata.

    “Jika ada pihak yang membelakangkan saya, maka saya rasa tidak perlu lagi untuk saya terus menjadi Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas,” titah baginda.